Jumaat, 10 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 16


BAB 16

“Dato’ nak ke mana-mana lagi atau balik ke rumah terus?” tanya Pak Mat selaku pemandu peribadi Dato’ Zulkifli. Diperhatikan Dato’ Zulkifli dari cermin pandang belakang. Dato’ Zulkifli seakan-akan sedang mengelamunkan sesuatu.
“Dato’!” panggil Pak Mat lagi.
“Ha… ada apa Mat?” tanya Dato’ Zulkifli terkejut.
“Dato’ nak ke mana-mana lagi atau balik ke rumah terus?” ulang Pak Mat.
“Ke rumah aje Mat,” sahut Dato’ Zulkifli.
“Baiklah!” balas Pak Mat dan meneruskan pemanduannya.
Dato’ Zulkifli membetulkan duduknya. Sebentar tadi fikirannya melayang memikirkan pertemuan dengan Harris. Siapa Lia yang dimaksudkan oleh Harris itu? Mungkinkah Liyana ataupun bukan. Ketika dia menunggu client di restoran tadi, dia terlihatkan kelibat Liyana bersama seorang lelaki. Namun orang itu tidak dapat dilihatnya dengan mata kasar kerana lelaki itu membelakangkan dirinya. Mungkinkah lelaki itu adalah Harris?
Lama Dato’ Zulkifli memerhatikan Liyana bersama lelaki itu. Dia juga terkejut tatkala lelaki itu menggenggam tangan Liyana. Siapa lelaki itu? Apa yang Liyana buat selama ini? Pekerjaan apa yang Liyana lakukan selama ini? Mungkinkah anaknya itu melacur atau menjadi bohsia. Subhana-ALLAH, sampai ke situ pemikiran Dato’ Zulkifli terhadap Liyana. Apakah Liyana tidak punya pegangan agama? Senakal dan selincah Liyana, dia masih mengenal hukum hakam agama. Mana mungkin Liyana akan berbuat begitu.
Dato’ Zulkifli melepaskan keluhan berat. Dia perlu menyiasat apa yang Liyana lakukan selama ini. Dia perlu tahu macam mana kehidupan Liyana di luar sana. Dia tidak mahu menanggung malu andai kata Liyana berperangai tidak senonoh. Dia tidak akan mengakui Liyana sebagai anak seandainya Liyana menconteng arang ke mukanya kelak. Sungguh dia takut jika perkara itu berlaku. Mana nak diletakkan muka daripada orang sekeliling. Minta dijauhkan dari perkara itu berlaku.
Apa yang menjadi hairan dan musykil bagi Dato’ Zulkifli, tidak pernah sekali pun Liyana meminta duit darinya. Malah dari Datin Suraya, Adif dan Laila juga Liyana tidak pernah meminta. Adakah disebabkan kata-kata sindirannya yang lepas membuatkan Liyana tidak berani untuk meminta malah menjejakkan kaki ke rumah lagi? Adakah disebabkan itu juga, Liyana mengambil jalan singkat dengan melacurkan diri atau melayan lelaki-lelaki kaya untuk mendapatkan duit? Aduh! Pening Dato’ Zulkifli memikirkannya. Jika benar apa yang ditafsirkannya itu, mahu dibunuh-bunuh Liyana asalkan tidak memalukan dia sekeluarga. Anak tak sedar diuntung dan tak sedar diri. Jika bukan disebabkan kau, aku takkan alami kerugian besar suatu ketika dulu. Kalau aku dapat tahu kau buat kerja tak senonoh, dengan tangan aku sendiri akan membunuh kau, sumpah Dato’ Zulkifli di dalam hati.
“Dato’ dah sampai,” beritahu Pak Mat.
