Selasa, 14 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 19


BAB 19

Liyana mendongak ke langit. Diperhatikan bintang yang menghiasi langit sambil tangannya mengira bintang-bintang tersebut. Seperti kanak-kanak riang lagaknya. Terasa seronok berbuat begitu. Betapa indahnya jika dia menjadi bintang. Hanya ditugaskan untuk mengeluarkan kerdipan cahaya ke seluruh alam. Tidak perlu memikirkan masalah seperti dirinya yang sedang dihimpit pelbagai masalah. Pening kepalanya tatkala memikirkan kesemua masalah itu. Jika boleh discan otaknya, mahu sahaja dia mengeluarkan kesemua masalah itu dan dibuang ke dasar laut agar tidak menghimpit kehidupannya lagi.
Tapi, apalah gunanya berbuat begitu. Semua manusia mempunyai masalah sendiri. Bukan manusia namanya jika tidak mempunyai masalah. Malah peminta sedekah pun punya masalah. Masalah bagaimana untuk mencari sesuap nasi buat dirinya sendiri? Masalah bagaimana untuk mencari tempat perlindungan daripada panas dan hujan? Semua itu memerlukan otak untuk berfikir. Huh! Liyana melepaskan keluhan berat. Bagaimana untuk menjauhkan diri daripada Amirul? Sungguh tidak menyangka begitu awal Amirul meluahkan perasaan padanya. Takut untuk memikirkan semua itu. Malah dia belum bersedia untuk ke arah itu.
“Kau dah fikirkan masak-masak ke Lia? Jangan kau menyesal pulak dengan keputusan kau tu nanti sudahlah,” tegur Fazura dari arah belakang.
Secawan milo panas dihulurkan kepada Liyana dan disambut oleh Liyana. Kemudian dia melabuhkan duduknya bersebelahan Liyana.
“Aku yakin dengan keputusan aku Zura,” balas Liyana dan menghirup milo panas dengan perlahan. Matanya lurus ke hadapan.
“Kau tak kesiankan Tan Sri Khalil ke? Beriya-iya dia nak kau jadi menantunya, takkan kau nak hampakan harapan dia. Lagipun kau dah berjaya buat Amirul termakan dengan kata-kata dia sendiri,”
“Aku tahu, tapi aku tak boleh nak teruskannya. Makin lama aku teruskannya, aku sendiri yang akan tersungkur,”
“Itulah, aku dah nasihatkan kau dulu. Jangan main-mainkan perasaan orang. Sekarang kau tengok, apa yang dah jadi. Kau sendiri terkena tempiasnya juga kan,” bebel Fazura.
“Sebab itulah aku perlu berhenti kerja dari situ. Aku tak nak perasaan aku pada Amirul semakin bercambah. Aku takut nak hadapi risiko lagi. Kau sendiri tahukan apa yang berlaku pada aku dulu,” jelas Liyana dan meletakkan cawan di atas meja kecil yang berada di situ. Kemudian dia melepaskan keluhan kecil.
“Macam nilah Lia. Kau tak perlulah nak berhenti kerja. Kau buat macam biasa aje. Pasal Amirul tu, kau abaikan aje. Lagipun kau dah bagitau pada diakan yang kau tak bersedia untuk bercinta. Tentu dia akan faham maksud kau tu,” cadang Fazura. Berharap Liyana menerima cadangannya itu. Sungguh dia tidak mahu Liyana berhenti kerja kerana dia amat memerlukan Liyana di Samudera Holding.
“Kau nak aku buat tak reti aje ke?” ulang Liyana dan memandang tepat ke wajah Fazura.
Fazura mengangguk kecil.
“Okey jugak tu. Zaman sekarang ni bukannya senang nak dapat kerja kan?” sambung Liyana dan tersenyum.
“Ha.. tahu pun kau. Zaman sekarang ni bukan senang nak dapat kerja. Berebut-rebut orang nak kerja tau. Kau kira beruntunglah sebab aku yang rekemenkan kau kerja kat Samudera Holding tu,” sokong Fazura turut tersenyum.
“Alah… nak suruh aku berterima kasih dengan kaulah ni ya,” cebik Liyana meluat. “Tapikan Zura, tak sangka betul aku tadi, lakonan aku tu berjaya. Aku memang tabik springlah kat Kak Ina. Pandai betul dia berlakon mengalahkan Delimawati dalam Hantu Kak Limah tu,” sambung Liyana dan tertawa kecil.
“Rugi pulak aku tak tengoknya. Nak buat macam mana, perut aku meragam, senggugut punya pasal,” keluh Fazura. “Tapi Lia, aku tabik kat kau juga. Akhirnya kau berjaya buatkan Amirul jatuh cinta dengan kau,” sambung Fazura dan ketawa.
“Yalah, aku pun tak sangka. Tulah siapa suruh kutuk aku dulu, kata aku ‘Betty Suarez’, sekarang tengok, siapa yang ‘Betty Suarez’nya, aku ke dia,” kutuk Liyana selamba tanpa rasa bersalah. Itulah yang dirasakannya waktu ini.
“Kau dah fikirkan apa yang kau nak buat dengan Amirul selama dia seminggu kat rumah mak angkat lakonan kau tu?” tanya Fazura teruja.
“Yang itu, biarlah rahsia. Hanya aku dan Kak Ina saja yang tahu. Aku tak nak bagitau sesiapa termasuklah kau dan Harris,”
“La… takkan tak boleh kot. Kau bagilah hintnya sikit kat aku,” rengek Fazura.
“Tidak sama sekali,” tegas Liyana sambil menggoyang-goyang jari telunjuknya di hadapan Fazura.
“Ah.. kedekutlah kau ni. Tak pe, nanti aku korek dengan Kak Ina. Mesti Kak Ina akan bagitau pada aku,” rajuk Fazura dan mencebik.
“Aku warning Kak Ina awal-awal,” bidas Liyana pantas.
“Yalah.. mentang-mentanglah orang tu dah ada orang lain dijadikan tempat mengadu, aku ditinggalkan,” rajuk Fazura lagi. Bingkas dia bangun dan berkira-kira untuk pergi.
“Okey… okey… nanti aku bagitau kau,” pujuk Liyana seraya memegang tangan Fazura.
“Ini yang buat aku sayang kat kau Lia. Oh ya, kau percaya ke dengan luahan hati Amirul tu?” ujar Fazura dan duduk semula di sisi Liyana.
“Percaya? Maksud kau?” tanya Liyana kurang mengerti.
“Apa kata kita uji dia nak? Yalah manalah taukan kot-kot dia tipu aje kat kau. Kononnya dia suka kat kau, cinta kat kau, tapi sebenarnya tidak. Maksud aku perkataannya tidak sama dengan perbuatannya,” beritahu Fazura.
“Kau nak uji dia macam mana Zura?” tanya Liyana turut teruja.
Ada benarnya kata-kata Fazura itu. Kalau setakat kata di mulut, semua orang boleh berkata manis. Apa yang penting perbuatan dan kata-kata perlu seiring untuk membuktikan cinta seseorang itu.
Fazura tersenyum. Sudah terangka di fikiran rancangan buat Amirul. Dengan cara ini, Amirul boleh membuktikan cintanya pada Liyana. Dan mungkin juga dengan cara ini, hati Liyana akan terbuka untuk menerima Amirul sekali gus membalas cinta Amirul.


