Jumaat, 3 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 11


BAB 11

“Lia... Lia… buka pintu ni!!” jerit Fazura dari luar bilik. Tangannya mengetuk pintu bilik Liyana. Bertalu-talu Fazura mengetuknya.
Liyana mendengus geram. Ketenangannya diganggu-gugat oleh Fazura. Lantas dia menapak dan membuka pintu bilik. Terjengul kepala Fazura di sebalik pintu bilik itu.
“Hisy… kau ni Zura. Bagai nak runtuh pintu bilik aku ni kau ketukkan,” marah Liyana. Matanya dijegilkan.
“Habis tu dah aku ketuk perlahan, kau tak nak buka, aku ketuklah kuat-kuat,” bidas Fazura dan menjeling manja.
“Yalah… yalah… ada apa cik intan payung oi!!” tanya Liyana mengalah.
“Ada orang nak jumpa kau kat luar,”
“Siapa?” berserta kerutan di dahi.
“Siapa lagi kalau bukan buah hati kau tu,”
“Buah hati aku?” ulang Liyana. “Eh… hatikan tak boleh berbuah. Mana kau tau hati boleh berbuah,” sambung Liyana lurus. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Kau ni Lia… asallah bebal sangat ni,” geram Fazura sambil menepuk dahi Liyana. Liyana mengaduh kesakitan dan tersengih. Sengaja mengusik Fazura. “Amirul kat luar tu. Nak jumpa kau,” beritahu Fazura dan menapak ke ruang tamu.
“Haaa…. Amirul!!” ulang Liyana dan terlopong. “Buat apa dia datang ke sini?” kalut Liyana dan mengekori Fazura dari belakang.
“Manalah aku taukan buat apa dia datang ke sini? Dia rindu kat kau kot, tu yang dia datang,” balas Fazura acuh tak acuh. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa. Remote televisyen dicapai dan menekan suis on. Terpancar bayangan orang dari dalam televisyen itu.
“Hisy… menyusahkan betullah,” rungut Liyana.
Matanya meninjau-ninjau melihat kelibat Amirul. Ternyata Amirul sedang menunggu di luar sambil bersandar di kereta dan berpeluk tubuh.
“Buat apa lagi tu, pergilah keluar jumpa dengan dia. Nanti mengamuk pulak dia tu, siapa yang susah… kau jugakan,” nasihat Fazura. Matanya masih tertancap ke screen televisyen.
Liyana mengeluh berat. Sungguh tidak menyangka akan kedatangan Amirul. Apa yang perlu dilakukannya sekarang? Rasa sakit hatinya dengan amukan Amirul siang tadi, masih lagi bersisa. Rasa menyampah untuk mengadap muka Amirul ketika ini.
“Aku keluar kejap la Zura,” ujar Liyana mengalah. Kalau dia nak buat apa-apa kat aku, taulah dia nanti, azam Liyana.
“Ha… molek benorlah tu. Jangan dibiarkan cik abang tunggu lama-lama. Lenguh kakinya nanti dok tercegat kat luar tu,” balas Fazura dan tersenyum. Senyuman penuh bermakna.
Lia… Lia… aku pasti rancangan kau berjaya untuk buatkan Amirul jatuh cinta pada kau. Walaupun aku tak sukakan rancangan kau tu, tapi seronok pulak aku rasakannya, bisik Fazura sendirian.
Liyana menapak jalan keluar rumah. Hatinya tidak tenteram melihatkan kedatangan Amirul. Entah apa yang dihendakkan Amirul darinya, dia sendiri tidak pasti. Mungkin disebabkan peristiwa siang tadi membawa Amirul ke rumahnya. Tapi, apa hak Amirul untuk menghalang aku keluar dengan Harris. Dia bukannya suami aku. Malah boyfriend aku pun belum tentu sah jadinya. Hisy… tak nak aku dapat boyfriend macam dia ni. Ikut kepala angin dia aje yang dia tahu. Kepala angin aku, dia belum tau lagi. Liyana bermonolog sendirian.
