Rabu, 8 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 12


BAB 12

Laila mengerling jam di tangan. Sedari tadi dia menunggu Jasmine, namun kelibat Jasmine tidak juga muncul-muncul. Panas punggungnya akibat duduk yang terlalu lama. Kalau diikutkan hatinya yang panas, mahu saja dia meninggalkan tempat itu. Dia paling tidak suka dengan orang yang lewat. Bagi Laila, orang yang tidak menepati masa, orang yang tidak boleh dipercayai. Dari dulu hingga sekarang, dia berpegang pada prinsip itu.
Sorrylah aku lambat, ada hal sikit tadi,” ujar Jasmine seraya duduk di atas kerusi. Dia cuba menstabilkan nafasnya buat seketika.
“Banyaklah kau punya sorry. Panas punggung aku dibuatnya tau,” geram Laila. Air di hadapan di teguk rakus.
“Yalah.. aku minta maaf. Bukannya disengajakan. Yang kau nak mengamuk ni kenapa?” suara Jasmine. “Bagilah tekak aku basah dulu sebelum kau nak membebel,” sambungnya lagi. Lantas dia mengangkat tangan ke arah pelayan dan memberi pesanan. Setelah itu, dia menumpukan matanya ke wajah tegang Laila.
So, apa cerita?”
“Aku nak minta tolong pada kau,”
“Tolong? Tolong apa?”
“Aku nak kau siasat siapa yang jadi ‘minah sanggup’ Amirul tu,” beritahu Laila. “Aku tak puas hati dia tolak rancangan ayah aku dan Tan Sri Khalil nak jodohkan aku dengan dia,” sambung Laila.
Jasmine sekadar mendengar. Dia mengucap terima kasih kepada pelayan setelah pelayan itu meletakkan air yang dipesannya sebentar tadi. Setelah itu, dia meneguk rakus air tersebut. Tekaknya yang terasa kering sudah dibasahkan.
“Minah sanggup? Maksud kau Laila, Amirul dah ada pilihan lain dan pilihan itu bukannya Shasha,” ulas Jasmine. Wajah Laila ditatap penuh khusyuk.
“Aku nak minta kau siasat siapa ‘minah sanggup’ tu. Selagi aku tak tahu siapa, selagi itulah hati aku takkan tenteram,” suara Laila keras. Matanya menatap wajah Jasmine.
Jasmine menarik nafas lega selepas meneguk air minumannya. Dia membuang pandang melihat keadaan sekeliling. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke restoran untuk menjamu selera.
“Aku boleh tolong kau, tapi kau kenalah bagi upahnya. Takkan aku nak buat kerja free kot,” pinta Jasmine dan tersenyum sumbing.
“Pasal itu, kau tak perlu risau. Pasti ada habuannya, asalkan kau jalankan kerja kau tu. Aku tahu kau boleh dapat maklumatnya secepat mungkin memandangkan kau dan Shasha berkawan. Mungkin Shasha tau siapa ‘minah sanggup’ tu,” jelas Laila dan tersenyum.
Okey… no problem. Oh ya, apa cerita adik bongsu kau tu? Lama aku tak dengar cerita dia?” tanya Jasmine penuh minat.
Sungguh lama dia tidak mengetahui mengenai Liyana. Paling last selepas dia terserempak Liyana bersama Amirul tidak lama dulu. Opss!! Mungkinkah Liyana ‘minah sanggup’ yang Laila cari itu? Jasmine membuat andaian sendiri. Hisy… tak mungkin Liyana. Takkan Amirul ada taste terhadap Liyana, no class dan kekampungan, bidas hati Jasmine.
“Entah, manalah aku tau. Mati ke hidup ke dia tu, aku peduli apa. Ayah aku pun tak pedulikan dia, inikan pula aku nak pedulikan pasal dia. Tak ada maknanya Mine,” bidas Laila tegas.
Entah berapa lama dia tidak mendengar khabar berita tentang Liyana. Jika family sendiri tidak menghiraukan tentang Liyana, takkan dia pula yang ambil berat. Buang masa dan penatkan otak saja memikirkan tentang Liyana.
“Kau ni Laila, apa-apa pun… dia tetap adik kandung kau. Janganlah disebabkan peristiwa lepas, kau masih nak berdendam dengan dia. Yang sudah tu, sudahlah. Lagipun perkara tu dah lamakan.” Jasmine cuba memberi nasihat dan berharap Laila mendengar akan nasihatnya itu.
“Kau ingat senang-senang aje aku nak lupakan. Dahlah, malas aku nak bincangkan tentang dia. Buat habis air liur aku aje. So, kau buat apa yang aku suruh tu. Aku nak tau secepat mungkin,” jelas Laila mengubah topik perbualan.
Tidak mahu terus-terusan membincangkan tentang Liyana. Dia benci mendengar nama itu. Dia benci dengan empunya nama itu. Dari dulu sehinggalah ke hari ini, dia tetap akan membenci Liyana.
Jasmine sekadar mengangguk. Laila terkenal dengan ketegasannya. Tidak tahu bagaimana untuk memberi nasihat. Namun jauh di sudut hati, dia merasa kesian terhadap Liyana. Sudahlah Liyana dibenci oleh Laila, malah family Liyana juga tidak mengendahkan Liyana terutamanya Dato’ Zulkifli. Kenapa Laila masih berdendam dengan Liyana? Jasmine tiada jawapan pada persoalan itu.


