Rabu, 7 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 12


BAB 12

  Aisya tidak berkelip-kelip memandang jam di dinding. Jam yang sudah pun menghampiri ke angka 11.30 pagi. Hatinya dipagut gelisah. Kelibat Tengku Hariz tidak juga muncul-muncul di pejabat. Hari ini dia perlu mengingatkan Tengku Hariz akan notis perletakan jawatannya. Sudah seminggu notis itu termeterai dan sudah seminggu jugalah dia bekerja secara suka rela di Menara Holding. Dia berjalan mundar mandir di hadapan meja sambil matanya tidak lepas melihat ke arah pintu utama. Ish! Mana mamat perasan bagus ni, tak datang office ke? Gerutunya sendirian. Nurul yang menyedari akan tingkah laku Aisya segera bangun dan menghampiri Aisya yang masih lagi berdiri di tepi meja.
“Kenapa ni Aisya? Ada masalah ke?” soal Nurul. Aisya menoleh sekilas ke arah Nurul.
“Bos masuk tak kak?” soal Aisya pula.
Nurul mengerutkan dahi. Terkejut dengan pertanyaan Aisya.
“Petang nantikan ada meeting dengan wakil Tunjang Holding, mestilah dia masuk office. Kenapa?” Bersahaja Nurul menjawabnya. Aisya melepaskan keluhan dan kembali duduk di kerusi. Dia menguak rambutnya yang hampir menutupi mata.
“Kenapa?” tanya Nurul semula dan menghampiri Aisya yang sedang duduk mengadap komputer.
“Kenapa apa kak?” soal Aisya pula seperti orang bodoh.
“La, tadikan Aisya tanya akak pasal bos, so akak tanyalah Aisya balik kenapa tanya bos. Ish! Berbelit lidah aku nak bercakaplah!” gerutu Nurul sambil mencebikkan bibir.
Aisya sekadar menyengih. Sengaja mengusik Nurul. Bertambah angin Nurul melihatkan sengihan Aisya. Aisya berjaya mengenakannya lagi.
“Eh… eh… budak ni, sengih pulak dia. Kang ada yang makan selipar Jepun baru tau,” geram Nurul dan kembali semula ke tempat duduknya.
Aisya hanya menggeleng melihat gelagat Nurul yang merangkap secretary Tengku Hariz.
“Ala kak, sorrylah. Aisya tengah tunggu bos sebab Aisya nak tanya bos pasal notis berhenti Aisya hari tu. Tapi, tak pelah. Nanti bos masuk Aisya nak jumpa dia terus,” jelas Aisya sambil tangannya ralit menaip sesuatu di komputer.
“Apa? Berhenti? Aisya nak berhenti ke? Aisya dah dapat kerja lain ke?” Bertubu-tubi soalan yang dihamburkan oleh Nurul, terkejut dengan penjelasan Aisya.
Aisya hanya tersenyum dan memandang sekilas ke arah Nurul dengan anggukan di kepala.
“Aisya tak happy kerja kat sini ke? Aisya marahkan akak?” Sayup kedengaran suara Nurul bertanyakan kepada Aisya.
“Kak, bukan begitu. Aisya happy kerja kat sini, tapi bos….” Terhenti kata-kata Aisya apabila terdengar telefon bimbitnya berbunyi.
“Nanti kita sambung lagi ya kak. Aisya nak jawab call dulu,” sambung Aisya dan segera berlalu menuju ke pantry. Nurul hanya mengangguk sambil matanya tidak lepas memandang Aisya sehingga kelibat itu hilang di balik pintu pantry.
“Aisya tolong mak ya nak,” pinta Puan Suhaila.
“Insya-ALLAH mak, Aisya akan usahakannya. Mak janganlah risau, okey!” Jawab Aisya sambil jari-jemari memintal rambutnya yang ikal mayang.
“Mak hanya boleh harapkan Aisya sahaja,” ujar Puan Suhaila lemah.
“Yalah mak, mak jangan risau ya. Aisya tahulah macam mana nak buat. Hujung bulan ni Aisya balik ya mak, Assalamualaikum,” sambung Aisya dan mematikan talian. Dia menarik nafas lalu menghelakannya. Otaknya ligat berfikir akan permintaan Puan Suhaila. Kadang-kadang dia buntu dengan permintaan merepek Puan Suhaila. Semenjak abahnya meninggal, semua urusan digalas oleh Puan Suhaila. Sebagai anak, nak tak nak, dia terpaksa akur dengan permintaan Puan Suhaila. Dengan cara itu, dia dapat membahagiakan Puan Suhaila selagi Puan Suhaila masih bernyawa.
“Jauh termenung,” tegur seseorang dari arah belakang mematikan lamunan Aisya yang pendek. Pantas dia menoleh ke arah suara tersebut.
“Amirul! Amirul buat apa kat sini?” soal Aisya cuba menahan riak terkejut akibat di tegur oleh Amirul. Maklumlah dia mudah terkejut apabila di tegur atau di sergah orang. Amirul hanya tersenyum sambil matanya tidak berkelip memandang Aisya.
“Ada appointment dengan bos ke?” soal Aisya lagi mematikan renungan Amirul. Kurang selesa apabila ditenung begitu. Boleh gugur jantung dibuatnya.
“Ada lepas lunch,” jawab Amirul pendek.
Aisya mengangguk faham dan segera keluar menuju ke tempat duduknya dan kemudian itu dia berpaling semula.
“Oh, lupa pulak Aisya petang ni ada meeting. Sorry!” suara Aisya sambil menepuk dahinya.
“Jom lunch sama!” Ajak Amirul sambil menarik tangan Aisya. Langkah Aisya terhenti. Lama dia membisu. Matanya menjamah wajah Amirul yang masih menunggu jawapan darinya.
“Kan belum lunch hour lagi,” suara Aisya sambil menarik semula tangannya dari genggaman Amirul. Amirul tersenyum dan matanya melirik ke arah jam di dinding. Memberi isyarat kepada Aisya. Sekilas itu Aisya menoleh.
“La, dah pukul satu rupanya. Aisya ingatkan tadi baru pukul 12,” suara Aisya dengan nada yang manja. Menyedari akan kesilapannya itu. Amirul hanya tersenyum melihat gelagat Aisya. “Aisya ambil dompet kejap,” sambung Aisya dan segera menuju ke meja kerja. Amirul melangkah jalan menuju ke pintu utama dan setia menanti Aisya di situ.
“Awalnya you datang Amirul, meeting kita pukul 3 kan!” sapa Tengku Hariz tiba-tiba tatkala terlihat kelibat Amirul di balik pintu utama.
“A’ah, meeting kita pukul 3. I sengaja datang awal, nak ajak Aisya keluar lunch,” balas Amirul sambil matanya memandang ke arah Aisya yang sedang melangkah menuju ke arah mereka berdua. Tengku Hariz turut sama memandang ke arah Aisya.
Sorry lambat,” ujar Aisya sambil tersenyum. Amirul membalas senyuman Aisya manakala Tengku Hariz hanya memandang dengan seribu kerutan di dahi.
“Oh ya Tengku, if you don’t mind, let’s have lunch together!” ajak Amirul dan mematikan pandangan Tengku Hariz terhadap Aisya.
Terkejut Aisya mendengarnya. Namun dia cuba mengawal riak terkejutnya dari di kesan oleh Tengku Hariz. Aduh!! Kenapa jantung aku berdegup kencang ni? Keluh Aisya sendirian.
“Eh, tak mengganggu ke?” soal Tengku Hariz. Seakan menyedari riak di wajah Aisya.
“Apa pulak yang ganggunya. Maybe kami yang mengganggu Tengku kot,” bidas Amirul dan menoleh ke arah Aisya.
Aisya menyedari dirinya diperhatikan dari tadi sekadar mengangguk, mengiyakan kata-kata Amirul.


