Rabu, 15 Februari 2012

Gurauan Berkasih - Bab 20


BAB 20

Harris menanti sambil bersandar di kereta. Matanya dihalakan ke pintu pagar sebaik sahaja terlihat kelibat Liyana melangkah keluar dari pintu pagar. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Liyana dan dibalas oleh gadis itu. Terasa hambar dirasakan senyuman Liyana malam ini. Mungkinkah Liyana punya masalah sehingga membuatkan gadis itu semuram begitu? Adakah ianya berkaitan dengan Amirul?
Liyana memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta sebaik sahaja Harris membukakan pintu buatnya. Seminit kemudian, Harris masuk dan menghidupkan enjin kereta. Sempat dia mengerling ke arah Liyana yang sedang mengelamunkan sesuatu. Entah mengapa hatinya kurang enak melihat raut wajah Liyana. Harris pasti, semua itu ada kena mengena dengan Amirul. Jika tidak, kenapa Liyana menelefon dan memintanya mengambil Liyana pada malam ini. Bukankah sepatutnya Amirul yang mengambil Liyana? Fikir Harris.
“Kenapa ni? Monyok aje muka tu. Lia ada masalah ke?” tegur Harris tatkala menyedari kebisuan Liyana. Dirasakan sunyi berdua-duaan di dalam kereta.
“Tak ada apalah Ris. Lia penat sikit. Siang tadi mengemas rumah dan membasuh,” bohong Liyana. Tidak mungkin dia akan bercerita pada Harris dengan apa yang berlaku dua hari lepas. Peristiwa di antara dirinya dan juga Amirul.
“Lia jangan nak tipu Ris. Ris tahu Lia ada masalahkan? Mesti sebab Amirul, kalau tak, takkan Lia suruh Ris ambil Lia kat rumah. Bukankah Amirul yang sepatutnya ambil Lia malam ni?” duga Harris seraya menoleh ke arah Liyana.
Liyana sekadar membisu. Otaknya ligat memutarkan semula peristiwa malam itu. Disebabkan tindakan bodohnya, secara tidak sengaja telah melukakan hati Amirul. Sungguh dia tidak berniat untuk berbuat begitu. Tidak tergamak untuk melukakan hati Amirul, malah berniat tidak sama sekali. Apa yang terfikir ketika itu ialah keseronokan dan gurauan tanpa memikirkan perasaan Amirul. Kini dia menyesal dengan perbuatannya itu.
“Lia… Lia…” panggil Harris sambil memegang lembut tangan Liyana.
Tersentak Liyana dengan pegangan dan panggilan Harris. Dia menoleh sekilas ke arah Harris. Entah kenapa air matanya menitis perlahan membasahi pipi. Rasa sedih dan sebu di dadanya memikirkan tentang Amirul. Kenapa dia berperasaan begitu? Mungkinkah dia telah jatuh cinta kepada Amirul? Mungkinkah dia telah melukakan hati Amirul sehingga membuatkan dirinya terasa sedih dan sebak? Apa yang harus dilakukannya untuk memujuk hati Amirul semula? Perlukah dia meminta maaf daripada Amirul? Jika itu jalan penyelesaiannya, dia akan melakukannya walaupun dia terpaksa menebalkan mukanya sendiri di hadapan Amirul.
“Lia… kenapa ni?” tanya Harris risau. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan selepas memberi isyarat berbuat begitu.
Liyana menggeleng. Dia menyapu air matanya yang masih mengalir. Matanya dihalakan ke luar tingkap. Tidak sanggup untuk menoleh ke arah Harris.
“Lia… kenapa ni? Lia gaduh dengan Amirul ke?” duga Harris masih tidak berpuas hati.
“Lia dah lukakan hati Amirul,” ujar Liyana perlahan.
“Apa yang Lia dah buat?”
“Lia tipu Amirul. Lia berlakon depan Amirul. Lia permain-mainkan Amirul,” beritahu Liyana. “Dah dua kali Lia buat macam tu kat Amirul. Lia cuma bergurau tapi tak sangka Amirul marah dan…” tidak sanggup untuk Liyana meluahkannya. Masih terngiang-ngiang kata-kata Amirul di cuping telinganya. Dan ayat itulah yang membuatkan dia berasa sedih teramat sangat.
“Dan apa?” tanya Harris ingin tahu.
“Dah sampai ke?” tanya Liyana sengaja menukar topik perbualan.
Tersentak Harris dengan pertanyaan Liyana. Kenapa Liyana berubah dengan tiba-tiba sekali gus mengubah topik perbualan mereka?
“Lia…”
“Jauh lagi ke nak sampai? Rasa lapar la pulak,” ujar Liyana dan tersenyum.
Dia menyapu air mata yang masih bersisa. Tidak mahu terus-terusan merasa sedih dengan peristiwa itu. Begitulah Liyana setiap kali Liyana mengalami kesedihan. Setelah meluahkannya, dia akan berubah seperti sedia kala. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Namun di sebalik itu, Liyana memendam segala-galanya di dalam hati. Tidak mahu orang disekelilingnya sedih dan risau terutamanya Fazura dan Marina.
Harris menyambung semula pemanduannya. Dia mengerling sekilas ke arah Liyana yang beriak selamba. Pelik dirasakan Harris melihatkan keadaan Liyana. Sebentar tadi Liyana menangis, tetapi sekarang, Liyana berlagak seperti biasa. Adakah Liyana memendam segala masalah di dalam hati? Entahlah, Harris pun tidak tahu bagaimana untuk menafsirkan tentang perangai Liyana yang sentiasa berubah-ubah mengikut musim.


