Isnin, 19 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 11


BAB 11

Nur Ain memeluk kedua-dua belah lutut. Mukanya disembamkan ke dalam lutut dan menangis teresak-esak. Sedari tadi hanya air mata sahaja yang menemaninya ketika itu. Kenapa begini kisah hidupnya? Kenapa dia di uji dengan dugaan seberat ini? Kenapa dia harus menghadapi keadaan sebegini? Kalau diikutkan hatinya yang kurang waras, mahu sahaja dia membunuh diri ketika ini. Sungguh dirinya terasa hina. Mungkinkah ALLAH akan memaafkan segala kesalahannya nanti. Mungkinkah masih ada ruang untuk dirinya mendapat keampunan dari ALLAH.
“Kau jahat! Aku benci kau!” marah Nur Ain sambil memukul tubuh Hazrel. “Aku takkan maafkan kau!” sambung Nur Ain lagi.
Tersentak tubuh Hazrel dek kerana pukulan itu. Dengan perlahan-lahan dia membuka matanya. Terasa sakit belakangnya seperti batu konkrit sedang menghempap belakangnya itu. Diusap lembut belakangnya yang terasa sakit.
“Aku benci kau!” marah Nur Ain lagi. Laju air matanya mengalir membasahi pipi. Tajam matanya ke muka Hazrel.
“Ain!” seru Hazrel perlahan sambil cuba membangunkan badannya.
“Pergi kau! Aku benci dengan kau!” tengking Nur Ain pula.
Berkerut dahi Hazrel mendengar tengkingan Nur Ain itu. Matanya menjamah wajah basah Nur Ain. Kenapa begitu sekali Nur Ain menangis? Apa yang sedang berlaku?
“Ain, kenapa ni?” tanya Hazrel kehairanan.
“Pergi kau! Aku benci dengan kau!” jerit Nur Ain bergetar.
Bertambah pelik Hazrel melihat tingkah Nur Ain. Otaknya cuba menafsir dengan apa yang berlaku. Membuntang matanya melihat keadaan fizikal Nur Ain. Baju kurung yang dipakai Nur Ain koyak sehingga menampakkan tubuhnya sedikit. Manakala tudung yang dipakai Nur Ain, terhampar berjauhan dari mereka berdua berada.
Hazrel memerhatikan fizikalnya pula. Terkejut dia melihat dirinya yang sudah tidak berbaju. Apa semua ni? Apa yang berlaku? Tanya hatinya sendiri. Serta merta otaknya cuba memutarkan semula dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Sungguh otaknya tidak dapat menafsir kesemua yang berlaku. Apa yang pasti, seseorang telah memukulnya dari belakang.
“Assalamualaikum,” tegur seseorang dari arah pintu bilik pejabat.
Serentak itu Hazrel dan Nur Ain menoleh ke arah suara tersebut. Terkejut Hazrel dan Nur Ain melihat beberapa orang berpakaian kemas lagak seperti ustaz sedang berdiri di muka pintu. Segera Hazrel mencapai baju kemejanya yang terhampar di atas meja dan dipakaikannya ke tubuh sendiri.
“Waalaikumussalam. Encik semua ni siapa?” tanya Hazrel bergetar.
 “Kami dari Jabatan Agama Islam Selangor. Ini kad saya,” jawab lelaki itu sambil menghulurkan kad pengenalan kepada Hazrel.
“Jabatan Agama Islam Selangor?” ulang Hazrel berkerut sambil mencapai kad yang diunjukkan kepadanya tadi. Dibaca askara yang tertera di atas kad tersebut.
So, apa tujuan encik ni semua datang ke sini? Ada ceramah agama ke?” tanya Hazrel seakan orang bodoh. Dikembalikan semula kad pengenalan kepada lelaki tersebut.
Berkerut dahi mereka yang berada di situ mendengarnya. Mereka tergeleng kecil dengan pertanyaan bodoh Hazrel itu.
“Kami bukannya datang nak bagi ceramah, tapi kami nak tangkap encik kerana melakukan kesalahan,” jelas lelaki yang bernama Kassim itu.
“Tangkap saya untuk apa? Apa yang saya dah buat? Saya tak buat apa-apa kesalahan pun,” tanya Hazrel bertubi-tubi.
“Tak buat apa-apa kesalahan encik kata? Berdua-duaan di dalam bilik dalam keadaan begini, encik kata tak buat apa-apa kesalahan,” sindir Encik Kassim sinis.
“Bila masa pulak saya berdua-duaan dalam bilik ni? Encik tak nampak ke pengawal saya ada kat luar tu,” bidas Hazrel keras.
