Khamis, 22 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 15


BAB 15

“Encik nak minum apa?” tanya Nur Ain ramah.
Matanya menatap mesra wajah lelaki di hadapannya itu. Sebuah senyuman dihadiahkan buat lelaki tersebut.
“Senyuman ikhlas awak menawan hati saya,” jawab Hazrul selamba.
Tersentak Nur Ain mendengarnya. Dahinya sudah berkerut seribu. Wajah lelaki itu dipandang penuh curiga.
“Encik nak minum apa?” ulang Nur Ain semula dan sedikit menekan.
Seakan lelaki di hadapannya sedang mengelamunkan sesuatu. Seram sejuk dirasakan tatkala lelaki itu memandangnya dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan.
“Encik nak minum apa?” ulang Nur Ain buat kali yang ketiga.
Tersentak Hazrul seketika. Dengan serta merta dia membetulkan keadaan duduknya. Senyuman nipis diberikan buat Nur Ain.
“Bagi saya milo ais satu,” balas Hazrul.
“Makan?”
“Makan?” ulang Hazrul berkerut.
Nur Ain mengangguk.
“Kalau saya nak makan awak, boleh tak?” usik Hazrul dan tertawa kecil.
Membuntang mata Nur Ain mendengarnya. Mengada-ngada, desis hatinya. Tanpa menunggu, segera dia membawa langkahnya ke arah dapur untuk membuat minuman yang dipesan oleh Hazrul.
“Cik… cik belum ambil order makanan saya lagi,” panggil Hazrul sedikit meninggi.
Terhenti langkah Nur Ain. Segera dipusingkan badan ke belakang semula dan menatap wajah tenang Hazrul.
“Tadikan dah bagi order,” sahut Nur Ain.
Berkerut Hazrul mendengarnya. Matanya menjamah wajah Nur Ain. Satu persatu ditilik wajah tersebut. Dari mata jatuh ke hidung, dari hidung ke bibir Nur Ain. Ayu dan manis. Walaupun parut di dahinya agak mencacatkan, tapi tetap tampak manis dari pandangan mata aku. Yang buatkan aku terpikat, senyuman ikhlas di bibirnya, bisik Hazrul sendirian dan tersenyum.
“Saya tak order apa-apa pun.”
“Kan encik order nak makan saya tadi. Jadi, saya nak rebuskan diri saya dalam kawah kat dapur tu dan hidangkan pada enciklah!” jelas Nur Ain serius sambil cuba menahan ketawa di dalam hati.
Berkerut dahi Hazrul cuba untuk memahamkan ayat Nur Ain itu. Seminit kemudian, dia menepuk dahinya sendiri sebaik sahaja menyedari dirinya dipermain-mainkan oleh Nur Ain.
“Nak makan saya tak?” sindir Nur Ain dan berlalu pergi.
Hazrul menggelengkan kepala. Ketawa kecil terlepas dari bibirnya. Geli hati mendengar sindiran Nur Ain itu. Matanya menghantar langkah Nur Ain sehingga hilang dari balik dapur. Kelakar juga budak tu, bisik Hazrul sendirian.
“Kenapa Ain?” tanya Mak Hamidah.
“Tu ha mak, encik tu. Ada ke dia nak makan Ain, gila apa,” rungut Nur Ain sambil tangannya lincah membuat milo ais yang dipesan oleh Hazrul.
“Dia berkenan kat Ain kot,” usik Mak Hamidah dan tersenyum.
“Mak ni, mengarut ajelah. Takkanlah ada orang nakkan Ain yang tak cantik ni,” bidas Nur Ain laju. Sedar akan kekurangan yang terdapat pada dirinya itu.
“Siapa kata anak mak tak cantik? Cuba Ain tilik kat cermin tu, ada kelebihan pada Ain yang orang lain tak nampaknya,” balas Mak Hamidah pula.
Nur Ain mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan kata-kata maknya itu.
“Senyuman Ain. Senyuman ikhlas Ain yang menampakkan Ain cantik,” ujar Mak Hamidah dan menapak keluar dari dapur sambil membawa makanan buat pelanggannya.
Nur Ain terkedu. Senyuman Ain? Ulangnya di dalam hati. Baru sebentar tadi dia mendengarkan kata-kata yang sama dari mulut lelaki di luar tadi. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Mak Hamidah itu?


