Rabu, 7 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 13

BAB 13

Tengku Hariz meraup mukanya berkali-kali. Nurul dihadapan dipandang geram. Perasaan marahnya mulai mengusai hati. Hanya tunggu masa untuk meletup sahaja. Kesalahan yang dilakukan oleh Nurul mencabar pengurusannya selama ini. Walaupun kesalahan itu cuma kecil, tetapi ia turut menjejaskan perjalanan projek yang sedang dijalankan oleh syarikatnya di Sabak Bernam. Dia perlu memikirkan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya itu.
Get out Nurul!” arah Tengku Hariz sedikit meninggi.
Nurul akur dengan arahan itu dan segera beredar dari bilik Tengku Hariz. Air mata yang mengalir sedari tadi disekanya perlahan-lahan. Dia mengakui akan kesalahan yang telah dilakukannya itu. Disebabkan dia, syarikat terpaksa menanggung kerugian yang hampir mencecah ribuan ringgit. Bagaimana untuk dia membayar kesemua kerugian itu sedangkan gajinya hanya cukup-cukup makan baginya? Dia melepaskan keluhan yang panjang. Sakit kepala memikirkan masalah itu.
Assalamualaikum Kak Nurul,” tegur seseorang mematikan lamunannya.
Nurul mengangkat muka. Terukir sebaris senyuman tatkala melihat Aisya yang sedang berdiri di hadapannya itu. Tanpa menunggu, tubuh langsing Aisya dipeluk erat. Syukurnya di dalam hati, hanya ALLAH sahaja yang tahu. Dia yakin Aisya dapat membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi olehnya dan juga syarikat.
“Eh akak ni, macam setahun tak jumpa saya pulak lagaknya. Rindu kat saya ya,” sakat Aisya sambil merenggangkan pelukan Nurul.
Nurul hanya tersenyum. Wajah Aisya ditatap lama. Dia mengelamun seketika tadi.
“Kak, bos ada tak?” soal Aisya sambil menggoncang badan Nurul yang sedang leka mengelamun.
“Maafkan akak Aisya, berangan pulak akak tadi. Aisya nak jumpa bos ya. Dia ada kat pejabatnya tapi….” terhenti kata-kata Nurul. Wajahnya yang tadi gembira berubah mendung.
“Tapi apa kak?” ulang Aisya kehairanan.
Nurul hanya tertunduk membisu.
“Tak pelah kak, Aisya jumpa bos kejap,” sambung Aisya apabila melihat Nurul sukar untuk menjawab pertanyaannya tadi.
Aisya melangkah masuk dengan hati yang tenang sebaik sahaja Tengku Hariz mengarahkannya masuk. Dia berharap Tengku Hariz dapat menerimanya semula bekerja di Menara Holding. Semalaman dia memikirkan akan tawaran Tengku Hariz itu. Semalaman juga la dia berkira-kira samada mengikut kata hati ataupun akal fikiran. Jika diikutkan kata hati, dia terima tawaran Tengku Hariz dan jika diikutkan akal fikiran, dia akan menolak tawaran itu.
“Awak nak apa lagi Nurul. Kan saya dah kata tadi yang saya tak nak jumpa atau terima call dari sesiapa. Tak faham-faham lagi ke?” Suara Tengku Hariz bernada tegas. Dia yang sedang membuang pandang ke luar jendela sesekali menarik nafas dan menghembuskannya semula. Sesak nafasnya memikirkan masalah yang sedang dihadapi oleh syarikatnya itu.
Aisya menarik nafasnya dalam sebelum memulakan bicara. Dari nada suara Tengku Hariz, dia dapat merasakan yang Tengku Hariz sedang menghadapi masalah yang besar.
“Baiklah Tengku, saya minta diri dulu. Rasanya Tengku tidak memerlukan saya di syarikat ni,” tutur Aisya bernada rajuk.
Tengku Hariz menoleh. Bulat matanya memandang Aisya yang sedang berdiri di hadapannya itu. Dia menggosok matanya beberapa kali, seakan tidak mempercayai dengan apa yang dilihatnya ketika ini.
“Saya minta diri dulu Tengku,” sambung Aisya dan mulai meninggalkan ruangan itu.
Tengku Hariz pantas memintas langkah Aisya. Tubuh Aisya ditarik dan dipeluk erat gadis yang sudah mendapat tempat dihatinya itu. Aisya tergamam dengan perlakuan Tengku Hariz. Dengan pantas dia menolak tubuh Tengku Hariz sehingga membuatkan Tengku Hariz terdorong ke belakang sedikit.
“Maafkan saya Aisya, saya tak sengaja,” ucap Tengku Hariz sambil menguak rambutnya ke belakang. Terasa malu dengan tindakannya tadi.
Aisya cuma menggeleng. Pipinya dirasakan panas ketika itu, menahan malu di hadapan Tengku Hariz. Kena peluk, siapa yang tak malu, bisik Aisya.
“Melihatkan kelibat awak di sini, ini bermakna awak terima tawaran saya, betulkan Aisya?” soal Tengku Hariz sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi.
Aisya hanya mengangguk. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.
Tengku Hariz menarik nafasnya. Dia malu untuk bertentangan mata dengan Aisya. Aduhai jantung, kenapa kau berdegup kencang? Seakan ada suara halus yang meminta aku memeluknya. Betapa aku merinduinya. Betapa aku ingin membelainya ketika ini. Wajah tenang dan redupnya menggetarkan hatiku, luah Tengku Hariz sendirian.
“Terima kasih Tengku kerana masih memberi peluang kepada saya untuk bekerja di syarikat ini. Jika tiada apa-apa lagi, saya minta diri dulu,” pinta Aisya dan menoleh ke belakang untuk beredar. Belum sempat dia memulas tombol pintu, Tengku Hariz bersuara.
“Thanks Aisya. I really need you.” Kelihatan sebaris senyuman di wajah Tengku Hariz. Aisya turut sama membalas senyuman Tengku Hariz.


