Khamis, 8 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 17


BAB 17

“Kau okey ke Aisya?” soal Nadia apabila melihat wajah mendung Aisya. Aisya hanya mengangguk. “Kau jangan nak tipu aku Aisya. Aku tahu kau ada masalah kan?” soal Nadia lagi seperti tidak berpuas hati dengan anggukan Aisya.
“Aku okeylah Nadia. Kau jangan la risau,” jawab Aisya sambil matanya tidak lekang menatap buku di hadapannya.
Nadia menghembuskan nafasnya. Pantas dia memegang tangan Aisya. Wajah Aisya dipandang sayang.
“Kau tak bahagia kan?” duga Nadia lagi. Seperti mengasak Aisya supaya bersuara. Aisya memberhentikan pembacaannya. Dia membalas pandangan Nadia yang dari tadi asyik memandangnya.
“Nadia, bahagia ataupun tidak, aku tidak peduli. Yang aku pentingkan sekarang ni, anak dalam kandungan aku yang semakin membesar ni. Aku sanggup hadapi semuanya dengan ikhlas dan redha. Aku redha kalau Tengku Azizul tidak dapat menerima aku sebagai isterinya, tetapi aku nak dia terima anak ini. Anak ini tak bersalah Nadia. Aku kesiankan dengan anak aku ni,” luah Aisya sambil cuba menahan dirinya agar tidak menangis.
Nadia mengeratkan lagi genggaman tangannya. Badan kawannya itu dipeluk erat seakan tidak mahu dilepaskan saja. Jika semua bebanan boleh di tukar ganti, ingin saja dia menggalas bebanan yang sedang digalas oleh Aisya ketika ini.
“Hey, dahlah… rimas aku tau. Kau ni macamlah setahun tak jumpa aku. Mengada-ngadalah kau ni Nadia,” usik Aisya sambil merenggangkan pelukan Nadia.
Nadia mencebikkan bibirnya sahaja. Aisya ketawa kecil melihat gelagat Nadia.
“Aku rasa, aku nak berhenti belajarlah Nadia,” suara Aisya dalam tawanya yang masih bersisa. Nadia mengecilkan matanya. “Aku nak tumpukan sepenuh perhatian aku pada rumah tangga dan anak aku,” sambung Aisya melihatkan dari gaya Nadia memandangnya.
Nadia hanya mengangguk. Dia kenal benar dengan perangai Aisya. Hatinya begitu keras seperti batu kelikir. Kalau putih, putihlah katanya. Kalau hitam, hitam jugalah katanya. Tiada siapa yang boleh membangkang akan kata-kata Aisya ataupun keputusan yang telah dibuat oleh Aisya.
“Aku sokong keputusan kau Aisya. Tapi aku nak kau janji dengan aku, kalau ada apa-apa yang berlaku, cepat-cepat hubungi aku tau. Janji!” Sambil menghulurkan jari kelingking kepada Aisya. Aisya menyambutnya dengan sebaris senyuman.
“Aku janji Nadia. Terima kasih di atas segala-galanya,” ucap Aisya seraya memeluk erat tubuh kawan baiknya itu. Nadia membalasnya diiringi doa buat Aisya di dalam hatinya.


