Rabu, 21 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 14


BAB 14

“Encik Hazrel!” laung Nur Ain dari luar sambil tangannya mengetuk pintu bilik. Bertalu-talu dia mengetuknya, namun tiada balasan dari Hazrel.
Hisy, mana dia ni. Tadi dia yang suruh kita masak. Bila dah masak, tak nak pulak keluarnya. Nanti bila tak panggil, marahkan kita. Bila dah panggil tak nak pulak jawabnya, bebel Nur Ain di dalam hati. Tangannya masih lagi mengetuk pintu bilik Hazrel.
“Yang kau ketuk aku ni kenapa?” marah Hazrel tiba-tiba.
Terkejut Nur Ain mendengarnya. Segera dia menarik tangannya ke bawah. Sungguh dia tidak menyedari Hazrel sudah pun membuka pintu bilik. Entah bila tangannya mengetuk kepala Hazrel, Nur Ain tidak pasti. Geli hati pula dirasakannya ketika itu. Dengan tiba-tiba, ketawanya pecah dari bibirnya itu.
“Yang kau ketawa ni kenapa?” jerkah Hazrel meninggi. Sakit hatinya mendengar ketawa Nur Ain itu.
“Opss, maaf. Ain tak sengaja,” ucap Nur Ain lembut dan menekup mulutnya sendiri.
Hazrel mendengus kasar. Matanya tajam ke muka Nur Ain. Sejak bila Nur Ain pandai bergurau dengannya, dia sendiri tidak tahu. Jika dulu hanya wajah menunduk yang dilihatnya dari Nur Ain, tetapi kenapa hari ini dia melihat perbezaan itu dari Nur Ain.
“Kau nak apa ketuk bilik aku malam-malam buta ni?” tanya Hazrel masih meninggi.
“Err, makanan dah siap. Encik Hazrel turunlah makan,” jawab Nur Ain.
Setelah itu segera dia membawa langkah menuruni anak tangga. Tidak mahu bertatapan dengan Hazrel. Jika berlama, mahu dihamburkan segala isi marah kepadanya nanti.
Hazrel melepaskan nafas berat. Langkah di atur menuruni anak tangga. Matanya mencari kelibat Nur Ain namun kelibat itu tiada. Panggil aku makan, dianya entah ke mana, rungut Hazrel sendirian. Hisy, sejak bila pulak aku ambil berat pasal dia ni, soalnya pula.
“Ain minta maaf sebab rosakkan telefon abang. Ain tak sengaja,” suara Nur Ain lembut.
Terhenti langkah Hazrel mendengar suara Nur Ain. Matanya meninjau ke dalam bilik Nur Ain. Ada perasaan halus yang memintanya melihat dan mendengar.
“Ain janji lepas ni, Ain akan jaga barang-barang abang dengan elok. Ain sedih bila Ain lemparkan telefon bimbit abang hari tu, tapi masa tu Ain tengah marah. Abang maafkan Ain ya,” sambung Nur Ain lagi.
Berkerut dahi Hazrel mendengarnya. Siapa ‘abang’ yang dimaksudkan oleh Nur Ain itu? Dari siang tadi lagi dia mendengar Nur Ain berkata begitu. Sungguh hatinya tertanya-tanya ketika ini. Malah barang-barang yang dilihatnya siang tadi juga menambahkan rasa curiganya. Gila ke minah ni? Cakap sorang-sorang, pastu tengok barang-barang buruk tu. Entah dari mana dia kutip pun aku tak tahu, kutuk Hazrel di dalam hati. Lantas dibawa kakinya menapak masuk ke dalam bilik Nur Ain. Seakan remote control sedang mengawal langkahnya itu.
“Ehem… ehem…” dehem Hazrel dari arah belakang.
Tersentak Nur Ain mendengar deheman tersebut. Segera dia menoleh ke belakang. Berderau darah Nur Ain melihat Harzel sedang berdiri di belakangnya.
“Kenapa tak ketuk dulu sebelum nak masuk?” marah Nur Ain pantas berdiri.
Terkedu Hazrel buat seketika. Matanya menjamah wajah Nur Ain yang tidak bertudung. Rambut Nur Ain yang ikal mayang menampakkan keayuan wajah Nur Ain. Walaupun parut di dahi Nur Ain sedikit mencacatkan, namun masih tampak manis dari pandangan matanya.
“Encik Hazrel nak apa?” tanya Nur Ain sedikit menekan.
“Aku… aku…” kali ini Hazrel pula yang tergagap.
Nur Ain berkerut. Apa yang tak kena dengan aku ni? Kenapa dia pandang aku semacam? Selalunya nak tengok aku pun dia benci, inikan pula nak tengok aku lama-lama macam tu. Dah gila ke dia ni, monolog Nur Ain sendirian. Eh, macam ada yang tak kena aje, bisiknya lagi. Lantas dia menepuk dahi tatkala menyedari kepalanya tidak bertudung. Segera dia mencapai tudung di birai katil dan memakaikannya di kepala.
“Encik Hazrel nak apa?” ulang Nur Ain lagi.
“Temankan aku makan,” balas Hazrel dan menapak keluar dari bilik Nur Ain.
Tangannya menyentuh lembut dadanya yang sedang berombak kencang. Entah kenapa, dia sendiri tidak pasti. Mungkinkah disebabkan Nur Ain, maka dadanya berkeadaan begitu.