Tersentak Dato’ Zulkifli seketika. Lamunannya tadi berterbangan dengan tiba-tiba. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Begitu lama dia mengelamun sehinggakan tidak menyedari Pak Mat sudah pun membukakan pintu untuknya keluar dari perut kereta. Lantas dia memboloskan diri keluar dari perut kereta dan menapak masuk ke dalam rumah. Keletihan akibat bekerja seharian perlu direhatkan. Bilalah dia akan merasa senang dengan duduk bergoyang kaki di rumah sahaja? Mungkin impiannya itu tidak akan menjadi kesampaian selagi kedudukan syarikatnya tidak stabil. Selama ini dia berusaha terhadap syarikatnya itu. Mujurlah Adif ada menolongnya, jika tidak payah baginya untuk berdiri di atas kaki sendiri tanpa bantuan daripada darah dagingnya sendiri.
“Ayah baru balik?” tegur Adif sebaik sahaja terlihat kelibat Dato’ Zulkifli di sofa. Lantas dia melabuhkan duduknya berhadapan dengan Dato’ Zulkifli.
“Awal Adif balik hari ni?” tanya Dato’ Zulkifli.
“Tadi Adif ada discussion dengan Amirul tentang projek di Shah Alam tu. Lepas habis bincang, Adif terus balik rumah. Ayah pergi jumpa client ke tadi?” beritahu Adif jujur. Matanya memandang tepat ke wajah tua Dato’ Zulkifli.
Dato’ Zulkifli mengangguk. Matanya dikalihkan ke arah Mak Mah yang sedang meletakkan dua gelas air di hadapannya. Setelah itu kelibat Mak Mah hilang di sebalik pintu dapur. Tanpa menunggu, Dato’ Zulkifli meneguk rakus air tersebut. Terasa sesak nafasnya memikirkan tentang Liyana sebentar tadi. Bagai nak pecah kepalanya memikirkan segala kemungkinan mengenai Liyana.
“Adif ada jumpa Lia?” tanya Dato’ Zulkifli sambil meletakkan gelas di atas meja semula.
Tersentak Adif mendengar pertanyaan Dato’ Zulkifli itu. Belum pernah lagi Dato’ Zulkifli bertanyakan tentang Liyana semenjak Liyana keluar dari rumah tiga bulan yang lepas. Apa yang mendorongkan Dato’ Zulkifli bertanya tentang Liyana?
“Tak ada ayah. Semalam aje Adif jumpa Lia, itu pun secara tak sengaja Lia ada di shopping mall tu,” balas Adif berserta kerutan di dahi. Pelik melihat Dato’ Zulkifli.
“Adif tahu Lia kerja apa?” soal Dato’ Zulkifli lagi. Dia perlu tahu pekerjaan Liyana. Jika tidak hatinya tidak akan senang selagi tidak mengetahui pekerjaan Liyana.
“Adif tak tahu ayah Lia kerja apa. Lia tak pernah bagitau Adif,” jawab Adif jujur.
“Tak pelah. Kalau Adif tahu Lia kerja apa dan di mana, Adif bagitau ayah nanti,’ ujar Dato’ Zulkifli seraya bangun.
“Baiklah ayah!” balas Adif.
Dato’ Zulkifli mengangguk. Seminit kemudian, dia menapak jalan menuju ke bilik di tingkat atas. Dia perlu membersihkan dirinya yang terasa melekit dari pagi tadi. Mungkin dia akan menyiasat sendiri tentang Liyana. Hatinya tidak akan senang selagi tidak mengetahuinya.
Adif mengekori langkah Dato’ Zulkifli dengan ekor matanya sahaja. Pelik! Itulah yang dirasakan waktu ini. Kenapa Dato’ Zulkifli bertanyakan tentang Liyana? Pekerjaan Liyana? Adakah Liyana telah berbuat sesuatu yang mungkin akan memalukan Dato’ Zulkifli? Adakah Dato’ Zulkifli terserempak dengan Liyana di mana-mana sehingga membuatkan Dato’ Zulkifli ingin mengetahui akan pekerjaan Liyana? Pelbagai persoalan sedang berlegar-legar di kotak fikirannya ketika itu. Bagaimana untuk menjawab segala persoalan itu? Adif belum memikirkannya lagi. Buat permulaan, dia perlu menyiasat tentang Liyana dari Fazura. Hanya Fazura rakan baik Liyana dari dulu hingga sekarang.


