Rabu, 8 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 13


BAB 13

“Kenapa termenung ni Lia?” tanya Marina berserta kerutan di dahi.
Sedari Liyana sampai di butiknya, wajah Liyana mendung dan tidak seceria seperti selalu. Pelik dirasakan Marina ketika ini. Adakah Liyana mempunyai masalah besar?
“Tak ada apalah Kak Ina. Lia penat sikit,” dalih Liyana. Rasa sedihnya masih lagi bersisa.
Selepas menuturkan kata-kata tadi kepada Adif, dia segera menuju ke ladies room. Menghamburkan air matanya di situ selepas dia cuba menyeka air matanya dari gugur di hadapan Adif. Dia tidak mahu Adif melihatnya sebagai seorang yang lemah. Dia boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan sesiapa. Walaupun dia hampir tumbang, namun digagahkan juga untuk berdiri megah dan bangga. Bangga dengan apa yang dilakukannya sekarang ini. Mujurlah Fazura banyak memberi sokongan dan dorongan padanya. Dan dia bersyukur kerana mempunyai kawan seperti Fazura.
“Akak tak percaya Lia. Akak tahu Lia ada masalah bukan?” duga Marina. Itulah yang dirasakannya sekarang melihatkan dari wajah mendung Liyana itu.
Liyana mengeluh berat. Perlukah dia menceritakan segala-galanya pada Marina? Mungkin perlu dan mungkin tidak perlu. Jika dia menceritakan pada Marina, mungkin ianya dapat melegakan hatinya. Jika tidak diceritakan, masalah itu akan sentiasa menghantui hidupnya sehingga dia tidak boleh untuk bernafas dengan tenang.
Lantas diceritakan segala-galanya kepada Marina. Mungkin dengan cara ini, Liyana akan merasa lega dan terasa beban yang digalas berkurangan sedikit demi sedikit. Lagipun Marina sudah dianggap seperti kakaknya sebagai menggantikan tempat Laila. Walaupun Laila membenci dan tidak menyukainya, namun dia tetap menyayangi Laila kerana Laila adalah darah daging serta kakak kandungnya.
“Maknanya Amirul bakal suami Lia lah ya,” duga Marina.
Liyana sekadar mengangguk. Tidak tahu apa yang perlu diperkatakan lagi. Sudah dikerah otaknya untuk mencari jalan membatalkan niat Tan Sri Khalil, namun dia menemui jalan buntu. Bagaimana untuk mengelak perkara itu daripada terjadi?
“Kak Ina tolonglah Lia. Lia tak sedia lagi nak kahwin. Lia pun tak cintakan Amirul,” rayu Liyana sambil memegang tangan Marina.
“Kak Ina pun tak tahu nak cakap macam mana Lia. Kak Ina pun pening juga dengan masalah Lia ni,” ujar Marina.
“Hidup Lia tak stabil lagi Kak Ina. Lia perlu cari tujuan hidup Lia dulu. Lia nak capai cita-cita Lia. Lagipun Lia tak nak membelakangkan keluarga. Walau macam mana penerimaan mereka, diorang tetap keluarga Lia, darah daging Lia,” jelas Liyana berserta keluhan ringan. Dia memicit kepala yang terasa sakit tiba-tiba.
Marina menatap sayu wajah Liyana. Jelas kekusutan pada wajah itu. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah Liyana. Sungguh tidak disangka dengan apa yang diceritakan oleh Liyana itu. Selama ini Liyana menutup kesedihannya dengan berpura-pura gembira dan ceria. Tumpah simpati Marina terhadap Liyana di kala itu.
