Khamis, 8 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 14


BAB 14

Semenjak Aisya mengetahui berita pertunangannya dengan Sharifah Aleeya, Aisya seperti cuba untuk menjauhkan diri darinya. Dia cuba berlagak biasa apabila berdepan dengan Aisya, tetapi hatinya berperang tatkala dia memandang wajah redup dan tenang Aisya. Bertambah sedih dan pilu apabila memandangnya. Apakah ini dinamakan cinta? Adakah dia akan mengalami rasa sakitnya bercinta? Adakah… adakah…. Huh! Banyak persoalan yang memerlukan jawapan. Namun hati kecilnya mengakui betapa dia amat menyintai gadis yang bernama Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin.
“Awak nak makan atau minum apa-apa tak Aisya?” soal Tengku Hariz dan memberhentikan keretanya di hadapan sebuah gerai makanan.
Aisya hanya menggeleng. Dia tiada selera untuk makan mahupun minum. Sepanjang perjalanan menuju ke Sabak Bernam, Aisya banyak membisu daripada bersuara. Tengku Hariz menyedari akan kebisuan Aisya. Dia tidak mahu mengganggu ketenteraman Aisya. Sepanjang perjalanan itu juga Aisya banyak melontarkan pandangan ke luar tingkap kereta daripada memandangnya.
Okey, saya beli makanan dan minuman dulu,” sambung Tengku Hariz. Dia memboloskan diri keluar dari perut kereta dan melangkah menuju ke sebuah gerai yang terletak di bahu jalan.
Aisya hanya mengangguk. Matanya tidak terlepas dari memandang Tengku Hariz yang sedang asyik memilih buah di gerai tersebut. Aduh! Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku perlu marah dengannya? Kenapa aku berperasaan sebegini sedangkan tidak ada sekelumit pun hatiku padanya. Ya ALLAH, apa perlu aku buat sekarang ni, rintih hati kecil Aisya. Keluhan kecil dilepaskan.
Tengku Hariz masih menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduan. Dia terpaksa turun padang untuk memantau keadaan projek yang dikendalikan oleh syarikatnya di Sabak Bernam. Dia perlu memastikan semuanya berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah. Imej syarikatnya perlu dijaga supaya memudahkan dia mendapat projek di masa akan datang.
Tengku Hariz mengurut perlahan tengkuknya yang terasa sakit. Sesekali dia memandang sekilas ke arah Aisya yang sedang nyenyak tidur. Comel pula dia melihatnya. Tercuit hatinya melihat gelagat Aisya tidur. Dia mengusap lembut pipi Aisya dengan tangan kirinya. Tidurlah sayang. Riz akan sentiasa berada di sisi Aisya. Percayalah sayang, Riz terlalu menyintai Aisya, bisik halus Tengku Hariz.
Aisya yang terasa pipinya diusap seseorang segera mencelikkan matanya. Sekilas dia menoleh ke arah Tengku Hariz. Dengan pantas Tengku Hariz menarik tangannya dan berpura-pura menekan punat radio untuk menukar channel. Aisya kembali dalam lenanya. Tengku Hariz menarik nafas lega. Kali ini kepala Aisya sudah pun terlentok di bahu Tengku Hariz. Tengku Hariz hanya tersenyum melihat gelagat comel Aisya.
“Aduh!! Apasal pulak dengan perut aku ni? Tetiba pulak sakitnya,” keluh Aisya diikuti dengan kerutan seribu. Takkan la sakit perut nak melepas kot. Bukan… bukan… ni bukan sakit nak melepas, ni sakit sebab lapar. “Gastrik!” Jerit Aisya tiba-tiba.
Jeritan Aisya mengejutkan Tengku Hariz. Lantas dia memberhentikan kereta di tepi jalan.
“Kenapa Aisya, awak sakit ke?” tanya Tengku Hariz bernada cemas. Tangannya sudah menyentuh dahi Aisya. Aisya mengerut dahi dan memandang wajah cemas Tengku Hariz.
“Aisya, awak sakit ke?” ulang Tengku Hariz lagi. Risau di hati hanya tuhan saja yang tahu.