“Kak Ina…” panggil Liyana lembut. Dia menghampiri Marina yang sedang mengadap komputer dan melabuhkan duduk di hadapan Marina.
Selepas makan tadi, Liyana meminta Harris menghantarnya ke Butik Idaman. Jenuh juga Liyana menjawab pelbagai soalan daripada Harris, jika tidak pecahlah rahsianya selama ini. Dia tidak mahu orang lain mengetahui akan kisah hidupnya. Dia tidak mahu Harris atau Amirul melihat keadaannya seperti itu. Maksudnya bekerja di dua tempat. Cukuplah dia menanggung semua itu berseorangan asalkan dia tidak menyusahkan sesiapa.
“Ada apa Lia?” tanya Marina.
“Kak Ina, Lia nak minta tolong sikit boleh?”
“Tolong apa Lia. Kalau akak boleh tolong, akak tolong. Tapi, kalau akak tak boleh nak tolong, jangan sesekali paksa akak untuk tolongnya,” terang Marina berserta senyuman di bibir.
Wah.. wah.. wah.. Kak Ina ni, siap bagi warning lagi tu. Belum lagi minta tolong, dah panjang lebar mukadimahnya, bisik Liyana.
“Lia nak minta akak buat satu kerja ni, lumayan kak,” beritahu Liyana. Sengaja menduga reaksi Marina.
“Kerja apa Lia? Kerja halal ke haram?” tanya Marina risau. Matanya sudah pun dialihkan ke arah Liyana.
“Hisy… akak ni. Ada ke tanya kerja halal ke haram? Takkanlah Lia nak buat kerja-kerja haram kot,” bidas Liyana dan tersengih.
“Habis tu, kerja apa?”
“Lia nak minta Kak Ina buat kerja yang mencabar minda akak,” beritahu Liyana serius. Sudah lama dia memikirkan rancangan itu dan dia berharap rancangannya itu akan berjaya.
“Kerja yang mencabar minda akak?” ulang Marina berserta kerutan di dahi.
Liyana tersengih. Terbayang-bayang sudah rancangan di kepala otaknya itu. Mesti gempak dan yang pasti Amirul akan terkejut dengan apa yang bakal dihadapinya nanti.
“Kejap lagi Lia bagitau Kak Ina. Lia nak ke toilet kejap ya,” ujar Liyana seraya bangun. Dia menapak keluar dari bilik Marina.
Marina sekadar memerhati dengan ekor matanya sahaja. Dia menggeleng-geleng kepala melihat gelagat Liyana. Entah apa rancangan yang difikirkan oleh Liyana sehingga meminta pertolongan darinya. Malah kerja yang mencabar minda pulak tu. Janganlah kerja yang bukan-bukan dia suruh aku buat, sudahlah! Nanti tak pasal-pasal, aku pulak yang kena, bisik Marina sendirian.


