Selasa, 6 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 11

BAB 11

Sejak peristiwa hitam itu, Aisya banyak menghabiskan masanya di dalam bilik daripada keluar bersama Nadia. Dia tertekan atas apa yang berlaku. Hendak disuarakan kepada Nadia, dia khuatir akan mengganggu perasaan kawannya itu yang sedang berbunga-bunga cinta dengan Adham Ikmal. Walaupun Nadia tidak menyatakan perasaannya kepada Adham Ikmal, begitu juga Adham Ikmal, tetapi jelas kelihatan akan kebahagiaan dan kegembiraan di antara mereka berdua. Cuma menunggu masa sahaja untuk mereka berdua meluahkan apa yang terbuku di dalam hati masing-masing.
Semenjak dari itu juga, fizikal Aisya berubah dengan tiba-tiba. Dia selalu berasa pening dan loya jika terhidu bauan yang kurang enak di lubang hidungnya. Sesekali itu dia muntah selepas menjamah makanan malah dia berhati-hati memilih makanan kerana khuatir akan berlaku perkara yang sama. Nadia pernah menyarankan dia mendapat rawatan di klinik berhampiran, tetapi di tolak keras olehnya. Bagi Aisya tidak perlu membuat rawatan susulan kerana dia sudah tahu dengan jawapan yang bakal dikeluarkan oleh doktor. “Awak pregnant Aisya!” Itulah ayat yang bakal keluar dari mulut seorang doktor jika diberitahu akan keadaannya itu. Daripada tanda-tanda yang ada, hanya perkataan “pregnant’ itulah yang sesuai.
Bagaimana dengan Tengku Azizul? Tengku Azizul dikhabarkan sudah berpindah ke universiti yang lain. Keputusan Tengku Azizul berpindah ke universiti yang lain tidak sama sekali memeranjatkan bagi Aisya kerana lelaki seperti Tengku Azizul sepatutnya lenyap saja dari muka bumi ALLAH ini. Jika berada di muka bumi ini hanya menambahkan dosa, ada baiknya mati saja kan bagus. Pengecut punya jantan, marahnya sendirian. Namun jauh disudut hati, dia menangis kerana Tengku Azizul tidak mahu bertanggungjawab dengan apa yang telah dilakukan terhadapnya. Aisya terpaksa menanggung bebanan sendirian. Wajah mak dan abahnya jelas terlayar di ruangan mata ketika itu. Segala harapan yang diimpikan oleh orang tuanya akan musnah dan hancur dalam sekelip mata akibat dari perbuatan manusia yang tidak berhati perut seperti Tengku Azizul. Ya ALLAH! Bantulah hambaMU ini membuat keputusan yang bijak agar ianya tidak memudaratkan orang yang aku sayangi selama ini.
“Kau dah jumpa doktor Aisya?” tanya Nadia mematikan lamunannya. Aisya hanya mengangguk. Tidak berniat untuk bersuara. “Habis tu apa kata doktor,” sambung Nadia lagi dan duduk menghampiri Aisya yang sedang khusyuk mengadap laptop.
“Tak ada apa. Aku salah makan aje,” balas Aisya spontan. Dia tidak mahu merunsingkan fikiran Nadia dengan masalah yang dihadapinya itu.
Nadia memandang Aisya dengan pandangan yang tersirat. Seperti ada yang tidak kena dengan jawapan Aisya sebentar tadi. Aisya cuba menyembunyikan sesuatu darinya.
“Salah makan? Takkanlah salah makan. Aku tengok kau asyik muntah-muntah saja, macam orang mengandung pun ada,” duga Nadia seperti mengesyaki sesuatu.
Aisya terkejut dengan kata-kata Nadia. Dia cuba beriak tenang. Dia tidak mahu Nadia berfikiran yang bukan-bukan tentangnya.
“Betullah, takkan aku nak tipu kau kot. Selama ini pernah tak aku tipu kau,” bidas Aisya sambil menutup laptop dan berbaring di atas katil. Nadia mengekori Aisya dengan ekor matanya sahaja.
“Memang kau tak pernah tipu aku. Tapi kali ini, aku dapat rasakan kau sedang menipu aku,” bangkang Nadia dengan kenyataan yang keluar dari mulut Aisya sebentar tadi.
Aisya meraup wajah sambil menggeleng-gelengkan kepala. Dia buntu ketika ini. Tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kepada Nadia. Sampai bila dia harus menyembunyikannya daripada Nadia? Walau sekemas mana dia menyembunyikannya, perut yang makin membesar itu akan diketahui oleh Nadia juga.