Aisya masih khusyuk menyelesaikan tugasnya. Dia sudah pun diberitahu oleh Nurul tentang masalah yang dihadapi oleh syarikat. Setelah mendapat segala maklumat, dia mengkaji dan cuba mencari jalan penyelesaian. Alhamdulillah, berkat dari kesungguhannya itu, dia dapat mencari beberapa jalan penyelesaian dan cadangannya itu diterima oleh Tengku Hariz.
“Syukur Alhamdulillah. Terima kasih Aisya kerana membantu akak. Tak terbalas akak jasa baik Aisya itu,” ucap Nurul. Tangan Aisya digenggam erat.
“It’s okey kak, Aisya buat sedaya yang Aisya mampu. Lagipun masalah itu bukanlah seberat mana. Kita masih boleh menyelesaikannya kak,” balas Aisya sambil menepuk perlahan tangan Nurul.
“Maafkan akak kerana menyusahkan Aisya. Maafkan akak atas kesilapan akak selama ini,” tutur Nurul cuba menahan sebak di dada. “Selama ini akak selalu berniat tak baik dengan Aisya. Akak malu nak berhadapan dengan Aisya,” sambung Nurul sambil menundukkan muka. Dia sedar akan kesilapannya itu. Selama ini dia mencemburui Aisya. Dan perasaan cemburunya itu telah memakan dirinya sendiri.
Aisya mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan maksud kata-kata Nurul.
“Tak mengapalah kak. Saya tak pernah ambil hati dengan semua tu. Tujuan saya ke sini adalah untuk mencari rezeki. Mungkin saya juga ada berbuat salah pada akak tanpa saya sedari. Saya juga nak minta maaf dengan akak kalau saya ada terkasar bahasa dengan akak,” jelas Aisya jujur. Walaupun kadangkala dia terasa akan sikap Nurul, namun jauh di sudut hati dia menyayangi Nurul dan telah menganggap Nurul seperti kakaknya sendiri.
Nurul menyeka air mata yang hampir gugur. Terharu dengan kata-kata Aisya. Tulus benar hatimu Aisya, akak doakan agar Aisya menemui kebahagiaan yang Aisya carikan selama ini. Tengku Hariz adalah kebahagiaanmu Aisya, bisik hati kecil Nurul.
“Hai Nurul, what’s going on? Menangis berbagai ni kenapa?” tegur Sharifah Aleeya tiba-tiba. Nurul dan Aisya menoleh. Sharifah Aleeya sedang berdiri mengadap mereka berdua.
“Eh… Cik Aleeya. Cik Aleeya nak jumpa Tengku ke?” balas Nurul dengan lembut. Sharifah Aleeya mengangguk. Matanya tertancap ke muka Aisya. “Saya hubungi Tengku kejap,” sambung Nurul seraya tangannya menekan intercom tetapi pantas dihalang oleh Sharifah Aleeya.
“Surprise!!” bisik Sharifah Aleeya dan segera berlalu menuju ke bilik Tengku Hariz.
Nurul mengangguk faham. Aisya yang sedari tadi membisu hanya memerhatikan sahaja lagak dan gaya Sharifah Aleeya. Bagi Aisya, Sharifah Aleeya seorang yang cantik dari segi paras dan rupa. Tidak hairanlah jika Tengku Hariz terpikat dengan Sharifah Aleeya. Sama-sama padan dan cantik. Bak kata orang tua-tua ‘bagai pinang dibelah dua.’
“Aisya… Aisya…” panggil Nurul mematikan lamunan Aisya seketika. “Eh budak ni, boleh termenung pulak. Jom kita lunch!” ajak Nurul dan menarik tangan Aisya.
Aisya hanya mengikuti tanpa berniat untuk bersuara. Belum sempat kaki mereka melangkah keluar, mereka dikejutkan dengan suara Sharifah Aleeya. Kelihatan Tengku Hariz sedang berdiri di sisi Sharifah Aleeya.
“Guys, I ada berita nak bagitau you all semua. Bulan depan kami akan bertunang. So, semua dijemput datang, jangan lupa tau,” umum Sharifah Aleeya sambil menampakkan sebaris senyuman gembira dan bahagia.
Menyirap darah Aisya mendengarnya. Jantungnya bagaikan terhenti tiba-tiba. Bagaikan separuh nyawanya hilang dibawa angin. Pandangannya dialihkan kepada Tengku Hariz. Lama mata mereka bertaut. Dengan pantas dia mengalihkan pandangan apabila Nurul menyiku lengannya.
“Tak nak ucapkan tahniah pada Tengku ke?” soal Nurul sambil memuncungkan mulutnya ke arah Tengku Hariz.
“Eh, tak perlulah kak. Jomlah kita keluar makan, Aisya dah lapar ni,” rengek Aisya dan menarik tangan Nurul supaya beredar dari situ. Nurul menurutinya sahaja.
Tengku Hariz menyedari akan perubahan di wajah Aisya. Pandangan Aisya terhadapnya tadi membuatkan dia rasa bersalah. Perlukah dia berterus-terang dengan Aisya akan perasaannya selama ini? Adakah Aisya turut sama merasai dengan apa yang dirasainya sekarang? Adakah Aisya tidak mempunyai apa-apa perasaan padanya? Persoalan yang memerlukan jawapan. Ya ALLAH, apa yang perlu aku lakukan sekarang, rintih Tengku Hariz sendirian.


