Selasa, 20 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 12


BAB 12

“Apa kamu cakap Mai?” tanya Pak Ibrahim meninggi.
“Along, dengarlah dulu cakap Mai sebelum along nak melenting,” pinta Humaira.
“Kamu kata aku melenting Mai. Kamu tahu tak apa yang kamu cakapkan pada aku tadi?”
“Bang, dengarlah dulu penjelasan Mai. Lepas tu barulah kita buat keputusannya,” sampuk Mak Hamidah.
“Kamu jangan nak menyampuk bila aku bercakap Idah. Kamu tahu tak hati aku tengah panas ni dibuatkan budak tu,” jerkah Pak Ibrahim meninggi.
Tersentak Mak Hamidah dek kerana jerkahan itu. Serta merta dia menekur ke lantai. Takut melihat tenungan tajam Pak Ibrahim.
“Along ni, cubalah kawal sikit panas baran tu. Yang along marahkan kak long tu kenapa?” bentak Humaira keras.
“Suka hati mulut akulah nak cakap apa. Sekarang ni cuba kau bagitau aku balik, apa yang budak tu dah buat?” bidas Pak Ibrahim meninggi.
Humaira menggelengkan kepala. Sukar untuk berbincang jika abangnya bersikap panas baran sebegitu. Belum apa-apa lagi dah melenting berbagai-bagai, Humaira mengutuk dalam hati.
“Mai nak along walikan Ain kahwin,” beritahu Humaira perlahan.
“Kahwin? Apa yang budak tu dah buat sampai tak menyempat nak berkahwin? Dah gatal sangat ke?” balas Pak Ibrahim sinis.
“Ain… Ain… Ain kena tangkap basah,” beritahu Humaira jujur dan menunduk.
“Tangkap basah!!” ulang Pak Ibrahim meninggi.
Humaira mengangguk.
“Mai, jangan nak main-mainkan kak long. Takkan Ain kena tangkap basah?” tanya Mak Hamidah kurang percaya.
“Ain diperangkap kak long,” jawab Humaira.
“Diperangkap?” ulang Pak Ibrahim mengejek. “Kalau bukan dia sendiri yang menggatal, mustahil perkara itu akan berlaku,” sambung Pak Ibrahim sinis.
“Along! Along sedar tak Ain tu siapa? Anak along. Kenapa along nak kutuk anak sendiri?”  tegur Humaira keras pantas berdiri. Tajam matanya ke muka Pak Ibrahim.
“Habis tu kalau dia anak aku kenapa? Tak boleh ke aku nak kutuk atau tegur dia.”
“Mai tak faham dengan perangai along ni. Cuba along dengar penjelasan Ain dulu baru along buat keputusan. Ini tidak, along lebih percayakan cakap orang lain daripada anak sendiri,” luah Humaira kesal.
Pak Ibrahim mendengus kasar. Matanya menikam muka Humaira.
“Kak long rindukan Ain, Mai. Dah tiga tahun kak long tak jumpa dengan Ain,” rintih Mak Hamidah tiba-tiba berserta esakan kecil.
“Mai nak abang walikan Ain. Kalau tak ada apa-apa halangan, dalam minggu depan Ain bernikah. Nanti Mai datang ambil along dan kak long,” beritahu Humaira dan menghampiri Pak Ibrahim yang sedang bercekak pinggang.
“Aku tak nak!”
“Tologlah along. Mai rayu pada along. Kalau along tak nak jumpa dengan Ain, tak mengapalah. Tapi, along kena juga walikan Ain. Hukum tetap hukum along dan tak boleh dibawa main-main. Along ayah Ain dan wali yang sah. Lepas along walikan Ain, along baliklah, Mai takkan halangnya,” jelas Humaira bernada memujuk.
“Abang, dengarlah cakap Mai tu. Abangkan wali yang sah,” pujuk Mak Hamidah pula.
“Mana aku nak letakkan muka kalau orang kampung tahu tentang ni Mai? Cuba kau fikir, sudahlah kes lepas belum lagi selesai. Sampai ke hari ini, orang kampung asyik mengata Nur Ain. Panas telinga aku mendengarnya Mai. Ditambah pula dengan kes ini, lagilah orang akan mengata Nur Ain kalau orang kampung dapat tahunya nanti,” keluh Pak Ibrahim seraya duduk. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
“Along lebih percayakan cakap orang dari anak sendiri. Cuba along tanya Ain cerita yang sebenarnya sebelum menghukumnya. Mai yakin Ain tak bersalah dalam kes yang lepas,” balas Humaira turut sama mengeluh.
“Sudahlah, tak payahlah kita nak ungkit kisah lama,” sampuk Mak Hamidah seraya menghampiri Pak Ibrahim. “Abang dengarlah cakap Mai tu. Abang kena juga jadi wali Ain. Sudah-sudahlah nak marahkan budak tu. Dah tiga tahun dia hidup merantau. Nasib baik dia duduk dengan Mai, kalau dia duduk dengan orang lain, orang yang dia tak kenali, macam mana?” jelas Mak Hamidah panjang lebar bernada memujuk.
Pak Ibrahim menghela nafas panjang. Matanya memandang Mak Hamidah dan Humaira silih berganti. Ada riak pengharapan dari kedua-dua wajah kesayangan itu. Keluhan berat dilepaskan untuk kesekian kalinya. Ada benarnya kata-kata Mak Hamidah. Mujurlah Nur Ain tinggal bersama Humaira dalam masa tiga tahun ini dan Humaira sendiri yang mengkhabarkan pada mereka tidak lama dulu. Jauh di sudut hati, dia amat merindui Nur Ain. Namun ditolak keras perasaan itu selepas apa yang dilakukan oleh Nur Ain tidak lama dulu. Bertambah rasa sakitnya selepas apa yang diceritakan oleh Humaira sebentar tadi.
“Baiklah, aku akan walikan. Tapi itu tidak bermakna yang aku maafkan serta terima dia sebagai anak aku semula. Apa-apa pun aku tetap haramkan kaki dia ke rumah aku,” putus Pak Ibrahim dan berlalu pergi dari situ.
“Abang…” seru Mak Hamidah sebak.
“Tak apalah kak long, sekurang-kurangnya along nak walikan Ain. Mai janji pada kak long, Mai akan cuba cari punca dan sebab kenapa semua ini terjadi pada Nur Ain. Mai yakin Nur Ain tak bersalah dan Mai pasti, ada orang yang fitnahkan Ain,” jelas Humaira cuba untuk menenangkan hati kakak iparnya itu. Dielus lembut tangan Mak Hamidah, cuba untuk menyalurkan semangat pada Mak Hamidah.
“Kak long rindukan Ain Mai. Dah lama kak long tak jumpa dengan dia. Mujurlah Ain ke rumah Mai, kalau Ain ke tempat lain, mana kami nak cari dia nanti,” luah Mak Hamidah sebak.
“Ain pun rindukan kak long. Kadang-kadang Mai tengok Ain asyik termenung aje, mungkin masa tu Ain rindukan kak long dengan along.”
“Macam mana Ain boleh ke rumah Mai? Setahu kak long, kami tak pernah ke rumah Mai di Shah Alam.”
“Mai ada bagi alamat Mai pada Ain masa Mai ke sini dulu. Mai ada ajak Ain duduk dengan Mai lepas Ain habis SPM dulu. Tapi Ain tak nak. Katanya nak bantu along dengan kak long. Jadi Mai bagi alamat Mai pada Ain kalau Ain nak ubah angin dan kerja di sana,” jelas Humaira.
Mak Hamidah mengangguk faham. Jauh di sudut hati, dia bersyukur atas tindakan Nur Ain. Jika tidak sudah pastilah mereka tidak dapat menjejaki Nur Ain andai suatu hari nanti hati Pak Ibrahim terbuka untuk menerima Nur Ain semula.


