Isnin, 26 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 18


BAB 18

“Kau busy ke Haz?” tanya Izzuddin dari arah muka pintu.
Hazrel mengangkat muka. Wajah Izzuddin ditatap mesra.
“Tak ada, kenapa?” tanya Hazrel pula.
Izzuddin membawa langkahnya masuk ke dalam bilik. Dilabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Hazrel. Matanya menatap tingkah Hazrel yang sedang membaca fail-fail syarikat. Berkerut-kerut dahi Hazrel dilihatnya. Mungkin ada perkara yang tidak kena di dalam laporan itu sehingga membuatkan Hazrel sebegitu rupa.
“Kau nak apa Izz?” tanya Hazrel tatkala menyedari kebisuan Izzuddin.
“Kes kau apa cerita?”
“Kes aku? Kes apa?” ulang Hazrel dan mengangkat muka.
“Kes kau dengan Nur Ain,” suara Izzuddin.
“Kenapa kau tanya?”
“Kenapa? Tak boleh ke kalau aku nak bertanya?” tanya Izzuddin mematikan pertanyaan Hazrel.
“Kau tak perlu nak sibuk dalam urusan aku. Pandai akulah nak uruskannya,” jawab Hazrel selamba. Dia menyandarkan badan ke belakang dan berpeluk tubuh. Matanya menatap wajah Izzuddin.
“Aku bukan menyibuk. Sebagai kawan, apa salahnya aku ambil berat tentang kau dan Nur Ain. Manalah tahukan kau perlukan apa-apa bantuan dari aku,” jelas Izzuddin ikhlas.
Hazrel mencebik. Bingkas dia bangun dari duduknya dan melangkah ke jendela.
“Sebagai kawan aku, kau takkan ugut aku sewaktu aku berkahwin dengan Nur Ain. Sebagai kawan aku, kau akan menyokong aku dan bukannya menghentam aku. Itu yang kau maksudkan dengan kawan. Aku rasa ada baiknya kau ambil kamus, cari perkataan K.A.W.A.N. berserta maksudnya sekali. Then baru kau boleh bercakap pasal kawan dengan aku,” jelas Hazrel bernada sindiran. Dia juga mengeja ayat ‘kawan’ dengan tegasnya.
Terkedu Izzuddin mendengar sindiran Hazrel. Dia membangunkan tubuh dan menghampiri Hazrel yang sedang membuang pandang di jendela.
“Aku masih anggap kau kawan aku Haz. Walau apa pun yang berlaku, kau tetap kawan baik aku dan Eddie. Salah ke kalau kami menegur kau. Salah ke kalau kami membela Nur Ain. Kami tak nak kau membuli gadis sebaik Nur Ain,” balas Izzuddin berserta keluhan ringan.
“Kami?” ulang Hazrel sinis. “Rasa kelakar aku dengar ayat ‘kami’ yang keluar dari mulut kau tu Izz,” sambung Hazrel masih sinis.
Berkerut dahi Izzuddin. Matanya menjamah wajah tegang Hazrel.
“Aku rasa kau yang lebih-lebih dari Eddie. Kau takut aku buli Nur Ain bukan? Sebab itulah kau sibuk-sibuk nak tahu pasal Nur Ain. Maklumlah cinta tak berbalas,” sindir Hazrel pula. Senyuman sinis masih terbias di wajah.
“Bukan itu maksud aku Haz. Aku…”
“Sudahlah Izz. Mulai hari ini, aku tak nak kau sibukkan hal aku dengan Nur Ain. Pandai-pandai akulah nak uruskan dia macam mana. Dan suka hati akulah nak jadikan dia apa, sebagai orang suruhan aku ke, orang gaji aku ke atau apa-apa pun. Kau nak tahu sebab apa Izz?” jelas Hazrel sedikit meninggi dan bernada ugutan. “Sebabnya Nur Ain tu isteri aku dan wajib dia mendengar cakap aku,” sambung Hazrel tegas.
Izzuddin menelan liur. Bukan niatnya untuk mencampuri urusan rumah tangga Hazrel. Niatnya sekadar untuk bertanya mengenai kes khalwat Hazrel dan Nur Ain. Ternyata niatnya disalah ertikan oleh Hazrel.
“Baguslah kalau kau dah mengaku yang Nur Ain tu isteri kau. Aku harap kau akan hargai dia,” ujar Izzuddin perlahan dan menapak jalan ke pintu bilik. Tangannya sudah pun memulas tombol pintu. “Haz, aku dah nampak sinar cinta kau terhadap Nur Ain dari anak mata kau tu. Kalau betul tekaan aku ni, akulah orang kedua yang akan gelakkan kau selepas Eddie,” sambung Izzuddin bernada sindiran.
Setelah menuturkannya, segera dia membawa diri keluar dari bilik itu. Jauh di sudut hati, dia bersyukur andai kata apa yang dilihatnya itu benar belaka.
Hazrel hanya memandang. Dia mendengus kasar. Kata-kata Izzuddin menyakitkan hati. Huh! Mengarut. Sejak bila entah aku suka dan cintakan minah kampung, perasan. Dia tak layak untuk aku cintai, bidas hatinya  keras.