“Kenapa dengan Aisya ni? Senyap aje dari tadi. Aisya marahkan akak ya,” suara Nurul apabila menyedari kebisuan Aisya sejak mereka memasuki restoran itu.
“Tak adalah kak. Akak ni janganlah prejudis sangat. Aisya tengah berfikirlah kak,” sanggah Aisya dan meneguk fresh orange.
“Habis tu, dari tadi lagi akak tengok Aisya macam tak ada mood aje. Jangan-jangan Aisya jadi moody tiba-tiba disebabkan berita pertunangan Tengku Hariz dengan Sharifah Aleeya kan!” teka Nurul sambil keningnya diangkat.
“Ish akak ni, ke situ pulak. Aisya gembira mendengarnya. Lagipun mereka berduakan sama-sama cantik dan padan. Dah jodoh mereka kak. Siapa kita untuk menghalangnya,” bidas Aisya dengan tegas.
Nurul mengangkat bahunya sahaja. Dalam masa yang sama, matanya tidak lekang memandang Aisya yang masih lagi meneguk fresh orange. Dari anak mata Aisya terpancar akan kesedihan dan kegelisahan. Mengaku sajalah Aisya yang Aisya sebenarnya sedih mendengar berita tu tadi, suara Nurul di dalam hati.


“Ha, asal monyok aje muka tu,” tegur Nadia mengejutkan Aisya yang baru masuk ke dalam rumah.
“Ko ni Nadia, tak reti nak bagi salam ke, terkejut aku tau. Free-free aje aku mati nanti,” rengus Aisya dan melabuhkan punggungnya bersebelahan Nadia.
Nadia mencebik. Matanya masih tertumpu kepada laptop yang di hadapnya sedari tadi.
“Aku yang tak reti nak bagi salam, atau kau yang tak reti nak eja perkataan salam tu,” perli Nadia.
Aisya tersengih sendiri. Kepalanya yang tidak gatal digaru berkali-kali.
“Ha, dulu aku membaca terus tak ada eja-eja la,” usik Aisya sambil mencubit pipi Nadia.
“Woi, sakitlah!” marah Nadia. Matanya tajam menikam mata Aisya.
“Ala… konon-konon marah la tu,” usik Aisya lagi dan segera bangun menuju ke dapur.
“Marah-marah sayang la. Ha yang kau tu muka macam minah seposen aje kenapa? Kau tak happy ke jumpa bos handsome kau hari ini atau bos handsome kau tu dah kahwin lari,” teka Nadia sambil menoleh ke arah Aisya yang sedang membancuh air.
Aisya terkedu. Tekaan Nadia dibiarkan sepi. Perlukah dia menceritakan tentang pertunangan Tengku Hariz kepada Nadia? Apa kena-mengena dengannya pula?
“Tepatlah tekaan kau tu Nadia. Memang dia nak kahwin lari pun.” Sambil menghulurkan segelas air kepada Nadia.
Membulat mata Nadia mendengarnya. Pandangannya jatuh ke muka Aisya.
“Serius?”
“Serius la, takkan aku main-main pulak,”
“Takkan kahwin lari kot. Dengan siapa?”
“Hish… sejak bila pulak kawan aku ni prihatin dengan mamat perasan bagus aku tu,” dengus Aisya berserta kerutan seribu di dahi. Wajah Nadia dipandang penuh curiga.
“Aku wakilkan kau la. Aku tau kau suka kat mamat perasan bagus tu kan!” usik Nadia sambil keningnya dinaikkan.
Aisya terkedu lagi. Pandangannya di buang ke arah jendela yang masih terbuka luas. Keluhan kecil dilepaskan.
“Aku masuk dululah!” dalih Aisya dan berlalu pergi menuju ke biliknya.
Nadia menggelengkan kepala. Ekor matanya sahaja yang mengekori langkah Aisya masuk ke dalam bilik. Sinar mata kau pun dah buktikan yang kau suka kat bos handsome kau tu Aisya, detik Nadia di dalam hati.