“Kau kata tak pandai masak. Aku tengok banyak lauk yang kau masak. Kau ingat ada kenduri ke kat rumah ni, membazir kau tahu tak?” tegur Hazrel keras.
Nur Ain hanya membisu. Tangannya lincah menyeduk nasi dan lauk pauk ke dalam pinggan Hazrel. Teguran Hazrel antara dengar ataupun tidak. Bukan niatnya untuk menjadi isteri yang derhaka, tetapi hatinya menolak terus. Hazrel teramat membencinya, dan disebabkan itulah Nur Ain tidak ambil peduli akan kata-kata Hazrel. Jika dilawan, hatinya akan bertambah sakit. Rasa sakit hatinya pada Hazrel atas kata-kata penghinaan yang lepas, masih tersemat kemas di dalam kotak fikiran. Tidak mungkin semudah itu dia melupakan dengan apa yang diperkatakan oleh Hazrel dulu. Malah sampai bila-bila pun Nur Ain akan memahat kemas kebencian Hazrel di dalam hatinya itu.
“Kau ni pekak ke? Aku kan tengah bercakap dengan kau. Dah tak ada mulut nak menjawab ke?” geram Hazrel pula tatkala kata-katanya tidak dilayan oleh Nur Ain.
“Encik Hazrel nak apa lagi? Suruh masak, Ain dah masak. Suruh temankan, Ain dah temankan. Encik Hazrel nak suruh Ain duduk sekali ke? Rasanya tak mungkin Encik Hazrel nak suruh Ain duduk sama. Encik Hazrel kan benci tengok muka Ain ni. Ain kan tak cantik, tak menarik, tak berharta, kekampungan dan menyusahkan,” luah Nur Ain geram. Memulangkan paku buah keras kepada Hazrel. Setelah itu, dia menapak jalan untuk beredar dari situ.
“Apa masalah kau yang sebenarnya ni?” tanya Hazrel pantas berdiri. Lengan Nur Ain ditarik. Serta merta langkah Nur Ain terhenti.
“Masalah? Bila masa pulak Ain ada masalah?” tanya Nur Ain sedikit tegas.
“Yang kau nak sindir aku dengan kata-kata aku siang tadi tu kenapa? Kau nak balas dendam pada aku ke?” tanya Hazrel meninggi. Tajam matanya ke muka Nur Ain.
“Suka hati Encik Hazrellah!” ujar Nur Ain seraya menarik lengannya dari pegangan Hazrel. Langkah di atur menuju ke biliknya.
Hazrel mengepal penumbuk. Sakit hatinya melihat tingkah Nur Ain. Kenapa Nur Ain berubah secara drastik? Nur Ain yang dikenalinya dulu bukanlah Nur Ain yang sedang berdiri di hadapannya kini. Nur Ain yang dulu mengikut kata serta arahannya. Nur Ain yang dulu tidak pernah melawan kata-katanya malah untuk membalas kata-katanya juga, Nur Ain tidak berani. Tetapi, kenapa hari ini dia melihat semua itu dari dalam diri Nur Ain. Malah kebencian terselit dari sinar mata Nur Ain. Adakah Nur Ain membencinya?
“Siapa lelaki yang kau panggil ‘abang’ tu? Pakwe kau ke?” tanya Hazrel. Ada nada cemburu dari suaranya itu.
Terhenti langkah Nur Ain mendengar pertanyaan Hazrel itu. Segera dikalihkan matanya ke wajah Hazrel yang sedang beriak selamba.
“Kalau pakwe Ain kenapa?” tanya Nur Ain sekadar ingin menduga.
Hazrel mengepal penumbuk. Matanya tajam ke muka Nur Ain.
“Habis tu, yang kau gatal nak kahwin dengan aku kenapa? Kau kahwin ajelah dengan pakwe kau tu,” sindir Hazrel dan berpeluk tubuh sambil bersandar di meja.
“Encik Hazrel yang gatal nak kahwin dengan Ain. Kalau tidak, kenapa Encik Hazrel mengaku bersalah masa pegawai JAIS tu tanya. Kan lagi bagus kalau Encik Hazrel mengaku tak bersalah, tak perlulah berkahwin dengan Ain,” bidas Nur Ain tegas.
“Kau dah melampau Nur Ain. Kau sedar tak siapa kau dengan aku. Kau isteri aku, jangan sesekali kau melawan cakap aku atau meninggikan suara pada aku.”
“Oh, tentang itu, Encik Hazrel tahu pulak. Tapi, tentang penghinaan, kata-kata kesat dan kutukan yang Encik Hazrel hamburkan pada Ain dulu, tak pernah pulak Encik Hazrel ambil peduli,” sindir Nur Ain. “Dahlah Encik Hazrel, Ain nak masuk tidur dulu. Kalau Encik Hazrel tak nak makan, simpankan lauk pauk tu semua dalam peti ais. Encik Hazrel juga kata tadi, jangan membazirkan,” sambung Nur Ain dan menapak masuk ke dalam bilik. Jika berlama, tidak mustahil dia akan menjadi seorang isteri yang derhaka dan dia tidak mahu dilabelkan seperti itu.
Bertambah geram Hazrel mendengar dan melihat tingkah Nur Ain. Hatinya turut sama sakit dengan pengakuan Nur Ain sebentar tadi. Ah! Kenapa aku ambil peduli dengan kata-kata dia tadi? Kenapa terasa sakit hati aku ni sekarang? Tak mungkin aku suka kat dia. Tak mungkin aku jatuh cinta kat dia. Dia tak layak untuk aku cintai, bidas Hazrel sendirian. Kemudian dia menapak masuk ke dalam bilik Nur Ain. Rasa sakit hatinya perlu dihamburkan. Jika tidak, rasa sakit itu akan sebati dalam dirinya nanti.
“Apa Encik Hazrel buat ni?” bentak Nur Ain tatkala telefon bimbitnya dirampas Hazrel.
“Aku nak buang telefon ni. Aku tak nak kau simpan benda alah ni lagi.”
“Bagi balik!”
“Aku belikan kau telefon yang lain. Kau pilih aje yang mana satu kau nak.”
“Ain tak nak. Bagi balik telefon tu!” bentak Nur Ain lagi dan cuba merampas telefon bimbit dari pegangan Hazrel.
“Aku takkan serahkan. Aku nak kau buang terus lelaki yang kau panggil ‘abang’ tu dari kamus hidup kau, termasuk juga dengan telefon bimbit ni,” putus Hazrel meninggi dan menapak keluar dari bilik Nur Ain.
Nur Ain terduduk di birai katil. Tanpa di pinta, air matanya mengalir deras membasahi pipi. Sungguh hatinya sedih dan pilu tatkala mendengar kata putus Hazrel. Kenapa Hazrel bersikap kejam terhadapnya? Apa hak Hazrel untuk berbuat begitu?
“Tolonglah serahkan telefon tu balik pada Ain,” rayu Nur Ain sebelum Hazrel keluar dari biliknya. “Itu tanda kenangannya buat Ain,” sambung Nur Ain dalam esakan tangisan.
Dipeluk erat kedua-dua belah lutut dan menyembamkan mukanya ke dalam lutut. Air matanya semakin laju mengalir di pipi.
Hazrul tidak menghiraukan rayuan Nur Ain. Dia membawa langkahnya menuju ke biliknya di tingkat atas. Puas hatinya selepas merampas telefon bimbit tersebut dari tangan Nur Ain. Rasa sakit hatinya semakin bersurut. Namun langkahnya terhenti dengan tiba-tiba. Cemburu? Entah kenapa perkataan itu tiba-tiba meniti di benak hatinya. Mengarut! Buat apa aku nak cemburu dengan lelaki tu, bidas hatinya pantas.