“Aisya, kau ada masalah kan?” suara Nadia lembut mematikan lamunannya lagi. Nadia sudah pun berbaring disebelahnya.
“Aku tak tahu macam mana aku nak luahkannya Nadia. Aku buntu, buntu memikirkan akan nasib aku selepas ini. Aku bersalah pada mak dan abah aku jika mereka dapat tahu dengan apa yang berlaku pada aku sekarang ni,” luah Aisya sambil duduk dan menggenggam erat tangan Nadia yang masih lagi berbaring.
Nadia memandang tepat ke wajah Aisya. Memberi isyarat agar Aisya meluahkan segala yang terbuku di dalam hati selama ini.
“Aku… aku pregnant Nadia,” jelas Aisya dalam nada yang bergetar.
“What?” terjerit Nadia mendengarnya. Posisinya yang berbaring tadi sudah pun bertukar kepada posisi duduk. Matanya tepat ke muka Aisya.
Aisya mengangguk. Air mata tidak sempat diseka dan gugur membasahi pipi.
“Kau tipu aku kan Aisya. Kau jangan main-main Aisya, ni perkara serius kau tahu tak. Aku gurau saja tadi bila aku cakap kau mengandung,” sambung Nadia sambil memandang ke wajah Aisya yang sudah pun dibasahi air mata.
“Aku tak tipu Nadia. Perkara macam ni mana boleh dibuat main-main. Aku teraniaya Nadia, teraniaya. Di atas kesilapan aku yang kecil, menyebabkan aku menerima padahnya. Dia dah lama berdendam dengan aku Nadia, selepas insiden di depan library hari tu,” jelas Aisya sambil cuba menahan esakan tangisan.
“Insiden? Library? Maksud kau semua ni kerja Tengku Azizul?” terpacul nama itu dari mulut Nadia.
Aisya hanya mengangguk. Nadia terduduk kaku melihat anggukan Aisya. Terkejut dengan pengakuan Aisya. Nafasnya mulai berombak menahan kemarahan yang sudah di tahap maksima dan hanya tunggu untuk meledakkannya sahaja.
“Maksud kau Aisya, dia rogol kau masa dia hantar kau balik hari tu,” duga Nadia teragak-agak dan inginkan pengakuan dari Aisya.
“Ya Nadia. Bukan aku saja yang ada di situ. Rupa-rupanya kawan-kawan dia juga turut ada menyaksikan kejadian itu. Aku malu Nadia. Malu diperlakukan sebegitu. Mahu saja aku bunuh diri masa tu sebab aku rasa dunia aku dah gelap. Aku rasa terhina Nadia. Aku terbayangkan wajah harapan mak bapak aku yang inginkan aku berjaya. Mujurlah aku masih waras dan ingat ALLAH. Aku kuatkan diri untuk menghadapinya. Bantulah aku Nadia. Aku buntu, buntu. Sekarang ini aku mengandungkan anaknya. Macam mana aku nak menyembunyikan kandungan ini. Lambat laun orang lain akan tahu kewujudannya,” luah Aisya panjang lebar. Sesekali dia cuba menyeka air mata yang sudah pun kembali lencun di pipi.
Nadia bingkas bangun dari katil dan mengepal tangan seperti penumbuk. Jika Tengku Azizul berada di hadapannya ketika itu, sudah pasti satu penumbuk hinggap di muka Tengku Azizul.
“Aku minta maaf Aisya. Kalau bukan disebabkan aku mengajak kau menonton wayang bersama hari tu, semua ini takkan berlaku. Aku bersalah pada kau Aisya. Maafkan aku Aisya, maafkan aku,” rayu Nadia sambil memeluk erat tubuh kawannya itu.
“Sudahlah Nadia. Tak perlulah kau minta maaf atas kesalahan yang kau tak buat. Aku redha Nadia, redha menerimanya. Semuanya dah tertulis dalam kamus hidup aku,” bicara Aisya lembut. Cuba untuk menenangkan hati Nadia yang dipagut rasa bersalah dengan apa yang berlaku ke atas dirinya. Nadia meleraikan pelukan Aisya dan wajah itu ditenang puas-puas.
“Aku akan sentiasa berada di sisi kau Aisya, percayalah. Selagi kau tidak mengecapi kebahagiaan, selagi itu jugalah aku tidak akan mencari kebahagiaan aku sendiri. Itu janji aku pada kau Aisya,” bisik Nadia sambil mengucup dahi Aisya yang sedang nyenyak tidur di sisinya. Wajah yang dikenalinya hampir lapan tahun itu di amati betul-betul. Hatinya sayu ketika memandang wajah tenang dan redup Aisya. Hanya kesedihan yang dapat dilihat pada wajah itu. Ya ALLAH, tabahkanlah hatinya menerima segala dugaan yang KAU berikan padanya. Aku akan sentiasa menyokongnya dari belakang.