Aisya menyidaikan sejadah dan telekung di ampaian kain. Hatinya tenang selepas mengadap Yang Maha Esa. Sesungguhnya hanya DIA sahajalah tempat kita mengadu dan bermohon segala kesulitan yang dihadapi dalam hidup kita ini. Jangan sesekali kita lupa padaNYA sekiranya kita dalam kesusahan mahupun kesenangan.
Aisya menghumbankan dirinya ke atas katil. Matanya memandang tepat ke arah kipas siling yang sedang ligat berputar. Seperti putaran hidupnya kini. Gembira, sedih, susah mahupun senang dihadapinya dengan redha dan tabah.
Tengku Hariz! Hati kecilnya berbisik dengan tiba-tiba. Kenapa kau hadir dalam hidupku? Kenapa hatiku bergetar tatkala aku memandang wajahmu? Kenapa aku merinduimu? Kenapa hatiku berbisik bahawa kau adalah pemilik kunci hatiku ini? Aisya memejamkan mata buat seketika. Ingatannya ligat mengingati peristiwa tengahari tadi.
 “Boleh join?” tegur Sharifah Aleeya mengejutkan Nurul dan Aisya yang sedang menikmati makanan tengahari mereka.
“Eh… Cik Aleeya, buat apa kat sini?” tanya Nurul tersekat-sekat. Terkejut disergah dengan tiba-tiba. Apalah, tentulah nak makan. Apa ke bodoh soalan aku tu tadi, Nurul mengutuk dirinya sendiri.
Sharifah Aleeya tersenyum.
“Tentulah nak makan Nurul,” jawab Sharifah Aleeya lembut dan melabuhkan punggungnya berhadapan Nurul.
Nurul mengangguk. Malu dengan soalan bodohnya tadi. Aisya sekadar pemerhati. Matanya tertancap ke arah Tengku Hariz yang sedang ralit mencari makanan.
“Jangan lupa datang tau Nurul dan….” Terhenti. Wajah Aisya di pandang dengan kerutan di dahi.
“Aisya,” balas Nurul.
“Dan Aisya. Jangan lupa datang tau,” ulang Sharifah Aleeya.
Aisya dan Nurul serentak mengangguk. Mereka berdua masih lagi menghabiskan makanan yang masih ada di dalam pinggan masing-masing. Sesekali mereka berdua berpandangan antara satu sama lain. Mungkin tidak selesa dengan kehadiran Sharifah Aleeya di situ.
Tengku Hariz melilau mencari kelibat Sharifah Aleeya. Apabila terlihat akan lambaian tangan Sharifah Aleeya, dia melangkah laju menuju ke meja yang diduduki oleh Sharifah Aleeya. Langkahnya diperlahankan tatkala terpandang wajah gadis yang telah mendapat tempat di dalam hatinya turut berada di situ.
“Sayang, kenapa lambat ni, lapar tau,” rengek Sharifah Aleeya setibanya Tengku Hariz di sebelahnya.
Tengku Hariz meletakkan dulang makanan di atas meja. Sepinggan nasi dan segelas jus tembikai diberikan kepada Sharifah Aleeya. Matanya sempat mencuri pandang ke wajah Aisya.
“Erk… kami minta diri dululah Cik Aleeya, Tengku Hariz. Waktu rehat kami ni terhad, tak pasal-pasal nanti, bos mengamuk pulak sebab langgar undang-undang,” ujar Nurul bernada usikan. Aisya di sebelah dikerling seketika.