“Hai!” tegur Hazrul.
“Mak!!” jerit kecil Nur Ain terkejut.
Dadanya yang berombak kencang diusap dengan tangannya. Matanya menjamah wajah lelaki yang sedang tersengih di hadapannya itu.
“Maaf, saya tak sengaja,” ucap Hazrul dan tersengih.
“Encik ni, buat saya terkejut ajelah. Nasib baik saya tak ada sakit jantung. Kalau ada, dah mati katak saya kat sini tadi,” rungut Nur Ain keras.
Hazrul tertawa. Geli hati mendengar rungutan Nur Ain itu.
“Maaf, saya tak sengaja. Bukan niat nak kejutkan awak,” ulang Hazrul lagi.
Nur Ain menghela nafas pendek.
“Encik nak apa? Nak makan saya ke?” sindir Nur Ain dan menyambung langkahnya semula yang terhenti disebabkan teguran Hazrul sebentar tadi.
“Saya nak kahwin dengan awak,” gurau Hazrul bernada serius.
Terhenti langkah Nur Ain semula. Dia memusingkan badan mengadap Hazrul yang sedang tersengih mengalahkan kerang busuk. Sakit matanya melihat sengihan itu.
“Encik ni dah gila ke?” ujar Nur Ain sinis.
“Yup! Saya gilakan awak. Baru pertama kali saya pandang awak, terus saya gilakan awak,” balas Hazrul selamba dan merapati Nur Ain.
Berderau darah Nur Ain mendengarnya. Air liur ditelan berkali-kali. Terasa kelat di waktu itu. Begitu mudah lelaki itu bertutur. Tidak sedarkah akan apa yang diperkatakannya itu.
“Encik ni memang dah gila!” putus Nur Ain dan menapak jalan menuju ke rumahnya.
“Tak salahkan kalau saya gilakan awak,” ujar Hazrul sambil menyaingi langkah Nur Ain.
“Mengarut!”
“Saya tak mengarut!”
“Gila!”
“Waras!”
“Bodoh!”
“Pandai!”
“Encik ni kenapa? Apa masalah encik ni?” tanya Nur Ain geram tatkala Hazrul membidas kata-katanya sebentar tadi.
“Masalah saya ialah awak,” jawab Hazrul dan tersengih.
Berkerut-kerut Nur Ain mendengar jawapan Hazrul itu. Sakit hatinya melihatkan sengihan yang bergayut di bibir lelaki itu. Rasa nak sepak ajelah encik gila ni, rungut Nur Ain sendirian.
“Suka hati enciklah. Malas nak layan orang gila macam encik ni,” putus Nur Ain dan melajukan langkahnya menuju ke rumah. Jika berlama, entah ayat apa yang akan dikeluarkan oleh lelaki itu lagi.
Hazrul tertawa melihat wajah tegang Nur Ain. Segera dia menghalang langkah Nur Ain sehingga membuatkan gadis itu hampir berlanggar dengannya.
“Apa masalah encik ni?” geram Nur Ain.
“Kan saya kata tadi, masalah saya ialah awak. Jadi saya nak awak selesaikan masalah saya tu.”
“Apa yang encik cakapkan ni? Saya tak faham. Berbelit-belit macam ular sawa dah saya dengarnya.”
Hazrul melepaskan ketawanya. Geli hati mendengar kata-kata Nur Ain itu.
“Awak tahu tak yang awak dah buat saya jadi tak keruan.”
“Tak keruan? Maksudnya?”
“Senyuman ikhlas awak menawan hati saya,” ucap Hazrul perlahan di telinga Nur Ain. Setelah itu, dia melangkah jalan meninggalkan Nur Ain yang terkedu tiba-tiba.
“Esok saya tunggu awak kat pantai pukul lima petang,” jerit kecil Hazrul dan berlalu dari situ. Senyuman girang terbias di wajahnya.
Bertambah kerut Nur Ain mendengarnya. Matanya menghantar pemergian Hazrul. Esok, pukul lima? Ulang Nur Ain di dalam hati.
“Tapi…” ayatnya tergantung di situ sahaja.
Ah! Lantaklah. Siapa dia nak suruh-suruh aku ke pantai esok, bisik hati kecil Nur Ain. Langkah diteruskan menuju ke rumah.