Amirul mengerling jam di tangan. Sudah agak lama dia duduk di situ. Memikirkan bagaimana caranya untuk memikat hati Liyana. Buntu dia memikirkannya. Perlukah dia meminta nasihat daripada Harris? Ah! Malu dirasakannya jika dia meminta nasihat daripada Harris. Sudah pastilah Harris akan mentertawakannya. Sudah pastilah Harris akan mengutuk malah lebih dari itu terhadapnya. Pening Amirul memikirkannya. Lebih pening dari menguruskan masalah syarikat. Kenapa ketika dia bersama dengan Shasha, tidaklah serumit ini? Mungkin Shasha bersikap ego dan pentingkan diri sendiri maka dia tidak pening memikirkan tentang Shasha. Satu keluhan akhirnya terlepas dari bibir Amirul.
“Amirul!” tegur Adif tiba-tiba.
“Ha… Adif. Buat apa kat sini?” balas Amirul dan tersenyum.
“Aku jumpa kawan kejap tadi. Kau pulak sorang-sorang kat sini buat apa? Harris mana?” tanya Adif seraya duduk. Wajah Amirul ditatap mesra.
“Lepaskan tension kejap. Banyak sangat kerja kat office sampaikan tak cukup tangan dibuatnya,” beritahu Amirul. Dia mencapai gelas air lalu meneguknya perlahan.
“Harriskan ada. Takkan tak cukup tangan lagi kot,” ujar Adif. “Aku dengar kau dah ada pembantu cekap. So, apa masalahnya lagi?” sambung Adif.
“Memanglah, tapi pembantu aku tu perempuan. Kalau melibatkan site, takkan nak minta dia turun padang kot,” komen Amirul.
“Eh… mestilah. Kalau tak buat apa dia jadi pembantu kau. Serba serbi kena tahu,” bidas Adif pantas. “Aku dengar kau nak kahwin, betul ke?” tanya Adif pula.
“Betullah tu. Tapi tak tahu lagi, sebab mak angkat dia minta tangguhkan dulu,”
“Kenapa pulak minta tangguhkan?”
“Ada masalah sikit. Eh… Laila apa khabar? Lama aku tak dengar cerita dia?” tanya Amirul sekali gus menukar topik perbualan. Tidak suka terus-terusan membincangkan tentang itu lagi.
“Dia sihat aje. Lepas papa kau batalkan rancangan nak satukan korang berdua, perangai dia berubah. Aku pun pelik tengok adik aku tu. Laila tak sama dengan Liyana,” ulas Adif dan bersandar ke kerusi. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling restoran itu.
“Liyana?” ulang Amirul berserta kerutan di dahi.
“Ya.. adik aku yang bongsu. Liyana namanya. Kenapa?” beritahu Adif.
“Aku tak tahu pulak yang kau ada dua orang adik. Selalunya yang aku perasan Laila aje,”
“Adik aku yang bongsu tu, dia tak suka nak bercampur dengan orang. Sebab itulah bila kami sekeluaga ke mana-mana, jarang dia ikut sama,” bohong Adif berserta keluhan ringan.
Hakikatnya bukanlah seperti itu. Dato’ Zulkifli melarang Liyana turut serta jika melibatkan majlis makan malam ataupun pertemuan bersama kenalan keluarganya. Terasa rindu dengan Liyana tatkala nama Liyana menerjah ke dalam kotak fikikannya.
“Oh.. patutlah. Sekarang adik kau tu kat mana?” tanya Amirul tanpa mengesyaki apa-apa.
“Dia tinggal dengan kawannya. Aku tak tahu dia kerja apa sekarang. Kerja kat mana pun aku sendiri tak tahu. Aku ni abang yang tak guna. Serba-serbi tentang Liyana aku tak ambil tahu,” kesal Adif. “Mungkin aku bukan abang yang terbaik buat Liyana,” ujarnya pula.
Amirul mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan maksud kata-kata Adif. Siapakah Liyana yang dimaksudkan oleh Adif itu? Kenapa Adif berkata begitu? Adakah sesuatu telah berlaku pada keluarga Adif? Hisy… buat apa aku peningkan kepala fikirkan masalah orang lain. Masalah aku sendiri pun tak settle-settle lagi. Penyibuk betullah kau ni Amirul, gerutu Amirul di dalam hati. Seminit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Lantas dia menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Butang hijau di tekan dan dilekapkan ke telinga tanpa melihat gerangan orang yang menelefonnya itu.
“Apa? Baiklah saya ke sana sekarang!” kata Amirul cemas. Dia menyimpan semula telefon bimbitnya dan segera bangun dari duduknya.
Berkerut Adif melihat tingkah Amirul. Apa yang berlaku?
Sorry Adif, ada emergency lah. Lain kali kita jumpa dan sembang lagi. Sampaikan salam aku pada family kau,” ujar Amirul dan berlalu dari situ.
Adif sekadar mengangguk. Matanya sahaja menghantar langkah Amirul sehingga hilang dari pandangan mata.