Aisya hanya membatukan diri sambil mendengar kedua-dua lelaki di hadapannya berbicarakan tentang projek sepanjang perjalanan mereka menuju ke restoran berhampiran. Menyesal pula dia membenarkan Amirul mengajak Tengku Hariz turut sama menyertai mereka berdua makan tengahari bersama. Jika diikutkan hati, mahu saja dia balik ke pejabat semula agar dia tidak berasa bosan mendengar perbualan mereka berdua.
“Aisya nak makan apa?” soal Tengku Hariz dan Amirul serentak setibanya mereka di restoran.
Tengku Hariz dan Amirul berbalas pandangan. Hampir ketawa Aisya mendengarnya tetapi dia cuba mengawal diri agar tidak ketawa. Prihatin betul diorang ni dengan aku, desis hatinya.
“Tak pe, Aisya boleh ambil sendiri,” jawab Aisya spontan dan segera menuju ke tempat lauk-pauk dihidangkan. Tengku Hariz dan Amirul hanya berbalas senyuman.
Aisya segera duduk setelah mengambil makanan. Matanya tidak lekang memandang ke arah Amirul dan Tengku Hariz yang masih berbaris mengambil makanan. Sambil menunggu, dia melihat keadaan sekeliling restoran yang sudah mulai dipenuhi dengan orang yang turut sama keluar makan tengahari di kala itu. Di restoran inilah dia berlanggar dengan Tengku Hariz ketika menunggu Nadia dua bulan yang lalu. Di restoran ini jugalah Tengku Hariz telah menolaknya jatuh ke lantai gara-gara dia memperlekeh-lekehkan harga baju kemeja yang dipakai oleh Tengku Hariz ketika itu. Disebabkan itu jugalah dia sentiasa di marahi dan di tengking oleh Tengku Hariz semenjak dia bekerja di Menara Holding, dan lebih menyakitkan hati apabila Tengku Hariz dengan aksi berani mati menciumnya pada malam itu.
“Kenapa tak makan lagi?” tegur Amirul sambil tangannya meletakkan sepinggan nasi berlauk di atas meja dan duduk bersebelahan Aisya.
“Aisya tunggu Amirul dan Tengku. Tak manis pulak kalau Aisya makan dulu,” balas Aisya sambil matanya memandang ke arah Tengku Hariz yang masih lagi mengambil makanan.
Amirul mengangguk faham. Seminit kemudian, Tengku Hariz menghampiri mereka berdua bersama sepinggan nasi berlauk dan segelas air. Tengku Hariz melabuhkan duduk mengadap Aisya.
“Aisya suka makan udangkan. Ni Amirul ambilkan untuk Aisya, makanlah,” suara Amirul lembut sambil meletakkan dua ekor udang galah ke dalam pinggan Aisya.
Aisya tersentak dengan layanan mesra Amirul. Dia mengangguk dan tersenyum. Tenungan tajam Tengku Hariz menikam ke tangkai hatinya. Seram beb!
“Aisya tak order air ke?” tanya Tengku Hariz apabila menyedari ketiadaan gelas air di hadapan gadis itu.
“Saya…” Aisya berjeda. Tidak tahu apa yang harus dijawabkan.
“Aisya ni tak suka minum air lepas makan. Yalah orang jaga badan la katakan. Katanya perut akan buncit kalau kita minum lepas makan. Kena tunggu setengah jam baru boleh minum,” jawab Amirul bagi pihak Aisya.
Amirul menyambung semula suapan nasinya. Aisya hanya tersenyum hambar sambil memandang sekilas ke arah Tengku Hariz. Tengku Hariz cuba memenangkan hatinya yang ketika itu sedang berperang dengan perasaan cemburu. Dia cuba berlagak biasa agar Aisya tidak menyedari akan perubahan di wajahnya sebentar tadi.
Aisya sudah pun menghabiskan makanannya. Belum sempat dia mencapai bekas basuhan, Tengku Hariz mendahului dan membantunya membasuh tangan. Lama mereka berdua berbalas pandangan. Seperti ada saluran elektrik yang mengalir ke dalam badan mereka berdua ketika itu. Amirul yang tidak menyenangi situasi itu berdehem kecil dan mengembalikan mereka berdua ke alam realiti.
“Thanks,” spontan ucapan itu keluar dari mulut Aisya.
Tengku Hariz sekadar mengangguk.
Sesudah itu, mereka bertiga berjalan balik menuju ke pejabat. Tengku Hariz dan Amirul masih lagi berbual mengenai projek mereka membuatkan Aisya berasa bosan dan berkhayal seketika. Ish diorang ni, tak habis-habis lagi ke nak berbincang, sat lagikan ada meeting, bukannya tak boleh berbincang. Bila aku nak cakap dengan dia ni. Menyusahkan betullah! Kutuk Aisya di dalam hati. Dalam pada masa dia mengutuk ketidakpuasaan di hati, dia terdengar seseorang memanggil namanya.
“Aisya!”
Terasa badannya direntap seseorang dari arah belakang. Dia tersungkur jatuh menyembah bumi. Terasa sakit di badan dan kepala akibat rentapan itu.
“Kenapa dengan awak ni? Mata awak tu letak kat mana, kat lutut ke? Hey, kalau awak nak mati pun, pergi ambil tali, gantung diri… senangkan, tak adalah menyusahkan orang lain!!” marah Tengku Hariz meninggi. Kemudian itu, dia berlalu pergi menuju ke Menara Holding.
Aisya terkedu seketika. Menggigil badannya ketika itu. Dia sedar, dia nyaris dilanggar kereta kerana asyik berkhayal ketika melintas. Air matanya dengan tiba-tiba membuak keluar dari kolam mata.
“Dah, jom kita naik,” pujuk Amirul lembut. Dia memegang bahu Aisya dan melangkah jalan menuju ke Menara Holding. Matanya sedikit pun tidak beralih dari memandang Aisya yang masih dalam keadaan terkejut dan ketakutan.