“Lia… akak rasa ada baiknya Lia berterus-terang dengan Tan Sri Khalil perkara yang sebenarnya. Manalah tahukan Tan Sri Khalil boleh menerima alasan Lia nanti,” cadang Marina seraya bangun dari duduknya. Dicapai sehelai baju lalu menggosoknya.
Liyana sekadar memerhati. Dia tersandar lesu di sofa yang berada di dalam pejabat Marina. Pejabat yang hanya menempatkan sebuah sofa dan meja kerja buat Marina. Walaupun Butik Idaman tidak sebesar pasaraya, Butik Idaman terkenal di kalangan orang berada. Tidak mustahillah kebanyakkan baju yang terdapat di Butik Idaman dibeli dari golongan berada.
“Lia dah cuba Kak Ina, Tan Sri masih lagi dengan keputusannya,” balas Liyana lemah.
“Kalau macam tu, Lia bagitaulah siapa Lia yang sebenarnya. Mudahkan!” usul Marina sambil menggantungkan baju yang baru digosoknya tadi.
Terkejut Marina selepas mendengar cerita Liyana. Rupa-rupa Liyana anak orang berada, anak kepada seorang Dato’. Malah Liyana juga bekerja di syarikat Tan Sri Khalil dan bakal menantu Tan Sri Khalil. Namun jauh di sudut hati, dia merasa kasihan dengan Liyana. Tergamak seorang ayah membenci seorang anak tanpa sebab. Patutlah selama ini Liyana tidak pernah menceritakan tentang keluarganya. Dan jika diceritakan, mungkin akan menambahkan kelukaan di hati Liyana yang sudah tersedia terluka.
“Bukan semudah itu Kak Ina. Lia tak bersedia lagi nak bagitau siapa Lia sebenarnya,” bidas Liyana tegas. “Selagi Lia tak berjaya, selagi itulah Lia akan berkeadaan begini,” sambung Liyana. Bingkas dia bangun dan menapak menghampiri Marina.
“Habis tu, masalah Lia takkan selesai sampai bila-bila. Macam mana kalau Amirul atau Tan Sri Khalil dan Puan Sri Marissa dapat tahu siapa Lia yang sebenarnya? Masa tu mesti Lia yang akan dipersalahkan kerana menipu mereka semua,” nasihat Marina. Bukan niat untuk menakut-nakutkan Liyana, sekadar kemungkinannya sahaja.
“Tak pelah Kak Ina. Kalau masa tu datang, Lia lah orang yang paling gembira. Gembira sebab Lia tak perlu nak berlakon lagi depan keluarga Tan Sri Khalil,” suara Liyana dan mencapai sehelai baju untuk dijahit manik. Pantas dia melabuhkan duduknya semula di atas sofa.
Sebenarnya Liyana takut jika perkara itu berlaku. Sudah pastilah dia akan dipersalahkan kerana menipu dan berlakon di hadapan Tan Sri Khalil sekeluarga. Malah isu keluarga angkat yang Liyana tulis di dalam biodatanya juga akan terjawab jika semua itu terbongkar. Penat Liyana memikirkannya. Jika diikutkan hati, mahu sahaja Liyana membawa diri jauh dari semua masalah itu.
Eh… kejap… kejap. Tadi aku ada kata keluarga angkat kan? Ha… yes.. yes… aku dah dapat idea macam mana nak selesaikan masalah aku dengan Tan Sri Khalil. Brilliant juga otak kau ni ya Liyana,  monolog Liyana dan tertawa kecil. Matanya dihalakan ke arah Marina yang sedang ralit membuat kerja. Keningnya di angkat-angkat seperti penjahat yang sedang menunggu mangsa untuk dikerjakan. Aku pasti berjaya!! Bisik Liyana pula.


