Selasa, 14 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 18


BAB 18

“Adui!! Kenapa Kak Ina buat macam tu?” tanya Liyana tidak berpuas hati.
Marina sekadar tersengih. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh berbuat begitu. Mungkin disebabkan keseronokan berlakon, maka dengan lancarnya dia menyatakan cadangan itu kepada Tan Sri Khalil. Cadangan yang difikirkan boleh mengeratkan lagi hubungan Amirul dan Liyana. Mujurlah Tan Sri Khalil bersetuju dengan cadangannya itu. Jika tidak, susah juga untuk memikirkan masalah Amirul dan Liyana.
“Saya minta tangguhkan urusan merisik ni. Saya nak Amirul benar-benar kenal dengan Liyana. Tahu cara hidup Liyana dan rutin seharian Liyana. Maksud saya, segala mengenai Liyana, Amirul perlu tahu,” jelas Marina serius.
Membuntang mata Liyana mendengar dan melihat riak selamba Marina. Apa yang dimaksudkan Marina itu? Suruh Amirul kenal dengan aku. Suruh Amirul tahu cara hidup aku. Kak Ina ni dah gila ke? Mana boleh aku pecahkan rahsia kehidupan aku pada orang lain, terutamanya Amirul, geram Liyana di dalam hati. Matanya tajam merenung wajah Marina.
“Erm.. betul juga cakap puan tu. Ada baiknya kalau Amirul betul-betul kenal dengan Liyana. Walaupun mereka berdua dah lama kenal dan bercinta, tidak semestinya serba-serbi mengenai Liyana, Amirul turut sama tahu, begitulah sebaliknya,” sokong Tan Sri Khalil dan terangguk-angguk. “Apa cadangan puan?” ujarnya pula.
“Apa kata kita minta Amirul tinggal bersama saya barang seminggu atau dua minggu. Biar Amirul betul-betul bersedia menerima keadaan Liyana. Kalau tak cukup seminggu atau dua minggu, kita minta sebulan,” cadang Marina. Dia menoleh sekilas ke arah Liyana yang bermuka tegang. Tunggu masa untuk menghamburkan segala isi kemarahan kepada Marina.
“Kejap… kejap… mana boleh macam tu? Lia tak setuju!” bantah Liyana keras.
“Apa salahnya Liyana. Amirul dah lama hidup senang, masa inilah dia perlu belajar hidup susah. Dan Liyanalah orang yang sesuai untuk mengajarnya,” ujar Tan Sri Khalil seakan bersetuju dengan cadangan Marina itu.
“Lia sayang, nanti kita bincangkan tentang ni ya nak,” pujuk Marina dan tersengih.
Hisy… rasa nak empuk-empuk aje Kak Ina ni. Bukannya menyenangkan, menyusahkan lagi adalah. Takkanlah aku nak tinggal dengan mamat hingusan tu. Eee.. tak kuasa aku, geram Liyana dan menjeling ke arah Marina. Menyesal aku buat idea bodoh ni, bisiknya pula.
“Kak Ina mana boleh buat macam tu? Kalau temberang kita pecah, macam mana? Dibuatnya Amirul tahu siapa Lia yang sebenarnya, macam mana?” tanya Liyana khuatir.