Nur Ain hanya membisu. Dia membiarkan air matanya mengalir laju di pipi. Telinganya mendengar setiap butir perbualan di antara Hazrel dengan pegawai-pegawai tersebut. Sudah pastilah dia ditangkap kerana bersama dengan Hazrel dalam keadaan yang mencurigakan. Sungguh bukan ini yang diminta oleh Nur Ain. Bagaimana untuk menghadapinya kelak?
“Encik, pengawal encik mana ada kat luar sana tu. Sekarang ni encik sudah melakukan kesalahan kerana berdua-duaan di dalam bilik. Ditambah dengan keadaan encik dan pasangan encik menambahkan lagi bukti yang encik dan pasangan melakukan perkara yang dikutuk oleh ALLAH. Encik dan pasangan encik boleh dituduh atas kesalahan berkhalwat,” jelas Encik Kassim lagi.
Tersentap darah Hazrel mendengarnya. Berkhalwat! Ulangnya di dalam hati. Dia juga hampir terlupa mengenai pengawalnya. Serentak itu dia menghalakan pandangan ke arah Nur Ain. Berbulu matanya melihat Nur Ain yang hanya menangis dan membisu sedari tadi. Ingin sahaja dia menyepak Nur Ain ketika itu.
“Encik, saya berani bersumpah yang saya tak bersalah. Mana mungkin saya melakukan perkara itu encik. Saya diperangkap,” jelas Hazrel sedikit merayu.
“Maafkan kami encik. Kami hanya menjalankan tugas. Kalau encik tak keberatan, sila ikut kami untuk urusan seterusnya,” balas Encik Kassim tegas.
Hazrel menggaru kepalanya yang tidak gatal. Bertambah benci dia melihat Nur Ain yang sedang menangis tanpa berniat untuk membela diri. Sungguh Hazrel merasa malu ketika ini. Di mana hendak disorokkan muka jika pekerja-pekerja Cahaya Sdn Bhd mendapat tahu tentang ini? Malah sudah pastilah mamanya Datin Salina akan mengamuk dan memarahinya.
Hazrel mendengus kasar. Lantas dihampirinya Nur Ain yang sedang menyembamkan mukanya ke dalam lutut sendiri.
“Kau memang berniat nak perangkap akukan?” tuduh Hazrel meninggi. “Jangan-jangan kau yang upah Faizal dengan kawannya untuk kenakan aku, betulkan?” sambung Hazrel pula sambil mencengkam lengan Nur Ain.
Matanya tajam ke muka Nur Ain. Dia yakin Nur Ain berniat untuk mengenakannya selepas apa yang berlaku dua minggu yang lepas. Dia juga yakin Nur Ain ingin membalas dendam padanya atas apa yang telah dilakukannya terhadap gadis itu selama ini. Maka disebabkan itu Nur Ain cuba untuk memerangkapnya.
“Kau memang nak balas dendam pada aku kan?” tambah Hazrel lagi.
Nur Ain mengangkat muka. Tajam matanya ke muka Hazrel. Sakit hatinya tatkala dia dituduh sebegitu.
“Kau yang perangkap aku!” marah Nur Ain pantas berdiri. Tidak menghiraukan keadaannya yang separuh terdedah.
“Kau yang perangkap aku! Kau memang nak kenakan aku! Dengan cara ini bolehlah kau tumpang senang kekayaan aku, betulkan?” tengking Hazrel. Matanya menentang mata Nur Ain. “Perempuan kampung tak sedar diri!” kutuk Hazrel pula.
Nur Ain mengetap bibir. Menahan kemarahan di dalam hati. Kenapa dia dituduh sebegitu sedangkan kesalahan itu bukan terletak pada dirinya seratus peratus. Kenapa dia dituduh sedangkan tiada sekelumit di hati untuk menganyam impian berkahwin dengan orang kaya. Nur Ain melurutkan tubuhnya ke dinding. Dia memeluk lututnya semula. Sungguh bukan ini yang dipinta berlaku ke atas dirinya. Kenapa ALLAH mengujinya sebegini sekali?
“Sabar encik, bawa mengucap. Kalau encik salahkan pasangan encik, tak ada gunanya juga sebab kalau tiada persetujuan dari pihak lagi satu, tak mungkin semua itu akan berlaku,” nasihat Encik Ahmad pula selaku pembantu Encik Kassim.
Hazrel melepaskan dengusan kasar. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Kesakitan yang di alami tidak dihiraukannya. Apa yang harus dibuat ketika ini? Perlukah dia memberitahu Datin Salina dan Dato’ Ridzuan akan perkara ini? Tidak! Tidak mungkin aku akan memberitahu mama dan papa, bidas hati Hazrel sendirian.