“Kau apa khabar?” tanya Jasmine.
“Aku sihat aje. Macam biasalah sibuk sikit dengan kerja. Kau pulak apa cerita?” jawab Shasha dan meneguk air di hadapannya.
Sebaik sahaja menerima panggilan Jasmine, dia segera keluar dari pejabat menuju ke tempat yang telah dijanjikan. Sudah agak lama dia tidak berjumpa Jasmine walaupun tempat kerja mereka tidaklah sejauh mana. Jasmine rakan sekolah lamanya. Jasmine juga banyak membantunya dalam pelajaran dahulu.
“Aku biasa-biasa aje. Dah lama aku tak jumpa dengan kau, tu yang ajak kau keluar hari ni,” balas Jasmine dan menyudukan nasi ke dalam mulutnya.
“Yalah… lama tak jumpa kau,” sahut Shasha mengiyakan kata-kata Jasmine.
“Kau dengan Amirul apa cerita? Masih sama lagi ke?” tanya Jasmine kepada tujuan yang sebenar. Dia perlu mengetahui kisah cinta Shasha dan Amirul seperti yang diinginkan Laila. Dia juga teruja untuk mengetahui siapa ‘minah sanggup’ yang diberitahukan oleh Laila itu.
Shasha melepaskan keluhan berat. Peristiwa dua hari yang lepas, terimbau semula di kotak fikiran.
“Apa hak you nak menghina orang. You sedar tak apa yang you cakapkan tadi. Kalau you di tempat dia, dan orang lain kutuk you macam tu, apa perasaan you waktu itu. Tentulah sama seperti perasaan Liyana,” marah Amirul tidak tertahan.
Sakit hatinya mendengar komen dari Shasha mengenai Liyana. Walaupun Liyana bukan seperti Shasha, tetapi di mata Amirul, Liyana terlalu sempurna buat dirinya. Dan mungkin juga Harris berfikiran sepertinya juga.
“Yang you nak marah-marah disebabkan perempuan tu kenapa? You ada hati dengan dia ke?” jerkah Shasha pula.
“Suka atau pun tidak, itu hak I dan you tak ada kena-mengena dengan itu semua. Apa you dah lupa yang you cabar I berkahwin dengan orang lain. You jangan ingat I ni lelaki tunduk pada perempuan. I pantang dicabar, sekali dicabar, I akan buatnya betul-betul,” jelas Amirul sedikit meninggi. Matanya tajam merenung Shasha.
Terkedu Shasha mendengarnya. Lantas dia meraih tangan Amirul dan mengelus lembut tangan itu. Tidak menyangka Amirul benar-benar menyahut cabarannya walaupun pada mulanya dia hanya berniat untuk menakut-nakutkan Amirul.
“Sudahlah Shasha, I rasa ada baiknya kita putuskan hubungan kita. You pun bukannya sayang dan cintakan I dalam erti kata yang sebenarnya,” sambung Amirul seraya menarik tangannya dari pegangan Shasha.
“Amirul… please. I tahu salah I dan I akui kesalahan itu. I tak sepatutnya cabar you untuk berkahwin dengan orang lain. Maafkan I, Amirul,” pujuk Shasha lembut. Wajah Amirul di tatap sayang.
“No… sorry Shasha. Kali ni I takkan termakan dengan pujukan rayu you tu. Dah bertahun I terpaksa menahan dengan sikap dan ego you. You perbodoh-bodohkan I dan perlekeh-lekehkan I. Mungkin ini jalan terbaik buat kita berdua. Sejak you mencabar I, I terfikir semula kasih sayang yang you berikan pada I. Entahkan ikhlas ataupun tidak kasih sayang you terhadap I selama ini atau you nak tunjukkan pada bekas kekasih you tu, Syed Aiman,” beritahu Amirul sebak. Sungguh itulah yang dirasakan ketika ini.
Selepas Laila memberitahu tentang Shasha pada malam itu, serta merta Amirul merisik dan mencari maklumat akan kesahihan cerita itu. Ternyata apa yang dilihat oleh Laila adalah benar belaka. Dan lelaki itu adalah bekas kekasih Shasha, Syed Aiman. Bagaikan direntap hatinya tiba-tiba tatkala mendengarnya. Terasa dipermain-mainkan oleh Shasha selama ini. Patutlah bila diajak berkahwin, pelbagai alasan yang diberikan oleh Shasha, rupa-rupanya Shasha masih berhubungan dengan Syed Aiman.