Liyana menyusuri kedai-kedai sebelum sampai ke tempat yang dituju. Sambil melangkah, matanya melilau melihat keadaan sekeliling. Orang ramai berpusu-pusu menuju ke sebuah pasaraya yang sedang mengadakan jualan murah. Teruja Liyana melihatnya. Jika dia punya wang yang banyak, sudah pastilah dia pun akan turut serta ambil bahagian dalam operasi berebut barangan. Tapi, apakan daya, dia terpaksa menahan perasaan dan niatnya itu memandangkan keadaan tidak mengizinkan.
Liyana keluar dari ladies selepas hajatnya tercapai. Dia mengatur langkah menuju ke Butik Idaman semula. Entah mengapa langkahnya mati dengan tiba-tiba tatkala terpandangkan sesusuk tubuh yang amat dikenali. Amirul! Terpacul nama itu dari benak hatinya. Lantas dia segera membawa badannya menuju ke arah Amirul yang sedang duduk bersantai di dalam sebuah restoran. Baik aku main-mainkan dia, bisik Liyana dan tersenyum nakal. Sudah terencana rancangan jahat di kepala otaknya itu.
“Hai!” tegur Liyana seraya duduk berhadapan Amirul.
Tersentak Amirul dengan teguran Liyana. Dia cuba mengawal rasa terkejutnya. Berkerut dahinya memandang Liyana yang sedang tersenyum di hadapannya itu.
“Lia… Lia… buat apa kat sini?” tanya Amirul tersekat-sekat.
“Saje. Nak berlakon kat sini. Tak boleh ke?” jawab Liyana selamba. Wajah Amirul ditatap curiga. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Amirul.
“Rul… siapa ni?” tegur seseorang dari belakang.
Liyana menoleh. Hampir terbuntang matanya melihat susuk tubuh perempuan di belakangnya. Wah!! Seksi bangat ini perempuan. Macam tak cukup kain aje aku tengoknya. Rasa nak sedekah aje kain aku ni pada dia suruh tutup sikit di tempat-tempat yang tidak sepatutnya didedahkan, bisik hati Liyana. Seminit kemudian, dia menoleh ke arah Amirul. Jelas kerisauan di wajah itu.
“Err… staf I,” ujar Amirul perlahan. Kemudian dia melarikan pandangan dari melihat Liyana. Terasa berdebar-debar dengan pandangan Liyana itu.
“Hai! Liyana, staf Encik Amirul,” sahut Liyana dan tersenyum. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan…. alamak, siapa namanya tu tadi ek?
“Syakila!” balas Syakila dan membalas salaman Liyana.
Liyana mengangguk. Oh! Syakila. Sedap namanya, orangnya pun cantik, seksi dan menggoda. Mustahil lelaki takkan cair tengoknya, komen Liyana.
“Maaflah ganggu. Saya minta diri dululah. Kebetulan ternampak Encik Amirul, tu yang tegur,” ujar Liyana berserta senyuman di bibir.
Entah mengapa dirasakan ada perasaan lain dalam hatinya itu. Mungkinkah cemburu? Tidak mungkin aku cemburu, hatinya menafikan. Rancangan untuk mengenakan Amirul terbantut serta merta. Tanpa menunggu balasan dari Amirul dan Syakila, Liyana membawa kakinya keluar dari restoran itu menuju ke Butik Idaman. Dia cuba mengawal perasaan dari dikesan oleh Amirul. Apakah perasaan itu?