“Die masih stuck dalam jammed ni, ada accident. Mai dah sampai ke belum?” tanya Eddie dari hujung talian. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
“Mai baru aje nak masuk kawasan Cahaya,” jawab Humaira.
“Mai minta tolong siapa?”
“Asmah. Kebetulan Asmah tak kerja hari ni, Mai minta tolong Asmah hantarkan Mai ke Cahaya.”
“Okeylah. Apa-apa nanti, Mai bagitau Die. Entah bilalah Die boleh lepas dari jammed ni,” keluh Eddie.
“Tak apalah Die. Biar lambat asalkan selamat. Apa-apa nanti, Mai call Die,” pujuk Humaira lembut. Tidak mahu merisaukan hati Eddie.
“Baiklah. Apa-apa yang berlaku, bagitau Die cepat,” pesan Eddie semula.
Humaira tertawa kecil. Kerisauan Eddie melebihi kerisauannya.
“Insya-ALLAH Die, assalamualaikum,” balas Humaira dan mematikan talian. Dia tersenyum dan tergeleng dengan perangai kalut Eddie.
“Yang akak senyum sorang-sorang ni kenapa? Boleh As tumpang sekaki?” tegur Asmah tatkala menyedari senyuman di bibir Humaira.
“Tak adalah As. Abang Eddie As tu, risau dia pada Ain mengalahkan risau akak selaku mak saudara Ain. Pelik akak tengok perangai dia As,” jelas Humaira.
“Oh! Eloklah tu. Sekurang-kurangnya ada insan yang boleh lindungi akak dan Ain. As tengok Abang Eddie tu baik sangat-sangat. As pun nak ada boyfriend macam Abang Eddie jugalah,” kata Asmah berserta kata-kata pujian buat Eddie.
“Boleh. Insya-ALLAH, akak doakan As dapat lelaki sebaik Eddie. Akak bersyukur kerana ALLAH pertemukan akak dengan Eddie,” ucap Humaira ikhlas.
Asmah sekadar mengangguk dan tersenyum. Dia memutarkan stereng masuk ke kawasan parkir. Setelah mematikan enjin kereta, segera dia memboloskan diri keluar dari perut kereta di ikuti dengan Humaira. Mereka berdua melangkah masuk ke dalam pejabat. Cuba mencari kelibat Nur Ain.
“Kak, kenapa ramai sangat orang kat bilik tu? Ada jamuan makan ke kat office Ain ni kak?” tanya Asmah ingin tahu.
“Entahlah As. Ain tak bagitau akak apa-apa pun,” jawab Humaira.
Matanya tepat ke arah lelaki-lelaki yang berpakaian kemas yang sedang tercegat di luar bilik pejabat. Hatinya menjadi resah dan gelisah tiba-tiba. Mungkinkah sesuatu telah berlaku pada Nur Ain? Tak, tak mungkin, hatinya membidas laju.
“Encik kenapa ni?” tanya Humaira ingin tahu.
“Cik ni siapa?” tanya Encik Kassim.
“Saya Humaira. Kenapa encik? Apa yang berlaku?”
“Kami…”
Belum sempat Encik Kassim menyudahkan ayat, kedengaran Nur Ain menyeru nama panggilan Humaira. Serentak itu Humaira dan Asmah menoleh.
“Maksu!” seru Nur Ain perlahan.
“Ya ALLAH! Apa yang dah berlaku ni Ain?” soal Humaira terkejut.
“Ain, kenapa ni?” tanya Asmah pula seraya menerpa ke arah Nur Ain.
“Kau buat apa dengan Ain? Kau rogol dia ke?” tanya Humaira meninggi.
“Kau jangan nak tuduh aku yang bukan-bukan. Tak hingin aku nak rogol dia. Nak sentuh dia pun aku jijik!” balas Hazrel pantas berdiri. Tajam matanya ke muka Humaira.
“Habis tu, kalau kau tak rogol dia, kau buat apa dengan dia sampai keadaannya jadi macam ni?” bidas Humaira masih meninggi.
“Kau tanyalah anak  saudara kesayangan kau tu. Apa yang dia dah buat pada aku. Kalau ya pun dah gatal nak kahwin dengan anak orang kaya, janganlah sampai guna taktik kotor,” sindir Hazrel meluat sambil melepaskan dengusan kasar.
Humaira mengepal penumbuk. Sakit telinganya mendengar kata-kata sindiran dari Hazrel itu. Deruan nafasnya berombak kencang. Menahan kemarahan di hati.
“Kau tak guna Hazrel. Aku takkan maafkan kau kalau terjadi apa-apa pada Ain. Aku nak kau bertanggungjawab pada Ain.”
Hazrel meledakkan ketawanya. Kata-kata Humaira menggelikan hati.
“Kau nak aku bertanggungjawab. Jangan nak bermimpilah. Banyak-banyak perempuan dalam dunia ni, anak saudara kau tu jadi pilihan terakhir aku. Perempuan tak sedar diri!” kutuk Hazrel pedas.
Panggg!!!
“Kau jangan nak kutuk Ain. Aku doakan kau tersungkur depan Ain suatu hari nanti!” marah Humaira sebaik sahaja melepaskan penampar.
Hazrel meraba pipinya yang kebas. Semakin tajam matanya ke muka Humaira.
“Aku sanggup bunuh diri andai kata aku tersungkur depan dia nanti,” bidas Hazrel tidak mahu mengalah.
Humaira menahan geram. Segera dia menerpa ke arah Nur Ain yang sedang memeluk erat lututnya sendiri. Pilu di hati melihat keadaan Nur Ain itu. Kenapa Nur Ain di uji dengan dugaan sehebat ini. Tidak semena-mena air mata Humaira mengalir perlahan membasahi pipi.
“Encik, apa yang berlaku ni?” tanya Asmah ingin tahu.
“Encik jangan kata yang anak saudara saya ditangkap kerana berkhalwat,” duga Humaira.
“Ya Cik Humaira. Kami minta kedua-duanya ikut kami untuk tindakan selanjutnya,” arah Encik Ahmad keras.
Berderau darah Humaira mendengarnya. Mana mungkin Nur Ain akan berbuat begitu jika bukan Hazrel yang melakukannya dahulu.
“Kau tak guna Hazrel. Aku nak kau bertanggungjawab!” marah Humaira meninggi.
“Jangan nak bermimpi aku akan bertanggungjawab walaupun aku disabitkan bersalah. Sampai ke mati pun aku tak hingin nak berkahwin dengan anak saudara kau tu,” bidas Hazrel turut sama meninggi.
“Sudahlah, apa kata anda berdua ikut kami ke balai. Di sana anda semua boleh selesaikannya. Mari!” sampuk Encik Kassim bernada arahan.
“Mari Ain,” arah Humaira keras. “As, tolong akak bangunkan Ain,” pinta Humaira pula.
Asmah mengangguk faham. Segera dia membantu Humaira membangunkan Nur Ain. Sebak rasa di hati melihat keadaan Nur Ain.


