Jumaat, 10 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 15


BAB 15

Liyana memerhatikan gelagat Harris. Sepanjang perjalanan menuju ke restoran, Harris sekadar membisu. Tidak ada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut Harris. Adakah Amirul sudah menjelaskan perkara sebenarnya kepada Harris? Adakah ini reaksi Harris selepas mengetahuinya? Liyana berasa serba salah. Apa yang harus dibuatkannya lagi? Selama dia hidup di muka bumi ALLAH ini, belum pernah lagi dia merasa serba salah seperti sekarang. Melukakan hati insan yang bernama ‘lelaki’. Sudah diingatkan diri sendiri agar tidak melukakan hati sesiapa, namun dia hanya insan biasa yang tidak terlepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Semoga ALLAH mengampuni dosa-dosanya itu.
Harris memarkirkan kereta di petak yang baru dikosongkan. Dia mematikan enjin dan segera keluar dari perut kereta. Dia membukakan pintu buat Liyana dan mengisyaratkan Liyana keluar. Sebaik sahaja Liyana keluar, punat lock di tekan dan dia melangkah jalan mendahului Liyana tanpa mempedulikan Liyana di belakang. Terkebil-kebil Liyana melihat gelagat Harris.
Marahkah dia pada aku?
Sudah pastilah dia marah pada kau.
Tapi, aku belum bagi jawapan pada luahan dia hari tu.
Memanglah kau belum bagi jawapan pada dia. Cuba kau tengok muka monyok dia tu, sudah pastilah dia dah tahu perkara yang sebenarnya.
Siapa yang bagitau pada dia?
Yang kau bengap sangat ni kenapa Lia. Mestilah Amirul yang bagitau kat dia. Kau juga yang suruh Amirul berterus-terang pada Harris.
Eh… ya tak ya juga. Betullah tu, bijak betul kau ya.
Mestilah aku bijak. Aku kan kau!!
Liyana tersengih sendiri. Seronok mendengar kata hati dan kata akalnya berkata-kata dan bersoal jawab. Belum pernah dirasakan keseronokan sebegitu rupa.
“Lia…” panggil Harris sedikit menjerit.
“Alamak! Asyik sangat melayan korang sampai Harris tinggalkan aku,” kutuk Liyana sambil menepuk dahinya sendiri. Lantas dia mempercepatkan langkahnya menuju ke arah Harris.
Liyana melabuhkan duduk berhadapan Harris. Entah tujuan apa Harris membawanya ke restoran itu, dia sendiri tidak pasti. Sebaik sahaja mendapat panggilan telefon dari Harris, otaknya ligat berfikir. Sehingga sakit kepalanya memikirkan tentang itu. Bukankah lebih elok berjumpa di pejabat daripada berjumpa di luar? Buang duit aje makan kat luar. Kalau sedekah kat aku, ada juga faedahnya, bisik Liyana dan tersenyum.
Seperti biasa, dia sudah pun menelefon Marina akan kelewatannya hari ini. Mujurlah Marina memahami dan mengerti akan keadaannya itu, jika tidak susah juga untuk menerangkan kepada Marina. Mana ada majikan yang mendengar cakap pekerja. Mungkin ada, tapi untuk sesuatu perkara sahaja majikan boleh mendengar cakap pekerjanya. Huh! Entahlah, bertambah pening kepala aku dibuatkannya, keluh Liyana di dalam hati.
“Terima kasih!” ucap Harris sebaik sahaja pelayan meletakkan makanan dan minuman yang dipesannya tadi. Tanpa menghiraukan Liyana dihadapan, dia meneguk rakus air minuman tersebut. Tekaknya yang kering sudah pun dibasahkan.
Liyana sekadar memerhati. Takut untuk bersuara. Mungkin ada baiknya kalau Harris yang memulakannya dahulu. Dibuatnya topik lain dia nak cakapkan, tak ke malu aku nanti. Sabar dulu Lia, bisiknya. Dia mengacau jus tembikai menggunakan straw. Matanya tertancap ke situ pula. Rasa seronok melihatnya.