Aisya menolak tangan Tengku Hariz dari menyentuh dahinya.
“Tak… saya tak sakit. Cuma saya…. saya….” tidak mampu Aisya mengeluarkan kata-kata. Dia menekan perutnya yang mulai terasa sakit.
“Aisya, awak sakitkan. Beritahu saya kat mana awak sakit. Jangan buat saya risau Aisya. Please…” rayu Tengku Hariz sambil menggenggam tangan Aisya. Jelas kelihatan wajah cemasnya di kala itu.
“Saya… sakit perut sebab lapar okey!” jawab Aisya acuh tak acuh sambil menekan-nekan perutnya yang terasa sakit.
Tengku Hariz meraup muka seketika. Wajahnya yang cemas berubah kepada serius.
“Kan tadi saya suruh awak makan, tapi awak tak nak. Sekarang tengok apa yang dah jadi. Siapa yang susah, awak juga kan. Degil betullah awak ni Aisya. Tak habis-habis menyusahkan orang!” marah Tengku Hariz. Dia menoleh ke tempat duduk belakang dan mencapai sebuah beg plastik berisi makanan dan minuman. Lantas dia menyerahkan bungkusan itu kepada Aisya namun ditepis oleh Aisya. Aisya benar-benar terasa dengan kata-kata Tengku Hariz sebentar tadi.
Okey… saya minta maaf dengan kata-kata saya tadi,” pujuk Tengku Hariz apabila melihat perubahan di wajah Aisya. Dia tahu Aisya terasa dengan kata-katanya tadi. “Please Aisya… buangkan sikap degil awak waktu ni. Sekarang saya nak awak makan agar perut awak tak sakit lagi,” sambung Tengku Hariz sambil membuka bungkusan nasi dan menyuakan sesudu nasi ke mulut Aisya. Aisya terpaksa akur walaupun dalam masa yang sama hatinya sakit dan marah.
“Boleh tolong tak?” ujar Aisya. Matanya tertumpu ke arah Tengku Hariz.
“Tolong apa?” tanya Tengku Hariz pula.
“Jangan terlalu baik dengan saya, boleh tak? Rimas tahu tak!” sambung Aisya dan kemudian itu dia merampas sudu dari tangan Tengku Hariz. Dia menyudukan nasi ke dalam mulutnya sendiri.
Tengku Hariz hanya menggeleng dan tersenyum. Geli hati pula dia melihat telatah manja Aisya.
“Macam budak-budak la awak ni Aisya,” gurau Tengku Hariz sambil menghidupkan enjin keretanya semula.
Aisya hanya mencebikkan bibir. Hatinya yang terasa sakit dari tadi hilang seperti angin yang berlalu. Dia merasa bahagia tatkala berada di samping Tengku Hariz. Ya, kali ini dia yakin bahawa Tengku Hariz adalah pemilik kunci hatinya yang telah lama hilang.


Tengku Hariz memarkirkan kereta di tempat letak kenderaan yang disediakan. Mereka menginap di sebuah hotel yang terletak di Sabak Bernam. Segala perbelanjaan di tanggung oleh pihak syarikat. Pada mulanya Aisya menolak pelawaan Tengku Hariz untuk turut sama turun padang meninjau projek mereka. Namun setelah dipujuk dan dipaksa oleh Tengku Hariz, mahu tidak mahu dia terpaksa akur dengan kehendak Tengku Hariz. Dia sebagai pekerja bawahan tidak punya hak untuk melawan perintah ketuanya. Itu yang difikirkan Aisya.
“Aisya tunggu di sana, saya nak uruskan check in kita,” arah Tengku Hariz sebaik sahaja mereka berdua berada di lobi hotel.
