Khamis, 29 Mac 2012

Aku Juga Ingin Dicintai - Bab 20


BAB 20

Humaira menongkat dagu. Kelibat Eddie tidak juga kelihatan. Jam di tangan dikerling. Keluhan berat terlepas dari bibir. Rindu terhadap Nur Ain mencengkam jiwa. Baru seminggu Humaira tidak berjumpa dengan Nur Ain, seakan setahun dirasakan Humaira. Malah dalam masa itu juga Nur Ain tidak menelefonnya. Setiap kali Humaira menelefon, Hazrel yang akan menjawab panggilan tersebut. Adakah Hazrel sengaja tidak memberi peluang padanya untuk berbual dengan Nur Ain? Adakah Hazrel mengongkong hidup Nur Ain? Adakah Hazrel sengaja untuk menyeksa Nur Ain? Pelbagai persoalan sedang bermain di minda Humaira.
“Maaf Mai, Die terlambat,” ujar Eddie seraya duduk.
Tersentak Humaira dek kerana teguran itu. Lamunannya yang pendek, berterbangan entah ke mana. Matanya menatap mesra wajah Eddie.
Eddie melambai tangan ke arah pelayan. Setelah membuat pesanan, dihalakan pandangan ke wajah Humaira. Ada kerisauan pada wajah itu. Apa yang membuatkan Humaira risau?
“Kenapa ni Mai? Risau aje muka tu Die tengok. Mai ada masalah ke?” terluah juga pertanyaan itu dari mulut Eddie.
“Mai rindukan Ain. Dah lama Mai tak jumpa Ain. Die ada jumpa Hazrel tak?” beritahu Humaira berserta keluhan ringan.
“Tak ada. Dah lama juga Die tak jumpa Hazrel. Mai tak ke Cahaya, jumpa Ain kat sana?”
“Mai sibuk sikit kebelakangan ni. Bos Mai tu tak habis-habis suruh Mai buat itu dan ini. Naik geram Mai dibuatkannya,” rungut Humaira.
Suasana hening seketika tatkala pelayan meletak pesanan minuman yang dipesan Eddie. Setelah itu, Eddie mencapai gelas minuman tersebut dan diteguk rakus air di dalamnya.
“Tak call Ain?”
“Dah. Mai dah call. Tapi, selalu tak dapat. Bila dapat, Hazrel yang jawab.”
“Tak apalah Mai. Mungkin Ain sibuk uruskan Hazrel,” pujuk Eddie lembut. “Oh ya, hari tu Izz ada bagitau Die yang Ain pengsan. Hazrel bawa Ain ke klinik,” cerita Eddie pula.
“Ain pengsan?” ulang Humaira terkejut. “Mesti Ain tak jaga pemakanannya, sebab itulah Ain boleh pengsan. Jangan-jangan gastrik Ain datang balik tak Die,” sambung Humaira risau.
“Die pun tak tahu sebab apa Ain pengsan. Die ada jumpa dengan Izz hari tu, saja lepak-lepak kat restoran dengan Izz, itu yang Izz cerita pada Die pasal Ain,” beritahu Eddie.
“Tapi…”
“Tak perlulah Mai risau. Ain dah jadi tanggungjawab Hazrel. Kalau Hazrel tak sukakan Ain, mustahil Hazrel sendiri yang bawa Ain ke klinik. Hazrel boleh suruh orang lain atau Izz bawa Ain ke klinik,” jelas Eddie bernada memujuk.
Humaira mengangguk. Ada benarnya kata-kata Eddie itu. Kalau Hazrel tidak sukakan Nur Ain, mustahil Hazrel akan membawa Nur Ain ke klinik. Semoga Hazrel dapat menerima Nur Ain dalam erti kata yang sebenarnya.
“Die ada perkara nak ceritakan pada Mai,” suara Eddie mematikan lamunan Humaira.
“Perkara apa Die?”
“Tentang Nur Ain.”
Berkerut dahi Humaira mendengar. Matanya jatuh ke wajah Eddie.
“Kenapa dengan Nur Ain?” tanya Humaira risau.
Eddie melepaskan keluhan berat. Matanya membuang pandang ke arah pokok bunga yang terdapat di dalam restoran itu. Hatinya berkira-kira untuk berterus-terang. Adakah terlalu awal untuk dia berterus terang pada Humiara tentang perkara yang sebenar?
“Die, tentang apa?” tanya Humaira tidak sabar.
“Ain nak sambung belajar tak? Kalau Ain nak sambung, Die boleh tolong uruskan,” jawab Eddie. Mungkin belum masanya aku ceritakan pada Mai, bisiknya pula.
“Oh, tentang itu. Mai ingatkan ada sesuatu yang terjadi pada Ain.”
Eddie tersenyum.
“Memang Ain nak sambung belajar. Tapi, Mai tak tahu bila Ain nak sambung. Nanti Mai tanyakan pada Ain, Mai ingat nak jumpa Ain malam nanti. Die temankan Mai ke rumah Hazrel boleh?” jelas Humaira dan tersenyum.
“Malam ni? Ehm, baiklah. Nanti Die call Mai sebelum ke rumah Mai,” balas Eddie.
“Terima kasih Die,” ucap Humaira dan tersenyum.
Eddie turut tersenyum. Wajah Humaira ditatap sayang. Entah bilalah dia akan melamar Humaira, dia sendiri tidak pasti. Hampir tiga tahun mereka berkawan dan bercinta. Mujurlah Humaira tidak mempersoalkan tentang hubungan mereka, jika tidak bagaimana untuk menjawab pertanyaan itu nanti. Sudah di azam dalam hati, selagi Nur Ain tidak mengecapi kebahagiaan, selagi itulah Eddie tidak akan melamar Humaira. Semoga Humaira memahami akan tindakannya andai suatu hari nanti dia berterus-terang pada Humaira.