Nur Ain merenung jauh ke arah laut. Angin petang begitu mendamaikan. Terasa tenang tatkala duduk bersendirian di atas batu sambil melayan perasaan serta mengagumi ciptaan ALLAH. Namun hatinya tidaklah setenang yang disangkakan. Hatinya sentiasa resah dan gelisah. Peristiwa dua hari yang lepas, begitu menyesakkan nafasnya. Malah sentiasa bermain di tubir mata. Entah bila peristiwa itu akan lenyap dari padangan matanya, dia sendiri tidak pasti. Apa yang pasti, pada waktu dan ketika ini, dia amat membenci Hazrel. Lelaki yang telah menghancurkan masa depannya. Sungguh bukan ini yang dipinta olehnya selama ini.
Nur Ain melepaskan keluhan berat. Pertemuannya dengan Hazrel pada malam semalam begitu menyakitkan hati. Jika diikutkan hatinya yang panas, mahu sahaja dia membunuh Hazrel ketika itu. Mujurlah fikirannya masih lagi waras. Bagi Nur Ain, tiada gunanya mengungkit perkara yang sudah lepas. Jika ALLAH mengkehendakkan sesuatu perkara itu berlaku, walau diusir dan cuba dielak, perkara itu tetap juga akan berlaku. Sama seperti apa yang berlaku pada hidupnya kini.
“Baiklah, aku akan kahwini dia. Tapi dengan syarat, aku tak nak perkara ini diketahui oleh orang lain termasuk pekerja-pekerja di Cahaya,” putus Hazrel tegas.
“Kenapa? Kau takut orang lain kutuk kau sebab kahwini Nur Ain yang bukan setaraf dengan kau ke Hazrel?” sindir Eddie pedas.
“Kau jangan nak naikkan darah aku Eddie. Ini kira bagus aku setuju nak berkahwin dengan dia. Kalau ikutkan hati aku, tak ingin aku nak kahwin dengan perempuan kampung macam dia tu. Tak boleh bawa ke mana-mana dan hanya layak untuk duduk di rumah aje jadi orang gaji aku,” balas Hazrel tidak mahu mengalah.
“Haz, apa yang kau cakapkan ni?” tegur Izzuddin sedikit meninggi.
“Kau dengan Die sama aje. Membela perempuan tu. Aku ni kawan korang berdua, tapi apa yang aku dapat? Korang menghentam aku lagi adalah,” luah Hazrel kesal.
“Kalau kau tak hina, kutuk dan buli Nur Ain, ikatan persahabatan kita akan lebih elok dari sebelum ini. Tapi, kau sendiri yang cari pasal. Kau sepatutnya bersyukur kerana memperisterikan Nur Ain daripada perempuan-perempuan yang kau kenal dulu,” jujur Eddie.
“Bersyukur?” ulang Hazrel mengejek. “Kau nak aku bersyukur kerana memperisterikan perempuan tu?” sambung Hazrel dan tergelak. “Seumur hidup aku, tak pernah terlintas di fikiran aku nak berkahwin dengan perempuan kampung macam dia tu. Nak suka dan jatuh cinta pun aku tak inginlah!” tambahnya lagi.
“Kau suka cakap besar Haz. Aku pasti suatu hari nanti, kau akan tersungkur depan Nur Ain. Masa tu kau tahulah langit tu tinggi atau rendah,” tegur Izzuddin keras.
“Dia yang tersungkur dan bukannya aku,” tukas Hazrel meninggi.
“ALLAH Maha Adil Haz. Kau jangan lupa semua tu. Suatu hari nanti, kalau kau tersungkur depan dia, akulah orang pertama yang akan kutuk dan gelakkan kau,” bidas Eddie bernada peringatan.
“Aku akan pastikan perkara itu takkan berlaku dalam hidup aku,” sangkal Hazrel pula.
“Okey, kita tunggu dan lihat. Aku nak tengok berapa lama kau boleh pertahankan keangkuhan kau tu,” balas Izzuddin.
Hazrel mendengus kasar. Matanya menjamah wajah kedua-dua sahabat baiknya itu. Jelas riak ketidakpuasan pada wajah mereka.
“Abang Eddie,” panggil Nur Ain tiba-tiba.
Serentak mereka bertiga menoleh.
“Ada apa Ain?” tanya Eddie dan menapak jalan menghampiri Nur Ain.
“Boleh tak Ain nak cakap dengan Encik Hazrel sekejap,” pinta Nur Ain serius.
“Ain nak cakap apa dengan dia?”
Nur Ain menghela nafas pendek. Dia perlu berbicara dengan Hazrel sebelum kata putus di ambilnya nanti.
“Ain ada perkara nak cakap dengan dia.”
“Baiklah. Kalau ada apa-apa yang berlaku nanti, cepat-cepat panggil abang. Abang jumpa maksu kejap.”
“Insya-ALLAH.”
Eddie mengangguk dan tersenyum. Lantas dia menjerit kecil memanggil Izzuddin untuk memberi ruang pada Nur Ain dan Hazrel berbincang.
Nur Ain melangkah menghampiri Hazrel. Ada riak kurang senang di wajah itu. Namun dia tidak peduli ke riak tersebut kerana pada waktu dan ketika ini, hanya kebencian yang tersemat kemas dalam hatinya terhadap Hazrel. Selepas apa yang berlaku, mustahil dia akan bersikap baik terhadap lelaki itu.
