Jumaat, 9 Disember 2011

Hatimu Milikku - Bab 20

BAB 20

Aisya menarik nafas dalam-dalam dan menghembus satu persatu. Sejak malam tadi hatinya begitu gelisah dan tidak tenteram memikirkan luahan hati Tengku Hariz. Benarkah Tengku Hariz ikhlas meluahkannya atau sekadar melepaskan tekanan yang sedang melanda dirinya sekarang? Tekanan disebabkan majlis pertunangannya dengan Sharifah Aleeya. Tapi kenapa perlu berasa tertekan, melihatkan dari kemesraan mereka berdua sudah membuktikan bahawa mereka berdua pasangan yang bahagia dan secocok. Sharifah Aleeya begitu cantik dan jelita, begitu juga Tengku Hariz yang kacak dan tampan. Bagaikan pinang di belah dua dan enggang bersama enggang, tepat sekali. Jika nak dibandingkan dengan dirinya, bagai langit dengan bumi, bagai pipit dengan enggang dan segala macam peribahasa yang boleh dikaitkan sama maksudnya. Huh!! Entahlah, malas aku nak fikirkannya lagi, getus Aisya.
“Hai cik adik, mengelamun nampak,” tegur seseorang menghalau lamunan Aisya.
Aisya mengangkat kepala dan terlihat Amirul sedang berdiri di hadapan dengan sebaris senyuman.
“Amirul!” jawab Aisya lemah.
Dalam keadaannya ketika ini, dia malas untuk berbual mahupun berjumpa dengan sesiapa.
Amirul melabuhkan punggung di atas kerusi yang tersedia di hadapan Aisya. Melihatkan dari riak wajah Aisya tadi, dia tahu Aisya sedang bergelut dengan perasaannya sendiri.
“Hey, kenapa ni? Macam ada masalah aje. Boleh Amirul tahu?” ujar Amirul berbasa-basi. Ingin menyelami perasaan gadis di hadapannya itu.
Aisya melepaskan keluhan. Pada hari ini, entah berapa kali sudah dia melepaskan keluhan. Mungkin berpuluh-puluh kali agaknya.
“Tak ada apalah Amirul. Penat aje, banyak kerja,” jawab Aisya perlahan.
Amirul mengangkat kening. Memandang wajah tenang dan redup Aisya membuatkan hatinya bergetar. Disebabkan wajah itulah, terlalu sukar untuk dia melupakan Aisya.
“Amirul datang ni kenapa? Ada appointment dengan bos ke? Hari ni bos cuti bertunang,” ujar Aisya lemah. Jika diikutkan hati, mahu saja dia mengambil cuti bertunang seperti Tengku Hariz. Namun digagahkan juga kakinya menuju ke pejabat.
Amirul mengerutkan dahi. Apa yang hendak diberitahukan pada Aisya akan tujuan kedatangannya itu.
“Amirul tahu, saja aje Amirul datang sini, nak jumpa Aisya. Kita lunch sama nak?” ajak Amirul sambil matanya tidak beralih dari memandang wajah Aisya.
Aisya sekadar berdeham, mengiyakan ajakan Amirul. Apa yang terlintas di fikiran ketika ini ialah Tengku Hariz. Bukan Amirul, bukan kerja yang sedang menimbun di atas meja dan juga bukan majlis pertunangan Tengku Hariz yang bakal berlangsung malam ini. Tengku Hariz… Tengku Hariz… dan Tengku Hariz. Aduh! Gila bayang ke aku ni. Belum pernah aku berperasaan begini. Sewaktu aku menyintai Tengku Azizul, tak adalah segila bayang begini. Ya ALLAH, berilah aku petunjuk dalam menghadapinya, suara hati kecil Aisya.