Aisya menuju ke dapur untuk meneguk segelas air. Kepalanya yang terasa sakit dipicit-picit lembut dengan tangannya. Dari petang tadi selepas berjumpa Nadia, kepalanya terasa berdenyut-denyut, badannya pula terasa lemah. Mungkin kandungannya yang genap tujuh bulan membuatkan badannya bertambah lemah dan cepat letih. Dia sudah pun merujuk kepada doktor dan doktor cuma memintanya menjaga pemakanan dan tidak membuat kerja-kerja berat demi menjaga keselamatan kandungannya. Dia mengusap-usap lembut perutnya yang semakin menggunung. Ingatannya tertumpu kepada Puan Suhaila. Betapa rindunya dia terhadap Puan Suhaila. Jika Puan Suhaila dapat memaafkan kesalahannya, sudah pastilah ketika ini dia berada di sisi Puan Suhaila, menjaga makan minumnya ketika dia mengandung. Mak, Aisya rindukan mak, rintihnya.
“Amboi… amboi… sedapnya duduk melepak kat sini. Kau ingat bila kau dah mengandung, kau tak boleh nak buat kerja kat dalam rumah ni ke, pompuan kampung,” sindir Puan Sharifah Rohana mematikan ingatan Aisya terhadap Puan Suhaila.
“Puan Sharifah! Maaf, Aisya dahaga tadi, tu yang berehat sekejap. Nanti Aisya sambung balik kerja,” jawab Aisya sambil tunduk memandang lantai.
Puan Sharifah Rohana mendengus kuat. Marah sungguh dia mendengar jawapan Aisya.
“Banyaklah kau punya alasan, dahaga konon. Sebenarnya kau nak curi tulangkan!” sanggah Puan Sharifah Rohana.
Aisya menggelengkan kepala. Matanya masih lagi tertumpu ke bawah lantai. Takut untuk menatap wajah mak mertuanya.
“Sudah, jangan kau nak buat drama kat sini. Pergi buat kerja sekarang!” arah Puan Sharifah Rohana dan berlalu pergi meninggalkan ruang dapur itu. Aisya hanya mengangguk.
Semenjak dia bernikah dengan Tengku Azizul, Tengku Azman tidak mahu ambil peduli dengan apa yang berlaku di dalam rumah itu. Semuanya diserahkan bulat-bulat kepada Puan Sharifah Rohana. Tengku Azman begitu kecewa dengan Tengku Azizul. Bagi Tengku Azman, Tengku Azizul sudah pun menconteng arang ke mukanya. Tengku Azman juga masih tidak dapat menerimanya sebagai menantu walaupun sudah enam bulan dia menjadi menantu di dalam rumah itu. Menerimanya sebagai menantu? Hendak memandang mukanya Tengku Azman terasa jijik dan benci, inikan pula menerimanya sebagai menantu. Ah! Jangan beranganlah Aisya. Sampai bila-bila pun bapa mertua kau takkan terima kau sebagai menantunya. Bagi dia kau dah hancurkan masa depan Tengku Azizul. Walaupun dia tidak meluahkannya seperti Puan Sharifah Rohana, dari anak matanya sudah menjelaskan betapa dia membenci kau Aisya, monolog Aisya seketika. Dia menyambung semula kerjanya yang tertangguh. Berkali-kali Mak Kiah melarangnya membuat kerja, tetapi disebabkan arahan dari Puan Sharifah Rohana, dia terpaksa akur membuatnya.
Aisya menguak pintu bilik Tengku Azizul dengan perlahan-lahan. Dikhuatiri akan membuatkan Tengku Azizul terjaga. Dengan langkah yang perlahan, dia menuju ke bilik air untuk berwuduk. Dia teringat yang dia masih belum mengerjakan Sholat Isyak. Kelekaannya membuat kerja rumah, menyebabkan dia hampir terlupa mengadap Tuhan Yang Maha Esa. Hanya padaNYA jugalah tempat dia mengadu segala bebanan yang ditanggung selama ini.
Seusai sholat, dia meletakkan kepalanya di atas bantal untuk menghilangkan segala keletihan siang tadi. Sempat dia mengerling ke arah Tengku Azizul yang sedang lena diulit mimpi indah. Indah ke? Ya, mungkin indah tidak seperti mimpinya. Wajah Tengku Azizul ditatap lama. Tidak dinafikan suaminya memiliki raut wajah yang kacak. Mana mungkin dia menjadi kegilaan perempuan semasa di universiti dulu. Dalam diam dia juga jatuh cinta dengan pemilik wajah itu. Tapi siapalah dia untuk terbang sama dengan enggang. Dia sedar siapa dirinya. Memiliki Tengku Azizul tidak pernah terlintas di fikirannya, apatah lagi menjadi isteri Tengku Azizul. Namun takdir ALLAH tiada siapa yang tahu. Dia kini menjadi isteri Tengku Azizul. Isteri di atas kertas putih semata-mata. Aisya melepaskan keluhan yang berat. Kepala dihenyak semula ke atas bantal. Belum sempat dia melelapkan mata, perutnya terasa sakit yang amat sakit. Terasa peluh dingin membasahi dahinya ketika ini.
