Isnin, 8 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 11


BAB 11

“MACAM mana dengan perut kau, dah okey ke?” tanya Ezzura dan melabuhkan duduk di sisi Nur Edleen. Wajah Nur Edleen ditatap sayang.
“Dah okey sikit lepas makan ubat,” jawab Nur Edleen, lemah.
“Kenapa kau tak bagitau dia yang kau sakit perut? Bolehlah dia bawa kau ke klinik terus,” tegur Ezzura tidak berpuas hati.
Nur Edleen hanya membisu. Otaknya ligat mengingati peristiwa siang tadi. Rasa sebak hatinya dengan tiba-tiba. Mungkinkah kata-kata Edzuary membuatkan hatinya merasa sebegitu. Sungguh, Nur Edleen tidak mengerti akan perasaannya itu. Jika sebelum ini dia tidak ambil peduli dengan kata-kata Edzuary, tetapi kenapa tidak kali ini.
“Benda dah lepas, biarlah!” balas Nur Edleen, perlahan.
“Kalau kau tak pengsan tadi, mustahil dia nak hiraukan kau, betul tak?” kata Ezzura lagi dan masih tidak berpuas hati.
“Biarlah. Malas aku nak fikirkannya lagi.”
“Leen, cuba jangan ambil mudah sesuatu perkara tu. Dah tahu kau akan senggugut, kenapa kau tak prepare terlebih dahulu?”
“Aku terlupa dan tak sengaja.”
“Kau…”
“Tolong jangan bagitau abah dan ummi. Kalau mereka tahu, aku juga yang kena nanti. Tak pasal-pasal, aku kena duduk dengan diaorang semula. Kau kan tahu yang aku tak suka dikongkong,” pintas Nur Edleen, berharap.
“Aku kena…”
Please Zura. Aku janji, lepas ni aku akan berhati-hati,” potong Nur Edleen.
“Baiklah, kau kena janji dengan aku yang perkara ni takkan berulang lagi,” kata Ezzura, mengalah. Simpati terhadap Nur Edleen ketika ini.
“Terima kasih Zura. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat. Aku minta maaf sebab aku tak sempat nak minta sponsor dari dia. Insya-Allah, nanti aku tanyakan pada dia,” beritahu Nur Edleen dan menatap wajah Ezzura.
“Tak apalah Leen, aku faham. Kalau kau tak boleh nak minta, biar aku ajelah yang minta dari dia,” kata Ezzura dan tersenyum.
Nur Edleen menghela nafas berat. Tanpa membalas, bingkas, dia bangun dari duduk dan menapak ke bilik. Otaknya penat berfikir. Hatinya terasa sebu di waktu ini. Kenapa? Nur Edleen tidak punya jawapan. Hanya Allah yang tahu akan perasaannya ketika ini.


EDZUARY menatap telefon bimbit yang terletak di atas meja di sisi katil. Hatinya berkira-kira untuk menelefon Nur Edleen. Rasa bersalah turut menguasai hati di kala ini. Peristiwa siang tadi bermain-main di tubir mata. Buat kali kedua Nur Edleen pengsan di hadapan matanya. Silapnya juga kerana menuduh Nur Edleen berbohong dan ingin mempermain-mainkannya. Ternyata, Nur Edleen benar-benar sakit ketika itu.
“Ya Allah, kenapa aku boleh berfikir seperti itu tadi?” kesal Edzuary. Tanpa berlengah, telefon bimbit dicapai lalu mendail nombor telefon Nur Edleen. Berharap, Nur Edleen tidak menyalahkannya atas apa yang telah berlaku.
“Dia dah tidur ke?” tanya Edzuary sendirian sambil menanti panggilan berjawab. Matanya mengerling ke arah jam di dinding. Masa sudah pun merangkak ke pukul sembilan malam. Terlalu awal untuk tidur, fikirnya. Berdoa, agar Nur Edleen menjawab panggilannya itu.
“Assalamualaikum,” sapa Nur Edleen dari hujung talian.
Tersentak Edzuary buat seketika. Nafas lega dilepaskan lembut. Syukur kerana Nur Edleen sudi menjawab panggilan telefonnya.
“Waalaikumussalam,” balas Edzuary sambil cuba membetulkan suara.
“Encik nak apa?” tanya Nur Edleen, malas.
“Err… saya… saya…” tergagap-gagap Edzuary bersuara.
“Encik ni baru lepas makan kicap ke? Tergagap-gagap, kenapa?” tanya Nur Edleen lagi.
Tertawa kecil Edzuary mendengarnya. Kepala yang tidak gatal digaru. Bagaimana untuk memulakan perbualan?