“Ha… asal monyok aje muka tu akak tengok. Kucing Lia mati ke?” tegur Marina sebaik sahaja kelibat Liyana berada di hadapan. Diperhatikan Liyana dengan penuh khusyuk.
“Bukan kucing yang mati, laki Lia yang mati,” ujar Liyana selamba. Dia melabuhkan duduk di sofa yang berada di Butik Idaman itu.
“Laki!!” jerit kecil Marina. “Bila pulak Lia ada laki ni? Bila Lia kahwin? Tak jemput akak pun,” tanya Marina lurus.
“Adoi! Kak Inaku sayang. Bila masa pulak Lia kahwin? Lia belum kahwin lagilah Kak Ina,” bidas Liyana dan menggeleng kecil. Bengap betul kakak aku ni, kutuk Liyana.
“Habis tu, dah Lia kata laki Lia mati, akak assume la Lia dah kahwin,” balas Marina geram. Geram apabila Liyana mempermain-mainkannya.
Liyana melepaskan keluhan. Entah mengapa hatinya hiba dan sebak selepas bertemu dengan Amirul sebentar tadi. Dengan seorang perempuan seksi pulak tu. Huh! Lelaki memang mata keranjang. Pantang tengok dahi licin sikit, mulalah, menggatal. Pantang tengok seksi sikit, mulalah menggedik. Menyampah betul aku dengan perempuan tu, apa nama dia tadi… lupa pulak aku nama dia. Syakila. Ha... Syakila. Cantik pun sebab bertempek dengan bedak aje, kutuk Liyana di dalam hati sambil mencebik.
“Yang Lia mencebik tu kenapa? Apa masalahnya lagi ni?” tegur Marina tidak berpuas hati. Liyana cuba menyembunyikan sesuatu darinya.
“Lia jumpa Amirul tadi,” ujar Liyana.
“Dah tu, apa masalahnya. Dah jumpa, nak buat macam mana,”
“Masalahnya Kak Ina, dia tu tengah menggedik dengan perempuan seksi. Menyampah betul Lia tengoknya Kak Ina,” kutuk Liyana tanpa berlapik.
Itulah yang dirasakannya ketika ini. Meluat, menyampah, menggedik dan segala macam ‘me’ lah yang tak boleh nak disenaraikan oleh Liyana. Kalau diikutkan hatinya tadi, mahu saja dia menyindir dan mengutuk Syakila di hadapan Amirul, baru puas hatinya.
“Lia… Lia… Lia cemburu ke?” duga Marina dan tertawa. “Ini mesti kes cemburu. Kalau bukan cemburu, muka Lia takkan monyok macam tu,” sambung Marina seraya duduk bersebelahan Liyana di sofa. Wajah Liyana di tatap mesra.
“Eh… bila masa pulak Lia cemburu? Bukan ada kena-mengena dengan yang hidup ataupun mati,” bidas Liyana tegas. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Marina sekadar menggeleng. Dari riak cemburu di wajah Liyana sudah membuktikan bahawa Liyana mempunyai perasaan terhadap Amirul. Kenapa perlu dinafikan lagi perasaan itu? Bukankah lagi mudah jika meluahkannya.
“Dahlah Kak Ina, bosan pulak asyik bercerita perkara yang sama aje. Kak Ina, jangan lupa tau esok. Plan yang Lia terangkan pada Kak Ina tadi,” ujar Liyana seraya bangun.
Plan apa?” dahi Marina berkerut.
“Alamak! Lia tak bagitau pada Kak Ina lagi ke? Meh sini Lia bisik kat telinga Kak Ina,” pinta Liyana sambil menarik lembut tubuh Marina supaya mengadapnya.
“Hai, main bisik-bisik pulak. Tak boleh ke cakap depan-depan?”
“Tak boleh, ini rahsia besar,”
“Suka hati Lialah!”
Lantas Liyana membisikkan rancangannya di telinga Marina. Membulat mata Marina mendengarnya. Biar betul? Detik hati Marina. Seminit kemudian, Liyana bingkas bangun dan menapak ke tempat gantungan baju dan mencapai sehelai baju untuk dijahit manik. Sudah terlalu lama dia melayan perkara yang bukan-bukan, sehinggakan dia terlupa akan tugasnya yang sebenar di butik itu. Mujurlah Marina seorang majikan yang baik, jika tidak, mahu dihamun Liyana disebabkan kerjanya yang acuh tak acuh itu.
“Okey tak rancangan Lia tu?” ujar Liyana tiba-tiba.
“Okey! Tapi, tak salah ke kita buat macam tu?” tanya Marina risau.
“Insya-ALLAH tak kak. Itu saja caranya untuk Lia lepaskan diri,” yakin Liyana.
Di dalam hati dia tidak berapa yakin dengan apa yang bakal dilakukannya esok. Berharap rancangannya itu berjaya.



Sebagai bonus sy n3kan bab 15 & 16 sekali utk minggu ni..
Nantikan bab 17 pd minggu hdpn.. salah satu bab yg sy suka selain bab 11 dlm GB..
Terima kasih kerana melayan GB..  
(^_^)


Oh ya! Apa rancangan Liyana tu ya??


2 ulasan:

  1. erks~ baru perasan bab 16 ade skali..hehehe..
    kak, mst liyana tu nak suro marina jd keluarga angkat dia kan? kan? kan? pastu mtk tangguh tanak kawen lg.. hehehehehehhehe...

    ~mizz acu~

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe... mgkn btl n mgkn tdk.. apa2 pn ntikan bab 17.. jwpnnya ada kat dlm bab 2.. :D

      Padam