“Ha Eddie, baru balik?” tegur Tan Sri Zafrudin dari arah ruang tamu.
“Papa tak tidur lagi?” tanya Eddie dan menapak jalan ke ruang tamu.
“Papa ada kerja sikit. Eddie dari mana? Rumah Humaira ke?”
“A’ah pa, Die dari rumah Mai.”
Tan Sri Zafrudin menghela nafas pendek. Cermin mata yang bergayut di batang hidung ditanggalkan dan diletakkan di atas meja. Wajah anak tunggalnya ditatap mesra.
“Macam mana dengan Nur Ain?” tanya Tan Sri Zafrudin berbasa basi.
Kisah Nur Ain sudah diceritakan Eddie kepadanya. Sungguh dia merasa kasihan dengan apa yang berlaku terhadap Nur Ain selama ini. Tidak menyangka begitu sekali penerimaan Hazrel terhadap Nur Ain. Bukannya Tan Sri Zafrudin tidak kenal dengan Hazrel, Dato’ Ridzuan merupakan rakan perniagaannya.
Eddie mengeluh berat. Dia melabuhkan duduknya berhadapan dengan Tan Sri Zafrudin. Matanya menjamah wajah tua papanya.
“Nur Ain baik-baik aje papa. Cuma Die risau kalau Hazrel tak hargai Nur Ain,” jawab Eddie.
“Insya-ALLAH Die, papa yakin Hazrel akan jadi seorang suami yang bertanggungjawab pada Nur Ain. Lagipun Hazrel bukanlah seteruk mana. Mungkin disebabkan kematian Hazrul membuatkan Hazrel berubah laku.”
“Mungkin juga pa. Die pun harap Hazrel akan jadi seorang suami yang bertanggungjawab. Die yakin hanya Nur Ain yang dapat mengubah Hazrel,” sokong Eddie. “Die naik atas dulu papa,” pamit Eddie seraya bangun.
Tan Sri Zafrudin mengangguk. Matanya menghantar langkah Eddie hingga hilang dari pandangan mata. Semoga Nur Ain berbahagia, doanya di dalam hati.


