Khamis, 8 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 16


BAB 16

Aisya hanya mampu memandang dari jauh jenazah Encik Ahmad Nordin di bawa ke tanah perkuburan. Hatinya pilu dan sedih kerana tidak dapat menatap wajah abahnya buat kali yang terakhir. Aisya terlihat kelibat Puan Suhaila yang kelihatan agak sugul di samping Syikin. Jika kesalahannya boleh dimaafkan, mungkin Aisya yang akan berada di sebelah Puan Suhaila, mententeramkan hati Puan Suhaila. Ya ALLAH, kuatkan aku untuk menghadapinya, doa Aisya sendirian.
Aisya menuju ke pusara Encik Ahmad Nordin selepas orang ramai mulai meninggalkan perkarangan kubur. Dalam masa dia melangkah, kesemua memori bersama arwah berlayar di hadapan matanya. Dia akui yang dia terlalu rapat dengan arwah. Tidak boleh berenggang setika. Ke mana arwah pergi, kesitu jugalah dia akan mengekorinya.
Aisya duduk bersimpuh mengadap pusara Encik Ahmad Nordin. Orang tua-tua kata, tidak elok meraung di pusara. Lantas, Aisya menyeka air mata yang masih degil mengalir di pipi. Dengan sebak, dia menghadiahkan Surah Yassin buat roh Encik Ahmad Nordin.
“Maafkan Aisya abah. Aisya bersalah pada abah,” rintih Aisya sendirian. Semakin deras air mata mengalir membasahi pipi. Sukar untuk menyekanya lagi. “Semoga abah bahagia di sana. Aisya akan sentiasa doakan abah,” sambungnya lagi.
“Aisya!” panggil seseorang dari arah belakang. Aisya menoleh dan terlihat Nadia sedang berjalan menghampirinya. Nadia bersimpuh di sebelah Aisya. Bahu kawannya itu dipegang lembut.
“Maafkan aku Aisya. Aku yang bersalah. Kalau bukan disebabkan aku, semua ini tak akan berlaku dalam hidup kau,” suara Nadia dalam nada yang sebak.
Aisya menoleh sekilas kepada Nadia. Pantas tubuh kawannya itu dipeluk erat.
“Kau tak bersalah Nadia. Jangan menyalahkan diri kau sendiri. Dah takdir aku Nadia. Aku ikhlas dan redha menerimanya,” balas Aisya dalam nada esakan yang ditahan-tahan. Makin erat pelukan mereka berdua. Rasa bersalah aku takkan dapat hapus dari dalam hidup aku Aisya, suara hati kecil Nadia.

“Pergi kau, aku tak nak tengok muka kau lagi, pergi!” tengking Puan Suhaila dengan nada yang meninggi. Nafasnya sudah turun naik menahan marah. Syikin yang berada di sebelah kecut perut melihat kemarahan Puan Suhaila. Belum pernah maknya semarah itu.
“Mak, maafkan Aisya. Kalau mak tak nak jumpa Aisya, Aisya redha, tapi maafkan kesalahan Aisya mak,” rayu Aisya sambil memegang kaki Puan Suhaila.
Puan Suhaila menepis badan Aisya. Aisya terduduk ke belakang. Nadia menghampiri Aisya dan cuba membantu Aisya bangun. Syikin yang menjadi pemerhati sedari tadi hanya mampu menangis melihat kakaknya diperlakukan sebegitu oleh Puan Suhaila. Tapi siapalah dia untuk melawan kata Puan Suhaila walaupun kasih sayang pada kakaknya tidak dapat dijual beli.
“Makcik, Aisya tak bersalah. Apa yang Aisya beritahu pada makcik dan arwah pakcik adalah benar. Aisya teraniaya, Aisya dirogol,” terang Nadia memohon simpati daripada Puan Suhaila serta cuba menyakinkan Puan Suhaila yang Aisya tidak bersalah dengan apa yang terjadi ke atas diri Aisya.
Membulat mata Puan Suhaila mendengar kata-kata Nadia. Nadia dipandang tajam.
