Khamis, 9 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 14


BAB 14

Fazura mengamati wajah Liyana. Ditilik dan diamati wajah itu penuh minat. Seperti ada sesuatu pada wajah itu. Sesuatu yang berbeza dari sebelum ini, dan dia perlu menyiasatnya. Mungkinkah kerana Amirul? Harris? Ataupun Dato’ Zulkifli? Berlegar-legar nama-nama itu di kepala otak Fazura. Selama Fazura menjadi sahabat Liyana, belum pernah lagi Liyana berwajah seperti itu. Seperti menanggung kerinduan yang teramat sangat. Mungkinkah Liyana merindui keluarganya? Atau Amirul? Atau Harris? Hisy… berapa kali ataulah. Berapa kali mau sebut itu nama, gerutu Fazura sendirian.
“Kau kenapa Lia?” terluah juga soalan itu dari mulut Fazura. Soalan yang biasa ditanya Fazura tatkala melihat wajah muram Liyana.  
“Kenapa? Kenapa apa?” ulang Liyana kurang mengerti.
“Kau ada masalah ke?”
“Masalah? Mana ada. Aku okey aje. Tak ada masalah apa-apa pun,” bidas Liyana laju. Dia mengangkat muka yang sedari tadi menunduk memandang fail. Wajah Fazura di tatap mesra.
“Kau tak payah nak temberang akulah Lia. Aku tahu, kau ada masalahkan sekarang ni,” bidas Fazura pula.
“Kau ni Zura, baru aku nak sembunyikan riak wajah aku, tapi kau dah dapat kesannya. Kalau macam ni, sampai bila-bila pun aku tak boleh nak mengelak dari kau bila aku ada masalah nanti,” rungut Liyana seraya bangun. Dia menuju ke jendela dan membuang pandang di situ.
“Apa masalah kau lagi ni Lia? Kan aku dah nasihat hari tu, tentang family kau, jangan difikir-fikirkan. Biarlah masa dan keadaan yang menentukannya. Insya-ALLAH, apa yang kau doakan selama ini akan dimakbulkan oleh ALLAH, percayalah pada aku,” jelas Fazura berbaur nasihat. Selama ini yang menjadi masalah adalah family Liyana dan dia tidak mahu Liyana bersedih kerana perkara itu lagi.
“Bukan pasal family aku Zura. Masalah aku sekarang ni, Amirul dan Harris. Macam mana aku nak elak kejadian itu berlaku,” ujar Liyana berserta keluhan.
“Kenapa dengan diorang berdua?”
“Kau tahu tak Harris ajak aku ke rumah dia hujung minggu ni,”
“Dah tu apa masalahnya kalau dia ajak kau ke rumah dia, kau pergi ajelah, habis cerita,” pintas Fazura dan tersenyum. Bingkas dia bangun dan menghampiri Liyana.
“Ceritanya tak habis lagi lah,” gerutu Liyana geram.
“Oh… okey. Aku ingatkan ceritanya dah habis,” ujar Fazura kesal dan tersengih.
“Yang menjadi masalah sekarang ni, family Amirul turut sama ada dalam majlis tu. Dibuatnya Harris bagitau perkara yang tak sepatutnya macam mana?” keluh Liyana.
“Perkara yang tak sepatutnya? Perkara apa tu?” ulang Fazura sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Ya ALLAH… kau ni makin lama makin bebal kenapa? Cuba fikir matang sikit, ini tidak, macam budak-budaklah,” geram Liyana dan menggeleng.
Fazura tersengih. Sedar akan dirinya begitu lurus apabila bertanya dan menjawab. Sudah terbiasa dengan perangai sebegitu. Disebabkan perangai itulah, Liyana sering menganggapnya ‘bebal’. Walaupun agak kasar bunyinya, namun dia tidak ambil hati akan tentang itu. Janji enjoy!!
“Maksud aku, dibuatnya Harris melamar aku masa tu, macam mana? Apa yang aku nak buat kalau perkara tu terjadi. Sudah tentulah family Amirul akan anggap aku yang bukan-bukan. Aku tak nak orang ‘cop’ aku perempuan gatal, miang dan lain-lain,” terang Liyana. Dia berpeluk tubuh di jendela. Merenung nasib yang entah apa entah jadinya.
“La… itu ke masalah kau Lia,” suara Fazura seakan mengejek. Seketika itu dia tertawa. “Apa susahnya, kau berterus-terang ajelah dengan Harris. Kau bagitau dia yang kau bakal isteri Amirul, habis cerita, full stop!” sambung Fazura dan berdiri berhadapan Liyana.
Luahan hati Harris kepada Liyana sudah diketahuinya dari Liyana tiga hari yang lepas. Bukan Fazura terkejut tetapi tidak menyangka Harris terlalu awal meluahkan perasaan kepada Liyana. Gentleman betul Harris tu, puji Fazura di dalam hati.
“Eh… ya tak ya jugak. Brilliantlah kau ni Zura,” puji Liyana. Matanya bersinar-sinar memandang Fazura.
“Well, of course brilliant!” puji Fazura kepada dirinya sendiri. Kembang kempis hidungnya mendengar pujian dari Liyana itu.
“Tengkorak kau brilliant. Nak mampus kalau berterus-terang pada Harris. Dibuatnya dia makan hati, tak boleh nak terima kenyataan macam mana? Yang paling dahsyat, bunuh diri. Hisy… simpang malaikat empat puluh empat Zura, ngeri aku rasakannya. Tak pasal-pasal aku dituduh membunuh tanpa niat,” bidas Liyana keras. Bulu romanya sudah menegak, ketakutan.
“Lagipun kalau nak berterus-terang, dari dulu lagi Amirul dah berterus-terang pada Harris. Diorangkan sepupu dan sudah pastilah apa-apa hal berkaitan, sesama sendiri akan tahunya,” sambung Liyana.
“Erm… rumit juga masalah kau ni Lia. Macam nilah, apa kata kau pergi aje. Then kau berterus-terang pada Harris sebelum majlis tu bermula. Tak pun kau bincang dengan Amirul tentang perkara ni,” nasihat Fazura seraya bangun.
Jam di tangan dikerling. Sudah agak lama dia berada di dalam bilik Liyana. Dibuatnya Amirul mencari, satu keslah pulak. Mahu ditengking dan dimarah oleh Amirul bila dia tiada di tempat duduknya.
Liyana bungkam seketika. Nak dibincangkan dengan Amirul? Huh! Mahu ke mamat hingusan tu berbincang dengan aku. Baru sebut nama Harris aje, dah mengamuk satu dunia, inikan pulak nak berbincang tentang Harris. Hisy.. sengaja menempah mautlah kau Lia. Tapi, kenapa dia nak mengamuk pulak? Bukannya dia suka kat aku pun. Yang dia cemburu sangat tu kenapa? Hisy… tak paham aku dengan perangai mamat tu. Jangan-jangan dia dah jatuh cinta kat aku tak, itu yang cemburu sakan, monolog Liyana di dalam hati. Dia tesengih seketika. Jatuh cinta!! Ulang Liyana semula. Air liur ditelan berkali-kali. Kelat!!
“Zura!!” panggil Liyana. Namun kelibat Fazura sudah menghilang dari biliknya.