“Ya ALLAH, kenapa dengan perut aku ni,” rintihnya sendirian sambil mengusap perutnya yang terasa sakit.
Aisya memandang ke arah Tengku Azizul yang masih lagi tidur. Rasa bersalah untuk mengejutkan suaminya. Jika dikejutkan mungkin akan mendatangkan kemarahan pada suaminya itu. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Otaknya buntu memikirkannya. Perut yang masih terasa sakit diusapnya lagi. Selepas berfikir, dia tekad. Dalam keadaan darurat, dia terpaksa mengejutkan Tengku Azizul. Jika dimarahi sekalipun dia tidak ambil peduli kerana ketika ini dia memerlukan Tengku Azizul berbanding kemarahan Tengku Azizul.
“Tengku… Tengku…” panggilnya dengan suara yang lembut.
Tiada tindak balas. Pantas dia menepuk lembut lengan Tengku Azizul sambil memanggil nama Tengku Azizul. Tengku Azizul terjaga. Bulat matanya memandang Aisya yang sedang duduk bersebelahan dengannya. Dia mengangkat kepalanya sedikit.
“Kau nak apa? Kan aku dah pesan, jangan kacau aku bila aku tidur. Kau tak faham bahasa ke?” marah Tengku Azizul sambil jari telunjuknya menunjal kepala Aisya. Aisya tersentak dengan perlakuan Tengku Azizul.
“Maaf Tengku, perut saya sakit. Saya nak minta tolong Tengku bawakan saya ke klinik,” rayu Aisya dalam masa yang sama matanya memandang Tengku Azizul, menagih simpati.
Tengku Azizul mendengus kuat. Marah sungguh dia disaat itu. Tidur lenanya diganggu.
“Kau yang sakit, kau pergilah sendiri. Lagipun tu anak kau, bukan anak aku.” Sinis kata-kata yang dikeluarkan dari mulut Tengku Azizul. Bagaikan dipukul ombak dirasakan Aisya ketika itu. Aisya menyeka air mata yang hampir gugur. Kemudian itu dia mengangguk.
“Tak mengapalah, maafkan saya kerana mengganggu tidur Tengku. Saya minta izin Tengku untuk ke klinik.” Sayu kedengaran suara itu. Tanpa berlengah lagi dia mencapai dompet yang terletak di sisi bantal. Kemudian, dia menoleh sebelum tombol pintu dipulas.
“Jika Tengku nak membenci saya… bencilah. Saya redha dan ikhlas menerimanya. Tapi, tolong jangan benci anak ini, dia tidak bersalah,” rintihnya lagi dan segera keluar dari bilik itu.
Terpana Tengku Azizul mendengarnya. Bagaikan panah sedang memanah tangkai hatinya. Tiada rasa simpatikah dalam diri lelaki ini? Tidakkah dia berlaku kejam ke atas Aisya?
Aisya masih menunggu di bahu jalan. Matanya tidak lekang melihat kelibat teksi. Perutnya yang semakin sakit diusap perlahan-lahan agar dapat mengurangkan kesakitannya. Dia mengerling jam di tangan, hampir pukul 12 tengah malam. Mana mungkin ada teksi dalam waktu begini, fikirnya. Hendak menelefon Nadia, tidak mungkin kerana selepas menemuinya siang tadi, Nadia terus ke Melaka untuk menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarganya. Tanpa berlengah, dia melangkah jalan menuju ke klinik berhampiran. Jika dia tidak silap, ada sebuah klinik berhampiran dengan kawasan perumahan itu. Di gagahkan juga kakinya melangkah walaupun ketika itu badannya terasa lemah ditambah kesakitan di perut.
“Ya ALLAH, kuatkan hatiku, kuatkan semangatku,” doanya sendirian. Segala perasaan takut yang menjelma ketika itu dibuang jauh-jauh. Apa yang penting baginya ialah sampai ke klinik dengan segera. Namun dia tidaklah sekuat mana yang disangkakan, akhirnya dia rebah ke bumi.