“Encik Amirul nak apa?” tanya Liyana setibanya di hadapan Amirul. Dia berpeluk tubuh dan bersandar di pintu pagar rumah.
Amirul melangkah jalan menghampiri Liyana. Diperhatikan Liyana dari atas ke bawah. Seperti ada sesuatu yang menarik minat untuknya melihat. Ya, Liyana berbeza dari hari biasa. Walaupun cuma sekadar berbaju lengan panjang dan berseluar track, terserlah keayuan Liyana. Hisy… apa yang aku mengarut ni, bidas hati Amirul.
“Saya nak ajak awak keluar Lia,” jawab Amirul perlahan. Malu dengan kata-katanya itu.
Eh… biar betul mamat hingus ni. Dia nak ajak aku keluar? Buang tebiat ke atau dia ni demam.
“Encik Amirul nak ajak saya keluar?” ulang Liyana berserta kerutan di dahi. Amirul di hadapan di pandang curiga.
Amirul sekadar mengangguk. Entah kenapa kata hatinya berlawanan dengan kata akalnya. Hatinya menjerit-jerit memintanya mengajak Liyana keluar. Mungkinkah Liyana setuju dengan ajakannya itu?
“Encik Amirul ni dah demam ke?” ujar Liyana sambil berjalan menghampiri Amirul. Dia meletakkan tangannya di dahi Amirul. Cuba memeriksa kalau-kalau Amirul demam ataupun tidak. “Tak demam pun,” sambung Liyana dan menarik tangannya dari memegang dahi Amirul.
Namun tindakannya itu pantas ditahan oleh Amirul. Tangannya sudah pun dipegang oleh Amirul. Mata Amirul menikam mata Liyana. Terasa debaran di dada masing-masing. Lama mereka berkeadaan begitu sehinggakan membuatkan jantung Liyana berdegup dengan kencang. Begitu juga dengan Amirul. Turut sama merasai dengan apa yang Liyana rasakan.
“Maaf,” ujar Amirul sambil melepaskan tangan Liyana. Terasa malu dengan tingkahnya itu.
It’s okey. Encik Amirul nak ajak saya pergi mana?” tanya Liyana cuba menyembunyikan rasa gugupnya.
“Saya tunggu awak bersiap,” balas Amirul dan menapak menuju ke keretanya semula.
Entah mengapa panahan mata Liyana membuatkan dirinya tidak keruan. Sedaya upaya dia cuba untuk menyembunyikan rasa gelabah dan gugupnya tadi.
Liyana sekadar mengangguk. Terasa berat mulutnya untuk membantah seperti biasa. Mungkinkah panahan mata Amirul membuatkan dirinya di awang-awangan ketika itu. Mungkinkah deruan nafas lembut Amirul yang menampar mukanya tadi membuatkan hatinya berdebar-debar dan berdegup dengan pantas. Terasa damai dan tenang berada di sisi Amirul. Seminit kemudian, dia menapak masuk ke dalam rumah. Seakan ada remote control yang sedang mengawal pergerakannya sehinggakan dia tidak mampu untuk bersuara atau berkata-kata.
“Kush semangat. Apasal laju aje jantung aku ni?” suara Amirul sebaik sahaja dia masuk ke dalam perut kereta. Dia mengurut-urut lembut dadanya yang berdegup dengan kencang. “Takkan aku dah jatuh cinta dengan dia kot?” sambungnya lagi.
Tak…. tak mungkin aku jatuh cinta dengan dia. Aku takkan termakan dengan kata-kata aku dulu. Mustahil dia sengaja nak buat aku jatuh cinta dengannya. Bolehlah dia gelakkan aku nanti. Amirul bermonolog sendiri.