“Ha.. ada apa?” tanya Amirul kasar dan melabuhkan duduk berhadapan dengan Liyana.
Liyana menelan liur. Dari nada suara Amirul, ternyata Amirul masih memarahinya. Bukankah peristiwa itu sudah tiga hari berlalu. Kenapa Amirul masih memarahinya? Tak matang betullah beruang koala ni. Beruang koala? Liyana tersengih sendiri.
“Yang tersengih-sengih tu kenapa? Awak kutuk saya kan?” tegur Amirul keras. Sakit hatinya melihat sengihan Liyana itu.
“Err… siapa yang sengih, saya senyum tau,” bidas Liyana tegas. “Encik Amirul…” panggil Liyana lembut. Matanya tepat ke muka Amirul. Seperti biasa, dia akan menilik wajah Amirul. Terasa seronok berbuat begitu. Suka melihat rona merah di wajah Amirul.
“Hmm…” sahut Amirul keras.
Amirul cuba menstabilkan pernafasan. Cuba mengawal ‘macho’. Geram apabila Liyana menilik wajahnya sekali lagi. Hisy.. dia ni, tak ada kerja lain ke nak dibuatkan. Asyik nak menilik muka aku aje. Aku cium baru tahu, getus Amirul dan cuba menahan diri dari tersenyum.
“Hahaha… dah blushing!!” ujar Liyana dan tertawa. Geli hati melihat muka Amirul yang sedang merah padam itu.
“Nur Liyana Safiyah!!” panggil Amirul sedikit menjerit.
Geram apabila dipermainkan oleh Liyana sekali lagi. Sengaja mengenakannya sehingga membuatkan dirinya terasa malu. Lantas di tarik hidung Liyana sehingga membuatkan Liyana terdorong ke hadapan. Tidak semena-mena bibir Liyana melekap ke pipi Amirul. Serentak itu Amirul melepaskan hidung Liyana. Bertambah merona merah pipinya disebabkan kejadian yang tidak disengajakan itu.
Liyana menundukkan muka. Kakinya menguis-nguis di lantai. Terasa malu yang amat sangat. Dirasakan jantungnya berdegup dengan kencang. Mengalahkan peluru pandu yang di tujukan ke arah Hiroshima dan Nagasaki. Bom!! Bagaikan nak pecah jantungnya dibuatkan. Dia mengurut-urut dada, cuba menstabilkan debaran dan memenangkan hatinya juga.
“Err…” Liyana bersuara.
Namun suaranya itu bagaikan tersekat di kerongkong sahaja. Adoi!! Malunya aku. Apa aku nak buat ni? Nak blah dari sini ke? Habis tu macam mana dengan kes Harris? Kalau tak bincang dengan Amirul, sampai bila-bila pun takkan selesai.
“Saya naik dululah Lia,” ujar Amirul apabila menyedari kebisuan mereka berdua.
Jika berlama di situ, bertambah malu dirasakan oleh Amirul. Sungguh tidak menduga perkara itu akan berlaku. Tidak disengajakan ya, bukan sengaja pun, bisik Amirul. Tulah, siapa suruh tengok aku macam tu, kan dah free-free kena cium dari aku. Eh… bukan aku cium dia, dia yang cium aku, Amirul menyangkal di dalam hati dan tersengih.
“Encik Amirul…” panggil Liyana seraya menarik tangan Amirul. Langkah Amirul terhenti di situ. Dia memusingkan badan dan mengadap Liyana.
“Encik Amirul boleh tak berterus-terang dengan Harris tentang kita,” pinta Liyana.
“Harris?” ulang Amirul berserta kerutan di dahi. Ada nada cemburu dari suaranya itu.
Liyana mengangguk. Bingkas dia bangun dan mengadap Amirul. Dapat dirasakan debaran di dada sebaik sahaja menghampiri Amirul. Dirasakan juga ketenangan dan kedamaian berada di samping Amirul. Lia… kau dah jatuh cinta!! Jerit hati Liyana.
“Tentu Encik Amirul tahu pasal majlis hujung minggu nikan. Sebelum apa-apa terjadi pada malam tu, ada baiknya Encik Amirul berterus-terang pada Harris tentang kita,” jelas Liyana mengharap. Tangan Amirul dicapai dan diraih. Spontan sahaja tindakannya itu.
“Saya tak nak Harris berharap pada saya. Harris dah luahkan perasaannya pada saya. Dia nak saya jadi kekasih dia. Saya belum bersedia untuk ke arah itu. Saya belum bersedia untuk bagi komitmen pada cinta. Saya minta Encik Amirul pertimbangkan tentang perkara ni,” jelas Liyana jujur dan ikhlas.
Itulah yang dirasakan ketika ini. Selagi cita-citanya tidak tercapai, selagi hidupnya tidak stabil, selagi itulah dia tidak akan menjebakkan diri dalam kancah percintaan walaupun dapat dirasakan debaran di hati buat Amirul. Dia takut untuk jatuh cinta lagi. Dia takut merana lagi. Dia tidak mahu merasa sakitnya bercinta. Cukuplah pengalaman yang lepas membuatkan hidupnya berubah. Disebabkan pengalaman lepas itu juga telah mengubahkan dirinya yang sebenar. Jika dilihat dari mata kasar, Liyana seorang yang kelakar dan nakal. Namun hakikat yang sebenarnya, Liyana bukanlah seperti itu dahulu. Liyana yang dahulu, seorang yang sopan dan lembut. Seorang yang penakut dan cengeng. Pasti ada yang tidak mempercayai itu semua. Hakikatnya begitulah kisah hidup Liyana yang sebenarnya.