“Bagaimana keadaan isteri saya, doktor?” tanya Tengku Azizul yang berwajah cemas. Doktor di hadapan di pandang minta penjelasan. Matanya melirik ke tag nama ‘Aril Fatah’ yang tersemat di baju lelaki itu. Dr. Aril Fatah menepuk bahu Tengku Azizul, cuba untuk memenangkan suami perempuan yang sedang dirawatnya.
“Macam nilah….” Terhenti.
“Tengku Azizul,” ujar Tengku Azizul apabila melihat Dr. Aril Fatah sepertinya ingin mengetahui namanya. Dr. Aril Fatah mengangguk.
“Macam nilah Tengku Azizul. Buat masa sekarang ni, saya terpaksa menahan isteri Tengku untuk beberapa hari lagi. Keadaannya terlalu lemah, mujurlah dia cepat dibawa ke mari, jika tidak…”
“Jika tidak apa doktor?” dipotong oleh Tengku Azizul.
“Jika tidak kandungan isteri Tengku mungkin tidak dapat diselamatkan,” sambung Dr. Aril Fatah. Tengku Azizul menggelengkan kepala. Wajahnya diraup beberapa kali. Mungkin kekesalan sedang menyelubungi dirinya ketika ini.
“Saya minta diri dulu,” ujar Dr. Aril Fatah.
Tengku Azizul sekadar mengangguk. Belum sempat Tengku Azizul melangkah, dia ditegur oleh Dr. Aril Fatah semula.
“Jangan bagi tekanan pada dia Tengku. Jika perasaannya tertekan, ia akan menjejaskan lagi kandungannya.” Tengku Azizul bagaikan terpukul dengan kata-kata Dr. Aril Fatah. Dirasakan sebaldi air panas sedang dicurahkan kepadanya.
Tengku Azizul merapati katil Aisya. Beribu sesalan sedang menebal di dalam hati. Wajah itu ditatap sayang. Selama hampir enam bulan selepas pernikahannya tidak pernah sekali dia memandang wajah Aisya. Tatkala dia memandang Aisya, perasaan benci yang meluap-luap muncul. Baginya Aisya pemusnah hidup dan cintanya. Walaupun dia membenci wajah itu, tetapi wajah itu tetap beriak tenang dan redup. Aisya masih setia menjadi isterinya, setia berada di sisinya, setia melayan karenahnya tanpa ada rasa dendam dan marah. Dia mengusap lembut pipi Aisya yang sedikit cengkung. Mungkin Aisya mengabaikan masa makannya sehingga menyebabkan pipi Aisya secengkung ini, fikirnya.
Matanya beralih ke perut Aisya yang semakin menggunung. Rasa kesal tatkala memandangnya. Sungguh kejam dia menidakkan akan kewujudan anaknya itu. Tergamak dia membenci dan menyalahkan anak itu. Jika bukan kerana nafsu, tidak mungkin dia akan berbuat begitu kepada Aisya, merogol Aisya dan menyalahkan semua itu kepada Aisya. Tetapi, sedikit pun Aisya tidak menyalahkan dia dengan apa yang telah berlaku. Begitu kasih Aisya terhadapnya. Tangan Aisya digenggam erat. Bagaikan kasihnya sudah ditumpahkan kepada isterinya ketika itu. Tidurlah sayang, abang akan berada di sisi sayang buat selama-lamanya, bisiknya lembut ke telinga Aisya.