“Macam mana?” tanya Liyana tidak sabar.
“Beres! Aku pasti dia dalam perjalanan ke sini,” jawab Fazura dan tersenyum.
“Betul ke apa yang kita buat ni Zura?” Liyana menyuarakan kerisauannya.
“La… kau juga yang setujukan nak buat. Asal pulak kau nak risau. Kalau kau tak yakin, aku call balik Amirul, suruh dia jangan datang ke sini,” geram Fazura dan berkira-kira untuk mendail nombor telefon Amirul.
“Eh… tak payahlah. Alang-alang dah separuh jalan, kita teruskan ajelah. Aku pun teruja sangat ni,” halang Liyana dan tersengih. “Tapi, kalau dia marah macam mana?” tanya Liyana risau.
Itulah yang difikirkannya sedari tadi. Bagaimana jika Amirul marah di atas rancangan gila mereka berdua itu? Sungguh dia takut memikirkan kemarahan Amirul. Bukan sekali dua Liyana dimarahi Amirul, sudah berkali-kali Amirul memarahinya. Semuanya disebabkan perangainya yang suka mempermain-mainkan Amirul.
“Err… aku belum fikirkannya Lia,” jawab Fazura turut risau.
Seminit kemudian, mereka berdua terdengar seseorang memberi salam. Lantas Fazura meninjau di sebalik langsir. Terpacak kelibat Amirul di luar pagar rumah.
“Amirul dah datang Lia. Cepat juga mamat ni datang. Bawa kereta mengalahkan F1 kot. Risau betul dia dengan kau Lia,” komen Fazura dan tersenyum nakal. “Aku keluar dulu ya Lia,” ujar Fazura seraya membuka pintu rumah.
Liyana segera masuk ke dalam bilik dan membaringkan badannya di atas katil. Rancangan untuk mengenakan Amirul semakin berjaya. Entah bagaimana mereka berdua boleh berfikiran seperti itu. Jahat sungguhkah dia kerana mempermain-mainkan serta mengenakan orang. Mungkin jahat di mana orang lain. Tapi dengan cara itu, Liyana berasa puas. Masalah yang bersarang di kepala otaknya akan hilang jika dia berperangai nakal. Disamping dapat melepaskan tekanan yang dihadapinya selama ini.
“Lia…” panggil Amirul. Terjengul kepalanya di sebalik pintu bilik.
Liyana segera bangun dari pembaringannya. Dilihat Amirul sedang menapak masuk ke dalam biliknya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Amirul.
“Lia.. kenapa? Zura kata Lia sakit perut, muntah-muntah dan pening. Kenapa tak ke klinik?” tanya Amirul risau. Dia melabuhkan duduk di sisi Liyana. Matanya tepat ke muka Liyana. Tangannya menggenggam tangan Liyana. Bagaikan tidak mahu dilepaskannya sahaja.
Aik!! Zura ni dah lebih nampak. Asal pulak dia bagitau Amirul yang aku ni muntah-muntah dan pening. Itukan tanda-tanda orang nak mengandung. Adoi! Dibuatnya Amirul fikir macam tu, apa aku nak jawab ni, bisik Liyana sendirian.
“Eh.. tak pelah. Dah kurang sikit. Kalau saya nak ke klinik, dari tadi lagi saya dah pergi,” tolak Liyana lembut.
“Saya dah ajak Lia tadi Encik Amirul, tapi Lia berdegil tak nak pergi. Kalau Encik Amirul nak tahu, Lia ni penakut pergi hospital atau klinik,” sampuk Fazura dan tersenyum. Dia mengenyitkan mata pada Liyana. Seminit kemudian, dia beredar dari bilik itu.
Membengkak Liyana mendengar kenyataan Fazura itu. Matanya tajam ke muka Fazura yang sedang tersenyum kambing mengalah kambing kekenyangan. Terasa ingin menghempuk Fazura ketika itu. Buat malu aku ajelah Zura ni. Yang pergi pecahkan rahsia aku tu kenapa? Marah Liyana di dalam hati.
“Dah… jom kita ke klinik. Saya tak nak apa-apa terjadi pada Lia,” ajak Amirul lembut seraya bangun. Dia membantu Liyana supaya bangun dari katil.
“Tak pe. Dah elok dah ni. Dah kurang sikit. Tadi saya dah makan ubat,” tolak Liyana keras. Tangannya menolak lembut tangan Amirul yang sudah pun mendarat di atas bahunya itu.