Hazrel setia menanti. Diperhatikan Nur Ain dari atas ke bawah. Hanya perasaan benci sahaja yang terbit dari dalam hatinya tatkala melihat Nur Ain.
“Kau nak apa?” tanya Hazrel kasar.
“Saya nak tuntut hutang dari Encik Hazrel,” jawab Nur Ain sedikit tegas.
“Hutang? Bila masa pulak aku berhutang dengan kau? Setahu aku, kau yang berhutang dengan aku. Hutang sebab aku sudi nak berkahwin dengan kau. Jika ikutkan hati aku, sampai mati pun aku tak ingin nak berkahwin dengan kau,” bidas Hazrel sinis seraya berpeluk tubuh dan bersandar di badan kereta.
Tersentak Nur Ain mendengar kata-kata Hazrel. Dia mengepal penumbuk sambil cuba menahan kemarahan di dalam hati.
“Saya pun tak ingin nak berkahwin dengan lelaki kurang ajar, bermulut longkang dan berperangai buruk macam awak ni,” balas Nur Ain pedas. Seakan punya kekuatan untuk membidas kata-kata Hazrel itu.
“Oh, kau dah pandai menjawab nampak. Mungkin pengalaman yang kau alami membuatkan kau tersentap dan berani untuk membalas kata-kata aku. Okey… okey… satu perkembangan yang bagus. Tapi, walau apa pun perubahan pada diri kau, selama-lamanya kau tetap menjadi perempuan kampung bagi aku,” sindir Hazrel turut pedas.
“Suka hati awak la nak cakap apa pada saya. Lepas kita kahwin, saya tak nak duduk dengan awak, saya nak duduk dengan maksu saya dan jangan sesekali ganggu saya,” beritahu Nur Ain dan mengatur langkah untuk beredar dari situ.
“Kau ingat aku teringin sangat ke nak duduk dengan kau. Habis rumah aku berbau dengan bauan kampung kau tu.”
“Habis tu awak ingat bau awak tu wangi sangat ke?” geram Nur Ain. Matanya tajam ke muka Hazrel yang sedang beriak selamba.
Well, of course bau aku wangi. Bau orang kaya bukan. Kau jangan ingat aku benarkan kau duduk dengan maksu kau. Aku tak nak orang anggap aku lelaki yang tidak bertanggungjawab,” tegas Hazrel.
Nur Ain tertawa. Matanya menjamah wajah Hazrel.
“Bukan ke awak yang cakap tadi tak hingin nak duduk dengan saya. Jadi, kenapa pulak awak nak rasa takut kalau orang anggap awak ni lelaki yang tidak bertanggungjawab walaupun pada dasarnya memang awak orang seperti itu,” sindir Nur Ain dan mencebik.
Entah bagaimana dia punya kekuatan untuk membalas kata-kata Hazrel itu. Mungkin disebabkan pengalaman yang membuatkan Nur Ain bersikap tegas dan pendendam.
Hazrel mengepal penumbuk. Sakit telinganya mendengar kata-kata sindiran Nur Ain. Sungguh dia terkejut dengan perubahan Nur Ain. Adakah disebabkan peristiwa yang berlaku pada Nur Ain membuatkan gadis itu menjadi seberani itu.
“Aku takkan sesekali benarkan. Dan jangan kau ingat yang aku akan lepaskan kau selepas apa yang berlaku. Sampai mati pun aku akan berdendam dengan kau kerana perangkap aku agar mengahwini kau,” ugut Hazrel dan berlalu dari situ.
Nur Ain hanya memandang. Semakin bertambah perasaan benci terhadap Hazrel di dalam hatinya. Sungguh bukan itu sifatnya yang sebenarnya. Bukan sifatnya membenci orang. Malah untuk membenci juga tidak terniat di dalam hati. Hanya pada ALLAH sahaja dia berserah akan nasibnya itu.
“Abang, Ain rindukan abang. Kenapa abang tinggalkan Ain?” rintih Nur Ain sendirian.
Tanpa disedarinya, air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Sungguh Nur Ain amat merindui Hazrul ketika ini. Jika dulu hanya pada Hazrul tempat dia mengadu segala masalah, kini pada siapa harus diajukan masalahnya itu?
Nur Ain menyeluk poket baju kurungnya tatkala menyedari telefon bimbitnya bergetar. Telefon yang baru dibaiki oleh Eddie. Walaupun Eddie ada menawarkannya untuk membeli telefon baru, namun dilarang keras olehnya. Mana mungkin dia akan membuang kenangan yang ditinggalkan oleh Hazrul. Jika boleh dibaiki, akan dibaiki olehnya. Andai kata tidak boleh, akan dibuang jauh-jauh kenangannya itu.
“Assalamualaikum,” sapa Nur Ain sebaik sahaja telefon dilekapkan ke telinga.
“Waalaikumussalam. Ain kat mana?” tanya suara itu.
Berkerut Nur Ain mendengar pertanyaan itu. Dia cuba mengecam pemilik suara tersebut.
“Err, siapa ni?” tanya Nur Ain pula.
“Izzuddin!”
“Oh, maaf Encik Izz. Saya tak perasan tadi. Mana Encik Izz dapat nombor telefon saya?”
