Khamis, 22 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 16


BAB 16

Hazrul mengerling jam di tangan. Masa sudah menginjak ke angka lima tiga puluh minit petang. Resah dan gelisah dirasakannya ketika itu. Matanya tertinjau-tinjau sekeliling Pantai Jeram itu. Kebanyakan orang ramai yang berkunjung rata-ratanya sekadar untuk melihat keindahan ciptaan ALLAH. Ramai yang datang berkeluarga. Ada juga yang bersendirian dan ada juga yang datang berkawan. Termasuklah dirinya yang hanya bersendirian di situ.
Hazrul mengeluh berat. Matahari petang begitu cantik di pandang. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar tubuhnya ketika itu. Rasa hampa mula menyelinap masuk ke dalam hatinya. Bayang gadis yang ditunggu, tidak juga muncul-muncul. Mungkinkah gadis itu tidak sudi untuk berjumpa dengannya. Huh! Hazrul mengeluh untuk ke sekian kalinya.
“Dia tak datang kot,” duga Hazrul. “Hurm, mesti dia ingat aku bergurau semalam. Tapi, dah serius aku cakapnya semalam tu. Takkan dia tak percaya kot,” sambungnya lagi.
Bingkas Hazrul bangun dari duduknya. Dia mengatur langkah untuk menyusuri pantai. Walaupun sedikit hampa, nak tak nak, niatnya untuk menyusuri pantai, terpaksa diteruskan juga. Bukannya dia terlalu berharap agar gadis itu datang, keinginan untuk berkenalan dengan gadis itu melebihi dari segala-galanya. Hatinya juga sudah diserahkan kepada gadis itu dan mana mungkin gadis lain dapat menumpang dalam hatinya itu.


Nur Ain mengerling jam di dinding. Masa sudah pun merangkak ke angka lima empat puluh minit petang. Hatinya diburu resah dan gelisah. Hatinya merasa bersalah. Tak keruan dibuatkannya. Sekejap duduk, sekejap berdiri Nur Ain dirasakannya. Matanya melilau melihat keadaan sekeliling halaman rumahnya itu.
“Ain!” panggil Haslinda sedikit menjerit.
Nur Ain menoleh. Terlihat kelibat Haslinda di sebalik pokok kelapa. Haslinda mengisyaratkan jam di tangan. Nur Ain mengeluh. Bagaimana untuk keluar jika Mak Hamidah dan Pak Ibrahim tidak balik-balik dari melawat kampung sebelah.
“Dah lewat ni Ain. Nanti ‘encik gila’ tu balik,” suara Haslinda sekadar peringatan. Dia menapak jalan menghampiri Nur Ain yang sedang duduk di tangga rumah.
“Mak dan abah aku ke kampung seberang. Macam mana aku nak keluar? Tak ada siapa jaga rumah aku ni,” keluh Nur Ain.
“Kau kunci ajelah rumah ni, senangkan,” cadang Haslinda seraya duduk di tangga rumah.
“Tak bolehlah Lin. Abah aku dah pesan, kalau nak keluar ke mana-mana, kena tunggu abah dan mak aku balik dulu.”
“Habis tu, tak jadilah jumpa ‘encik gila’ kau tu ya,” duga Haslinda.
Nur Ain menjungkitkan bahu. Keluhan berat terlepas dari bibir untuk ke sekian kalinya. Matanya menoleh sekilas ke arah jam di dinding. Masa sudah pun merangkak hampir ke angka enam petang.
Haslinda turut sama mengeluh. Niatnya untuk berjumpa dengan ‘encik gila’ Nur Ain turut sama terbantut. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar ‘encik gila’ itu tidak pulang ke rumah andai  kata mak dan abah Nur Ain balik dalam masa terdekat ini.
“Ha.. tu pun mak dan abah kau balik Ain,” beritahu Haslinda girang.
Tangannya mengunjuk ke arah sebuah motosikal yang sedang menuju memasuki halaman rumah.
Nur Ain turut sama menoleh. Hatinya berbunga riang. Senyuman terbias di wajahnya ketika itu. Rasa tidak sabar untuk ke pantai turut dirasainya juga.
“Jom Lin!” ajak Nur Ain seraya bangun dan menarik tangan Haslinda.
“Hisy kau ni Ain. Sabarlah dulu. Sakit tangan aku dibuatkan kau,” rungut Haslinda.
Langkah Nur Ain terhenti. Segera dia melepaskan pegangan tangan Haslinda. Sengihan terbias di wajahnya ketika itu.
“Kau tak sabar nak jumpa ‘encik gila’ kau tu ya,” giat Haslinda sambil mengangkat kening. Lagak seperti nakal aje rupanya itu.
“Eh, mana ada. Aku takut dia tunggu lama kat pantai tu,” bidas Nur Ain laju.
“Alah, kau jangan nak kelentong akulah Ain. Muka kau tu dah merah aku tengoknya. Mesti hati kau berdebar-debarkan?” usik Haslinda pula.
Nur Ain tersipu-sipu malu. Segera dia mengatur langkah menuju ke arah mak dan abahnya. Tidak mahu Haslinda mengusiknya sebegitu lagi. Terasa malu di hadapan Haslinda. Malah jantungnya berdegup dengan pantas berlainan dari hari biasa. Entah kenapa, Nur Ain sendiri tidak pasti. Mungkinkah disebabkan ‘encik gila’ itu membuatkan jantungnya berdegup dengan pantas, berbeza dari degupan normal.