Aisya mengangguk faham. Dia hanya memerhati langkah Tengku Hariz dengan ekor matanya sahaja. Kemudian itu dia menuju ke arah sofa yang berada di lobi hotel dan melabuhkan punggungnya di situ. Dia menunggu Tengku Hariz menguruskan penginapan mereka. Sambil menunggu matanya tidak lekang dari memandang Tengku Hariz. Penampilan Tengku Hariz yang bersahaja menggetarkan tangkai hati. Senyuman yang tidak lekang dari bibir Tengku Hariz membuai jiwa. Pintu sepi yang bertahun terkunci, telah dibukakannya perlahan-lahan buat insan yang bernama Tengku Hariz Iskandar. Nama Tengku Hariz sudah dipahat kemas di dalam hati. Hatinya dulu pernah dimiliki oleh Tengku Azizul, ditutup rapat. Biarlah ia menjadi kenangan terindah buat dia suatu ketika dulu.
“Ini kunci bilik awak Aisya,” ujar Tengku Hariz sambil menghulurkan kunci kepada Aisya. Aisya menyambut huluran tersebut. “Dalam masa satu jam lagi, kita bergerak ke tapak projek. Sebelum itu, kita berehat dulu. Tentu awak penatkan Aisya?” terang Tengku Hariz. Dia mengangkat beg pakaian Aisya dan berjalan menuju ke arah lif. Aisya mengekorinya dari belakang.
Suasana hening di dalam lif. Masing-masing melayan perasaan yang terbuku di hati. Sesekali Tengku Hariz melirik ke arah Aisya. Peristiwa di mana mereka terkandas di dalam lif, terlayar di hadapan mata. Sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika itu. Gembira? Ya, gembira kerana Aisya memeluknya dengan erat ketika itu. Entah mengapa akal jahatnya datang dengan tiba-tiba untuk menyakat Aisya.
“Awak tak nak peluk saya ke? Mana la taukan lif ni tiba-tiba rosak,” usik Tengku Hariz.
Bulat mata Aisya mendengarnya. Dia melarikan mukanya dari di pandang oleh Tengku Hariz. Hisy… dia ni. Buat apa nak diingatkan balik peristiwa tu. Malu aku dibuatnya, gerutu Aisya. Mukanya sudah pun merona merah. Tengku Hariz tertawa kecil melihatnya.
“Nampaknya, nasib awak malang Tengku Hariz!” balas Aisya selamba dan terus menapak keluar dari perut lif selepas pintu lif terbuka.
Tengku Hariz tersenyum nakal. Dia menghantar Aisya sehingga di hadapan bilik Aisya.
“Tak nak ajak saya masuk ke?” usik Tengku Hariz lagi berserta senyuman nakal di bibir.
“Hisy… jangan nak mengada-ngada. Saya masuk dulu nak berehat,” ujar Aisya seraya membuka pintu bilik. Dia mencapai beg pakaian yang dihulurkan oleh Tengku Hariz.
“Nak bermanja pun tak boleh. Okey… jumpa satu jam dari sekarang,” rajuk Tengku Hariz dan segera menuju ke biliknya yang terletak bersebelahan bilik Aisya.
Aisya sekadar menggeleng dan tersenyum. Merajuk konon, tak kuasa aku nak pujuknya, desis hati Aisya.

Tengku Hariz melangkah jalan beriringan dengan Aisya menuju ke tapak projek. Projek perumahan yang hampir tiga puluh peratus siap di perhatikan. Selain mengkaji struktur bangunan, dia juga turut memeriksa bahan-bahan binaan yang berada di tapak itu. Dia tidak mahu masalah yang sama berulang. Disebabkan kesilapan Nurul memesan bahan-bahan mentah, syarikatnya nyaris menanggung kerugian. Mujurlah Aisya bijak menyelesaikan masalah tersebut. Kini dia mempersetujui tindakan Tengku Razlan yang menginginkan dia mengambil Aisya semula bekerja dengannya.
Aisya masih lagi ralit memerhatikan struktur bangunan. Sesekali dia mengerling ke arah Tengku Hariz yang masih berbincang dengan penyelia projek bangunan. Tatkala pandangan mereka bertaut, masing-masing melemparkan sebaris senyuman manis.
“Aisya…” tegur Amirul dalam nada terkejut. Dahinya berkerut melihat Aisya. “Aisya buat apa kat sini?” soal Amirul pula.