“Macam mana Ain?” tanya Fauziah berbasa basi.
Nur Ain mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan pertanyaan Fauziah itu.
“Ain dengan Encik Hazrel,” ujar Fauziah tatkala menyedari wajah kerutan Nur Ain.
Berita tentang perkahwinan Nur Ain sudah diceritakan oleh Humaira tiga hari yang lepas. Hanya beberapa kenalan sahaja yang mengetahui akan perkahwinan Nur Ain dan Hazrel. Malah perkahwinan itu dirahsiakan dari pengetahuan orang lain.
“Dia ada buli Ain tak?” tanya Fauziah lagi.
Nur Ain menggeleng. Matanya masih difokuskan pada komputer.
“Erm, baguslah kalau Encik Hazrel tak buli Ain. Risau juga akak lepas maksu Ain bagitau yang Ain dah berkahwin dengan Encik Hazrel,” sambung Fauziah lagi.
Nur Ain menghela nafas lembut dan menoleh ke arah Fauziah. Bersyukur kepada ALLAH kerana memiliki seorang kawan merangkap kakak dalam hidupnya. Jika tidak sukar bagi Nur Ain untuk bangun jika dia punya masalah.
“Encik Hazrel dah jadi suami Ain. Walau bagaimana sekali pun sikap Encik Hazrel pada Ain, dia tetap suami Ain dan Ain perlu jaga maruah suami Ain,” jelas Nur Ain perlahan.
Fauziah mengangguk faham. Ada benarnya kata-kata Nur Ain itu. Hazrel sudah pun menjadi suami Nur Ain. Walau apa pun penerimaan Hazrel terhadap Nur Ain, tanggungjawab seorang isteri perlu dilaksanakan. Seburuk mana perangai suami, isteri sepatutnya menjaga maruah suami begitu jugalah sebaliknya.
“Ain nak pergi makan tak? Dah masuk waktu rehat ni,” suara Fauziah seraya bangun.
Nur Ain mengerling jam di dinding. Masa sudah pun merangkak ke satu petang. Kemudian dihalakan pandangan ke bilik Hazrel. Sedari pagi sehinggalah ke tengahari, Hazrel tidak keluar dari bilik. Mungkinkah Hazrel malu kerana memperisterikan dirinya. Gadis yang tidak layak berdampingan dengan mana-mana lelaki kaya di dunia ini.
“Ain tak laparlah Kak Gie. Kalau Kak Gie nak makan, Kak Gie pergilah,” beritahu Nur Ain. Matanya masih dihalakan ke bilik Hazrel.
“Pagi tadi Ain dah sarapan ke?” tanya Fauziah ingin tahu.
Nur Ain menoleh. Wajah Fauziah ditatap mesra. Sebuah senyuman terbias di wajah. Peristiwa pagi tadi bermain di tubir mata. Entah kenapa ada kelainan pada diri Hazrel. Mungkinkah disebabkan perkahwinan mereka membuatkan Hazrel berlainan dari sebelum ini.
“Lepas ni kau jangan masak banyak-banyak. Kau tahu tak membazir. Siapa yang nak makan semua ni nanti?” tegur Hazrel keras seraya melabuhkan duduk di kerusi.
Nur Ain menggaru kepalanya yang tidak gatal. Wajah Hazrel ditatap berserta kerutan di dahi. Hatinya berteka-teki sendiri.
“Yang kau berdiri tu lagi kenapa? Duduklah!” tegur Hazrel lagi.
“Ha… a… apa dia?” tanya Nur Ain tergagap-gagap.
“Kau ni suka sangat tergagap bila nak jawab pertanyaan aku. Keluarga kau ada penyakit gagap ke?” sindir Hazrel pedas.
Tersentak Nur Ain seketika. Terasa sakit hati tatkala keluarganya dilibatkan. Matanya merenung tajam wajah Hazrel.
“Dan lagi satu. Jangan sesuka hati kau aje nak cium aku. Semalaman aku terpaksa cuci pipi aku ni dengan sabun wangi. Sampai sekarang tak hilang bau kau tu,” sambung Hazrel masih pedas. Tangannya lincah menyuap mee goreng masuk ke dalam mulut.
Terkedu Nur Ain pula. Cium? Bila masa dia mencium Hazrel? Hatinya tertanya-tanya. Benarkah apa yang diperkatakan Hazrel.
“Bila masa pulak Ain cium Encik Hazrel?” terluah juga pertanyaan itu dari bibir Nur Ain.
Hazrel mengerutkan dahi. Pertanyaan Nur Ain seakan bodoh dipendengarannya.
“Kau dah lupa ke yang kau cium pipi aku malam tadi. Umur baru dua puluh tiga tahun, memori otak mengalahkan umur lima puluh tahun.”
“Tapi…”
“Kau nak nafikannya lagi.”
Nur Ain berfikir sejenak. Dia terangguk kecil tatkala mengingatinya. Disebabkan Hazrel memulangkan telefon bimbitnya semula, maka dia bertindak sebegitu rupa. Dapat dirasakan pipinya panas ketika itu.
“Salah ke?” tanya Nur Ain.
Diperhatikan wajah Hazrel yang kemerahan.
“Salah. Salah apa?” ulang Hazrel berkerut.
Cuba menahan rasa malu. Tangan menyuap mee goreng masuk ke dalam mulutnya lagi.
“Salah ke Ain cium suami Ain sendiri? Ain ada hakkan buat macam tu. Lainlah kalau Encik Hazrel bukan suami Ain, barulah nampak salahnya,” jujur Nur Ain. “Mesti Encik Hazrel suka Ain cium Encik Hazrelkan? Dari tadi Ain tengok muka Encik Hazrel merah,” sambung Nur Ain selamba.
Kemudian dia menapak jalan menuju ke bilik untuk bersiap. Tidak mahu mendengar bebelan Hazrel lagi.
Tersedak Hazrel dibuatkan dengan kata-kata Nur Ain itu. Segera dicapai gelas minuman dan meneguk rakus air tersebut. Matanya mengekori langkah Nur Ain. Sungguh dia merasa malu tatkala mengingati peristiwa malam tadi.
“Huh! Ingat aku heran sangat ke dengan ciuman dia tu,” kutuk Hazrel masih tidak mahu mengalah.
Kemudian, bingkas dia bangun dari duduk. Selera makannya mati tiba-tiba. Dicapai briefcase dan menapak keluar dari rumah. Tidak menghiraukan Nur Ain yang mungkin sedang bersiap untuk ke tempat kerja.
“Ain… Ain…” panggil Fauziah mematikan lamunan Nur Ain.
“Ha… ya… Kak Gie. Ada apa?” balas Nur Ain tergagap-gagap.
“Ain ni suka sangat mengelamun. Berkali-kali dah Kak Gie panggil Ain tadi,” rungut Fauziah seraya bangun.
“Macam mana Kak Gie tahu Ain mengelamun?” tanya Nur Ain pura-pura.
Fauziah tertawa kecil. Dia menggelengkan kepala dengan pertanyaan Nur Ain.
“Ain, dalam office ni kita berdua aje yang ada. Pekerja-pekerja lain semuanya kat belakang, bahagian punggahan. Kalau Ain termenung, sudah tentulah akak perasaan,” jawab Fauziah berserta senyuman.
Nur Ain tersengih. Kepalanya yang bertudung digaru.
“Betul Ain tak nak makan? Nanti gastrik Ain datang balik, siapa yang susah, akak jugakan?” tanya Fauziah inginkan kepastian.
“Betul Kak Gie. Ain dah makan pagi tadi. Kak Gie pergilah makan,” balas Nur Ain berserta anggukan. Cuba menyembunyikan kebenaran.
“Kalau macam tu, akak keluar dululah. Jangan curi-curi pandang suami Ain tu ya,” pesan Fauziah bernada usikan. Sedari tadi dia menyedari akan lirikan mata Nur Ain.
Nur Ain tertunduk malu. Sudah pastilah Fauziah menyedari akan tingkahnya sebentar tadi. Matanya tidak lekang dari melihat pintu bilik pejabat Hazrel. Ada kerisauan di sudut hati. Adakah Hazrel sakit? Soal hatinya.
Nur Ain bingkas bangun dari duduk setelah kelibat Fauziah menghilang. Dia menapak jalan menuju ke bilik Hazrel. Hatinya tertanya-tanya sedari tadi. Kenapa Hazrel tidak keluar-keluar dari dalam bilik? Kenapa bayang Hazrel tidak menyapa matanya? Pelbagai persoalan bersarang dalam kepala Nur Ain ketika ini. Apa yang pasti, dia perlu mencari jawapan tersebut.
“Ain, kenapa tak keluar makan?” tegur Izzuddin tiba-tiba.
“Mak!!” jerit kecil Nur Ain terkejut. Dia mengurut dadanya berombak kencang.
“Maaf, saya tak sengaja,” ujar Izzuddin dan tersengih.
“Tak apa,” balas Nur Ain pendek dan tersenyum.
“Kenapa tak keluar makan?”
“Saya dah makan Encik Izz,” bohong Nur Ain.
“Oh, kalau macam tu saya keluar dululah. Ada lunch appointment dengan client,” pamit Izzuddin berserta senyuman di bibir.
Nur Ain sekadar mengangguk. Matanya mengekori langkah Izzuddin. Entah kenapa perutnya terasa sakit. Mungkinkah penyakit gastriknya datang semula. Belum sempat kakinya melangkah, dengan tiba-tiba dia jatuh terjelepuk ke lantai.
Izzuddin yang baru beberapa langkah menjauhi Nur Ain, terkejut melihat Nur Ain. Segera dia menerpa ke arah tubuh Nur Ain.
“Ain, kenapa ni?” tanya Izzuddin sambil memukul lembut pipi Nur Ain. Namun tiada balasan dari Nur Ain.
“Ya ALLAH, Ain. Kenapa ni?” ulang Izzuddin risau berserta perbuatannya sekali.
“Kau buat apa ni Izz?” tegur Hazrel meninggi.
Terkejut melihat Izzuddin sedang memangku dan menampar lembut pipi Nur Ain sebaik sahaja dia membuka pintu bilik.
Izzuddin mendongakkan kepala. Wajah tegang Hazrel menyapa mata.
“Aku tak tahu Haz. Tadi elok aje bercakap dengan aku. Lepas tu terus Ain pengsan,” jelas Izzuddin risau.
“Tepi, aku tak benarkan kau sentuh dia,” marah Hazrel seraya menolak tubuh Izzuddin.
Tersentak Izzuddin dengan tolakan Hazrel itu. Mujurlah dia dapat mengimbangi badannya sendiri. Jika tidak, mahu terkena kepalanya pada bucu meja yang terdapat di situ.
“Haz, bawa Ain ke klinik,” arah Izzuddin risau.
“Aku tahu dan kau tak perlu nak ajar aku. Dia isteri aku dan tanggungjawab aku,” balas Hazrel keras.
Kemudian dicempung tubuh Nur Ain dan membawanya keluar dari pejabat menuju ke kereta. Izzuddin yang melihat sekadar menggeleng. Hampir tetawa dia melihat tingkah Hazrel. Kerisauan terhadap Nur Ain jelas terpancar di wajah Hazrel.
“Haz, apa-apa nanti jangan lupa bagitau aku,” jerit kecil Izzuddin sebelum kelibat Hazrel menghilang dari pandangan mata.