Itulah yang sedang difikirkannya sekarang. Dia tidak mahu Amirul kenal siapa dirinya yang sebenar. Dia belum bersedia untuk menjelaskan kesemuanya kepada orang lain mahupun Amirul dan Harris.
Marina tersentak. Lamunannya tadi berterbangan entah ke mana.
“Lia.. Lia… apa yang nak disusahkan. Lia setuju ajelah dengan cadangan akak dan Tan Sri Khalil tu. Lagipun masa nilah Lia nak kenakan Amirul tu cukup-cukup,” beritahu Marina sambil mengangkat keningnya. Lagak seperti penjahat saja rupanya.
“Kenakan Amirul?” dahi Liyana berkerut. “Kenakan macam mana Kak Ina?” tanyanya pula. Matanya tepat ke muka Marina.
Papp!!
“Adoi!! Apa ni Kak Ina? Orang tanya elok-elok yang Kak Ina tepuk dahi Lia ni kenapa?” gerutu Liyana sambil meraba-raba dahinya yang sakit.
“Dah Lia tu bengap sangat kenapa? Cakap aje pandai, mengalahkan George Bush, jahat… tapi, bab macam ni bengaplah pulak,” geram Marina.
Liyana mengusap lembut dahinya. Seketika kemudian, dia tersengih dan tersenyum nakal. Akalnya sudah boleh berfungsi. Ternyata Marina lebih geliga dari dirinya. Ternyata Marina sengaja membuat cadangan itu untuk mengenakan Amirul. Wah!! Ini sudah bagus. Sekurang-kurangnya aku bolehlah balas dendam kat Amirul tu. Bolehlah aku ejek dan kutuk dia lepas apa yang dia dah kutuk pada aku dulu, bisik Liyana dan tersenyum nakal.
“Ha.. dah boleh fikir. Nak kena cepuk dahi tu baru boleh berfungsi otak tu,” sindir Marina seraya mencapai air botol yang berada di hadapannya. Terasa tekaknya kering kerana asyik bercakap tidak henti-henti sedari tadi.
“Hehe.. bijak betullah Kak Ina ni. Kenapa Lia tak pernah fikirkan semua tu ya,” puji Liyana dan tersenyum.
“Mestilah akak bijak. Kalau tak, tak adanya akak ke UK,” puji Marina pula kepada dirinya sendiri.
“UK?” ulang Liyana teruja. “Wow! Bila Kak Ina belajar kat UK?” tanya Liyana pula.
“Apa Lia ingat akak ni kolot sangat ke? Tiap-tiap minggu akak pergi balik belajar ke UK tu tau,” ujar Marina dan tersengih.
Liyana mencongak sambil berfikir. Terror betul kakak aku ni. Sampai ke UK pulak tu. Aku pun belum sampai ke sana. Banyak betul duit Kak Ina sampai tiap-tiap minggu ke sana, pulak tu pergi dan balik, hebat! Kagum Liyana. Tapi, takkan tiap-tiap minggu kot, fikir Liyana semula. Seminit kemudian, dia menepuk dahinya tatkala menyedari sesuatu.
“Kak Ina!!” jerit kecil Liyana sambil terjegil ke arah Marina.
Marina tertawa besar melihat gelagat Liyana. Difikirkan Liyana seorang yang bijak, ternyata Liyana ada juga bengapnya. Apalah Lia ni. Takkanlah aku pergi ke UK tiap-tiap minggu. Kopaklah duit aku nanti. Kalau setakat Ulu Kelang tu, bolehlah. UK juga kan? bisik Marina dan ketawa.