Aisya cuma tersenyum. Muncungnya dihalakan ke arah Tengku Hariz. Amirul mengangguk faham. Sekilas Aisya menoleh ke arah Amirul. Barangkali Amirul hairan dengan kehadirannya dan Tengku Hariz di situ, fikir Aisya. Bagi Amirul pula, kehadiran Tengku Hariz tidaklah menjadi isu, yang menjadi isu sekarang ialah kehadiran Aisya di situ.
“Bila you sampai?” tanya Amirul setibanya Tengku Hariz di hadapan mereka berdua.
“Baru saja,” jawab Tengku Hariz acuh tak acuh. Hatinya diburu cemburu melihat kemesraan di antara Amirul dan Aisya sedari tadi.
“I tak expect yang Aisya ada sekali, bukan ke…” kata-katanya dipotong oleh Tengku Hariz.
“Malam ni kita dinner sama. I ada benda nak discuss dengan you Amirul.”
Amirul mengerutkan dahi. Tengku Hariz dipandang lama. Kegelisahan menerpa Tengku Hariz ketika itu. Aisya hanya menjadi pemerhati. Seperti ada yang tidak kena di antara mereka berdua, hatinya berdetik.
Okeylah… I minta diri dulu. I nak pergi check kat area sana pulak,” pinta Amirul setelah sekian lama mereka bertiga membisu.
“Baiklah… jumpa malam nanti,” balas Tengku Hariz sambil mengangguk. Aisya turut sama mengangguk. Matanya sahaja yang menghantar Amirul sehingga hilang dari pandangan mata.
“So… let’s go. Awak mesti dah penatkan,” ujar Tengku Hariz lembut selepas kelibat Amirul hilang dari pandangan. Rasa gelisah yang bersarang di dalam dirinya dikawal sebaik mungkin. Tidak mahu Aisya menyesyaki apa-apa.
“Kenapa?” tanya Aisya apabila mereka berjalan beriringan menuju ke tempat letak kereta.
“Ha… kenapa apa?” ulang Tengku Hariz terkejut. Seketika tadi dia mengelamun memikirkan tentang Amirul.
Aisya memberhentikan langkahnya. Wajah Tengku Hariz ditatap mesra. Seperti ada perkara yang cuba dirahsiakan oleh Tengku Hariz darinya.
“Ada perkara yang saya tak tahu ke ni,” duga Aisya sambil mengangkat kening. Matanya tepat ke muka Tengku Hariz.
“Eh… mana ada. Dahlah, jom kita balik hotel. Malam nanti kita dinner sama,” balas Tengku Hariz dan segera masuk ke dalam perut kereta. Tidak mahu Aisya terus-terusan bertanya. Jika tidak… tidak mustahil dia akan memberitahu Aisya perkara yang sebenarnya.
Aisya mengerutkan dahi. Hatinya kurang enak melihatkan wajah gelisah Tengku Hariz. Hatinya begitu kuat menyatakan ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Tengku Hariz. Dan dia dapat merasakan perkara itu ada kena-mengena dengan dirinya. Sepanjang perjalanan menuju ke hotel, mereka banyak membisu daripada berbual-bual. Masing-masing memikirkan perkara yang sama.


Aisya mengerling jam di tangan. Sudah terlalu lama mereka berdua di situ. Naik panas punggungnya kerana duduk terlalu lama. Entah kenapa Tengku Hariz mengajaknya turun awal, dia sendiri tidak pasti. Melihatkan dari cara Tengku Hariz, seperti ada sesuatu yang cuba disampaikan oleh Tengku Hariz kepadanya. Puas dia memikirkan sedari petang tadi. Kesemuanya menuju ke jalan buntu. Adakah perkara itu melibatkan dirinya? Adakah kerana majlis pertunangannya dengan Sharifah Aleeya? Sukar untuk mengagak perkara apa yang sedang bermain di fikiran Tengku Hariz itu.
“Hisy… mana Amirul ni? Dah pukul berapa dah ni?” rungut Tengku Hariz sambil mengerling jam di tangan.