Nur Ain menundukkan wajah. Sedari dalam kereta sehinggalah sampai di rumah, Hazrel tidak henti-henti memarahinya. Apa yang dimarahkan oleh Hazrel, Nur Ain sendiri kurang pasti. Adakah disebabkan dia pengsan maka Hazrel terus-terusan memarahinya. Bukan pintanya perkara itu berlaku. Jika ALLAH mengkehendakkan perkara itu berlaku, tetap juga akan berlaku.
Nur Ain bingkas bangun dari duduk. Dia menapak jalan menuju ke bilik. Terasa penat badannya ketika itu. Dia juga perlu memakan ubat gastrik. Pesanan doktor yang merawatnya tadi akan disimpan kemas dalam kepala.
“Aku belum habis cakap lagi, yang kau nak masuk bilik tu kenapa?” tegur Hazrel keras. “Apa yang ada kat dalam bilik tu sampaikan seminit pun kau tak boleh nak tunggu,” sambung Hazrel lagi. Matanya tajam ke muka Nur Ain.
“Encik Hazrel nak apa?” tanya Nur Ain lembut.
Hazrel mendengus kasar. Entah kenapa hatinya terasa sakit yang amat sangat. Mungkinkah perbuatan Izzuddin sebentar tadi sedikit sebanyak membuatkan dia berperasaan sebegitu. Mungkin juga kecuaian Nur Ain tidak mengambil sarapan pagi sehingga menyebabkan gastrik Nur Ain menyerang semula. Ah! Apa semua ni? Kenapa otak aku fikirkan tentang dia, jerit Hazrel di dalam hati.
“Encik Hazrel nak apa?” ulang Nur Ain semula.
“Kenapa kau nak susahkan aku? Boleh tak kalau satu hari kau tak susahkan aku?”
“Susahkan? Maksud Encik Hazrel apa? Ain tak faham.”
“Dah tahu kau tu ada gastrik, yang kau tak makan pagi tu kenapa? Kau tahu tak betapa malunya aku nak angkat tubuh kau tu tadi. Aku tak nak pekerja-pekerja kat Cahaya tahu yang kau tu isteri aku,” jelas Hazrel meninggi.
Nur Ain hanya mendengar. Tidak mahu membalas kata-kata Hazrel. Biarlah apa yang Hazrel hendak katakan, Nur Ain tidak peduli. Semoga dengan cara ini, sikap dan perangai panas baran, bongkak dan sombong Hazrel akan terkikis sedikit demi sedikit.
“Kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni?” tanya Hazrel keras.
Nur Ain sekadar mengangguk.
“Boleh tak kalau Ain nak tidur rumah maksu malam ni? Ain rindu kat maksu,” ujar Nur Ain perlahan.
Hazrel bingkas bangun dari duduk. Kata-kata Nur Ain, dia buat-buat tak dengar sahaja. Dihampiri Nur Ain yang sedang berdiri berhampiran dengan bilik. Tangan Nur Ain ditarik dan dibawa ke ruang makan. Didudukkan Nur Ain di atas kerusi. Nur Ain terpinga-pinga, kurang mengerti akan tindakan Hazrel. Matanya sahaja yang mengekori pergerakan Hazrel.
“Aku nak kau makan dulu sebelum makan ubat. Aku tak nak gastrik kau tu datang balik dan menyusahkan aku lagi,” arah Hazrel sambil meletakkan sepinggan mee goreng pagi tadi di atas meja.
“Tapi…”
“Tak ada tapi… tapinya lagi. Kau ni suka sangat melawan cakap aku.”
“Tapi…” ulang Nur Ain pada ayatnya tadi.
“Tapi apa?” jerkah Hazrel meninggi.
Kesabarannya sudah melepasi tahap normal. Sakit hatinya melihat reaksi tidak berperasaan Nur Ain. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia menampar Nur Ain ketika itu.
“Ain tak suka mee goreng. Kalau Ain makan, nanti Ain muntah,” ujar Nur Ain perlahan dan menunduk.
Membuntang Hazrel mendengarnya. Dilonggarkan tali leher berserta dengusan kasar. Mukanya diraup beberapa kali. Sakit hati dan marah terhadap Nur Ain.
“Habis tu yang kau masak mee goreng tu kenapa?” keluh Hazrel.
“Sebab kat dalam peti ais tu banyak mee basah. Jadi Ain ingat Encik Hazrel suka makan mee goreng. Sebab itulah Ain masak mee goreng,” jujur Nur Ain dan mengangkat muka.
Hazrel menggelengkan kepala. Tanpa bersuara, segera dia beredar dari situ. Jika berlama, entah apa lagi yang akan dihamburkan kepada Nur Ain. Semakin hari semakin terseksa jiwanya dengan sikap Nur Ain. Terasa egonya dicabar Nur Ain. Terasa kesabarannya di uji Nur Ain.
Nur Ain hanya memandang. Bingkas dia bangun dari duduk dan membawa pinggan berisi mee goreng ke peti ais. Setelah itu, dibawa langkah ke bilik untuk berehat. Kepenatan amat dirasainya sekarang.