“Aisya… Aisya… maafkan abang. Abang bersalah pada Aisya!” Jerit Tengku Azizul mengejutkan Adham Ikmal yang sedang nyenyak tidur bersebelahan katilnya. Terasa badannya digerak-gerakkan oleh seseorang, pantas dia membuka matanya.
“Kau ni kenapa Azizul? Semenjak dua menjak ni kau asyik mengigau aje. Kau rindu kat family kau ke? Aku rasa ada baiknya kau balik Malaysia dan jenguk mereka di sana. Mungkin mereka pun rindukan kau,” suara Adham Ikmal sambil menghulurkan segelas air kepada Tengku Azizul. Tengku Azizul membalas huluran Adham Ikmal lalu meminumnya.
“Entahlah Adham, aku bukannya tak rindukan mereka, rindu… tapi hati aku yang berkeras untuk tidak mahu balik ke sana. Kau sendiri tahukan apa yang mama aku dah buat pada aku selama ini. Perbuatan mama tidak dapat aku maafkan Adham. Disebabkan perbuatan mamalah aku berpisah dengan Aisya, perempuan yang mengajar aku erti cinta, kasih dan sayang. Aku butakan mata hati aku untuk tidak menerima cintanya. Aku terlalu ego Adham. Aku tahu Aisya begitu setia menjadi isteri aku dan menyintai aku. Jika tidak masakan dia sanggup menerima segala perbuatan mama aku terhadapnya,” luah Tengku Azizul dengan nada kesal. “Cinta Aisya tak sehebat cinta Sharifah Aleeya, Adham,” sambungnya lagi.
“Aku faham semua tu Azizul. Apa-apa pun, dia tetap mama kau. Orang yang mengandungkan kau selama sembilan bulan dan menjaga kau selama ini. Walau seteruk mana pun perbuatan mama kau pada kau, kau sebagai anak perlu memaafkannya dan membawa mama kau ke pangkal jalan. Percayalah Azizul, ALLAH itu Maha Kuasa. Aku yakin, suatu hari nanti mama kau akan tersedar dari kesilapan yang telah dia lakukan terhadap kau dan Aisya,” nasihat Adham Ikmal sambil menepuk lembut bahu kawannya yang masih dalam kebuntuan.
“Aku perlukan masa Adham. Masa untuk aku memikirkannya semula kerana tika waktu ini hati aku masih lagi berbekas,” suara Tengku Azizul sambil meraup mukanya.
Adham Ikmal hanya menggelengkan kepala sahaja mendengar jawapan dari sahabat baiknya itu. Dia tahu hati Tengku Azizul masih berkeras untuk memaafkan kesalahan Puan Sharifah Rohana.
 “Cuma satu yang aku pinta dari kau Azizul. Kau jangan lukakan hati Anis. Dia begitu setia menunggu kau walaupun dia tahu dalam hati kau masih tertulis nama Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin. Past is past Azizul. Kau lepaskanlah Aisya dan kau bukakanlah pintu hati kau untuk Tengku Hanis Suraya Tengku Razlan. Dia juga perlukan perhatian kau. Kau pun dah lama bertunang dengan diakan. Aku harap kau fikirkanlah dari sudut Anis. Apa perasaan dia ketika ini. Aku pasti Aisya sudah pun menemui kebahagiaannya sendiri. Apa perlu yang kau lakukan ialah mendoakan kebahagiaan dia. Percayalah pada aku Azizul, Aisya tidak akan menyalahkan kau dengan apa yang berlaku ke atas dirinya selama dia bergelar isteri kau,” sambung Adham Ikmal dan kemudian itu dia berbaring semula di atas katilnya.
Tengku Azizul termenung seketika. Dia memikirkan semula kata-kata Adham Ikmal mengenai Tengku Hanis Suraya yang sudah hampir dua tahun menjadi tunangannya. Ada benarnya juga kata-kata Adham Ikmal itu. Tengku Hanis Suraya begitu setia menantinya walaupun Tengku Hanis Suraya mengetahui akan kewujudan Aisya Lyana Sofea di dalam hatinya. Ya ALLAH! Apa yang aku dah buat ni. Aku melukakan hati insan yang terlalu mengambil berat akan diriku ini. Anis, maafkan abang. Abang bersalah pada Anis, rintihnya sendirian.
Tengku Azizul bingkas bangun dari katil. Dia menapak ke meja kerjanya dan melabuhkan duduk di situ. Laptop dicapai dan dibuka. Setelah itu, dia menggerakkan mouse dan menekan fail yang bernama ‘Kenanganku’. Terlayar gambar Aisya dari dalam fail tersebut. Satu persatu gambar itu ditatap mesra. Terasa rindu pada empunya diri di dalam gambar tersebut.
“Kenapa Aisya? Kenapa jodoh kita tidak berpanjangan? Kenapa mama buat Aisya macam tu? Abang menyesal kerana menceraikan Aisya. Abang menyesal kerana tidak dapat membahagiakan Aisya. Abang rindukan Aisya. Abang masih sayang dan cintakan Aisya. Nama Aisya akan tetap berada di hati abang sampai bila-bila,” luah Tengku Azizul sayu. Terasa sebak di dada tatkala mengingati kisah enam tahun yang lepas. Kenangan yang sentiasa menghantui hidupnya selama ini.
Tengku Azizul melepaskan keluhan berat. Dia mencapai mouse semula dan menekan fail video yang terletak di desktop. Fail video yang bernama ‘Aisya’ dicari. Video yang telah lama direka khas buat Aisya. Video yang menayangkan hampir seratus peratus gambar Aisya di dalamnya berserta sebuah lagu yang mengusik jiwa. Sebagai tanda kenangan dan pengubat rindu buat dirinya sendiri. Lantas dia memainkan video tersebut. Lagu ‘Dia’ nyanyian Fauziah Latif menyapa halwa telinganya.