“Mana Ain?” tanya Haslinda sebaik sahaja tiba di pantai.
“Manalah aku tahu Lin. Mesti dia dah balik. Jam kau pukul berapa Lin?” jawab Nur Ain seraya duduk di atas batu.
Haslinda mengerling jam di tangan. Hampir satu jam lima belas minit mereka terlewat. Sudah pastilah lelaki yang ingin berjumpa dengan Nur Ain sudah pulang ke rumah. Haslinda mengeluh hampa. Kecewa kerana tidak dapat melihat lelaki yang dipanggil ‘encik gila’ itu.
“Dah pukul enam lima belas petang Ain. Mesti ‘encik gila’ tu dah balik,” duga Haslinda dan mengeluh. Turut sama melabuhkan duduk di atas batu bersebelahan Nur Ain.
“Aku pun agak macam tu juga Lin. Jomlah kita balik. Dah lewat ni,” ajak Nur Ain seraya bangun. Dia memusingkan badan ke belakang. Alangkah terkejutnya dia melihat kelibat yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“Tak dapatlah aku nak tengok ‘encik gila’ kau tu,” keluh Haslinda turut sama bangun. “Agak-agak ‘encik gila’ tu nak datang jumpa kau tak lagi Ain,” sambung Haslinda sambil memusingkan badan.
“Lin!” seru Nur Ain sambil menarik tangan Haslinda.
“Kenapa? Kau dah jumpa ‘encik gila’ tu ke?” tanya Haslinda berkerut.
Nur Ain turut sama berkerut. Matanya tepat ke muka Hazrul yang sedang memandang ke arahnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Seram sejuk pula Nur Ain rasakannya.
“Itu… itu…” ujar Nur Ain sambil memuncungkan mulut ke arah Hazrul.
“Apa itu… itu…” tanya Haslinda kurang mengerti.
“Encik gila!”
“Ha… mana… mana… ‘encik gila’ tu?” tanya Haslinda kalut. Matanya membelingas ke kiri dan ke kanan mencari kelibat lelaki.
Nur Ain menepuk dahi. Geli hati melihat tingkah kawan baiknya itu. Sebuah sengihan diberikan buat Hazrul.
“Hai!” ucap Nur Ain ramah.
Haslinda memahatkan pandangan ke wajah lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Berderau darahnya melihat lelaki itu. Ini ke ‘encik gila’ Ain tu, duga hatinya. Handsome, bertuah kau Ain, dapat kenal dengan lelaki handsome. Aku tumpang gembira untuk kau, puji Haslinda pula di dalam hati.
“Lama saya tunggu awak. Saya ingatkan awak tak datang. Dah nak masuk sepuluh kali saya tawaf pantai ni tadi,” beritahu Hazrul dan menghampiri Nur Ain dan Haslinda.
Nur Ain menelan liur. Sepuluh kali tawaf? Ulangnya di dalam hati. Takkan sampai begitu sekali kot, bisiknya pula.
“Maaf saya terlewat. Mak dan abah saya ke kampung seberang. Jadi tak ada siapa nak tunggu rumah,” jelas Nur Ain jujur.
“Oh, tak mengapalah. Sekurang-kurang awak datang juga. Walau berapa lama pun, saya tetap akan tunggu awak,” balas Hazrul ikhlas dan jujur.
“Ain… Ain… siapa tu?” tanya Haslinda berbisik.
“Itulah ‘encik gila’ yang kau tunggu-tunggukan,” balas Nur Ain turut berbisik.
“Encik gila?” ulang Hazrul berkerut. “Saya ke ‘encik gila’ tu?” duganya pula.
“Eh… bukan… bukan…” bidas Nur Ain laju dan tergeleng.
“Ya ‘encik gila’. Bukan encik yang kami gelarkan ‘encik gila’, encik lain,” sokong Haslinda. Seminit kemudian, dia menekup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan. Sedar akan keterlanjuran kata-katanya itu.
Hazrul melepaskan ketawa. Geli hati melihat wajah pucat dua orang gadis di hadapannya itu. Matanya juga menjamah wajah bersih Nur Ain. Senyuman ikhlasmu benar-benar menawan hatiku, bisik hati Hazrul.