“Haz ada call abang tak?” tanya Datin Salina.
“Tak adalah pula, kenapa?” jawab Dato’ Ridzuan.
Datin Salina menghela nafas keras. Matanya mengerling jam di dinding. Masa sudah merangkak ke angka lapan malam. Jika memorinya masih kuat, Hazrel berjanji untuk pulang ke rumah pada hari ini. Namun batang hidung anaknya itu tidak juga muncul-muncul.
“Yang awak ni macam cacing kepanasan ni kenapa? Mundar mandir depan saya, naik letih mata saya melihatnya,” tegur Dato’ Ridzuan.
“Anak kesayangan awak tulah. Dah janji nak balik hari ini, batang hidung dia pun saya tak nampak lagi.”
“Ehm, yang awak risau sangatkan tu kenapa? Sekejap lagi baliklah dia.”
Datin Salina melepaskan keluhan berat. Matanya masih tertancap ke muka pintu utama. Tak senang duduk Datin Salina dibuatnya.
“Ma…” panggil Hazrel tiba-tiba.
Serentak Datin Salina dan Dato’ Ridzuan menoleh. Wajah Hazrel terjengul di muka pintu. Segera Datin Salina meluru ke arah Hazrel dan dipeluk erat tubuh anaknya itu. Melepaskan kerinduan terhadap Hazrel.
“Mama ingat Haz tak balik. Dari petang tadi mama tunggu Haz.”
“Ma, kan Haz dah janji nak balik. Yang mama risau sangat ni kenapa?”
“Siapa yang tak risau. Mama takut Haz jadi macam abang Haz dulu. Disebabkan perempuan, abang Haz tu tak balik-balik selama dua minggu. Kalau bukan sebab mama turut abang Haz ke sana, sampai bila-bila pun abang Haz tu tak balik ke rumah,” jelas Datin Salina.
Hazrel meleraikan pelukan. Dia menghampiri Dato’ Ridzuan dan mengucup tangan lelaki tua itu. Setelah itu dilabuhkan duduk di atas sofa. Keluhan berat dilepaskan.
“Haz takkan jadi macam abang. Haz ingat janji Haz pada mama,” suara Hazrel perlahan.
Jauh di sudut hati, dia menafikan kata-kata itu. Janjinya pada Datin Salina hanya tinggal janji sahaja. Malah dia juga mengingkari arahan Datin Salina untuk tidak berkahwin dengan perempuan kampung dan juga miskin.
“Haz naik bilik dululah mama. Haz nak mandi dan berehat,” ujar Hazrel seraya bangun.
“Haz, mama ada perkara nak bincangkan dengan Haz. Nanti mama ke bilik Haz ya,” beritahu Datin Salina.
Hazrel hanya membisu. Dia menapak jalan menuju ke bilik di tingkat atas. Kepalanya sarat dengan pelbagai pertanyaan. Bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu, dia sendiri tidak tahu. Hanya keluhan sahaja yang terlepas dari bibirnya.
“Budak tukan baru aje balik. Biarlah dulu budak tu hilangkan penat dia. Awak ni Salina, tak menyempat betul,” tegur Dato’ Ridzuan.
“Saya tak peduli bang. Saya tetap nak Haz setuju dengan cadangan saya tu. Kalau Haz tak setuju, saya nak paksa dia juga supaya setuju,” bidas Datin Salina.
Dato’ Ridzuan mengeluh berat. Surat khabar yang dipegang dilipat dan diletakkan di atas meja. Matanya tertancap ke wajah tegang Datin Salina. Dato’ Ridzuan menggeleng kecil. Entah bilalah isterinya itu akan berubah Dato’ Ridzuan sendiri tidak pasti. Hanya doa yang mampu dipohon oleh Dato’ Ridzuan agar isterinya itu berubah suatu hari nanti.
“Saya tak nak awak paksa budak tu. Awak nak ke apa yang terjadi pada Hazrul turut sama terjadi pada Hazrel. Awak jangan lupa Sal, kita ni hidup ada pegangan agama. Awak tak boleh nak tentukan jodoh Hazrel. Kalau dah bukan jodoh Hazrel dengan Qistina, awak kena terimanya dengan seikhlas hati awak. Samalah juga dengan Qistina dan Hazrul dulu. Dah Hazrul sukakan budak perempuan tu, walau dicuba elak sekali pun, kalau dah namanya jodoh, tetap juga akan bersatu,” jelas Dato’ Ridzuan panjang lebar.
Seminit kemudian dia beredar dari situ. Berharap Datin Salina berfikiran sewaras-warasnya. Dia juga tidak mahu apa yang terjadi pada Hazrul terkena tempias pada Hazrel. Jika dulu mereka mengikut kehendak dan kemahuan Hazrul, sudah pastilah perkara itu dapat dielakkan. Namun siapalah kita untuk menghalang ketentuan ALLAH. Sudah tertulis bahawa Hazrul akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga terlalu awal dari yang dijangkakan.