Tengku Hariz menghempaskan dirinya di atas kerusi. Hatinya benar-benar sakit dengan apa yang berlaku. Jika bukan kerana tindakannya menarik Aisya ke tepi tadi, sudah pasti Aisya akan dilanggar kereta. Tak guna punya pemandu, ingat jalan mak bapak dia ke? Bawak kereta macam orang mabuk. Sempat lagi Tengku Hariz mengutuk di dalam hati.
Tengku Hariz meraup wajahnya berkali-kali berserta keluhan yang pendek. Entah mengapa hatinya rasa bersalah dengan apa yang dilontarkan kepada Aisya sebentar tadi. Sepatutnya dia bertanyakan keadaan Aisya dan bukannya menengking serta memarahi Aisya di atas kesilapan yang tidak disengajakan. Jika bukan disebabkan perasaan marahnya juga, mahu saja dia memeluk Aisya serta mententeramkan perasaan Aisya yang masih lagi dalam ketakutan dan terkejut. Bunyi intercom mematikan lamunannya sebentar.
“Yes Nurul!” sahut Tengku Hariz.
“Encik Amirul nak berjumpa dengan Tengku,” beritahu Nurul.
“Baiklah, suruh dia masuk,” sambung Tengku Hariz sambil membuka dan membaca isi kandungan fail yang berada di hadapan matanya itu.
Pintu bilik diketuk dan dikuak sebaik sahaja arahan diberikan. Amirul melangkah masuk ke dalam bilik dan duduk di hadapan Tengku Hariz setelah diberi arahan berbuat begitu. Lama Amirul mendiamkan diri. Tengku Hariz yang menyedari akan kebisuan Amirul, memberhentikan pembacaannya dan memandang tepat ke wajah Amirul.
“Boleh kita teruskan,” bicara Tengku Hariz memulakan perbincangan.
“Tengku, I datang bukan nak bincangkan pasal projek kita tu, I nak bincangkan pasal Aisya. Kenapa you perlu menengking dan memarahinya tadi? You sebagai seorang yang berpelajaran sepatutnya berfikir secara rasional dan bukannya ikutkan perasaan. Bukan Aisya sengaja untuk dilanggar mahupun terlanggar. Semua itu di luar kawalannya. Jika awak tak ikhlas nak menolongnya, sepatutnya awak biarkan saja dia dilanggar kereta dari dia dimarahi dan ditengking oleh you begitu,” kritik Amirul dengan nada lembut tetapi berbisa.
Tengku Hariz tersentak dengan kritikan Amirul. Dia cuba beriak tenang walaupun dalam masa yang sama hatinya begitu sakit dengan kritikan yang dikeluarkan oleh Amirul itu. Terasa nafas berombak laju namun dia bijak mengawalnya. Jika tidak dikawal, mahu saja dilayang penumbuk ke muka Amirul ketika itu.
“Amirul, kalau you nak bincangkan soal ini, I rasa ada baiknya you balik. I tak suka hal peribadi di campur adukkan dalam urusan pekerjaan,” bidas Tengku Hariz tegang.
Amirul tersenyum sinis dengan kata-kata Tengku Hariz.
“Baiklah Tengku Hariz, I admit yang I salah sebab mempersoalkannya ketika waktu bekerja. Tetapi, setahu I, Aisya bukan lagi pekerja you. Dia dah hantar notis berhenti dengan you sebulan yang lalu bukan? I rasa you dah tahu akan perkara itu, ataupun you buat-buat tak tahu, ataupun you sengaja tak nak berhentikan dia agar you boleh memarahi dan menengking dia sesuka hati you. So, I minta izin you untuk bawa dia ke klinik dan hari ini hari terakhir dia bekerja dengan you. Assalamualaikum,” sindir Amirul pedas. Kemudian segera dia beredar dari situ. Jika berlama di situ, entah apa yang bakal dibuatnya terhadap Tengku Hariz. Mungkin penumbuknya yang akan hinggap di muka Tengku Hariz.
Tengku Hariz menggenggam erat tangannya. Bertambah sakit hatinya mendengar kata-kata yang dihamburkan oleh Amirul itu. Fail di hadapan di tolak ketepi. Rasa membara di dalam hati tidak mungkin padam dalam sekelip mata. Terasa Amirul memperlekeh-lekehkan ego lelakinya ketika itu.
“Aisya okey, Amirul tak perlulah risau. Eh, bukan ke Amirul ada meeting dengan Tengku?” ujar Aisya lembut. Cuba mengelak dari sikap prihatin Amirul itu. Dia tidak mahu Amirul mencampuri masalahnya. Biarlah dia yang menyelesaikan masalahnya sendiri.
Amirul sudah pun duduk berhadapan Aisya. Sesekali rambutnya disisir ke tepi.
“Aisya, Amirul tak sukalah cara Tengku Hariz melayan Aisya begitu tadi. Dia tak ada hak untuk marah ataupun menengking Aisya di khalayak ramai. Lagipun bukannya Aisya sengaja nak dilanggar kereta,” rungut Amirul keras. Matanya menjamah wajah Aisya. Persoalan Aisya tadi ditolak ketepi.
“Amirul, Aisya dah lali dengan semua tu. Please… Aisya minta Amirul faham. Soal perletakan jawatan Aisya tu, biar Aisya sendiri yang uruskannya,” protes Aisya lembut. Bingkas dia bangun dan menapak ke bilik Tengku Hariz.
“Kiranya Aisya tak suka kalau Amirul campuri urusan Aisya, begitu?” keluh Amirul perlahan tetapi masih dapat didengari Aisya. Ternyata, Amirul benar-benar terasa akan kata-kata Aisya sebentar tadi.
Aisya menggelengkan kepala. Dia menghampiri Amirul yang masih lagi duduk membatu di dalam bilik pantry sedari tadi.
Okey, Aisya minta maaf kalau kata-kata Aisya tadi sedikit sebanyak mengguriskan hati Amirul. Tidak terniat langsung untuk memaksudkan kata-kata Aisya tadi. Cuma Aisya minta, biar Aisya selesaikannya sendiri. Aisya minta diri dulu. Nanti apa-apa hal, Aisya call tau SMS Amirul, okey!” Suara Aisya lembut. Cuba memujuk Amirul yang masih lagi tunduk menahan sebak di dada. Tanpa ada niat untuk menoleh, Aisya segera menapak ke bilik Tengku Hariz. Dia mengetuk pintu bilik Tengku Hariz dengan perasaan yang sukar untuk digambarkan waktu itu.
“Ha, ada apa?” sergah Tengku Hariz. Pandangannya tajam ke muka Aisya. Kata-kata Amirul sebentar tadi bermain-main di fikirannya kala ini.
“Saya… saya…” Aisya terketar-ketar. Dia mengusap dadanya yang sedang berdegup kencang menahan ketakutan. Matanya berpinar-pinar. Peluh sudah lama membasahi dahinya.
“Saya apa? Hey, kau jangan nak buang masa akulah. Aku banyak kerja nak dibuatkan. Kalau kau tak ada apa-apa nak cakap, kau keluar dari bilik aku sekarang!!” tengking Tengku Hariz seperti orang dirasuk hantu sahaja.
Bertambah terkejut Aisya dibuatnya. Terkedu Aisya seketika. Kasar sungguh bahasa yang dilontarkan oleh Tengku Hariz. Ketika ini mahu saja dia menampar lelaki itu di atas kebiadapan dan kelancangan mulutnya. Tapi, siapalah dia untuk berbuat begitu. Di syarikat itulah tempat dia mencari rezeki yang halal. Apa yang menghairankan ialah sikap Tengku Hariz yang sentiasa berubah-ubah. Sekejap baik ngan aku, sekejap marah ngan aku. Apa masalah dia ni sebenarnya? Fikir Aisya sendirian. Sempat lagi dia berfikir dalam saat-saat genting sebegini.
“Apa lagi yang kau menungkan tu. Kau kata nak berhenti kan. Okey, aku luluskan kau berhenti. So, aku tak nak tengok muka kau dan aku tak nak kau jejakkan kaki kau ke pejabat aku lagi, kau faham!” tempelak Tengku Hariz tanpa ada rasa belas kasihan ke atas Aisya yang masih lagi membatu di hadapannya.
Aisya menarik nafasnya dalam-dalam. Ketika ini, dia tidak boleh melatah kerana jika dia melatah, akan mengeruhkan lagi keadaan. Ya ALLAH, KAU kuatkanlah imanku untuk menghadapi situasi sekarang ini, doa Aisya di dalam hati.
Tengku Hariz mendengus kasar. Kata-kata Amirul sebentar tadi yang terlalu membela Aisya sudah pun di hamburkan kepada Aisya. Dia berasa puas. Belum pernah ada sesiapa pun yang mengkritik cara layanan dia terhadap pekerja bawahan. Belum pernah ada sesiapa pun yang mencabar keegoannya disebabkan seorang perempuan yang entah mana asal usulnya. Hish! Bertambah geram aku dibuatnya dengan Amirul tu. Dia fikir dia tu bagus sangat ke? Marahnya di dalam hati. Namun, tanpa disedarinya Aisya masih lagi berdiri kaku tanpa berkelip mata memandang ke arahnya.
“Saya tak tahu apa yang Amirul katakan pada Tengku Hariz. Jika ada kata-katanya menyinggung perasaan Tengku Hariz, saya minta maaf bagi pihak Amirul,” lontar Aisya lembut dan segera melangkah keluar dari bilik yang sememangnya menyesakkan nafas selama ini.
Bulat mata Tengku Hariz mendengarnya. Aisya mempertahankan Amirul? Sayang betul kau pada dia ya Aisya sehinggakan kau sanggup mohon maaf bagi pihak dia, marah Tengku Hariz sambil mendengus geram. Belum sempat Aisya melangkah setapak, matanya terasa kabur dan dia pengsan di situ. Tengku Hariz yang terkejut melihatnya, segera mendapatkan Aisya yang sudah terbaring kaku di lantai.
“Ya ALLAH, Aisya… bangun Aisya… bangun… maafkan saya atas kata-kata saya tadi,” panggil Tengku Hariz cemas sambil memangku kepala Aisya. Dia menjerit memanggil Nurul. Berharap Nurul segera masuk ke dalam biliknya. Seminit kemudian, terjengul kepala Nurul di sebalik pintu biliknya.
“Ya ALLAH, kenapa ni Tengku? Aisya… Aisya…” panggil Nurul sambil menepuk perlahan pipi Aisya. Namun tiada tindak balas dari Aisya.
Nurul mencapai botol mineral yang terletak di atas meja Tengku Hariz. Dia menuangkan sedikit air ke tapak tangan dan merenjis perlahan ke muka Aisya. Berharap Aisya sedar dari pengsannya.
“Aisya… bangun sayang. Maafkan saya… saya yang bersalah. Please, jangan tinggalkan saya,” rayu Tengku Hariz tanpa menghiraukan Nurul yang masih setia berada di situ.
Nurul mengerutkan dahi. Seakan tidak mempercayai dengan apa yang diperkatakan oleh Tengku Hariz itu. Sama ada telinganya yang bermasalah ataupun dia memang tidak salah dengar rayuan Tengku Hariz kepada Aisya.
Aisya yang terasa pipinya ditepuk lembut oleh seseorang, terus membuka matanya. Berderau darahnya tatkala melihat wajah Tengku Hariz hampir dengan wajahnya. Malah Tengku Hariz sedang memangkunya sambil mengusap lembut pipinya. Pantas dia bangun dan menepis badan Tengku Hariz. Tersentak Tengku Hariz dibuatnya. Namun dia masih mampu untuk mengawal perasaannya.
“Awak buat apa dengan saya?” tanya Aisya terketar-ketar. Dia memeluk kedua-dua belah kaki dan disembamkan muka ke dalam lutut. Dia menggigil ketakutan. Terasa hendak gugur jantungnya apabila pipinya di usap lembut oleh Tengku Hariz sebentar tadi. Ingatannya kembali semula kepada peristiwa pahit yang telah meragut kehormatannya tanpa rela.
Tengku Hariz pelik melihat keadaan Aisya yang menggigil ketakutan. Dia dapat merasakan kepanasan badan Aisya ketika itu. Melihatkan dari peluh yang tidak henti-henti keluar membasahi dahi Aisya sedari tadi. Sekilas dia menoleh dan memberi isyarat kepada Nurul. Seminit kemudian, kelibat Nurul hilang di balik pintu setelah memahami maksud isyaratnya tadi.
“Maafkan saya, Aisya. Saya tak berniat nak….” Belum sempat Tengku Hariz menyudahkan kata-kata, Aisya sudah pun memotong.
“Nak ambil kesempatan pada saya, begitu?” tuduh Aisya seraya mengangkat muka. Cuba menentang pandangan Tengku Hariz.
Tengku Hariz menggelengkan kepala. Matanya turut sama menentang pandangan Aisya. Dia cuba menghampiri Aisya tetapi Aisya bertindak menjauhinya. Seperti Aisya tidak menerima kehadirannya di situ.
Okey… okey… saya tahu saya salah sebab saya menengking awak tadi. Saya minta maaf atas kesilapan saya tadi,” pinta Tengku Hariz sambil kedua-dua belah tangan diangkat seperti orang yang menyerah kalah sahaja. Betul ke menyerah kalah? Tak semudah itu Tengku Hariz akan menyerah kalah jika melibatkan ego lelakinya.
Aisya mencebik bibir sahaja.
“Sudahlah Tengku Hariz. Bernanah telinga saya ni mendengarnya. Tak perlulah Tengku Hariz nak berpura-pura baik dengan saya. Bukan ke saya yang ditengking, dimaki serta diherdik oleh Tengku Hariz sebentar tadi? Bukan ke saya ni yang Tengku Hariz benci dan dilarang menjejakkan kaki ke pejabat ni? Ni… ni… sayalah orang tu,” luah Aisya sambil jari telunjuk menghala ke mukanya sendiri. Entah bagaimana dia punya kekuatan untuk melawan kata-kata Tengku Hariz, dia sendiri tidak tahu.
Tengku Hariz memandang tepat ke muka Aisya. Kata-kata Aisya menusuk masuk ke tangkai hati. Terasa nafasnya turun naik, mungkin menahan kemarahan.
“Saya sabar dengan perangai Tengku Hariz sebab di sini tempat saya mencari rezeki. Saya pujuk hati saya yang Tengku Hariz bukanlah seorang bos yang kejam. Tetapi, rupa-rupanya saya silap, silap menilai awak, Tengku Hariz.” sambung Aisya.
Tanpa berlengah lagi, Aisya segera bangun dan beredar dari situ dengan hati yang puas. Terukir juga senyuman puas di bibirnya. Ya, dia puas kerana akhirnya dia dapat meluahkan segala yang terbuku di dalam hati selama dua bulan bekerja di situ. Dia puas kerana dia tidak perlu lagi mengadap Tengku Hariz a.k.a ‘mamat perasan bagus’. Sama gelaran yang diberikan oleh Aisya kepada Tengku Azizul ketika di universiti dahulu.