Hazrul merebahkan diri di atas katil. Kepenatan amat dirasainya sekarang. Seharian dia berjalan di tepi pantai sambil menghirup udara petang. Begitu damai dirasakannya ketika itu. Terasa tenang hatinya. Jika Hazrel bersama dengannya ketika ini, sudah pastilah Hazrel akan sependapat dengannya. Suasana kampung begitu menenangkan.
Hazrul menyerengkan badannya ke kanan. Sebuah senyuman terukir di wajahnya. Wajah gadis yang baru dijumpai di warung petang tadi bermain di tubir mata. Kenapa dia tidak menyedari akan gadis itu setiap kali dia ke warung tersebut? Mungkin gadis itu pemalu agaknya, fikir Hazrul sendirian dan tergelak. Entah kenapa hatinya berdebar-debar. Ada perasaan lain yang hadir dalam hatinya itu. Dia menyentuh lembut dadanya. Tatkala wajah gadis itu terbayang di ruangan mata, dadanya berdegup dengan pantas. Mungkinkah dia sudah jatuh cinta pada gadis itu? Hazrul tersengih sendirian.
Hazrul mencapai telefon bimbitnya tatkala telefon itu berbunyi. Butang hijau ditekan dan dilekapkan ke telinga. Menanti sapaan dari hujung talian.
“Bila nak balik Az? Dah lama sangat Az kat sana?” tanya Datin Salina dari hujung talian.
Hazrul mengerutkan dahi. Mama, desisnya.
“Az… Az dengar tak apa yang mama tanya ni,” suara Datin Salina meninggi.
“Ha… ya mama. Az dengar,” balas Hazrul sedikit mengelamun.
“Bila Az nak balik?” ulang Datin Salina lagi.
“Minggu depan Az baliklah mama. Kerja Az kat sini tak habis lagi,” jawab Hazrul.
Datin Salina mengeluh berat.
“Az kan dah janji dengan mama nak balik. Az tahu tak dah berapa lama Az tak balik? Dah masuk dua minggu Az tak balik rumah. Kerja apa yang Az sibukkan di sana tu?”
“Ma, nikan projek semester Az, mana boleh tak siapkannya,”
“Sebut pasal tu, mama dan papa dah setuju nak hantar Az dan Haz ke luar negara, sambung belajar di sana. Cukuplah belajar kat sini setahun,” beritahu Datin Salina.
Terkedu Hazrul mendengarnya. Melanjutkan pelajaran ke luar negara? Apa sudah tidak baguskah universiti tempatan sehinggakan hendak menghantarnya ke luar negara?
“Ma, kan Az dan adik ada setahun setengah lagi belajar kat sini. Kenapa nak hantar kami ke sana pulak?” soal Hazrul tidak berpuas hati.
“Belajar kat sana lagi terjamin. Mama akan terangkan pada Az nanti. Ingat, minggu depan jangan lupa balik rumah. Mama ada perkara lain juga nak terangkan pada Az,” balas Datin Salina dan mematikan talian.
Hazrul menarik nafas dan melepaskannya perlahan. Perkara lain apa yang ingin disampaikan oleh Datin Salina itu?  Sungguh otaknya tidak mahu berfikir tentang itu. Apa yang bersarang di kepalanya kini, bagaimana untuk memikat hati gadis yang sudah mulai menapak ke dalam hatinya itu. Entah kenapa ada sesuatu yang menarik minat hatinya untuk berkenalan dengan gadis itu. Hazrul tersenyum tatkala mengingati peristiwa petang tadi.
“Aduh! Apa nama dia tu tadi? Bodoh betul aku ni. Yang tak pergi tanya dia tu kenapa?” bebel Hazrul sendirian.