Tengku Hariz membuang pandang ke arah jalan raya yang semakin sibuk dengan kenderaan. Fresh orange di hadapan di teguk perlahan-lahan. Minuman kegemaran Aisya, fresh orange. Tindakan Aisya malam tadi benar-benar menekan perasaan. Silap dia juga kerana terburu-buru menyatakan hasrat hatinya itu. Jika tidak, dia tidak akan mengambil cuti semata-mata tidak mahu bertentang mata dengan Aisya. Mungkin dia terasa malu dengan tindakannya malam tadi.
Tengku Hariz mengerling ke jam tangan yang sudah menunjukkan ke angka 1.20 petang. Mengapa masa terlalu cepat mencemburinya. Dalam beberapa jam lagi dia akan ditunangkan dengan Sharifah Aleeya. Sharifah Aleeya! Terpacul nama itu dari benak hati. Dia melepaskan keluhan yang berat. Tidak pernah terlintas dek akalnya untuk mengikat tali pertunangan mahupun perkahwinan bersama Sharifah Aleeya. Bukan Sharifah Aleeya yang diimpikan olehnya selama ini, tetapi Aisya Lyana Sofea gadis yang kini menjadi pemilik kunci hatinya. Dia teringat akan cerita mamanya dua tahun yang lepas. Sewaktu dia baru menamatkan pelajarannya di luar negara.
Menurut kata Puan Sharifah Rohana, majlis pernikahan yang sepatutnya berlaku di antara Sharifah Aleeya dan Tengku Azizul dibatalkan disebabkan kedatangan ‘perempuan itu’ yang mendakwa dirinya telah dirogol oleh Tengku Azizul. Demi menutup malu dan menjaga maruah keluarga, Tengku Azman telah memaksa Tengku Azizul menikahi ‘perempuan itu’ pada malam sehari yang sepatutnya Sharifah Aleeya diijab kabulkan. Begitu kejamnya ‘perempuan itu’ terhadap Sharifah Aleeya. Tegar-tegarnya ‘perempuan itu’ menghancurkan kebahagiaan orang lain demi kepentingan dirinya sendiri. Hebat sungguh ‘perempuan itu’. Disebabkan ‘perempuan itu’ Tengku Azizul membawa diri ke luar negara selama empat tahun dan masih lagi tidak mahu menjejakkan kaki semula ke Malaysia. Huh! Kalau aku tahu siapa ‘perempuan itu’ mahu saja aku menampar mukanya agar dia sedar diri akan kesilapan yang telah dia lakukan. Memporak-perandakan hidup abang dan keluarga aku, marah Tengku Hariz di dalam hati sambil tangannya digenggamkan.
Melihatkan dia sudah jauh termenung, Tengku Hariz bingkas bangun untuk beredar dari restoran yang telah menjadi persinggahannya sebentar tadi. Ditarik nafasnya dalam-dalam sebelum melangkah meninggalkan restoran itu. Dalam masa kakinya mula melangkah, matanya tertancap ke arah satu sudut di dalam restoran itu. Aisya dan Amirul sedang menjamu selera dengan gembiranya di sudut itu. Kegembiraan Aisya jelas terpamer di wajahnya. Seperti Aisya tidak ambil peduli akan majlis pertunangannya. Kekesalan membelenggu Tengku Hariz ketika ini, kesal kerana meluahkan perasaan pada Aisya. Aku tengah serabut, kau boleh makan dengan gembiranya Aisya. Kau tak rasa apa yang aku rasa ke ketika ini. Lantas dia membawa kaki menuju ke arah mereka berdua.
“Hai!” tegur Tengku Hariz. Dimaniskan muka memandang Aisya dan Amirul walaupun hatinya sebal. Aisya dan Amirul serentak menoleh. Hampir terjegil mata Aisya melihat kelibat Tengku Hariz di hadapannya.
“Eh, Tengku Hariz. What are you doing here? Bukan ke…” belum sempat Amirul menyudahkan ayatnya, Tengku Hariz sudah pun memotong.
Release tension kejap. You?” Sesekali Tengku Hariz mengerling ke arah Aisya yang masih tidak bersuara. Seperti patung cendana lagaknya.
Lunch with my sweetheart Aisya,” spontan Amirul menuturkannya.
Membuntang mata Aisya mendengarnya. Sekilas dipandang Amirul yang sengaja berlagak selamba.
Tengku Hariz mengangkat kening, terkejut mungkin. Dan kemudian itu, dia mengangguk seperti memahami sesuatu.
“Kenapa Amirul cakap macam tu?” bisik Aisya ke telinga Amirul. Melihat wajah tegang Aisya, pantas Amirul berkata.
Just kidding. Janganlah marah,” Amirul ketawa kecil melihat rona merah di wajah Aisya.
Okeylah, I tak nak ganggu you all berdua makan. I jalan dulu,” celah Tengku Hariz yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati. Tanpa menunggu balasan dari Aisya dan Amirul, Tengku Hariz membawa  diri keluar dari restoran itu.
Ya ALLAH, apa yang aku buat ni? Kenapa di wajahnya ada kerisauan dan kegusaran? Kenapa wajahnya tidak menampakkan kegembiraan memandangkan malam ini dia akan bertunang dengan Sharifah Aleeya, desis hati Aisya. Dia meraup wajah sambil melepaskan satu keluhan.
“Amirul, Aisya pergi dulu. Ada hal sikit,” pinta Aisya.
Tanpa membuang masa Aisya segera berlalu pergi meninggalkan Amirul di situ. Dalam sekelip mata, bayangan Aisya hilang dari pandangan Amirul. Aisya… Aisya… sampai bila Aisya nak sembunyikan perasaan Aisya yang sebenarnya. Amirul tahu, Aisya amat menyintai Tengku Hariz. Jangan bohongi diri sendiri lagi Aisya, bisik hati kecil Amirul dan beredar dari restoran itu.
Amirul sudah dapat menerima kenyataan bahawa Aisya tidak mungkin menjadi miliknya. Dia juga tahu akan perasaan Aisya terhadap Tengku Hariz. Bukti? Buktinya sewaktu Tengku Hariz menyelamatkan Aisya daripada dilanggar oleh kereta, betapa cemasnya Tengku Hariz ketika itu dan memarahi Aisya di atas kecuaian Aisya. Marah-marah sayanglah katakan. Sebelum Amirul masuk ke bilik Tengku Hariz pada hari itu, dilihatnya Tengku Hariz asyik menyalahkan dirinya sendiri di atas kelancangan mulutnya memarahi Aisya. Bukan itu saja, sewaktu Aisya pengsan di pejabat dan kebenaran mengenai ketidakikhlasan Tengku Hariz terhadap Aisya. Jika tiada cinta di hati Aisya, masakan Aisya begitu kecewa dan sedih dengan perbuatan Tengku Hariz itu. Aisya tidak akan bersikap dingin terhadap Tengku Hariz dan hari ini, jelas wajah kekecewaan Aisya memikirkan tentang pertunangan Tengku Hariz dan Sharifah Aleeya. Tapi baru tunangkan, bukannya kahwin. Masih ada masa lagi untuk Aisya merampas Tengku Hariz daripada Sharifah Aleeya. Betul tak? Biarlah takdir yang menentukan perjalanan hidup mereka berdua. Hanya ALLAH saja yang tahu segala-galanya.