“Encik, ada apa-apa nak cakap ke? Kalau tak ada, saya nak letak dulu. Dah mengantuk dan nak tidur,” suara Nur Edleen dari hujung talian. Bosan menanti Edzuary bersuara.
“Nanti dulu!” arah Edzuary.
“Ada apa, encik?” ulang Nur Edleen.
“Saya… saya nak minta maaf pada awak. Saya…”
“Tak mengapalah encik. Bukan salah encik pun. Dah tertulis peristiwa tadi akan berlaku dalam hidup saya. So, saya tetap redha dan ikhlas menerimanya. Lagipun, saya ni suka permain-mainkan encik dan encik pun belum kenal perempuan jenis apa saya ni, kan?” luah Nur Edleen akan apa yang terbuku di hati. Sungguh, dia terasa hati dengan kata-kata Edzuary siang tadi.
Edzuary terkedu. Kata-kata Nur Edleen menusuk ke tangkai hati. Pedih dan pilu Edzuary rasakan. Adakah Nur Edleen terasa hati dengan kata-katanya siang tadi?
“Leen…” seru Edzuary, lembut. Buat pertama kali Edzuary memanggil nama timangan Nur Edleen. Seakan sudah lama sebati nama itu di dalam hatinya. Seakan sudah lama mengenali nama itu. Hanya Allah yang tahu akan perasaannya ketika ini.
“Saya tahu awak marahkan saya, Leen,” duga Edzuary.
“Siapalah saya nak marahkan encik dan saya tidak ada hak untuk itu. Tak perlulah encik menjaga hati saya sebab saya bukannya siapa-siapa dengan encik,” beritahu Nur Edleen, jujur. Tidak mahu Edzuary berasa bersalah dengan apa yang berlaku siang tadi. Dia juga tidak mahu terhutang budi dengan Edzuary. Cukuplah dua kali Edzuary membantunya ketika pengsan dan dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu lagi.
“Leen, saya…”
“Saya dah mengantuk, encik. Baru lepas makan ubat. Terima kasih sebab membantu saya siang tadi. Assalamualaikum,” potong Nur Edleen dan mematikan talian.
Edzuary mengeluh berat. Telefon bimbit diletakkan semula di atas meja. Wajahnya diraup beberapa kali. Dia yakin, Nur Edleen terasa hati dengan kata-katanya siang tadi. Jika tidak, mustahil Nur Edleen akan berkata begitu. Walaupun Nur Edleen tidak bermaksud akan kata-kata itu, Edzuary yakin, Nur Edleen seakan menyindir dirinya.
“Ya Allah, apa aku dah buat ni?” tanyanya, kesal. Tanpa membuang masa, segera dicapai kunci kereta dan telefon bimbitnya semula dari atas meja. Langkah dibawa keluar dari bilik. Dia perlu berhadapan dengan Nur Edleen. Dia perlu menyelesaikan masalahnya dengan Nur Edleen. Selagi dia tidak menyelesaikannya, selagi itulah hatinya tidak akan tenteram.
“Err… sejak bila aku ambil berat soal hati ni?” tanyanya, seraya mematikan langkah.


“APA kata abah, bang?” tanya Norziana.
“Abah suruh kita balik hujung minggu ni. Ada perkara nak bincangkan dengan kita,” jawab Khazizul, seraya duduk.
“Kan kita baru aje balik. Kenapa abah suruh kita balik lagi?”
“Abah kata nak bincangkan tentang Leen. Zura bagitau abah yang Leen pengsan.”
“Apa? Pengsan?” ulang Norziana, terkejut.
“A’ah, Leen pengsan hari tu lepas balik dari rumah abah,” jelas Khazizul.
“Ya Allah, kenapa boleh jadi macam tu? Setahu Ana, Leen pernah pengsan sekali sewaktu senggugut teruk dan sekali ketika Leen tension disebabkan exam masa belajar dahulu. Lagipun, doktor kan dah pesan pada kita dulu tentang kes Leen,” beritahu Norziana sambil otaknya ligat berfikir.
“Betul tu, Ana. Sebab itulah abah panggil kita balik hujung minggu ni. Nak bincangkan tentang Leen,” balas Khazizul dan menghela nafas lembut.
Norziana melabuhkan duduk di sisi Khazizul. Wajah suaminya ditatap sayang.
“Abah nak jumpa dengan doktor yang merawat Leen dulu. Abah ajak abang pergi sekali nanti,” kata Khazizul.
“Ana nak ikut sekali, boleh?”
“Tengoklah kalau abah bagi. Ana ada call Leen tak?”
“Tak ada, bang.”