“Awak ni dah buang tebiat ke Sal. Kenapa awak nak hantar anak-anak kita ke sana pulak?” soal Dato’ Ridzuan tegas.
“Apa yang buang tebiatnya. Betullah tindakan saya ni,” bidas Datin Salina turut sama tegas.
Dato’ Ridzuan mengeluh berat. Datin Salina suka mengambil keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu dengannya. Kadang-kadang naik geram Dato’ Ridzuan dengan tingkah Datin Salina itu.
“Awak perlu berbincang dengan Hazrul dan Hazrel dulu. Manalah tahukan budak-budak tu tak suka ke sana.”
“Saya pasti mereka akan setuju. Lagipun belajar kat sana lebih baik dari sini.”
“Mana-mana pun sama juga Sal. Yang penting hasil yang diorang bawa balik untuk kita tu. Abang nak mereka berdua berjaya dalam pelajaran.”
“Sebab itulah Sal nak hantar mereka ke sana. Biar celik sikit mata kawan-kawan Sal tu.”
“Awak hantar budak-budak sebab nak menunjuk dengan kawan-kawan awak tu, bukannya berniat nak tengok budak-budak tu berjaya,” bidas Dato’ Ridzuan keras.
“Itulah abang, suka sangat nak bangkang apa yang Sal buat. Bukannya telinga abang yang perlu menadah mendengarnya, telinga Sal ni. Macam-macam diorang kutuk pasal anak-anak kita. Abang bukannya tahu semua tu,” balas Datin Salina.
“Yang awak nak kesahkan kata-kata mereka tu kenapa? Awak buat tak tahu aje sudahlah. Hati awak pun tak sakit mendengarnya.”
“Sudahlah. Malas saya nak bertekak dengan abang. Keputusan saya tetap muktamad!” putus Datin Salina. “Ha Hazrel, baru balik?” tegur Datin Salina pula.
Terhenti langkah Hazrel dek kerana teguran itu. Lantas dihalakan tubuhnya menuju ke tempat di mana Datin Salina dan Dato’ Ridzuan sedang berehat.
“Kamu dari mana Haz? Tak reti nak duduk kat rumah ke? Kamu ni dengan abang, sama aje perangainya. Suka panaskan hati mama,” bebel Datin Salina berserta dengusan kasar.
“Dah diorang kembar, memanglah sama perangainya,” sampuk Dato’ Ridzuan.
Datin Salina menoleh. Jelingan geram dihadiahkan buat suaminya yang sedang beriak selamba.
“Mama ni yang membebel malam-malam buta ni kenapa? Dah nak menapouse ke?” tegur Hazrel bernada usikan.
“Hisy budak ni. Nak kena cubit pipi tu baru tahu. Ada ke kita dikatakan nak menapouse,” geram Datin Salina.
Hazrel tersengih. Segera dipeluk erat tubuh Datin Salina. Sebuah kucupan kasih hinggap di pipi tua itu.
Sorry mama. Tak sengaja. Haz bergurau aje tadi,” ucap Hazrel dan meleraikan pelukan. “Abang mana mama?” tanyanya pula dan melabuhkan duduk di sisi Dato’ Ridzuan.
“Huh! Abang Haz tu, faham-faham ajelah perangainya. Suka sangat susahkan hati mama. Entah apa yang dibuatkannya kat Jeram tu pun mama tak tahu,” rungut Datin Salina.
Dato’ Ridzuan menggelengkan kepala.
“Abang tak balik lagi ke mama? Bukan ke abang kata minggu ni nak balik,” soal Hazrel berkerut.
Postponed minggu depan!” pintas Dato’ Ridzuan.
Postponed? Kenapa? Abang dah terpikat dengan gadis kat sana ke?” usik Hazrel sengaja membakar hati Datin Salina.
“Mulut tu jaga sikit Hazrel!” keras Datin Salina menegur.
“Oppss!! Sorry mama. Haz gurau ajelah mama. Takkan tak boleh nak bergurau. Jangan marah-marah mama, nanti kedut muka mama tu baru tahu,” balas Hazrel mengusik.
“Sudahlah. Lagi lama mama layan kamu Haz, lagi sakit hati mama dibuatkannya,” bentak Datin Salina seraya bangun.
“Itulah awak, baru kena tegur sikit dengan anak, mulalah muncung sedepa,” sindir Dato’ Ridzuan dan tergelak.
Datin Salina merengus keras. Tanpa membalas, segera dibawa kakinya menuju ke dalam rumah. Jika berlama, entah apa yang akan disakatkan oleh Hazrel dan Dato’ Ridzuan itu.
“Kenapa dengan mama tu papa? Tegang semacam aje Haz tengoknya,” soal Hazrel sebaik sahaja kelibat Datin Salina menghilang.
“Siapa lagi kalau bukan sebab abang Haz tu,” jawab Dato’ Ridzuan.
“Sebab abang tak jadi balik ke?”
“Mama kamu tu dah rancang nak kenalkan abang kamu dengan anak Haji Khairul, Qistina tu hujung minggu ni. So, disebabkan abang Haz tu tak balik, mama kamu merajuklah.”
Hazrel mengangguk faham.
“Jangan-jangan abang dah terpikat dengan gadis kat sana. Sebab itulah abang tak jadi nak balik minggu ni,” tebak Hazrel pada kenyataannya sebelum ini.
Dato’ Ridzuan menghela nafas pendek. Bingkas dia bangun dari duduknya dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Papa tak kisah dengan siapa jodoh Hazrul ataupun Hazrel. Asalkan anak-anak papa bahagia dan gembira, itu sudah cukup bagi papa,” luah Dato’ Ridzuan dan berlalu dari situ.
Hazrel hanya memandang. Ada benarnya juga kata-kata Dato’ Ridzuan itu. Apa yang penting kebahagiaan sama sepertinya juga.