“Kau jangan nak memperbodohkan aku Nadia. Walaupun aku ni orang kampung, tapi aku tak sebodoh yang kau sangkakan. Kalau benarlah dia dirogol, kenapa tak laporkan saja pada pihak polis selepas dirogol, kenapa perlu disimpan kandungan lelaki tak guna tu,” sergah Puan Suhaila membuatkan Aisya dan Nadia terdiam. Ada benarnya kata Puan Suhaila itu. Kenapa mereka tidak melaporkannya kepada pihak polis atas perbuatan Tengku Azizul itu? Tetapi bagaimana untuk melaporkan pada pihak polis jika mereka tidak ada bukti untuk menyabitkan Tengku Azizul di atas kesalahan merogol Aisya?
Nadia mengimbau kembali pertemuannya dengan Helmi empat hari yang lepas. Rupa-rupanya Helmi merupakan tok dalang dalam kisah pergaduhan Aisya dan Tengku Azizul. Helmi yang telah menulis surat tersebut dan sengaja mahu untuk mengenakan Aisya serta melaga-lagakan Aisya dengan Tengku Azizul. Kenapa Helmi berbuat begitu? Semuanya bermula apabila Aisya menolak cinta Helmi. Malah Aisya juga pernah memalukan Helmi di hadapan kawan-kawan sekuliah mereka. Maka dari itu, Helmi rasa tercabar dan akhirnya dia berdendam dengan Aisya.
Helmi telah menciptakan pergaduhan di antara Tengku Azizul dan Aisya. Segala yang berlaku telah dirancang baik oleh Helmi. Secara tidak sengaja, Nadia terdengar perbualan Helmi bersama rakan-rakannya pada petang itu. Perbualan mengenai rancangan untuk mengenakan Aisya. Rancangan yang telah dicadangkannya kepada Tengku Azizul. Sungguh kejam Helmi kerana mencadangkan cadangan itu kepada Tengku Azizul sehingga menyebabkan mahkota serta maruah Aisya tergadai dan tercalar. Tidak ada rasa kasihankah pada Aisya kerana diperlakukan seperti itu?
Setelah mendapat tahu akan perkara yang sebenar, Nadia segera bersemuka dengan Helmi dan meminta Helmi berterus-terang kepada Aisya. Mujurlah dia telah merakam kesemua perbualan Helmi itu sekali gus mengugut Helmi untuk melaporkan kepada pihak polis. Jika tidak, susah juga untuk membuktikan kesalahan Tengku Azizul dan juga Helmi. Sukar juga untuknya mengugut Tengku Azizul agar bersetuju mengahwini Aisya. Mungkin dengan cara ini dia dapat membantu Aisya dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh Aisya.
Nadia kembali ke alam nyata tatkala terdengar esakan kecil dari arah Aisya.
“Makcik saya…” terhenti apabila Puan Suhaila bersuara.
“Sudahlah Nadia, kau bawa perempuan ni keluar dari rumah aku. Aku tak nak tengok muka dia. Kalau dia nak mati ke hidup ke, itu hak dia. Aku tak ada kena-mengena dengan hidup dia lagi. Cukuplah penghinaan yang aku dan arwah suami aku terima di atas kesalahan yang dilakukan olehnya. Tak tertanggung aku penghinaan itu.” Tanpa memandang Puan Suhaila menutup pintu rumahnya.
Aisya terkejut mendengarnya. Air mata merembes laju. Tak tertanggung derita olehnya kini. Dia bagaikan seorang banduan yang sudah dijatuhi hukuman mati tanpa sempat untuknya membuat pembelaan.
“Dahlah Aisya, aku yakin suatu hari nanti mak kau akan maafkan kau. Kaukan anaknya. Hati ibu mana yang tidak sayangkan anaknya Aisya,” pujuk Nadia sambil memegang bahu Aisya yang masih lagi teresak-esak menangis.
Aisya hanya membisu. Hatinya sedih apabila dibuang maknya sendiri. Bagaimana untuk dia terus tabah jika separuh nyawanya sudah dibawa pergi oleh Puan Suhaila? Hanya Puan Suhaila sahaja yang membolehkan dia hidup dengan tabah dan kuat.