“Lia sukakan Amirul? Cintakan Amirul?” tanya Harris sehabis air minumannya diteguk. Matanya jatuh ke muka Liyana. Menanti jawapan dari Liyana.
Liyana tersentak. Serta merta tingkahnya terhenti dek pertanyaan itu. Matanya dihalakan ke wajah Harris. Jelas kekecewaan pada wajah itu.
“Lia tak tahu,” balasnya berserta gelengan kecil.
Itulah kenyataannya. Dia sendiri tidak tahu akan perasaannya pada Amirul. Apa yang pasti, dia berasa tenang dan selamat ketika bersama Amirul.
Harris menarik nafas dan menghembuskannya lembut. Pandangannya dikalihkan ke luar restoran. Sejuk matanya memandang keindahan ciptaan ALLAH di kawasan itu. Tumbuhan hijau menghiasi kawasan itu.
“Habis tu, kenapa Lia bersetuju berkahwin dengan Amirul kalau Lia tak ada perasaan pada dia?” tanya Harris ingin tahu.
“Lia… Lia… terpaksa,” ujar Liyana lemah.
“Terpaksa?” ulang Harris berserta kerutan di dahi. “Soal kahwin bukan boleh dibuat main-main Lia. Jangan ambil mudah pada sesuatu perkara itu. Ini melibatkan masa depan Lia, hati dan perasaan Lia. Kalau Lia berkahwin dengan Amirul kerana terpaksa, adakah kebahagiaan yang akan Lia perolehi kelak,” nasihat Harris ikhlas.
Walaupun rasa kecewanya masih bersisa, setelah difikir dan ditimbal balik, dia terpaksa redha dengan ketentuan ALLAH. Liyana bukan diciptakan untuknya. Kasih dan cinta Liyana bukan miliknya. Liyana milik Amirul. Dan dia nampak sinar cinta itu dari anak mata Amirul.
Liyana mengeluh berat. Dia meneguk jus tembikai dengan perlahan. Matanya dilontarkan ke luar restoran. Tidak sanggup menatap wajah Harris. Rasa serba salah pada wajah itu.
“Lia… Amirul dah ceritakan semuanya pada Ris tadi. Ris terima dengan hati yang ikhlas. Ris bukan untuk Lia. Ris akan buang jauh-jauh perasaan Ris pada Lia. Lagipun tidak mungkin Lia akan menerima Ris sebab Ris tahu, Lia juga berperasaan sama seperti Amirul, betul kan?” sambung Harris. Kali ini dia menarik tangan Liyana dan digenggam erat tangan itu.
“Amirul dah jatuh cinta dengan Lia. Dia sendiri mengaku depan Ris. Jadi, Ris nak Lia dan Amirul berkahwin atas dasar cinta dan bukan kerana terpaksa,” tambah Harris.
Matanya menjamah wajah Liyana. Sukar untuk membuang rasa sayangnya pada Liyana dalam sekelip mata. Namun akan dicuba untuk membuang perasaan itu. Demi kebahagiaan Amirul, dia sanggup berkorban jika pengorbanan itu akan melukakan hatinya sendiri.
Liyana sekadar membisu. Otaknya ligat memikirkan jawapan yang sesuai buat penjelasan Harris itu. Perlukah dia mengaku yang dia turut sama jatuh cinta terhadap Amirul? Perlukah dia berterus-terang yang dia tidak mahu berkahwin dengan Amirul? Dia keliru dengan perasaannya terhadap Amirul. Dia takut untuk jatuh cinta sekali lagi. Dia takut dikecewakan lagi. Dia tidak mahu dilukai lagi. Cukuplah pengalaman yang ada membuatkan dia hampir tersungkur suatu masa dahulu.