Hazrel menyandarkan badan di kepala katil. Matanya tertancap ke arah siling putih di dalam bilik. Otaknya ligat berfungsi. Berfikir akan kehidupannya semenjak dua menjak ini, atau lebih tepat, kehidupannya dengan Nur Ain. Sampai bila dia harus hidup begitu bersama Nur Ain? Perlukah dia berterus-terang pada Datin Salina dan Dato’ Ridzuan akan perkahwinannya itu? Jika berterus-terang, adakah Datin Salina dan Dato’ Ridzuan dapat menerima Nur Ain sebagai menantu mereka? Mungkin ya bagi Dato’ Ridzuan dan tidak bagi Datin Salina. Keluhan berat terlepas dari bibir.
Hazrel mengalih pandangan ke sisi kanan. Bingkai gambar dicapai dan ditatap mesra. Wajah Hazrul bermain di tubir mata. Sehingga ke hari ini, sukar baginya untuk menerima kematian Hazrul. Benarlah apa yang diperkatakan Izzuddin. Selepas kematian Hazrul, dia berubah hampir seratus peratus dari sikapnya yang sebenar. Disebabkan Datin Salina juga, dia menjadi Hazrel yang sekarang.
“Abang, Haz dah kahwin. Haz berkahwin dengan gadis yang berasal dari kampung. Perlulah Haz kotakan kata-kata Haz dulu? Haz sanggup bunuh diri daripada berkahwin dengan gadis kampung. Abang tahu tak betapa seksanya Haz sekarang ini,” luah Hazrel sendirian. “Kenapa abang tinggalkan Haz? Haz rindukan abang,” rintihnya pula.
Dibawanya bingkai gambar ke dadanya sendiri. Melepaskan kerinduan terhadap Hazrul.
“Hazrel,” panggil Datin Salina dari muka pintu.
Terkejut Hazrel dengan panggilan itu. Segera diletakkan semula bingkai gambar di atas meja. Dia membetulkan kedudukan sambil menunggu Datin Salina menapak masuk ke dalam bilik. Sebuah senyuman terukir di wajah.
“Mama ganggu ke?” tanya Datin Salin berbasa basi.
“Tak adalah ma. Ada apa ma?” balas Hazrel.
Datin Salina melabuhkan duduk di birai katil. Wajah Hazrel ditatap mesra. Terlerai rasa rindu di dada sebaik sahaja melihat kepulangan Hazrel.
“Minggu depan mama dah janji nak makan malam kat rumah Haji Khairul. Haz ikut sekali dengan mama ya,” beritahu Datin Salina.
“Haz tak boleh janjilah mama. Banyak kerja kat Cahaya tu,” dalih Hazrel.
“Ala, Haz janganlah hampakan mama. Sekali ni aje mama minta Haz ikut cakap mama. Lepas tu, mama takkan paksa Haz lagi. Percayalah dengan mama.”
Hazrel melepaskan keluhan berat. Wajah Datin Salina ditatap penuh curiga. Mungkinkah Datin Salina cuba merencanakan sesuatu tanpa pengetahuan darinya.
“Setakat makan malam aje ke mama?”
“Makan malam aje Haz. Lepas makan, Haz baliklah!”
“Mama ada rancangkan sesuatu ke?” terluah juga pertanyaan itu dari bibir Hazrel.
“Hisy, mana ada. Haz jangan nak tuduh mama yang bukan-bukan,” bidas Datin Salina laju. Dia tersenyum kelat ke arah Hazrel.
“Habis tu yang mama beria sangat suruh Haz ikut ke rumah Uncle Khairul tu kenapa?” asak Hazrel sambil mengangkat kening.
Datin Salina bangun dari duduk. Senyuman kelat masih lagi terbias di wajahnya.
“Mama tunggu kat bawah. Kita makan sama-sama,” kata Datin Salina.
“Haz nak balik rumah kejap lagi. Mama dan papa makanlah.”
“Balik? Kan Haz baru aje balik sini. Kenapa nak balik sana pulak?” tanya Datin Salina tidak berpuas hati.
“Haz dah janji dengan Izz nak ke rumah Badrul. Ada kenduri kecil-kecilan,” bohong Hazrel dan tersenyum.
Entah kenapa hatinya tidak rela berlama di rumah mama dan papanya. Seakan ada tarikan yang memintanya pulang ke rumah. Mungkinkah Nur Ain punca dia bersikap sebegitu.
“Haz tak sayangkan mama. Haz lebih pentingkan kawan Haz dari mama dan papa,” suara Datin Salina bernada rajuk.
Hazrel melepaskan keluhan untuk kesekian kalinya. Bingkas dia bangun dan turun dari katil. Dihampiri Datin Salina yang sedang tercegat di muka pintu.
“Nanti Haz tidur kat sini. Haz dah janji dengan mereka. Mama juga yang kata, janji tak boleh tak ditepati,” jelas Hazrel seraya memeluk Datin Salina. “Haz minta maaf ya mama,” ucapnya pula dan tersenyum.
“Tentang itu Haz tahu pulak. Perasaan mama, Haz tak ambil tahu.”
“Ma… please,” rayu Hazrel dan meleraikan pelukan.
“Ikut suka Hazlah!” balas Datin Salina dan berlalu dari situ.
Thanks mama,” jerit kecil Hazrel girang.
          