Liyana memerhatikan tingkah Amirul dalam senyap. Entah kenapa hatinya tidak sedap melihatkan perubahan Amirul. Mungkinkah Amirul masih memarahinya dengan apa yang telah dilakukannya dua hari yang lepas? Memang niatnya untuk mempermain-mainkan Amirul, tetapi sekadar gurauan semata-mata. Takkanlah tak boleh nak bergurau sikit. Merajuklah kononnya tu. Marahlah kononnya tu. Ada aku heran kalau kau nak merajuk, nak marah. Bukannya luak mana pun, lagipun kau bukannya siapa-siapa dengan aku. Tak kuasa aku nak memujuknya la, Liyana mencebik di dalam hati.
“Encik Amirul…” panggil Liyana lembut.
Amirul mengangkat muka. Seminit kemudian, dia menjatuhkan mukanya semula dan menatap fail yang berada di hadapan. Tidak menghiraukan kehadiran Liyana di dalam bilik itu. Hatinya masih lagi sakit disebabkan peristiwa dua hari yang lepas. Liyana sengaja mempermain-mainkan dan memperbodoh-bodohkannya.
Oh… sengaja ya. Tak pe, aku nak tengok berapa lama dia nak merajuk. Macam budak-budak kecik ajelah dia ni. Hai Liyana, takkan kau amik port dengan perasaan dia. Sejak bila pulak kau jadi jiwang karat ni, hati Liyana membidas.
Eh… betul juga. Kenapa aku perlu amik port dengan rajuk dia tu? Dia bukannya pakwe aku, suami aku atau adik-beradik aku. Betul-betul, aku tak perlu hiraukan perasaan dia. Lantak dialah nak marah aku ataupun apa, aku peduli apa, kata jahat Liyana bersuara. Liyana tertawa kecil dan terangguk-angguk mendengar kata-kata nakal hatinya itu.
”Yang awak ni ketawa tiba-tiba kenapa? Awak kutuk dan gelakkan saya ke?” jerkah Amirul tiba-tiba. Sakit telinganya mendengar suara ketawa Liyana itu. Matanya tepat ke muka Liyana.
“Oppsss!! Maaf. Terasa hati ni nak ketawa, saya ketawa la. Ketawa pun kena mintak kebenaran dari Encik Amirul ke? Kena bayar ke?” sindir Liyana selamba.
“Liyana!!!” tengking Amirul pantas berdiri. Matanya merenung tajam ke muka Liyana.
Gulp!!
Liyana menelan liur berkali-kali. Sungguh tidak menyangka ketawanya itu menambahkan kemarahan Amirul. Malah tenungan tajam Amirul menyeramkan Liyana.