Aisya melangkah masuk ke dalam rumah banglo 2 tingkat milik Tengku Azman selepas Nadia menghantarnya ke situ. Walaupun hati tidak rela, tetapi dia redha dengan takdir yang sedang menimpa dirinya. Jika sudah tersurat takdirnya begitu, dia ikhlas dan redha menerimanya. Dia tahu penerimaan Tengku Azman dan Puan Sharifah Rohana terhadap dirinya di dalam keluarga itu. Begitu juga dengan Tengku Azizul. Siapa yang tidak marah jika dipaksa berkahwin dan duduk sebumbung dengan perempuan yang dibencinya selama ini. Ya, akulah perempuan yang dibencinya itu. Walau bagaimanapun dia tetap suamiku. Aku harus menjaga maruah suamiku. Aku akan cuba membahagiakannya. Aku akan cuba menghadapi semua ini dengan rela dan hati yang terbuka. Hanya dia tempat aku berlindung sekarang ni, monolog Aisya sendirian.
“Kau buat apa lagi kat situ. Kau jangan ingat, lepas kau kahwin dengan anak aku, kau nak jadi mem besar dalam rumah ni. Sedar diri tu sikit!” sergah Puan Sharifah Rohana mematikan lamunan Aisya sebentar tadi.
“Maafkan Aisya mama. Aisya mengelamun sebentar tadi,” lembut Aisya menuturkannya. Kepala ditundukkan menghormati Puan Sharifah Rohana.
“Hey, jangan nak gatal-gatal panggil aku mama. Siapa mama kau? Panggil aku Puan Sharifah, faham!” tengking Puan Sharifah Rohana.
Aisya terkejut. Dia mengurut-urut dada yang berdegup kencang tiba-tiba. Menggigil badannya seketika. Dia cuma mengangguk faham.
“Dah, jangan nak buat muka sedih tu, jijik aku tengoknya. Perempuan tak sedar diri!” Kutuk Puan Sharifah Rohana dan segera beredar dari situ dengan perasaan yang meluat.
Aisya menahan diri dari menangis. Tiada guna untuk dia menangisi nasibnya kerana nasibnya sudah diperjudikan kepada keluarga Tengku Azizul.
“Sudahlah nak. Jangan dikesahkan apa yang Puan Sharifah tu cakapkan. Banyak-banyakkan bersabar ya nak,” pujuk Mak Kiah tiba-tiba membuatkan Aisya sedikit terkejut. Bila masa orang tua itu berada di situ, dia sendiri tidak pasti.
“Tak apalah Mak Kiah, Aisya dah biasa dengan semua ni,” balas Aisya lembut. Dia memaksa bibirnya mengukir senyuman buat Mak Kiah.
“Aisya… Mak Kiah faham perasaan Aisya. Mak Kiah kesiankan Aisya. Disebabkan salah orang lain, Aisya terpaksa menanggungnya. Mak Kiah kagum dengan ketabahan Aisya,” suara Mak Kiah kesal. Namun masih terselit kata-kata pujian buat Aisya.
“Dah takdir saya Mak Kiah. Erm… Mak Kiah nak suruh saya buat apa?” tanya Aisya sekali gus menukar topik perbualan. Tidak mahu terus-terusan membincangkan perkara itu lagi.
“Eh… tak mengapalah Aisya. Mak Kiah boleh buat seorang. Lagipun Aisyakan mengandung. Awal-awal nilah Aisya kena jaganya elok-elok,” tegah dan nasihat Mak Kiah. Khuatiri akan memberi kesan kepada kandungan Aisya jika Aisya membantunya membuat kerja-kerja rumah.
“Tak pe Mak Kiah. Biar Aisya tolong Mak Kiah ya,” degil Aisya dan mencapai ikan yang baru dikeluarkan oleh Mak Kiah. Dibawanya ke sinki dan disiangnya ikan itu.
Mak Kiah sekadar memerhati. Dia menggeleng kecil. Hatinya terasa pilu mengenangkan nasib Aisya. Kenapa gadis secantik dan sebaik Aisya terpaksa mengharungi dugaan seberat ini? Apakah Aisya akan terus-terusan begini? Mungkin ada hikmahnya kenapa ALLAH memilih Aisya menghadapi ujianNYA. Walau apa pun, dia berharap agar suatu hari nanti, Aisya akan memperolehi kebahagiaannya sendiri. Semoga kau hargainya suatu hari nanti Azizul, doa Mak Kiah di dalam hati.