Eh… kejap… kejap. Betul ke apa yang aku dengar tu tadi? Amirul dah jatuh cinta dengan aku? Wah!! Ini sudah bagus. Lia… kau berjaya dengan misi kau. Misi untuk buatkan Amirul jatuh cinta dengan kau. Misi untuk membuatkan Amirul menelan semula kata-katanya yang pernah dihamburkan pada kau suatu masa dulu. Misi membuatkan Amirul tergoda dengan kau. Misi untuk membuatkan Amirul merasa malu dengan kata-katanya yang lepas. Misi… hisy.. berapa banyak misilah kau ni Lia. Apa yang pasti, kau dah berjaya Lia. Yahoooo!! Sorak Liyana di dalam hati dan tersenyum gembira.
“Betul ke?”
“Betul? Betul apa?”
“Amirul dah jatuh cinta dengan Lia?” tanya Liyana inginkan kepastian.
Harris menghela nafasnya. Dia meleraikan genggaman tangannya tadi. Rambutnya dikuak ke belakang. Senyuman manis menghiasi bibirnya.
“Yup!! Dia mengaku depan Ris tadi. Kenapa, Lia tak percaya ke?” jawab Harris tenang.
Harris sudah boleh menerima kenyataan tentang Liyana dan Amirul. Mungkin itulah yang terbaik buat dirinya. Buat apa menyesakkan fikiran dengan perkara itu lagi. Tambahan pula dia yang memberi kata putus pada Liyana tiga hari yang lepas. Liyana berhak untuk menerima atau menolak cintanya. Dia tidak akan memaksa dan mendesak kerana dia bukanlah orang yang terdesak untuk bercinta. Dia tetap akan cuba menyahkan Liyana dari dalam hati dan fikirannya.
“Bukan Lia tak percaya, tapi Lia gembira sangat. Apa yang Lia doakan dulu dah dimakbulkan oleh ALLAH,” ujar Liyana berserta senyuman di bibir.
“Apa yang Lia doakan?” tanya Harris ingin tahu.
“Biarlah rahsia. Ini antara Lia dan Encik Amirul,” jawab Liyana dan meneguk airnya semula. Dalam hati sudah bersorak gembira. Dalam fikiran sudah terencana untuk mengenakan Amirul. Tidak sabar rasanya di hati untuk memalukan Amirul. Liyana ketawa dalam hati.


Setelah membuat bayaran, Harris dan Liyana berjalan beriringan menuju ke tempat parking. Masing-masing tersenyum gembira dan senang. Terasa lapang di dada Liyana setelah mendengar penjelasan dari Harris. Rasa terharu dan berterima kasih kepada Harris kerana memahami keadaannya. Mujurlah Harris tidak berdendam dan terluka disebabkan perkara itu, jika tidak susah juga untuk memujuk dan menenangkan hati Harris. Alah! Dah besar, boleh fikir sendiri, betul tak?
Liyana berjalan mendahului Harris. Tidak sabar rasanya untuk bercerita dengan Fazura. Tentu Fazura akan bersorak gembira sepertimana dia bersorak di dalam hati sebentar tadi. Walaupun pada mulanya Fazura menegah, namun dia berjaya menghasut Fazura agar mengikut rancangannya serta mempercayai dengan apa yang dilakukannya terhadap Amirul. Sebab dan kenapa dia terpaksa berbuat begitu. Fazura mudah ditipu. Berlakon sikit, terus percaya, macam Amirul juga, kutuk Liyana di dalam hati.
“Eh.. Uncle Zul, dari mana?” tegur Harris tiba-tiba. Tangan dihulur untuk bersalaman.
Tersentak Liyana mendengarnya. Uncle Zul? Adakah Dato’ Zulkifli yang dimaksudkan oleh Harris itu. Dengan pantas Liyana menoleh ke belakang. Terbeliak matanya melihat Dato’ Zulkifli sedang bersembang dengan Harris. Peluk dingin sudah merenik di dahi. Macam mana Dato’ Zulkifli boleh berada kat sini? Lia.. sinikan tempat awam. Sesiapa pun boleh berada kat sini. Hati Liyana bersoal jawab.