Nur Ain memerhatikan Hazrel. Sedari tadi dia dipanggil masuk ke dalam bilik tanpa tujuan. Lenguh kakinya berdiri di hadapan Hazrel. Kenapa Hazrel memanggilnya masuk ke dalam bilik sedangkan tiada arahan kerja yang diberikan oleh Hazrel? Mata dikerling ke jam di dinding. Masa sudah menginjak ke angka satu petang. Perutnya juga sudah berkeroncong hebat.
“Encik Hazrel!” panggil Nur Ain perlahan.
Hazrel mengangkat muka. Kemudian dijatuhkan semula mengadap fail syarikat. Entah kenapa hatinya meronta-ronta untuk menatap wajah Nur Ain. Menginginkan Nur Ain berada di hadapan matanya. Menginginkan Nur Ain berada di sisinya.
Selama tiga hari ini, dia banyak membisu, banyak menyendirikan diri, banyak mengelak daripada berjumpa dengan Nur Ain. Peristiwa dia mengucup bibir Nur Ain sentiasa bermain-main di tubir mata. Dirasakan dirinya serba tak kena. Seakan sedang menanggung rindu yang amat sangat. Bagaikan mandi tak basah, makan tak kenyang. Semua kerana Nur Ain. Ah! Apa semua ni? Kenapa semuanya berkaitan dengan dia? Ain… Ain… Ain… kenapa hati aku asyik menyeru nama dia, marah Hazrel di dalam hati. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
“Encik Hazrel nak air?” tanya Nur Ain berbasa basi.
“Kau boleh diam tak? Sakit telinga aku dengar suara kau tu,” marah Hazrel meninggi.
Terhenjut tubuh Nur Ain mendengar kemarahan Hazrel. Dia menundukkan muka memandang lantai. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia beredar dari bilik itu.
“Sampai bila Encik Hazrel nak tahan Ain?” tanya Nur Ain masih mencuba.
“Kau ni tak paham bahasa ke? Kan aku cakap diam… diamlah!” tengking Hazrel pantas berdiri. Tajam matanya ke muka Nur Ain.
“Ain lapar!” rengek Nur Ain perlahan dan menunduk.
Takut melihat wajah tegang Hazrel. Apa yang membuatkan Hazrel begitu marah padanya? Salah apa yang dilakukannya lagi? Bukankah sikap Hazrel seakan telah berubah. Kenapa hari ini Hazrel kembali pada sikapnya yang asal?
Hazrel melepaskan keluhan berat. Dia menapak jalan menghampiri Nur Ain. Wajah Nur Ain yang menunduk ditatap berserta kerutan di dahi. Kenapa dengan aku ni? Soal hatinya.
“Dah, kau boleh keluar!” arah Hazrel tegas.
Nur Ain mengangkat muka. Senyuman terukir di wajah. Segera dia memusingkan badannya untuk keluar dari dalam bilik. Lega tatkala Hazrel membenarkannya keluar.
“Pastikan kau makan. Jangan nak susahkan aku kalau gastrik kau tu datang balik,” pesan Hazrel tegas sebelum Nur Ain beredar dari biliknya.
“Terima kasih abang!” ucap Nur Ain spontan.
Hazrel tersentak. Abang! Ulangnya di dalam hati. Matanya menghantar langkah Nur Ain. Sudah berkali Nur Ain memanggilnya dengan panggilan itu. Kenapa Nur Ain suka berkata yang bukan-bukan padanya? Malah tingkah Nur Ain membuatkan dirinya tidak senang duduk semenjak dua menjak ini. Mungkinkah Nur Ain sengaja untuk membuatnya jatuh cinta. Ah! Tak mungkin aku jatuh cinta pada dia. Dia tak layak untuk cinta aku, bidas hatinya laju.
Kemudian dia menapak jalan keluar dari bilik. Perutnya juga sudah berkeroncong hebat dan minta di isi. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu, seseorang sudah pun memulasnya.
“Qis… Qis… Qistina. You buat apa kat sini?” tanya Hazrel terkejut dan tergagap-gagap.
Qistina tersenyum manja. Wajah Hazrel ditatap sayang. Terlerai kerinduannya selama sebulan. Terlalu lama tidak berjumpa dengan Hazrel. Setiap kali dia ke rumah Datin Salina, pasti jawapan hampa yang diperolehinya. Maka disebabkan itulah dia bertekad untuk ke Shah Alam. Mencari Hazrel sendiri di Cahaya.
“I datang jumpa youlah sayang. I rindukan you,” jawab Qistina manja.
“Takkan sampai ke sini you cari I?”
“Alah you ni. Apa salahnya kalau I cari you sampai ke sini. Nak tunggu you balik ke sana, bertahun I tunggunya tau. Bila you balik, you bukannya nak jumpa I. So, lebih baik I datang ke sini. You pun tak boleh nak lari lagi dalam keadaan macam sekarang ni,” jelas Qistina panjang lebar.
Hazrel mendengus kasar. Mukanya diraup beberapa kali. Sungguh tidak menyangka Qistina sanggup mencarinya sehingga ke Cahaya.
“Sayang, you dah makan? Jom temankan I makan. Laparlah!” rengek Qistina manja sambil memaut lengan Hazrel. Kepala dilentokkan ke bahu Hazrel.
“Tapi I…”
Belum sempat Hazrel menyudahkan ayatnya, Qistina sudah pun menariknya keluar dari bilik. Hatinya berbuang riang tatkala berjumpa dengan Hazrel. Senyuman tidak lekang dari bibirnya.
Hazrel terpaksa akur. Dalam hati dia menyumpah seranah Qistina. Berani sungguh Qistina menariknya sesuka hati. Bagaimana kalau Nur Ain melihatnya dengan Qistina? Apa yang akan difikirkan oleh Nur Ain nanti? Aduh! Kenapa perasaan dia pulak yang aku fikirkan, rungut Hazrel sendirian.