“Maaflah sebab saya lewat,” ucap Nur Ain untuk ke sekian kalinya.
“Eh, tak mengapa. Saya tak kesah. Kan saya kata tadi, berapa lama pun awak ambil, saya tetap akan tunggu awak,” balas Hazrul ikhlas.
Nur Ain menunduk. Malu tatkala Hazrul berkata sebegitu. Matanya mengerling sekilas ke arah Hazrul. Jelas ketenangan pada wajah itu. Sejuk matanya memandang, malah senyuman di bibir Hazrul kelihatan ikhlas.
“Mana kawan awak tu?” tanya Hazrul sekadar ingin tahu.
“Kawan? Siapa?” tanya Nur Ain pula.
“Kawan yang datang sama dengan awak tadi tu, mana dia?”
“Oh, dia dah balik sebab mak dia suruh balik.”
“Maknya suruh balik?”
“Mak dia marah kalau dia balik lewat. Kalau dia nak ke mana-mana, kena balik sebelum pukul tujuh. Jadi dia baliklah memandangkan dah hampir pukul tujuh,” cerita Nur Ain bersungguh.
Hazrul tertawa. Geli hati mendengar celoteh Nur Ain itu.
“Kenapa gelak? Saya ada buat lawak ke?” geram Nur Ain.
“Tak. Awak tak buat lawak. Tapi cara awak bercakap tu buatkan awak jadi lawak,” jujur Hazrul dan tersenyum.
Nur Ain tersenyum. Semakin malu dirasakannya ketika itu. Rasa mahu disorokkan mukanya ketika itu.
“Nama awak apa?” tanya Hazrul.
Sudah lama berbual, baru sekarang nak bertanya nama. Bodoh betullah kau ni Hazrul, kutuk Hazrul pada dirinya sendiri.
“Err…”
Nur Ain menggaru kepalanya yang bertudung.
“Hai, takkan nama pun nak berahsia dengan saya.”
“Eh, tak… tak…” bidas Nur Ain laju.
“Saya Hazrul Hardy,” ujar Hazrul.
“Nur Ain Zafira. Panggil Ain aje,” balas Nur Ain.
“Hmm.. sedap nama tu. ‘Nur’ tukan maksudnya cahaya. Sebab itulah bila saya lihat awak, saya nampak cahaya di wajah awak,” jelas Hazrul ikhlas.
“Tak adalah. Encik salah tengok kot,” bidas Nur Ain.
“Kenapa ber‘encik’ dengan saya. Panggil saja Hazrul.”
“Err… tak biasa. Encik ni macam orang terhormat. Jadi ada baiknya saya panggil dengan panggilan tu.”
Hazrul menggelengkan kepala. Ketawa kecil terlepas dari bibirnya. Terlalu polos gadis di hadapannya itu. Terlalu beradab dan ramah. Sungguh hatinya sudah tertawan dengan gadis yang bernama ‘Nur Ain Zafira’.
“Tak perlulah. Saya biasa-biasa aje. Panggil saja saya Hazrul ataupun Az.”
Nur Ain mengangguk.
“Umur Ain berapa?” tanya Hazrul ingin tahu.
“Ain baru lapan belas tahun,” jujur Nur Ain.
“Oh, baru habis SPM la ya,” duga Hazrul. “Tak sambung belajar ke?” tanyanya pula.
Nur Ain menggeleng.
“Kenapa?”
“Tak mampu nak sambung belajar,” ujar Nur Ain perlahan.
Hazrel mengangguk. Mengerti akan maksud tersirat Nur Ain itu. Matanya menjamah wajah Nur Ain yang sedang menunduk.
Birthday Ain bila?”
“25 haribulan Februari.”
“25 Februari?” ulang Hazrul.
Nur Ain mengangguk.
“Dua bulan yang lepaslah ya.”
Nur Ain mengangguk lagi.
“Saya nak tanya sesuatu boleh?” pinta Hazrul.
“Boleh. Apa dia?” balas Nur Ain.
“Ain dah ada yang punya?” tanya Hazrul sekadar ingin tahu. Tidak mahu menangguh niatnya itu.
Nur Ain mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan maksud pertanyaan Hazrul itu.
“Maksud saya ‘boyfriend’,” ujar Hazrul melihatkan riak di wajah Nur Ain.