Dia insan pertama yang bertahta
Dia insan pertama yang ku cinta
Dia pernah membuat ku bahagia
Dia yang mengajarku tentang erti rindu

Dia yang dulu pernah ku sanjungi
Pergi sehingga kini tak berganti
Hilang dari pandangan hidup ini
Membawa luka pedih tak terperi

Tiada ku duga
Permulaan yang jernih
Menjadi keruh dengan tiba-tiba
Bisa rintangan antaraku dan dia
Cinta terhalang oleh orang tua

Kini terkilan sungguh rasa hati
Dia tak pernah lagi ku temui
Dia ku abadikan dalam jiwa
Terima kasih atas segalanya

Tengku Azizul menarik nafas dan melepaskannya. Dompet di dalam laci di ambil lalu membukanya. Sekeping gambar dari dalam dompet dikeluarkan. Ditatap lama gambar tersebut. Gambar Aisya yang sedang tersenyum manis kepadanya. Masih segar di ingat sewaktu mereka berdua menangkap gambar tersebut. Sekeras-kerasnya Aisya menolak untuk menangkap gambar. Selepas dipujuk rayu, akhirnya Aisya bersetuju dan gambar tersebut telah menjadi simpanan peribadinya sehingga ke hari ini. Gambar yang dipertikaikan oleh Tengku Hanis Suraya sebelum mereka mengikat tali pertunangan. Mujurlah masa itu dia mendapat idea untuk membohongi Tengku Hanis Suraya dengan menyatakan gambar itu sudah dibuang. Jika tidak, sehingga ke hari ini Tengku Hanis Suraya akan bertanyakan tentang gambar itu. Namun hakikatnya, dia masih menyimpan kemas gambar tersebut.
“Maafkan abang Aisya. Abang akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Aisya. Terima kasih kerana menjadi isteri abang. Terima kasih kerana membahagiakan abang walaupun bahagia itu cuma sebentar sahaja. Abang akan sematkan nama Aisya dalam hati abang buat selama-lamanya,” bisik Tengku Azizul.
Tengku Azizul mencapai lighter dari dalam laci. Dihidupkan dan dihalakan ke gambar Aisya. Dalam beberapa saat, gambar Aisya terbakar hingga meninggalkan abu-abu halus. Kemudian dia mencapai mouse dan membuang fail ‘Kenanganku’ ke dalam recycle bin. Wajah Aisya akan sentiasa terlayar di ruangan mata abang, bisik Tengku Azizul lagi. Entah mengapa air mata lelakinya mengalir membasahi pipi. Sebak dan pilu dengan keputusan yang telah dibuat, mengusir bayangan Aisya buat selama-lamanya.