“So?” soal Tengku Hanis Suraya. Tengku Azizul dihadapan di pandang sayang. Kasih sayang dan cintanya pada Tengku Azizul begitu mendalam sehingga dia sanggup mengikut Tengku Azizul menyambung pelajaran dan bekerja di bumi asing itu.
“So? Mean?” soalan Tengku Hanis Suraya di balas dengan soalan dari Tengku Azizul.
Tengku Hanis Suraya mengerutkan dahi. Matanya sengaja dijegilkan kepada Tengku Azizul. Tengku Azizul yang melihat hanya tertawa kecil. Dia suka mengenakan Tengku Hanis Suraya dengan berpura-pura lurus dan bendul.
“Malaysia!!” jerit kecil Tengku Hanis Suraya. Geram dengan sikap acuh tak acuh Tengku Azizul apabila membincangkan soal Malaysia, maksudnya balik ke Malaysia.
Tengku Azizul mengeluh kecil. Sesekali dia menguak rambut yang hampir panjang ke belakang.
Say something Azizul. You tak rindu ke dengan mama dan papa you. Hampir empat tahun you di sini. Takkan sedikit pun you tak merindui mereka. Adik you, Tengku Hariz pun dah nak bertunang, takkan you tak nak balik tengok hari perkahwinannya nanti.” Panjang lebar Tengku Hanis Suraya memberi nasihat. Dia menghampiri Tengku Azizul yang sedang membuang pandang ke arah orang ramai yang sedang menyeberangi jalan.
Please Azizul, kali ni I minta you dengar cakap I. Kita balik okey!” pujuk Tengku Hanis Suraya sambil menggenggam lembut tangan pemuda yang sudah lama bertahta di dalam hatinya sejak dua tahun yang lalu. Walaupun status ‘duda’ yang dipegang oleh Tengku Azizul, cinta dan kasihnya terhadap Tengku Azizul tidak pernah pudar mahupun hilang.
“Baiklah Anis, kali ni I dengar cakap you. Minggu depan kita balik. I pun rindukan mereka. I pun nak tengok adik I kahwin.” Lemah suara Tengku Azizul menuturkannya. Namun, dalam hati masih lagi ada sisa berbekas di atas kenangan lalu. Apa yang pasti, Aisya Lyana Sofea Ahmad Nordin semakin pudar dari ingatan dan juga hatinya.
Setelah sekian lama membawa hati, Tengku Azizul perlu memikirkan perasaan keluarganya. Walaupun masih lagi berbekas di hati, dia juga perlu bersikap adil terhadap Tengku Hariz. Sudah tiba masanya untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkannya kepada Tengku Hariz. Apa yang pasti, dia perlu turut sama meraikan majlis perkahwinan Tengku Hariz dan Sharifah Aleeya. Perkahwinan yang di aturkan oleh Tengku Azman demi kepentingan syarikat. Perbualan di antaranya dengan Tengku Azman bermain-main di kotak fikiran.
“Papa nak Azizul balik sebelum majlis perkahwinan Hariz nanti. Azizul tak kesiankan papa dan mama ke? Kami rindukan Azizul,” tegas Tengku Azman bersuara. Berharap agar Tengku Azizul mendengar kata-katanya itu.
Tengku Azizul membisu di hujung talian. Tidak tahu apa yang harus dijawabkan. Sungguh dia keliru dengan keinginannya sendiri. Sebelah hatinya memintanya pulang dan sebelah hatinya masih berkeras.
“Baiklah papa, Insya-ALLAH Azizul akan balik ke Malaysia sebelum majlis perkahwinan Tengku Hariz,” janji Tengku Azizul. Sekadar untuk menyedapkan hati Tengku Azman. Betulkah keputusan aku ini? Tengku Azizul bersoal jawab di dalam hati.
“Kalau macam tu, esok I booking ticket untuk kita berdua,” ujar Tengku Hanis Suraya menghalau lamunan Tengku Azizul.
“Ikut suka hati youlah Anis. I ikut aje,” balas Tengku Azizul lemah. Semoga keputusan yang telah dibuat tidak akan di ubah lagi.
Tengku Hanis Suraya tersenyum gembira. Usaha memujuk Tengku Azizul yang bertahun-tahun akhirnya mendatangkan hasil. Kini hanya tinggal langkah terakhir untuk dia melayari bahtera kebahagiaan bersama Tengku Azizul memandangkan usia pertunangan mereka sudah menjangkau dua tahun. Semoga ALLAH memberi rahmat kebahagiaan kepadanya dan juga Tengku Azizul, pohon Tengku Hanis Suraya sendirian.