“Eh, takkan nak balik dah. Duduklah dulu, takpe bos takkan marah, betulkan sayang,” tegah Sharifah Aleeya dan menoleh ke arah Tengku Hariz.
Tengku Hariz sekadar mengangguk. Entah kenapa mulutnya bagaikan terkunci untuk berkata-kata. Matanya sahaja yang memainkan peranan. Hanya dia dan Aisya sahaja yang tahu akan apa yang tersirat di sebalik mata mereka.
“Duduklah dulu, temankan kami makan,” ujar Tengku Hariz setelah lama membisu.
Nurul dan Aisya berpandangan. Masing-masing melepaskan keluhan ringan. Ingatkan nak lepaskan, dia suruh kita duduk sini pulak. Buat sakit mata aku aje tengok minah separuh gedik ni, geram Aisya di dalam hati. Cemburukah aku? Soal Aisya pula.
“Kan I dah kata, bos you all berdua ni takkan marah,” puji Sharifah Aleeya. “Sayang, apa pandangan you kalau Aisya jadi pengapit I masa kita kahwin nanti, okey tak?” cadang Sharifah Aleeya sambil memaut lengan Tengku Hariz.
Bulat mata Aisya mendengarnya. Tengku Hariz dan Sharifah Aleeya dipandang silih berganti. Tengku Hariz yang sedang meneguk airnya tersedak dengan tiba-tiba. Matanya tepat ke muka Aisya yang berubah mendung.
“Sayang ni, minumlah elok-elok. Kan dah tersedak,” rungut Sharifah Aleeya sambil mengusap lembut belakang Tengku Hariz.
Tengku Hariz menarik tisu dari dalam kotak dan mengelap bibirnya. Sharifah Aleeya dipandang penuh geram. Lebih lama aku di sini, boleh tension dibuatnya. Baik aku blah dulu, gerutu Tengku Hariz sendirian. Belum sempat untuk dia bertindak, Aisya terlebih dulu bangun dari tempat duduknya.
“Saya minta diri dulu. Maaf semua,” tutur Aisya dan segera beredar dari situ tanpa ada niat untuk menoleh. Alamak Kak Nurul! Aduh, pandai-pandai akak la nak hidup, bisik hati Aisya. Terlupa sebentar akan ketiadaan Nurul di sisi.
“Saya pun,” ujar Nurul dan turut mengekori langkah Aisya. Kurang asam jawa punya member, boleh pulak dia tinggalkan aku dengan pasangan tak berapa nak sejoli tu, rungut Nurul di dalam hati sambil cuba untuk mengejar Aisya.
Sharifah Aleeya dan Tengku Hariz tergamam seketika. Melihatkan tingkah Aisya sebentar tadi, membuatkan hati Tengku Hariz berbunga riang. Mungkin Aisya merasai dengan apa yang aku rasa, hati Tengku Hariz berdetik.
Sharifah Aleeya mendengus geram melihatkan senyuman Tengku Hariz. Seperti ada maksud yang tersirat disebalik senyuman itu.
“Aku akan siasat siapa kau sebenarnya Aisya. Wajah kau mengingatkan aku pada seseorang. Seseorang yang aku kenali dulu,” bisik Sharifah Aleeya sendirian selepas meninggalkan restoran itu.
“Pengapit?” ulang Aisya sambil membuka matanya semula. Satu keluhan berat dilepaskan. Nafasnya dihela panjang. Kenapa aku? Soalnya sendiri.