“Apasal kau senyap aje ni? Kau ada masalah ke Ain?” tegur Haslinda seraya melabuhkan duduk di sisi Nur Ain.
“Tak ada apalah Lin, penat siang tadi tak hilang lagilah,” balas Nur Ain sambil membetulkan duduknya.
“Habis tu, yang muka kau monyok aje ni kenapa?”
“Aku tengah fikirkan lelaki gila siang tadi tu.”
“Lelaki gila? Maksud kau?”
“Lelaki yang datang kat warung abah aku siang tadi. Ada ke dia suruh aku jumpa dia dekat pantai pukul lima petang esok. Tak ke gila namanya tu.”
Haslinda mengerutkan dahi. Matanya menjamah wajah tegang Nur Ain.
“Dia gilakan kau tak?” usik Haslinda dan tergelak.
“Ah! Mengarutlah kau. Takkanlah dia nak sukakan aku yang tak cantik ni,” bidas Nur Ain laju. Sedar akan kekurangan dirinya itu. “Lainlah kau Lin. Dahlah cantik, kaya pulak tu. Pasti ramai yang sukakan kau Lin,” sambung Nur Ain.
“Hisy kau ni. Janganlah cakap macam tu. Aku bukannya cantik pun. Yang kaya bapak aku, bukannya aku,” bidas Haslinda merendah diri.
“Sekurang-kurangnya kau tak perlu bersusah payah mencari wang seperti aku,” bidas Nur Ain laju. Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
Haslinda hanya membisu. Ada benarnya kata-kata Nur Ain itu. Syukurnya kepada ALLAH kerana dilahirkan di dalam keluarga yang berada, tidak perlu bersusah payah mencari wang seperti keluarga Nur Ain.
“Habis tu, kau nak pergi tak jumpa ‘encik gila’ tu?” soal Haslinda berbasa basi.
Nur Ain menjungkitkan bahu. Matanya diluruskan ke hadapan. Angin malam begitu mendamaikan. Deruan ombak begitu mengasyikkan. Terasa tenang di waktu itu.
“Apa kata kau temankan aku esok Lin. Takut aku nak jumpa dia sorang-sorang. Dibuatnya dia berniat tak baik pada aku,  tak ke naya aku dibuatkannya nanti.”
“Ehm, tengoklah dulu, kalau aku ada masa terluang, aku temankan kaulah. Nak juga aku tengok ‘encik gila’ kau tu. Handsome tak Ain?” jelas Haslinda dan tersenyum.
Handsome?” ulang Nur Ain berkerut. “Boleh tahan handsome jugalah. Macam anak orang kaya aje aku tengoknya,” sambung Nur Ain.
“Wow! Ni yang buatkan aku tak sabar nak tengok. Kalau aku dapat Ain, kenduri 44 hari pun aku sanggup kalau dia jadi laki aku,” seloroh Haslinda teruja.
Nur Ain tergelak. Geli hati mendengar kata-kata Haslinda itu.
“Yalah, dengan kau sesuailah… dengan aku mana nak sesuainya,” sahut Nur Ain sedikit merendah diri.
“Hisy kau ni, ke situ pulak. Jodoh, ajal dan maut semuanya di tangan ALLAH Ain. Andai kata dah ditakdirkan kau berjodoh dengan ‘encik gila’ tu, siapa yang tahu. Betuah badan kau Ain. Aku sebagai kawan tumpang gembira buat kau,” bidas Haslinda kurang senang.
Nur Ain menunduk. Kata-kata Haslinda sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya. Siapalah dia untuk berkawan dengan orang kaya. Tidak layak sama sekali. Malah untuk menganyam impian berkahwin dengan anak orang kaya, tidak pernah terlintas dek akal fikirannya.
“Aku balik dululah Ain. Esok kalau kau nak jumpa dengan ‘encik gila’ kau tu, bagitau aku ya. Aku temankan kau jumpa dia,” suara Haslinda seraya bangun.
“Eh, bukan ke kau kata tadi kalau ada masa terluang baru kau nak temankan aku?” soal Nur Ain berkerut.
