Rabu, 21 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 13


BAB 13

“Aku terima nikah Nur Ain Zafira Binti Ibrahim dengan mas kahwin tiga ratus ringgit tunai,” lafaz Hazrel dengan lancar.
“Sah!” tanya Ustaz Kamal merangkap tok kadi.
“Sah!” sahut beberapa orang saksi yang berada di dalam masjid itu.
Setelah semuanya selesai, bingkas Hazrel bangun untuk upacara membatalkan air sembahyang. Langkah di atur menuju ke arah Nur Ain yang sedang duduk bersimpuh bersebelahan Humaira. Matanya menatap mesra wajah Nur Ain yang sudah disolek. Entah kenapa dapat dirasakan jantungnya berdegup dengan pantas. Mungkinkah disebabkan baru pertama kali dia menatap wajah Nur Ain yang berbeza dari sebelum ini, maka jantungnya berdegup luar biasa dari degupan normal. Ah, tak mungkin aku suka kat dia, bidas hatinya pantas.
Hazrel mengeluarkan sebentuk cincin dari dalam poket seluarnya. Cincin yang dibelinya semalam buat sekadar syarat sahaja. Menggeletar tangannya ketika menyarungkan cincin ke jari manis Nur Ain. Dapat dirasakan kucupan hangat Nur Ain di tangannya selepas itu. Malah dia juga berkira-kira untuk mengucup dahi Nur Ain. Untuk tidak dipandang serong oleh pasang-pasang mata yang berada di dalam masjid itu, segera dia mengucup lembut dahi Nur Ain. Lama dia berkeadaan begitu sehinggakan terbit satu perasaan halus dalam dirinya.
Hazrel tersentak tatkala lengannya di siku seseorang. Serta merta dia meleraikan kucupannya dan berpura-pura menggaru kepalanya yang tidak gatal. Terasa malu dengan tingkahnya itu. Hanya ALLAH sahaja yang tahu akan perasaannya. Tanpa bersuara, segera dia melangkah keluar dari dalam masjid. Dia perlu menenangkan perasaannya yang sedang berkecamuk hebat.
Nur Ain hanya memandang kelibat Hazrel beredar dari situ. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Humaira di sisi. Tubuhnya juga dipeluk erat oleh Humaira. Walaupun majlis hanya dihadiri kaum keluarga dan beberapa kenalan, Nur Ain tetap bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. Malah segala persiapan disediakan oleh Humaira dan Eddie. Humaira juga yang menyolek wajahnya itu.


“Mak!” seru Nur Ain perlahan seraya memeluk erat tubuh Mak Hamidah.
“Ain, mak rindukan Ain,” luah Mak Hamidah seraya membalas pelukan Nur Ain. Dikucup mesra kedua-dua belah pipi Nur Ain. Melepaskan kerinduan yang bertamu selama tiga tahun ini.
“Abah mana mak?” tanya Nur Ain sambil matanya membelingas mencari kelibat Pak Ibrahim. Keluhan ringan terlepas dari bibirnya.
“Abah… abah Ain…” sukar untuk Mak Hamidah bersuara. Apa yang pasti, Pak Ibrahim sudah pun meninggalkan majlis itu selepas mewalikan Nur Ain.
“Ain faham mak. Mungkin abah masih tak boleh nak maafkan Ain. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya abah sudi walikan pernikahan Ain,” luah Nur Ain sebak.
“Jangan macam tu Ain. Abah sayangkan Ain. Cuma abah malu nak jumpa dengan Ain,” bidas Mak Hamidah cuba untuk mengusir rasa hati Nur Ain.
Nur Ain tersenyum hambar. Matanya menjamah wajah tua Mak Hamidah. Betapa rindunya dia terhadap wajah itu. Selama tiga tahun dia tidak berjumpa dengan Mak Hamidah. Bukannya dia tidak boleh menjenguk, disebabkan kata-kata Pak Ibrahim yang lepas membuatkan niat Nur Ain terbatal begitu sahaja. Malah mana mungkin dia akan memungkiri kata-kata Pak Ibrahim yang mengharamkan kakinya memijak rumah Pak Ibrahim. Disebabkan itu jugalah sehingga kini, dia tidak berani untuk pulang ke kampung.
Mak Hamidah memandang sayu wajah Nur Ain. Betapa rindunya dia terhadap anak tunggalnya itu. Selama tiga tahun dia memendam perasaan. Bukannya dia tidak boleh menelefon Humaira bertanyakan tentang Nur Ain. Disebabkan amaran dan ugutan Pak Ibrahim, niat untuk menghubungi Nur Ain hanya tinggal sepi sahaja. Malah untuk ke rumah Humaira juga dilarang keras oleh Pak Ibrahim. Dalam keterpaksaan, Mak Hamidah menanggung rindu yang teramat terhadap Nur Ain.
“Ain dah kahwin sekarang ni. Jadi seorang isteri yang taat pada suami. Jangan sesekali melawan kata suami. Walau apa pun yang terjadi pada Ain kelak, terimanya dengan hati yang ikhlas. Redha dengan takdir yang telah ditentukan oleh ALLAH buat Ain dan jangan sesekali salahkan takdir andai kata suatu hari nanti ALLAH menguji Ain,” nasihat Mak Hamidah panjang lebar. Ditarik Nur Ain dan didakapnya kemas. Sukar untuk melepaskan Nur Ain semula.
“Insya-ALLAH mak. Ain akan ingat nasihat mak dan Ain akan tabah dalam menghadapi semua ujian yang ALLAH turunkan buat Ain,” balas Nur Ain dan mengemaskan lagi dakapan Mak Hamidah.
“Mak yakin Ain mampu hadapinya. Ingat Ain, sekarang Ain bukan lagi tanggungjawab mak dan abah. Ain dah jadi tanggungjawab suami Ain. Jadi mak minta, jaga maruah suami sepertimana Ain menjaga maruah Ain juga. Walau apa pun yang berlaku pada rumah tangga Ain, hadapinya dengan sabar dan tenang. Bawa berbincang dan selesaikannya dengan cara yang baik,” nasihat Mak Hamidah lagi. Dia meleraikan pelukan. Wajah Nur Ain ditatap kasih.
Nur Ain mengangguk faham. Matanya memandang ke wajah Mak Hamidah. Sebuah kucupan kasih diberikan kepada Mak Hamidah. Setelah itu, dia melangkah jalan menuju ke arah Hazrel yang sudah pun menantinya di kereta. Jelas riak tegang di wajah itu. Bagaimana hidupnya nanti bersama dengan lelaki yang membencinya itu? Hanya pada ALLAH, Nur Ain berserah akan takdir hidupnya.