“Mungkin dia ada hal, sikit lagi sampailah tu.” Aisya cuba mententeramkan perasaan Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengeluh berat. Selagi dia tidak bercakap dengan Amirul, selagi itulah hatinya risau dan gusar. Untuk berterus-terang dengan Aisya, dia tidak punya kekuatan. Dia perlu meminta nasihat daripada Amirul tentang perkara itu.
Sorry lambat, ada hal sikit,” tegur Amirul tiba-tiba mematikan suasana hening waktu itu. Dia melabuhkan duduk berhadapan Aisya.
“Tak pe… kitorang pun baru saja sampai,” balas Aisya menutup perkara yang sebenar. Tengku Hariz hanya membisu. Hatinya gusar melihatkan pandangan Amirul.
So, Tengku Hariz… macam mana dengan projek kita?” tanya Amirul cuba untuk menyedarkan Tengku Hariz yang kelihatan mengelamun.
So far so good. Cuma kena lebih pemantauan dari pihak you Amirul,” jawab Tengku Hariz.
Amirul mengangguk faham. Aisya dikerling dengan pandangan yang tersirat. Seketika itu mereka mendiamkan diri. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
“Saya pergi ladies sekejap,” ujar Aisya apabila menyedari Tengku Hariz dan Amirul hanya berbalas pandangan. Mungkin dengan adanya dia di situ menyukarkan mereka berdua untuk berbual.
Tengku Hariz dan Amirul sekadar mengangguk. Mata mereka berdua mengekori langkah Aisya sehinggalah kelibat itu hilang dari balik pintu.
So, perkara apa yang you nak bincangkan dengan I, serius saja bunyinya tadi,” soal Amirul mengingatkan Tengku Hariz semula. Tengku Hariz sudah pun meraup muka. Nafasnya di hela panjang.
“Berkenaan dengan Aisya. I rasa you dah tahu perkara sebenarnya,” jawab Tengku Hariz.
Amirul mengangkat kening. Sedari petang tadi dia dapat mengagak tujuan sebenar Tengku Hariz ingin berjumpa dengannya malam ini. Tengku Hariz dipandang tajam. Aisya perlu diberitahu akan perkara yang sebenarnya.
“I rasa Aisya ada hak untuk mengetahuinya. You sepatutnya berterus-terang dengan dia sebelum you menawarkan pekerjaan itu semula. Jika you berterus-terang, I pasti Aisya dapat menerimanya. I dah lama kenal Aisya, Tengku Hariz. I yakin dia akan membantu you jika you inginkan bantuannya,” tegah Amirul dengan nada yang serius. Dia tidak mahu Aisya terluka dengan tindakan Tengku Hariz yang difikirkan terlalu pentingkan diri sendiri.
Tengku Hariz melepaskan keluhan kecil. Perbincangannya dengan Tengku Razlan terimbau kembali di fikiran ketika itu.
Uncle tak peduli Riz. Uncle nak Riz ambil semula Aisya bekerja sebab Uncle nak Aisya uruskan projek ni,” tegas Tengku Razlan.
Tengku Hariz bungkam seketika.
Uncle, Riz boleh carikan penyelia lain, Hisham pun ada, tapi bukan Aisya,” bidas Tengku Hariz dengan tegas. Tidak tahu kenapa Tengku Razlan masih memerlukan Aisya sedangkan dia masih mempunyai pekerja lain yang boleh menyelia projek tersebut.
Tengku Razlan menarik nafasnya dalam-dalam. Tidak fahamkah pemuda ini akan kehendaknya?
“Riz, Uncle tak nak orang lain. Uncle nak Aisya. Riz tak faham-faham lagi ke? Lagipun Uncle tahu kelebihan Aisya berbanding Hisham,” tegas Tengku Razlan sambil memegang bahu Tengku Hariz. Masih tidak mahu mengalah.
Tengku Hariz hanya tunduk membisu. Hatinya masih lagi berdegil untuk memenuhi permintaan Tengku Razlan untuk mengambil semula Aisya bekerja.