Amirul menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduannya. Liyana sekadar membisu dan membuang pandang ke luar tingkap. Masing-masing melayan perasaan yang terbuku di hati. Hanya nyanyian sumbang dari radio sahaja yang menemani mereka berdua ketika ini.
Hisy… apasal senyap aje ni? Bosanlah pulak. Dahlah sumbang mambang aje lagu yang aku dengar kat radio tu. Naik rimas pulak aku mendengarnya. Ehm… apa ya aku nak buat untuk menceriakan suasana yang terasa sunyi ni? Liyana bermonolog sendiri.
“Err… Encik Amirul nak bawa saya ke mana?” tanya Liyana cuba menceriakan suasana.
“Ikut suka hati sayalah ke mana saya nak bawa awak. Awak duduk aje diam-diam kat situ. Tak payah nak sibuk-sibuk tanya,” jawab Amirul. Matanya masih lagi lurus ke hadapan. Jantungnya masih lagi berdegup dengan kencang.
Amboi-amboi.. jawapan dia mengalahkan jawapan budak darjah satu. Ikut suka hati dia aje nak bawa aku. Apa dia ingat aku ni sesuka hati aje ke nak ikut orang yang bukan muhrim ni, bisik Liyana.
“Encik Amirul ni biar betul. Mestilah saya kena tau ke mana Encik Amirul nak bawa saya. Sayakan anak dara orang. Dibuatnya mak bapak saya cari saya, siapa yang susah… Encik Amirul jugakan,” bidas Liyana dan menatap mesra wajah Amirul. Dia menilik wajah Amirul penuh khusyuk.
Amirul menoleh sekilas ke arah Liyana. Terkejut dibuatnya apabila wajah Liyana hampir ke wajahnya. Terasa merona pipinya dirasakan waktu itu. Hisy… boleh gugur jantung aku ni, bisik Amirul. Sabar… sabar Amirul. Kau kenalah control macho sikit depan Liyana. Takkan kau dah mengaku kalah kot, sambungnya lagi.
“Hahaha… lawak betullah Encik Amirul ni,” kata Liyana dan tertawa. “Tengok tu.. dah blushing,” ujarnya pula. Seminit kemudian, dia membuang pandang ke luar tingkap. Tidak sanggup untuk menatap wajah Amirul yang sedang kemerahan menahan malu.
“Lia!!” panggil Amirul geram.
Geram apabila dia dipermain-mainkan oleh Liyana. Terasa malu dengan keadaannya itu. Sungguh dia akan merasa malu apabila Liyana memerhatikannya seperti tadi.
“Awak sengaja nak kenakan saya ya,” sambung Amirul sambil menarik tangan Liyana. Digenggam erat tangan Liyana bagaikan tidak mahu dilepaskannya sahaja.
Tersentak Liyana dengan tindakan Amirul. Dia memandang tangannya yang digenggam erat oleh Amirul berserta kerutan di dahi.
“Boleh lepaskan tak?” ujar Liyana lembut.
“Lepaskan? Lepaskan apa?” tanya Amirul pura-pura. Terasa semangat tatkala menggenggam tangan Liyana.
“Tu… tu ha… tangan saya. Boleh tolong lepaskan tak?” arah Liyana lembut sambil muncungnya di halakan ke arah tangan mereka berdua.
Amirul sekadar membisu. Tidak mengendahkan arahan Liyana. Malah Amirul mengeratkan lagi genggaman tangannya membuatkan Liyana merasa rimas dan geram. Liyana cuba menarik tangannya, namun tidak berjaya. Amirul memang sengaja!!
“Ikut suka hati Encik Amirullah. Kalau Encik Amirul nak tahu tangan saya ni baru lepas kena kudis,” ujar Liyana selamba. Dalam hati, dia tergelak besar. Sengaja nak mengenakan Amirul.
Mendengarkan kata-kata Liyana itu, dengan serta merta Amirul meleraikan genggaman tangannya. Dia mempamerkan muka gelinya. Tangannya dikesat-kesatkan di seluar untuk menghilangkan kesan pegangannya tadi.
Melihatkan tingkah Amirul, membuatkan Liyana menahan ketawa di dalam perut. Rasa senak di perut kerana sarat menahan ketawa. Ingin saja dia meminta Amirul memberhentikan kereta di tepi jalan untuk meletuskan ketawanya itu. Sungguh tidak tertanggung seksaannya itu. Menderita rasanya menahan ketawa di dalam hati. Liyana tersengih sendiri.