Hazrel menghempaskan badannya ke katil. Keluhan berat terlepas dari bibirnya. Matanya dipejamkan buat seketika. Otaknya ligat berfikir. Berfikir bagaimana untuk hidup bersama Nur Ain? Sungguh bukan ini yang diminta berlaku ke atas dirinya. Seandainya Datin Salina dan Dato’ Ridzuan mengetahui akan perkahwinannya dengan Nur Ain, sudah pastilah dia akan dihamun teruk-teruk oleh Datin Salina. Sudah pastilah Datin Salina akan membunuhnya kerana mengahwini gadis kampung dan tidak berharta. Malah amaran Datin Salina selama ini, hanya sia-sia sahaja.
Hazrel bingkas bangun dari pembaringannya. Dia menapak keluar dari bilik dan menuruni anak tangga menuju ke dapur. Tekak yang kering, perlu dibasahkan. Dalam masa dia menuju ke dapur, langkahnya terhenti dengan tiba-tiba. Matanya menoleh sekilas ke arah bilik Nur Ain yang terkuak sedikit. Bilik yang dikhaskan buat Nur Ain kerana tidak mahu Nur Ain mengganggunya. Diperhatikan Nur Ain dari luar. Berkerut-kerut dahinya melihat Nur Ain. Apa yang sedang Nur Ain lakukan? Lantas dihampiri pintu bilik dengan perlahan-lahan. Mengintai akan apa yang sedang dilakukan oleh Nur Ain.
“Maafkan Ain, abang. Bukan niat Ain nak lukakan hati abang, tapi Ain terpaksa,” luah Nur Ain berserta esakan kecil.
Matanya tertancap ke arah patung beruang, sapu tangan dan surat pemberian Hazrul silih berganti. Sungguh bukan niatnya untuk memungkiri janji yang telah dibuatnya dahulu. Namun takdir telah memaksanya memungkiri janji tersebut.
Hazrel mendekatkan telinganya. Cuba untuk mendengar bait-bait kata yang dilontarkan oleh Nur Ain itu. Matanya tertancap ke arah patung beruang, sapu tangan dan sehelai kertas putih yang berada di atas katil. Berkerut-kerut dahinya melihat tingkah Nur Ain itu.
“Ain janji pada diri Ain yang Ain takkan salahkan takdir andai suatu hari nanti ALLAH menguji Ain. Ain akan ingat pesanan abang,” suara Nur Ain lagi dan menyeka air matanya yang mengalir perlahan membasahi pipi. “Ain rindukan abang!” rintihnya pula seraya membaringkan badannya ke atas katil.
Tersentak Hazrel mendengar rintihan Nur Ain itu. Tanpa disedari, tangannya tertolak pintu bilik Nur Ain membuatkan dirinya hampir terjatuh ke lantai. Dengan serta merta dia membetulkan keadaan dirinya.
“Encik Hazrel buat apa kat sini?” tanya Nur Ain terkejut.
Segera Nur Ain membangunkan badannya dan memandang Hazrel berserta kerutan di dahi. Apa yang sedang dilakukan oleh Hazrel itu?
“Aku nak minum. Kau tolong buatkan air untuk aku,” jawab Hazrel cuba menutup rasa malunya. Kemudian kakinya melangkah keluar dari bilik Nur Ain menuju ke ruang tamu. Sempat Hazrel mencuri pandang dengan tingkah Nur Ain ketika itu.
Nur Ain menyeka air matanya. Segera dia menyimpan barang-barang milik Hazrul ke dalam kotak kasut. Kemudian diletakkan kotak kasut itu di bawah katil dan menapak keluar dari dalam bilik menuju ke dapur. Sempat matanya mencuri ke wajah Hazrel yang sedang beriak tegang dan kelat.
“Ini airnya Encik Hazrel,” suara Nur Ain. Diletakkan segelas air minuman di atas meja di hadapan Hazrel.