Seusai sholat, Eddie melabuhkan duduk di atas kerusi. Terasa tenang selepas menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang Islam yang sejati. Segala resah dan gelisah, di adukan kepada-NYA. Semoga apa yang didoakan pada ALLAH, akan dimakbulkan. Segala doa yang dipohon lebih kepada Nur Ain. Sungguh hatinya terlalu menyayangi Nur Ain. Hanya Nur Ain menjadi tanggungjawabnya sekarang. Mujurlah Tan Sri Zafrudin memahami akan niatnya ketika memperkenalkan Humaira suatu ketika dulu. Jika tidak, mungkinkah Tan Sri Zafrudin akan seperti Datin Salina, memandang hina pada golongan bawahan sepertimana dia menghina Nur Ain suatu ketika dulu.
Eddie menarik laci. Matanya tertancap kepada sekeping sampul surat berwarna coklat. Dikeluarkan sampul surat tersebut dan diletakkan di atas meja. Beberapa keping gambar dikeluarkan dari dalam sampul surat tersebut. Gambar milik Nur Ain yang ditangkap bersama seorang lelaki. Entah siapa yang menangkapnya, Eddie kurang pasti. Gambar yang diserahkan oleh Hazrul sebelum Hazrul kemalangan sekali gus meragut nyawanya. Pertemuannya dengan Hazrul ketika cuti semester sebulan bermain di tubir matanya. Pertemuan terakhirnya dengan Hazrul. Mujurlah ketika itu dia tidak mengikut rancangan Hazrel untuk mengelilingi bumi Australia waktu itu, jika tidak, mustahil dia akan berjumpa dengan Hazrul buat kali terakhir sekali gus mengetahui akan kisah Hazrul bersama Nur Ain.
“Aku nak minta tolong kau Die. Tolong aku siasat siapa punya kerja semua ni. Aku yakin Nur Ain bukan jenis orang yang macam ni,” pinta Hazrul berharap.
Eddie mengeluh berat. Matanya masih lagi ralit memerhatikan beberapa keping gambar yang diserahkan oleh Hazrul kepadanya. Dia juga terkejut melihat gambar-gambar tersebut.
“Aku boleh siasatnya Az. Kau bagi aku masa untuk menyiasatnya,” beritahu Eddie.
“Aku tak sangka Die. Sampai begini sekali diorang nak fitnah dan aniaya Ain. Apa salah Ain? Adakah disebabkan aku menyintai Ain, maka diorang sanggup mengaibkan Ain sebegitu rupa,” jelas Hazrul berserta keluhan berat.
“Az, sabar. Aku akan cuba siasat siapa dalang semua ni.”
“Aku sayangkan Ain, Die. Aku cintakan Ain. Tak sampai hati aku nak lihat Ain menangis. Ain terlalu polos. Ain tak seperti gadis-gadis lain yang pernah aku jumpa. Ain seorang gadis yang tabah. Senyumannya ikhlas dan tidak berpura-pura. Disebabkan itulah aku jatuh cinta dengan Ain,” luah Hazrul sebak.
Eddie mengangguk faham. Bahu Hazrul disentuh lembut. Terasa pilu melihat wajah muram kawan baiknya itu.
“Aku pasti Die. Aku pasti ada orang yang sengaja nak kenakan Ain,” luah Hazrul lagi.
“Az, walaupun aku tak kenal siapa Nur Ain, malah belum pernah berjumpa dengannya, aku yakin dengan apa yang kau cakapkan ni. Aku akan cuba siasat siapa punya angkara ni,” balas Eddie.
Hazrul tersenyum kelat. Wajah Eddie ditatap mesra. Syukur kepada ALLAH kerana menemukannya dengan seorang sahabat sebaik Eddie. Jika bukan kerana kesilapan Eddie memanggilnya Hazrel sewaktu di universiti suatu ketika dahulu, tidak mustahil dia akan berjumpa dengan Eddie. Tambahan pula Tan Sri Zafrudin merupakan rakan perniagaan papanya juga. Disebabkan itu, dia dan Eddie serapat ini. Segala masalah diceritakan kepada Eddie. Dan hanya pada Eddie, Hazrul meluahkan perasaannya terhadap Nur Ain.
“Kau janganlah risau sangat. Aku janji akan tolong kau siasat perkara ni,” ujar Eddie cuba untuk menenangkan perasaan Hazrul.
“Aku sayang dan cintakan dia Die. Andai kata suatu hari nanti aku pergi dulu dari kau Die, aku amanahkan kau untuk jaga Nur Ain. Kau tolong bela nasib dia Die. Kau bagi semangat pada dia andai kata suatu hari nanti ALLAH menguji dia. Kau anggap Nur Ain seperti adik kau. Boleh tak kau tunaikan permintaan aku ni?” luah Hazrul penuh pengharapan.
“Az, apa yang kau cakapkan ni?” tegur Eddie keras. Tidak suka mendengar apa yang diperkatakan oleh Hazrul itu.
“Jodoh, ajal, maut, semua tu di tangan ALLAH Die. Mana tahukan sekejap lagi nyawa aku melayang jika ALLAH mengkehendakkan itu berlaku pada aku,” bidas Hazrul seraya bangun dari duduknya. “Kau boleh tunaikan permintaan aku tu Die?” ulang Hazrul pada permintaannya tadi.
Eddie melepaskan deruan nafas lembut. Bingkas dia bangun dan menghampiri Hazrul yang sedang membuang pandang di jendela. Bahu Hazrul disentuh lembut. Anggukan kecil diberikan buat Hazrul. Semoga dengan anggukan itu dapat melegakan hati Hazrul.