“Sedap tak Ain?” tanya Fauziah.
“Sedap kak. Lama Ain tak makan makanan ni,” jawab Nur Ain berserta anggukan.
“Akak pun baru tahu Ain yang makanan kat restoran ni sedap-sedap belaka. Kalau bukan member akak yang suggest restoran ni, sampai ke hari ini akak tak tahunya Ain,” cerita Fauziah bersungguh. Mulutnya sudah pun penuh dengan makanan.
Nur Ain tertawa kecil dan menggeleng. Geli hati melihat tingkah Fauziah itu.
“Kenapa Ain  tak makan dengan Hazrel?” tanya Fauziah sekadar ingin tahu.
“Err…” sambil menggaru kepalanya yang bertudung.
“Tak pe Ain. Akak faham,” pintas Fauziah dan tersenyum.
Bukannya Fauziah tidak kenal dengan Hazrel. Mana mungkin dia akan duduk semeja bersama Nur Ain. Tidak sama taraf dan Nur Ain tergolong dengan golongan bawahan. Jauh di sudut hati, Fauziah berdoa agar Hazrel dapat menerima Nur Ain seikhlas hati.
“Ain ada call maksu tak?”
“Tak ada Kak Gie, kenapa?”
“Maksu Ain tu rindu sangat dengan Ain. Dia cuba call Ain, tapi tak dapat. Bila dapat, Hazrel yang jawab. Jadi maksu Ain tak berani nak tanya pasal Ain dari Hazrel,” jelas Fauziah.
“Oh, maksu ada call ke? Handphone Ain, Encik Hazrel pegang hari tu. Tapi Encik Hazrel dah pulangkan pada Ain semula,” beritahu Nur Ain jujur. “Ain pun lupa nak call maksu. Ain pun rindukan maksu,” sambungnya lagi.
“Kenapa Hazrel pegang handphone Ain?” tanya Fauziah sekadar ingin tahu.
“Sebab… sebab…”
“Erm, tak apalah kalau Ain tak nak bagitau akak. Mungkin perkara tu peribadi dan akak tak nak desak Ain suruh bagitau akak,” pintas Fauziah.
Nur Ain mengangguk lemah. Matanya dibuang ke arah sekeliling restoran itu. Sungguh menarik dekorasi di dalam restoran tersebut. Namun apa yang dilihat tidak seindah di matanya. Kelibat Hazrel bersama seorang perempuan berada tidak jauh dari meja mereka berdua duduki menyapa pandangan matanya.
“Ain… Ain… Ya ALLAH, mengelamun lagi budak ni,” tegur Fauziah keras.
“Ha… apa dia Kak Gie?” tanya Nur Ain sebaik sahaja tersedar.
“Ain ni kenapa? Pucat aje muka tu akak tengok. Gastrik Ain datang balik ke?”
“Eh… tak adalah Kak Gie. Tiba-tiba aje Ain rasa penat. Jom Kak Gie kita balik office. Ain banyak kerja yang tak siap lagi. Nanti Encik Hazrel marahkan Ain pulak,” dalih Nur Ain cuba menyembunyikan kebenaran.
“Tapi… Ainkan baru jamah sikit nasi tu. Ain habiskan dulu, lepas tu kita balik office,” arah Fauziah bernada tegas.
“Tak apalah Kak Gie. Ain dah kenyang ni.”
Fauziah menghela nafas pendek. Bingkas dia bangun dari duduk dan menuju ke kaunter bayaran. Setelah membuat pembayaran, mereka berdua menapak jalan menuju ke pejabat.
“Ain nampak?” tanya Fauziah berbasa basi.
“Nampak? Nampak apa Kak Gie?” tanya Nur Ain berkerut.
“Suami Ain dengan perempuan tu.”
Terhenti langkah Nur Ain tatkala Fauziah bertanyakan tentang itu. Matanya menatap mesra wajah Fauziah.
“Erm, biarlah dia Kak Gie. Itu hak dia. Ain tak ada hak untuk masuk campur dalam urusan dia.”
“Tapi, Hazrelkan suami Ain. Takkan Ain nak biarkan aje,” soal Fauziah tidak berpuas hati sambil mengerling sekilas ke wajah tenang Nur Ain.
“Kak Gie tahukan macam mana Ain berkahwin dengan Encik Hazrel? So, siapalah Ain di mata Encik Hazrel. Lagipun Ainkan bukan setaraf dengan Encik Hazrel,” jelas Nur Ain.
“Walau bagaimana pun Ain…”
“Tak payahlah kita bincangkan tentang ni lagi Kak Gie. Biarlah masa yang tentukan segala-galanya,” potong Nur Ain dan melangkah laju mendahului Fauziah.
Tidak mahu terus-terusan mempersoalkan tentang itu lagi. Hanya pada ALLAH, Nur Ain bermohon akan kesejahteraan rumah tangganya itu. Nur Ain juga bersyukur dengan perubahan Hazrel semenjak mereka berkahwin. Apa yang menjadi tanda tanya pada Nur Ain, ikhlaskah Hazrel menciumnya hari itu?
Fauziah hanya melihat. Mungkin Nur Ain tidak selesa membincangkan tentang Hazrel. Salahnya juga kerana mempersoalkan tentang itu. Lagipun Fauziah tidak ada hak untuk masuk campur dalam urusan rumah tangga Nur Ain. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar hubungan Nur Ain dan Hazrel kekal hingga ke akhir hayat.