Amirul tersandar lesu. Matanya tertancap ke siling. Tangan diletakkan di atas dahi. Kata-kata Liyana menusuk terus ke tangkai hati. ‘Saya belum bersedia untuk bagi komitmen pada cinta’ ulang Amirul di dalam hati. Apa maksud Liyana dengan kata-kata itu? Mungkinkah Liyana tidak mahu terlibat dalam percintaan? Jadi bagaimana perasaannya pada Liyana? Perlukah dia berterus-terang akan perasaannya itu? Jika dulu dia tidak mengakui akan perasaannya pada Liyana, tetapi pada hari ini, dia mengakui betapa dia amat menyintai Liyana sepenuh hatinya. Dia tidak mahu Liyana jatuh ke tangan lelaki lain. Dia tidak mahu melepaskan Liyana pergi. Sukar membayangkan akan ketiadaan Liyana di sisi.
Amirul memejamkan mata. Nafas ditarik lembut dan melepaskannya perlahan. Fikirannya ligat memikirkan Liyana. Ternyata dia sudah termakan dengan kata-kata yang pernah dihamburkan pada Liyana suatu masa dulu. Dan dia malu dengan Liyana, kerana Liyana berjaya membuatkan dia tergoda dan menelan kesemua kata-katanya sebelum ini. Betapa mudahnya dia jatuh cinta terhadap Liyana. Betapa mudahnya dia menempatkan Liyana di dalam hatinya. Liyana pandai buat aku jatuh cinta. Liyana pandai buat aku tergoda dengannya. Liyana pandai berlakon. Dan akhirnya aku tersungkur dengan dunia yang diciptakan oleh Liyana, monolog Amirul.
“Rul..” panggil Harris dari arah pintu bilik.
Amirul membuka matanya. Terlihat susuk tubuh Harris sedang berjalan menghampiri meja dan melabuhkan duduk di hadapannya. Berserta senyuman di bibir, Harris memandang ke arahnya dengan pandangan yang pelik.
“Kau kenapa Rul? Macam ada masalah aje aku tengoknya,” tanya Harris sambil menguak rambut ke belakang. Matanya tepat ke muka Amirul.
Amirul membetulkan duduknya. Dia membalas pandangan Harris berserta senyuman hambar di bibir. Permintaan Liyana terngiang-ngiang di cuping telinga. Perlukah dia berterus-terang kepada Harris perkara yang sebenarnya? Jika tidak diberitahu, tentu akan merumitkan lagi keadaan jika Harris mendapat tahu sendiri akan perkara itu. Ada betulnya juga kata-kata Liyana tadi. Bagaimana jika perkara itu berlaku pada majlis hujung minggu ini? Sungguh Amirul pening memikirkannya. Demi menjaga perasaan Harris, tidak tergamak untuk melukakan hati Harris yang sedang menyulam cinta terhadap Liyana.
“Ris… kalau aku beritahu kau sesuatu, agak-agak kau marah tak?” Amirul bersuara setelah lama membisu dan berfikir.
“Marah? Tengoklah cerita apa yang nak kau bagitau pada aku tu. Kalau melibatkan emosi, sudah tentulah aku akan marah,” balas Harris serius.
Amirul menelan liur. Takut untuk berterus-terang selepas mendengar jawapan daripada Harris itu. Ya ALLAH, bantulah aku, bisik Amirul.
“Ni kalaulah Ris. Kalau dan bukan betul-betul,” ujar Amirul.
“Kalau apa?”
“Kalau Liyana tu bakal isteri aku, kau…”
“Apa? Bakal isteri kau?” potong Harris pantas berdiri. Matanya tajam ke muka Amirul.
Amirul terkedu. Reaksi Harris menakutkannya. Mungkinkah Harris terluka dengan kenyataannya sebentar tadi?