“Hmm..” balas Hazrel. Matanya tertancap ke screen televisyen yang sudah dihidupkan.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, Ain minta diri masuk dalam bilik dulu,” pinta Nur Ain dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Yang kau bertudung berbagai-bagai ni kenapa? Kau tak rimas ke bertudung dalam rumah ni. Apa kau takut aku tergoda dengan kau ke?” sindir Hazrel seraya mencapai gelas minuman dari atas meja. Diteguk rakus air di dalamnya.
Nur Ain mengerutkan dahi. Kata-kata sindiran Hazrel buat dengar ataupun tidak sahaja. Tanpa membalas kata-kata Hazrel, segera dia membawa langkahnya menuju ke bilik. Tidak mahu melayan karenah Hazrel. Sudah ditanam dalam hatinya agar tidak terasa hati dengan kata-kata yang keluar dari mulut Hazrel. Sudah disemat dalam hati, tidak akan membalas kata-kata Hazrel. Bagi Nur Ain, biarlah apa yang Hazrel hendak katakan dan dia menerimanya dengan hati yang ikhlas.
Hazrel tersentak dengan perlakuan Nur Ain. Terasa egonya dicabar tiba-tiba. Kenapa Nur Ain seperti tidak berperasaan sahaja? Bukankah kata-katanya tadi begitu menyakitkan jika difikirkan secara logik. Dengusan keras terlepas dari bibirnya. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menapak jalan menuju ke bilik Nur Ain. Dia perlu berhadapan dengan Nur Ain.
“Insya-ALLAH, Ain baik-baik aje. Encik Hazrel layan Ain baik. Encik Izz janganlah risau,” beritahu Nur Ain jujur.
“Baguslah kalau macam tu. Saya bukannya apa Nur Ain, saya risau kalau-kalau Hazrel buli Nur Ain lagi,” suara Izzuddin risau.
Nur Ain tertawa kecil. Geli hati mendengar kata-kata Izzuddin.
“Kalau Encik Hazrel membuli Ain pun, dah memang patut Encik Izz. Ainkan isteri dia. Wajib Ain mendengar kata-kata Encik Hazrel,” jelas Nur Ain berserta senyuman di bibir.
Izzuddin melepaskan keluhan berat. Risau di hati hanya ALLAH sahaja yang tahu. Bukan niatnya untuk mengganggu Nur Ain. Tetapi disebabkan kehendak hatinya, maka dia memberanikan diri untuk menelefon Nur Ain. Sungguh hatinya tidak merelakan perkahwinan Nur Ain dan Hazrel. Namun siapalah dia untuk menghalangnya.
“Sekejap lagi saya datang ambil Ain,” beritahu Izzuddin.
“Ambil Ain?” ulang Nur Ain berserta kerutan di dahi.
“Eddie call saya suruh ambil Ain. Kan Ain nak ke rumah Humaira.”
“A’ah, Ain nak ke rumah maksu. Nak ambil barang. Kenapa Abang Eddie tak ambil Ain?” tanya Nur Ain kehairanan.
“Eddie ada hal sekejap. Tapi dia janji akan jumpa Ain kat rumah Humaira,” jujur Izzuddin.
“Oh, tak menyusahkan Encik Izz ke?”
“Eh, apa pulak susahnya. Saya tak pernah rasa susah disebabkan Ain dan Ain tak pernah menyusahkan saya.”
Tersentak Nur Ain buat seketika. Kata-kata yang mempunyai maksud tersirat. Otaknya kembali mengingati luahan hati Izzuddin pada minggu lepas.
“Okeylah Encik Izz, Ain nak sholat ni. Assalamualaikum,” dalih Nur Ain seraya mematikan talian telefon. Jika berlama entah apa lagi yang bakal diluahkan oleh Izzuddin itu.
Nur Ain meletakkan telefon bimbit di atas meja solek. Tuala yang tersangkut di penyidai pakaian dicapai. Masa sudah pun menginjak ke angka tiga petang. Dia perlu segera mengerjakan sholat sebelum terlewat. Hanya pada ALLAH, tempat Nur Ain mengadu segala resah dan gelisahnya selama ini.