“Encik Izz,” tegur Nur Ain sebaik sahaja masuk ke dalam pejabat.
“Ha Ain, Fauziah. Dari mana?” balas Izzuddin.
“Kami baru balik dari makan Encik Izz. Kat restoran depan sana tu. Encik Izz dah makan ke?” beritahu Fauziah.
“Dah. Saya ada lunch appointment dengan client tadi. Bincangkan tentang Cahaya.”
Nur Ain dan Fauziah mengangguk faham. Mereka berdua menapak jalan menuju ke meja masing-masing.
“Hazrel keluar ke Ain?” tanya Izzuddin sekadar ingin tahu.
“Encik Hazrel?” ulang Nur Ain perlahan.
Serta merta apa yang dilihatnya tadi bermain di tubir mata. Ada perasaan lain yang menerjah masuk ke dalam hati Nur Ain.
“Encik Hazrel keluar makan dengan client Encik Izz,” jawab Fauziah tatkala melihat perubahan di wajah Nur Ain.
Client? Setahu saya Hazrel tak ada appointment apa-apa hari ni. Saya…”
“Izzuddin!” pintas Qistina tiba-tiba.
Tersentak Izzuddin mendengar panggilan itu. Serta merta matanya dihalakan ke arah suara tersebut.
“Qistina! What are you doing here?” tanya Izzuddin terkejut.
Nur Ain dan Fauziah segera duduk di kerusi masing-masing. Tidak mahu mendengar perbualan mereka. Ada baiknya mereka membuat kerja masing-masing daripada menjadi penyibuk.
Well, I datang jumpa buah hati I la, siapa lagi,” jawab Qistina seraya memaut lengan Hazrel. Senyuman manja dihadiahkan buat Izzuddin.
Nur Ain yang mendengar sekadar menunduk. Tidak mahu melihat pemandangan indah yang sedang menyapa matanya. Dia berpura-pura membuat kerja walaupun dia tahu apa yang dibuatnya serba tak kena.
“Oh, buah hati you,” ulang Izzuddin sedikit menekan. Matanya menentang mata Hazrel.
“A’ahlah, buah hati I. Bersusah payah I datang ke sini semata-mata nak jumpa dengan buah hati I ni. Tapi, I tak kesah semua tu. Janji I dapat jumpa dengan buah hati I yang I cinta, sayang dan rindu,” jelas Qistina panjang lebar sambil menempel di bahu Hazrel.
“Jom masuk bilik I,” sampuk Hazrel seraya meleraikan pegangan Qistina.
Dia menapak jalan menuju ke bilik. Sempat ekor matanya mencuri pandang ke wajah Nur Ain. Hanya riak tenang yang dilihatnya di wajah itu.
“You tak nak masuk sekali ke Izz?” tanya Qistina tatkala menyedari Izzuddin hanya berdiri kaku di tempat asal.
“Tak apalah Qis. I banyak kerja yang nak disettlekan. You berbual-buallah dengan Hazrel,” tolak Izzuddin lembut.
“Oh, okey. Malam nanti kita dinner sama ya. I tumpang tidur rumah kawan I kat Shah Alam ni,” beritahu Qistina akan perancangannya itu.
 “Insya-ALLAH Qis. I tak janji tapi I akan cuba,” balas Izzuddin.
“Erm, okey. Hope you boleh join malam nanti. Lama kita tak story sama,” kata Qistina bernada harapan. Seminit kemudian dia tertawa kecil. Geli hati dengan ayatnya itu.
“I masuk bilik Haz dululah,” pamit Qistina dan berlalu pergi.
Izzuddin hanya mengangguk. Ekor matanya menghantar langkah Qistina. Kemudian dikalihkan pandangan ke wajah Nur Ain. Hanya riak tenang yang dilihat Izzuddin ketika itu. Mungkinkah Nur Ain cuba menyembunyikan perasaan sendiri agar tidak terkesan olehnya. Izzuddin mengeluh berat. Dihampiri Nur Ain yang sedang ralit membuat kerja.
“Ain!” panggil Izzuddin.
Nur Ain mengangkat muka. Wajah Izzuddin ditatap mesra.
“Ada apa Encik Izz?” tanya Nur Ain lembut.
“Boleh Ain carikan saya fail suppliers Cahaya? Saya nak gunakan untuk proposal saya nanti,” pinta Izzuddin.
“Boleh Encik Izz. Nanti bila dah dapat, saya bagi kat Encik Izz,” balas Nur Ain dan mengangguk.
“Awak okey ke Ain?” tanya Izzuddin risau.
“Okey, kenapa Encik Izz? Rupa saya nampak tak okey ke?” tanya Nur Ain pula.
Izzuddin menghela nafas berat. Tanpa membalas pertanyaan Nur Ain, segera dibawa langkah beredar dari situ. Tidak sampai hati untuk memberitahu Nur Ain siapa Qistina yang sebenarnya. Biarlah Hazrel sahaja yang memberitahu pada Nur Ain. Lagipun siapalah dia untuk berbuat begitu dan dia tiada hak untuk masuk campur dalam urusan rumah tangga Hazrel. Namun cabarannya pada Hazrel, masih lagi berjalan. Hanya tunggu masa dan lihat sahaja.