           “Apa yang kau tenggokkan tu Nadia,” sergah Aisya dari arah belakang mengejutkan Nadia yang lagaknya seperti penyiasat persendirian sedari tadi.
“Kau ni Aisya, terkejut aku dibuatnya, free-free aje aku masuk ICU karang. Aku belum kawin lagi tau,” gerutu Nadia dan menjeling geram ke arah Aisya yang baru melabuhkan punggung di sofa. Aisya ketawa kecil sambil mencapai majalah Remaja di atas meja.
“Dah tu, dari tadi aku tengok kau terhendap-hendap macam main police and thieves pulak ni kenapa?” balas Aisya sekadar berbasa-basi.
Nadia mencebikkan bibir sahaja. Namun tumpuannya masih tertancap ke arah sebuah kereta BMW berwarna Metalik di luar rumah. Dia menyedari akan kehadiran kereta itu ketika dia keluar membuang sampah selepas waktu Maghrib tadi.
“Eh Aisya, kau ada hutang sesiapa tak? Cheti ke? Ah Long ke? PTPTN ke? Bank ke?” soal Nadia bertubi-tubi. Resah dan gusar hatinya tatkala itu.
Aisya mengerutkan dahi. Namun tumpuannya pada majalah Remaja masih tidak terganggu.
“Erm…. kalau ngan pakwe kerja kat bank tu adalah, sebab hari tu dompet aku tertinggal kat office, so aku phaw la duit dia,” jawab Aisya selamba.
“Kau ni, aku tanya betul-betul, kau boleh buat lawak pulak,” marah Nadia.
Aisya tersengih dan tertawa kecil.
“Dah kau tanya, aku jawab la. Yang kau sibuk-sibuk tanya berbagai-bagai ni kenapa?” soal Aisya pula sambil meletakkan majalah Remaja di atas meja. Dia menghampiri Nadia yang masih terhendap-hendap di balik langsir tingkap.
“Tu ha, aku tengok dari Maghrib lagi kereta tu tersadai kat depan rumah kita ni. Eh Aisya, kau ada upah security guard ke suruh jaga rumah kita ni?” tanya Nadia dengan serius.
Aisya menggaru kepalanya yang tidak gatal. Makin pelik dengan perangai Nadia.
Security guard? Kau ni pelik la Nadia. Rumah kita ni bukannya ada apa-apa pun yang nak dirompakkan. Dahlah kau, mengarut betul la!” marah Aisya dan kembali semula ke tempat duduknya. Dia mencapai remote televisyen dan mencari-cari channel yang sesuai untuk ditonton.
“Apa pulak, kita berdua kan ada dalam rumah ni. Kang tak pasal-pasal muka kita berdua keluar dalam paper esok. Tajuk utama ‘Dua orang perempuan mati dibunuh’. Ee… selisih malaikat 44 la Aisya,” bidas Nadia pantas.
Aisya menjegilkan mata dan tergeleng kecil. Tidak bersetuju dengan kata-kata Nadia itu.
“Yalah… yalah… aku tak merepek dah,” ujar Nadia sambil mencebikkan bibir kepada Aisya.
“Eh… eh… Aisya, marilah sini. Cuba kau tengok tu, ada orang keluar la dari kereta tu, meh la sini Aisya,” panggil Nadia dengan nada yang cemas sambil jarinya menunjuk ke luar tingkap.
Aisya yang sedari tadi menonton televisyen, segera bangun menuju ke tingkap untuk melihat. Dahinya berkerut seribu apabila terlihat kelibat pemilik kereta itu.
“Hati aku tak sedaplah Aisya, jom kita report polis,” cadang Nadia seraya mengeluarkan telefon bimbit dari poket baju tidurnya.
“Tak perlu!” Halang Aisya.
Nadia terkejut seraya menoleh ke arah Aisya.
“Kenapa?” soal Nadia kehairanan.
“Aku rasa aku tau pemilik kereta tu. Kau tunggu sini, aku keluar kejap,” jawab Aisya dan segera membuka pintu rumah.
“Kau biar betul Aisya,” ujar Nadia. Risau akan keselamatan Aisya.
Aisya mengangguk. Cuba memberi keyakinan kepada Nadia. Seminit kemudian, dia melangkah jalan menuju ke pintu pagar rumah. Dia yakin bahawa Tengku Hariz adalah pemilik kereta BMW berwarna Metalik itu jika dilihatkan dari nombor plat kereta tersebut. Hatinya berdegup kencang tatkala melihat penampilan Tengku Hariz pada malam itu. Tampak kemas dan segak walaupun hanya mengenakan T-Shirt lengan pendek berwarna putih dan berseluar jean biru tua. Tidak lupa juga dengan cap berwarna hitam di kepalanya.
“Aisya!” panggil Tengku Hariz bernada gembira apabila terlihat Aisya menghampiri pintu pagar.
Aisya melemparkan sebuah senyuman kepada Tengku Hariz sambil membuka mangga pintu pagarnya. Tengku Hariz setia menanti.
“Apa mimpi Tengku Hariz datang ke rumah saya malam-malam buta ni?” tanya Aisya sambil berpeluk tubuh memandang Tengku Hariz.
Tengku Hariz menghampiri Aisya yang sedang berdiri di sebelah pintu pagar.
“Boleh kita keluar sekejap?” ajak Tengku Hariz. Aisya mengerutkan dahinya. “Tak manis kita berbual kat sini, nanti apa pulak kata jiran-jiran Aisya,” sambung Tengku Hariz. Matanya menjamah muka bersih Aisya. Baru beberapa jam Aisya meninggalkan pejabatnya, terasa rindu pada wajah itu.
Okey, tunggu kejap. Saya tukar baju,” balas Aisya dan segera masuk ke dalam rumah.
Tengku Hariz menarik nafas lega. Tidak menyangka yang Aisya akan bersetuju berjumpa dengannya semudah itu. Sepanjang perjalanan ke rumah Aisya tadi, berkali-kali dia berdoa supaya Aisya dilembutkan hati untuk berjumpa dengannya. Terima kasih Ya ALLAH! Syukurnya di dalam hati.