“Mai, apa yang berlaku ni?” tanya Eddie tatkala melihat beberapa orang lelaki melalui hadapannya.
“Tanyalah lelaki tak guna tu. Mai nak dia bertanggungjawab pada Ain.”
Eddie mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan apa yang dimaksudkan oleh Humaira. Lantas dihalakan matanya ke arah Nur Ain. Membuntang matanya melihat keadaan Nur Ain itu. Kemudian dijatuhkan matanya ke wajah selamba Hazrel. Apa yang Hazrel telah lakukan pada Nur Ain?
“Kau buat apa dengan Ain, Hazrel?” terluah juga persoalan itu dari bibir Eddie.
Lantas dihampirinya Hazrel yang sedang bersandar di meja sambil berpeluk tubuh. Kolar baju kemeja Hazrel ditarik kasar. Matanya menentang mata Hazrel. Menahan kemarahan di dalam hati.
“Dia dah gatal sangat nak kahwin, tu yang dia perangkap aku,” ujar Hazrel selamba.
“Apa kau cakap Hazrel?” tengking Eddie pula.
Hazrel menolak keras tangan Eddie yang memegang kolar baju kemejanya. Senyuman sinis terbias di wajahnya ketika itu.
“Betul tak apa yang aku cakapkan pada kau dulu. Cara orang susah nak hidup senang lenang, macam nilah caranya. Perangkap lelaki-lelaki kaya. Sampai sanggup menggadai maruah sendiri,” balas Hazrel tenang.
“Kurang ajar kau Hazrel! Kau jangan nak tuduh Ain macam tu,” marah Eddie seraya menumbuk muka Hazrel. Selepas itu ditumbuk perut Hazrel, melepaskan kemarahan yang sekian lama terpendam terhadap Hazrel Hardy.
“Kurang ajar kau Die!” tengking Hazrel seraya membalas tumbukan Eddie.
Mereka berdua berbalas tumbukan. Hazrel menahan perit di perut dan di muka. Sudahlah tadi dia bertumbuk dengan Faizal, kini dengan Eddie pula. Rasa nak tercabut rahang pipinya akibat tumbukan dari Eddie dan Faizal.
“Sudah!” tegah Humaira keras.
Sakit matanya melihat adegan pergaduhan di antara Eddie dan Hazrel itu. Jika tidak ditegah, sampai bila pun babak itu tak akan berakhir. Masalah tidak akan selesai hanya dengan pergaduhan.
Eddie menolak kasar Hazrel sehingga membuatkan Hazrel terdorong ke belakang. Nafasnya cuba distabilkan. Terasa senak di perut akibat tumbukan Hazrel sebentar tadi. Apa yang bersarang di kepalanya tentang Nur Ain. Apa yang telah dilakukan Hazrel pada Nur Ain?
“Aku tak tahu apa yang kau dah buat pada Ain. Tapi, aku nak kau bertanggungjawab pada Nur Ain. Kau jangan ingat akan terlepas Haz dan aku takkan lepaskan kau,” ugut Eddie dan mendengus kasar.
Selepas menuturkan kata-kata itu, segera dia menarik Nur Ain agar beredar dari situ. Dia menanggalkan sweaternya dan dipakaikan ke tubuh Nur Ain. Manakala tudung yang terhampar di atas lantai, dikutip dan diletakkan di atas kepala Nur Ain bagi menutupi rambut Nur Ain dari dilihat orang yang bukan muhrim. Matanya menoleh sekilas ke arah Nur Ain yang masih teresak menangis. Kenapa berat dugaan yang Nur Ain hadapi kali ini? Ya ALLAH, tabahkan hatinya dalam menghadapi dugaan ini.