“Terima kasih Die. Segala tentang Nur Ain, aku dah pun ceritakan pada kau dan tak ada tertinggal satu pun. Aku percaya pada kau dan aku yakin kau akan pegang amanah aku tu elok-elok. Andai kata Nur Ain berkahwin suatu hari nanti, kau ceritakan kisah Nur Ain pada bakal suami Nur Ain. Aku nak bakal suaminya tahu apa yang terjadi pada Nur Ain selama dia berkawan dan bercinta dengan aku. Aku tak nak bakal suaminya turut sama terkena tempiasnya seperti aku,” jelas Hazrul dan tersenyum.
“Insya-ALLAH Az. Insya-ALLAH aku akan tunaikan permintaan kau tu. Aku janji pada diri aku sendiri yang aku akan jaga Nur Ain sehingga Nur Ain kecapi kebahagiaannya sendiri,” janji Eddie tulus dan ikhlas.
“Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat Die. Kalau bukan disebabkan kau tersalah anggap aku Hazrel masa tu, tak mungkin aku akan kenal dengan kau. Kau dengan Hazrel pun tak serapat sepertimana rapatnya kau dengan aku,” balas Hazrul.
Eddie sekadar mengangguk dan tersenyum. Ada benarnya kata-kata Hazrul itu. Walaupun dia berkenalan dengan Hazrel terlebih dahulu, tetapi dia begitu rapat dengan Hazrul. Mungkin disebabkan sikap tenang Hazrul membuatkan dia begitu senang dan selesa berkawan dengan Hazrul berbanding Hazrel yang suka bersikap memprotes dan memberontak.
“Okeylah Die, aku dah janji nak jumpa dengan Ain. Hari nikan hari jadi dia, aku nak bagi hadiah surprise untuk dia,” suara Hazrul tiba-tiba mematikan lamunan pendek Eddie.
“Oh, yeke. Wish happy birthday dari aku untuk Nur Ain.”
“Insya-ALLAH. Aku akan sampaikan pada dia. Kalau umur aku panjang, aku akan kenalkan dia dengan kau. Mesti kau akan kata macam mana aku kata masa mula-mula aku jumpa dia dulu,” balas Hazrul dan tersenyum. Masih teringat perkenalannya dengan Nur Ain di kotak fikiran ketika itu. Hazrul tersenyum sendiri tatkala mengingatinya.
“Apa yang kau kata?” tanya Eddie ingin tahu.
“Senyuman ikhlas awak menawan hati saya,” beritahu Hazrul dan tersengih.
Kepala yang tidak gatal digaru beberapa kali. Malu tatkala mengucapkan kata-kata itu di hadapan Eddie.
“Aku pergi dulu Die. Sampaikan salam aku pada semua. Aku minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki. Halalkan setiap perbuatan aku pada kau serta makan minum aku selama kita berkawan. Walaupun baru beberapa bulan kita berkawan, aku rasakan bertahun lamanya mengenali kau Die. Akan aku ingat persahabatan kita sehingga nafas terakhir aku nanti,” ucap Hazrul panjang lebar.
Berkerut dahi Eddie mendengarnya. Matanya menjamah wajah Hazrul yang seakan bercahaya dengan tiba-tiba. Mungkinkah disebabkan Hazrul ingin berjumpa dengan Nur Ain sebentar lagi membuatkan wajah Hazrul berubah seri sebegitu sekali.
Tanpa disedari Eddie, tubuhnya dipeluk erat oleh Hazrul. Semakin berkerut Eddie melihat tingkah Hazrul. Matanya menghantar langkah Hazrul sehingga hilang dari celahan pintu utama rumah. Sungguh dia kurang mengerti dengan perlakuan Hazrul sebentar tadi.
“Betul kata kau Az. Kata-kata yang keluar dari mulut aku sewaktu aku berjumpa dengan Nur Ain dulu sama seperti kata-kata yang kau luahkan. Senyuman Nur Ain begitu ikhlas dan tidak berpura-pura,” luah Eddie perlahan.
Matanya masih memerhatikan gambar-gambar yang bertaburan di atas meja kerjanya. Serentak itu dia menarik laci paling bawah. Sebuah diary milik Hazrul dikeluarkan. Diary yang dihantar ke alamat rumahnya sehari selepas Hazrul meninggal dunia. Hazrul sendiri yang menghantarnya melihatkan tulisan yang tertera di luar sampul surat tersebut.
“Aku pegang amanah kau Az. Sehingga sekarang aku memegang janji dan amanah tu. Aku akan bela nasib Nur Ain dan aku akan pastikan Nur Ain bahagia. Insya-ALLAH, aku akan ceritakan kisah Nur Ain pada suaminya nanti. Dan kalau kau nak tahu, adik kembar kau sendiri yang menjadi suami Nur Ain,” sambung Eddie sambil menghela nafas pendek. “Aku akan serahkan diary kau ni sebaik sahaja Nur Ain kecapi kebahagiaannya nanti,” tambahnya lagi.
Kemudian dikumpulkan gambar-gambar tersebut dan dimasukkan ke dalam sampul surat. Eddie perlu menyambung semula penyiasatannya tentang gambar-gambar itu. Jika dulu dia pernah mengupah seorang penyiasat persendirian untuk menyiasat tentang itu dan hasilnya tidak seperti yang diharapkan, apalah salahnya jika dia mencuba sekali lagi. Mungkin dia akan berjaya merungkai segala apa yang berlaku kepada Nur Ain. Mungkin juga dia dapat mengetahui siapa yang menjadi dalang kepada semua yang berlaku terhadap Nur Ain.
“Sungguh licik dia bermain sehinggakan penyiasat persendirian aku pun tidak dapat mengesan siapa dalang di sebalik kisah ini. Aku akan carinya sampai dapat. Tentang Nur Ain dan juga Faizal,” azam Eddie sendirian dan menggenggam erat tangannya sendiri.