“Eddie bagi saya nombor phone Ain pada saya. Awak kat mana Ain? Saya kat depan rumah awak ni,” tanya Izzuddin pura-pura.
“Saya kat luar Encik Izz. Maksu balik kampung, jumpa dengan abah dan mak saya,” beritahu Nur Ain.
“Kenapa Ain tak ikut maksu balik kampung sekali?” tanya Izzuddin berkerut.
Nur Ain menggaru kepalanya yang bertudung. Jawapan apa yang perlu diberikan pada Izzuddin. Perlukah dia bercerita akan kisahnya itu pada Izzuddin?
“Maksu nak bagitau pada abah dan mak tentang pernikahan saya.”
“Oh. Jadi Ain kat mana sekarang ni?”
“Saya… saya kat Pantai Morib,” beritahu Nur Ain.
Izzuddin menarik nafas lembut. Senyuman manis terbias di wajahnya. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain yang sedang duduk di atas batu tidak jauh dari tempatnya berdiri. Sebaik sahaja diberitahu Humaira, segera dia membawa dirinya ke Pantai Morib. Niatnya sekadar untuk bertemu dengan Nur Ain. Apa salahnya jika dia melepaskan kerinduan pada Nur Ain sebelum Nur Ain menjadi milik Hazrel. Sungguh Izzuddin tidak bersetuju dengan perkahwinan Nur Ain dan Hazrel. Namun apakan daya, sudah tertulis dalam kamus hidup mereka berdua yang akan dijodohkan tidak lama lagi. Hanya iringan doa yang mampu Izzuddin berikan buat Nur Ain. Semoga Nur Ain tabah dalam menghadapi dugaan dalam hidupnya.
“Encik Izz,” panggil Nur Ain.
“Ya Nur Ain. Maaf, saya mengelamun sekejap,” balas Izzuddin sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Nur Ain melepaskan ketawanya. Entah kenapa dia terasa ingin ketawa. Mungkin disebabkan kata-kata Izzuddin membuatkan dirinya terasa ingin  ketawa.
“Oh gelakkan saya ya. Tarik hidung tu nanti, baru tahu,” geram Izzuddin sekadar mengusik.
“Oppss!! Maaf, tak sengaja. Terasa nak ketawa,” ucap Nur Ain lembut.
“Tak apa, saya bergurau aje tadi,” balas Izzuddin sebaik sahaja berada di belakang Nur Ain. Sebuah senyuman terbias di wajahnya.
Terkejut Nur Ain mendengar suara itu. Seraya dia menoleh dan membuntang matanya melihat Izzuddin sedang berdiri di belakangnya itu.
“Encik Izz buat apa kat sini? Macam mana tahu saya kat sini?” tanya Nur Ain berkerut.
Izzuddin tersenyum. Langkah diatur menghampiri Nur Ain yang sudah pun berdiri. Jelas riak terkejut di wajah Nur Ain ketika itu.
“Saya call maksu awak tengahari tadi. Dia kata awak ke sini seorang diri,” jawab Izzuddin jujur.
Nur Ain mengangguk. Senyuman manis terbias di wajahnya. Walaupun baru mengenali Izzuddin, dia amat menyenangi sikap Izzuddin. Malah Izzuddin bukanlah seperti Hazrel. Izzuddin seakan sama seperti Eddie. Lelaki yang mengambil berat akan dirinya selama ini dan dia bersyukur kerana bertemu dengan Eddie Zakuan.
“Ain datang naik apa tadi ke sini?” tanya Izzuddin ingin tahu.
“Maksu hantar sebelum balik kampung,” jawab Nur Ain.
Mereka berdua berjalan beriringan menyusuri pantai. Deruan ombak begitu mendamaikan pada petang itu. Terasa seronok melayan perasaan sendiri.
“Kalau saya nak tanya Ain sesuatu, boleh?” suara Izzuddin tatkala menyedari mereka berdua membisu.
“Boleh. Apa dia?”
“Ain dah sedia nak berkahwin dengan Hazrel?”
Terhenti langkah Nur Ain dek kerana pertanyaan Izzuddin itu. Dahinya berkerut sambil cuba mencari jawapan yang paling sesuai untuk diberitahukan. Sungguh dia belum bersedia untuk berkahwin, malah berkahwin dengan Hazrel, tidak pernah terlintas di kepalanya itu.
“Kalau dah tertulis Encik Hazrel jodoh saya, saya terimanya seikhlas hati saya.”
“Tapi, Ain kan tahu perangai Hazrel tu macam mana?”
“Saya tahu Encik Izz. Mungkin satu hari nanti Encik Hazrel akan berubah.”
“Ain, saya dah lama kenal Hazrel. Perangai dia memang susah nak diubah. Saya takut dia akan seksa hidup Ain dan saya tak nak perkara itu berlaku,” ujar Izzuddin risau.
Nur Ain melemparkan senyuman. Matanya menjamah wajah Izzuddin yang sedang berkerut. Mungkin ada benarnya dengan kata-kata Izzuddin itu. Namun hatinya menolak keras akan kemungkinan itu. Nur Ain yakin, suatu hari nanti, Hazrel akan berubah sikap. Walaupun hatinya merasa benci terhadap lelaki itu. Tapi apalah gunanya untuk terus membenci kerana ianya akan menambahkan rasa sakit di hati.