“Oh, ingatkan apa tadi,” balas Nur Ain dan tertawa kecil. “Siapalah yang nakkan Ain ni. Bukannya cantik pun. Orang nak tengok pun takut,” sambung Nur Ain dan masih ketawa.
“Kenapa cakap macam tu?”
“Ain sedar siapa Ain sebenarnya. Siapa yang nakkan Ain ni. Dahlah tak cantik, berparut, miskin dan tak berharta. Kalau nak dibandingkan Ain dengan Haslinda, Haslinda lagi cantik dari Ain. Malah semua yang lelaki inginkan ada pada Haslinda,” jelas Nur Ain ikhlas.
“Saya tak suka Ain cakap macam tu,” bentak Hazrul keras.
Terkedu Nur Ain mendengarnya. Matanya menjamah wajah tegang Hazrul. Kecut perut dirasakannya ketika itu.
“Cantik bukan saja pada paras rupa. Cantik yang sebenar adalah dari dalam hati seseorang itu. Kalau cantik di muka tapi berhati busuk, itu bukan dinamakan cantik tapi hodoh,” jelas Hazrul tegas.
“Ain…”
“Pertama kali saya tengok Ain, saya dah jatuh sayang pada Ain. Kedua kali saya tengok Ain, saya dah jatuh cinta pada Ain. Dan ketiga kali saya tengok Ain…”
Hazrul sengaja menggantungkan ayatnya. Berharap Nur Ain mengerti isi hatinya itu.
“Ketiga?” ulang Nur Ain berkerut. Matanya menatap wajah Hazrul.
“Ketiga kali saya tengok Ain, saya nak Ain jadi kekasih saya,” sambung Hazrul.
Berderau darah Nur Ain mendengarnya. Terkebil-kebil matanya menatap wajah Hazrul. Luahan Hazrul kedengaran jujur dan ikhlas. Terharu Nur Ain rasakannya di saat itu. Belum pernah lagi seorang lelaki meluahkan perasaan padanya. Jika ada pun, hanya kata-kata hina dan cacian yang didengarnya selama ini. Tidak semena-mena, air matanya mengalir perlahan membasahi pipi.
“Ain, kenapa ni?” tanya Hazrul terkejut.
Nur Ain menggelengkan kepala. Dia menyeka air mata dengan belakang tangannya sahaja. Secara jujur hatinya terharu mendengar luahan Hazrul itu.
“Kita baru aje kenal, macam mana awak boleh cakap macam tu? Awak tak kenal lagi siapa Ain yang sebenarnya,” ujar Nur Ain perlahan.
“Itu bagi Ain tapi tidak bagi saya. Saya rasa macam dah lama kenal dengan Ain. Saya ikhlas Ain. Saya ikhlas dengan luahan saya tadi,” balas Hazrul lembut. Matanya menatap kasih wajah yang sudah bertahta di dalam hatinya itu.
Nur Ain menghela nafas pendek. Wajah Hazrul ditenung sayang. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Walaupun baru dua hari mengenali Hazrul, hatinya sudah terjatuh sayang pada lelaki itu. Dapat dirasakan debaran di saat itu. Mungkinkah dia juga turut merasakan dengan apa yang dirasakan oleh Hazrul.
“Ain balik dulu. Dah lewat ni. Nanti mak cari Ain pula,” pamit Nur Ain dan melangkah jalan mendahului Hazrul. Jika berlama, khuatir ada pasang-pasang mata yang melihat mereka berdua nanti. Tak pasal-pasal, timbul fitnah pula.
Hazrul sekadar mengangguk. Matanya menghantar langkah Nur Ain sehingga hilang di sebalik celahan pokok yang terdapat di pantai itu. Hatinya lega selepas meluahkan isi hatinya pada Nur Ain. Walaupun terlalu awal, Hazrul tidak peduli itu semua. Apa yang pasti, hajatnya untuk menjadikan Nur Ain sebagai kekasihnya malah isterinya mungkin akan tercapai. Err, mama aku terima ke Ain nanti, soal Hazrul sendirian.