“Hisy, apa yang dia nak ni. Nak kena makan penampar dengan aku betullah!” marah Hazrel dan menapak jalan menuju ke pintu bilik. Sakit hatinya tatkala tidurnya diganggu seseorang.
Nur Ain masih lagi mengetuk. Matanya membelingas ke kiri dan ke kanan. Bukan niat Nur Ain mengganggu Hazrel. Disebabkan rasa takutnya membuatkan Nur Ain terpaksa menapak jalan menuju ke bilik Hazrel.
“Kau nak apa?” sergah Hazrel meninggi sebaik sahaja pintu bilik dibuka.
“Err…”
“Mulalah nak tergagap lagi tu.”
Nur Ain menggaru kepalanya yang bertudung. Takut untuk menyuarakan ketakutannya itu. Sudah pastilah Hazrel akan memarahinya nanti.
“Kau nak apa? Kau tahu tak aku nak tidur. Dah pergi balik bilik kau sekarang!” arah Hazrel masih meninggi.
“Ain takut!” ujar Nur Ain perlahan.
Terbuka luas mata Hazrel mendengarnya. Matanya tajam ke muka Nur Ain.
“Kau takut?” ulang Hazrel sinis.
Nur Ain mengangguk dan menunduk.
“Kau takutkan apa? Hantu? Jin? Syaitan atau manusia?”
“Betul Ain takut. Tadi ada bunyi kat dapur tu. Macam ada orang tengah geledah dapur. Bunyi tingkap dibuka pun ada juga,” cerita Nur Ain bersungguh dan mengangkat muka.
“Sudahlah. Mengarut betullah kau ni. Kucing aje tu. Yang kau nak takutkan sangat tu kenapa? Dah pergi tidur kat bilik kau. Aku tak nak bau kau melekat dalam bilik aku ni,” putus Hazrel tegas dan berkira-kira untuk menutup pintu.
“Encik Hazrel!” lirih Nur Ain memanggil Hazrel. “Boleh tak pulangkan telefon Ain balik. Ain nak cakap dengan abang. Nak suruh abang temankan Ain sebab Ain takut,” pinta Nur Ain pula sambil menghulurkan tangan ke arah Hazrel. Lagak seperti meminta.
Berkerut dahi Hazrel mendengarnya. Matanya menjamah wajah selamba Nur Ain. Tadi bukan main takut. Sekarang minta telefon pulak. Mengada-ngada betullah minah ni. Pastu nak mengadu kat ‘abang’. Siapa ntah ‘abang’ yang dimaksudkan dia tu. Jangan-jangan dia nak telefon pakwe dia tak, monolog Hazrel panjang lebar.
“Encik Hazrel!” panggil Nur Ain lagi.
“Jangan harap aku nak pulangkan telefon kau tu balik. Dah pergi balik bilik kau. Semak mata aku tengok kau kat sini. Dengan tudung, kain batik, baju kedah kau ni, dah macam pengemis jual kerepek kat tepi jalan aku tengoknya,” kutuk Hazrel pedas.
Kemudian dia menghempas kuat pintu biliknya. Terasa sakit hatinya dengan tiba-tiba. Terasa sakit telinganya mendengar gelaran ‘abang’ yang keluar dari mulut Nur Ain itu. Tangannya menyentuh lembut dadanya yang berombak kencang.
“Encik Hazrel!” panggil Nur Ain dari luar bilik. Masih mahu mencuba.
“Hisy, angin aku macam ni,” marah Hazrel lagi.
“Encik Hazrel!” ulang Nur Ain semula.
“Kau nak apa? Kau tak faham bahasa ke? Kan aku kata aku tak nak bagi, tak nak bagilah. Otak kau tu letak kat mana, lutut?” jerkah Hazrel sebaik sahaja pintu bilik dibuka.
Nur Ain memandang tepat ke dalam anak mata Hazrel. Jerkahan Hazrel buat endah tak endah sahaja. Malas untuk melawan dan membalas kata-kata Hazrel. Apa yang pasti, dia perlu mendapatkan semula telefon bimbitnya itu.