Hazrel menghempaskan badannya ke atas katil. Terasa badannya keletihan akibat memandu yang agak lama. Ditambah pula kepenatan otaknya berfikir sejak dua menjak ini. Apa yang bersarang di otaknya mengenai pernikahannya dengan Nur Ain pada minggu hadapan. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membawa dirinya ke luar negara tanpa sesiapa pun dapat menjejakinya. Namun itu bukan jalan penyelesaiannya. Jika dia berbuat begitu, bermakna dia melarikan diri dari masalah. Malah dia akan dianggap sebagai seorang lelaki pengecut oleh Eddie dan Izzuddin.
Hazrel mengiring badan ke kanan. Matanya terpahat ke bingkai gambarnya bersama Hazrul. Terasa sayu dan sebak tatkala melihat gambar tersebut. Terasa rindu pada Hazrul. Jika dulu hanya pada Hazrul tempatnya meluahkan perasaan, tetapi sekarang tidak lagi. Pada siapa untuk dia meluahkan perasaan dan masalah, dia sendiri tidak tahu. Disebabkan itu, segala masalah dilempiaskan dengan bersikap buruk. Sungguh bukan itu sebenar sikapnya selama ini. Mungkin kata-kata Izzuddin ada benarnya juga.
“Hazrel Hardy, bila anak mama ni balik? Kenapa mama tak sedar pun?” tegur Datin Salina seraya menapak masuk ke dalam bilik Hazrel.
“Baru aje ma. Haz terus masuk bilik sebab penat. Haz ingat nak tidur dulu, baru jumpa dengan mama,” balas Hazrel seraya membangunkan tubuhnya dan bersandar di kepala katil.
“Haz tak sihat ke?” tanya Datin Salina seraya meletakkan tangannya di dahi Hazrel.
“Tak adalah ma. Haz sihat aje. Cuma penat bawa kereta dengan fikirkan tentang Cahaya,” jawab Hazrel sambil menolak lembut tangan Datin Salina dari memegang dahinya.
“Kan mama dah cakap dulu, Haz kerja aje dengan papa. Buat apa nak penatkan diri kerja di Cahaya tu,” bebel Datin Salina sambil melabuhkan duduk di birai katil.
Hazrel mengeluh berat. Matanya menjamah wajah tua Datin Salina. Walaupun usia Datin Salina sudah mencecah angka lima puluhan, namun wajahnya tampak lebih muda dari usianya. Mungkin disebabkan Datin Salina selalu memanjakan wajah dan tubuhnya membuatkan Datin Salina kelihatan muda dan bertenaga.
“Haz suka kerja kat Cahaya. Haz nak berdikari sebelum Haz berkahwin nanti.”
“Ha, sebut pasal kahwin ni, mama ada perkara nak bincangkan dengan Haz.”
“Perkara apa ma?” tanya Hazrel pura-pura.
Mana mungkin dia tidak tahu akan perkara yang ingin dibincangkan itu. Sudah pastilah mengenai cadangan perkahwinannya dengan Qistina gedik.
“Tentang perkahwinan Haz dengan Qistina. Mama dengan papa dah setuju nak meminang Qistina untuk Haz,” beritahu Datin Salina teruja.
“Ma, Haz belum bersedia lagi nak kahwin. Mama tolonglah faham perasaan Haz,” bentak Hazrel keras.
“Belum bersedia… belum bersedia… itu aje ayat yang Haz keluarkan. Sampai bila nak tunggu Haz bersedia? Sampai mama dah mati, baru Haz bersedia nak kahwin,” marah Datin Salina meninggi pantas berdiri.
“Bukan itu maksud Haz. Cuba mama dengar dulu penjelasan Haz. Ini tidak, belum apa-apa lagi, mama nak marahkan Haz,” tegur Hazrel perlahan. “Haz tak sukakan Qis. Haz anggap Qis macam adik Haz sendiri,” sambung Hazrel seraya bangun dan turun dari katil.
“Kalau dah anggap seperti adik, kan lagi mudah buat Haz. Sekurang-kurangnya Haz dah kenal perangai Qis tu macam mana.”
“Sebab dah kenallah maka Haz tak nak berkahwin dengan Qis,” sahut Hazrel dan menapak masuk ke dalam bilik air. “Haz tak setuju mama. Haz harap, mama jangan paksa Haz untuk kahwin dengan Qis. Kalau mama paksa, Haz tak teragak-agak keluar dari rumah dan takkan balik-balik ke sini lagi,” ugut Hazrel dan menutup pintu bilik air.
Tersentak Datin Salina mendengar ugutan Hazrel itu. Segera dia menapak ke bilik air dan mengetuk pintu bilik tersebut. Terasa sakit hatinya dengan tiba-tiba. Hazrel tidak ubah seperti Hazrul. Ugutan yang sama juga diberikan oleh Hazrul suatu ketika dahulu sewaktu dia menyusul cadangan sama.
“Ma, Haz nak bersendirian. Tolong tinggalkan Haz mama,” laung Hazrel dari dalam bilik air. Keluhan berat terlepas dari bibirnya itu.
“Nanti kita bincangkan tentang ni lagi. Haz berehat dulu ya nak,” sahut Datin Salina dan berlalu pergi dari bilik itu.
Hazrel sekadar membisu. Tidak mahu membalas sahutan Datin Salina. Otaknya bagaikan nak pecah dirasakannya ketika ini. Sungguh dia merasa tertekan. Pernikahan yang akan berlangsung dalam minggu depan sukar untuk diterimanya. Kenapa semua itu berlaku pada dirinya ketika ini? Mungkinkah disebabkan sikap dan perangainya yang buruk membuatkan dirinya dihukum sebegitu rupa.
Hazrel mengamati wajahnya di cermin. Kenapa dia ditakdirkan berkahwin dengan gadis seperti Nur Ain? Sudahlah tak cantik, kekampungan dan tak berharta. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkahwin dengan gadis seperti Nur Ain. Malah untuk bermimpi, jauh sama sekali. Hanya kebencian yang dilihat pada mata kasarnya terhadap Nur Ain. Bagaimana untuk hidup bersama  Nur Ain nanti?