Nur Ain membuka mata. Dikerling jam di dinding. Masa sudah merangkak ke angka sebelas malam. Terlalu lama dia tidur sehingga tidak menyedari masa hampir ke tengah malam. Niat sekadar untuk berbaring selepas Maghrib tadi telah melelapkan dirinya. Mungkin disebabkan kesan ubat yang dimakan petang tadi membuatkan dirinya begitu lena sekali.
Nur Ain bingkas bangun dari pembaringan. Tuala dicapai dan berlalu ke bilik air. Dia perlu menunaikan sholat terlebih dahulu sebelum melakukan pekerjaan lain. Jika tidak hatinya tidak akan senang kalau tidak menunaikan perkara yang wajib.
Seusai sholat, Nur Ain membawa langkah keluar bilik. Terasa lapar perutnya tiba-tiba. Sedari pagi lagi Nur Ain belum menjamah sebarang makanan dan dia perlu mengisi perutnya itu. Tombol pintu bilik dipulas, berderau darah Nur Ain tatkala rumahnya gelap gelita dengan tiba-tiba. Serta merta mukanya berubah pucat. Perasaan takut menyelinap masuk ke dalam diri.
“Kenapa gelap? Elektrik tak ada ke?” tanya Nur Ain sendirian.
Segera tangannya menutup pintu bilik semula. Sungguh Nur Ain merasa takut bersendirian ketika ini. Dia menggagau mencari telefon bimbit. Setelah dapat, segera nombor telefon Hazrel di dail.
“Kenapa tak boleh call ni?” keluh Nur Ain sendirian.
Tangannya masih lincah mendail. Namun dia hampa tatkala suara operator menyapa halwa telinganya.
“Ya ALLAH Ain, kenapalah kau bodoh sangat. Manalah ada credit telefon kau ni. Silap aku juga tak checknya semalam,” kutuk Nur Ain pada dirinya sendiri sambil menepuk dahi.
“Macam mana ni?” soalnya.
Kemudian disandarkan badan ke belakang pintu bilik bertemankan cahaya telefon bimbit. Dia mengeluh untuk kesekian kali. Perutnya juga sudah berkeroncong hebat. Mana mungkin dia akan keluar dari bilik memandangkan ketakutan menguasai dirinya waktu itu.