Harris memarkirkan kereta tidak jauh dari halaman rumah. Setelah membukakan pintu buat Liyana, dia membawa Liyana masuk ke dalam rumah. Kelihatan sanak saudara dan sahabat handal sudah berada di ruang halaman rumah dan berhampiran dengan kolam. Suasana agak bingit dengan gelak ketawa dan suara orang berbual. Alunan muzik yang dimainkan begitu menenangkan dan mendamaikan jiwa sesiapa yang berada di situ.
Liyana sekadar mengekori Harris dari belakang. Matanya sempat membelingas ke kiri dan ke kanan, melihat-lihat serta mencari-cari kelibat Amirul, namun tidak ketemuinya. Rasa hampa di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Sungguh dia perlu meminta maaf pada Amirul dengan apa yang berlaku walaupun dia sudah mengucapkan kata maaf pada hari itu. Selagi Amirul tidak memaafkannya, selagi itu hatinya tidak akan tenang. Dia berdoa di dalam hati, semoga Amirul dapat memaafkan kesalahannya itu.
“Lia… kenalkan papa Ris, Dato’ Hilman,” ujar Harris.
Liyana mengangguk dan tersenyum. Salaman dihulurkan dan dibalas oleh Dato’ Hilman.
“Nur Liyana Safiyah Zulkifli,” ujar Liyana pula.
“Pak Long dah sampai ke papa?” tanya Harris sambil melilau mencari kelibat Tan Sri Khalil.
“Dah. Ada kat sana tu,” beritahu Dato’ Hilman sambil mengunjuk ke arah Tan Sri Khalil dan Puan Sri Marissa yang sedang rancak berbual bersama beberapa kenalan.
Harris menghalakan pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Dato’ Hilman. Liyana juga turut mengikuti tingkah Harris. Matanya masih lagi mencari-cari kelibat Amirul, namun dia hampa. Kelibat Amirul tidak juga ditemuinya.
“Amirul mana papa? Ris tak nampak pun kelibat dia?” tanya Harris lagi. Mungkin itu yang Liyana mahu melihatkan dari riak di wajah Liyana.
“Tadi papa nampak dia dengan Syakila. Mungkin ada dekat-dekat sini la kot,” beritahu Dato’ Hilman.
Matanya menjamah wajah Liyana. Terdetik di hati, mungkinkah Liyana yang telah mengubah Harris dengan tiba-tiba? Mungkinkah Liyana orang yang telah menggembirakan anak bujangnya itu. Melihatkan dari gaya pandangan Harris terhadap Liyana, telah membuktikan apa yang difikirkannya itu benar. Dia harus berbuat sesuatu agar anaknya itu bahagia jika benar Liyana kebahagiaan yang dicari-carikan oleh Harris selama ini selepas Harris mengalami kekecewaan di atas percintaannya yang lepas.
Tersentak Liyana mendengarnya. Syakila! Nama itu meniti di benak hati. Terasa ada perasaan lain yang terbit dari dalam hatinya. Mungkinkah itu perasaan cemburu tatkala mendengar Amirul bersama dengan seorang perempuan. Perempuan yang sudah dikenalinya seminggu yang lepas. Perempuan yang berpakaian seksi, menggoda, manja dan gedik. Mana mungkin lelaki tidak akan cair dengan perempuan seperti Syakila itu termasuklah Amirul dan mungkin juga Harris.
“Lia nak jumpa Amirul ke?” tanya Harris seraya menoleh.
“Tak pelah. Mungkin dia sibuk. Lia nak makan dulu. Lapar pulak perut ni,” jawab Liyana. Matanya tertancap ke arah meja makan yang terletak tidak jauh dari mereka berdiri.
“Kalau macam tu, Ris bawa Lia pergi makan dulu, then kita cari Amirul,” cadang Harris.
Liyana sekadar mengangguk. Otaknya seakan lumpuh dan tidak boleh untuk berfungsi. Mungkinkah disebabkan rasa bersalahnya lagi atau perkhabaran yang baru diberitahu oleh Dato’ Hilman sebentar tadi? Entahlah, Liyana sendiri buntu dengan apa yang difikirkannya itu.
“Papa, kami ke sana kejap,” pinta Harris.
Dato’ Hilman sekadar mengangguk. Ekor matanya sahaja mengekori langkah Harris dan Liyana beredar dari situ.