“Apa kita nak buat Die? Mai dah buntu fikirkan masalah Ain,” tanya Humaira sambil menghulurkan segelas air kepada Eddie.
“Entahlah Mai. Die pun buntu fikirkan masalah Ain ni,” jawab Eddie seraya menyambut huluran Humaira. Diteguk perlahan air di dalam gelas tersebut.
“Kalau kes tu dibawa mahkamah, macam mana Die? Ain akan dipenjarakan ke Die? Mai tak nak apa-apa terjadi pada Ain? Die tolonglah buat apa yang patut asalkan Ain tak kena tindakan mahkamah,” pinta Humaira merayu.
Eddie melepaskan keluhan berat. Dihulurkan semula gelas kepada Humaira. Dia meraup mukanya beberapa kali. Sungguh dia buntu di waktu itu.
“Kata pegawai tu tadi, pihak JAIS akan keluarkan surat bertarikh untuk sebutan kes di mahkamah dalam tempoh empat puluh hari dari tarikh ditangkap. Sebelum kes disebut, Ain dan Hazrel perlu berkahwin dan masa sebutan kes nanti, mereka berdua just mengaku bersalah dan hanya perlu membayar denda sahaja,” jelas Eddie mengeluh untuk kesekian kalinya.
“Kahwin? Maksud Die, Ain dengan Hazrel?” ulang Humaira terkejut.
Eddie mengangguk lemah.
“Tak boleh ke kalau mereka berdua tak berkahwin? Mai takkan serahkan hidup Ain pada Hazrel. Pasti Hazrel akan seksa Ain. Sebelum perkara itu berlaku, lebih baik kita elakkan,” bentak Humaira tidak setuju.
“Tak boleh Mai. Ain dan Hazrel, tetap perlu berkahwin.”
“Die… tolonglah. Mai tak nak mereka berdua berkahwin.”
“Mai, kalau mereka berdua tak mengaku bersalah, kes ni terpaksa diselesaikan di mahkamah. Kita terpaksa lantik peguam. Kalau kes menang, tak mengapalah. Tapi kalau kes kalah, tak ke sia-sia kita menghabiskan duit pada peguam tu. Lagipun Mai, Die yakin Haz takkan mengaku tak bersalah, sebab Hazrel terlalu menjaga reputasinya sebagai seorang anak Dato’,” jelas Eddie panjang lebar.
Humaira terkedu. Ada benarnya juga dengan penjelasan Eddie. Perlu gunakan duit untuk mengupah peguam. Jika memang, baguslah tapi jika kalah, tak ke sia-sia duit yang dilaburkan pada peguam tersebut. Sungguh Humaira tidak mampu untuk membayar upah seorang peguam. Kalau beratus, bolehlah lagi. Tapi, kalau beribu, mana hendak di cari duit untuk membayarnya.
“Habis tu Die, kita nak buat apa? Mai pernah ceritakan kes Ain dengan abang Mai tiga tahun lepas. Mustahil abang Mai akan benarkan Ain jejakkan kaki ke rumahnya,” keluh Humaira sambil cuba menyeka air matanya.
“Die tahu Mai. Macam nilah, apa kata Mai jumpa dengan abang Mai dan ceritakan semuanya pada dia. Tengok apa kata abang Mai tu.”
“Tapi Die, Mai kenal dengan abang Mai. Kalau dia dah buat keputusan, dia takkan tarik balik keputusan itu.”
“Tak apa Mai. Kita cuba dulu. Kalau Mai tak berani nak ceritakan pada abang Mai, kita bawa aje abang Mai ke majlis akad nikah tu nanti,” cadang Eddie bersungguh.
Humaira berfikir sejenak. Ada bagusnya juga dengan cadangan Eddie itu. Mungkin dengan cara itu, abangnya dapat menjadi wali untuk Nur Ain tanpa disedarinya sendiri.
“Baiklah Die. Mai akan cuba pujuk abang Mai datang ke majlis tu nanti,” putus Humaira berserta senyuman di bibir.
“Die balik dululah Mai. Apa-apa nanti Mai bagitau Die,” ujar Eddie seraya bangun dari duduknya.
“Baiklah Die. Nanti Mai cuba terangkan semuanya pada Ain,” sahut Humaira.
Eddie mengangguk. Segera dia menapak jalan menuju ke keretanya. Dia perlu segera pulang ke rumah untuk merehatkan badannya yang terasa letih dari siang tadi. Mungkin dia sendiri yang akan berhadapan dengan Hazrel selepas ini.