Hazrel mundar mandir di dalam biliknya. Sekejap duduk sekejap berdiri dibuatnya. Tangannya mengepal penumbuk. Entah kenapa hatinya terasa sakit. Sakit yang sukar untuk ditafsirkan untuk dirinya. Kenapa dia berperasaan seperti itu? Sukar untuk menafsirkan dengan apa yang sedang berlaku padanya ketika ini. Mungkinkah disebabkan perbualan Nur Ain bersama Izzuddin membuatkan hatinya sesakit itu.
Hazrel melepaskan keluhan berat. Kata-kata peringatan dari Izzuddin dan Eddie berlegar-legar di kepala otaknya kini. Malah kata-kata mereka berdua sedikit sebanyak telah membuatkan hatinya panas ketika itu. Sesuka hati mereka berdua sahaja mengugutnya sebegitu rupa. Siapa mereka berdua dalam menentukan hala tuju kehidupannya dengan Nur Ain? Siapa mereka yang menentukan jangka hayat perkahwinannya itu?
“Aku bagi amaran kat kau Haz. Kalau kau sakiti hati Nur Ain, aku takkan lepaskan kau,” amaran Eddie tegas.
“Bukan setakat Eddie, aku juga Haz. Kalau kau cuba buli Nur Ain, aku tak teragak-agak akan rampas dia dari kau dan aku akan paksa Ain minta cerai dari kau,” ugut Izzuddin pula.
Hazrel tertawa besar mendengarnya. Matanya memandang wajah Eddie dan Izzuddin silih berganti. Siapa mereka nak mengugutnya?
“Yang korang berdua kecoh sangat ni kenapa? Aku yang kahwin atau korang yang kahwin?” balas Hazrel dan bersandar di badan kereta sambil berpeluk tubuh.
“Kami bukannya nak buat kecoh Haz. Kami sekadar nak bagi peringatan pada kau. Kalau kau lukakan hati Ain serta buli Ain, kami tak teragak-agak belasah kau Haz. Aku tak kisah kalau aku dipenjara sekali pun atas kesalahan itu,” jelas Eddie sedikit menekan.
“Aku bagi peluang pada kau Haz. Kalau kau tak berjaya pikat hati Nur Ain, aku sendiri yang akan pikat hati dia. Kau sendiri tahukan perasaan aku pada Nur Ain selama ini,” suara Izzuddin pula.
“Huh! Apalah kau ni Izz. Perempuan macam tu pun kau boleh terpikat. Mata kau tu dah buta ke? Aku sendiri yang dah jadi laki dia pun tak berselera nak tengoknya,” bidas Hazrel pedas dan tertawa.
“Kau jangan nak hina Nur Ain, Haz. Kalau sekali lagi kau hina Nur Ain, aku pecahkan mulut kau tu nanti,” marah Eddie meninggi. Tajam matanya ke muka Hazrel.
Well! Kalau kau berani, buatlah!” cebik Hazrel. “Aku nak bagi amaran pada korang berdua. Nur Ain isteri aku dan suka hati akulah nak buat apa pada dia. Korang berdua tiada hak untuk masuk campur dalam urusan rumah tangga aku,” sambung Hazrel keras.
“Nur Ain masih jadi tanggungjawab aku walaupun dia dah berkahwin,” ujar Eddie.
“Kau suami dia ke atau aku suami dia? Kalau kau suka kat dia, kenapa kau sendiri yang tak kahwin dengan dia?”
Eddie melepaskan keluhan berat. Mukanya diraup beberapa kali. Sukar untuk memahamkan Hazrel. Malah kata-kata amaran yang diberikan, hanya dipandang sepi oleh Hazrel. Bagaimana untuk membuatkan Hazrel rasa bertanggungjawab terhadap Nur Ain?
“Haz, walau sesiapa pun yang berkahwin dengan Nur Ain, aku tetap akan bertanggungjawab pada Nur Ain selagi dia tidak bahagia,” ujar Eddie lemah.
So, sekarang aku dah berkahwin dengan dia, jadi tanggungjawab kau pada Nur Ain dah lepas,” bidas Hazrel tegas berserta dengusan kasar.
“Okey, kalau kau dah kata macam tu, kami berdua terimanya Haz. Aku bagi masa setahun pada kau Haz untuk jalankan rasa tanggungjawab tu. Andai kata kau tak jalankan tanggungjawab kau tu, aku sendiri yang akan bawa Nur Ain pergi dari hidup kau. Dan aku cabar kau Haz, kalau kau berjaya buatkan Nur Ain jatuh cinta dalam masa setahun, paling kurang pun enam bulan, aku takkan ganggu kau malah nak masuk campur dalam hal kau pun aku akan cuba elakkan. But, kalau kau tak berjaya buatkan Nur Ain jatuh cinta pada kau atau sebaliknya, aku sendiri yang akan minta kau lepaskan Nur Ain dan aku yang akan membahagiakannya kelak,” jelas Izzuddin bernada ugutan.
Terkedu Hazrel mendengarnya. Matanya tajam ke muka Izzuddin yang beriak tenang. Kemudian dikalihkan pandangan ke muka Eddie, jelas riak puas di wajah itu.
“Ah! Mengarut semua tu. Kau ingat aku takut sangat dengan cabaran kau tu Izz. Tak perlu kau minta setahun atau enam bulan dari aku, dalam masa sebulan ni pun aku boleh bagi Nur Ain pada kau,” balas Hazrel tidak berperasaan.
“Kau suka cakap besar Hazrel. Aku pasti tak sampai sebulan kau akan jatuh cinta dengan Nur Ain. Dan waktu itu, kau tahulah langit tu tinggi ataupun rendah,” bidas Eddie tegas.
Hazrel tertawa besar. Geli hati mendengar kata-kata Eddie itu.
“Aku. Aku nak jatuh cinta dengan dia? Sedangkan Qistina gedik tu pun aku tak berselera nak tengoknya, inikan pula perempuan yang berparut tu. Mati hidup semula pun tak mungkin aku jatuh cinta dengan dia,” cebik Hazrel dan masih tergelak.