“Cish! Tak guna. Berani betul dia nak mengorat awek aku,” marah Saiful.
“Kau ni kenapa Apol? Tetiba aje nak mengamuk dan marah. Siapa yang buatkan kau marah?” tanya Ali dan tergeleng.
“Siapa lagi kalau bukan mamat bandar yang cuba nak mengorat awek aku, Ain tu. Sakit hati aku tengok diorang berdua berjalan kat pantai petang tadi,” geram Saiful.
“Oh, mamat bandar tu. Eh, kejap… kejap… sejak bila pulak Ain tu jadi awek kau?”
“Betullah Ain tu awek aku. Kenapa, kau tak percaya ke?”
“Eh, mana ada aku tak percaya. Aku percaya. Cuma sejak bila kau kenankan dengan Ain tu? Nak kata lawa, tak adalah pulak. Lawa lagi kawan dia tu, Haslinda anak Pak Hashim.”
“Itu aku tahulah Ali. Haslinda tu lagi lawa dari Ain. Tapi, Haslinda tu berlagak sikit. Aku ni mana dia nak pandang. Lainlah Ain, disebabkan ramai yang tak nak kat dia, apa salahnya kalau aku nak kat dia,” jelas Saiful keras.
“Huh! Tak faham aku dengan kau ni Apol. Ada awek cantik, kau nak mengorat awek yang tak cantik. Biarlah kalau mamat bandar tu suka kat Ain. Yang kau sibuk-sibuk tu kenapa?” tegur Ali turut sama keras.
“Kau tahu tak aku rasa tercabar disebabkan mamat tu. Aku punya handsome, Ain tak pandang. Alih-alih mamat bandar tu juga yang dia pandang. Tinggi betul angan-angan minah tu. Aku pasti mamat tu anak orang kaya. Sebab itulah dia pandang mamat tu,” luah Saiful geram.
Ali melepaskan ketawanya. Geli hati mendengar luahan Saiful itu.
“Yang kau ketawa tu kenapa? Aku ada buat lawak ke?” marah Saiful pula.
“Tak. Aku geli hati dengarnya. Takkanlah Ain tu nakkan mamat bandar tu. Selama aku kenal Ain, dia tak pandang semua tu. Lagipun Ain tu selalu merendah diri. Aku tak percayalah kalau Ain suka kat mamat tu. Kalau mamat tu suka kat Ain, itu aku percayalah,” bidas Ali tegas.
Walaupun dia tidak berapa rapat dengan Nur Ain, tetapi dia yakin yang Nur Ain seorang gadis yang pandai menjaga diri. Malah sifat rendah diri yang ada pada Nur Ain turut membuatkan dia merasa kagum terhadap Nur Ain.
“Ah, sudahlah kau Ali. Bila aku cakap, ada aje yang kau bangkangkan. Daripada bercakap dengan kau, ada baiknya aku cakap dengan tunggul kayu tu,” bentak Saiful sambil memuncungkan mulut ke arah tunggul kayu yang terdapat berhampiran mereka berdua.
“Apol… Apol… kalau kau betul-betul ikhlas nakkan Nur Ain tu, kau masuk minang, habis cerita,” cadang Ali seraya bangun.
Saiful terkedu. Kata-kata Ali menusuk terus ke cuping telinganya. Mungkin ada benarnya apa yang diperkatakan oleh Ali itu. Ada baiknya dia meminang Nur Ain jika tidak mahu Nur Ain jatuh ke tangan lelaki lain.
“Betul juga tu. Kenapa aku tak terfikir sebelum ni?” sokong Saiful.
“Sebab otak kau tu dah beku. Mana kau nak fikir semua tu. Kalau kau betul-betul suka kat Ain, kau suruh orang tua kau masuk meminang Ain. Bila kau dah ikat dia, tak adalah dia nak menggatal dengan lelaki lain,” jelas Ali serius.
Saiful mengangguk faham. Otaknya ligat berfungsi. Sebuah senyuman terukir di wajahnya. Dia perlu mengkhabarkan niatnya pada kedua orang tuanya secepat mungkin.
“Aku balik dululah Ali. Aku nak bagitau mak bapak aku tentang ni. Bagus betul otak kau Ali,” pamit Saiful dan tergelak kecil.
“Aku doakan kau berjaya,” ujar Ali sebelum kelibat Saiful menghilang.
Ali tergeleng kecil memikirkan tingkah Saiful sebentar tadi. Tanpa berlengah, segera dia membawa langkahnya pulang ke rumah. Walaupun Saiful nampak nakal, tetapi sifat baik Saiful masih ada dari dalam diri lelaki itu. Semoga Nur Ain dapat menerima peminangan Saiful, doa Ali sendirian.