“Apa yang dah jadi ni Haz? Macam mana pulak boleh kau dengan Ain tertangkap?” tanya Izzuddin tidak mengerti.
“Perempuan tu memang sengaja nak perangkap aku. Sebab itulah dia upah Faizal dengan kawannya pukul aku,” dengus Hazrel keras.
Izzuddin menggelengkan kepala. Tidak tahu apa yang bersarang di kepala otak Hazrel ketika ini. Kenapa Hazrel menuduh Ain sebegitu sekali? Setahu Izzuddin, Ain bukanlah jenis perempuan yang suka mengambil kesempatan terhadap orang lain.
“Aku tak percaya Haz. Mustahil Ain perangkap kau. Dan mustahil Ain kenal dengan Faizal,” bidas Izzuddin serius.
“Ah, aku peduli apa. Perempuan tu dah musnahkan hidup aku, masa depan aku dan reputasi aku. Aku perlu ajar perempuan tu cukup-cukup. Lepas tu aku nak cari Faizal sampai dapat. Tak kiralah ke mana dia pergi, sampai ke lubang cacing aku akan carinya,” azam Hazrel sambil mengepal penumbuk.
“Kau jangan main tuduh aje Haz. Kau kena siasat dulu siapa dalang sebenarnya sebelum kau jatuhkan hukuman pada Nur Ain,” nasihat Izzuddin ikhlas.
“Aku tak tuduh Izz. Aku yakin memang perempuan tu perangkap aku.”
Izzuddin menghela nafas pendek. Wajah tegang Hazrel ditatap berserta kerutan di dahi.
“Habis tu, kau nak buat apa sekarang ni Haz? Kau dah pun mengaku bersalah dan kau kena juga berkahwin dengan Nur Ain.”
“Huh! Kahwin. Kau ingat aku kebulur sangat ke nak kahwin dengan dia,” balas Hazrel seakan menyindir.
“Kalau kau tak kebulur nak berkahwin dengan dia, kenapa kau mengaku salah depan pegawai tu tadi?”
“Aku mengaku sebab aku tak nak kes ni diperbesar-besarkan. Aku tak nak mama dengan papa aku tahu tentang ni,” bentak Hazrel. “Kalau kes ni dibawa ke mahkamah, pasti akan dijatuhkan bersalah juga. Sebabnya mana aku nak cari bukti untuk sabitkan aku tak bersalah. Pejabat tu mana ada CCTV. Pengawal aku pun cuti. Kalau setakat bekas penumbuk yang Faizal tinggalkan ni, mana diorang tu nak percaya. Cuba kau fikir guna otak sikit Izz,” sambung Hazrel sedikit menekan.
“Kesimpulannya, kau tetap kena kahwin dengan Nur Ain,” putus Izzuddin.
“Aku yakin semua ni rancangan perempuan kampung tak sedar diri tu. Dia ingat dengan cara ni, dia boleh kaut semua harta aku, duit aku. Jangan nak bermimpilah. Perempuan tak ada harga diri. Gadaikan maruah sendiri sebab nak pikat orang kaya, anak orang kaya,” kutuk Hazrel pedas berserta dengusan kasar.
“Hazrel! Apa yang kau cakapkan ni? Kau jangan nak kutuk Ain sesuka hati kau aje. Aku yakin Ain tak bersalah dalam hal ni,” jerkah Izzuddin meninggi sambil merenung tajam ke muka Hazrel. Sakit hatinya mendengar kata-kata kutukan daripada Hazrel itu.
“Huh! Kau pun sama dengan Eddie. Tak boleh dibuat kawan langsung. Yang kau bela sangat dia tu kenapa? Kalau kau nak sangat dengan perempuan kampung tu, kau ambillah dia. Aku bagi free aje,” balas Hazrel dan bersandar di badan kereta.
“Kau dah lebih Hazrel. Kalau orang lain kutuk mama kau, apa kau rasa. Pasti kau akan rasa apa yang Ain rasakan. Aku akui yang aku cintakan Nur Ain dan pernah berniat untuk memperisterikan dia. Aku juga dah usulkan niat aku pada Eddie. Tapi bila dah jadi macam ni, aku terpaksa mengalah walaupun hati aku menolak kejadian yang berlaku antara kau dengan Ain,” jelas Izzuddin perlahan dan mengeluh.
Tersentak Hazrel mendengar penjelasan Izzuddin itu. Orang macam tu pun kau boleh jatuh cinta Izz. Buta betul mata kau ni, kutuk Hazrel di dalam hati.
“Sah! Mata kau memang buta. Perempuan macam tu pun kau boleh jatuh cinta.” Terluah juga kata-kata itu dari mulut Hazrel.
Izzuddin menggeleng lemah. Segera dia mengorak langkah menuju ke keretanya. Hazrel yang melihat mengerutkan dahinya sendiri.
“Makin lama aku tak faham dengan perangai kau Haz? Kenapa kau berubah sehingga macam ni sekali? Hazrel Hardy yang aku kenal lima tahun yang lepas bukanlah Hazrel Hardy yang sedang berdiri di hadapan aku sekarang ni,” ujar Izzuddin perlahan.
“Aku masih yang sama dan tak pernah berubah,” bidas Hazrel.
“Kau dah berubah Hazrel. Kau berubah selepas kematian Hazrul. Mungkin juga disebabkan ketiadaan Hazrul membuatkan kau jadi seorang yang pendendam, pemarah, perengus, ego, bongkak dan sombong. Buanglah sifat buruk semua tu dari dalam diri kau tu Haz. Jika tidak, sampai bila-bila pun kau akan begini, hidup berseorangan,” nasihat Izzuddin panjang lebar.
Hazrel terkedu mendengarnya. Mungkin ada benarnya kata-kata Izzuddin itu. Kematian Hazrul amat dirasainya. Jika dulu segala masalah diceritakan pada Hazrul, tetapi kini tidak lagi. Segala masalah yang dihadapi diluahkan dengan bersikap sebegitu. Dengan cara itu, dia dapat melegakan hatinya sendiri.
“Aku tak pernah berubah Izz,” ujar Hazrel pada ayatnya yang tadi.
“Suka hati kaulah Haz. Aku cuma nasihatkan kau aje. Tapi, aku nak pesan pada kau, kalau kau tak suka Nur Ain, kau jangan seksa hidup kau dengan mengahwininya, kau lantik peguam, mengaku tak bersalah, lawan habis-habisan sampai kau menang dan habis cerita. Aku juga tak nak Nur Ain terseksa hidup dengan kau,” luah Izzuddin tegas.
Kemudian dia memboloskan dirinya ke dalam kereta. Letih melayan sikap Hazrel yang tidak pernah nak berubah dari dulu sehinggalah sekarang. Ya ALLAH, semoga sikap Hazrel akan berubah selepas berkahwin dengan Nur Ain nanti, doa Izzuddin di dalam hati.

