Jumaat, 9 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 19


BAB 19

Aisya tiba di pejabat tepat pukul 8 pagi. Hari ini dia menaiki bas kerana Nadia terpaksa bergegas ke Pahang atas urusan kerja. Terlopong Nadia apabila diberitahu yang dia akan menaiki bas ke tempat kerja. Sejak kejadian itu, Nadia terlalu menjaga keselamatannya. Jika pulang lewat sahaja ke rumah, pasti Nadia akan menghubunginya. Nadia tidak mahu terjadi apa-apa yang akan membuatkan Nadia rasa bersalah untuk kali yang kedua. Pernah juga Nadia mengusulkan supaya dia membeli sebuah kereta, tetapi disebabkan kewangan yang tidak mengizinkan, dia terpaksa menolak mentah-mentah cadangan Nadia. Bagi Aisya adalah lebih baik menyimpan duit ke arah yang lebih mendatangkan keuntungan daripada benda-benda yang tidak berguna. Erm… beli kereta tu tak berguna ke? Berguna sebenarnya.
Setelah mengemas meja, Aisya menuju ke pantry untuk membancuh secawan milo sebagai santapan pagi. Dalam kelekaan menghirup minuman, dia didatangi sesusuk tubuh yang amat dikenali. Tanpa menoleh, dia sudah tahu siapa yang berada di belakangnya ketika ini. Tengku Hariz! Ya, Tengku Hariz. Bosan! Selepas dia mendapat tahu perkara yang sebenar, sikapnya terhadap Tengku Hariz berubah dengan tiba-tiba. Tiada senyuman manis yang akan dihadiahkan buat lelaki itu. Hatinya terluka dengan apa yang telah Tengku Hariz lakukan. Terasa diri dipermain-mainkan. Buat kali kedua dia dipermain-mainkan oleh Tengku Hariz. Untuk mempercayai lelaki itu, tidak sama sekali. Dia tidak akan terpedaya dengan kata-kata yang dikeluarkan dari mulut Tengku Hariz lagi.
“Awalnya datang?” tanya Tengku Hariz dan duduk menghadap Aisya.
Aisya hanya mendengus kecil. Tengku Hariz sedari akan perubahan wajah Aisya. Sebelum dia menghampiri Aisya tadi, kelihatan wajah Aisya tersenyum gembira, tetapi tatkala melihatnya, wajah itu berubah mendung. Walau dalam keadaan mendung pun, wajah itu tetap tenang dan redup. Wajah itu jugalah yang telah menyeksa hatinya selama ini.
“Saya buat kerja dulu,” pinta Aisya apabila menyedari akan kebisuan di antara mereka berdua. Lagi lama dia di situ, lagi parah hatinya. Selama ini dia tidak berani memandang Tengku Hariz, inikan pula bertentangan mata dengan lelaki itu, gugur jantung  dibuatnya hoi!!
“Aisya!” panggil Tengku Hariz lembut mematikan langkah Aisya.
Aduh! Apa lagi yang dia nak ni. Bosan betullah! Keluh Aisya sendirian namun setia menunggu Tengku Hariz menghampirinya.
“Aisya marahkan Riz lagi?” lembut Tengku Hariz bertanyakannya.
Aisya? Riz? Sejak bila pulak tukar panggilan ni. Uweekk!!! Nak termuntah aku dengarnya, kutuk Aisya di dalam hati. Jika hati dah tak suka, cakap macam mana pun tetap tak suka jugalah.
Aisya hanya menggeleng dan terus membawa kaki ke tempat duduk. Melihat kedinginan Aisya, Tengku Hariz rasa tercabar pantas tangan gadis itu di rentapnya.
“Eh, apa ni?” marah Aisya sambil cuba menarik tangannya dari genggaman Tengku Hariz. Semakin dia meronta minta dilepaskan, semakin kuat Tengku Hariz memegangnya.
“Saya tahu awak masih marahkan saya. Saya akui akan kesalahan saya itu. Saya minta maaf. Apa lagi yang perlu saya lakukan supaya awak maafkan saya,” suara Tengku Hariz tetapi masih ada tegasnya lagi.
“Pendirian saya tetap sama. Kalau setiap kesalahan itu boleh diselesaikan dengan hanya melafazkan perkataan maaf, tak perlulah ada undang-undang dalam sesebuah negara,” bidas Aisya tegas juga. Matanya tajam menusuk ke dalam anak mata Tengku Hariz.
Dalam pada dia memandang Tengku Hariz, dirasakan cengkaman Tengku Hariz semakin kuat. Berkerut dahi menahan kesakitan. Tengku Hariz yang menyedari akan kerutan di dahi Aisya seperti menahan kesakitan, segera melepaskan tangan Aisya.
“Maafkan saya, saya tak berniat…” belum sempat dia meneruskan ayat, ruangan pejabat yang sunyi mulai bising dengan kehadiran pekerja-pekerja yang baru tiba.