“Kalau dah kau kata ‘encik gila’ tu handsome, mana boleh aku tolak pelawaan kau, Ain. Aku suka tengok lelaki-lelaki handsome, mahu tergoda aku dibuatkannya,” gurau Haslinda dan tersengih. Seminit kemudian, dia tertawa.
Nur Ain turut sama meledakkan ketawa. Dia menggeleng kecil dengan tingkah Haslinda. Memang tidak dinafikan Haslinda sebegitu orangnya. Suka melihat lelaki-lelaki handsome. Mujurlah Haslinda masih ada sifat malunya, jika tidak, mahu dirembatnya semua lelaki-lelaki handsome di dunia ni. Nur Ain tertawa memikirkannya.
Nur Ain bingkas bangun dari duduknya tatkala kelibat Haslinda hilang dari pandangan mata. Dengan tiba-tiba, bibirnya mengukir sebuah senyuman. Wajah lelaki yang diberi gelaran ‘encik gila’ olehnya meniti di tubir mata. Hatinya berdebar-debar. Jantungnya mengepam laju. Lebih laju dari kelajuan normal. Entah kenapa, Nur Ain sendiri tidak pasti. Mungkinkah dia sudah jatuh cinta pada lelaki itu. Ah! Tak mungkin. Siapalah aku nak bergandingan dengan dia, bidas hatinya laju.
“Ain!” laung Pak Ibrahim dari arah rumah.
Tersentak Nur Ain. Lamunannya yang pendek, berterbangan entah ke mana. Pantas dihala matanya ke arah rumah. Pak Ibrahim sedang bercekak pinggang di muka pintu.
“Ada apa abah?” tanya Nur Ain sebaik sahaja tiba di hadapan Pak Ibrahim.
“Belikan abah rokok kejap,” arah Pak Ibrahim seraya menghulurkan dua keping not RM 10 kepada Nur Ain.
“Abah, bukan ke mak dah pesan pada abah jangan merokok. Abah dah lupa ke?” tegur Nur Ain lembut.
“Jangan bagitau mak kamu dahlah. Pergi beli cepat. Nanti tutup pulak kedai Pak Din tu,” arah Pak Ibrahim dan menapak masuk ke dalam rumah.
Nur Ain sekadar mengangguk. Segera dia mencapai basikal dan menunggangnya menuju ke kedai Pak Din. Seram sejuk Nur Ain rasakannya. Matanya membelingas ke kiri dan ke kanan. Khuatir ada yang mengacaunya nanti.
“Hai!” tegur seseorang dari arah belakang.
“Mak!!” jerit Nur Ain terkejut seraya memberhentikan kayuhannya.
“Nak ke mana? Boleh abang temankan?” tegur suara itu lagi.
Nur Ain menoleh. Berderau darahnya melihat Saiful yang sedang tersengih mengalahkan kambing di hadapannya itu. Rasa resah dan gelisah menyelinap masuk ke dalam hatinya waktu itu. Peluh dingin sudah membasahi dahinya juga.
“Nak ke mana Ain?” ulang Saiful lagi.
“Ain… Ain… Ain nak ke kedai,” beritahu Nur Ain tergagap-gagap.
“Kenapa tergagap-gagap ni sayang. Sayang takut dengan abang ya,” usik Saiful dan tergelak. Matanya menjamah wajah pucat Nur Ain.
“Tak.. tak… Ain jalan dululah Abang Saiful,” pamit Nur Ain dan menyambung kayuhannya. Sedaya upaya dia melajukan kayuhannya itu. Khuatir Saiful akan mengekorinya dari belakang. Sungguh Nur Ain takut melihat sengihan Saiful sebentar tadi.
Saiful tergelak. Geli hati melihat wajah pucat Nur Ain sebentar tadi. Matanya mengekori kayuhan basikal Nur Ain. Ada sesuatu yang menarik untuknya melihat. Walaupun lelaki di kampung tidak menyukai Nur Ain malah untuk memandang Nur Ain pun mereka tidak ingin, tapi tidak bagi Saiful. Baginya Nur Ain seorang gadis yang menarik. Kepolosan wajah Nur Ain membuatkan hatinya tertarik dan Saiful yakin akan memikat hati Nur Ain suatu hari nanti. 