Aisya membuka mata. Berpisat-pisat dia memandang keadaan sekeliling. Sepertinya dia berada di tempat yang asing ketika ini. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling bilik itu. Pelik, kalau tak silap aku, aku rebah kat tepi jalan dalam aku menuju ke klinik malam tadi. Macam mana aku boleh berada kat sini pulak? Soalnya di dalam hati. Dia mengangkat badan dan bersandar di kepala katil. Masih terasa denyutan di kepalanya.
“Hai Aisya, how are you today?” tanya seseorang dari pintu bilik. Aisya menoleh dan terlihat kelibat seorang doktor muda sedang menghampirinya. “Boleh saya periksa Aisya,” mohon Dr. Aril Fatah dalam nada yang lembut. Aisya hanya mengangguk. Persoalannya tadi sudah pun terjawab. Kini dia berada di hospital. Dia membiarkan doktor muda itu memeriksa nadinya. Sesekali dia mengerling ke tag nama yang terpahat di baju doktor itu. Aril Fatah! Bisiknya.
So, mulai hari ini, saya nak Aisya jaga pemakanan dan kurangkan buat kerja-kerja berat. Kandungan Aisya begitu lemah. Mujur Aisya cepat ke sini, jika tidak kandungan Aisya mungkin tak dapat diselamatkan,” jelas Dr. Aril Fatah sambil mencatatkan sesuatu di atas fail yang tergantung di birai katil.
Aisya mengangguk faham. Yang menjadi persoalannya lagi, bagaimana dia boleh berada di hospital ini? Dia perlu mengetahuinya.
Okey, kalau tidak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu. Kalau Aisya perlukan apa-apa, just tekan butang hijau tu,” ujar Dr. Aril Fatah sambil jarinya menunjuk ke butang yang terletak di tepi katil.
“Erm… doktor!” panggil Aisya mematikan langkah Dr. Aril Fatah yang sedang memulas tombol pintu bilik. Dr. Aril Fatah memaling memandang Aisya. “Siapa yang hantar saya ke sini?” soal Aisya sambil pandangannya tertumpu ke wajah doktor muda itu. Dr. Aril Fatah tersenyum.
Your husband!” jawabnya spontan dan terus hilang di sebalik pintu.
Terpana Aisya mendengarnya. Bagaikan tidak mempercayai dengan apa yang telah diperkatakan oleh doktor muda itu tadi. Ah! Tak mungkin dia. Nak melihat muka aku pun dia benci, inikan pulak nak menghantar aku ke hospital. Dia sendiri yang menolak bila aku meminta tolongnya malam tadi, sanggah hatinya seakan tidak mempercayainya.
Pintu bilik dikuak. Pantas matanya tertancap kepada sesusuk tubuh yang sedang menghampirinya. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Terkebil-kebil matanya memandang susuk tubuh itu. Pantas dia membuang pandang ke luar jendela. Dikhuatiri akan dimarahi oleh pemilik susuk tubuh itu.
“Sayang macam mana hari ni, sihat?” tanya Tengku Azizul sambil melabuhkan punggungnya di atas katil bersebelahan Aisya.
Aisya mengerutkan dahi. Dia panggil aku sayang. Aku salah dengar ke? Rasanya minggu lepas aku dah korek telinga aku ni, soal hatinya.
“Aisya!” panggil Tengku Azizul dalam nada yang lembut.
Aisya menoleh sekilas memandang Tengku Azizul yang asyik memandang ke wajahnya.
“Abang minta maaf. Abang banyak buat salah dengan Aisya. Tak tertanggung dosa abang pada Aisya. Maafkan abang ya sayang.” Lembut Tengku Azizul membicarakannya sambil meramas tangan Aisya.
Aisya terpana seketika. Betul ke dengan apa yang sedang didengarnya itu? Betul ke dengan apa yang dipandangnya? Mustahil Tengku Azizul mengalah begitu saja. Takkan semudah itu Tengku Azizul membuang ego lelaki semata-mata dirinya. Mustahil! Mustahil!
“Hey, kenapa termenung ni. Aisya tak percaya dengan abang ke?” tanya Tengku Azizul mematikan lamunannya tadi.
Aisya hanya membisu. Tengku Azizul tersenyum. Dia tahu Aisya masih lagi terkejut melihat perubahannya. Tangan Aisya digenggam erat. Aisya tersentak dengan tindakan Tengku Azizul.
“Abang tahu Aisya terkejut melihat perubahan abang kan. Tapi, percayalah sayang, mulai hari ini, abang akan sentiasa berada di sisi Aisya. Abang takkan sia-siakan Aisya. Abang takkan sia-siakan anak kita. Abang akan jaga Aisya dan anak kita, abang janji,” pujuk Tengku Azizul lembut sambil mengusap-usap pipi Aisya dan kemudian itu mengucup pipi isterinya itu.
“Jangan pandai membuat janji Tengku, takut janji itu akan memakan diri Tengku sendiri,” sindir Aisya sambil menarik tangannya dari genggaman Tengku Azizul.
Tengku Azizul tersentak seketika. Yang lebih menyentakkan dia panggilan Aisya terhadapnya. Tengku Azizul meraup wajah seketika. Cuba mendapat kekuatan dalam usaha untuk menyakinkan Aisya akan perubahan dirinya.
“Abang tahu abang bersalah pada Aisya. Tapi, berilah abang peluang untuk menebusnya. Abang akan jaga Aisya. Abang akan cuba membahagiakan Aisya. Percayalah sayang!” rayu Tengku Azizul lagi. Pandangannya di tumpah kepada wajah isterinya.
Aisya melepaskan keluhan kecil. Hendak percaya pun tidak, tidak percaya pun tidak. Wajah suaminya dipandang kasih. Jelas keikhlasan di mata suaminya itu.
“Tak mengapalah, saya penat, saya nak berehat dulu,” suara Aisya dan segera merebahkan badannya semula. Kain selimut ditarik sehingga menutupi mukanya.
Tengku Azizul hanya mengangguk. Tercuit hatinya melihat gelagat Aisya yang berselubung dengan kain selimut. Dia harus memberi ruang kepada Aisya untuk berfikir. Tanpa disuruh, dia bingkas bangun dan beredar dari bilik itu untuk menemui Dr. Aril Fatah.
Aisya yang menyedari pintu bilik dikuak, segera membuang selimut dari menutupi wajahnya. Nafasnya dihela panjang. Dia masih tidak mempercayai dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi. Perubahan drastik yang berlaku pada Tengku Azizul. Hatinya masih lagi mencurigai keikhlasan Tengku Azizul. Dia tidak mahu berharap kerana dia takut harapannya itu akan memakan dirinya sendiri. Sepanjang enam bulan hidup bersama Tengku Azizul, sudah cukup bahagia buatnya. Walaupun dia dilayan tidak seperti yang diharapkan, dia tidak pernah mengalah. Demi anak inilah dia mendapat kekuatan untuk menerima segala cacian dan hinaan dari Puan Sharifah Rohana mahupun Tengku Azizul.