“Hisy, kenapa gelap ni? Minah ni tak buka lampu ke?” geram Hazrel sebaik sahaja kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.
“Ain!” laung Hazrel sambil memetik suis lampu.
Kemudian dibawa langkah ke ruang tamu dan melabuhkan duduk di sofa. Kepenatan memandu masih lagi terasa. Bagai nak patah pinggangnya akibat memandu. Kalau kena urut ni mesti best, bisiknya sendirian.
“Nur Ain!” panggil Hazrel lagi.
Namun tiada sahutan.
“Hisy, mana minah ni? Nak kena dengan aku betullah. Takkan dia pergi rumah maksu dia tanpa izin aku,” geram Hazrel pula. Langkah di atur menuju ke bilik Nur Ain.
“Ain!” panggil Hazrel seraya mengetuk pintu bilik Nur Ain. Berkali-kali diulang, namun tiada sahutan.
“Ni yang buatkan aku hangin. Ingatkan balik adalah batang hidung dia, alih-alih tak ada,” rungut Hazrel sendirian. Tangannya masih lagi mengetuk.
“Nur Ain Zafira Ibrahim!” jerit Hazrel pula.
Masih tiada jawapan. Lantas dipulas tombol pintu bilik Nur Ain. Seakan susah untuknya menolak pintu tersebut. Seperti ada yang menahan pintu tu dari dibuka.
“Ain!” geram Hazrel.
Ditolak keras pintu bilik Nur Ain. Melepaskan rasa marahnya terhadap Nur Ain. Setelah dibuka, melilau matanya mencari kelibat Nur Ain.
“Nur Ain!” panggilnya tatkala matanya tertancap ke arah tubuh Nur Ain yang sedang berbaring di belakang pintu.
“Ain kenapa ni?” tanya Hazrel risau sambil memangku kepala Nur Ain.
“Hisy, kenapa dengan minah ni lagi? Suka sangat menyusahkan akulah!” geram Hazrel seraya mencempung tubuh Nur Ain dan diletakkan di atas katil.
“Hey bangunlah!” seru Hazrel keras.
Dipukul lembut pipi Nur Ain. Berharap agar Nur Ain tersedar dengan tingkahnya itu.
Nur Ain membuka mata. Terasa sakit perutnya di saat itu. Sakit akibat lapar, ditambah gastrik yang menyerang membuatkan dia hampir pitam sebentar tadi. Kepanasan di dalam bilik juga turut membuatkan dirinya tidak terdaya untuk bernafas dan bertahan.  
“Encik Hazrel!” panggil Nur Ain perlahan. “Encik Hazrel pergi mana? Ain takut duduk sorang-sorang dalam rumah ni. Masa Ain nak keluar bilik tadi, tiba-tiba elektrik tak ada. Jadi Ain duduk ajelah dalam bilik ni, takut nak keluar. Perut Ain pulak rasa lapar dari petang tadi,” cerita Nur Ain bersungguh seraya bangun dari pembaringan.
“Kenapa Encik Hazrel tinggalkan Ain. Sudahlah abang tinggalkan Ain selama tiga tahun, sekarang ni Encik Hazrel pula nak tinggalkan Ain. Semua yang Ain sayang, pergi tinggalkan Ain,” sambung Nur Ain lagi. Matanya menatap mesra wajah Hazrel.
Tersentak Hazrel mendengarnya. Matanya membalas tatapan Nur Ain. Ada sinar kesedihan dari dalam anak mata itu.
“Aku balik rumah parents aku kejap. Aku lupa nak bagitau kau,” jawab Hazrel seraya bangun. “Yang kau tak makan tu kenapa? Kan aku suruh kau makan siang tadi. Sendiri cari pasal. Tanggunglah sendiri!” sambung Hazrel dan menapak keluar dari bilik.
Nur Ain hanya memandang. Bingkas dia bangun dan menapak keluar dari bilik. Perutnya perlu diisi. Walau setakat maggie sekali pun, apa yang penting kenyang.
“Mana maggie ni?” soal Nur Ain pada dirinya sendiri sebaik sahaja tiba di dapur.
Tangannya lincah membuka kabinet dapur. Mencari bayangan maggie. Terjengket-jengket Nur Ain cuba mencarinya. Memandangkan kabinet dapur terlalu tinggi untuk dicapai, ditarik kerusi dan dipanjat ke atas kerusi itu. Melilau matanya mencari. Namun dia hampa tatkala pencariannya tidak berhasil. Untuk memasak makanan berat, tidak mungkin memandangkan hanya dia seorang sahaja yang ingin makan. Nanti dikatakan membazir oleh Hazrel.
“Kau cari apa?” tegur Hazrel dari arah belakang.
Terkejut Nur Ain dengan terguran itu. Dia menoleh ke belakang buat seketika. Dan tanpa disengajakan kakinya terpijak bucu hujung kerusi sehingga membuatkan kedudukan dirinya tidak seimbang dan hampir jatuh.
“Mak!!” jerit Nur Ain tatkala tubuhnya hampir terjatuh. Dipejamkan mata buat seketika. Berdoa agar tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Yang kau cuai sangat ni kenapa?” marah Hazrel keras.
Mujurlah dia sempat menghalang tubuh Nur Ain dari jatuh ke lantai, jika tidak mahu pecah kepala Nur Ain dibuatkannya.
Nur Ain membuka mata. Bulat matanya tatkala wajah Hazrel hampir ke wajahnya. Tubuhnya juga sudah pun berada di pangkuan Hazrel. Lama matanya bertaut dengan mata Hazrel. Seminit kemudian, serta merta dia mendesak Hazrel menurunkannya.
“Maaf. Tak sengaja,” ucap Nur Ain perlahan dan menunduk.
Cuba menahan rasa malu. Malah dia juga terkejut dengan tindakan Hazrel yang memangku tubuhnya sebentar tadi.
“Kau cari apa? Dah tahu kabinet tu tinggi yang kau panjat juga kenapa?” tegur Hazrel meninggi. Cuba berlagak biasa walaupun dalam masa yang sama jantungnya mengepam laju.
“Ain lapar. Nak cari maggie,” jujur Nur Ain.
Hazrel mendegus kasar. Sikap Nur Ain menguji kesabarannya. Jika diikutkan hati tadi, mahu dibiarkan sahaja tubuh Nur Ain jatuh ke lantai, baru puas hatinya.
“Aku tak suka makan maggie. Sebab itu kau cari tak jumpa. Aku ada beli makanan untuk kau kat atas meja tu. Kau pergilah makan,” beritahu Hazrel dan berlalu dari situ.
Entah hantu mana yang merasuknya tadi sehinggakan dia memberhentikan kereta di sebuah restoran. Hanya Nur Ain yang berada di fikirannya ketika itu.
Nur Ain hanya mengangguk. Segera dibawa langkah ke meja makan dan dilabuhkan duduk di situ. Ucapan terima kasih dan syukur meniti di benak hati. Sungguh tidak menyangka Hazrel akan membelikan makanan untuknya. Sebuah senyuman terukir di bibir Nur Ain. Namun senyumannya mati tiba-tiba.
“Encik Hazrel!!!” jerit Nur Ain.