“Eh, anak mama dah balik. Bila anak mama ni balik?” tegur Datin Salina tatkala terlihat kelibat Hazrul di ruang tamu.
Hazrul mengangkat tubuhnya. Segera dicapai tangan Datin Salina lalu dicium kasih tangan tersebut. Sebuah senyuman terbias di wajahnya.
“Kata nak balik minggu depan. Kenapa balik pulak?’ tanya Datin Salina seakan menyindir. Dia melabuhkan duduknya di sisi Hazrul.
“Rindu kat mama la,” balas Hazrul selamba.
Datin Salina tertawa kecil. Sejak bila anaknya itu pandai bermain kata-kata?
“Yalah tu rindukan mama. Jangan-jangan Az balik sebab nak minta duit dari papakan?” duga Datin Salina.
“Mana ada ma. Duit saku Az masih ada lagi. Az balik sebab nak bagitau mama sesuatu dan Az minta mama tunaikan permintaan Az ni,” beritahu Hazrul.
Berkerut dahi Datin Salina mendengarnya. Permintaan apa anaknya itu minta ditunaikan?
“Ma… Az nak…”
“Mama pun ada perkara nak bagitau Az. Hujung minggu ni mama nak Az ikut mama ke rumah Haji Khairul, ada makan malam kat situ. Mama nak kenalkan Az dengan Qistina, anak Haji Khairul tu,” pintas Datin Salina laju.
“Qistina?” ulang Hazrul berkerut.
“Mama dan papa dah setuju nak jodohkan Az dengan Qistina. Az bertunang dulu dengan Qistina. Lepas habis belajar, terus nikah,” sambung Datin Salina.
Terkejut Hazrul mendengarnya. Matanya tepat ke wajah Datin Salina.
“Mama dan papa dah uruskan kemasukan Az dengan Hazrel di Australia. Mama nak Az dengan Hazrel sambung belajar kat sana,” jelas Datin Salina lagi.
Semakin terkejut Hazrul mendengar perancangan Datin Salina itu. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menapak jalan menuju ke biliknya di tingkat atas. Terasa sebu hatinya dengan tiba-tiba. Terasa sesak nafasnya juga.
“Az… Az dengar tak apa yang mama katakan tadi?” tanya Datin Salina keras.
Sakit hatinya melihat tingkah anaknya itu.
“Nanti kita bincang mama. Az penat dan mengantuk. Az masuk tidur dulu,” laung Hazrul dari arah tangga.
Datin Salina mendengus kasar. Segera dia bangun dan menapak jalan menuju ke biliknya di tingkat atas. Walau bagaimanapun, hatinya puas dan lega selepas memberitahu akan rancangannya pada Hazrul.