Amirul memarkirkan kereta di petak yang baru dikosongkan. Dia mematikan enjin dan segera keluar dari perut kereta. Setelah itu, dia membukakan pintu buat Liyana dan mengisyaratkan Liyana keluar dari perut kereta. Liyana akur sambil matanya membelingas melihat keadaan sekeliling di kawasan itu. Seram sejuk pulak Liyana rasa, melihatkan kawasan tersebut.
“Tempat apa ni?” tanya Liyana bernada risau.
Amirul sekadar tersenyum. Dia menekan punat lock dan melangkah jalan mendahului Liyana. Senyuman masih terukir di bibirnya. Terasa hatinya berbunga riang tatkala itu.
“Cuba awak tengok tu, cantik tak?” ujar Amirul sambil menuding jari lurus ke hadapan.
Liyana menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Amirul. Terbeliak matanya melihat pemandangan indah yang berada di hadapannya itu. Pemandangan Kuala Lumpur pada waktu malam. Teruja Liyana melihatnya. Belum pernah dia melihat pemandangan seperti itu sebelum ini. Belum pernah? Liyana menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Cantik. Pandai Encik Amirul cari port ya. Dah berapa ramai gadis yang Encik Amirul bawa ke sini?” kata Liyana sambil meluruskan pandangan ke hadapan. Sungguh dia merasa teruja dengan apa yang dilihatnya sekarang.
Berkerut dahi Amirul mendengar kenyataan Liyana itu. Berapa ramai gadis yang aku dah bawa ke sini? Ulang Amirul di dalam hati. Hisy… dia ingat aku ni playboy ke, sampai nak pasang ramai perempuan, gerutu Amirul pula.
“Mesti Encik Amirul pernah bawa Shasha ke sini kan?” duga Liyana sambil mengangkat kening. Ditilik wajah Amirul buat seketika. Entah kenapa dia suka membuat tingkah sebegitu. Mungkin ada yang menarik pada wajah Amirul itu.
Adoi!! Gugur jantung aku kalau dia tilik wajah aku macam ni. Pandangan dia, buatkan aku cair. Kalau ikutkan hati aku, nak aje aku cium muka dia tu, baru puas hati aku, bisik Amirul dan tersenyum nakal. Akal jahatnya sedang berlegar-legar di kepala otak. Jika imannya tidak kuat, mahu sahaja dia berbuat seperti yang difikirkannya itu.
“Boleh tak jangan tengok saya macam tu? Saya cium awak nanti, baru awak tahu,” usik Amirul dan tersenyum nakal. Matanya menjamah wajah putih bersih Liyana.
“Oh! Nak cium saya,” ulang Liyana sambil mengangguk kecil. Tidak menyedari akan jawapan Amirul itu. “Haaa… nak cium saya!!” jerit kecil Liyana sambil melompat menjauhi Amirul. Berkerut-kerut dahinya memandang Amirul. Terasa merona pipinya ketika itu.
Amirul tertawa melihat gelagat Liyana. Kepalanya digeleng beberapa kali.
“Ha… tahu pun takut. Lain kali jangan tengok saya macam tu. Kalau tak, saya cium awak betul-betul,” ugut Amirul dan tertawa. “Tahulah saya ni handsome, macho, smart…. tapi, janganlah tengok saya sampai nak terkeluar bijik mata tu pulak,” puji Amirul kepada dirinya sendiri. Terasa bangga dengan kata-katanya itu. Dia menguak rambutnya ke belakang dan membetul-betulkan kolar baju t-shirtnya. Lagak seperti bagus aje Amirul tu.
Liyana mencebik. Handsome? Macho? Smart? Uwekk!! Nak termuntah aku dengarnya. Macam bagus aje mamat hingus ni. Dahlah muka tak cukup acuan, nak puji diri sendiri pulak. Hisy… geli telinga aku mendengarnya, bidas Liyana di dalam hati.
“Perasan betul Encik Amirul ni,” cebik Liyana dan melabuhkan duduk di atas palang besi yang terdapat di situ. Dia menghela nafas dan melepaskannya perlahan. Angin malam begitu mendamaikan. Terasa ingin melayani perasaan sendiri ketika itu.
“Memanglah saya perasan yang saya ni handsome, macho dan smart,” bidas Amirul tegas. Dia melabuhkan duduk bersebelahan Liyana.
“Encik Harris lagi handsome dari Encik Amirul,” puji Liyana selamba. Sengaja membakar hati Amirul.
Berkerut dahi Amirul mendengarnya. Harris? Kenapa nama Harris juga yang disebutkan oleh Liyana? Adakah Liyana sudah jatuh cinta dengan Harris? Soal Amirul di dalam hati. Hatinya menjadi panas dengan tiba-tiba. Entah mengapa dia merasa cemburu tatkala nama Harris meniti di bibir Liyana.