“Apa papa? Papa biar betul. Rul tak salah dengarkan?” ulang Amirul tidak percaya.
“Betul. Papa nak Rul tinggal dengan mak angkat Liyana selama seminggu. Papa nak Rul betul-betul kenal dengan kehidupan Liyana macam mana,” jelas Tan Sri Khalil serius.
“Papa biar betul. Takkanlah Rul nak tinggal dengan mak angkat Lia yang entah apa-apa rupanya tu. Papa tak kesiankan dengan Rul ke?” tolak Amirul keras.
“Rul… ini untuk kebaikan Rul juga. Papa nak Rul kenal lebih rapat dengan Liyana sebelum Rul berkahwin dengannya,” nasihat Tan Sri Khalil lembut. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menghampiri Amirul.
“Tapi papa….”
“Papa yakin dengan apa yang papa buat ni dan papa pasti Amirul dan Lia akan hidup bahagia suatu hari nanti. Bukannya lama pun, seminggu aje. Tapi, kalau Rul nak sebulan, papa izinkan,” beritahu Tan Sri Khalil sekadar mengusik.
“Oh.. no.. no.. seminggu pun Rul dah rasa terseksa mengadap mak angkat Liyana tu, inikan pulak sebulan papa suruh Rul duduk dengannya. Rul rela mati dari duduk dengan mak angkat Liyana tu,” bantah Amirul keras sambil menggeleng.
Tan Sri Khalil tersenyum kecil. Semoga apa yang dirancangkan berjaya. Semoga Amirul dapat menerima Liyana dengan hati yang ikhlas.
Huh! Macam manalah papa aku boleh bersetuju dengan cadangan mengarut mak angkat Liyana tu? Sengaja nak kenakan aku la ni. Hisy… tak boleh jadi ni. Tak pe, kau nak main-mainkan aku ya Lia, aku akan main-mainkan kau selepas ini, azam Amirul di dalam hati.
“Tentang merisik tu, papa dah bersetuju untuk tangguhkannya dulu. Bila Rul dah kenal betul-betul dengan Lia, baru kita bincangkan tentang perkara itu,” beritahu Tan Sri Khalil.
Kemudian dia menapak jalan menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ. Surat khabar di atas meja dicapai lalu dibaca penuh khusyuk.
“Kenapa tangguhkan? Siapa yang suruh tangguhkan?” tanya Amirul tidak berpuas hati. Dia menghampiri Tan Sri Khalil dan melabuhkan duduk berhadapan dengan Tan Sri Khalil.
“Lia sendiri minta tangguhkan. Dia belum bersedia lagi. Dia nak Rul tinggal dengan mak angkat dia dulu, then baru dia buat keputusan untuk terima Rul ataupun tidak,” jelas Tan Sri Khalil selamba.
Itulah yang diminta oleh Liyana sebentar tadi. Dia akan menilai Amirul dalam masa seminggu itu. Jika Liyana berpuas hati, Amirul akan diterima dan jika Liyana tidak berpuas hati, maka Amirul akan dikenakan tugasan yang lain pula dan Tan Sri Khalil bersetuju dengan permintaan Liyana itu.
Terkedu Amirul mendengarnya. Liyana minta tangguhkan? Kenapa Liyana berbuat begitu? Mungkinkah Harris menghasut Liyana supaya menangguhkan urusan merisik itu? Adakah Harris tidak boleh menerima kenyataan bahawa Liyana bakal menjadi isterinya? Pelbagai persoalan sedang berlegar-legar di kepala otak Amirul. Bagaimana untuk mencari jawapan pada setiap persoalan itu? Buntu dia memikirkannya. Apa yang pasti, dia perlu bersemuka dengan Liyana untuk mengesahkan perkara ini.