“Rancangan abah nak satukan Leen dengan anak kawan baik abah tu, macam mana? Jadi ke tidak rancangan tu?” tanya Khazizul, ingin tahu.
“Hari tu kalau tak silap Ana, ummi kata nak tunggu diaorang berdua kenal dahulu. Then, baru boleh buat keputusan,” jawab Norziana penuh yakin.
Khazizul mengangguk faham. Matanya membalas pandangan isterinya. Ucapan syukur sentiasa meniti di benak hati. Bersyukur kerana mempunyai seorang isteri seperti Norziana.
“Apa kata kita kenalkan mereka berdua?” cadang Norziana, tiba-tiba.
“Kalau Leen tak nak, macam mana? Ana tengok sendiri kan, muka cencurut Leen lepas kena brain wash dari kita semua,” bidas Khazizul dan tertawa kecil.
Norziana turut sama tertawa. Ada benarnya kata-kata suaminya itu. Bukan sekali dua dia melihat riak kelat di wajah Nur Edleen, sudah berkali-kali. Malah, wajah itu akan dilihat sekiranya Nur Edleen tidak bersetuju atau membantah sesuatu perkara.
“Tak apa bang. Ana tahu macam mana nak buat,” kata Norziana, tiba-tiba.
“Macam mana?” tanya Khazizul, ingin tahu.
Norziana hanya tersenyum. Otaknya sudah merencanakan sesuatu untuk menemukan Nur Edleen dengan anak kawan baik abahnya. Berharap, rancangannya itu berjaya.


“LEEN! Kau dah tidur ke?” laung Ezzura dari luar bilik.
“Tak, kenapa?” sahut Nur Edleen dari dalam bilik.
“Bos kau nak jumpa kau kat luar,” beritahu Ezzura.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Bos? Bos mana yang nak jumpa dengan aku ni? Setahu aku, aku ada seorang bos aje. Takkan dia yang datang kut, monolong Nur Edleen.
“Leen, cepatlah keluar. Kesian dia duduk berembun lama-lama kat luar tu,” kata Ezzura bernada risau.
Nur Edleen mendengus kasar. Sakit hati tatkala ketenteramannya diganggu. Segera, dia turun dari katil dan menapak ke pintu bilik. Tombol pintu dipulas dan terjengul wajah Ezzura di sebalik pintu bilik tersebut.
“Apa dia?” tanya Nur Edleen.
“Tu ha!” muncung Ezzura.
Nur Edleen menghalakan mata ke arah muncung yang ditunjukkan oleh Ezzura. Membuntang matanya melihat kelibat Edzuary yang sedang berdiri di luar pagar rumah.
“Macam mana dia boleh datang ke sini?” tanya Nur Edleen sedikit kalut. “Kau bagi nombor rumah ni pada dia ke?”
“Yang kau bengap sangat tu, kenapa? Dia kan bos, so tak jadi masalah nak bertanya pada HR atau mana-mana staf untuk dapatkan alamat rumah ni,” jelas Ezzura, terang dan nyata.
“Eh, ya tak ya juga. Aku lupa la,” balas Nur Edleen dan tersengih.
“Dah, pergilah sambut dia. Dah lama sangat dia tunggu kau kat luar tu,” arah Ezzura keras dan tegas. Dia menggelengkan kepala melihat tingkah Nur Edleen.
“Tak nak la aku. Biar ajelah dia kat luar. Aku tak suruh pun dia datang ke sini,” tolak Nur Edleen turut keras.
“Oh! Dia ada contact kau la tadi,” duga Ezzura dan mengangkat kening.
“Eh, mana ada!” tukas Nur Edleen, laju.
“Tak payah nak kelentong aku la, Leen. Bukan sehari dua aku kenal kau, dah bertahun.”
“Yalah, kalau bab bidas-membidas, kau la yang menang.”
“Tahu pun kau,” kata Ezzura penuh bangga. “Dah, pergi keluar cepat. Tak pasal-pasal, kecoh satu taman ni disebabkan dia nanti.”
Nur Edleen menghembus nafas berat. Dengan malas, dibawa langkah keluar dari bilik dan menuju ke pintu pagar rumah. Wajah Edzuary menyapa mata.
“Leen!” seru Edzuary, lembut.
“Ada apa?” tanya Nur Edleen, kasar.
Edzuary tertawa kecil. Matanya menjamah wajah tegang Nur Edleen. Ternyata, Nur Edleen masih marahkan dirinya. Jika tidak, wajah Nur Edleen tidak akan seperti itu.
“Encik nak apa?” ulang Nur Edleen, menekan.