16 ulasan:

  1. baguslah..hehe..nangis saya baca...waaa
    padan muka tg azizul tu...

    dia akan menyesal seumur hidup..

    Teruskan yer...

    Best bangat..

    BalasPadam
  2. huhuhu..thanks shuhada..

    nantikan bab seterusnya..akan lbh beremosi dan akan membuatkan kita rasa kesian pd Aisya Lyana Sofea..

    thanks coz support HM.. :)

    BalasPadam
  3. adei kenapa delete karang menyesal tak sudah sebab delete. er eliza nak lagi blh? nak tau apa sebenarnya berlaku kat depa 2 org ni, macam sadis je cter belakang tabir ni. Takkan kot nak suh TH kawin gan bekas kakak ipar dia. so TA dah insaf la, sebab sayang kat aisya ni. Nadia ke yang g mengamuk kat TA n cerita kat TA yang aisya pregnant? Nampaknya adham mmg setia jadi sahabat TA sebab sama2 merantau makan hati.huhuhu. nak lagi pls...

    BalasPadam
  4. oh panggil sy yong saja, macam pjg nak type nama penuh tu, sy pun mls nak type yg penuh hehe, thanks ya reply comment.

    BalasPadam
  5. Yong :
    thanks 4 the comment..
    erm.. byk persoalan y bermain2 di fikiran Yong tu ek.. hehehe...
    x pe.. segala persoalan Yong tu akan terjawab dlm bab 15-18.. kisah di sebalik tabir antara Tg Azizul n Aisya.. kisah cinta Tg Hariz n Aisya akan bermula..dan x lupa jg konflik y bakal Aisya hadapi nti... tunggu..... :)

    BalasPadam
  6. aisya ngan tengku hariz de nk ke????tp kat ne ank 2????

    BalasPadam
  7. oh oh npknya TA bakal berdepan gan ex wife yg bertukar jadi in-law ke? habis la...hehehe mmg byk ni eliza. hope esok ada entry baru lagi. thanks ya.

    BalasPadam
  8. Husna sani : ttg anak?? tg hariz or tg azizul?? erm.. dlm bab 15-18 akn terjawb semua persoalan ttg anak tu..

    Yong : masih berteka-teki lg tue... klu ada permintaan ramai.. mybe sy akan upload bab seterusnya.. erm.. dh terlebih post dr penulisan2u tu...huhuhu... ;)

    BalasPadam
  9. xpe kak...kite org lagi suke baca taw...tiap pagi mesti sye masuk blog ni...nak check ada bab terbaru tak...hhahahah....its really2 good... ;)

    BalasPadam
  10. zielra_dolce : thanks a lot 4 the comment n ur support.. moga HM meninggalkan kesan di hati adik.. :)

    BalasPadam
  11. baru nk mula baca sbb baru jumpa blog ni... hehehehe... tp ramai kwn2 kata x rugi ikuti cerita niii... so... i will marathon....

    BalasPadam
  12. thanks kak Hanim69.. semoga HM bagi kepuasan pd akak.. enjoy reading!!

    BalasPadam
  13. Sori Eliza nak tanya sikit..

    Sapa nama org sebenar yg u gunakan as Aisya ye? coz yg lain2 tu i kenal but d main protagonist ni x kenak lak... hehehehe kuar topik sikit...

    BalasPadam
  14. hehe.. xpe.. Aisya Lyana Sofea, org sebenarnya..

    BalasPadam
  15. perhhh so touching , syahdunyer bravo pada penulisnya :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih.. sy yg menaip jg merasa akan sebaknya..

      Padam