“Dia ingat dia boleh hidup senang dalam rumah ni. Tak sedar diri betul pompuan kampung tu. Harap muka aje lawa, tapi hati busuk,” bebel Puan Sharifah Rohana meluat.
“Apa yang awak bebelkan tu Ana? Dari tadi mulut tu terkumat-kamit saya tengoknya kenapa?” tegur Tengku Azman dan duduk di birai katil. Wajah Puan Sharifah Rohana ditatap mesra.
“Apa lagi kalau bukan pompuan tak sedar diri tu. Dia ingat bila dia dah kahwin dengan Azizul, dia boleh tumpang senang dalam rumah ni. Jangan nak bermimpilah!” marah Puan Sharifah Rohana.
“Sudah-sudahlah Ana. Diorang pun dah selamat kahwin. Kita doakan ajelah apa yang terbaik buat diorang berdua,” kata Tengku Azman seakan memujuk. Tangan Puan Sharifah Rohana dicapai dan digenggam erat. Cuba meredakan kemarahan isterinya itu.
“Itulah abang, ambil mudah sesuatu perkara. Macam tak kesah saja apa yang berlaku kepada anak kita tu. Sedih saya tengok mukanya bang. Kecewa benar rupanya. Punah impiannya nak berkahwin dengan Sharifah Aleeya.” Puan Sharifah Rohana meluahkan rasa kecewanya. Kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Tengku Azizul.
“Awak ingat saya tak ambil kesah ke dengan perkara ni? Awak tahu tak saya pun kecewa dengan apa yang berlaku. Kalau kita tak turutkan kemahuan mereka, perkara ini akan bertambah serius. Awak nak ke tengok anak kita merengkuk dalam penjara jika perkara ini dibawa ketengah. Kalau orang lain tahu, mana saya nak letakkan muka ni. Saya malu, awak pun malu juga nanti,” jelas Tengku Azman berserta keluhan berat. Bingkas dia bangun menuju ke balkoni rumah. Tidak mahu isterinya mengesan perasaan kecewanya itu.
Puan Sharifah Rohana terdiam. Dia memikirkan semula kata-kata Tengku Azman. Ada benarnya apa yang diperkatakan oleh suaminya itu. Jika perkara itu diperbesar-besarkan, dia juga yang akan menanggung malu. Tidak sanggup mambayangkan jika perkara itu benar-benar berlaku. Hisy, takut aku memikirkannya, desisnya. Walau bagaimana pun, dia tetap tidak akan menerima Aisya sebagai menantunya. Dia akan tetap berusaha untuk memisahkan Aisya dengan Tengku Azizul dan dia yakin rancangannya itu akan berhasil.


Tengku Azizul masih lagi berada di dalam bilik. Fikirannya buntu memikirkan kejadian yang telah terjadi. Bukan perancangannya untuk menikahi Aisya. Tidak terfikir juga di akal fikiran untuk menikahi Aisya. Siapa Aisya sebelum ini pun dia tidak pernah ambil peduli. Apa yang dia tahu, Aisya merupakan anak Encik Ahmad Nordin, pemandu peribadi Tengku Azman. Namun demi menjaga nama baik dan maruah keluarga, dia akur dengan cadangan Tengku Azman walaupun hatinya berperang hebat. Melihat wajah Sharifah Aleeya yang teresak-esak menangis siang tadi, amat melukakan tangkai hatinya. Dia tidak berniat untuk melukakan hati Sharifah Aleeya mahupun membuang Sharifah Aleeya dari hidupnya. Cintanya pada Sharifah Aleeya terlalu tebal jika nak dibandingkan dengan segala-galanya. Selama tiga tahun mengulam cinta, akhirnya putus di tengah jalan.