Untuk tidak disyaki oleh Dato’ Zulkifli, segera Liyana berjalan menuju ke kereta Harris dan menyorok di belakang kereta tersebut. Tidak mahu Dato’ Zulkifli menyedari akan kehadirannya di situ. Tidak mahu Dato’ Zulkifli mengetahui dia bersama dengan Harris melihatkan Harris mengenali Dato’ Zulkifli. Di dalam hati, dia berdoa agar Harris tidak menceritakakan mengenai dirinya kepada Dato’ Zulkifli.
Uncle ada meeting dengan client tadi. Harris dengan siapa?” Dato’ Zulkifli memulangkan soalan kepada Harris. Matanya melilau seakan-akan mencari sesuatu.
“Dengan kawan,” balasnya dan menoleh ke sisi. “Eh… mana pulak Lia ni? Mungkin ke toilet kot,” sambung Harris pelik.
“Lia?” ulang Dato’ Zulkifli.
“A’ah Uncle. Lia tu pembantu Amirul dan bakal isteri Amirul,” beritahu Harris. Matanya turut sama melilau mencari kelibat Liyana.
“Jadi ke Amirul kahwin?”
“Jadi Uncle. Pak Long nak merisik hujung bulan ni,”
“Oh..” balas Dato’ Zulkifli berserta anggukan. “Uncle teringin nak jumpa bakal isteri Amirul tu. Tengoklah nanti, ada masa Uncle ke office Tan Sri Khalil,” ujar Dato’ Zulkifli.
Harris sekadar mengangguk. Hatinya dipagut risau. Ke mana pulak Liyana pergi? Bukankah Liyana berjalan  di hadapannya tadi? Takkan Liyana balik sendiri pulak? Fikir Harris.
“Okeylah Harris, Uncle balik dulu. Sampaikan salam Uncle pada ayah kamu dan juga Tan Sri Khalil sekeluarga. Insya-ALLAH, kalau Uncle free, Uncle ke office Tan Sri Khalil,” ucap dan ulang Dato’ Zulkifli.
“Baiklah Uncle. Insya-ALLAH akan saya sampaikan pada Tan Sri Khalil dan papa,” balas Harris seraya bersalaman dengan Dato’ Zulkifli.
Harris segera melangkah menuju ke keretanya setelah kelibat Dato’ Zulkifli hilang dari pandangan mata. Matanya masih lagi melilau mencari kelibat Liyana. Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu.
“Ris…” panggil Liyana berserta senyuman di bibir.
“Lia ke mana? Puas Ris cari,” tanya Harris keras.
“Err… Lia pergi toilet kejap. Kenapa?” bohong Liyana dan terseyum.
“Lain kali bagitaulah dulu kalau nak ke mana-mana. Tau tak Ris risau kalau apa-apa terjadi pada Lia. Apa yang Ris nak jawab dengan Amirul nanti,” geram Harris seraya masuk ke dalam perut kereta selepas menekan remote. Hatinya menjadi panas dengan tiba-tiba di atas sikap acuh tak acuh Liyana itu.
Liyana turut sama masuk ke dalam kereta. Dia menatap mesra wajah Harris dan tersenyum sumbing. Mengakui akan kesilapannya itu. Tetapi perbuatannya itu bersebab. Dia tidak mahu Dato’ Zulkifli mengetahui tentang dirinya. Belum tiba masanya untuk bersemuka dengan Dato’ Zulkifli. Dia perlu berjaya dalam hidup dan mencapai cita-citanya terlebih dahulu. Jika semua itu sudah dicapai, Liyana sendiri yang akan bersemuka dengan Dato’ Zulkifli.
“Maaf, tak sengaja. Janganlah marah. Nanti Lia belanja ice-cream nak tak?” pujuk Liyana lembut sambil mengerdip-ngerdipkan matanya. Lagak seperti manja saja Liyana itu.