“Saya tak suka awak sebut nama lelaki lain di depan saya, faham!!” marah Amirul seraya bangun. Dia menapak menuju ke kereta. Sakit hatinya mendengarkan nama Harris disebut-sebut.
Lar… asal pulak dengan mamat hingus ni? Tetiba aje nak mengamuk. Salah ke aku puji Harris. Dah memang Harris lagi handsome dari dia. Ish.. tak paham betul aku dengan dia nilah. Oh ya, baik aku kenakan dia, bisik Liyana dan tersenyum nakal. Bingkas dia bangun dan menyorokkan diri di sebalik pokok yang berada di kawasan itu. Sengaja menduga reaksi Amirul.
“Lia… jom balik!” panggil Amirul keras. Terasa tidak ada mood selepas mendengar nama Harris disebut-sebut dan dipuji-puji oleh Liyana.
“Lia…” ulang Amirul sedikit meninggi. Namun tiada sahutan dari Liyana. Pantas dia menoleh ke belakang. Terjegil matanya melihat kelibat Liyana tiada di belakang.
“Lia…” ulang Amirul.
Matanya membelingas ke kiri dan ke kanan mencari kelibat Liyana.
Liyana ketawa geli hati. Seronok mempermain-mainkan Amirul. Jelas kelihatan wajah cemas Amirul di waktu itu. Ikutkan hati Liyana, mahu saja dia meninggalkan Amirul yang berlagak itu. Biar padan muka dengan Amirul. Biar Amirul rasa gelabah dengan kehilangan Liyana.
“Liyana…. awak kat mana?” tanya Amirul cemas.
Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Dia berlari anak mencari-cari Liyana, namun pencariannya tidak berjaya. Jantungnya berdegup dengan kencang. Liyana hilang entah ke mana.
“Lia… awak jangan main-mainkan saya,” rayu Amirul pula. Dia melabuhkan duduk di atas palang. Melepaskan keluhan berat di situ. Menyesal dengan kata-katanya tadi.
Melihatkan Amirul seakan menyesal, pantas Liyana keluar dari balik pokok dan menapak jalan menuju ke arah Amirul. Padan muka. Siapa suruh mengamuk tak pasal-pasal kat aku. Baru tahu dia siapa aku yang sebenarnya, bisik Liyana dan tersenyum puas.
“Ehem… ehem…” dehem Liyana selamba. Dia membetulkan bajunya yang agak senget.
“Lia…,” seru Amirul sebak. Pantas gadis itu ditarik dan dipeluk erat. Seperti tidak mahu melepaskannya sahaja.
Tersentak Liyana dengan perlakuan Amirul. Segera dia menolak tubuh Amirul daripada memeluknya.
“Encik Amirul ni kenapa? Suka hati aje nak peluk saya,” marah Liyana. Tidak suka diperlakukan seperti tadi. Seolah-olah dia tidak punya harga diri dan maruah.
“Maaf, saya tak sengaja.” Amirul mengaku akan keterlanjurannya tadi. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Liyana sekadar tersengih. Seronok mempermain-mainkan Amirul. Padan muka!!
Amirul mengerutkan dahi. Wajah sengihan Liyana ditatap penuh curiga. Seminit kemudian, dia terfikirkan sesuatu.
“Awak sengaja nak main-mainkan saya Lia,” duga Amirul keras. Matanya tajam merenung Liyana.
Gulpp!!
Liyana menelan liur. Kelat! Memang Liyana akui kata-kata Amirul itu. Sengaja untuk mempermain-mainkan Amirul. Alamak!! Seram betul aku tengok tenungan tajam dia tu. Naik bulu roma aku dibuatnya. Lia… apa kau dah buat ni? marah Liyana di dalam hati.
Amirul mendengus kasar. Kebisuan Liyana membenarkan kata-katanya sebentar tadi. Sakit hatinya dipermain-mainkan oleh Liyana. Sengaja mencari nahas!!
“Awak tahu tak saya risaukan awak. Saya ingat awak kena culik. Puas hati awak sekarang Lia sebab dah permain-mainkan saya,” marah Amirul meninggi.
Kemudian, dia menapak menuju ke keretanya. Pintu kereta di hempas kuat. Seakan-akan melepaskan kemarahannya ke atas pintu itu.
Liyana sekadar memerhati. Tidak menyangka Amirul akan memarahinya sebegitu. Memang dia berniat untuk mempermain-mainkan Amirul, tetapi lebih kepada gurauan. Namun gurauannya itu telah mengundang kemarahan Amirul. Bagaimana untuk memujuk Amirul? Dia tiada jawapan pada soalan itu.