“Terima kasih,” ucap Aisya selepas pelayan meletakkan fresh orange di hadapannya. Tengku Hariz mengangguk sahaja. “So?” sambung Aisya sambil meneguk fresh orange.
Tengku Hariz menghela afasnya. Matanya sedari tadi tidak berkalih dari memandang wajah redup dan tenang Aisya. Hatinya benar-benar terpikat dengan pemilik wajah itu. Penampilan Aisya yang berseluar jean putih berserta T-Shirt lengan panjang berwarna merah hati di samping rambutnya di ikat satu menyerlahkan lagi kejelitaannya malam itu.
Aisya menyedari akan tenungan Tengku Hariz. Dia cuba mengawal dirinya agar tidak berasa gelisah dan gelabah. Yalah, mamat handsome tengah tengok aku, kenalah control ayukan, bisik hatinya.
“Saya nak awak bekerja semula di syarikat saya. Saya memerlukan awak Aisya,” bicara Tengku Hariz lembut. Kepalanya ditundukkan sedikit. Malu untuk bertentang mata dengan Aisya.
Aisya tersenyum sinis. Dia dapat mengagak niat sebenar Tengku Hariz tatkala terlihat kereta milik lelaki itu di hadapan rumahnya petang tadi. Sedari petang tadi juga, hatinya resah dan gelisah tatkala dia terpandangkan kereta Tengku Hariz malah dia terpaksa berpura-pura tidak tahu di hadapan Nadia.
“Tengku buat lawak apa ni? Tak sampai 24 jam saya berhenti, Tengku dah ajak saya bekerja semula di syarikat Tengku. Bukan ke Tengku benci tengok muka saya? Bukan ke Tengku tidak benarkan saya jejakkan kaki saya ke syarikat Tengku? Apa Tengku dah lupa semua tu ke?” sindir Aisya sinis. Seperti memulangkan paku buah keras kepada Tengku Hariz.
Tengku Hariz masih menunduk. Akui akan kesilapannya petang tadi. Demi memujuk Aisya kembali semula bekerja di syarikatnya, dia sanggup menebalkan muka sekali gus menjatuhkan egonya di hadapan Aisya. Sungguh dia merasa terseksa berbuat begitu.
Please Aisya. I really need you. Kalau Aisya nak marah saya atau apa sajalah, saya terima dengan hati yang terbuka. Tapi, tolong bekerja semula dengan saya,” rayu Tengku Hariz seikhlas hati. Mengharapkan Aisya menerima rayuannya itu.
Aisya memandang tepat ke dalam anak mata Tengku Hariz. Cuba mencari kejujuran dan keikhlasan dari sinar mata itu. Seminit kemudian, dia melarikan pandangannya dan mengeluh kecil.
“Kenapa saya? Kan ramai lagi calon lain diluar sana yang boleh diambil bekerja di syarikat Tengku,” bidas Aisya dengan wajah yang tenang.
Tengku Hariz menarik nafasnya dalam-dalam. Dia perlu bersabar dalam usaha untuk memujuk Aisya kembali semula ke syarikatnya. Wajahnya diraup berkali-kali.
“Sebab saya betul-betul memerlukan awak dalam syarikat saya.” Sedikit gugup dalam dia melontarkan kata-katanya itu.
Aisya melontar pandangan ke luar restoran. Kepalanya sarat dengan perbagai soalan. Soalan mengenai Tengku Hariz. Adakah Tengku Hariz benar-benar ikhlas menginginkannya kembali semula bekerja di syarikat atau Tengku Hariz punya agenda sendiri berkaitan dengannya? Aduhai hati, berilah jawapan bagi setiap persoalanku sekarang ini. Kenapa aku begitu curiga dengannya? Rintih Aisya.
“Macam nilah Tengku, bagi saya masa untuk memikirkannya. Jika ada rezeki saya di syarikat Tengku, saya akan kembali bekerja semula di situ. Dan jika bukan rezeki saya, saya rasa ada baiknya Tengku mencari calon lain untuk menggantikan tempat saya,” putus Aisya sambil matanya tidak berkelip dari memandang Tengku Hariz. Mungkin dengan penjelasannya tadi, sedikit sebanyak dapat melegakan hati Tengku Hariz di waktu ini.
Tengku Hariz mengangguk faham. Namun jauh di sudut hati, dia benar-benar berharap agar Aisya kembali semula bekerja di syarikatnya.
Thanks Aisya. I really appreciate,” ucap Tengku Hariz dan menghabiskan air minumannya yang sedari tadi belum di usik.
Aisya hanya mengangguk. Tengku Hariz di depan di tatap lama. Kelembutan Tengku Hariz berbicara mewujudkan debaran di hati. Seakan ada satu perasaan halus menerpa ke dalam tangkai hati. Hatinya bagaikan berbicara dan berlagu gembira. Adakah aku sudah jatuh cinta dengannya? Adakah dia pemegang kunci hatiku yang selama ini aku cari? Adakah dia, Tengku Hariz Iskandar!! Bisik Aisya sendirian.