Pasti ramai yg dh agak apa yg terjadi pada HH & NAZ kan?? 
Congrats pd sesiapa yg tekanya dgn betul... hehehe...
Kita tgk mcm mana HH tackle NAZ pula... err, yeke tackle??
(^_^)


p/s : kalau ada tersalah fakta, tersama ke, tegur2lah ya... 
Insya-ALLAH sy akn ambil berat akn teguran itu...
terima kasih kerana membaca...

23 ulasan:

  1. My dugaan memang tepatdah yng mereka akan ditangkap basah ... my queries are kalau Hazrel mengaku tak bersalah kan bagus cos di office takkan tak ada cctv n he can tell the guys that they were attacked by Faizal n his friend .. n the guard need to be questioned for accepting money cos cctv kan ada unless the building is old without cctvlah ... n hazrel mesti ada berkas luka yng dia di belasah oleh faizal ... well itu i punya kemusykilanlah anyway waiting for nxt entry Fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Aida.. sy akn ambil kira kemusykilan awak tu.. maybe sy akan edit balik bab 11 ni... makan masa jg sy nak siapkan bab 11 ni coz libatkan fakta dan tak boleh sesuka hati taruh.. Insya-ALLAH, sy akan perkemaskan bab 11 ni.. btw thanks again Aida.. ;)

      Padam
  2. erk.. HH tackle Ain? Mesti jauh lagi part tu.. Confirm! HH kan sombong. Hohoho..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. tackle x berapa nak tackle la.. kita tgk apa yg akn tjd pd HH n NAZ lps diorg kawin.. :D

      Padam
  3. Hazrel yang amat disayangi..ok.. stretch that back..xde pasal aku nak sayang kau.

    brape NAZ upah si faizal jahat tu fitnah kau? rm20? rm200? rm2000?
    drpd dia perabih duit dia p bayar jantan x guna tu, baik dia bayar hutang kau...or BELI PHONE BARU...BODOH!!!