Harris menelan liur. Matanya masih lagi lurus ke hadapan, menumpukan sepenuh pada pemanduannya walaupun dia perasan Liyana sedang menatap wajahnya. Sikap manja Liyana menyentak naluri lelakinya. Jika diikutkan hati, mahu saja dia mencubit pipi Liyana melepaskan geram atas sikap Liyana sebentar tadi. Namun disabarkan hati agar tidak berbuat begitu. Ini kerana Liyana bukan haknya dan hati Liyana bukan miliknya.
“Okey… okey… dah, jangan nak buat perangai macam tu lagi. Kalau buat, Ris tak nak kawan dengan Lia,” tegah Harris sekadar mengusik. Tidak sanggup melihat gaya manja Liyana lagi. Boleh gugur jantung dibuatnya. Aik! Macam Amirul la pulak.
“Alah… setakat tak nak kawan, apa class. Cakaplah tak nak belanja makan ke, tak nak temankan Lia lagi ke atau tak nak jadi teman tapi mesra Lia ke, adalah juga bestnya nak dengar. Ini tak nak kawan. Macam budak-budak aje bunyinya,” ulas Liyana seakan menyindir. Sekadar mengusik Harris.
Harris melepaskan ketawa dan menggeleng. Geli hati mendengar ulasan dari Liyana itu. Liyana memang seorang yang nakal dan lucu. Jika tiada Liyana, terasa sunyi bagi Harris. Sudah terbiasa mendengar lawak jenaka Liyana semenjak Liyana bekerja di Samudera Holding. Namun Harris tidak pernah terasa dengan kata-kata Liyana kerana bagi Harris, Liyana pengubat ketika dia sedih dan gembira.
“Err… nak minta satu permintaan boleh tak?” suara Liyana sehabis sahaja Harris memberhentikan ketawanya.
“Permintaan? Apa dia?” ulang Harris seraya menoleh sekilas ke arah Liyana di sisi.
“Boleh tak Ris jadi abang Lia. Mean abang angkat tak berapa nak angkat la,” cadang Liyana dan tersenyum.
Sudah lama Liyana terfikirkan tentang perkara itu. Sejak mula lagi dia sudah menganggap Harris seperti Adif. Sikap Harris seakan-akan seperti Adif. Mungkin dengan cara ini dia dapat melepaskan rasa rindunya terhadap Adif sekali gus menumpang kasih dan sayang daripada Harris.
“Abang? Ris ni tua sangat ke sampaikan Lia nak anggap Ris sebagai abang,” ujar Harris sedikit kecewa.
“Maaflah kalau permintaan Lia ni keterlaluan. Lia perlukan seorang abang yang boleh bagi Lia semangat dan dorongan. Lia tak punya siapa-siapa untuk bagi semua tu pada Lia,” jelas Liyana perlahan.
Rasa sebak di dadanya tiba-tiba tatkala mengingati Adif. Abang yang selalu membelanya dahulu. Namun selepas itu, Adif seperti lalang yang ditiup angin ke kiri dan ke kanan. Mudah mengubah keputusan mengikut keadaan. Sampai bila dia harus menerima semua itu lagi? Mungkinkah sehingga dia tidak dapat untuk menerimanya sebagai takdir dari ALLAH? Liyana buntu memikirkannya.


2 ulasan:

  1. Alololoooo.. Mcm pendek jer.. ;p kak, yg 16 tu bila nak release? Ptg nti yer..hehe
    Pape pon, cian lak kat haris sbb die baekk.. N lia ni.. Ye ke nak blls dndm? Skali xsampai ati sbb da jth cintan

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. nk wat cm ner.. Harris 2 2nd hero.. so, tpksalah terima kenyataan cintanya ditolak.. xpe, nti dia jmpe pengganti Liyana.. :D

      Padam