Eddie dan Izzuddin menggelengkan kepala. Kenapa Hazrel masih mempertahankan egonya? Kenapa Hazrel masih bersikap angkuh dan sombong? Entah bilalah Hazrel akan berubah, mereka sendiri tidak pasti. Mungkin Nur Ain yang akan mengubah Hazrel, manalah tahukan? Duga hati Izzuddin dan Eddie.
“Encik Hazrel nak makan?” tanya Nur Ain tiba-tiba dari arah pintu bilik.
Tersentak Hazrel dengan pertanyaan Nur Ain itu. Lamunannya yang panjang tadi, berterbangan entah ke mana. Matanya dihalakan ke arah Nur Ain. Dengusan kasar terlepas dari bibirnya.
“Kalau nak makan, Ain siapkan,” suara Nur Ain lagi. Dia menanti penuh sabar jawapan dari Hazrel sambil cuba menahan rasa takutnya tatkala Hazrel memandang tajam ke arahnya.
“Aku tak lapar. Kau tak payah nak buat baik dengan aku. Dan jangan kau ingat yang aku akan layan kau sebagai isteri aku,” jawab Hazrel dan menapak jalan ke muka pintu bilik. “Kau tak cantik, kau tak menarik, kau tak berharta, kau kekampungan dan menyusahkan. Mana mungkin kau layak untuk aku. Tak pernah terlintas di fikiran aku untuk memikirkan kau. Ingat kata-kata aku ni,” sambung Hazrel keras seraya menutup pintu biliknya dengan kasar. Melepaskan rasa marah terhadap Eddie dan Izzuddin.
Terkedu Nur Ain buat seketika. Mujurlah dirinya tidak terlalu rapat dengan pintu bilik itu. Jika tidak mahu penyek hidungnya dibuatkan oleh Hazrel. Lantas diketuk pintu bilik Hazrel. Dia perlu meminta izin Hazrel untuk ke rumah Humaira. Masih banyak lagi barang miliknya yang belum diambil dari rumah Humaira.
Hazrel mendengus geram. Sakit hatinya mendengar ketukan di pintu. Perempuan ni tak faham bahasa betullah. Nak kena penampar dari aku gamaknya ni, marah Hazrel di dalam hati. Tangannya sudah memulas tombol pintu bilik. Terjengul wajah Nur Ain sebaik sahaja dia membuka pintu biliknya itu.
“Kau nak apa?” tanya Hazrel meninggi.
“Err…” terkedu Nur Ain buat seketika. Dia menggaru kepalanya yang bertudung.
“Kau ni dah pekak ke apa yang aku tanyakan tadi. Kau nak apa?”
“Ain… Ain…”
“Apa Ain… Ain…” jerkah Hazrel meninggi.
Terhenjut tubuh Nur Ain mendengar jerkahan itu. Matanya terpahat kaku ke wajah tegang Hazrel. Entah bilalah Hazrel akan berubah sikap, Nur Ain tidak pasti. Walaupun perkahwinannya dengan Hazrel bukan atas kehendak Hazrel mahupun dirinya sendiri, namun dia cuba untuk menerima perkahwinan itu dengan hati yang ikhlas.
“Ain nak minta izin keluar,” suara Nur Ain perlahan dan menunduk.
“Kalau kau nak keluar, kau keluarlah. Buat apa nak minta izin aku pulak.”
“Encik Hazrel kan suami Ain. Jadi wajib untuk Ain minta izin Encik Hazrel kalau nak keluar ke mana-mana.”
“Suka hati kaulah nak pergi mana. Aku izinkan asalkan kau tak kacau hidup aku,” ujar Hazrel dan menapak masuk ke dalam biliknya semula.
“Ain nak ke rumah maksu. Sekejap lagi Encik Izz datang ambil Ain,” beritahu Nur Ain jujur dan membuntuti Hazrel masuk ke dalam bilik.
Berkerut dahi Hazrel mendengarnya. Lantas dipusingkan badannya ke belakang. Terkejut dia dengan kehadiran Nur Ain di belakangnya itu. Hampir berlanggar tubuhnya dengan tubuh Nur Ain. Dadanya berombak kencang dengan tiba-tiba.
“Maaf, tak sengaja,” ucap Nur Ain perlahan.
Entah hantu mana yang merasuk Nur Ain, dengan selambanya dia menarik tangan Hazrel lalu mencium tangan tersebut. Setelah itu, segera dia membawa dirinya keluar dari bilik Hazrel. Khuatir Hazrel akan memarahinya dengan insiden yang berlaku sebentar tadi.
“Ain tidur rumah maksu malam ni,” beritahu Nur Ain sebelum memboloskan dirinya keluar dari bilik Hazrel.
Tersentak Hazrel dengan perlakuan Nur Ain sebentar tadi. Sungguh tidak menyangka Nur Ain begitu berani mencium tangannya. Segera dihalakan matanya mengekori langkah Nur Ain sehinggalah kelibat itu hilang dari pandangan mata. Tangannya menyentuh lembut dadanya yang berombak kencang. Ada debaran dari dalam dadanya itu. Aduh! Kenapa ni? Sakit hati aku ni kenapa? Soal Hazrel sendirian.
Lantas dia menapak jalan menuruni tangga menuju ke ruang tamu dan menghampiri jendela. Matanya meninjau-ninjau kelibat Nur Ain. Membuntang matanya melihat kelibat Izzuddin sedang membukakan pintu kereta buat Nur Ain. Ada perasaan lain yang sedang menjalar dalam dirinya ketika itu. Melampau betul minah ni. Izz tu pun satu, tak malu ke bukakan pintu untuk minah kampung macam tu, mengalahkan artis. Menyampah betul aku tengoknya, geram Hazrel di dalam hati.
“Huh! Lantak kau la. Tak balik rumah aku pun tak apa. Ada aku kesah,” cebik Hazrel dan menapak jalan menuju ke biliknya semula. Rasa sakit hatinya masih lagi bersisa. Disebabkan apa, dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah disebabkan Nur Ain dan Izzuddin maka dia bersikap sebegitu rupa. Ah! Tak mungkin, hatinya membidas pantas.