I hate you Tengku Hariz!” jerit kecil Aisya dan segera beredar dari situ sambil mengusap tangan yang terasa sakit. Grrrr, geramnya!


Tengku Hariz bungkam seketika. Pandangannya dibuang keluar jendela. Fikirannya buntu memikirkan sikap dingin Aisya. Tidak terniat untuk menyakiti Aisya malah menjentiknya pun tidak pernah terlintas dek akalnya. Setelah lama berfikir, dia pasti akan perasaannya terhadap Aisya. Betapa dia menyintai dan menyayangi Aisya sepenuh jiwa. Aisya penting buatnya. Tetapi disebabkan kesilapan yang lepas, Aisya semakin jauh dan cuba melarikan diri darinya. Huh! Satu keluhan dilepaskan. Bunyi Intercom menghalau lamunannya sedari tadi.
Yes Nurul!” balas Tengku Hariz.
“Tengku, Puan Sharifah Rohana sedang menunggu Tengku di bilik mesyuarat,” beritahu Nurul di hujung talian.
“Puan Sharifah Rohana?” sedikit terkejut. Dahinya sudah berkerut. “Baiklah, suruh mama saya tunggu, dalam 5 minit lagi saya sampai. Thanks!” arah Tengku Hariz dan memutuskan talian.
Apasal pulak mama datang ke sini? Jarang mama datang ke sini kalau tak ada apa-apa hal. Sah, ni mesti majlis pertunangan aku esok. Yalah, satu apa pun aku tak buat. Mama dah pesan buat persediaan, tapi aku yang malas, sengaja. Tak ada mood nak bertunang la, monolog Tengku Hariz sendirian.
Puan Sharifah Rohana masih setia menunggu di bilik mesyuarat. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke dalam syarikat ini tadi, matanya tertancap ke arah sesusuk tubuh yang amat dikenali. Lama dia merenung tubuh itu. Merenung wajah itu dari jauh. Hatinya kuat menyatakan gadis yang dilihat sebentar tadi adalah Aisya. Tidak sah lagi. Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin, menantu yang dicarinya beberapa tahun ini. Menantu? Bekas menantu ya.
“Mama!” panggil Tengku Hariz dari muka pintu. Bertempiaran lari lamunan Puan Sharifah Rohana. Puan Sharifah Rohana menoleh sekilas ke arah Tengku Hariz.
“Mama buat apa kat sini?” tanya Tengku Hariz dengan nada yang terkejut. Dia tahu akan tujuan kedatangan Puan Sharifah Rohana tetapi sengaja berpura-pura tidak tahu.
“Tak boleh ke mama datang ke syarikat anak mama sendiri. Riz tak suka mama datang ke? Mama bukan nak spot check Riz la,” usik Puan Sharifah Rohana dan tertawa kecil.
“Eh, siapa kata mama tak boleh ke sini, Riz cuma terkejut dengan kedatangan mama itu saja,” bidas Tengku Hariz dan duduk di atas sofa yang tersedia di dalam bilik itu.
“Riz ni dah lupa ke, esokkan Riz bertunang. Satu barang hantaran pun Riz tak sediakan lagi. Mama datang ni nak ajak Riz beli barang-baranglah,” jelas Puan Sharifah Rohana.
Tengku Hariz membuat muka bosan. Keluhan dilepaskan. Kalau boleh dia malas nak memikirkan hal pertunangan di waktu kepalanya masih memikirkan kedinginan Aisya.
“Mama sajalah yang pergi beli, Riz bagi duit. Malaslah nak menyemakkan otak dengan memikirkan benda-benda tu,” rengus Tengku Hariz.
Puan Sharifah Rohana menggeleng. Dia kenal dengan perangai anak bongsunya itu. Tidak suka memaksa dan dipaksa dengan perkara yang tidak disukai.
“Riz… Riz… takkan mama nak pergi sorang-sorang, nak angkut barang banyak pulak tu. Riz tak kesiankan mama ke? Dibuatnya mama jatuh ke, kena rompak ke masa beli barang-barang tu, siapa yang susah, Riz juga kan,” keluh Puan Sharifah Rohana sengaja untuk menduga anaknya itu. Dia tahu Tengku Hariz amat menyayanginya. Setiap apa yang diminta pasti akan ditunaikan oleh Tengku Hariz. Tengku Hariz tidak pernah menolak segala permintaannya selama ini.
Tengku Hariz dihantui gelisah. Ada benar kata-kata mamanya jika dia tidak mengikut sama membeli barang-barang hantaran. Malang tidak berbau, ajal dan maut di tangan Tuhan.
“Baiklah mama, Riz ikut. Happy?” kata Tengku Hariz mengalah. Puan Sharifah Rohana tersenyum gembira. “Tapi dengan satu syarat…” suara Tengku Hariz melumpuhkan senyuman Puan Sharifah Rohana sebentar tadi.