Tengku Azizul setia menunggu. Matanya tertancap ke muka Dr. Aril Fatah. Menunggu butir bicara dari doktor muda itu. Dia dipanggil oleh Dr. Aril Fatah untuk membincangkan tentang keadaan Aisya.
“Kami dah buat pemeriksaan ke atas isteri Tengku.” Dr. Aril Fatah memulakan bicara.
“Apa hasilnya doktor?” tanya Tengku Azizul tidak sabar.
Dr. Aril Fatah menarik nafasnya dalam-dalam. Dia memandang Tengku Azizul dengan keluhan yang ringan. Bagaimana untuk menerangkan perkara yang sebenar kepada Tengku Azizul?
“Kami suspek Aisya mengidap darah tinggi. Penyakit ini boleh memudaratkan kandungannya, malah Aisya sendiri. Tetapi ini andaian kami saja. Kami akan buat pemeriksaan lanjut ke atas Aisya,” terang Dr. Aril Fatah tenang. Matanya tepat ke muka Tengku Azizul.
Tergamam Tengku Azizul mendengarnya. Sungguh tidak mempercayai dengan apa yang diperkatakan oleh Dr. Aril Fatah itu. Bukannya dia tidak pernah mendengar mengenai penyakit itu. Malah rakan seuniversitinya dahulu pernah menceritakan padanya tentang penyakit darah tinggi melibatkan ibu mengandung. Hatinya tiba-tiba sebal. Rasa bersalah menujah ke dalam dirinya pula. Bagaimana untuk menghadapi masalah ini?
Sebaik sahaja mendengar penjelasan Dr. Aril Fatah, Tengku Hariz segera menuju ke bilik Aisya. Dia menguak pintu bilik dan menghampiri katil Aisya. Dilihatnya Aisya sedang lena diulit intan. Dia menarik selimut ke paras dada dan mengemaskan kedudukan Aisya. Ditatap wajah Aisya sambil tangannya mengusap lembut ubun-ubun rambut Aisya.
“Maafkan abang. Abang janji akan menjaga Aisya. Abang takkan sia-siakan Aisya,” janji Tengku Azizul dan mengucup dahi Aisya yang sedang tidur. “Abang sayangkan Aisya,” bisiknya pula. Kemudian dia melangkah keluar membawa hati yang walang. Buat seketika dia perlu memikirkan apa yang perlu dilakukan nanti.


4 ulasan:

  1. ..uhuhuhu...sedih nyer...makin best cter ni...psoalan hampir2 terjawap...hhehhehe

    BalasPadam
  2. hehe...ntikan bab 19 ke atas.. :D

    BalasPadam
  3. bestnya....ala...x sabar nih

    BalasPadam
  4. shuhada : menanti penuh kesabaran... ;)

    BalasPadam