Nur Ain duduk termangu di perhentian bas. Matanya melilau melihat kelibat teksi atau bas. Beberapa kali keluhan terlepas dari bibir. Kakinya menguis-nguis lantai sambil otaknya ligat berputar. Dikeluarkan telefon bimbit dari dalam poket baju kurungnya. Ditatap telefon bimbit tersebut berserta keluhan untuk kesekian kalinya. Mesej yang dihantar Hazrel dibaca berulang kali.

Aku balik lambat!

“Ain rindukan maksu,” keluh Nur Ain sendirian.
Kemudian digerakkan jarinya menaip sesuatu. Semoga permintaannya itu ditunaikan.

Ain nak pergi rumah maksu boleh tak? Ain rindukan maksu.

Nur Ain menanti penuh sabar. Matanya masih lagi meninjau kelibat teksi atau bas. Jam di tangan dikerling. Masa sudah merangkak ke angka tujuh petang. Bunyian mesej masuk mengejutkan Nur Ain. Segera tangannya membuka kotak mesej. Berharap Hazrel mengizinkannya pergi ke rumah Humaira.

Balik rumah!

“Nak pergi rumah maksu pun tak boleh,” rungut Nur Ain geram.
Bingkas dia bangun dari duduknya. Mustahil dia akan melihat kelibat teksi atau bas dalam waktu-waktu begini. Tangannya lincah mendail nombor telefon Humaira. Jika dia tidak dibenarkan ke rumah Humaira, apa salahnya dia berbual dengan Humaira di telefon.
“Assalamualaikum maksu,” sapa Nur Ain tatkala taliannya bersambut.
“Waalaikumussalam, Ain. Maksu rindukan Ain,” balas Humaira.
“Ain pun rindukan maksu.”
“Ain kat mana? Malam nanti maksu dengan Abang Eddie nak ke rumah Hazrel. Ain ada kat rumahkan?”
“Maksu nak datang?” ulang Nur Ain girang.
“Yalah, kalau nak tunggu Ain datang rumah maksu, entahkan datang entahkan tidak. Baik maksu ke sana jumpa Ain,” balas Humaira bernada rajuk.
“Bukannya Ain tak nak ke rumah maksu, nak sangat-sangat. Tapi, Hazrel tak izinkan Ain ke rumah maksu, macam mana Ain nak pergi?” jelas Nur Ain jujur.
“Tak apalah Ain. Hazrelkan suami Ain, Hazrel ada hak untuk izinkan atau tidak Ain ke rumah maksu,” nasihat Humaira lembut. Ain kat mana ni?” tanyanya pula.
“Ain tengah tunggu bas atau teksi. Maksu, telefon Ain dah bunyi ni. Ain lupa nak charge bateri. Malam nanti Ain tunggu maksu kat rumah,” beritahu Nur Ain tatkala terdengar bunyi amaran bateri lemah.
“Hati-hati Ain,” pesan Humaira.
Namun pesanannya itu tidak sempat sampai ke telinga Nur Ain tatkala talian terputus dengan tiba-tiba.
Nur Ain mengeluh berat. Dia menepuk dahi menyalahkan diri sendiri atas kecuaian tidak mengecas bateri telefon. Kakinya melangkah menuju ke perhentian bas yang berada tidak jauh dari perhentian tadi. Berharap adalah teksi atau bas melalui kawasan tersebut.
“Baik aku masak sesuatu untuk maksu. Tentu maksu dan Abang Eddie suka,” bisik Nur Ain sendirian.
Otaknya sudah terencana untuk memasak makanan kegemaran Humaira dan Eddie. Senyuman terukir di bibir Nur Ain.