Aisya mengekori dari belakang dengan hati yang sebal. Kenapa dia yang dijadikan mangsa untuk mengekori mereka anak beranak, cari barang hantaran pulak tu, huh! Dalam deskripsi tugas tiada pula menyatakan dia perlu mengekori majikan sehingga ke shopping complex. Jika tidak memikirkan mereka yang membayar gajinya setiap bulan, mahu saja dia menolak mentah-mentah ajakan Tengku Hariz sebentar tadi. Mahu saja dia mengajak Nurul ataupun memaksa Nurul turut sama pergi. Dalam dia mengutuk, dirasakan dahinya terhantuk sesuatu.
“Aduh!! Sakitnya!!” rengeknya sambil memegang dahi. Terasa cecair panas mengalir keluar dari dahi. Bagaimana dia tidak terperasan akan bucu dinding berada di situ? Jika dia tahu, pasti dia tidak akan berlanggar dengannya.
 “Aisya, awak tak apa-apa ke?” tanya Tengku Hariz cemas sambil memegang dahi Aisya yang berdarah. Aisya menepis tangan Tengku Hariz. Tidak mahu Tengku Hariz bersimpati dengannya. Bagi Aisya, Tengku Hariz bukanlah seorang yang jujur apabila berkata-kata.
“Tak ada apa, sikit saja ni,” jawabnya acuh tak acuh.
Okey ke Riz?” soal Puan Sharifah Rohana yang sedari tadi menjadi pemerhati.
Tengku Hariz mengangguk.
Mendengarkan panggilan Tengku Hariz tadi, Puan Sharifah Rohana yakin perempuan itu adalah Aisya. Yang menjadi persoalan sekarang, kenapa Aisya pura-pura tidak mengenalinya?
“Boleh tak awak buang sikap degil awak tu untuk hari ni saja. Bagi saya tengok luka awak tu,” marah Tengku Hariz melihatkan sikap degil Aisya yang tidak sudah-sudah.
Aisya terpaksa akur. Membiarkan Tengku Hariz melihat luka di dahi. Dia pun sudah penat untuk bermain tarik tali dengan Tengku Hariz. Tatkala Tengku Hariz menghampirinya, terasa hembusan nafas Tengku Hariz menyapa halwa telinga. Jantungnya berdegup dengan pantas. Seperti ada perasaan halus menusuk ke tangkai hati. Aduh!! Gawat ni!!
Tengku Hariz meniup lembut ke dahi Aisya yang berluka. Menggigil dia melakukannya. Dirasakan degupan jantungnya dapat di dengari oleh Aisya. Ah malunya!!
“Ni kena jahit ni, dalam lukanya ni,” jelas Tengku Hariz dalam nada gurau.
Aisya mengetap bibir. Mengenangkan betapa besarnya jarum suntikan yang bakal mendarat di dahinya, dengan pantas dia menolak tangan Tengku Hariz.
“Eh… takpe. Saya taruh minyak saja,” tuturnya dalam nada yang tergetar-getar.
Tengku Hariz tersenyum nakal. Dalam wajah tenang dan redup itu, ada juga perkara yang tidak setenang wajahnya.
“Just kidding. Don’t worry okey!” usik Tengku Hariz dan menarik tangan Aisya menuju ke klinik yang berhampiran.
Selepas ke klinik, mereka menuju ke sebuah restoran yang berhampiran untuk menjamu selera. Tengku Hariz meminta diri lebih awal kerana terpaksa menghadiri mesyuarat di Bangsar dan berjanji akan mengambil mereka semula sebaik sahaja mesyuarat selesai. Aisya sudah tidak senang duduk berhadapan dengan perempuan yang amat dikenali sejak enam tahun yang lepas. Bukan dia tidak mengenali Puan Sharifah Rohana, tetapi dia berpura-pura untuk tidak mengenali perempuan itu. Luka yang sudah sembuh mungkin akan berdarah kembali.
Sebenarnya dia sendiri terkejut tatkala melihat kehadiran Puan Sharifah Rohana di pejabat Tengku Hariz pagi tadi. Hampir gugur jantungnya apabila mengetahui bahawa Puan Sharifah Rohana adalah ibu kepada Tengku Hariz, bermakna Tengku Azizul adalah abang kepada Tengku Hariz. Tetapi kenapa sepanjang dia menjadi isteri Tengku Azizul, dia tidak mengetahui akan kewujudan Tengku Hariz malah pada hari pernikahan juga kelibat Tengku Hariz tiada pada malam itu. Bertubi-tubi soalan menerpanya ketika ini. Dia memicit-micit dahi yang terasa sakit. Memikirkan soalan yang belum terjawab.
“Aisya sakit?” soal Puan Sharifah Rohana apabila terlihat Aisya memicit-micit dahi yang berbekas sebentar tadi.
Aisya menggeleng. Gugup untuk berkata-kata. Fresh orange di hadapan di teguk dengan rakus.