“Awak ingat semua perkara boleh di ambil mudah saja ke? Awak tahu tak hati saya sakit dipermain-mainkan awak dua hari lepas. Awak tahu tak betapa risaunya saya masa tu,” jerkah Amirul dan berlalu pergi dari situ.
Lebih lama dia di situ, entah apa lagi yang bakal dihamburkanya kepada Liyana. Tidak sanggup untuk memarahi Liyana walaupun dalam hati penuh sarat dengan kemarahan.
Apasal aku emosional sangat ni? Aduh!! Sakitnya hati aku dibuatkan Liyana ni. Dia tak tahu ke yang aku risaukan dia masa tu. Dibuatnya kena culik, aku juga yang susah. Apa aku nak jawab dengan parents dia nanti. Kalau kena rogol… ish, kau ni Amirul, jangan fikir yang bukan-bukanlah. Mulut tu cuba jaga sikit, bidas hati Amirul sambil memukul lembut mulutnya sendiri.
“Aku takut kehilangan dia,” bisik Amirul seraya masuk ke dalam perut lif yang sudah pun ternganga luas di hadapan matanya itu.
Liyana melepaskan keluhan. Dia menapak keluar dari bilik Amirul dan menuju ke biliknya. Marah sungguh Amirul sehingga sanggup menjerkah dan menengking Liyana. Mungkin ada benarnya kata-kata Amirul itu tadi. Semua perkara Liyana ambil mudah dan tidak memandang serius atas tindakannya hari itu. Apa yang pasti ketika itu, dia dapat mengenakan serta mempermain-mainkan Amirul. Terasa seronok berbuat begitu.
Liyana melabuhkan duduknya di kerusi. Matanya tertancap ke siling bilik itu. Merenung nasib dan perbuatan yang telah dilakukannya sebelum ini. Kenapa Amirul marah dengannya? Kenapa Amirul risaukannya? Buat apa Amirul risaukannya sedangkan mereka tidak punya apa-apa hubungan istimewa. Nak kata boyfriend tidak juga, mereka sekadar kawan, sekadar majikan dan pekerja.
Huh!! Liyana melepaskan keluhan untuk kesekian kalinya. Bagaimana untuk menghalang niat Tan Sri Khalil dari merisiknya hujung bulan ini? Bukankah sudah diterangkan kepada Tan Sri Khalil akan perkara yang sebenarnya? Tidak ada sekelumit di hati mempunyai rasa cinta terhadap Amirul. Err… betul ke tiada? Liyana menggaru kepalanya apabila persoalan itu menerjah ke kotak fikiran. Ha… aku ada idea untuk halang niat Tan Sri Khalil tu. Harap-harap idea aku ni boleh jalan dan buatkan Tan Sri Khalil percaya, bisik Liyana dan tersengih. Sudah terencana rancangannya itu.