“Habis tu, kalau penyakit tu melarat macam mana? Sekurang-kurangnya kalau ke klinik, kita tahulah apa penyakit Lia yang sebenarnya,” pujuk Amirul masih tidak mahu mengalah.
Hisy… macam mana aku nak buat ni? Ini Zura punya pasallah. Tak guna punya kawan. Boleh pulak dia tinggalkan aku sorang-sorang kat sini mengadap muka mamat hingusan ni. Siap kau nanti Zura. Aku tenyeh-tenyeh kau dengan lesung batu kat dapur tu, marah Liyana.
“Tak perlulah Encik Amirul. Saya tak sakit pun,” ujar Liyana dan tersenyum.
“Tak sakit? Apa maksud awak Liyana?” tanya Amirul keras. Matanya tajam ke muka Liyana. Dia dapat merasakan sesuatu dari kata-kata Liyana itu.
“Err…” Liyana menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Awak main-mainkan saya Liyana?” duga Amirul keras.
Liyana sekadar menunduk. Tidak berani untuk bertentang mata dengan Amirul. Dirasakan seram sejuk ketika itu.
Melihatkan reaksi Liyana, Amirul sudah mendapat jawapannya. Buat kali yang kedua dia dipermain-mainkan oleh Liyana. Panas hatinya apabila diperlakukan seperti itu. Senang-senangnya dia diperkotak-katikkan oleh Liyana. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia mengheret Liyana dari bilik itu dan dihumbankan ke dalam gaung, biar puas hatinya. Liyana sengaja untuk mengenakannya.
“Maafkan saya. Bukan niat saya nak main-mainkan Encik Amirul, saya…”
“Awak tak pernah nak berubah Liyana. Awak dah main-mainkan saya buat kali yang kedua. Kalau kali ketiga awak buat macam ni Lia, selama-lamanya saya takkan percayakan awak. Jangan ambil mudah pada sesuatu perkara Lia, ingat tu!” marah Amirul dan menapak keluar dari bilik. Ada baiknya dia beredar dari situ sebelum dia menghamburkan kata-kata yang akan menggoreskan hati Liyana dan hatinya.
Liyana bingkas bangun dari katil. Dia menapak keluar dan cuba mengejar Amirul.
“Saya minta maaf. Bukan niat saya nak main-mainkan Encik Amirul. Saya nak uji sejauh mana cinta Encik Amirul pada saya, itu saja dan tak ada niat lain lagi,” terang Liyana jujur sambil meraih tangan Amirul.
“Uji?” ulang Amirul berserta kerutan.
Liyana mengangguk lemah.
“Begitu tanggapan awak terhadap saya, Liyana. Begitu murah cinta saya pada awak sehinggakan awak sanggup berpura-pura berlakon semata-mata nak uji cinta saya pada awak. Tidak cukup ikhlas lagi ke cinta saya pada awak sehinggakan awak nak mengujinya. Awak dah perlekehkan cinta saya Liyana. Saya kecewa dengan awak. Saya masih boleh terima jika awak tak bersedia untuk bercinta dan saya akan berusaha untuk membuat awak jatuh cinta pada saya. Tapi, saya tak sangka awak tergamak buat macam ni semata-mata alasan bodoh awak tu, nak uji cinta saya pada awak. Kalau itu yang awak nak Lia, saya ikut kehendak awak. Saya takkan ganggu awak dan saya akan padamkan rasa cinta saya pada awak buat selama-lamanya,” luah Amirul kecewa.
Kecewa dengan sikap acuh tak acuh Liyana. Kecewa dengan sikap ambil mudah Liyana. Tidak pernah terlintaskah di fikiran Liyana akan perasaan orang lain. Perasaan insan yang dipermain-mainkan itu. Sungguh Amirul kecewa dengan apa yang Liyana lakukan. Untuk memaafkan, dia akan memikirkannya kemudian.
Tanpa menunggu balasan dari Liyana, Amirul melepaskan pegangan tangan Liyana dan menapak menuju ke keretanya. Dia perlu membawa rasa kekecewaannya jauh-jauh. Dia perlu mententeramkan perasaannya ketika ini. Terasa sebu dadanya selepas menuturkan kata-kata itu sebentar tadi. Mana mungkin dia akan membuang rasa cintanya pada Liyana, kerana rasa itu sudah sebati dan menjadi darah dagingnya ketika ini. Hanya Liyana yang bertahta di dalam hatinya dan tiada siapa yang bisa menggantikan tempat Liyana.