“Teruknya idea Lia tu. Ish.. tak sanggup Ris nak bayangkan kalau Rul tinggal di sana nanti,” kata Harris dan tertawa.
Geli hati mendengar perancangan Liyana sebentar tadi. Perancangan yang menginginkan Amirul tinggal bersama mak angkat Liyana selama seminggu. Tak dapat dibayangkan bagaimana Amirul mengalami pengalaman itu nanti. Tak dapat dibayangkan juga, Amirul yang serba kemewahan akan tinggal di tempat yang serba kekurangan dalam masa seminggu. Huh! Rasa nak ketawa pun ada apabila memikirkan tentang itu.
“Alah… tak payah bayang-bayangkan, dah memang dia kena tinggal dengan mak angkat Lia selama seminggu. Tak sabar pulak Lia nak tengoknya. Mesti sememeh aje muka Encik Amirul tu nanti,” kutuk Liyana selamba dan tersenyum. Difikiran sudah memikir-mikirkan rancangan untuk mengenakan Amirul selama seminggu itu. Tak sabar rasanya di hati untuk melihatnya.
“Yalah… terpaksalah kalau nak pinang Lia, betul tak?” ujar Harris dan masih tertawa. “Lia dah rancang ke apa yang perlu dibuatkan selama seminggu tu?” tanya Harris pula.
“Eh.. mestilah Lia dah rancangnya awal-awal. Semua idea tu datangnya dari mak angkat Lia. Lia hanya menurut perintahnya sahaja,” jawab Liyana selamba tanpa ada rasa bersalah.
“Lia ni, kalau tak kenakan orang, tak jadinya. Mesti teruk Amirul tu Lia kerjakan nanti. Apa-apa nanti, jangan lupa bagitau Ris tau. Nak juga tahu perkembangan tentang Amirul masa kat sana tu nanti,” pinta Harris dan tersenyum.
“Insya-ALLAH. Lia akan sentiasa update dengan Ris,” sahut Liyana turut tersenyum.
“Oh ya.. jangan lupa majlis Ris malam lusa. Lia nak Ris jemput atau datang sendiri?” tanya Harris mengingatkan Liyana.
“Ya tak ya jugak. Hampir Lia terlupa tentang itu. Kalau macam tu, Lia pergi dengan…”
“Lia pergi dengan aku, Ris!” pintas Amirul tiba-tiba.
Tersentak Liyana dan Harris mendengarnya. Serentak itu mereka berdua menoleh ke belakang. Amirul sedang menapak jalan menghampiri mereka berdua. Liyana menelan liur. Harris berkerut seribu. Wajah Amirul ditatap mereka berdua. Sukar untuk menafsirkan wajah Amirul ketika ini.
Well, kalau dah macam tu, aku tak kisah,” beritahu Harris seraya bangun. “Okeylah Lia, Ris naik dulu. Ingat tau, jangan nakal sangat. Tak terlawan Lia dengan dia nanti,” usik Harris dan tertawa kecil.
Merona merah Liyana mendengar usikan Harris itu. Dia menghantar pemergian Harris dengan ekor matanya sahaja. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke muka tegang Amirul.
“Ada apa?” tanya Liyana sedikit keras. Tidak suka berlama bersama Amirul.
Amirul melabuhkan duduknya bersebelahan Liyana. Wajah Liyana ditatap mesra. Tumpah kasihnya pada Liyana ketika itu. Sukar untuk menafikan rasa cinta yang hadir dalam dirinya sekarang. Perlukah dia meluahkan isi hatinya pada Liyana? Apa pula kata Liyana nanti? Sudah pastilah Liyana akan mentertawakan dirinya nanti. Mana mungkin dia akan melupakan kata-kata yang pernah dihamburkan kepada Liyana suatu ketika dulu.
“Encik Amirul, kalau tak ada apa nak cakap, saya naik dulu,” suara Liyana setelah sekian lama membisu. Bingkas dia bangun dari duduknya. Berkira-kira untuk beredar, namun ditarik oleh Amirul membuatkan dia terduduk semula di bangku itu.
“Kenapa awak buat macam tu?” tanya Amirul lemah. Matanya tepat ke muka Liyana.
Liyana mengerutkan dahi. Buat? Buat apa yang dimaksudkan Amirul itu?
“Buat? Buat apa?” tanya Liyana pula. Pertanyaan Amirul tadi ditolak ke tepi.
“Suruh saya tinggal dengan mak angkat awak selama seminggu,” ujar Amirul.
“La… pasal tu ke. Ingatkan pasal apa tadi,” kata Liyana seakan mengejek.
“Awak sengaja nak seksa sayakan Lia? Bila saya tak ikut permintaan awak, awak boleh batalkan perkahwinan tu dan awak boleh bersama dengan Harris. Betulkan apa yang saya cakapkan ni Lia?” tuduh Amirul tanpa usul periksa. Matanya masih tajam ke muka Liyana.
“Apa yang Encik Amirul merepek ni? Kalau Encik Amirul tak suka, Encik Amirul bagitau pada Tan Sri yang Encik Amirul tak bersetuju dengan cadangan mak angkat saya tu,” geram Liyana. Geram apabila dituduh begitu oleh Amirul. Terasa hatinya tersentap dengan pertuduhan itu.