Hazrul menyandarkan badan di kepala katil. Terasa tenang selepas menunaikan kewajipannya sebagai umat Islam. Hatinya yang resah gelisah sebentar tadi, semakin surut selepas membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Hanya pada-NYA, Hazrul meluahkan segala resah dan gelisahnya ketika itu.
Hazrul menghela nafas pendek. Sebuah buku diary dikeluarkan dari dalam beg sandangnya. Dicapai pen dari atas meja dan menyelak muka surat bertarikh hari ini. Diary yang sentiasa menjadi penemannya selama ini. Segala apa yang berlaku pada dirinya, dicoretkan di dalam diary tersebut. Hanya di situ sahaja tempatnya meluahkan segala isi hatinya. Dengan cara itu, hatinya menjadi lega sebaik sahaja meluahkannya di dalam diary tersebut.


25 April

Hari ini, aku bertemu dengannya lagi. Betapa manis dan ayunya dia bertudung. Walaupun wajahnya tidak secantik Erra Fazira, tidak seayu Ayu Raudhah, tapi aku yakin dengan pandangan mata aku ini. Kecantikannya dapat dilihat dari mata hati aku. Senyuman yang terbias di wajahnya, begitu ikhlas dan tidak mungkin akan aku lupakan senyuman itu sehingga nafas terakhir aku nanti. Hanya dia yang aku inginkan pada waktu dan  ketika ini. Hanya dia yang aku sayangi dan hanya dia yang aku cintai. Hanya nama ‘Nur Ain Zafira’ terukir indah di dalam hatiku ini.


“Abang!” tegur Hazrel tiba-tiba.
Tersentak Hazrul seketika. Lantas ditutup diary dan diletakkan di bawah bantal. Matanya dihalakan ke wajah Hazrel yang sedang tercegat di muka pintu bilik.
“Kenapa tak ketuk dulu sebelum masuk?” tanya Hazrul kurang senang.
“Haz dah ketul, tapi abang yang tak dengar. Abang buat apa tadi?” jawab Hazrel dan menapak masuk ke dalam bilik. Dilabuhkan duduk di birai katil. Matanya menatap wajah mendung kembarnya itu.
“Oh, maaf. Abang tak dengar tadi.”
“Abang buat apa tadi?” ulang Hazrel pada soalannya tadi.
“Mana ada apa-apa. Abang baru nak siapkan assignment abang yang tertangguh ni,” dalih Hazrul sambil tangannya menggagau mencari folder plastik dari dalam beg sandangnya.
Hazrel hanya memerhati berserta kerutan di dahi. Pelik melihat tingkah kalut abangnya itu. Seakan ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Hazrul darinya.
“Mama kata abang balik minggu depan. Kenapa balik hari ni pulak?”
“Haz ni macam mamalah. Tanya soalan yang dah tahu jawapannya.”
“Eh, manalah Haz tahu jawapannya. Kalau Haz tahu, tak adalah Haz tanya abang,” bidas Hazrel keras. “Jangan-jangan abang balik sebab abang dah tak sabar nak jumpa dengan anak Uncle Khairul tukan?” tebak Hazrel dan tersengih.
“Jangan nak mengarutlah Haz. Abang balik sebab abang ada perkara nak bincangkan dengan papa dan mama,” bidas Hazrul keras.
“Perkara? Perkara apa? Abang dah sangkut dengan gadis kat sana ke?”
Hazrul menarik nafas dan melepaskannya lembut. Matanya menjamah wajah kembarnya itu. Perlukah dia bercerita pada Hazrel mengenai Nur Ain?
“Kalau betul kenapa?” tanya Hazrul sekadar menguji perasaan Hazrel.
Tersentak Hazrel mendengarnya. Matanya membalas pandangan Hazrul.
“Kalau betul, bila lagi nak kenalkan Haz dengan bakal kakak ipar Haz tu,” usik Hazrel dan tertawa.
Hazrul yang mendengar turut sama tertawa.
“Abang gurau ajelah Haz. Kan kita masih belajar lagi. Pelajaran tu lagi penting dari benda-benda tu semua,” bohong Hazrul cuba menutup perasaan di hati.
“Baguslah kalau abang berfikir macam tu. Lagipun usia kita muda lagi, enjoy puas-puas dulu, then baru boleh bercinta,” nasihat Hazrel. “Kalau Haz kan bang, Haz nak cari awek yang cantik, seksi, kaya dan menggoda,” sambung Hazrel seraya bangun. Dihampiri Hazrul yang sedang membuang pandang di jendela. Bahu Hazrul disentuh lembut.
“Kalau suatu hari nanti Haz berkahwin dengan gadis yang berasal dari kampung, macam mana?” tanya Hazrul sekadar menduga perasaan kembarnya itu.
“Rasanya takkan. Haz lagi rela bunuh diri dari berkahwin dengan perempuan kampung,” balas Hazrel selamba.
Hazrul menggelengkan kepala. Hazrel tak ubah seperti Datin Salina. Suka membuat keputusan sendiri tanpa memikirkannya terlebih dahulu. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Hazrel mengikut perangai mamanya dan dia mungkin mengikut perangai papanya yang sentiasa tenang ketika membuat keputusan.
“Oh ya, abang tahu tak pasal mama dan papa nak hantar kita belajar ke Australia. Haz pun baru tahu tadi,” tanya Hazrel.
“Abang tahu. Mama dah bagitau abang tadi,” jawab Hazrul dan terangguk.
“Jadi, abang setujulah.”
“Entahlah Haz. Sayang kalau kita berhenti sekerat jalan.”
“Abang ni mimpi ke?”
“Mimpi?” ulang Hazrul berkerut.
“Mama suruh kita sambung dalam course yang sama kat sana.”
Hazrul melepaskan keluhan. Dia menapak jalan menuju ke sofa dan melabuhkan duduknya di situ. Wajahnya diraup sekali. Sukar untuk menerima keputusan yang telah dibuat oleh papa dan mamanya.
“Kalau abang tak nak ikut, mama setuju tak Haz?” tanya Hazrul sekadar mencuba.
“Apa? Abang jangan nak cari pasal. Mengamuk mama nanti,” balas Hazrel turut sama duduk di sofa.
“Abang tak nak ke sanalah Haz. Abang akan cuba pujuk mama setuju dengan permintaan abang ni.”
“Ikut suka hati abanglah. Nanti jangan nak salahkan Haz kalau Haz tak sokong dengan keputusan abang tu,” putus Hazrel seraya bangun. Dia menguap seketika. “Haz masuk bilik dululah, dah mengantuk. Esok kita sembang lagi. Selamat malam abang,” sambung Hazrel dan menapak keluar dari bilik Hazrul.
“Selamat malam Haz,” balas Hazrul dan menghantar pemergian Hazrel dengan ekor matanya sahaja.
“Apa yang aku nak buat ni?” keluh Hazrul sendirian.