“Ain nak tidur sini?” tanya Humaira berkerut.
Nur Ain sekadar mengangguk.
“Hazrel tak marah ke?” tanya Eddie pula.
Nur Ain menggeleng.
“Entah-entah dia lagi suka kalau Nur Ain tak balik rumah dia kot,” sampuk Izzuddin.
“Walau apa pun Izz, Hazrel tu suami Ain. Nak tak nak, Ain kena minta izin Hazrel kalau nak ke mana-mana,” bidas Eddie lembut.
“Ain dah minta izin. Encik Hazrel kata, dia tak kesah ke mana aje Ain nak pergi, asalkan tak kacau hidup dia,” jujur Nur Ain.
“Ha, kau tengok tu Die. Belum cukup 24 jam lagi dia dah bagi warning pada Ain. Itu belum sebulan Ain hidup dengan dia,” rungut Izzuddin tidak berpuas hati.
Eddie menggelengkan kepala. Matanya menjamah wajah Nur Ain. Sebak dan sayu tatkala melihatnya. Entah bilalah Nur Ain akan hidup bahagia, Eddie sendiri tidak pasti. Adakah Hazrel orang yang dapat membahagiakan Nur Ain?
“Maksu rasa ada baiknya Ain balik rumah Hazrel. Takut Hazrel perlukan apa-apa nanti. Bila-bila nanti Ain boleh tidur rumah maksu. Ain kan baru berkahwin dengan Hazrel, tak manis tinggalkan suami sendirian di rumah,” ujar Humaira sekadar memberi pendapat.
Nur Ain hanya menunduk dan mendengar. Ada benarnya kata-kata Humaira itu. Seorang isteri perlu berada di sisi suami. Menjaga segala keperluan suami. Tetapi, apalah gunanya jika dia menjalankan tanggunggjawab seorang isteri jika Hazrel tidak menerimanya dengan hati yang ikhlas sepertimana dia menerima perkahwinan ini dengan hati yang ikhlas.
“Betul juga kata maksu tu Ain. Lain kali ajelah Ain tidur di rumah maksu. Walau bagaimana penerimaan Hazrel terhadap Ain, Hazrel tetap suami Ain yang sah,” nasihat Eddie pula dan tersenyum.
“Tapi…”
“Dahlah. Lepas ambil barang-barang Ain, abang hantarkan Ain balik rumah Hazrel ya,” pujuk Eddie pula.
Nur Ain hanya mengangguk. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menapak masuk ke dalam bilik. Terasa sebal hatinya waktu tu. Mahu tak mahu terpaksa juga dia mengemas barang dan pulang ke rumah Hazrel. Sudah diingatkan Humaira agar mengemas barang keperluannya, tetapi hatinya berdegil untuk tidak berbuat begitu. Cuma beberapa pakaian penting yang dibawanya ke rumah Hazrel termasuklah kotak kasut yang berisi barangan Hazrul. Mana mungkin dia akan meninggalkan kotak tersebut. Hanya itu sahaja peninggalan Hazrul buat dirinya selama ini.