Sharifah Aleeya mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Sebentar tadi dia bertegang urat dengan Tengku Hariz di talian telefon. Sakit hatinya mendengar kata-kata yang dikeluarkan dari mulut Tengku Hariz. Terasa dirinya tidak berharga buat lelaki itu. Kenapa Tengku Hariz perlu mempertahankan perempuan itu? Apa istimewanya perempuan itu kepada Tengku Hariz? Kata-kata Tengku Hariz terngiang-ngiang di gegendang telinganya.
“I tak setuju kalau you nak suruh Aisya jadi pengapit you. Apa tak ada orang lain lagi ke yang you nak ambil,” tengking Tengku Hariz dari hujung talian.
“Apa masalah dengan you ni. Salah ke permintaan I tu,” balas Sharifah Aleeya sedikit meninggi.
“Ya salah. I tak suka. I tak nak Aisya masuk campur dalam urusan pertunangan kita mahupun perkahwinan kita,” putus Tengku Hariz. Bagaimana untuk berhadapan dengan Aisya jika perkara itu berlaku? Dia tidak mahu mengecewakan hati Aisya dan juga hatinya.
“Hey… yang you bela sangat dengan perempuan tu kenapa? Jangan-jangan you dah syok dengan dia tak?” teka Sharifah Aleeya sinis.
“Kalau I dah syok dengan dia, you peduli apa. Selama ini hubungan kita atas dasar keluarga. Papa yang paksa I untuk terima you,” balas Tengku Hariz dan mematikan talian telefon.
“Kurang ajar kau Hariz. Kau sengaja nak sakitkan hati aku. Tak apa… hari ini hari kau. Bila tiba masa aku nanti, taulah kau langit tu tinggi atau rendah,” geram Sharifah Aleeya sambil menggenggam erat tangannya. “Aku perlu siasat siapa Aisya sebenarnya,” bisik Sharifah Aleeya.
Pantas dia mencapai telefon bimbitnya semula dan mendail nombor seseorang. Setelah lama menunggu, talian disambungkan.
“Aku nak kau siasat siapa perempuan tu. Aku pasti dialah orang yang aku cari selama enam tahun ni,” kata Sharifah Aleeya berupa arahan.
“Baiklah bos. Bos MMS gambarnya pada saya, nanti saya akan siasatnya,” balas suara di hujung talian.
“Sekejap lagi aku MMS kan.” Janji Sharifah Aleeya.
Tanpa menunggu balasan, Sharifah Aleeya mematikan talian telefon. Dia tersenyum sinis. Kau tunggulah Hariz. Aku pasti kau akan terkejut bila kau dapat tahu siapa Aisya yang sebenarnya, bisik hati kecil Sharifah Aleeya.


6 ulasan:

  1. bagus2, lenkali pun biar tgn tu rasa gatal nak post lagi. hehehe. mmg puas ati la baca. asyik ada new entry memanjang. hehehe. thanks really to you eliza. wink.
    er ni bakal tiba part nak bergaduh n nak balas dendam kat aisya ke? mana TA? huhuhu gamaknya TA smpi lewat nak selamatkan aisya dr adik dia ni? abis la. hope dia sampai awal utk jelaskan kedudukan sebenar or biar mak TA n TH ni npk aisya dulu n jelaskan kedudukan kat TH yg sebnrnya. next pls..

    BalasPadam
  2. thanks Yong...
    erm..byk btl persoalan y berlegar2 di fikiran awak tu ye Yong..xpe, semua itu akan terjawab tdk lama lg..slpas bab 19 dan seterusnya...konflik akan muncul.. ;)

    BalasPadam
  3. ..best nyer...sambung lg kak...hehhehe...next next... ;)

    BalasPadam
  4. thanks zielra.. Insya-ALLAH..klu tgn akak ni gatal..akak entrylah lg..klu x..tungguuuuu....
    thanks coz setia bersama HM... ;)

    BalasPadam
  5. alahai....entah2 TH bencikan aisya kalau dia tahu siapa aisya sebenarnya kan...hhuhu....tp bila aisya nk terangkan kedudukan dia?ank aisya dgn TA apa citer yer?ke shuhada terlepas baca?

    BalasPadam
  6. shuhada..blm terlpas bc lg..sal anak tu akn berjwb dlm bab 16.. nantikan ya... :)

    BalasPadam