“Mama, Riz ada berita baik untuk mama,” jerit kecil Tengku Hariz dengan nada yang gembira.
Puan Sharifah Rohana yang sedang ralit menyiapkan beberapa persiapan terkejut melihat reaksi gembira Tengku Hariz. Anak aku ni menang lottery ke sampai gembira macam tu sekali. Tadi kelat aje mukanya, sekarang dah lain pulak, fikir Puan Sharifah Rohana sendirian.
“Mama, guess what?” ujar Tengku Hariz sambil memeluk erat bahu Puan Sharifah Rohana.
“Ada apa ni Riz? Gembira semacam aje mama tengok. Riz menang lottery ke?” soal Puan Sharifah Rohana bernada usikan.
“Lebih dari lottery mama,” usik Tengku Hariz seakan dapat menghidu usikan Puan Sharifah Rohana.
Puan Sharifah Rohana menarik tangan Tengku Hariz supaya duduk di kerusi yang dikhaskan untuk para tetamu. Dan dipandang kasih anaknya itu. Dalam kegembiraan itu, masih terselit kesedihan dalam anak mata Tengku Hariz.
“Ya sayang, apa dia?” soal Puan Sharifah Rohana lembut. Berminat untuk berkongsi kegembiraan dengan anak bongsunya itu.
“Abang ma, abang nak balik. Tengku Azizul nak balik ma. Anak sulung mama,” umum Tengku Hariz bernada gembira. Kesedihannya sebentar tadi hilang tatkala mendapat panggilan dari bakal kakak iparnya, Tengku Hanis Suraya yang memberitahu akan kepulangan Tengku Azizul pada minggu hadapan.
Puan Sharifah Rohana terpana mendengarnya. Seperti sedang bermimpi di siang hari. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Tengku Hariz sebentar tadi? Benarkah Tengku Azizul akan balik ke Malaysia dan ke pangkuannya? Soalan yang bertubi-tubi menerpa di kepala. Jika benar, apakah reaksi Tengku Azizul tatkala melihatnya? Masih adakah lagi kasih sayang Tengku Azizul terhadapnya? Masih anggapkah dia sebagai mama oleh Tengku Azizul? Masih adakah lagi ruang kemaafan buat dirinya dari Tengku Azizul? Ya ALLAH, kenapa hatiku resah dan gelisah apabila mendengar berita ini. Berikan aku kekuatan untuk hadapinya nanti, rintih Puan Sharifah Rohana.