“Ain nak abang amik kat sana?” tanya Eddie prihatin.
“Tak mengapalah Abang Die. Encik Izzuddin ada ni. Nanti Encik Izz hantarkan Ain balik,” jawab Nur Ain perlahan.
“Izzuddin? Maksud Ain, Izzuddin ada sama dengan Ain ke?”
“A’ah, dari petang tadi Encik Izz ada dengan Ain.”
“Macam mana Izz tahu Ain kat sana?”
“Maksu bagitau Encik Izz siang tadi.”
“Oh, kalau macam tu, tak mengapalah. Ain jaga diri elok-elok. Kalau ada apa-apa yang berlaku, cepat bagitau abang, faham!” pesan Eddie bernada tegas.
“Insya-ALLAH, abang janganlah risau,” ujar Nur Ain.
“Selama-lamanya abang akan risaukan Ain selagi Ain tak kecapi kebahagiaan yang Ain inginkan,” beritahu Eddie jujur.
Tersentak Nur Ain mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Eddie. Apa yang dimaksudkan Eddie itu? Kenapa Eddie berkata begitu? Kenapa Eddie perlu risaukan akan dirinya? Pelbagai persoalan yang bersarang di kepala Nur Ain ketika ini.
“Apa maksud Abang Die? Ain tak faham,” tanya Nur Ain ingin tahu.
Eddie menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh terlepas berkata begitu. Namun jauh di sudut hati, itulah yang sebenarnya. Hanya dia sahaja yang tahu kenapa dia begitu mengambil berat akan diri Nur Ain. Mungkin disebabkan dia tidak mempunyai adik, maka sikap ambil beratnya terhadap Nur Ain melebihi segala-galanya.
“Ain paskan telefon pada Izz, abang nak cakap sekejap dengan dia,” pinta Eddie sekali gus menolak pertanyaan Nur Ain. Tidak mahu Nur Ain bertanya lagi.
“Abang Die nak cakap,” beritahu Nur Ain seraya menghulurkan telefon bimbitnya kepada Izzuddin.
“Die?” ulang Izzuddin berkerut seraya menyambut huluran Nur Ain.
Nur Ain mengangguk.
“Assalamualaikum Die. Kenapa?” tanya Izzuddin sebaik sahaja telefon dilekapkan di telinganya.
“Waalaikumussalam. Kau tolong aku tengok-tengokkan Nur Ain. Aku risaukan dia, takut-takut dia buat perkara yang boleh memudaratkan dirinya nanti,” pinta Eddie berharap.
“Insya-ALLAH Die, aku akan tengok-tengokkan Ain. Aku tengok dia dah okey sikit dari kelmarin. Mungkin lepas Ain berjumpa dengan Hazrel membuatkan wajah dia keruh dan mendung,” beritahu Izuddin ikhlas. Matanya tertancap ke arah Nur Ain yang sedang bermain dengan seorang kanak-kanak.
“Aku bukannya apa Izz. Aku tak nak tengok Ain bersedih. Kalau dia bersedih, aku lagi bersedih. Cukuplah apa yang dialami Ain sebelum ini membuatkan Ain berubah laku. Aku tak sanggup nak lihat air mata dia lagi Izz,” jelas Eddie berserta keluhan ringan.
Izzuddin mengerutkan dahi. Semakin pening kepalanya mendengar kata-kata Eddie itu. Sudahlah penjelasan Eddie dan Nur Ain yang lepas belum diselesaikannya, ditambah pula dengan penjelasan Eddie, makin menyusutkan fikirannya itu. Apa yang pasti dia perlu menyiasat apa yang berlaku pada Nur Ain dahulu.
“Kenapa kau ambil berat pasal Ain Die? Setahu aku, belum pernah kau bersikap ambil berat pada seseorang. Aku tahu kau seorang yang baik dan pemurah, tapi sikap kau pada Nur Ain berlainan sekali. Seolah-olah kau memegang amanah seseorang untuk menjaga Nur Ain,” jelas Izzuddin sekadar menduga.
“Err… aku… aku dah anggap Nur Ain seperti adik aku sendiri. Lagipun kalau aku kahwin dengan maksu dia, Ain akan jadi anak buah aku juga. So, ada baiknya aku ambil berat sekali gus ambil hati Nur Ain untuk pikat mak saudaranya. Bak kata orang, kalau nak dapat anak, kenalah dapat maknya dulu. Samalah kes macam aku ni, nak dapatkan Mai, kenalah dapatkan Ain dulu,” jelas Eddie bernada usikan. Seminit kemudian, dia tertawa dengan kenyataannya itu.
Izzuddin turut melepaskan ketawanya. Dia terangguk kecil mendengar penjelasan Eddie. Mungkin benar apa yang diperjelaskan Eddie. Jika nak anak, perlulah berbaik dengan maknya terlebih dahulu. Kata-kata yang selalu di dengarnya dari mulut kawan-kawannya.