“Riz, dari mana?” tegur Tengku Azman dengan tiba-tiba mematikan langkah Tengku Hariz dari meniti anak tangga menuju ke tingkat atas.
Selepas berjumpa dengan Aisya, dia segera memandu balik ke rumah. Niatnya untuk bertemu Sharifah Aleeya, dibatalkan sahaja. Sudah terlalu lama dia tidak berjumpa dengan Sharifah Aleeya. Walaupun Sharifah Aleeya banyak menyakitkan hatinya, namun perasaan rindu dan sayang masih lagi tersimpan buat gadis itu. Sayang sebagai kenalan rapat.
“Jumpa kawan kejap pa,” jawab Tengku Hariz berbasa-basi. Dia menghampiri Tengku Azman yang sedang duduk membaca suratkhabar sebagai tanda hormat.
“Papa dengar Riz dapat projek Uncle Razlan, betul ke?” soal Tengku Azman lagi dan meletakkan suratkhabar yang dibacanya tadi di atas meja. Dia menghampiri Tengku Hariz yang masih berdiri tidak jauh darinya. Diamati wajah anak terunanya itu.
Tengku Hariz cuma mengangguk tanpa bersuara.
Congrats!! Papa bangga dengan Riz,” sambung Tengku Razlan sambil menepuk lembut bahu Tengku Hariz. Senyuman terbias di wajah Tengku Azman.
Tengku Hariz hanya tersenyum. Tiada mood untuk berbual dengan Tengku Azman. Hatinya masih lagi terluka dengan kata-kata Tengku Azman dua minggu yang lepas.
Okeylah pa, Riz naik dulu, mengantuk,” ujar Tengku Hariz. Seminit kemudian, dia melangkah jalan meniti anak tangga menuju ke bilik tanpa menunggu balasan dari Tengku Azman.
Tengku Azman sekadar mengangguk sambil melepaskan keluhan kecil. Dia menyedari akan kedinginan Tengku Hariz terhadapnya. Tengku Hariz masih lagi memarahinya di atas keputusan yang telah dibuat dua minggu yang lepas. Keputusan dengan menjodohkan Tengku Hariz dengan Sharifah Aleeya. Pertengkaran mereka berdua anak beranak terimbau di kotak ingatannya.
“Riz tak setuju. Papa sepatutnya bincang dengan Riz dulu sebelum membuat keputusan!” Marah sungguh Tengku Hariz melontarkannya.
Tengku Azman menjegilkan mata. Anaknya itu dipandang dengan perasaan marah dan geram.
“Aku papa kau. Memang aku ada hak untuk membuat keputusan dalam hidup kau termasuklah soal jodoh kau. Kau jangan nak melawan aku Tengku Hariz Iskandar!!” tengking Tengku Azman dengan lantangnya. Puan Sharifah Rohana yang berasa tidak sedap hati bingkas bangun dan menghampiri Tengku Azman. Dia mengusap lembut tangan suaminya supaya bersabar.
“Dengan siapa Riz nak kahwin, itu hak Riz. Jangan jadikan Riz mangsa demi kepentingan papa semata-mata,” protes Tengku Hariz. Nafasnya sudah turun naik menahan amarah yang amat sangat. Papanya ditenung tajam. Seperti singa menunggu masa untuk membaham mangsanya.
“Sudahlah bang, Riz… jangan digaduhkan perkara yang kecil. Bawa mengucap bang, Riz,” pujuk Puan Sharifah Rohana. Dia memegang bahu Tengku Hariz pula dan cuba untuk mententeramkan Tengku Hariz dari bertindak lebih jauh lagi.
“Keputusan papa muktamad Tengku Hariz. Kalau kamu masih berdegil, papa akan tarik semua kemewahan yang kamu ada dalam sekelip mata sahaja. Kamu jangan lupa, tanpa papa kamu tidak boleh berjaya seperti sekarang ni. Semua tu datang dari papa. Ingat tu Tengku Hariz!” ugut Tengku Azman dan beredar dari situ.
Tengku Hariz terduduk mendengar ugutan dari papanya. Puan Sharifah Rohana hanya menggeleng. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menasihati suami mahupun anaknya. Dia hanya mampu berdoa agar anaknya memperolehi kebahagiaan yang dicari selama ini.
Tengku Hariz melepaskan keluhan yang kecil. Seusai Sholat Isyak tadi, dia hanya duduk termenung di balkoni sambil melihat ke arah langit. Alangkah bagusnya jika kesemua masalah boleh diselesaikan dengan hanya memandang ke langit. Namun semua itu bukan menjadi masalah baginya sekarang ini. Masalahnya tertumpu kepada Aisya. Bagaimana untuk dia memujuk dan menyakinkan Aisya agar bekerja semula di syarikatnya? Bagaimana pula hendak berdepan dengan Aisya jika Aisya bersetuju bekerja semula dengannya? Mati akal dibuatnya jika dia memikirkan kesemua persoalan itu. Ya ALLAH, bantulah aku dalam menghadapinya, rintih Tengku Hariz sendirian.