“Apa masalah dengan kau ni Aisya, yang kau tercegat lagi kat situ tu kenapa?” marah Nadia melihatkan reaksi tak berperasaan daripada Aisya. Dari semalam lagi Nadia cuba menasihati Aisya agar berterus-terang kepada Tengku Hariz akan perasaannya, namun wajah yang tak berperasaan itu hanya mampu tersenyum dan tenang. Makin lama Nadia tidak mengerti akan sikap Aisya.
“Kalau kau tak nak masuk, aku masuklah!” tegas Nadia dan melangkah masuk ke dalam hotel yang bertaraf 5 bintang itu. Majilis pertunangan Tengku Hariz dan Sharifah Aleeya di adakan di hotel tersebut.
Aisya meraup wajah seketika. Cuba untuk mengumpul semangat yang semakin menghilang selepas mendengar penjelasan dari Tengku Hariz siang tadi. Ya, Tengku Hariz. Pertemuannya dengan Tengku Hariz selepas makan tengahari bersama Amirul.
“Tengku Hariz!” panggil Aisya dari jauh mematikan langkah Tengku Hariz. Sekilas dia menoleh dan terlihat Aisya sedang berjalan laju menghampirinya. Hatinya tercuit melihat gelagat Aisya.
“Ada apa?” soal Tengku Hariz serius setibanya Aisya di hadapan.
Aisya yang tercungap-cungap cuba menenangkan keadaan seketika. Biar bersusah payah sekali pun, dia harus berterus-terang dengan Tengku Hariz akan perasaannya. Dia juga harus meminta maaf kepada Tengku Hariz di atas kebiadapan memutuskan talian telefon sebelum membalas luahan Tengku Hariz malam semalam. Bukan niat dia untuk berbuat begitu, tetapi dia bagaikan hilang kata-kata untuk berbicara.
“Sebenarnya Aisya…” Hish!! Susah la pulak, rengus Aisya di dalam hati.
Tengku Hariz yang setia menanti sudah pun menunjukkan muka bosan.
“Awak apa Aisya?” soal Tengku Hariz dalam nada yang meninggi sedikit.
Kalau diikutkan hati mahu saja dia meninggalkan Aisya di situ memandangkan orang sekeliling sedang memerhatikan mereka berdua. Jika Aisya tidak menemuinya sekali pun, dia sudah tahu akan isi hati Aisya.
“Aisya nak minta maaf pasal malam tadi. Sebenarnya Aisya juga…” belum sempat Aisya menyudahkan kata-katanya, Tengku Hariz sudah pun mendahuluinya.
It’s okey. Saya tak kesah atau terasa hati dengan tindakan awak malam tadi. Saya cuma nak hilangkan stress saya, sebab itu saya cakap macam tu dan saya tak bermaksudkan dengan apa yang saya katakan tu,” ujar Tengku Hariz.
Aisya terpana mendengarnya. Hilangkan stress? Tak bermaksudkan dengan apa yang dia katakan? Betul ke apa yang aku dengar ni atau aku yang salah dengar? Kenapa dia tidak mengiyakannya sahaja walaupun cuma sekadar berbohong? Sekurang-kurang hati aku tidak akan merasa sakit sebegini, soal Aisya sendirian. Jika dia meneruskan kata-kata lagi, mungkin ianya akan memalukan dirinya sendiri.
“Aisya… Aisya… sa…” terdiam.
“Aisya, kalau awak nak merepek atau apa-apa ajelah, saya tak ada masa nak mendengarnya. Saya rasa awak dah salah faham dengan kata-kata saya malam tadi. For you information tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk terpikat dengan awak malah sampai bila-bila pun tak kan. You’re not my taste Aisya. Awak ingat tu sampai bila-bila!” geram Tengku Hariz melihatkan kegagapan Aisya menuturkan kata-kata.
Tanpa membuang masa, Tengku Hariz terus meninggalkan Aisya yang masih tunduk memandang sepatunya. Seketika kemudian, Aisya mengangkat muka. Kelibat Tengku Hariz lesap dari pandangannya.
“Kenapa tak masuk lagi?” soal Amirul menghalau lamunan Aisya yang panjang.
“Tak berani,” lemah Aisya menjawabnya.
“Tak berani? Kenapa pulak?” soal Amirul semula. Pelik dengan jawapan Aisya.
Aisya menjungkitkan bahu sahaja. Mati akal untuk menjawab soalan Amirul. Sebenarnya dia tidak ada kekuatan untuk berdepan dengan Tengku Hariz. Kata-kata Tengku Hariz masih lagi berbisik di cuping telinganya. “You’re not my taste Aisya!” Rasa terpukul apabila mendengar dan mengingati kata-kata itu.
“Aisya! Jom masuk!” panggil Nadia dengan nada yang keras.
Sakit hati melihat Aisya yang masih lagi tercegat di luar dewan. Sudah berkali-kali dia mengajak Aisya masuk, tetapi Aisya masih lagi membatukan dirinya di luar dewan. Amirul menoleh ke arah Nadia yang sedang berjalan menghampiri mereka berdua. Cantik! Itulah perkataan yang terlintas di fikirannya.
“Aku bagi dua pilihan. Kau nak masuk atau kita balik.” Putus Nadia sambil memandang tepat ke wajah Aisya. Jika diikutkan hati yang panas, mahu saja dia menarik Aisya masuk ke dalam dewan.
Aisya masih membatu. Jika itu pilihan yang Nadia berikan, sudah tentulah dia akan membawa dirinya keluar dari tempat itu. Biarlah apa yang Nadia dan Amirul hendak katakan. Dia tidak ambil peduli lagi.
“Hai!” sapa Amirul cuba mengalih tumpuan Nadia dari memandang Aisya.
Nadia menoleh sekilas ke arah suara yang menegurnya itu. Namun hatinya tidak terusik dengan sapaan Amirul itu. Apa yang menarik minatnya ialah jawapan dari mulut Aisya.
“Aku balik dulu la Nadia,” jawab Aisya dan segera beredar dari situ tanpa sempat Nadia membalasnya. Amirul yang menjadi pemerhati terkejut dengan tindakan Aisya.
“Ish dia ni. Sampai bila nak macam tu? Dari dulu sampai sekarang, takut sangat nak berdepan dengan kenyataan!” rengus Nadia dan membawa kaki masuk ke dalam dewan. Amirul tergelak melihat gelagat Nadia yang baginya mencuit hati.
“Excuse me!” tegur Amirul lagi. Kali ini dia tidak mahu terlepas untuk berkenalan dengan Nadia.
Langkah Nadia terhenti. Sekilas dia menoleh ke belakang. Berkerut dahinya memandang ke arah Amirul, lelaki yang menegurnya tadi.
“Do I know you?” soalnya sambil jarinya diletakkan di bawah bibir. Terukir sebuah senyuman di bibir Nadia.
Amirul tergoda dengan senyuman Nadia. Hatinya juga tercuit melihat gelagat Nadia. Melihatkan Nadia seperti melihat Aisya. Sama-sama cantik dan bijak. Sama-sama menarik perhatiannya.
Hish! Kenapa hati ni berdegup kencang pulak bila mamat ni tengok aku macam ni. Hati oh hati… janganlah kau lari laju-laju, kang tak terkejar aku dibuatnya, desis hati Nadia.
“Ehem..” Nadia berdehem mengembalikan Amirul yang sepertinya sedang hanyut melayan perasaan.
Sorry, mengelamun pulak saya ni. Saya Amirul. You?” tanya Amirul sambil menghulurkan tangan untuk berjabat.
“Nadia!” jawab Nadia dan membalas huluran tangan Amirul. “Oh ya, awak yang tadi tu, kat luar dewan dengan Aisya kan!” tersekat-sekat Nadia menyatakannya.
Amirul cuma mengangguk.
“Awak kawan baik Aisya kan? Aisya pernah ceritakan pada saya tentang awak masa kami sama-sama belajar kat UK dulu,” ramah Amirul memulakan bicara.
Tentang aku? Alamak! Mesti banyak yang dia tahu pasal aku. Aisya ni takkan dengan orang yang tak kenal pun kau jaja pasal aku. Siap kau Aisya, kutuk Nadia di dalam hati. Berkerut dahi Nadia memandang Amirul.
“Jangan salah sangka. Aisya bagitau saya dia gembira mempunyai seorang kawan baik seperti awak. Susah dan senang bersama.” Amirul menjelaskan maksud kata-katanya tadi.
Terharu Nadia mendengar pujian Aisya. Merona pipinya mendengar pujian itu. Tambah-tambah dari mulut lelaki seperti Amirul.
“Thanks!” ucapnya spontan. Amirul hanya tersenyum. “Eh, jomlah kita masuk. Majlis dah nak mula tu,” sambung Nadia dan membawa kaki ke sebuah meja yang berhampiran dengan meja keluarga Tengku Azman dan Syed Mukriz. Amirul mengangguk dan mengekori Nadia dari belakang.