“Kau yakin ke Die, Haz akan jaga Ain elok-elok,” ujar Izzuddin.
Eddie melepaskan keluhan ringan.
“Insya-ALLAH, aku yakin Ain dapat ubahkan Hazrel. Selalunya orang macam Hazrel tu lawannya Nur Ain.”
“Tapi, kalau Hazrel dera dan buli Ain bagaimana Die?” risau Izzuddin.
“Percayalah pada aku Izz. Aku yakin dan pasti, Hazrel takkan buli dan dera Ain. Andai kata perkara itu berlaku, aku tak akan teragak-agak bawa Ain jauh dari hidup dia nanti,” jelas Eddie serius.
“Aku pun tak sanggup tengok Ain menderita Die. Walaupun cinta aku tak kesampaian, aku tetap redha dan ikhlas menerima yang Ain akan berkahwin dengan Hazrel. Aku berazam pada diri aku Die, kalau Hazrel tak berjaya buatkan Nur Ain jatuh cinta pada dia atau sebaliknya, aku sendiri yang akan rampas Nur Ain dari Hazrel,” balas Izzuddin turut serius.
“Tak apalah Izz. Kita doakan aje yang baik-baik buat mereka berdua. Semoga perkahwinan tu nanti akan mengubah Hazrel sekali gus menukar perspektif Hazrel terhadap golongan bawahan ni.”
“Aku pun harap begitulah Die,” ujar Izzuddin perlahan.
“Insya-ALLAH Izz. Okeylah, aku letak dulu. Tolong jaga Nur Ain untuk aku. Kalau ada apa-apa, cepat bagitau aku,” pesan Eddie dan mematikan talina telefon.
Izzuddin sekadar mengangguk. Diserahkan telefon bimbit kepada Nur Ain. Matanya tidak lekang dari memandang wajah Nur Ain. Walaupun parut di dahi Nur Ain sedikit mencacatkan, namun wajah Nur Ain masih tampak manis dan ayu. Ditambah dengan senyuman ikhlas Nur Ain, menampakkan kecantikan di matanya. Biarlah Hazrel mengatakan Nur Ain tidak cantik, tetapi tidak bagi dia. Nur Ain akan kekal cantik dan indah dari pandangan matanya.
“Kenapa Encik Izz tengok saya macam tu?” tegur Nur Ain kurang selesa.
“Ha… tak ada apa-apa. Ain sukakan kanak-kanak ya,” dalih Izzuddin cuba menutup rasa malunya tatkala ditegur Nur Ain.
“A’ah, saya suka budak-budak. Comel bila tengok diorang bermain.”
Izzuddin hanya mengangguk dan tersenyum.
“Mari Ain, kita balik. Dah lewat ni. Tak pasal-pasal saya kena tegur dengan bakal bapa saudara Ain tu nanti,” ajak Izzuddin dan tergelak.
Nur Ain mengerutkan dahi. Bakal bapa saudara? Ulangnya di dalam hati. Seminit kemudian, dia tergelak. Sudah pastilah Eddie yang dimaksudkan oleh Izzuddin itu.
“Insya-ALLAH, Abang Eddie takkan marahkan Encik Izz sebab Encik Izz sama macam Abang Eddie. Baik dengan Ain dan sayangkan Ain, betulkan?” balas Nur Ain dan tersenyum.
“Bukan setakat sayang Nur Ain, saya cintakan awak,” ujar Izzuddin jujur dan ikhlas.
Terkedu Nur Ain buat seketika. Matanya terpahat kaku ke wajah Izzuddin yang sedang tersenyum ke arahnya. Kata-kata Izzuddin kedengaran jujur dan ikhlas. Terasa sebak dirasanya ketika itu. Buat kali keduanya dia mendengar kata-kata itu selepas Hazrul.
Nur Ain melarikan pandangan. Dapat dirasakan matanya mulai berkaca. Entah kenapa ingatannya terus ke arwah Hazrul. Betapa rindunya terhadap arwah ketika ini. Ingin sahaja dia membawa dirinya ke pusara Hazrul dan melempiaskan rasa rindunya itu. Namun apalah guna dia ke sana jika dia hanya mampu untuk memandang pusara itu dari jauh sahaja.
“Jomlah kita balik Encik Izz. Dah lewat ni,” ajak Nur Ain dan melangkah mendahului Izzuddin. Sambil itu tangannya menyeka air mata yang hampir gugur dari kelopak matanya itu.
Izzuddin hanya mengangguk. Dapat dilihatnya perubahan di wajah Nur Ain. Malah dia juga perasan Nur Ain cuba menahan air matanya dari mengalir. Sebab apa, Izzuddin sendiri tidak pasti. Mungkin kata-kata Eddie yang lepas ada benarnya. Izzuddin perlu mengenali Nur Ain dengan lebih mendalam lagi. Dan itu yang akan Izzuddin lakukan.
  