 Jumpa HH & NAZ malam esok ya kengkawan...
(^_^)

10 ulasan:

  1. wahhh....double update lagi...
    cepatnye kak ros tulis novel.. T_T jeles q

    anyway....wah...flash back..
    encik giler.. kalau umur awak pnjg, agak2 bahagia ke awak dgn ain, atau mak awak akan kacau awak berdua?

    sayang nye...watak yg best... sekejap la plak dia muncul... huuhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. lps ni jd lmbt update la..

      nk wat mcm mana.. dh umurnya pendek.. maybe maknya akan kacau.. hurm, entah la..

      Padam
  2. Salam Eliza...bab 14 & 15 khas untuk flash back ke?..ok la tu best jugak dapat tahu macam mana ain dan hazrul jumpa dan bercinta...tapi bila takda watak mamat poyo tu boring gak ye..ye la..dah nama pun hero...mesti nak kena adakan?...

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm.. a'ah bab 15 & 16 mmg khas utk flash back.. just nk perkenalkan Hazrul coz nti xdelah pembaca tertanya2 mcm mana Hazrul berkenalan dgn NAZ.. so, dh clear mcm mana Hazrul berkenalan dan bercinta dgn NAZ.. after this bab HH & NAZ... tunggu mlm esok ya.. ;)

      Padam
  3. wah,mmg sempoi la hazrul..kali ke-3 jmpa tros mntk jdik kekasih.....klu jdi nur ain tros ckp 'yes'..(gedik jp)...hehe...tp umor beliau x pnjg..huhu..at least dpt la knl hazrul ni cmna kn...sweet ja..x sbr nk tggu bab 17...apa plak jd kt hazrel n nur ain...:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. btl 2 yani, klu akak jd NAZ, terus kata 'yes'..

      bab 17?? hurm, mesti ada yg terkejut bcnya nti.. err, yeke terkejut.. xpe, kita tggu mlm esok ya.. :D

      Padam
  4. best!!! cepat sambung... kalau aku jadi hazrul, aq pegi je AS. hehehe...

    BalasPadam
    Balasan
    1. tq.. esok mlm kita smbg lg ya.. terima kasih kerana membaca AJID.. :)

      Padam
  5. hazrul dan hazrel 2 karakter yg jauh berbeza...huhuhu...best2..dpt tau gak mcmne kisah percintaan ain ngn hazrul smpikan ain msh xleh lupakan dia. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. yup!! 2 karakter yg berbeza.. but, klu iktkan HH tu bknlah spt sekrang ni yg bermulut longkang, sombong, ego dll.. mgkn kematian Hazrul buatkan dia berubah mcm tu.. spt yg diperkatakan Izzuddin hr tu.. :D

      Padam