10 ulasan:

  1. Oohooo.. Memory lane.. Herm, ni saiful ni sapa plak niii

    BalasPadam
    Balasan
    1. hurm, siapa ya saiful tu.. kawan sekampung NAZ.. :D

      Padam
  2. Baru ini hari dapat membaca ur entries fr bab 13 to 15 cos back fr night shift yesterday ... anyway jalan cerita yng menarik dan mendebarkan pd setiap episod cos ingin tahu what comes next ... anyway where is jeram which state it belongs to n ada pantai ke disitu?? anyway still waiting for the nxt entry .. nak tahu kisah selanjutnya bagaimana dan perkara apa yng ain difitnahkan??? Fr Aida "Perth"

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks Aida coz still membaca karya2 sy.. Jeram tu kat area sblm Kuala Selangor sana.. :D

      Padam
  3. Selamat marathon baca cerita nie. Aiseh, dahlah tgh suspend tunggu kisah perkahwinan, tup2 flash back pula.... Hehehehhe

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe.. tahniah Aziela coz selamat marathon AJID.. just nk perkenalkan Hazrul pd pembaca.. mcm mana kisah Hazrul & NAZ.. :)

      Padam
  4. i love flash back~!!!weeeeeeeeeeee......

    hazrel got a very fun characteristic, he's a fun guy...boleh gurau2 dgn mak die. tp skrg...hampeh...mcm hareeeeeeemmmmmm...mulut longkang dia, nmpk perubahan dia, mengapakah? sbb abang dia meninggalkah? O.o

    saiful ni mcm jht ja...hurm...
    wanna read more on hazrul..sbb nk kenal hazrul yg baik lai cerdik dan bijak *puji melambung sbb x ska adik dia.. haha*

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. mcm2 la adik akak sorg ni.. hurm, mybe la HH berubah lps kematian Hazrul.. kan Izzuddin ada sebut ttg tu dlm bab 13..

      klu x flash back, x tau la Hazrul tu mcm mana orgnya kan?? :D

      Padam
  5. i agree with you qminz...ngeeee....qminz dah tlg komen utk akak...heheheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe.. dlu HH mmg mcm tu.. skg berubah dh sbb kematian hazrul.. erm, maybelah.. :D

      Padam