Apa jadi pada Liyana nanti??


10 ulasan:

  1. alalalaaaaa... sian amirul!! liyana ni terlebey sudaaa.. hailaaa.. ni sume fazura punya pasai!
    ~miz acu~

    BalasPadam
    Balasan
    1. Liyana kan nakal, sbb itulah dia buat mcm tu.. huhu

      Padam
  2. nak lagi jugakkkkk............

    BalasPadam
  3. Amirul bawak diri jauh2... biaq pi c Liyana pulak yg mncari... Liyana ni pn agk melampau gak... cian Amirul...

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. mmg terlampau. semua tu gara2 idea Fazura..

      Padam
  4. terima kasih kak hantar 2 kali untuk hari ni..suke nyer cayang akak hehhe..
    merajuk lak mirul kat liyana... tak sabar nak tgk liyana pujuk...dan apa eak jadi seterusnya...besok jangan lupa send tau...

    BalasPadam
    Balasan
    1. sama2.. time ni aje ke syg kat akak?? huhu.. kita tgk apa y berlaku pd Liyana. adakah Liyana berjaya pujuk Amirul??

      Padam
  5. 1st time komen....mmg dh addicted sgt ngan citer akak ni...parah2..hehe~

    BalasPadam
    Balasan
    1. thank u yani coz membaca cerita akak.. hope dpt memberi kepuasan pd yani.. :D

      Padam