Aha... apa jadi kat diorg lps ni... 
(^_^)

28 ulasan:

  1. heheheh....hazrel hazrel...caring jgk kau yek.kata benci konon.hihihi..erm,jap lg cair la ni..ihik :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. mungkinlah cair.. xpe, kita tunggu n lihat ajelah.. :D

      Padam
  2. mesti hazrel beli mee goreng kn kn kn,,,sbb 2 ain menjerit... iyeke??? main teka je...hehe -tj atiqah-

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mungkinlah.. HH terlupa yg NAZ x suka makan mee goreng.. huhu.. :D

      Padam
  3. Salam Eliza...Wah..sekarang Mamat poyo a.k.a Hazrel dah pandai marah2 sayang kat Ain nampak...sukalah dengan Ain..manja-manja malu gitu...tak sabar nak tunggu diorang betul2 jatuh cinta jiwang karat...Eliza cepat2 update ye...tak sabar ni..teruja sungguh hehehe...

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm.. bunga2 cinta dh nak kembang tu.. sy pun makin teruja nak menaipnya.. hehe.. :D

      Padam
  4. bab 19 please mlm ni..hahahha..

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. bab 19 baru taip separuh.. klu siap mlm ni, Insya-ALLAH esok sy n3.. :D

      Padam
  5. pnjg chapter akak...sedap baca^^

    wah....HH mcm dh baik skit. at least nmpk la dia care lebih dr sblm ni. cuma mulut die je.. still...*sigh*

    sy pelik kenapa mak HH sgt benci kan org miskin?
    pelik tau. mcm ada sejarah lama plak.. tp kalau hati dia mmg hitam....dia mmg mcm tu kot.

    Alahai kesiannye NAZ, berlapar, bergelap mcm tu...
    dh a kena tinggal. NAZ, lain kali kalau lapar kol pizza tau...or kol mcD. kesian tgk NAZ lapar... T_T dh la ad gastrik...huhu..

    hai...mesti nnt HH tunduk jugak kat NAZ. q akan jd org ke-3(lepas Eddie+izz) ketawa kan HH bila dia admit yg dia suka NAZ. ahahah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. pnjg jg komen adik..

      sbb apa Datin Salina x sukakan org kg/miskin.. ada jwpnnya.. but dlm chpt seterus n seterusnya..

      kan hphone dia xde credit mcm mana nk call pizza, etc.. dua hr kan HH pegang phone dia..

      maybe HH akan tunduk pd NAZ.. akaklah jd org pertama sblm Eddie yg akan gelakkan HH sbb akak yg menulisnya.. huhuhu.. :D

      Padam
    2. yalah...lupa. xda kredit...kesian dia lapar..T_T

      Padam
    3. huhu.. 2lah, nk wat mcm mana.. nsb baik HH ada belikan makanan utk dia..

      Padam
  6. hahaa.. mi goreng lagi??? :P

    BalasPadam
  7. hazrel...kau penipu bile ckp xsuke ain kiss kau...!!!!dssar ego..ishh!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. btllah tu.. suka tp x nk ngaku.. klu Eddie n Izz dpt tahu, 4 sure dia kena gelak sbb dh tersungkur dgn NAZ.. malah doa Humaira pn hampir termakbul.. :)

      Padam
  8. ehem..hem....ape yg berlaku agak ye..teruja la nak bace bab19..hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe.. mcm gempak pulak bab 19 tu.. :D

      Padam
  9. ahahhhha baik sikit pula si hazrel ni...ego...ego...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mmg ego pn HH tu.. tp, dh nmpk perubahannya sikit.. :D

      Padam
  10. sis tk sbr nk bca bab 19 la.... apa yg akn blaku d bab 19 tk sbar rsa ny,

    BalasPadam
    Balasan
    1. huhu.. mcm x sempatlah dik nk n3 mlm ni.. esok akak n3kan bab 19..

      Padam
  11. xsbr nk tggu n3 bru...:D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-ALLAH, hr ni sy n3kan bab 19.. terima kasih kerana menanti... :)

      Padam
  12. sian nye NAZ tu lapa... hehehe.nape la NAZ tu menjerit. xsabar nak tau. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. ada la sebabnya tu nape NAZ menjerit.. :)

      Padam