Seusai Sholat Isyak, Aisya melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi yang tersedia di luar rumah. Dia membuang pandang menghala ke arah taman permainan yang hanya disirami dengan lampu jalan yang malap. Sesekali dia menguak rambutnya yang agak serabut disebabkan tolakan angin sepoi-sepoi bahasa. Betapa damai dan tenang malam itu tidak sedamai hati yang dipagut gelisah sedari petang tadi. Tindakan dia meninggalkan majlis tadi bukanlah tindakan yang bijak kerana belum sempat dia memboloskan diri ke dalam perut teksi, seseorang telah memanggilnya. Puan Sharifah Rohana! Ya, Puan Sharifah Rohana terlebih dahulu menahannya dari meninggalkan tempat itu. Bukan Puan Sharifah Rohana menjadi masalah, tetapi perkhabaran yang dibawa oleh Puan Sharifah Rohana itulah yang membuatkan hatinya tidak setenteram ketika dia memijakkan kaki di bumi asing enam tahun yang lepas.
Aisya menghela panjang nafasnya. Adakah aku cukup kuat untuk hadapinya lagi? Adakah aku sudah bersedia untuk menemuinya jika ditakdirkan aku berjumpa dengannya? Adakah semua kenangannya dahulu akan kembali berlayar di dalam kotak fikiranku? Aku buntu, buntu memikirkannya. Ya ALLAH, tabahkah hati ini untuk menghadapinya lagi.
“Kenapa tak nak masuk?” soal Puan Sharifah Rohana sambil melabuhkan punggung menghadap Aisya.
Aisya tunduk memandang kakinya sendiri. Mungkin ada yang lebih menarik dengan kakinya itu sehinggakan dia tidak berani untuk bertentang mata dengan Puan Sharifah Rohana. Rasa kesal membelenggunya ketika ini kerana bertindak meninggalkan majlis itu sedangkan dia sudah berkali-kali diingatkan oleh Puan Sharifah Rohana supaya hadir pada malam itu.
“Kenapa ni Aisya? Mama tengok Aisya macam ada masalah aje,” soal Puan Sharifah Rohana lagi. Matanya masih lagi memandang Aisya yang sedikit mengelamun. Sesekali terdengar Puan Sharifah Rohana terbatuk akibat kesejukan yang amat sangat di bilik hotel itu.
“Mama tak sihat ke? Kita pergi klinik ya.” Kini Aisya pula yang menyoal Puan Sharifah Rohana selepas terdengar bunyi batukan dari arah Puan Sharifah Rohana.
Puan Sharifah Rohana hanya menggeleng walaupun sesekali dia memicit-micit kepala yang tiba-tiba terasa berdenyut. Aisya segera menerpa Puan Sharifah Rohana dan mengelus-elus tangan Puan Sharifah Rohana dengan penuh kasih.
“Maafkan Aisya mama. Aisya tak kuat untuk hadapinya lagi,” suara Aisya. Dia cuba untuk tidak menangis di hadapan Puan Sharifah Rohana kerana jika dia menangis, dia akan menyusahkan hati perempuan tua itu.
Puan Sharifah Rohana mengusap rambut Aisya dengan lembut. Matanya di pejam perlahan-lahan cuba mengumpul kekuatan untuk menyakinkan Aisya.
“Mama tahu, Aisya kuat. Mama yakin dengan Aisya. Seperti yang mama minta, Aisya tolong jagakan Tengku Hariz untuk mama. Mama tak tahan lagi nak melihat penderitaan dia. Dia menolak kebahagiaannya sendiri demi kepentingan Tengku Azman.” Jelas dan nyata Puan Sharifah Rohana menuturkannya.
Aisya melentokkan kepala di atas riba Puan Sharifah Rohana. Segala perasaan marah dan dendam terhadap perempuan tua itu telah dihapuskan dari dalam hati. Kini kasih dan sayang tumpah kepada perempuan tua itu.
“Hidup mama dah tak lama lagi Aisya. Anggaplah ini permintaan terakhir mama dari Aisya,” luah Puan Sharifah Rohana lemah.
Aisya mengangkat kepala. Ditenung kasih wajah putih bersih Puan Sharifah Rohana. Wajah yang saling tak tumpah dengan Tengku Hariz. Air mata yang sedari tadi ditahan, akhirnya merembis keluar dari kolam mata.
“Mama, jangan cakap macam tu. Jangan buat Aisya serba salah mama. Aisya…” terhenti apabila Puan Sharifah Rohana memotong kata-katanya.
“Tengku Azizul akan balik minggu depan Aisya.”
Terlopong Aisya mendengarnya. Perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini. Nama yang sudah lama dibuang dari hati itu membuatkan hatinya berdebar-debar semula tatkala mendengar nama itu disebut.
Aisya meraup wajahnya berkali-kali. Dia cuba mengumpul semula kekuatan yang semakin longgar selepas mengetahui akan kepulangan Tengku Azizul. Dia melepaskan keluhan yang berat. Bebanan yang ditanggungnya kini semakin berat. Permintaan Puan Sharifah Rohana membuatkan dirinya di dalam dilema. Seperti diluah mati mak, ditelan mati bapak. Dia memandang ke arah langit yang disinari dengan kerlipan bintang. Alangkah bagusnya jika dia menjadi seperti bintang. Tidak perlu memikirkan apa-apa masalah dan hanya menyinari langit dengan kerlipan cahaya yang terang dan cantik.