“Kau okey tak kat sana tu Lia?” tanya Fazura di hujung talian.
“Aku okey aje. Kau janganlah risau. Harris layan aku dengan baik dan dia sentiasa di sisi aku,” beritahu Liyana cuba menghalau kerisauan di hati Fazura.
“Kalau kau ada masalah kat sana, jangan lupa bagitau aku cepat,” beritahu Fazura.
“Yalah.. kau ni risau sangat kenapa? Aku tak ada apa-apalah,”
“Mestilah aku risau. Aku yang bersalah dalam hal kau dan Amirul. Aku tak sangka Amirul akan marah kau macam tu sekali. Aku ingat….”
“Benda dah nak jadi Zura. Aku pun salah juga sebab main-mainkan dia,” pintas Liyana. Matanya tiba-tiba tertancap ke arah sesusuk tubuh yang dikenalinya tidak lama dulu.
“Aku….”
“Zura aku call kau nanti,” potong Liyana lagi. Dia mematikan talian dan menanti susuk tersebut menghampirinya.
“Liyana. Nur Liyana Safiyah Zulkifli?” tegur susuk tubuh itu.
Liyana menelan liur. Terasa sejuk badannya ketika itu. Terasa peluh dingin sudah membasahi dahi. Sungguh tidak menyangka dia akan berjumpa dengan lelaki yang sudah lama dipadamkan dari dalam hatinya.
“Apa khabar Liyana? Lama kita tak berjumpa?” sambung Ashraf Daniel lagi.
Liyana sekadar mengangguk. Tidak mampu untuk bersuara. Wajah yang sudah lama hilang dari pandangan mata menjelma semula. Bagaimana untuk menyembunyikan perasaan gugup dan rasa terkejutnya ketika itu? Apa yang pasti, pertemuan ini tidak sepatutnya berlaku.
“Kenapa? Macam terkejut aje tengok saya. Tentu awak tak sangka kita akan berjumpa di sini bukan?” tambah Ashraf pula.
“Err… tak adalah,” balas Liyana pendek.
“Awak nampak dah berubah Liyana. Makin cantik saya tengoknya. Tentu pengalaman lepas benar-benar mengajar awak, betul tak?” kata Ashraf seakan menyindir. Senyuman sinis terukir di bibirnya.
“Ha Ashraf… dah kenal dengan Lia ke?” tegur Harris tiba-tiba. Serentak itu mereka berdua menoleh ke arah Harris.
“Terlebih dari kenal,” balas Ashraf. Senyuman sinis masih lagi terukir di bibirnya.
“Terlebih kenal?” ulang Harris pelik. Liyana dan Ashraf dipandang silih berganti.
“Satu universiti dulu sebelum aku ke overseas,” ujar Ashraf.
“Oh.. Lia, Ashraf ni kawan baik Ris dan Amirul sejak dari kecil lagi,” beritahu Harris berserta senyuman di bibir.
Gulpp!!!
Liyana menelan liur berkali-kali. Terkejut mendengar pengakuan Harris itu. ‘Ashraf kawan baik Ris dan Amirul sejak dari kecil lagi’ ulang Liyana di dalam hati. Mukanya berubah pucat dengan tiba-tiba. Bagaimana untuk menyembunyikan riak pucat itu, dia sendiri tidak tahu. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia beredar dari situ. Jika berlama lagi, entah apa yang bakal Ashraf katakan. Mungkin akan memecahkan rahsianya barangkali.
Ashraf tersenyum melihat riak di wajah Liyana. Seronok melihat wajah Liyana yang merah padam tatkala marah ataupun tegang. Jika dulu dia memandang Liyana sebelah mata, tetapi pada malam ini, dia memandang Liyana dengan pandangan seorang lelaki kepada perempuan. Sungguh dia terkejut dengan penampilan Liyana. Berbeza dari dulu dan sekarang. Mungkin pengalaman lepas membuatkan Liyana berubah sebegitu rupa. Walaupun penampilan Liyana agak berlainan, namun keayuan Liyana masih lagi terserlah.
“Err.. Lia ke sana dululah. Nak jumpa kawan kejap,” pinta Liyana sebaik sahaja terlihat kelibat Amirul berseorangan. Dia perlu berjumpa dengan Amirul dan meminta maaf pada Amirul. Dia tidak mahu melepaskan peluang yang sudah terbentang luas di hadapan matanya.
Harris sekadar mengangguk. Dia memandang Liyana dengan ekor matanya sahaja. Kemudian, dia beralih memandang Ashraf yang sedang ralit memerhatikan langkah Liyana. Sepertinya Ashraf berminat terhadap Liyana.