“Macam nilah Riz, Uncle bagi Riz dua pilihan. Untung atau rugi? Kalau Riz nak untung, Riz ambil semula Aisya bekerja. Tapi, kalau Riz nak rugi…. dalam sekelip mata saja Uncle boleh buat Riz rugi. Uncle boleh batalkan projek ni. Terpulang la pada Riz. Kalau Riz masih berdegil, Uncle tak boleh nak buat apa-apa. Riz fikir masak-masak. Uncle minta diri dulu,” jelas Tengku Razlan seakan mengugut Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengangkat muka. Bakal besan papanya dipandang tajam. Bagaikan menusuk ke tangkai hati dengan ugutan Tengku Razlan itu.
“Apa yang Uncle pandang sangat pada Aisya tu sehinggakan Uncle sanggup ugut Riz macam ni?” soal Tengku Hariz sebelum Tengku Razlan melangkah keluar dari biliknya.
Namun persoalan itu tidak dijawab oleh Tengku Razlan. Kelibat Tengku Razlan hilang dengan tiba-tiba dari pandangan mata. Hatinya benar-benar sakit. Sakit hati dengan ugutan Tengku Razlan. Dia akui kata-kata Tengku Razlan. Kebanyakkan projek yang dikendalikan olehnya sedikit sebanyak ditanggung oleh Tengku Razlan. Jika bukan kerana Tengku Razlan juga, syarikatnya tidak mungkin akan menjadi syarikat yang paling berjaya di Kuala Lumpur.
“Tengku Hariz!” panggil Amirul menghalau ingatan Tengku Hariz sebentar tadi. Tengku Hariz mengangguk perlahan.
“I admit yang I ambil dia bekerja semula disebabkan bos you, Tengku Razlan. I tak nak Tengku Razlan batalkan kontrak dengan I. I takut kerugian Amirul. Bukan mudah untuk I bangunkan syarikat I tu. I akan cuba terangkan pada Aisya bila I ada peluang nanti,” jelas Tengku Hariz sambil melepaskan keluhan yang berat. Hatinya di pagut rasa bersalah kerana membohongi Aisya.
“Jadi, betullah dia tak ikhlas ambil aku bekerja semula di syarikatnya. Dia ambil aku disebabkan ugutan Tengku Razlan, disebabkan syarikatnya,” keluh Aisya sendirian.
Matanya mulai berkaca. Hatinya terasa sakit. Sakit dipermain-mainkan oleh Tengku Hariz. Selama ini Tengku Hariz tidak pernah ikhlas dengannya. Jika Tengku Hariz berterus-terang, mungkin dia boleh mempertimbangkannya, tetapi bukan dengan cara ini. Benarlah kata akalnya. Akal tidak pernah berbohong berbanding dengan kata hati. Dengan hati yang sebak, dia menghampiri Tengku Hariz dan Amirul.
“Aisya naik dulu.” Ada getaran dari suaranya itu.
Aisya cuba menahan air matanya daripada menitis. Tetapi, dia bukanlah sekuat mana yang disangkakan Puan Suhaila. Hatinya juga bukanlah sekeras batu kelikir yang tidak akan terasa jika berbuat begitu. Ya ALLAH, kenapa aku terlalu mempercayainya? Kenapa aku berharap padanya sedangkan harapan itu tidak mungkin akan aku kecapi? Desis hatinya.
“Aisya!” panggil Tengku Hariz sambil menarik lengan Aisya.
Aisya tersentak dengan perlakuan Tengku Hariz.
Please Tengku, saya nak naik. Lepaskan tangan saya,” pinta Aisya sambil menarik lengannya dari pegangan Tengku Hariz.
Tengku Hariz semakin kuat memegangnya. Seperti tidak mahu mengalah. Wajah Aisya dipandang sayang. Terlihat setitis air jernih sedang membasahi pipi Aisya.
“Awak tak sihat ke? Gastrik? Saya bawa awak ke klinik?” tanya Tengku Hariz cemas. Dengan perlahan-lahan dia melepaskan lengan Aisya.
Amirul sekadar memerhati. Mungkin Aisya terdengar akan perbualan mereka berdua sebentar tadi. Dan Aisya tidak akan bersikap sedemikian terhadap Tengku Hariz.