“Sayang, kenapa ni? You nampak bad mood aje,” tegur Qistina manja.
Hazrel menghela nafas lembut. Matanya dihalakan ke wajah Qistina. Teguran Qistina tidak diendahkannya. Apa yang bersarang di kepala, tentang Nur Ain. Bagaimana Nur Ain balik ke rumah? Sudah sampai ke Nur Ain di rumah? Apa yang Nur Ain buat sekarang? Segala persoalan hanyalah mengenai Nur Ain. Jam di tangan dikerling seketika.
“Sayang…” seru Qistina lembut dan menggoda.
Sakit hatinya tatkala Hazrel tidak mengendahkan dirinya. Matanya masih lagi menatap wajah Hazrel. Semakin sayang pada wajah itu. Bilalah dia akan memiliki pemilik wajah itu?
“You dah habis makan ke?” tanya Hazrel.
“Sayang… kan kita baru aje sampai. Izz pun tak nampak bayang juga,” rungut Qistina.
“Izz tak jadi datang. Dia balik rumah parents dia petang tadi. Sebelum keluar, dia ada bagitau I,” jelas Hazrel berserta keluhan berat.
Qistina mengangguk. Matanya masih lagi menatap wajah kacak Hazrel. Namun matanya menangkap riak kerisauan pada wajah itu. Apa yang membuatkan Hazrel beriak sebegitu?
Hazrel tidak senang duduk. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan dirasakannya. Hatinya berasa risau. Risau akan keselamatan Nur Ain. Menyesal dirasakannya ketika ini. Jika dia membenarkan Nur Ain ke rumah Humaira, sudah pastilah Nur Ain selamat di rumah Humaira. Dan dia akan menjemput Nur Ain di rumah Humaira nanti.
“Qis, I nak ke washroom kejap,” pinta Hazrel seraya berdiri.
Tanpa menunggu balasan, segera dia membawa langkah menuju ke washroom. Tangan menyeluk poket seluar. Telefon bimbit dikeluarkan lalu mendail nombor telefon Nur Ain.
“Mana pulak minah ni?” rungut Hazrel keras.
Dicuba dail sekali lagi nombor telefon Nur Ain, namun hampa. Operator yang menjawab panggilan Hazrel itu.
“Dia ni membelakangkan aku agaknya. Mesti dia ke rumah Humaira tanpa izin aku,” marah Hazrel dan mengepal penumbuk.
Lantas nombor telefon Humaira didail. Menanti penuh sabar panggilan berjawab.
“Kenapa?” tanya Humaira kasar.
“Ain ada kat rumah mak… mak…” sukar untuk Hazrel menyebut panggilan ‘maksu’ buat Humaira.
“Ain?” pintas Humaira.
“A’ah!”
“Maksu dengan Die ada kat depan rumah Haz. Gelap aje maksu tengok rumah Haz ni. Haz ke mana?”
Membuntang Hazrel mendengarnya. Benarkah apa yang diperkatakan oleh Humaira itu? Rumahnya bergelap? Ke mana Nur Ain pergi?
“Ain tak balik lagi ke maksu?” tanya Hazrel lancar.
“Haz boleh tanya maksu. Sepatutnya maksu yang tanya Haz,” sindir Humaira.
Hazrel menggaru belakang tengkuknya. Ada perasaan risau menyelinap masuk ke dalam hati tika dan waktu ini.
“Haz keluar makan dengan kawan. Haz suruh Ain balik sendiri lepas kerja tadi,” beritahu Hazrel jujur.
“Maksu tahu sebab Ain ada call maksu dan bagitau yang dia tengah tunggu teksi atau bas,” balas Humaira. “Takkan dari tadi Ain tak sampai-sampai,” rungutnya pula.
Hazrel tersentak. Otaknya ligat memikirkan sesuatu. Jika bukan disebabkan desakan Qistina, mustahil dia akan berada bersama Qistina sekarang. Disebabkan desakan Qistina juga memaksanya menghantar pesanan pada Nur Ain supaya pulang sendiri ke rumah. Pada kebiasaannya dia akan menurunkan serta mengambil Nur Ain di perhentian bas berhampiran. Tidak mahu pekerja-pekerja di Cahaya mengetahui akan hubungannya dengan Nur Ain.
“Haz… Hazrel…” panggil Humaira dari hujung talian.
“Ha… ada apa maksu?” tanya Hazrel sebaik sahaja tersedar.
“Maksu risau kalau jadi apa-apa kat Ain. Ain ada bagitau maksu yang bateri telefon bimbitnya weak,” jelas Humaira bernada risau.
Hazrel terdiam. Perasaan risau semakin bermaharajalela di dalam hatinya.
“Maksu dengan Die tunggu kat situ. Haz balik sekarang. Kita fikirkan bagaimana nak cari Ain bila Haz dah sampai nanti,” pesan Hazrel sambil menapak jalan menuju ke arah Qistina.
“Baiklah! Maksu dengan Die tunggu kat sini,” balas Humaira dan mematikan talian.
Hazrel mengangguk faham. Segera dihampiri Qistina yang sedang memandangnya berserta kerutan di dahi.
“I balik dulu Qis. Ada hal penting,” ujar Hazrel dan berlalu dari situ.
“Sayang… Hazrel!” panggil Qistina.
Namun penggilannya tidak bersahut. Dia menggenggam erat tangan, kuat. Sakit hati tatkala Hazrel berbuat begitu padanya.
“Aku ingat datang sini, bolehlah bermanja-manja dengan dia, alih-alih dia tinggalkan aku. Apa yang disebukkan dia tu pun aku tak tahu,” rungut Qistina geram.
Bingkas dia bangun dan membawa kaki ke kaunter dan membayar harga makanan. Setelah itu, dia menuju ke tempat letak kereta dan memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta. Dia perlu mencari seseorang untuk menyiasat tentang Hazrel. Seakan Hazrel menyembunyikan sesuatu dari pengetahuannya selama ini. Dengan tiba-tiba, terlintas di fikiran akan seseorang yang boleh menjalankan penyiasatan. Malah orang tersebut ada berhubung kait dengan Hazrul dahulu. Lebih memudahkan untuk dia menjalankan kerja penyiasatannya itu.
Qistina mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam tas tangan. Laju jarinya menjalankan tugas mencari nombor telefon orang tersebut. Senyuman sinis terbias di wajah sebaik sahaja nombor yang dikehendaki ditemui.
“Hello!” sapa suara dari hujung talian.
“Hidup pun kau lagi. Aku ada kerja untuk kau,” balas Qistina.
“Kerja? Kerja apa?” tanya suara itu.
“Kau kat mana sekarang? Aku jumpa kau esok. Tempat dan masa, aku bagitau kau kemudian.”
“Okey, no hal. Janji masyuk.”
“Kerja jalan, duit pun masyuk,” balas Qistina dan tertawa. Kemudian dimatikan talian telefon. Senyuman sinis masih lagi terbias di wajahnya.
“Lepas ni kau takkan terlepas dari aku lagi Hazrel. Kalau dulu sukar untuk aku jinakkan Hazrul, kali ini aku pasti berjaya jinakkan kau Hazrel,” azam Qistina dan mengepal tangan.