“Apa yang dia nak dari kau Aisya?” soal Nadia setibanya Aisya di rumah.
“Dia rindu kat aku, tu yang dia datang,” jawab Aisya bersahaja.
Nadia mengerutkan dahinya.
“Dah… dah… aku nak tidur. Tak payah la nak buat muka seposen depan aku. Aku takkan bagitau kau kenapa dia datang sini,” sambung Aisya sambil menolak Nadia supaya keluar dari biliknya. Nadia mengeraskan badannya, tetapi dengan kudrat yang Aisya ada, dia berjaya dikeluarkan dari bilik itu.
Sedari tadi, perasaan ingin tahu masih meluap-luap di dalam hati Nadia. Dia yakin tujuan Tengku Hariz datang menemui Aisya adalah untuk memujuk Aisya bekerja semula di Menara Holding. Jangan jadi bodohlah Aisya. Kau sendiri taukan bagaimana dia melayan kau selama kau bekerja di syarikatnya. Jangan seksa diri kau lagi Aisya. Tapi Aisya, aku dapat rasakan kau sebenarnya gembira dan bahagia bekerja di syarikat tu. Dengan melihat wajah kau pun aku sudah mengagak yang kau gembira bertemu dengan Tengku Hariz. Aisya, adakah Tengku Hariz pemilik kunci hati kau yang sebenarnya, yang kau nanti-nantikan selama ini? Monolog Nadia sendirian.