“Aisya, mama tahu Aisya kenal dengan mama. Dari riak wajah Aisya sewaktu mama datang ke pejabat tadi pun sudah menunjukkan yang Aisya mengenali mama,” tenang Puan Sharifah Rohana berbicara.
Aisya setia mendengar. Dia akui akan kata-kata bekas mentuanya itu. Tapi kenapa perlu bahasakan dirinya ‘mama’, sedangkan sudah tidak ada apa-apa pertalian di antara dia dan juga perempuan itu. Huh! Soalan yang memerlukan jawapan lagi. Bosan!
“Aisya, dalam beberapa tahun ni, mama mencari Aisya. Mama berdosa pada Aisya. Mama bersalah kerana pisahkan Aisya dengan Tengku Azizul. Mama bersalah kerana membunuh satu-satunya cucu mama. Mama terlampau ikutkan perasaan benci mama pada Aisya. Mama fikir, gadis kampung seperti Aisya tidak layak berdampingan dengan anak mama, sebab itulah mama berusaha untuk pisahkan Aisya dengan Tengku Azizul,” luah Puan Sharifah Rohana dan kali ini terdengar esakan kecil dari arah perempuan tua itu.
Aisya terpana. Tumpah simpati kepada perempuan yang sedang duduk di hadapan ketika ini.
“Sudahlah Puan Sharifah, benda yang dah lepas, tak perlulah kita nak mengungkitnya lagi. Saya dah lama maafkan Puan Sharifah. Jika saya menyimpan dendam, saya tidak akan duduk semeja dengan Puan Sharifah sekarang ni, mungkin nak tengok muka Puan Sharifah pun saya dah tak mahu atau benci. Tapi, semua itu ada hikmah di sebaliknya. Selepas anak saya meninggal, mak saya menerima saya semula dalam hidupnya. Cuma saya terkilan sebab saya tak sempat memohon ampun dan maaf dari arwah abah saya.” Ada sayu kedengaran dari suara itu. Kali ini Aisya pula yang tidak dapat menahan kesedihan apabila terkenangkan arwah Encik Ahmad Nordin.
“Maafkan mama, Aisya. Betapa kejamnya mama masa tu. Kalau bukan disebabkan kata-kata mama pada arwah Ahmad, abah Aisya tak mungkin pergi meninggalkan Aisya dan Puan Suhaila tak mungkin akan membuang Aisya. Ya ALLAH, begitu besar dosaku pada Aisya sekeluarga. Ampunkanlah dosaku Ya ALLAH dalam hayatku yang masih berbaki ini,” rintih Puan Sharifah Rohana.
Puan Sharifah Rohana bingkas bangun dan duduk bersebelahan Aisya. Aisya didakap dengan erat. Air mata yang dari tadi diseka tidak mampu bertahan dan merembes keluar membasahi pipi. Dahi Aisya dikucup dengan penuh kasih. Betapa hiba melihat penerimaan Aisya terhadapnya. Malah Aisya tidak berdendam dengan apa yang berlaku. Begitu tulus hatimu Aisya, bisiknya.
“Puan Sharifah!” panggil Aisya sambil meleraikan pelukan mereka.
“Aisya tak ikhlas maafkan mama?” duga Puan Sharifah Rohana. Aisya mengerutkan dahi. “Kenapa perlu ber puan… puan… panggil saja mama. Aisya mama dah anggap macam anak mama sendiri,” sambungnya lagi. Jelas terukir sebuah senyuman di bibir Puan Sharifah Rohana. Aisya mengangguk sekadar menyedapkan hati orang tua itu.
“Mama, Aisya tak pernah tahu pasal Tengku Hariz, Tengku Azizul tak pernah bagitau Aisya yang dia ada adik. Selama Aisya jadi menantu di rumah mama, Aisya tak pernah pun jumpa Tengku Hariz?” soal Aisya bertubi-tubi ingin tahu. Persoalan yang dari tadi bermain-main di fikiran memerlukan jawapan. Puan Sharifah Rohana menarik nafas dalam-dalam dan melepaskan satu persatu. Dia meraup muka seketika.
“Memang Tengku Azizul tak pernah bagitau Aisya yang dia mempunyai seorang adik kerana Tengku Azizul tak suka bercerita mengenai keluarganya pada sesiapa, itu pendiriannya. Sepanjang Aisya menjadi menantu di rumah mama, memang Aisya takkan berjumpa dengan Tengku Hariz sebab masa tu Tengku Hariz menyambung pelajaran di luar negara. Masa Aisya nikah dengan Tengku Azizul, Tengku Hariz  sedang menduduki peperiksaan akhir. Mama dan papa beritahu Tengku Hariz tentang perkahwinan Tengku Azizul selepas Tengku Hariz selesai menduduki peperiksaan akhir. Dan ada sebab-sebab lain kenapa kami tak beritahu pada Tengku Hariz.” Lancar mulut Puan Sharifah Rohana menjawab. Sesekali terdengar keluhan keluar dari bibir tua itu.