“Jauh termenung. Apa yang ada kat langit tu. Boleh aku tumpang sekaki tengoknya juga,” tegur Nadia tiba-tiba sambil berjalan menghampiri Aisya yang masih memandang ke arah langit. Aisya menoleh sekilas ke arah Nadia yang sudah pun duduk bersebelahan dengannya.
“Kau balik dengan apa tadi?” soal Nadia sekadar berbasa-basi.
Walaupun hatinya marah dengan tindakan Aisya sebentar tadi, dia masih lagi mengambil berat akan keselamatan Aisya. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali gara-gara kecuaiannya.
Driver Puan Sharifah Rohana hantar aku tadi. Kebetulan aku terserempak dengan dia, tu yang dia offer driver dia hantar aku balik,” jawab Aisya acuh tak acuh.
Sebenarnya dia tahu Nadia marah di atas tindakannya sebentar tadi. Nadia terlalu menjaga keselamatannya. Dengan cara memberitahu Nadia bagaimana cara dia pulang ke rumah, hati Nadia akan lembut dan tidak akan memarahinya lagi.
Nadia menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskan satu persatu. Di pandang Aisya yang masih lagi melayan perasaannya sendiri walaupun Aisya sedar akan kehadirannya di situ.
“Tengku Hariz tanya pasal kau tadi,” bicara Nadia cuba untuk menyedarkan Aisya dari melayan perasaannya sendiri.
Aisya mendengus perlahan. Sudah pastilah dia akan bertanya tentang aku. Yalah nak gelakkan aku sebab dah perbodohkan aku. Selama ini kau memang berdendam dengan aku. Kau sengaja buat baik dengan aku. Sengaja nak permainkan perasaan aku. Puas hati kau sekarang Tengku Hariz! Marah Aisya di dalam hati.
“Diorang nikah minggu depan, lepas Tengku Azizul balik ke sini,” sambung Nadia dengan nada yang kesal.
Wajah Aisya di kerling seketika. Sukar untuk dia menafsirkan riak wajah Aisya ketika ini sedangkan wajah itu seperti tidak berperasaan. Sungguh dia terkejut setelah mendapat tahu bahawa Tengku Azizul adalah abang kepada Tengku Hariz.
“Kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni,” suara Nadia yang sengaja ditinggikan.
Aisya menganggukkan kepala. Bertambah geram Nadia melihat reaksi tak berperasaan dari Aisya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membenamkan muka Aisya ke dalam kolam air untuk menyedarkan Aisya.
Nadia menggeleng-gelengkan kepala. Dia sudah tidak punya kuasa untuk melihat wajah Aisya yang tidak berperasan itu. Setiap apa yang diberitahukannya sedari tadi, tidak memberi sebarang makna kepada Aisya. Wajah itu sentiasa tenang dan redup. Dengan perasaan yang berbaki marah dan geram, Nadia bingkas bangun untuk masuk ke dalam rumah. Belum sempat dia menjejakkan kaki ke dalam rumah, Aisya bersuara.
“Aku tahu Tengku Azizul akan balik minggu depan dan aku juga tahu Tengku Hariz akan menikah minggu depan. Apa yang kau nak aku buat Nadia? Cuba kau bagitau pada aku. Kau tak tahu betapa tekanannya aku sekarang ni. Dengan permintaan terakhir Puan Sharifah Rohana, menambahkan lagi bebanan di kepala aku ni Nadia. Kau tolonglah aku Nadia. Kepala aku bagai nak pecah dibuatnya. Aku tak tahu…” dan air mata mengalir dengan deras tanpa memberi arahan supaya berbuat begitu.
Nadia berlari anak menerpa ke arah Aisya yang sedang memeluk kakinya dengan erat dan rapat sambil mengetap bibir berserta esakan tangisan. Esakan yang telah memecahkan kesunyian malam itu.
“Maafkan aku Aisya. Aku tak sepatutnya marahkan kau tadi. Aku tak tahu kau sedang menanggung satu bebanan yang berat. Maafkan aku Aisya. Aku bukanlah seorang kawan yang baik. Aku tidak layak menjadi kawan baik kau Aisya. Sebagai kawan, aku sepatutnya menyokong kau dan bukannya menghentam kau. Maafkan aku Aisya!” rayu Nadia seikhlas hati. Diusap belakang Aisya dengan lembut agar dapat menenangkan Aisya yang masih lagi menangis.
Ya ALLAH, kenapa aku kejam dengannya? Kenapa aku menghukumnya. Terlalu berat bebanan yang ditanggung olehnya ketika ini. Aku bukan kawan yang baik baginya, rintih hati kecil Nadia sambil memandang sayu ke wajah redup dan tenang Aisya yang sedang lena di ulit mimpi. Lantas dia mencapai telefon bimbit untuk menghantar message kepada seseorang.