9 ulasan:

  1. waahh. best2.
    ala kak... upload je la kat sini.. kat p2u lambat sangat.
    huhuhu.

    BalasPadam
  2. huhuhu.. nadiah, mmg lmbt entry kat p2u tue..akak ingat nk entrykan smpe bab 20..then akak nk try send kat Siti Rosmizah Publication utk dinilai.. ;)

    BalasPadam
  3. adei kena tunggu lagi. huhuhu igt dah betul2 berenti. wah bestnya amirul tu, baikkkkkkkk sgt. aisya dr layn TH baik amik amirul tu. klo tak nak, pas kat sini hehehe.
    next pls...hope la dia kerja gan nadia plk, pastu TA balik, terserempak gan dia,kekeke. masa tu 2 beradik tu berebut nak amik aisya.(dok berangan mcm ni). pastu lastly 3 3 kena tinggal sebab aisya dpt lelaki lagi baik. hahaha

    BalasPadam
  4. huhuhu Yong..berfikiran pnjg npk..next bab dh di upload..thanks coz mengikuti HM.. amat3 hargainya.. semua soalan Yong di atas akan terjawab dlm bab3 seterusnya..sabar menanti ya.. :D

    BalasPadam
  5. ooo ye, ada typo rasanya police n thieves.
    congrats kena ada s kat blkg.
    .wink.

    BalasPadam
  6. oh..ok..thanks Yong..akn dibetulkan.. ;)

    BalasPadam
  7. thanks shuhada.. enjoy reading!! ;)

    BalasPadam