“Yang kau muka tegang sangat ni kenapa? Staf kau buat hal ke?” tanya Harris sebaik sahaja tiba di hadapan Amirul. Mereka sudah berjanji untuk makan tengahari bersama.
Amirul melepaskan keluhan berat. Sedari tadi dia memikirkan kata-kata yang dihamburkan kepada Liyana. Dia juga mengingati semula kata-kata yang dibisikkan kepada dirinya sendiri sebelum masuk ke dalam perut lif tadi. Terasa menyesal dan bersalah kerana memperkatakannya. Terasa pelik pada dirinya sendiri. Kenapa dia berkata dan berbisik seperti itu? Aku risaukan dia? Aku takut kehilangan dia? Adoi!! Apa semua ni Amirul. Takkan kau benar-benar dah jatuh cinta pada dia. Takkan kau dah menyerah kalah, malah kau dah termakan dengan kata-kata yang kau pernah hamburkan pada Liyana dulu. Ah!! Aku takkan tergoda dengan dia. Aku takkan termakan dengan kata-kata aku sendiri, Amirul menjerit di dalam hati. Liyana memang pandai memikat dan menggoda, putus Amirul sendiri.
“Wei pakcik, aku ada kat depan kau ni, kau boleh buat tak tahu aje. Kalau kau nak melayan perasan kau sendiri, baik aku balik office. Buang masa aje aku duduk kat sini mengadap muka tegang kau tu,” bebel Harris tidak berpuas hati. “Baik aku ajak Liyana keluar lunch sama tadi,” sambungnya lagi.
Menanah telinga Amirul mendengar bebelan Harris itu. Malah nama Liyana disebut-sebut oleh Harris membuatkan hatinya cemburu dan panas. Entah kenapa dia tidak suka nama Liyana meniti di bibir Harris. Dia juga tidak suka nama Harris meniti di bibir Liyana. Mahu saja dia memberitahu perkara sebenarnya kepada Harris, biar padan muka dengannya.
“Aku tengah marah ni. Kau boleh tak jangan kusutkan fikiran aku yang tengah kusut ni,” geram Amirul apabila Harris membebel.
“Ini yang aku tak suka dengan kau, Rul. Asal marah aje, aku juga yang kau cari. Cuba kau cari orang lain, ada juga faedahnya. Aku juga selamat dari nak tengok muka kau yang macam cicak berak kapur aje rupanya,” ulas Harris pula. Air yang dipesannya tadi diteguk rasuk.
“Aku rasa, aku dah jatuh cinta dengan seseorang,” ujar Amirul perlahan.
Tersedak Harris mendengarnya. Mujurlah dia tidak menyemburkan air yang diminumnya  itu ke muka Amirul. Jika tidak, mahu dihamburkan Amirul padanya pula.
“Apa kau kata Rul? Kau dah jatuh cinta?” ulang Harris inginkan kepastian.
Amirul mengangguk lemah.
“Kau buat lawak apa ni Rul? Bukan ke kau dah memang fall in love dengan Shasha tu. Dah bertahun pun kau jatuh cinta dengan dia,” komen Harris dan tertawa. Buat lawak betul mamat sorang ni, getus Harris.
“Hubungan aku dengan Shasha dah tak boleh nak diselamatkan. Lepas kes malam tu, hati aku berbelah bagi pada dia. Perasaan aku pada Shasha dah kosong, dah tak ada apa-apa,” beritahu Amirul. Matanya membuang pandang ke luar restoran.
“Habis tu… yang aku jumpa kau dengan Shasha tu apa?
“Dia ajak aku keluar, nak pujuk aku balik pada dia. Kau tahukan dia cabar aku berkahwin dengan orang lain, so… aku sahutlah cabaran dia tu,” jelas Amirul.
Harris menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pelik dia mendengarnya.
“Kau jatuh cinta dengan siapa?” tanya Harris ingin tahu.
Amirul terkedu. Bagaimana untuk menjawab soalan Harris itu? Dia menatap mesra wajah Harris. Jelas kegembiraan terpancar di wajah itu. Mungkinkah disebabkan Liyana membuatkan Harris segembira begitu? Adakah Liyana telah memikat hati Harris yang sudah lama tertutup rapat buat perempuan? Sungguh Amirul takut untuk memikirkan semua itu. Tidak tergamak untuk melukakan hati Harris. Tapi, Harris perlu tahu perkara sebenarnya, putus Amirul di dalam hati. Apa tanggapan Harris pada aku nanti? Soal hatinya pula.