“Abang…” panggil Datin Suraya.
“Ada apa?” balas Dato’ Zulkifli. Matanya masih lagi tertancap ke buku yang dibacanya.
“Apa kata Tan Sri Khalil tentang rancangan kita tu,”
“Tak jadi,”
“Tak jadi kenapa?” tanya Datin Suraya ingin tahu.
“Amirul dah ada pilihan sendiri. Hujung bulan ni, diorang nak merisik gadis tu,” cerita Dato’ Zulkifli. Buku yang dibacanya tadi sudah pun ditutup dan diletakkan di atas meja di sisi katil.
“Siapa bang?”
“Abang pun tak tahu Sue. Kata Tan Sri, gadis tu satu tempat kerja dan pembantu Amirul,”
“Oh… bertuah betul gadis tu ya bang. Dapat jadi menantu Tan Sri,” puji Datin Suraya. “Saya rindukan Lia. Entah apa jadi dengan anak bongsu kita tu,” ujarnya pula.
Dato’ Zulkifli mendengus keras. Tidak suka nama Liyana disebut-sebut.
“Pandai-pandailah dia nak hidup,” balas Dato’ Zulkifli seraya bangun dari duduknya.
“Abang… janganlah hukum Lia disebabkan perkara yang lepas. Abang sekarang nikan dah stabil dan maju. Janganlah disebabkan pemikiran abang yang kolot tu, Lia menjadi mangsanya,” luah Datin Suraya. Sudah berkali-kali dia menasihati Dato’ Zulkifli, namun Dato’ Zulkifli masih lagi dengan pendiriannya.
“Kalau bukan disebabkan pemikiran abang yang kolot nilah, kita takkan dapat bangun semula. Awak dah lupa dengan apa yang terjadi pada kita dulu. Kalau bukan disebabkan keputusan awak tu, kita takkan alami kejatuhan sehingga kita terpaksa hidup dalam kesusahan suatu masa dulu. Mujurlah ada arwah ayah abang yang tolong, kalau tidak… awak fikirlah sendiri,” bidas Dato’ Zulkifli. Dia menapak jalan menuju ke muka pintu bilik. Malas untuk membicarakan tentang perkara lama itu lagi.
“Sampai bila bang? Sampai bila abang nak berfikiran macam tu? Abang tak kesiankan Lia ke? Lia anak kita bang,” rintih Datin Suraya sebak.
Dia menyeka air mata yang hampir gugur. Terasa hiba tatkala mengenangkan nasib anak bongsunya itu. Kenapa Liyana perlu dihukum disebabkan pemikiran Dato’ Zulkifli yang kolot itu?
“Sampai bila-bila pun pendirian abang tetap sama,” tegas Dato’ Zulkifli dan keluar dari bilik.
Sebelum hatinya menjadi panas, ada baiknya dia keluar dari bilik itu. Dia tidak mahu memarahi Datin Suraya. Dia tidak mahu menyesakkan fikiran dengan memikirkan perkara itu. Ada baiknya perkara itu dibiarkan berlalu dan menjadi sejarah dalam kisah hidup keluarganya.


Jangan senyum sorang2 ya...  :D
(^_^)




6 ulasan:

  1. Balasan
    1. hihi.. nakal sungguh Liyana tu.. main2kan Amirul.. :D

      Padam
  2. nakal liyana ye mainkan amirul...hehehe
    liyana bukan anak angkat la ye...tapi knpa ayah liyana marah sgt kat liyana apa sebabnyer?????

    BalasPadam
    Balasan
    1. a'ah.. mmg nakal. i2 blm msk Amirul pulak yg nakal dgn Liyana.. huhu..
      knpa ayahnya marah kat Liyana?? ada jwpnnya.. tp, kna tnggu.. :D

      Padam
  3. best!!!!bile nk msuk new n3??x sabar mnggu da ni:(

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-ALLAH, nti sy n3 bab seterusnya.. terima kasih kerana membaca GB.. ;)

      Padam