“Telefon!” tegas Nur Ain.
“Telefon… telefon… telefon… tak habis-habis dengan telefon kau tu. Kalau kau nak sangat, esok aku belikan yang baru untuk kau. Dah, jangan ganggu aku,” marah Hazrel meninggi dan menutup pintu biliknya. Namun ditahan oleh Nur Ain.
“Hisy, kau nak kena penampar dari aku ke?” tengking Hazrel pula dan berkira-kira untuk menampar Nur Ain.
“Ain nak telefon tu. Tolonglah pulangkan pada Ain semula. Telefon tu bermakna buat Ain. Abang hadiahkan telefon tu untuk Ain. Ain dah janji nak jaganya elok-elok,” luah Nur Ain menagih simpati. Matanya mulai berkaca.
Hazrel terkedu. Wajah Nur Ain ditatap berserta kerutan di dahi. Perkataan ‘abang’ yang keluar dari mulut Nur Ain membuatkan hatinya menjadi panas tiba-tiba.
“Selagi kau tak buang perkataan ‘abang’ dari mulut kau tu, sampai bila-bila aku takkan serahkan telefon kau tu balik. Dah, keluar kau dari bilik aku ni!” marah Hazrel seraya menarik Nur Ain dan membawa Nur Ain keluar dari biliknya. Setelah itu, dia menghempas pintu biliknya sekuat hati. Melepaskan kemarahan terhadap Nur Ain.
“Encik Hazrel kejam!” laung Nur Ain geram dari luar.
Setelah itu, segera dia menuruni anak tangga menuju ke biliknya. Dia perlu menghamburkan air matanya yang sedari tadi ditahan. Bertambah rasa bencinya pada Hazrel ketika itu. Semakin sakit hatinya dengan perbuatan Hazrel. Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja dia membunuh Hazrel ketika itu.
Nur Ain melabuhkan duduknya di birai katil. Rasa kurang enak dan ketakutannya tadi dibuang jauh-jauh. Rasa sakit hatinya terhadap Hazrel menapak masuk ke dalam hatinya ketika itu. Sudah disemat kemas di dalam hati untuk tidak membalas kata-kata Hazrel malah melawan Hazrel, tidak mungkin sama sekali. Tetapi, sampai bila dia harus bersikap sebegini? Apa gunanya dia ikhlas menerima perkahwinan itu seandainya Hazrel tidak. Apa gunanya jika dia bersikap tenang sedangkan Hazrel terus-terusan bersikap memberontak. Sakit otaknya memikirkan tentang itu lagi. Apa yang penting, bagaimana untuk mendapatkan telefon bimbitnya semula?
Nur Ain menundukkan tubuhnya. Kotak kasut yang berada di bawah katil dikeluarkan dan diletakkan di atas katil. Lama matanya tertancap ke kotak kasut tersebut. Hatinya menjadi sebak tiba-tiba. Rasa rindu terhadap Hazrul semakin hari semakin menyesakkan nafasnya. Bagaimana untuk menghilangkan rasa rindu itu, Nur Ain sendiri tidak tahu. Nur Ain sedar tidak sepatutnya dia bersikap begitu memandangkan dia sudah bergelar isteri. Dicuba usir perasaan rindu pada Hazrul, tetapi tidak berjaya. Mungkinkah ada lelaki yang akan berjaya menghalau perasaannya pada Hazrul suatu hari nanti.
“Cinta Ain pada abang, akan kekal buat selama-lamanya,” bisik Nur Ain perlahan.
Seketika itu, dia membaringkan badannya. Mata dipejamkan. Kotak fikirannya sedang ligat memutarkan memori kenangannya bersama Hazrul. Tidak mungkin dia akan melupakan segala memori tersebut. Akan sentiasa segar di dalam ingatannya itu.