“Jadi… Liyanalah gadis yang Pak Long nak jodohkan dengan kau tu ya,” ujar Harris setelah dirinya tenang semula. Hatinya bagai disentap dengan tiba-tiba setelah mendengar kenyataan dari mulut Amirul itu.
“Maafkan aku Ris. Bukan niat aku nak tipu atau lukakan hati kau. Aku terpaksa terimanya,” kesal Amirul. Eh… ya ke aku terpaksa? Soal Amirul di dalam hati.
“Kenapa kau tak bagitau aku awal-awal. Kau sengaja nak bodoh-bodohkan aku Rul,” tanya Harris sedikit kasar. Terasa malu di hadapan Amirul.
“Ris… bukan macam tu. Bukan aku sengaja tak nak bagitau kau. Aku tak nak lukakan hati kau. Aku tengok kau gembira dan bahagia, sebab itulah aku tak sampai hati nak rosakkan kebahagiaan dan kegembiraan kau tu,” jelas Amirul seraya bangun. Dia menghampiri Harris dan memegang lembut bahu Harris.
“Kau ingat tak aku pernah cerita yang papa nyaris nak kena langgar dengan kereta,” sambung Amirul.
Harris mengangguk.
“Liyanalah yang selamatkan papa. Lepas kes itu, papa berkenan dengan Lia dan dia nak jadikan Lia sebagai menantu dia. Mulanya aku tolak, tapi entah macam mana wujud perasaan lain dalam hati aku terhadap Lia,” terang Amirul jujur. Matanya tepat ke muka Harris.
Harris tunduk membisu. Penjelasan Amirul antara dengar dan tak dengar sahaja. Hatinya kecewa dengan apa yang diberitahukan oleh Amirul. Lukanya terlalu parah melebihi lukanya terhadap Azlin dahulu. Mujurlah dia sudah meluahkan isi hatinya pada Liyana ketika mereka berdua keluar bersama tiga hari yang lepas. Jika tidak, sukar untuk menerima kenyataan itu.
“Jadi orang yang kau cakap hari tu, Lialah ya. Kau jatuh cinta dengan Liyana,” teka Harris dan mengangkat muka.
“Aku tak tahu bila perasaan itu wujud Ris. Aku dengan Lia dah lama kenal. Tapi, bukan rapat. Dialah yang pecahkan cermin kereta aku dulu. Dialah yang aku jumpa dekat shopping mall lepas kau batalkan perjumpaan masa tu. Bila kami berjumpa, ada aje perkara yang membuatkan kami bergaduh dan tak sependapat. Masa mesyuarat kelab hari tu, aku dan papa betul-betul terkejut melihat Liyana. Papa cari Liyana sebab nak balas jasa Liyana kerana menyelamatkan dia dari dilanggar. Rupa-rupanya Liyana kerja kat Samudera ni dan pembantu kau pulak tu,” terang Amirul. Terasa lega selepas meluahkannya. Berharap Harris dapat menerima penjelasannya itu.
“Aku dah luahkan perasaan aku pada dia. Tapi, dia belum bagi jawapan pada aku. Dan sekarang aku dah tahu jawapannya,” ujar Harris lemah. Bingkas dia bangun dari duduk dan menapak menuju ke pintu bilik Amirul.
“Harris… aku…” sukar untuk Amirul meneruskan kata-katanya.
“Aku faham Rul. Aku boleh terimanya dengan hati yang ikhlas. Dan aku juga dah bincangkan tentang ini dengan Liyana hari tu,” balas Harris dan menghilangkan diri di sebalik pintu bilik.
“Maafkan aku Ris. Bukan niat aku nak lukakan hati kau. Aku cintakan Liyana. Aku takut kehilangan dia. Aku tak nak Liyana jatuh ke tangan orang lain,” bisik Amirul kepada dirinya sendiri.