11 ulasan:

  1. ala.... kak eliza,kesian kat aisha.harap2 hariz tak jadi kahwin dgn aleeya.sambung lagi ya kak....

    BalasPadam
  2. ala kenapa ex mom in law tak ckp je kat TA pasal aisya tu ex wife abg dia. n cter sebenar, jgn la aisya kena buli lagi. sebab TA kata nak balas dendam kat ex wife abg dia.

    BalasPadam
  3. Tanpa nama (nanti letak nama ek..leh kenal2..hehehe... :) ).. ttg kawin atau x..tunggu next bab..akn terjwb persoalan itu..

    wah yong..btl2 mengkaji HM ni..tp, terbalik dh namanya tu..TH y nk balas dendam n bkn TA... erm.. ttg berterus-trg tu..akn terjwb dlm bab seterusnya..spt biasalah.. tunggguuuuu!!!!... :D

    BalasPadam
  4. Nak lg...smakin best ni......mantop la..mesti nadia sms TH kan...?

    BalasPadam
  5. Nantikan bab seterusnya... thanks coz support HM.. :)

    BalasPadam
  6. nak lgi pls............hehehe x sabaq nie...rsa nk mletup pu ad...hehe teruskn pjuangan andA..akk!!!

    BalasPadam
  7. cik teh kdh... huhu... sabar ya.. Insya-ALLAH akn di'entry'kan tdk lama lg.. thanks 4 ur support.. really appreciate.. :)

    BalasPadam
  8. memang best cite ni tak sabar tunggu entry seterusnya..

    BalasPadam
  9. thanks Yantie coz menyukai HM.. hope setia bersama HM... :)

    BalasPadam
  10. hehe....baca kat blog,sebab nak tau ending terus g kedai cari hm....suka sgt...dah habis baca pun

    BalasPadam
  11. terima kasih izan supian coz sudi mendptkan serta membaca HM.. sgt2 hargainya.. hope msh percaya dgn karya2 sy.. :)

    BalasPadam