Semua persoalan Aisya sudah pun terjawab. Dia melemparkan sebaris senyuman kepada Puan Sharifah Rohana. Puan Sharifah Rohana membalas dengan senyuman yang sedikit hambar. Penyakit yang ditanggung ketika ini bertambah kronik gara-gara dia tidak mahu menjalani pembedahan seperti yang disarankan oleh Dr. Borhan. Walau bagaimanapun, hatinya puas dan gembira kerana dapat berjumpa dengan Aisya semula.
“Aisya cintakan Tengku Hariz?” soal Puan Sharifah Rohana tiba-tiba. Aisya memberhentikan suapan ke mulut. Matanya tepat memandang wajah Puan Sharifah Rohana. “Mama tahu, Aisya cintakan Tengku Hariz, begitu juga dengan Tengku Hariz. Mama dapat lihat dari matanya Aisya. Betapa dia amat menyintai Aisya. Tingkah lakunya juga membuktikan perasaannya terhadap Aisya,” bicara Puan Sharifah Rohana lagi. Sesekali dia meneguk air dari dalam gelas.
“Tak adalah ma, pandai-pandai ajelah mama ni,” dalih Aisya dan menyambung semula suapan. Puan Sharifah Rohana tersenyum dan menggeleng.
“Sama-sama degil,” bisiknya sendirian.
“Apa ma?” soal Aisya seakan terdengar bisikan Puan Sharifah Rohana sebentar tadi. Puan Sharifah Rohana hanya tersengih.
“Kalau mama minta tolong Aisya boleh?” pinta Puan Sharifah Rohana.
Aisya mengangguk. Tumpuan diberikan kepada perempuan tua itu.
“Kalau apa-apa berlaku pada mama, Aisya janji akan jaga Tengku Hariz. Terima Tengku Hariz seikhlas hati Aisya sepertimana Aisya menerima Tengku Azizul dulu,” pinta Puan Sharifah Rohana dengan perasaan yang sebak dan hiba.
“Ma, kenapa cakap macam tu? Tengku Harizkan dah nak bertunang dengan Sharifah Aleeya, jadi tiada sebab untuk Aisya menjaganya,” protes Aisya. Tidak masuk akal dengan permintaan Puan Sharifah Rohana. Takkan Puan Sharifah Rohana tidak tahu akan pertunangan Tengku Hariz. Mustahil!!
Puan Sharifah Rohana meraih tangan Aisya memohon simpati. Aisya semakin pelik dengan perbuatan Puan Sharifah Rohana. Berkerut dahinya memandang Puan Sharifah Rohana.
“Mama takkan hidup lama nak. Mama cuma tinggal beberapa bulan saja untuk hidup.” Terlopong Aisya mendengarnya. “Ya, nak. Mama sekarang ni menderita penyakit barah otak. Mungkin ini balasan mama di atas perlakuan mama terhadap Aisya dulu.” Diikuti dengan esakan.
Mata Aisya mulai berkaca. Tidak percaya dengan apa yang didengarnya itu. Ya, memang dulu dia pernah berdendam dengan perempuan tua ini, tetapi lama-kelamaan perasaan dendam itu hilang begitu saja kerana dia menganggap semua itu adalah takdir hidupnya. Tetapi itu tidak bermakna perempuan tua ini perlu dihukum dengan hukuman yang sebesar itu.
“Tak ma, mama tak bersalah pada Aisya. Aisya dah lama maafkan mama. Tengku Hariz tahu ke mama sakit?” soal Aisya sambil menyeka air mata.
Puan Sharifah Rohana hanya menggeleng. Belum sempat untuk Aisya menyambung kata-kata, Puan Sharifah Rohana sudah mendahului.
“Tolong jangan bagitau pada Riz, Aisya. Mama tak nak dia sedih. Aisya janji ya nak, janji ya,” pinta Puan Sharifah Rohana sambil memegang erat tangan Aisya.
Aisya mengangguk faham. Sesekali juga dia menggelengkan kepala kerana tidak mempercayai dengan apa yang terjadi kepada Puan Sharifah Rohana.
“Hai… rancaknya berbual sampaikan Riz datang pun tak sedar,” tegur Tengku Hariz dari arah belakang. Puan Sharifah Rohana dan Aisya serentak menoleh. Masing-masing sedang menyeka air mata yang hampir gugur membasahi pipi masing-masing.
“Aisya, kenapa ni? Dahi Aisya sakit lagi ke?” soal Tengku Hariz cemas apabila terlihat sembam di mata Aisya. Tangan Tengku Hariz sudah pun menyentuh dahi Aisya. Diperhatikan dengan penuh kasih sayang.
Aisya tergamam dengan tindakan Tengku Hariz. Sempat dia mengerling ke arah Puan Sharifah Rohana yang sudah berubah wajah itu. Hatinya gelisah melihatkan perubahan riak wajah Puan Sharifah Rohana. Adakah perempuan itu terasa dengan tindakan Tengku Hariz?