    Geramnye...agaknye...DNA cerdik semua dh pergi kat ABANG dia,
    mmg DNA yg lebih tua lebih baik...sbb tu kau mcm ni!!

    gggggggrrrrrrrrrrrrrr....*emo x2000000000000000000000*

    setuju jgk dgn @Tanpa Nama alasan cik aida bg mmg sgt releven. i second the motion.!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. alamak!!! gegar sudah blog akak ni dibuatkan oleh qminz..

      xpe2 jgn marah2 kat hero akak tu.. lps ni dia jdlah baik.. jgn terkejut sudahlah..

      mmg btl apa yg Aida tu bagitau.. akak akn edit balik bab 11 n perbetulkan kelemahan2 yg ada dlm bab 11 ni.. :D

      Padam
    2. hehehe......

      q sudah jatuh hati pada itu eddie...^^
      malas nk layan Hazrel.. hahaha

      Padam
    3. adoi!! sabor ajelah.. nti bila HH bertukar romantik, nk kat dia x?? hahaha.. :D

      Padam
    4. boleh ker laki yg mcm tu jd romantik? hurm..... *tidak percaya*
      hahahaha....tetap sayang Eddie.. hehehehe.... nama eddie lagi cool..hahaha^^

      Padam
    5. maybe blh kalau dia benar2 berubah suatu hari nti.. jgn terkejut.. kalah Amirul dlm GB tu.. huhu.. :D

      Padam
  4. bile HH nak tukar jd romantik nih..?

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. kena tggu bbrp bab lglah klu nk HH bertukar jd romantik.. :D

      Padam
  5. hikhikhik...alamak ada sikit persamaan dgn RR la...jeng jeng jeng...tp ttp berbeza.sama x serupa.

    eee, sabo je lah hazrel nih..dah mcm ni pun x abis lg nk berlagak, nak slhkan org...xcool langsung, selfish! dah kawen mesti bergegar umah asyik perang jek ni...hihi :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. alamak!! yeke lbh krg RR.. x sabor deng nk bcnya..

      lbh dr bergegar farah.. jgn terkejut bcnya nti.. :D

      Padam
    2. sama tak serupa. mende2 yg jadi mesti lain kan? ^^
      hehehe... tak sabar nk baca^^


      @iboo kak farah, mana hilang?? rindu... (q=student yg sepatutnya busy tapi buat2 tak busy)

      Padam
    3. farah bz tu q.. sbb itulah sekejap ada sekejap x ada.. hehe.. :D

      Padam
    4. jumaat sabtu ni ada mid term exam...patut kna study tp curik baca blog kak ros..hihihihi....td pun singgah jap kt blog qminz.

      xpe normal la tu tp very minor la persamaan tu...hihihihihi....

      Padam
    5. hehe.. sampingan tu.. apa2 pn gud luck farah.. ;)

      Padam
    6. good luck kak farah~!! wish u all the best^^ insya-allah

      Padam
  6. selain dr fakta kesan2 cedera pd Hezrul.. kita jgn lupa jugak luka akibat dari bucu meja yg Ain dpt. kesan2 luka dorg dan tempat kejadian pn kena ambik kira jugak...
    selepas dr mcm2 yg berlaku... Ain kena berubah mnjadi seorg wanita yg tabah n lbih cekal... lebih2 lagi jgn terlalu lembik dan beralah dgn lelaki ego, berlagak bagus dan bongkak mcm Hezrul.

    BalasPadam
    Balasan
    1. ok kak Hanim.. terima kasih atas teguran itu.. Insya-ALLAH, sy akn ambil berat ttg itu.. sy akn perkemaskan bab 11 ni lg..

      jgn risau kak.. Ain bkn mcm Liyana dlm GB.. dia lbh cekal dr Aisya dlm HM.. lps ni kita tgk perubahan Ain..

      terima kasih kerana akak berjaya mengkhatam AJID hingga ke bab 11.. :D

      Padam
  7. Hihhihi...memang tepat jangkaan saya yg mamat poyo tu kena tangkap basah dengan ain...kesian Izz..hajat tak kesampaian...saya rasa Izz lebih layak bersama dgn Ain berbandingkan dengan mamat berlagak sengal tu...tapi dah citer dia camtu nak buat camner kan...tapi apa2 pun Eliza..thumbs up buat awak..sebab besttt citer ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hihi.. sy pasti ramai yg dh agak apa yg jd kat diorg berdua.. mmg kesian kat Izz tu.. bak kata awak, dh cete mcm tu nk wat mcm manakan.. thanks jg coz sudi membaca dan follow AJID.. terharu dan sgt2 sy hargainya..

      Padam