“Encik Amirul!” panggil Liyana lembut.
Amirul yang sedang menjamu selera, terkejut dengan panggilan itu. Lantas dia menoleh ke belakang dan terlihat Liyana sedang terpacak berdiri di belakangnya. Sebuah senyuman terukir di wajah Liyana ketika itu.
“Maaflah ganggu. Saya nak cakap sikit dengan Encik Amirul boleh?” pinta Liyana berharap. Matanya menjamah wajah Amirul. Jelas riak kurang senang di wajah Amirul.
“Ada apa?” tanya Amirul sedikit kasar.
Tersentak Liyana mendengarnya. Dia cuba mengawal riak di wajah yang terasa dengan suara kasar Amirul itu.
“Saya nak minta maaf atas apa yang berlaku kelmarin. Niat saya sekadar bergurau dan tidak lebih dari itu. Kalau gurauan saya itu terlebih dan melebihi batas, saya minta maaf. Saya harap Encik Amirul dapat maafkan saya,” jelas Liyana jujur dan ikhlas. Berharap Amirul menerima penjelasan dan kata-kata maafnya itu.
Amirul mendengus keras. Ucapan maaf dari Liyana tidak memberi apa-apa makna padanya. Hatinya masih lagi terasa sakit dengan apa yang dilakukan oleh Liyana.
“Jangan ingat saya boleh lupakan semudah itu Liyana. Hati saya masih lagi sakit dengan apa yang awak lakukan pada saya,” kata Amirul tegas. “Saya tak nak awak kacau saya dan saya takkan kacau awak lagi. Itu yang awak nakkan selama ini. Jadi saya dah ikut cakap awak dan saya minta awak ikut cakap saya pulak,” sambung Amirul dan mengatur langkah untuk beredar dari situ. Namun langkahnya mati tatkala Liyana bersuara.
“Saya tahu bukan mudah untuk Encik Amirul maafkan saya. Jika saya di tempat Encik Amirul pun, saya akan berpendirian sama seperti Encik Amirul. Jika Encik Amirul tak sudi nak maafkan saya, tak mengapalah, saya terima dengan hati yang ikhlas sebab semua itu datangnya dari kesilapan saya. Saya memang takkan berubah kerana inilah Liyana yang sebenarnya. Jika saya berubah, ianya akan melukakan hati saya sendiri. Malah orang-orang yang saya sayang juga turut sama terluka,” luah Liyana dan beredar dari situ.
Liyana cuba menyeka air matanya yang hampir gugur membasahi pipi. Namun dia tidak berdaya. Sekeras-keras hatinya, apabila berhadapan dengan Amirul, dia akan menjadi lemah. Sebab apa? Dia sendiri tidak tahu. Mungkin perasaannya terhadap Amirul semakin menjalar dalam hatinya. Mungkin rasa cinta itu sudah menapak lama di dalam hati tanpa disedari olehnya. Tapi, apalah gunanya untuk dia mengulam rasa cinta terhadap Amirul jika ianya akan membuatkan dia menderita sekali lagi. Cukuplah dengan kelukaan yang ada dan dia tidak mahu menambah kelukaan lagi jika dia bercinta.

Siapa Ashraf Daniel??


6 ulasan:

  1. Awal n3 hr nii kak? Xdan nak wt request lg..ngee~ ni sapa lak ashraf ni? Mst ada sjrh buruk ngan lia nih.. Kang dia lak p bocor rahsia yg lia tu anak dato'.. Dulu depa penah kapel ka kak?
    ~mizz acu~

    BalasPadam
    Balasan
    1. hihi.. x sibuk, 2 y post awal. jwpnnya ada, tp dlm bab 30 ke atas.. huhu.. :D

      Padam
  2. Ashraf Daniel tu mungkin ex-bf Liyana yg Liyana admire dulu kot.. cinta bertepuk sebelah tangan mungkin.. dan Ashraf Daniel penah mnghina Liyana dulu... x pn mmpergunakan kebaikan Liyana... lelaki mcm ni baik Liyana jauhkan diri...

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu Kak Hanim.. mybe btl n mybe x btl.. apa2 pn jwpnnya ada dlm bab seterusnya.. nantikannya ya.. :)

      Padam
  3. Hah..... Nie ada permintaan nie... Cpt2lah ltk n3 baru... Heheheheheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. Insya-ALLAH, mybe hari ni ada n3 bab 21.. nantikan ya.. :D
      btw.. cik mi dh x menulis ke?? jenguk jg blog cik mi.. xde smbg ke SSTS tu ke?.. huhu.. :D

      Padam