“Hai Riz, mama di sebelah dah tak nampak ke? Tu belum kahwin lagi, kalau dah kahwin nanti, mama pun dah tak kenal agaknya,” sindir Puan Sharifah Rohana seakan terasa hati dengan tindakan anak bongsunya itu.
Aisya sudah merona merah, malu agaknya. Tetapi betul juga dengan apa yang diperkatakan oleh Puan Sharifah Rohana, sepatutnya Tengku Hariz lebih utamakan Puan Sharifah Rohana daripada dia. Huh! Entahlah. Hati manusia susah untuk menduganya, bisik hati kecil Aisya.
“Mama, maafkan Riz. Riz tak sengaja. Riz tak sedar pun tindakan Riz tadi. Riz bukan sengaja nak melukakan hari mama, tidak sama sekali. Maafkan Riz. Pagi tadi Riz…” terhenti. Kepala yang tidak gatal digaru.
‘Pagi tadi Riz dah sakiti Aisya. Riz tak nak Aisya menangis sebab Riz.’ Hanya mampu diluahkan dalam hati. Bagaimana untuk dia meluahkannya, dia tidak tahu. Wajah Tengku Hariz berubah mendung. Sebal di dalam hati kerana memperlakukan mamanya sebegitu tadi.
“Dahlah, mama tak terasa pun. Mama maafkan Riz. Mama tahu Riz ‘sayangkan’ Aisya,” usik Puan Sharifah Rohana diikuti dengan ketawa kecil. Sengaja menekankan perkataan ‘sayang’ di hadapan Tengku Hariz dan Aisya. Wajah Aisya sudah berona merah. Menahan malu yang teramat sangat.
“Kan mama dah cakap, Riz cintakan Aisya. Gelabah macam orang separuh gila dah mama tengoknya,” bisik Puan Sharifah Rohana ke telinga Aisya berbau usikan. Bertambah merona pipi Aisya.
“Tak pe ma, kalau Tengku Hariz gila, kita hantar aje dia ke Tanjung Rambutan,” balas Aisya seperti mahu mengenakan Puan Sharifah Rohana.
Berkerut seribu dahi Puan Sharifah Rohana. Aisya hanya tersengih. Melihatkan Aisya sengaja mengenakannya, pantas dicubit lengan Aisya. Terjerit kecil Aisya dibuatnya. Tengku Hariz yang mengekori mereka dari belakang hanya tersenyum gembira.


What? Kau jumpa bekas mak mertua kau tadi Aisya?” soal Nadia sedikit terkejut. Terlopong Nadia seketika. “Habis tu, kau macam mana?” asak Nadia dan menghampiri Aisya yang sedang mengadap laptop.
“Macam mana apa?” soalan Nadia dibalas dengan soalan Aisya pula.
“Yalah, kau kan tahu mak mertua kau tu pernah…” belum sempat Nadia menyudahkan ayatnya, Aisya sudah memotong.
“Nadia, sejahat mana seseorang itu, kita tidak ada hak untuk menghukum. Biar ALLAH saja yang menghukum ke semua perbuatannya. Sudahlah Nadia, aku malas la nak cakap pasal ni lagi.”
Nadia tunduk membisu. Ada betulnya dengan kata-kata Aisya. Siapa kita untuk menghukum seseorang itu. Sedangkan Nabi ampunkan umatnya, inikan kita sesama manusia.
“Kau pergi tak esok?” soal Nadia lagi cuba menepis ingatan Aisya terhadap Puan Sharifah Rohana. Aisya menutup laptopnya dan bergerak ke jendela.
“Mestilah aku pergi, takkan aku tak pergi pulak,” jawab Aisya sambil menguak rambutnya ke belakang. Nadia mengangkat kening. Memandang tepat ke wajah tenang Aisya.
“Kau biar betul, takkan kau ada hati lagi nak pergi. Kalau aku di tempat kau, tak ingin aku nak pergi,” sanggah Nadia dengan tegas. Pelik melihat perangai Aisya yang tenang menerima apa saja yang menimpa dirinya.
“Eh, mestilah aku ada hati nak pergi kerja, bukannya kerja kau. Apa la kau ni Nadia. Sejak bila pulak kau ada hati nak pergi ke tempat kerja aku ni,” jawab Aisya lurus.
Nadia sudah menepuk dahi. Kepala digeleng berkali-kali.
“Yang kau bendul sangat ni kenapa? Aku tanya kau pergi ke majlis pertunangan Tengku Hariz dengan Sharifah Aleeya esok, bukannya pergi kerja, faham!” panjang lebar Nadia menjelaskannya. Marah sungguh Nadia dengan sikap lurus Aisya.
Aisya tersengih sendiri. Tahu dirinya jujur apabila menjawab pertanyaan orang.