Liyana menghayun langkah laju menuju ke Butik Idaman. Sudah tiga puluh minit dia lewat ke tempat kerjanya itu. Semuanya gara-gara Amirul yang sengaja memberi kerja yang tidak sepatutnya kepada Liyana. Amirul sengaja untuk membalas dendam terhadap Liyana selepas apa yang Liyana lakukan pada Amirul dua hari yang lepas. Segala kemarahan dilempiaskan kepada Liyana. Sampai bila kemarahan Amirul akan reda, Liyana sendiri tidak tahu.
Liyana meninjau-ninjau pusat membeli belah itu. Matanya tertancap ke sebuah gerai lukisan yang terdapat di situ. Tanpa membuang masa, dia melangkah menghampiri gerai lukisan itu. Sungguh dia teruja melihat lukisan-lukisan yang berada di gerai tersebut. Jika suatu hari nanti diizinkan ALLAH, ingin sahaja Liyana membeli kesemua lukisan itu dan digantungkannya di dalam rumah. Mesti cantik rumahnya nanti. Liyana tersenyum memikirkannya.
“Liyana!!” panggil seseorang dari belakang mengejutkan Liyana.
Seraya Liyana menoleh. Hampir terbuntang matanya melihat Adif sedang berdiri di belakangnya itu. Liyana menelan liur.
“Abang…” ujar Liyana tersekat-sekat. Pantas dia meraih tangan Adif untuk bersalaman.
“Kenapa lama tak balik rumah?” tanya Adif tidak berpuas hati.
“Lia… Lia… sibuk abang,” jawab Liyana perlahan dan menundukkan muka.
“Sibuk? Lia sibukkan apa? Setahu abang Lia tak suka bekerja,” komen Adif sinis. Matanya menjamah wajah Liyana. Terubat kerinduannya terhadap adik bongsunya itu.
Liyana mengangkat muka. Matanya merenung tajam muka Adif. Kenapa Adif berkata begitu kepadanya? Sengaja untuk memperlekeh-lekehkannya.
“Lia kerja atau tak, Lia tak susahkan abang, tak susahkan family abang,” balas Liyana sinis.
Sengaja membuat Adif terasa dengan kata-katanya itu. Bukan niatnya untuk bersikap kurang ajar dengan Adif, tetapi kata-kata Adif itu membuatkan Liyana terasa hati.
Tanpa menunggu balasan dari Adif, Liyana segera membawa kakinya menuju ke Butik Idaman. Jika berlama di situ, entah apa lagi yang bakal dihamburkan oleh Adif. Sudahlah dia dimarahi dan diherdik oleh Amirul, kini Adif pula. Penat Liyana melayan perangai manusia yang entah apa-apa serta menyakitkan hati selama ini.
“Lia… nanti dulu. Abang tak habis cakap lagi dengan Lia,” tahan Adif seraya memegang lengan Liyana. Dia menarik Liyana supaya mengadapnya.
“Abang nak apa lagi? Lia tak nak susahkan abang. Nanti ayah  marahkan abang pula. Lia boleh hidup sendiri tanpa bantuan sesiapa. Lagipun selama ini, Lia banyak menyusahkan keluarga abang,” luah Liyana sebak.
“Lia… abang minta maaf. Abang rindukan Lia. Ibu pun rindukan Lia. Kenapa dah lama Lia tak balik rumah? Baliklah Lia, jenguk ibu dan ayah,” nasihat Adif lembut. Wajah Liyana di tatap mesra.
Liyana sekadar menggeleng. Tidak mungkin dia akan menjejakkan kakinya ke rumah Dato’ Zulkifli lagi. Cukuplah kata-kata sindiran dan tuduhan dari Dato’ Zulkifli yang lepas membuatkan hatinya terguris. Dan luka itu masih lagi belum sembuh. Dia tidak mahu menambah kelukaan di hatinya lagi.
“Lia tak nak. Lia tak nak jejakkan kaki Lia ke rumah tu lagi. Cukuplah apa yang Lia alami selama ini. Lia cuba bersabar dengan kebencian ayah. Lia cuba bersabar dengan amukan ayah. Lia cuba bersabar dengan kebencian Kak Laila. Lia cuba bersabar dengan sikap ibu dan abang yang bagaikan lalang di tiup angin. Lia tak nak hati Lia terluka lagi. Lia minta abang fahami keadaan Lia. Jika abang ditempat Lia, abang akan rasa apa yang Lia rasakan sekarang ini. Hidup dalam kebencian ayah sendiri tanpa mengetahui sebab dan kenapa kebencian itu wujud. Maafkan Lia,” luah Liyana panjang lebar. Tangan Adif dicapai lalu dicium.
Seminit kemudian, dia membawa langkahnya hingga hilang dari pandangan mata Adif. Membawa hatinya yang telah lama terluka. Mungkinkah hatinya akan sembuh, Liyana sendiri tidak pasti.



2 ulasan:

  1. alaaaaa... sedey la plak.. yg adif ni asal mulut sengal semacam je niii.. adoii.. kak, cpt sket bg liyana tu jd fesyen designer.. haaa..br tbukak mata dorang sume

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. lama 2 dik nk bg liyana jd fashion designer.. bab 43 ke atas. :D

      Padam