Dia menggenggam tangan erat seperti penumbuk. Geram dan marah di dalam hati masih belum diluahkan. Sewaktu Aisya dan Nadia menemui keluarganya, mahu saja dia melepaskan penumbuk ke muka mereka berdua, lebih-lebih lagi apabila mendengar kelancangan mulut Nadia mengutuk dan membela Aisya. Dia juga marah terhadap Helmi yang sanggup mengkhianatinya. Tak guna punya kawan. Mesti kau dah kena sogok dengan pompuan sundal tu. Siap kau Helmi, aku takkan lepaskan kau, bentak Tengku Azizul. Perjumpaan Nadia, Aisya bersama keluarganya tiga hari yang lepas dilakonkan semula.
“Saya tahu Tengku seorang yang terkenal dan ternama. Jika saya hebahkan pada media, pasti Tengku sekeluarga akan menanggung malu. Tengku perlu ingat, periuk nasi Tengku ada dalam genggaman tangan saya,” ugut Nadia sambil ketawa sinis kepada Tengku Azman sekeluarga. Bagi Nadia, dengan cara ini sajalah dia dapat menebus segala kesalahannya terhadap Aisya. 
Tengku Azman sudah pun terduduk. Bungkam dia seketika memikirkan masalah yang sedang dihadapinya. Dia merenung ke arah Tengku Azizul yang sedang tunduk membisu.
“Hey, kau jangan nak memperbodoh-bodohkan kami. Apa bukti kau yang menyatakan anak dalam kandungan kau tu anak Tengku Azizul. Jangan-jangan kau dah jalang dengan lelaki lain, kau tuduh anak aku pulak. Perempuan tak malu, tak sedar diri. Makan minum pun aku yang bagi, kalau tak kebulur la keluarga kau tu,” bidas Puan Sharifah Rohana. Matanya tajam ke arah Aisya.
Berdesing telinga Aisya mendengarnya. Darah menyirap menahan amarah di hati. Memang tidak dinafikan duit gaji yang diterima oleh abahnya adalah dari duit Tengku Azman sekeluarga kerana abahnya bekerja sebagai pemandu keluarga itu. Tapi, itu tidak bermakna Puan Sharifah Rohana punyai hak untuk menghina dan mengutuk keluarganya.
Hello Puan Sharifah, kalau kami tak ada bukti, tak adalah kami berani datang ke sini. Kalau Puan Sharifah masih berdegil, saya tak teragak-agak untuk menyerahkannya dan sekali gus memanggil polis untuk menangkap anak Puan Sharifah. Kau kenal dengan Helmi, Tengku Azizul?” Lancar betul Nadia menuturkannya. Sengaja untuk mengugut Tengku Azizul serta keluarganya. Matanya melirik ke arah Tengku Azizul. Dia tidak takut berhadapan dengan orang sebegitu. Yang penting Aisya mendapat pembelaan yang sepatutnya.
Tengku Azizul mulai gelisah apabila Nadia bertanyakan tentang Helmi. Mana mungkin dia tidak mengenali Helmi kerana Helmi rakan subahatnya. Helmi jugalah yang memberi cadangan untuk mengenakan Aisya.
“Baiklah Nadia. Saya setuju dengan cadangan Nadia untuk mengahwinkan Aisya dengan Tengku Azizul. Saya harap perkara ini habis di sini saja,” putus Tengku Azman yang sudah diselimuti dengan perasaan sebak dan kesal.
Tengku Azizul menggeleng-gelengkan kepala. Pantas dia menerpa ke arah Tengku Azman yang sedang duduk di atas sofa.
“Tidak papa, Azizul tak setuju menikah dengan Aisya. Azizul tak setuju,” rintihnya dan kemudian itu memandang ke arah Puan Sharifah Rohana untuk menagih simpati. Puan Sharifah Rohana yang melihat wajah simpati Tengku Azizul, bingkas bangun dan duduk bersebelahan Tengku Azman.
“Bang, takkan tak ada cara lain lagi untuk kita selesaikan masalah ini. Takkanlah perlu kahwin. Habis tu Sharifah Aleeya bagaimana? Dua hari lagikan perkahwinan mereka,” soal Puan Sharifah Rohana sambil memegang tangan Tengku Azman.
Tengku Azman menarik nafasnya dalam-dalam. Dia menggelengkan kepala dan berlalu meninggalkan tempat itu. Perasaan kecewa sedang menghuni hatinya ketika itu.