“Gelap aje saya tengok rumahnya Ain, Hazrel tak ada kat rumah ke?” tanya Izzuddin berkerut.
“Tak ada kot,” jawab Nur Ain seraya membuka pintu kereta.
Izzuddin mematikan enjin kereta. Segera dia memboloskan badannya keluar dari perut kereta. Matanya tertinjau-tinjau kawasan rumah Hazrel. Rumah banglo dua tingkat yang baru dibeli oleh Dato’ Ridzuan khas buat Hazrel. Sungguh cantik dan tersergam indah dari pandangan mata. Kagum Izzuddin melihatnya.
“Habis tu, Ain nak tunggu Hazrel balik ke?”
Nur Ain menjungkitkan bahu. Dia melabuhkan duduknya di atas batu yang terdapat di luar rumah. Nafas pendek dihela dan melepaskannya lembut.
“Ain ada kunci rumah tak?”
Nur Ain menggelengkan kepala. Mustahil Hazrel akan menyerahkan kunci rumah kepadanya. Siapalah dirinya di mata Hazrel. Hanya kebencian sahaja yang dilihat dari sinar mata Hazrel itu.
Izzuddin mengeluh berat. Matanya memandang sayu ke arah Nur Ain yang sedang menongkat dagu. Segera tangannya menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor Hazrel di dail dan menanti panggilan dijawab. Namun tiada balasan dari pihak Hazrel.
“Encik Izz baliklah dulu. Biar Ain aje tunggu kat luar ni,” ujar Nur Ain.
Melihatkan Izzuddin yang bersusah payah menemaninya di luar, rasa bersalah menyerbu Nur Ain ketika ini. Berkeras Nur Ain menolak pelawaan Izzuddin walaupun Eddie terlebih dahulu menawarkan diri untuk menghantarnya pulang. Atas desakan Eddie dan Humaira, mahu tak mahu, Nur Ain terpaksa menerimanya. Sungguh Nur Ain tidak mahu menyusahkan Izzuddin memandangkan Izzuddin setaraf dengan Hazrel.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Hazrel tiba-tiba dari arah belakang.
Serentak Izzuddin dan Nur Ain menoleh. Wajah Hazrel yang tegang menyapa mata mereka. Bingkas Nur Ain bangun dari duduknya. Terasa jantung Nur Ain berdegup dengan kencang. Mungkin menahan ketakutan melihatkan wajah tegang Hazrel itu.
“Kau dari mana Haz?” tanya Izzuddin mematikan pertanyaan Hazrel.
“Suka hati akulah nak ke mana. Yang kau sibuk ni kenapa?” balas Hazrel sinis.
Izzuddin menarik nafas dan melepaskannya. Matanya menoleh sekilas ke arah Nur Ain yang menunduk. Seakan takut dengan Hazrel.
“Aku bukan menyibuk Haz. Aku kesiankan Ain tunggu kau lama kat luar ni. Itu pun kira nasib baik kau balik, kalau kau tak balik, ke mana dia nak pergi malam-malam buta begini,” nasihat Izzuddin lembut.
 “Aku peduli apa. Dia sendiri yang cakap nak tidur rumah maksu dia. Kenapa tiba-tiba balik pulak?” bidas Hazrel sinis dan menapak masuk ke dalam rumah setelah pintu pagar automatik terbuka.
“Nur Ain isteri kau Hazrel. Isteri yang sah. Seorang isteri perlu berada di sisi suami. Sebab itulah kami minta Nur Ain balik ke sini walaupun dia berkeras nak tidur di sana,” suara Izzuddin seraya menghampiri Hazrel. “Aku sayang dan cintakan Nur Ain. Aku tak nak tengok orang yang aku sayang dan cinta menderita. Kalau itu yang berlaku Haz, aku tak teragak-agak untuk rampas Nur Ain dari kau,” sambung Izzuddin bernada ugutan. Bahu Hazrel disentuh lembut. Setelah itu segera dia membawa kakinya keluar dari halaman rumah Hazrel.
“Ain masuklah. Tak elok duduk lama-lama kat luar ni, sejuk,” arah Izzuddin berserta senyuman di bibir.
“Terima kasih sebab sudi hantarkan Ain ke sini. Nanti Ain call Encik Izz,” ucap Nur Ain turut sama tersenyum.
Izzuddin mengangguk. Segera dia memboloskan diri masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin. Seminit kemudian, kereta Izzuddin hilang dari pandangan matanya. Lantas dibawa kakinya masuk ke dalam perkarangan rumah. Hazrel sedang memandangnya dengan pandangan yang tajam dari muka pintu utama.
“Mentang-mentanglah Izzuddin dan Eddie membela kau, jadi kau boleh tunjuk lagak dengan aku la ya,” sindir Hazrel dan mendengus keras. “Bukan ke kau kata nak tidur kat sana, kenapa kau balik ke sini pulak?” tanyanya.
“Ain… Ain…”
“Ain… Ain… apa? Boleh tak kau jangan tergagap-gagap bila menjawab,” suara Hazrel meninggi dan menapak masuk ke dalam rumah setelah pintu utama dibuka.
Nur Ain sekadar membisu. Dia membuntuti Hazrel masuk ke dalam rumah dan menuju terus ke arah biliknya di tingkat bawah. Tidak mahu membalas kata-kata Hazrel. Mungkin dengan cara ini sikap Hazrel akan berubah. Jika dibalas, sampai bila-bila pun Hazrel tidak akan berubah. Semoga doanya akan dimakbulkan oleh ALLAH suatu hari nanti. Andai perkara itu terjadi, dialah orang pertama yang gembira. Walaupun rasa benci terhadap Hazrel sedikit menumpang di dalam hatinya, namun akan dicuba usir perasaan benci itu dari dalam dirinya.
“Kau nak ke mana?” tanya Hazrel kasar.
Terhenti langkah Nur Ain. Segera dipusingkan badan mengadap Hazrel yang sedang berwajah tegang.
“Nak masuk bilik,” jawab Nur Ain.
“Siapkan makanan untuk aku sekarang!” arah Hazrel tegas.
“Err, Ain tak pandai masak.”
What! Tak pandai masak? Kau kan berasal dari kampung, mustahil kau tak pandai masak.”
Nur Ain menggaru kepalanya yang bertudung. Wajah tegang Hazrel ditatap mesra.
“Kau masakkan aku apa-apa ajelah. Aku tengah lapar ni,” pinta Hazrel dan menapak jalan ke anak tangga menuju ke biliknya. Terasa penat badannya ketika itu.
Nur Ain sekadar mengangguk. Matanya menghantar langkah Hazrel hingga hilang dari pandangan mata. Segera dia membawa barang-barangnya masuk ke dalam bilik. Jam di dinding dikerling buat seketika. Masa sudah menginjak ke angka lapan empat puluh lima malam. Tuala mandi di capai lalu menuju ke bilik air. Dia perlu mengadap ALLAH sebelum memulakan tugas memasak.