“Oh, yang itu, aku ingatkan apa tadi. Erm… tengoklah dulu. Kalau aku rajin, aku datanglah. Kalau malas, aku duduk ajelah kat umah ni,” jawab Aisya selamba dan membawa kaki ke ruang tamu. Dicapai remote televisyen dan menekan butang on. Malas untuk berfikir lagi.
“Aik!! Boleh pulak macam tu. Ikut mood la kiranya ni. Tak pelah kalau kau tak nak pergi, aku pergi sorang. Nak juga tengok macam mana anak orang kaya bertunang, mesti grand gila kan Aisya,” gurau Nadia tetapi ada seriusnya.
Aisya mencebik. Meluat mendengar butir-butir ayat yang keluar dari mulut Nadia itu.
“Sambil tu boleh la aku cari calon suami anak orang kaya sekali, kat sana tu mesti ramai kawan-kawan Tengku Hariz yang kaya-raya dan single-mingle, betul tak Aisya?” usik Nadia lagi sambil mengerling Aisya yang masih setia menonton televisyen.
Aisya mendengus geram. Tidak suka terus-terusan dibincangkan hal pertunangan Tengku Hariz. Bukannya dia tidak mahu pergi, tetapi hatinya berat untuk hadir ke majlis itu.
“Suka hati kaulah Nadia, tak kuasa aku nak melayannya,” putus Aisya perlahan.
Nadia menggelengkan kepala. Sudah berbagai cara dia mengusik Aisya berkenaan hal itu, tetapi ternyata hati Aisya sudah tidak terusik lagi. Sudah beku ke hati itu?
Nadia mengimbau semula cerita yang diberitahukan oleh Aisya kepadanya seminggu yang lalu. Tengku Hariz mempergunakan Aisya demi kepentingan sendiri dan juga syarikat, tanpa mengambil kira perasaan Aisya. Ya, memang Tengku Hariz tidak sepatutnya melakukan sebegitu kepada Aisya, jika Tengku Hariz berterus-terang, mungkin Aisya boleh menimbangkan semula tawaran itu. Tapi, dari sudut yang lain, ada betulnya mengapa Tengku Hariz berbuat begitu. Bukan mudah untuk membangunkan sesebuah syarikat dalam jangka masa yang pendek, tambahan pula syarikat seperti Menara Holding yang sudah dikenali di Kuala Lumpur. Aisya perlu berfikiran matang dan kajinya dari sudut yang positif, fikir Nadia.


“Assalamualaikum,” sapa Tengku Hariz lembut menerpa ke gegendang telinga Aisya.
“Waalaikumussalam, ada apa Tengku telefon saya malam-malam ni?” balas Aisya dengan nada yang lembut juga. Mendengar suara lembut Aisya, membuatkan Tengku Hariz terpana seketika.
“Tengku… Tengku…” panggil Aisya mengejutkan Tengku Hariz dari lamunan.
“Aisya tak tidur lagi?
“Belum lagi,” balas Aisya spontan. “Kenapa?” soal Aisya pula.
Tengku Hariz menarik nafas dalam-dalam lalu melepaskan satu persatu. Betapa sukar untuk dia menuturkan kata-kata malam itu.
“Erm… Aisya dah makan?” soalan berbalas soalan. Bukan ini la yang aku nak tanyakan pada dia.
“Dah.” Cuma sepatah yang terkeluar dari mulut Aisya. Di situasi Aisya, dia sudah merasa bosan dengan pertanyaan bodoh dari Tengku Hariz.
“Aisya tahukan esok saya bertunang, so…” sukar untuk Tengku Hariz menyudahkannya.
“Tahu. Saya tahu esok Tengku Hariz bertunang. Kenapa ya?” soalan lurus Aisya lagi.
Asal la dia ni tenang saja. Dia tak rasa apa-apa ke? Esokkan aku bertunang, fikir Tengku Hariz.
“Tengku, kalau tak ada apa-apa lagi, kita tamatkan perbualan kita di sini. Rasa mengantuk pulak. Apa-apa pun saya ucapkan tahniah atas pertunangan Tengku Hariz dan Sharifah Aleeya,” potong Aisya. Dia sudah malas nak menunggu memandangkan matanya semakin berat dan minta direhatkan. Sebelum mematikan talian, terdengar Tengku Hariz memanggil.
“Aisya… nanti dulu!”
“Ya Tengku, ada apa?” lemah Aisya bertanya. Mengantuk dan bosan menunggu. Dia bukanlah seorang yang setia menunggu. Jika lama menunggu boleh jadi gila.
“Aisya, saya tahu Aisya faham apa yang tersirat di hati saya. Saya… saya sayangkan awak Aisya, saya cintakan awak. Saya tak boleh hidup tanpa awak,” luah Tengku Hariz. Lega selepas meluahkannya.
Aisya terpana mendengar pengakuan Tengku Hariz. Dia menggosok-gosok mata yang sudah mulai kuyu. Bagaikan ada degupan yang laju sedang berjalan di dalam jantungnya.