I’m fine okey. Leave me alone Tengku Hariz!” marah Aisya agak tinggi. Nafasnya sudah turun naik menahan kemarahan. Belum pernah dia berkeadaan sebegitu marah. Air mata sudah pun mengalir akibat menahan kemarahan yang amat sangat.
“What’s wrong with you Aisya?” tanya Tengku Hariz mendesak. Meninggi juga suaranya.
Aisya mendengus keras. Benci sungguh dia mendengar pertanyaan dari Tengku Hariz itu.
“What’s wrong with me? Come on Tengku Hariz. Apa yang awak dah lakukan pada saya. Awak memang pentingkan diri sendiri. Demi mengaut keuntungan, awak pergunakan saya. Awak memang tak pernah ikhlas dengan saya,” luah Aisya geram. Matanya tajam memandang Tengku Hariz.
Tengku Hariz mengangkat kedua-dua belah tangan seperti orang yang menyerah kalah. Wajahnya diraup berkali-kali dan nafas ditarik dalam-dalam.
I’m sorry Aisya. Saya yang bersalah. Saya sepatutnya berterus-terang dengan Aisya. Saya mengaku yang saya pentingkan diri sendiri. Saya pentingkan keuntungan daripada perasaan Aisya. Bukan niat saya untuk membohongi Aisya. Bukan niat saya juga untuk mempergunakan Aisya. Saya terdesak. Saya buntu Aisya,” jelas Tengku Hariz panjang lebar namun penjelasan itu tidak berbekas di hati Aisya.
“Jika dengan perkataan maaf boleh mengubahkan segala-galanya, sudah lama saya memaafkan awak Tengku Hariz. Saya yang bodoh… bodoh kerana percayakan awak. Percaya yang awak ikhlas menginginkan saya bekerja semula di syarikat awak. Akhirnya… dahlah Tengku, saya tak nak bincangkannya lagi. Saya penat,” suara Aisya dan berlalu meninggalkan Tengku Hariz yang masih bermuram duka. Kepalanya digeleng berkali-kali.
“Sudahlah Tengku, biarkan Aisya bertenang dulu. I percaya dia dapat maafkan you nanti. Hatinya tidaklah sekeras batu kelikir. Sabar ya!” nasihat Amirul sambil menepuk lembut bahu Tengku Hariz. Kemudian itu dia melangkah pergi meninggalkan Tengku Hariz yang masih lagi tunduk membisu. Rasa bersalah menyelubungi hatinya ketika ini.
“Maafkan Riz, Aisya. Riz tak berniat nak lukakan hati Aisya, nak permainkan hati Aisya. Maafkan Riz,” bisik Tengku Hariz sendirian. Selepas beberapa minit, dia menuju ke bilik dengan hati yang sebal.


Aisya menghempas pintu bilik hotel sekuat hati. Marahnya terhadap Tengku Hariz tidak akan padam dengan mudahnya malah semakin meluap-luap. Terasa dirinya ditipu, diperbodoh-bodohkan dan dipermain-mainkan oleh Tengku Hariz. Kenapa dia tidak menyedarinya lebih awal? Jika dia tahu, awal-awal lagi dia akan menolak tawaran Tengku Hariz itu. Inilah kali kedua dia diperbodohkan. Diperbodohkan disebabkan cinta. Ya, cinta! Cinta itu buta. Membutakan hati manusia dengan dunia cinta yang direka-reka oleh manusia itu sendiri. Seperti cintanya terhadap Tengku Hariz telah membutakan mata hatinya. Argghhh!! Kenapa aku bodoh? Kenapa aku tidak menyedari yang selama ini dia tidak pernah ikhlas denganku? Kenapa aku? Kenapa? Jerit Aisya dari dalam hati.