Pasti terkejut dgn perubahan HH kan??

16 ulasan:

  1. kenapa Ain tak pandai masak? uhuhuhu....

    BalasPadam
  2. ain xpandaii masak?? alaa.. jth saham cenggini.. lagi naek tanduk pakcik tu..
    da pandai rs sakit hati ye haz? :P

    BalasPadam
  3. iye k ain tak pandai masak..k saje je..huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. sabar ya.. bab 14 ada jwpnnya.. :D

      Padam
  4. Salam...Eliza...tak nampak pun perubahan mamat poyo a.k.a Hazrel tu...lagi berlagak adalah....tak pun mamat poyo tu keliru dengan perasaan dia sendiri...separuh macam dah suka...separuh lagi masih membenci...tapi saya suka dengan sikap Ain...yg tak sukanya kenapa Ain tak pandai masak??...biar betik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm... blm lg npk perubahannya.. cuma perubahannya dlm hati dh ada taman.. hahaha... bab 14 adalah jwpn utk Ain tu.. :D

      Padam
  5. kalau saya jadi ain,saya masak maggie kari berapi biar berasap satu badan mat poyo tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. maggie kari berapi lg tu.. mmg bertambah berasap la mat poyo tu.. x psl2 Ain pulak yg kena.. huhuhu... :D

      Padam
  6. first...xde pon HH berubah. still longkang gak mulut dia. tp perasan dia dh terusik skit lah.

    anyway....nape sume org x suka ain x reti masak?
    everyone ada kelemahan lah.. *org yg tak reti msk ni terasa*

    tak reti boleh belajar!!

    btw, nk tanya..kak ros dh cerita ke kenapa dahi ain berparut? q dh lupa lah. kenapa ek?

    BalasPadam
    Balasan
    1. alahai, adikku sorg dh terasa la pulak.. huhu..

      ttg parut 2 akak blm cerita lg.. next2 chptr akn ada bgtau mcm mana dahi Ain tu blh berparut..

      jgn risau ya.. setiap persoalan ada jwpnnya nti..

      Padam
  7. hazrel juara mulut longkang..hikhikhik..nyampah tul ngn dia ni.tp hati dah terusik buat2 ego lak....huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. eh3.. farah dh ada la.. dh hbs exam ke?? hehe.. jgn marah2 kat hero akak tu.. dh nk tersungkur dh 2... huhu.. :D

      Padam
    2. heheheh....smlm da abis exam...bru lah leh blogging dengan senang lenang...hihihi :)

      Padam
    3. hehehe.. yeke, pttlah.. lps ni blogging ajelah ye.. hihi.. :D

      Padam