“Aisya… Aisya… awak dengar tak?” panggil Tengku Hariz apabila mendapati tiada balasan dari pihak Aisya. Aisya terjaga dari mimpinya.
Okeylah Tengku, selamat malam. Take care!” balas Aisya dan mematikan talian.
Bungkam Tengku Hariz seketika. Terkejut dengan tindakan Aisya memutuskan talian telefon tanpa memberi sebarang jawapan.
Silap aku ke kerana meluahkan apa yang telah lama terbuku di dalam hati aku? Silap aku ke kerana terlalu cepat meluahkannya? Silap aku ke kerana menyintai dan menyayanginya? Silap aku ke…. Ah!! Berapa banyak silap yang harus aku persoalkan? Kenapa Aisya sanggup bertindak mematikan talian telefon tanpa memberi sebarang jawapan? Perasaan sebal mula membelenggu Tengku Hariz. Marah bercampur geram dengan tindakan Aisya yang mematikan talian telefon sebelum memberi jawapan terhadap luahannya tadi. Ah!! Persetankan semua itu. Kau cuba nak menguji aku Aisya. Kau pun sama saja dengan Sharifah Aleeya tu.
Sharifah Aleeya? Ya, perempuan yang bakal bertunang dengannya malam esok. Dia teringat akan pertengkarannya dengan Sharifah Aleeya seminggu yang lalu ketika dia meminta Sharifah Aleeya membatalkan majlis pertunangan mereka berdua.
“I nak kita batalkan majlis pertunangan ni. I tak sedia lagi,” pinta Tengku Hariz dengan nada yang keras. Sudah terlalu lama dia memikirkannya dan baru hari ini dia dapat berbincang dengan Sharifah Aleeya
“Apa? Batal?” ulang Sharifah Aleeya seakan-akan mengejek. “Tak semudah itu Tengku Hariz,” sambung Sharifah Aleeya. Matanya tepat menikam anak mata Tengku Hariz.
“Apa yang you nak dari I Sharifah Aleeya. I tak pernah cintakan you, tak pernah sayangkan you. Buat apa kita bertunang dan berkahwin kalau tiada rasa cinta dan sayang di antara satu sama lain, buang masa you saja,” jelas Tengku Hariz tetapi masih tegas. Dia mengharapkan pengertian dari Sharifah Aleeya.
Sharifah Aleeya ketawa sinis. Kenyataan yang keluar dari mulut Tengku Hariz menggelikan hatinya.
“Cinta? Sayang? Sejak bila pulak you ambil berat semua perasaan tu. Tengku Hariz yang I kenal tidak mudah tunduk pada mana-mana perempuan. Mana ego lelaki you yang you sanjung tinggi tu, ataupun dah jatuh sama tahap ngan kaki I ni,” sindir Sharifah Aleeya sambil menjulurkan kaki kanan ke arah Tengku Hariz.
“Aleeya!” jerit Tengku Hariz seperti menahan amarah yang sedang mengumpul di dalam badan. Dadanya sudah berombak, turun naik. Matanya merenung tajam ke anak mata Sharifah Aleeya. Jika diikutkan hati, mahu saja dia menampar Sharifah Aleeya yang sedang tersenyum mengejek kepadanya.
“Tengku Hariz… Tengku Hariz… I takkan berganjak dengan keputusan I. Pertunangan kita akan tetap berlangsung seperti biasa. Sudahlah, I dah bosan bercakap dengan you pasal ni,” kata Sharifah Aleeya dan mula melangkah jalan.
Tengku Hariz hanya menundukkan muka menahan kemarahan yang amat sangat.
“Tengku Hariz!!” panggil Sharifah Aleeya. Tengku Hariz mengangkat muka. “Baru bertunang dan bukannya kahwin. Yang you gelabah sangat ni kenapa?” sindir Sharifah Aleeya lagi dan terus meninggalkan Tengku Hariz di situ. Huh! Bukan setakat tunang, kahwin dengan kau pun aku tak ingin, kutuk Tengku Hariz di dalam hati.


6 ulasan:

  1. hehehe thanks ya eliza. baik betul aisya ni. awat dia tak nak buat operation tu, kan peluang tinggi. macam nak bunuh diri dah tu. ke dia tak sayang laki dia. hehe

    BalasPadam
  2. erk!! yong siapa y dimaksudkan tu...sharifah rohana or aisya?? erm.. ada sebabnya kenapa sh rohana tu x nk jalani pembedahan..mybe dlm bab seterusnya klu x silap sy, sy ada bagtau sebabnya..atau dh ajal dia..hihihi...blh x mcm tu yong?? kihkihkih... :D

    BalasPadam
  3. Thanks for the continuation
    Aida "Perth"

    BalasPadam
  4. tq..bagus...jual mahal aisya

    BalasPadam