Shasha tersentak mendengar penjelasan Amirul. Syed Aiman, ulangnya di dalam hati. Bagaimana Amirul tahu tentang itu? Sejak dia menjalinkan hubungan dengan Amirul, belum pernah sekali pun dia bercerita tentang Syed Aiman. Bagi Shasha, Syed Aiman sudah menjadi sejarah dalam hidupnya. Pernah Amirul bertanyakan tentang bekas kekasihnya, tetapi seperti biasa, dia hanya memekakkan telinga dan berpura-pura tidak mendengar persoalan Amirul itu.
“Amirul…” panggil Shasha.
Namun kelibat Amirul sudah menghilang dari pandangan mata. Rasa kesal kerana mencabar Amirul. Rasa sebak dan sedih kerana perhubungan mereka selama hampir tiga tahun, putus begitu sahaja. Apa yang perlu dilakukannya lagi untuk memujuk Amirul kembali semula kepadanya? Dia belum memikirkan tentang itu lagi.
“Kau dengan Amirul macam mana?” ulang Jasmine sedikit menekan. Dilihatnya Shasha sedang mengelamunkan sesuatu. Dia menyentuh lembut tangan Shasha.
“Ha… aku dengan Amirul?” ulang Shasha sebaik menyedari tangannya disentuh oleh Jasmine. Lamunannya yang panjang tadi bertempiaran lari entah ke mana.
“Kau mengelamun ya,” duga Jasmine dan tersenyum. Matanya tepat ke muka Shasha.
“Aku dengan Amirul dah tak ada apa-apa. Kami dah putus,” beritahu Shasha berserta keluhan berat. Dia cuba menyeka air matanya dari gugur.
Terlopong Jasmine mendengarnya. Benarkah apa yang didengarnya itu? Shasha dan Amirul, putus!! Mustahil hubungan mereka putus begitu sahaja. Sudah hampir tiga tahun mereka menjalinkan hubungan cinta, takkan putus begitu sahaja.
“Kenapa?” terluah juga soalan itu dari mulut Jasmine.
“Silap aku juga. Aku cabar dia berkahwin dengan orang lain. So, dia sahut cabaran tu dan putuskan hubungan dengan aku,” cerita Shasha sebak.
Oh.. maknanya semua itu kesilapan dari Shasha sendiri la. Shasha… Shasha… apa ke bodoh kau ni. Yang kau pergi cabar Amirul tu buat apa. Lelaki ni pandang dicabar dan kalau dicabar, diorang akan buat betul-betul. Ha… sekarang meloponglah kau sendiri. Menangis air mata darah sekali pun dah tak ada gunanya Shasha. Amirul tetap juga akan berkahwin dengan orang lain. Tapi… siapa ya? Monolog Jasmine sendirian.
“Aku dengar dia nak kahwin, betul ke?” tanya Jasmine penuh minat. Alang-alang dah terlanjur ni, ada baiknya aku risik sampai habis. Ni kena minta bayaran lebih dari Laila, bisik Jasmine dan tersenyum kecil.
“Ha… memang dia nak kahwin. Tan Sri Khalil dah carikan calon untuk dia,” keluh Shasha. Makanan yang dipesan sedikit pun tidak dijamah. Mati seleranya ketika itu apabila membincangkan tentang Amirul.
“Kau tahu ke siapa gadis tu?” tanya Jasmine lagi ingin mengorek. Berharap Shasha tahu siapa yang menjadi ‘minah sanggup’ Amirul itu.
Shasha melepaskan keluhan berat untuk kesekian kalinya. Matanya memandang makanan di hadapan dengan pandangan yang kosong. Seperti jiwanya juga turut kosong. Kenapa terasa kehilangan teramat sangat? Sebelum ini dia hanya untuk bersuka ria sahaja bersama Amirul dan sebab itulah dia memilih Amirul dari kalangan lelaki-lelaki lain yang menagih cinta darinya. Amirul mudah ditipu dan diperkotak-katikkan. Dan sekarang dia menyesal dengan apa yang telah dilakukannya sebelum ini.
“Aku tak tahu Mine. Dia tak bagitau aku siapa. Apa yang pasti, dia bersetuju dengan cadangan Tan Sri Khalil untuk jodohkan dia dengan gadis tu,” ujar Shasha lemah.
Jasmine mengangguk faham. Ternyata Shasha turut tidak mengetahui siapa yang menjadi ‘minah sanggup’ Amirul itu. Mungkin gadis itu hebat sehinggakan Amirul bersetuju untuk berkahwin dengannya. Malah Amirul tidak membantah permintaan Tan Sri Khalil seperti yang lepas-lepas. Peristiwa Amirul hilang selama seminggu disebabkan tidak mahu dijodohkan dengan pilihan Tan Sri Khalil masih berlegar-legar di kotak fikiran Jasmine ketika itu.
“Aku perlu siasat siapa gadis itu,” bisik Jasmine perlahan. Kemudian dia menyambung semula suapan nasinya yang tertangguh sebentar tadi.