Terima kasih semua.

39 ulasan:

  1. Hehe.. Da lancar sebut maksu yer.. Hehe.. Qis ni nyebok je laa.. N hrp2 ain selamat xde pape berlaku

    BalasPadam
    Balasan
    1. kan HH tu ego.. xpe, lama2 nti okeylah tu.. hehe..:D

      Padam
  2. Balasan
    1. terima kasih kerana membaca AJID.. :)

      Padam
  3. nnt mama hazrel jumpe ain br hazrel tau ain sbbkan kematian hazrul..ape reaksi hazrel mase tu yer..?hrp2 dia xkan bencikan ain.

    BalasPadam
    Balasan
    1. err, jwpnnya ada tu.. kena tggulah.. terima kasih kerana membaca AJID.. ;)

      Padam
  4. apa la yg Qistina tu nak buat.. next n3 sis. tak sabar nak tahu ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. sabar, ada jwpnnya nti.. :D

      Padam
  5. Salam Eliza...wah dah keluar watak perempuan ahli sihir a.k.a Qistina..mesti porak peranda hidup mamat romantik+caring+loving a.k.a HH dan NAZ nanti..HH pun dah mula sayang n caring kat NAZ...cuma ego dia tinggi sangat la...apa2 pun Eliza..memang best...cepat sambung ye..tak sabar ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm

      wah!! dh tukar tagline utk HH la.. mamat romantik + caring + loving.. hehe..
      Insya-ALLAH, akn cuba smbgnya secepat mgkn.. ;)

      Padam
  6. menyampah aku dgn QIS ni.. menyampah tau x?!!!
    anyway... ahaha.. padan muka kau HH, suka Ain lah tu... hahah

    BalasPadam
    Balasan
    1. haha.. dh ada perubahan kat HH tu..