14 ulasan:

  1. sombong gile hazrel nie..geram rase..huhu tq akk 4 n3 nie..^^

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mmg sombong pn HH tu.. almost welcome dear.. tq coz membacanya.. :D

      Padam
  2. wah bestnya..org ptma y komen ... sambung2

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. tomorrow kt smbg ya.. :D

      Padam
  3. Akak, ttb kan rs mcm tahu sbb ape eddie ambil berat gle kt ain.mst eddie dpt amanat dr hazrul srh jaga ain elok2. Mknenya, eddie tahu sape gf hazrul itu adlh ain.hihii..:) betul x ? Kihhkihhkihh

    BalasPadam
    Balasan
    1. kihkih.. jwpnnya ada dlm bab seterusnya ya dik... but, bc sinopsis pn dh blh agakkan?? huhuhu... :D

      Padam
  4. Aduhai...sedih ada...kesian ada....sedih sbab ain kena kawin dengan mamat poyo sengal berlagak tu...dah tentu hidup ain lebih sengsara dan tersiksa..tapi harap2 ain kuat dan tabah..almaklumlah..nak kena berperang dengan mamat poyo tu...kesian sebab cinta Izz kat ain tak kesampaian...sob...sob..sob..kesiannya...apa2 pun Eliza cpt2 update new chapter ye..teruja sangat dh ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. sy pn kesiankan Izz.. xpe, nti sy cari psgn utk Izz ya.. erm, Insya-ALLAH, Ain akn kuat n tabah.. kita tgk apa yg terjd slsps diorg berkahwin.. apa2 pn thanks atas komennya.. ;)

      Padam
  5. sian ain....tpaksa nk idup ngn lelaki mcm hazrel tu....gelap masa depan...
    :( hihihi.....sonok2 bukak2 ada entry baru..hihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mestilah ada coz akak update tiap2 hr kecuali sabtu n ahad je akak cuti.. :D

      Padam
  6. akhirnya dpt jugak q baca chapter ni.
    sesungguhnya sangat besar dugaan yg ain alami. ya allah, kena tangkap basah..sedihnya...dan memalukan. tambah pulak bukan salah sendiri, org lain yg cuba fitnah...sedihnya...

    kena pulak dugaan sgt besar: Hazrel. kalau dgn laki baik2 lain lah cerita nya..

    sabarlah NAZ..

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu... sedih la pulak akak bc komen q ni.. xpelah, Insya-ALLAH, NAZ akn lbh tabah.. NAZ sentiasa ingat pesanan Hazrul.. ;)

      Padam
    2. haha...jarang saya komen mcm ni.. selalu dok marah hazrel ja. hr ni..rasa kesian sgt kat ain tu...

      Padam
    3. huhu.. xpe, lps ni x marah dh kat HH tu.. dh bertukar jd baik.. erk, yeke baik?? huhu.. :D

      Padam