So, soalan kenapa Eddie baik pd NAZ dh terjwbkan?? Lps ni kita tgk kisah Hazrul & NAZ, okey!
Terima kasih kerana membaca...

14 ulasan:

  1. Salam Eliza...tak sangka ada e3 baru malam ni...sedih la bab 14 ni....boleh plak saya menitiskan airmata baca bab ni...kesian kat Ain merayu mintak telefon yg hazrul belikan...drp mamat poyo...sedih..sedih..sedih...

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm.. yup!! sy pn sedih jg bila bcnya 2-3 kali.. HH tu dh rs cemburu, sbb itulah dia rampas telefon Ain tu.. huhu.. :D

      Padam
  2. luluh hati bace kate2 hazrul 2..T_T huhu

    BalasPadam
  3. Ooo.. Gitu kesahnyer! Erks.. Haz ni da pandai cemburu2.. Kata xamek kesah. Hehehe.. La, td dia xmkn pon yg ain msk..rugi2!

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. Ain pandai masakkan.. gempak aje bab 13 tu.. a'ah, dh npk dh rs cemburu HH tu.. :D

      Padam
  4. double update.. YAY~!!!!

    hahaa... btl tekaan ku.. heheh...wasiat. hoho.
    anyway....aku x paham tol ngn kau ni hazrel, hp yg kau kata buruk tu pun kau nak simpan.. bg jerlah kat die!!! ish!

    ps: org xreti msk. ni nak hbaq kat hang hazrel!! there is a thing that called google and youtube, guna menda tu boleh pndi msk!! x msk superb2 pun blh lah untuk survival!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. alahai adik akak ni dh mengamuk balik.. smlm sedih, hr ni mengamuk.. huhu.. sabar ya dik..

      xpe klu x reti masak.. blh belajar kan?? erk, akak pn x mahir msk jg.. hehe.. :D

      Padam
  5. tudiaaaa.....prsaan cemburu cmberut dh mula brcmbh dh...klu dh start cmbru 2 kra dh stat syg la kn...hehehe....hailah,x smpi sbln xkn dh jatoh cnta kot???
    akak, thanks coz mengn3kn crita2 yg best ni....:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. mmg x smpe sbln la si HH tu jth cinta ngan NAZ.. 2lah, sombong n cakap besar lg..

      almost welcome my dear yani.. tq jg coz membaca AJID.. ;)

      Padam
  6. igtkn bunyi yg kat dapur tu sbb ad org pecah rumah dyorng..clap tekaan la ni...hehehe

    BalasPadam
  7. hehehee...sian ain ;) poyo jek hazrel nak bg pelempang kt bini...x cool langsung... :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mmg x cool pn.. tp, hatinya dh terusik 2.. huhu.. :D

      Padam