“Saya tak merepek, tapi awak yang merepek. Awak sengaja merancang dan jika saya tak turut perancangan awak tu, awak akan batalkan perkahwinan ni. Itu tujuan awak yang sebenarnyakan, Nur Liyana Safiyah Zulkifli,” tuduh Amirul lagi. “Awak memang tak nak berkahwin dengan saya, bukan?” sambung Amirul pula.
Liyana terkedu. Tidak tahu apa yang harus dijawabkan dengan tuduhan Amirul itu. Semua yang diperkatakan oleh Amirul, adalah benar belaka. Memang dia sengaja merancang supaya Amirul membatalkan niat untuk mengahwininya. Memang dia sengaja merancang supaya Amirul melupakan rasa cinta terhadap dirinya. Bagi Liyana, dia belum bersedia untuk berumah tangga mahupun bercinta. Jika Amirul sudah memahaminya, apa yang perlu Liyana perkatakan lagi. Biarlah masa yang menentukan kesemuanya.
“Ya… memang saya tak nak berkahwin dengan Encik Amirul,” tegas Liyana seraya bangun. Dia memulakan langkah untuk beredar dari situ. Lebih lama dia disitu, entah apa lagi yang akan diperkatakan oleh Amirul.
“Awak dah berjaya Liyana. Awak dah berjaya buat saya tergoda dengan awak. Awak dah berjaya buat saya jatuh cinta dengan awak. Awak dah berjaya buat saya menelan kesemua kata-kata yang pernah saya hamburkan pada awak dulu. Awak dah berjaya memalukan saya. Dan awak dah berjaya buat saya angaukan awak,” akui Amirul lemah. Bingkas dia bangun dan menghampiri Liyana.
“Saya cintakan awak Liyana. Saya sayangkan awak. Saya tak sanggup lepaskan awak pada lelaki lain termasuklah Harris,” luah Amirul seraya memegang tangan Liyana.
Liyana hanya mendengar. Dia membiarkan sahaja tangannya dipegang oleh Amirul tanpa berniat untuk menolak. Di dalam hati, dia bersorak gembira tatkala mendengar pengakuan Amirul. Sungguh itulah yang diharapkan selama ini. Setiap masa dia berdoa agar Amirul menelan kesemua kata-kata penghinaan yang pernah dihamburkan kepadanya suatu masa dulu. Dan akhirnya dia berjaya membuatkan Amirul merasa malu akan perbuatannya yang lepas.
“Maafkan saya Encik Amirul. Saya belum bersedia untuk bercinta. Hidup saya kucar kacir Encik Amirul. Terima kasih di atas luahan Encik Amirul itu,” balas Liyana seraya menarik tangannya dari genggaman Amirul. Dia melangkah jalan meninggalkan Amirul yang terkejut dengan tindakannya itu.
“Melangkahlah Lia, asalkan kau tidak merasa simpati padanya. Fikirkan masa depan kau Lia. Kau belum lagi kecapi apa yang kau nak. Kau kena abaikan perasaan itu dulu Lia,” bisik Liyana seakan memberi semangat buat dirinya sendiri.
Amirul termangu seketika. Dia melepaskan keluhan berat di bangku yang sedang didudukinya itu. Sungguh dia terkejut dengan kata-kata Liyana. ‘Hidup saya kucar kacir’. Apa yang dimaksudkan Liyana itu? Kenapa hidup Liyana kucar kacir? Selama ini dia hanya melihat Liyana seorang yang happy go lucky tanpa sebarang masalah. Kenapa Liyana berkata begitu? Apa yang membuatkan Liyana berkata begitu? Dia perlu mencari jawapan pada persoalannya itu.
Tapi, bagaimana dia ingin mendapat jawapan dari setiap persoalannya itu? Perlukah dia mengupah seseorang untuk menyiasat Liyana? Perlukah dia menyiasat Liyana dengan sendirinya? Ya, mungkin dia perlu menyiasatnya sendiri tanpa mengupah sesiapa. Dengan cara itu, setiap persoalan yang berlegar-legar di kepalanya akan terjawab. Buat permulaan, dia akan menerima rancangan papanya untuk tinggal bersama mak angkat Liyana selama seminggu. Dengan cara itu, dia dapat merapatkan diri dengan Liyana dan kalau boleh dia akan cuba sedaya upaya membuat Liyana jatuh cinta dengannya.
“Aku akan pastikan kau jatuh cinta dengan aku Liyana,” azam Amirul dan tersenyum.
Seminit kemudian, dia membawa langkah beredar dari tempat itu. Dia perlu memikirkan perancangan seterusnya. Perancangan untuk membuatkan Liyana jatuh cinta padanya. Dan tidak sesekali dia akan melepaskan Liyana kepada lelaki lain eventhough sepupunya sendiri Harris Hakimi Hilman.

~ Senyum ~
(^_^)



4 ulasan:

  1. o yeahhhh!! go go amirul!!! pasni dedua cair.. hehehehehee...
    ~mizz acu~

    BalasPadam
    Balasan
    1. mizz acu, msh ada cabaran buat Amirul.. huhu.. :D

      Padam