Aisya mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangannya. Sedari tadi telefon bimbitnya itu tidak henti-henti berbunyi. Dia melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit itu. Malas untuk melayan panggilan dari Tengku Hariz. Lantas dia mencampakkan telefon bimbitnya ke atas katil setelah mematikan panggilan. Beg pakaian dicapai dan segala barang peribadinya dimasukkan ke dalam beg tersebut. Setelah mendapat panggilan daripada receptionist, dia segera keluar dari bilik. Kali ini dia nekad untuk pulang ke kampung menemui Puan Suhaila. Untuk meluahkan segala isi hatinya yang terpendam selama ini kepada Puan Suhaila. Hanya Puan Suhaila yang memahami dan mengerti akan dirinya selain Nadia.
Bagi Aisya tidak penting lagi dia berada di situ. Jika dia berada di situ, hatinya semakin sakit. Marahnya semakin meluap-luap. Perasaan benci akan terbit dari dalam dirinya semula. Dia tidak mahu berperasaan begitu. Dia tidak mahu punya sifat benci dan dendam. Perasaan itu telah lama dibuang jauh dari hidupnya selepas dia menjejakkan kaki di UK enam tahun yang lepas. Segala kenangan yang pernah berlaku dalam hidupnya dulu membuatkan dia menjadi seorang pendendam dan pembenci. Mujurlah dia masih berpegang dengan ajaran agama. Dia mendekatkan diri kepada Yang Maha Agung agar dapat mengusir kedua-dua perasaan itu. Sesungguhnya memaafkan seseorang itu merupakan ubat yang paling mujarab buatnya.
Kenapa? Kenapa aku perlu marah padanya? Kenapa aku perlu membencinya? Kenapa aku perlu berdendam dengannya? Tidak mungkin aku marah, dendam dan benci padanya. Aku sayangkan dia. Aku cintakan dia. Cuma, aku kecewa dengan apa yang dilakukan olehnya terhadapku. Perlukah aku pentingkan diri sendiri ataupun ego aku? Apa yang harus aku lakukan? Aisya bermonolog sendiri. Tanpa disedari, dia sudah pun berada di dalam perut teksi yang meluncur laju menghala ke kampung halamannya.


“Aisya ada dengan you tak Amirul?” terjah Tengku Hariz sebaik sahaja Amirul menjawab panggilannya. Nadanya kedengaran cemas.
“Aisya? Tak ada, kenapa?” soal Amirul berserta kerutan di dahi. Kenapa dengan Aisya?
“Aku call dia tak angkat. Aku ketuk pintu bilik dia, tak berjawab. Bila aku tanya receptionist, diorang kata Aisya dah check out sebentar tadi. Aku assume dia ada dengan kau,” jelas Tengku Hariz dalam nada risau. Hatinya tidak tenteram sedari tadi. Risau akan keselamatan Aisya. “I risaukan dia Amirul. Dah lewat malam ni. Ke mana dia pergi?” keluh Tengku Hariz.
“You tak perlulah risau. I tahu dia takkan apa-apa, percayalah,” pujuk Amirul lebih kepada dirinya juga. Dia juga turut merasai dengan apa yang Tengku Hariz rasakan. Kemanalah Aisya pergi?
“I harap begitulah Amirul. Tak pelah, I akan cuba call dia lagi,” balas Tengku Hariz dan mematikan talian telefon.
Amirul melepaskan keluhan ringan. Kemana Aisya pergi menjadi persoalannya. Jika dia ditempat Aisya, mungkin dia juga akan melakukan perkara yang sama. Dia cuba mendail nombor telefon Aisya, tetapi berada di luar kawasan. Sungguh keras hati Aisya. Jika tiada rasa cinta di hati, mustahil Aisya akan terluka dengan perlakuan Tengku Hariz itu. Sedikit demi sedikit, Amirul mulai akui akan perhubungan di antara Aisya dan Tengku Hariz. Cinta mereka mulai berputik.


2 ulasan:

  1. kak, saya confuse sikitlah..
    kalau aisya ada anak dgn tg azizul, mana anak dia?
    ke anak dia mati/keguguran.
    atau saya yang terlepas pandang masa baca?
    wahh.. banyak sngt persoalan antara tg azizul dgn aisya.
    hehe.

    BalasPadam
  2. Nadiah... sume tu akn terjawab dlm bab 15-18..ttg anak..dlm bab 16..tungguuuu.... ;)

    BalasPadam