~ Senyum ~
(^_^)


14 ulasan:

  1. Alalalalaaa.. Sian haris! Tp still nak lia wiff amirul..hehe bg haris ngan fazura laaa..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Harris ngan Fazura??? erm, akn dpkrkan nti.. tp, jwpnnya ada dlm bab 43.. huhu.. jauh nk tuju tu.. :D

      Padam
    2. erksss... bab 43????? kak, post n3 5x sehari laaa.. cepat sket sampai bab tu.. ngehngehngeh....
      ~mizz acu~

      Padam
    3. huhu.. amboi3, dr 2x sehari dh mintak 5x sehari.. nti jemulah bc GB ni.. :D

      Padam
  2. hehe...amirul dah jatuh cinta pada liyana... apa yang akan terjadi seterusnya,... tak sabar nak tunggu perjumpaan hari keluarga amirul....

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. perkara y tdk dijangkakan akn berlaku pd hr tu.. :D

      Padam
  3. Balasan
    1. yup!! terlps satu mslh.. tp, mslh lain pulak y akn timbul..

      Padam
  4. Thanks for the new entry ... nak lagi pls!!! Fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. welcome Aida.. Insya-ALLAH, dlm minggu ni sy n3 hgga bab 16.. bab 17 by next week.. ok x?? :D

      Padam
  5. best..tp cian harris..hurm

    BalasPadam
    Balasan
    1. tq Lieza.. xpe, nti adalah psgnnya utk Harris tu.. ;)

      Padam
  6. ala kak minggu ni post la sampai bab 20....
    dah lama tunggu untuk cite ni.....

    BalasPadam
    Balasan
    1. bab 20?? alahai dik, nti bosan pulak bc GB tiap2 hr.. akak n3 smpe bab 16, then bab 17.. hr isnin dpn, ok?? apa-apa pn tq coz follow GB.. ;)

      Padam