      Padam
  7. yes Hazrel dah mula risau kat Ain..hope diaorang happy together hehheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. yup!! dh mula risaukan NAZ.. dh npk perubahannya.. :D

      Padam
  8. haha..suke2..mmg best la bace karya akk nie..tak penah rase bosan..berkobar2 nak tau smbungan..hihi terbaik ar kak..^^ hazrel pun da smakin caring..like2..^_^

    BalasPadam
    Balasan
    1. alahai, bese2 aje karya akak ni..
      apa2 pn tq coz membacanya..
      a'ah.. dh nmpk caringnya tu.. :D

      Padam
  9. alahaiiii suspen pk mana perginya Ain.. sob sob

    BalasPadam
    Balasan
    1. agak2 ke mana ya?? bab 21 ada jwpnnya.. :D

      Padam
  10. Balasan
    1. maaf Amiera.. akak dh delete bab 21 ke atas.. AJID dh hbs kat group bln 7 hr tu.. terima kasih kerana membaca AJID.. :)

      Padam
  11. Okay! :) Sekarang tgh tunggu bab 11 sc :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. InsyaAllah, minggu ni akak n3kan SC bab 11.. thanks again dear.. (^__^)

      Padam
  12. Salam. Hari ni saya marathon baca bab 1-20. Sedihnya x dpt bca sambungan cerita ini. Saya suka cerita ni n x sabar nk bca buku ni. Harap akan dibukukan secepat yg mungkin ya. Anyway good job.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm Ct..

      terima kasih coz sudi membaca AJID.. buat ms skrg ni.. AJID dlm proses penilaian penerbit.. klu ada rezeki utk AJID diterbitkan.. Insya-Allah, akn jmpe AJID nti dlm versi cetak..

      apa2 pun terima kasih coz sudi marathon membaca AJID.. sgt2 hargainya..

      (^___*)

      Padam
  13. AKA ELIZA i NAK BACA LAGI KESINAMBUNGAN AJID KAK...CAM MANER YEA

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lavan Lavania..

      Maaf la dik.. akak dh delete sume bab2 AJID baik di blog n di group HM.. akak tgglkn 20 bab saja dlm blog ni..

      utk pengetahuan adik.. AJID msh dlm proses penilaian.. kalau ada rezeki AJID utk dibukukan.. adik akan jmpe AJID dlm versi cetak.. doa2kan utk AJID n akak ya..

      terima kasih kerana membaca AJID..

      Padam
  14. akak ada tak sambungan nya....di blog akak

    BalasPadam
    Balasan
    1. maaf dik.. akak dh lama delete.. AJID dlm penilaian penerbit.. InsyaAllah, ada rezeki AJID.. adalah nti AJID versi cetak..

      Padam
  15. akak klu tk silap saya pernah bca AJID sampai bab si hazrel perkenalkan si ain tu di sebuah majlis sebagai istri dia di hadapan ortunya dan orng banyak..knp di blog akak tk ada...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mirna.. ari tu akak n3 AJID smpe bab 45 di blog.. then, hbskan di group FB akak.. akak dh delete bab2 tu sume coz AJID dlm penilaian penerbit.. :)

      Padam
    2. sama2 kasih.. terima kasih jg coz sudi membaca karya2 akak.. :)

      Padam
  16. Akhirnya dapat juga habiskan baca cerita ni dari awal. Tak sabarnya tunggu printed version keluar!! AJID lagi best dari SC rasanya..huu

    Bila novel ni bakal keluar,kak? tak sabar nak beli :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ixora...

      thanks a lot coz sudi membaca AJID dr prolog sehinggalah bab 20.. alhamdulillah, klu AJID dpt menarik minat adik..

      manuskrip AJID dh lulus penilaian dan tgh tunggu turn utk terbit.. InsyaAllah, klu ada rezeki.. adalah nti dlm versi cetak..

      doa2kan AJID dpt keluar dlm thn ni jg.. amin.. :)

      Padam
  17. ala..tgh excited bace xsambung pulak..novel dye dah kuar ke kak..??

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks dik coz sudi membaca AJID.. buat pengetahuan adik.. AJID dh keluar versi cetak bulan 7 hr tu under Buku Prima dan tajuknya ditukar kpd DULU BENCI, SEKARANG SUKA..

      so, adik blh dptkan DBSS a.k.a AJID di kedai2 buku..

      Padam
  18. assalamualaikum akak..saya baru baca karya akak yg ni...
    saya dah try cari novel DBSS dekat kedai buku tapi x de la akak..mcm mner nak dapatkannye akak..x sabar nak baca bab seterusnya..makin menarik kisah HH gan AIN ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam dik,


      Adik boleh beli direct pada penerbit (Buku Prima) atau Karangkraf Mall. Insya-Allah, ada. Tak pun di MPH Online. Tapi, kalau adik nak, pada akak msh ada copy lagi. Boleh inbox akak di FB,

      Padam