Tengku Azizul sudah pun terduduk. Puan Sharifah Rohana memicit-micit kepalanya yang tiba-tiba terasa sakit. Bahu Tengku Azizul ditepuk lembut, seperti menyabarkan anaknya yang sedang berperang dengan hati dan arahan Tengku Azman. Nadia tersenyum puas. Sekilas dia menoleh ke arah Aisya yang masih lagi tunduk membisu menahan esakan tangisan. Bagi Aisya tiada apa yang perlu digembirakan kerana jika itu takdir buatnya, dia redha. Namun disebalik itu, dia dipagut gelisah. Seperti keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya. Ya ALLAH, aku berserah padamu akan nasibku ini, doanya di dalam hati.
“Tengku…” panggil Aisya dengan nada terketar-ketar mematikan lamunan Tengku Azizul yang panjang. Tengku Azizul menoleh ke arah Aisya yang sedang berdiri di muka pintu bilik.
“Kau nak apa?” tanya Tengku Azizul kasar.
Aisya hanya menunduk. Tidak berani untuk melihat muka Tengku Azizul yang sedang tegang itu. Dia tahu Tengku Azizul amat benci melihat mukanya.
“Aku tanya ni, kau nak apa, pekak ke kau ni atau buat-buat pekak?” soal Tengku Azizul lagi. Matanya tajam memandang Aisya.
“Tengku nak makan? Kalau nak makan, Aisya boleh siapkan,” jawab Aisya dengan nada yang perlahan.
Tengku Azizul mendengus keras dan menghampiri Aisya yang masih berdiri di muka pintu bilik. Barangkali Aisya tidak berani untuk masuk ke dalam bilik ini, fikirnya. Matanya tidak lekang memandang Aisya. Perempuan yang sudah memusnahkan hidupnya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan memafkan perempuan ini.
“Kau tanya aku nak makan apa? Hey pompuan, aku jijik nak tengok muka kau inikan pulak nak makan mengadap kau. Kau sedar diri tu sikit. Kau jangan ingat dengan kandungan kau tu, kau boleh ugut aku supaya aku dengar cakap kau, go to hell la!” marah Tengku Azizul.
Aisya tersentak. Hina sangat ke aku sehinggakan nak pandang muka aku pun dia jijik. Jika nak dikirakan, sepatutnya aku yang jijik pandang mukanya sebab dia aku terpaksa mengandungkan anak dia. Jijik dengan perbuatan binatang dia tu, bentak Aisya sendirian. Tanpa disuruh, Aisya membawa kakinya keluar dari bilik itu.
“Kau nak ke mana? Ada aku suruh kau keluar?” tegur Tengku Azizul mematikan langkahnya. Aisya hanya menggeleng. “Yang kau berdiri kat situ lagi tu kenapa, tutup pintu tu, aku nak tidur!” tengking Tengku Azizul pula.
Aisya terkejut mendengarnya. Lantas dia menutup pintu bilik dan berdiri di sudut tepi meja yang terletak di dalam bilik itu.
“Nah, kau tidur kat bawah tu. Jangan kau ingat aku akan layan kau sebagai isteri aku. Tutup lampu tu!” arah Tengku Azizul. Dia mencampakkan sebiji bantal ke arah Aisya. Kemudian dia membaringkan badan di atas katil. Menarik selimut dan memejamkan mata. Mengharapkan igauan ngeri ini hilang ditelan mimpinya malam ini.
 Aisya menarik nafasnya dan segera menutup suis lampu bilik itu. Dia cuba menahan diri daripada menangis. Dia tidak mahu dianggap lemah di hadapan lelaki itu. Dia perlu kuatkan diri untuk menghadapinya kerana syurganya kini terletak di telapak kaki lelaki itu. Sabarlah duhai hati!


2 ulasan:

  1. hahahh...suke la gan akak ni.. ;)....
    best la bab ni...sye siap imgne lg sambil mbaca...heheheh

    BalasPadam
  2. huhu...imagine jgn x imagine..anggaplah diri tu aisya ok... ;)

    BalasPadam