Adif tersandar lesu di sofa. Pertemuan dengan Liyana siang tadi berlegar-legar di kotak fikiran. Terubat rindunya terhadap Liyana selama ini. Dilihatnya Liyana semakin kurus dan cengkung. Mungkinkah Liyana hidup susah di luar sana? Mungkinkah Liyana mengabaikan makan minumnya di luar sana? Rasa sedih dan pilu apabila memikirkan tentang Liyana. Menyesal kerana tidak membela nasib adiknya itu. Apalah gunanya dia menjadi seorang abang jika nasib adik sendiri tidak dibela. Sungguh kasihan Adif terhadap Liyana.
“Ha Adif… baru balik?” tegur Dato’ Zulkifli tiba-tiba.
Tersentak Adif dengan teguran Dato’ Zulkifli. Serta merta matanya diarahkan kepada Dato’ Zulkifli yang sudah pun duduk di atas sofa berhadapan dengannya.
“Kamu dari mana, baru sekarang nak balik?” soal Dato’ Zulkifli pula.
“Adif ada appointment dengan client kat luar tadi. Lepas tu Adif jumpa kawan sekejap,” beritahu Adif jujur. “Ibu mana ayah?” soalnya pula. Matanya membelingas mencari kelibat Datin Suraya. Pandangannya jatuh kepada Mak Mah yang sedang melangkah menghampiri mereka berserta dulang di tangan.
“Jemput minum Dato’, Adif,” pelawa Mak Mah sebaik sahaja dia meletakkan dua gelas air minuman di atas meja. Seminit kemudian, bayangannya hilang di sebalik pintu dapur.
“Terima kasih Mak Mah,” ucap Adif sebelum perempuan itu menghilang. Lantas dia meneguk rakus air tersebut. Tekaknya yang kering sedari tadi sudah dibasahkan.
“Ibu kamu ada kat atas. Sekejap lagi turunlah,”
“Ibu dengan ayah nak keluar ke?”
“A’ah. Nak ke rumah Tan Sri Mokhtar, ada jamuan kecil sikit.” beritahu Dato’ Zulkifli.
Seminit kemudian, terlihat kelibat Datin Suraya menuruni anak tangga dan berjalan menghampiri mereka berdua.
“Adif dah makan?” tanya Datin Suraya berbasa-basi.
“Dah ibu. Adif makan dengan kawan tadi,” balas Adif.
Datin Suraya diperhatikan penuh minat. Walaupun umur Datin Suraya semakin meningkat, namun wajah Datin Suraya tidak menggambarkan usia sebenar.
“Adik kamu Laila mana? Dari siang tadi tak balik-balik. Teruk sangat ke kerjanya tu,” bebel Datin Suraya.
Anaknya itu suka bertindak sesuka hati. Tidak seperti Liyana, seorang yang mendengar cakap. Liyana? Sudah agak lama anaknya itu tidak pulang ke rumah. Mungkinkah Liyana terasa hati dengan kata-katanya yang lepas?
“Kata Laila malam ni dia ada dinner dengan kawan-kawan universitinya dulu,” beritahu Adif seraya bangun. Keletihan yang amat sangat perlu direhatkan.
“Kalau macam tu, ayah dan ibu pergi dulu. Call Laila suruh balik cepat. Anak dara tak elok balik lewat-lewat malam sangat,” pesan Dato’ Zulkifli dan menapak jalan ke muka pintu utama. Datin Suraya mengekori dari belakang.
“Adif jumpa Lia tadi. Dia kirim salam dengan ayah dan ibu,” beritahu Adif dan berlalu dari situ.
Terhenti langkah Dato’ Zulkifli dan Datin Suraya mendengarkan nama Liyana itu. Terasa sebak di dada Datin Suraya tiba-tiba tatkala nama Liyana disebut. Bagaimana kehidupan Liyana di luar sana? Mungkinkah Liyana hidup dalam kedaifan ataupun sebaliknya? Sungguh dia takut memikirkan tentang Liyana. Namun apa yang boleh dilakukannya lagi. Semua itu atas kehendak Liyana sendiri. Tapi, sampai bila Liyana harus menanggung beban itu seorang diri sedangkan semua itu bukan atas kesalahan Liyana.
“Dah… jom!” ajak Dato’ Zulkifli keras tatkala menyedari Datin Suraya seakan-akan mengelamun.
Segera dia menekan remote dan masuk ke dalam perut kereta. Terdetik di hatinya menyebut nama Liyana. Ya, sudah terlalu lama dia tidak mengambil peduli akan keadaan anak bongsunya itu. Betapa kejamnya dia sebagai seorang bapa membenci anak kandung sendiri. Namun disebabkan peristiwa lama, membuatkan dia tidak mahu mengingati tentang Liyana. Jika diingat, terasa sakit dada dibuatkannya. Jadi ada baiknya dia mengambil keputusan untuk tidak mengingati Liyana. Sungguh Dato’ Zulkifli terlalu pentingkan diri sendiri sehingga mengabaikan anak kandung sendiri. Tapi, sampai bila? Biarlah masa menentukan segala-galanya.



4 ulasan:

  1. erkss~~ alaaa.. xtebongkar lg pasaipa dato ni benci sgt ngan liaa.. adess.. bab 3o ke atas yerk?? kak ros, sila post n3 br setiap hari yer.. :)) nak bg cepat sampai ke episod 3o.. ahaks!

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. Insya-ALLAH, akan diusahakan percepatkan smpe bab 30 tu.. :D

      Padam
  2. At last ada juga 2 entries after i've waited so long ... anyway thanks to penulis ya .... everyday i dok buka ur blog for the next entry especially after work .... nak ubat kesepian di sini cos i duduk sorang2 di sini lah .. so bored n that is why i spent my time on reading e-novel ... i hope u continue enter new entries everyday ok ... tak sabar apa rencana liya tu pasal keluarga angkat ... i takut dia give way for her sis to be with amirul pula kerana kasih seorang adik ... alahai janganlah terjadi ok .. fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Aida coz still follow GB and buka blog sy.. Insya-ALLAH, sy akn cuba n3 kan tiap2 hr.. hope x jemu membacanya nti.. psl rencana Liyana tu, jwpnnya dlm bab 16 ke atas.. nantikannya ya.. :D

      Padam