“Saya tahu, awak terasa hati dengan kata-kata saya siang tadi. Saya tak berniat nak berkata begitu. Disebabkan rasa sakit hati saya membuatkan saya berkata begitu,” jelas Edzuary, jujur dan ikhlas.
Nur Edleen hanya mendengar. Dia berpeluk tubuh dan bersandar di pintu pagar.
“Saya minta maaf,” ucap Edzuary dan menunduk.
“Dah habis ke?” tanya Nur Edleen.
Edzuary mengerutkan dahi. Diangkat wajahnya dan memandang tepat ke wajah Nur Edleen yang sedang beriak selamba.
“Kalau dah habis, saya nak masuk dulu. Mengganggu orang nak tidur sajalah encik ni,” kata Nur Edleen dan berkira-kira untuk masuk ke dalam rumah.
“Leen.. please. Dengar dulu apa yang saya nak cakapkan ni,” tahan Edzuary, seraya menarik lengan Nur Edleen.
“Saya mengantuk la encik. Esok-esok ajelah encik cakap,” balas Nur Edleen dan menarik lengannya dari pegangan Edzuary. Namun, Edzuary mengemaskan lagi pegangannya.
“Saya nak awak dengar dulu penjelasan saya.” Tegas Edzuary berkata.
Nur Edleen mengeluh berat. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Edzuary. Dapat dirasakan kesakitan di lengannya juga. “Saya nak masuk, encik. Tak manis kalau orang tengok kita macam ni,” rayunya.
No! You listen here, Nur Edleen. Selagi awak tak maafkan saya, selagi itu saya tahan awak daripada masuk ke dalam rumah,” balas Edzuary, tegas dan bernada ugutan.
“Encik, lepaskan tangan saya, boleh?” rayu Nur Edleen lagi.
Edzuary tidak mengendahkan rayuan Nur Edleen. Semakin kuat pegangan di lengan Nur Edleen. Niatnya cuma satu, mendapatkan kemaafan dari Nur Edleen.
“Saya tak akan lepaskan selagi awak tak maafkan saya. Saya tak nak menyesal kerana tak mendapat kemaafan dari awak,” luah Edzuary, perlahan. Ingatannya ligat mengingati peristiwa lima tahun yang lepas. Sehingga ke hari ini, dia menyesal dengan apa yang berlaku dan dia tidak mahu perkara itu berulang kembali dalam hidupnya.
Semakin berkerut dahi Nur Edleen mendengarnya. Nafas ditarik dan melepaskannya perlahan. Wajah tegang Edzuary ditatap curiga. Seakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan di sebalik wajah tersebut. Apa dia? Nur Edleen perlu mencarinya sendiri.
“Okey! Saya maafkan encik. So, boleh lepaskan tak lengan saya ni?” kata Nur Edleen penuh berharap.
Edzuary mengangguk. Lengan Nur Edleen dilepaskan dengan perlahan-lahan. Lapang dadanya sebaik sahaja mendengar kata-kata maaf dari mulut Nur Edleen. Serta-merta peristiwa lima tahun yang lepas, lenyap dari tubir mata. Hanya wajah Nur Edleen yang sedang menyapa matanya kini. Senyuman diberikan buat Nur Edleen.
“Saya masuk dulu!” pamit Nur Edleen dan menapak jalan menuju ke halaman rumah.
Edzuary hanya memandang. Matanya sahaja mengekori langkah Nur Edleen. “Leen!”
Nur Edleen menghentikan langkahnya.
“Saya minta maaf kalau saya berkasar dengan awak. Saya tak nak menyesal untuk kali yang kedua. Cukuplah dengan apa yang saya alami sebelum ini dan saya tak nak ianya berulang kembali. Saya sayangkan awak, Leen!” luah Edzuary, jujur dan ikhlas. Sebaik sahaja meluahkannya, segera dia masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dan menggerakkannya keluar dari kawasan perumahan Nur Edleen. Mujurlah Karmila pernah ke rumah sewa Nur Edleen, jika tidak, sukar untuknya bertemu dengan Nur Edleen pada malam ini.
Nur Edleen terkedu. Saya sayangkan awak, Leen, ulangnya di dalam hati. Benarkah apa yang didengarnya itu? Adakah Edzuary ikhlas mengucapkannya? Atau, sekadar untuk mengambil hatinya sahaja. Pelbagai partanyaan bersarang di kepala Nur Edleen ketika ini. Untuk tidak menyesakkan fikiran, dibawa langkah masuk ke dalam rumah. Rasa mengantuk hadir dengan tiba-tiba. Semoga tidur malamnya lena seperti malam-malam sebelum ini.


EDZUARY menghentikan kereta di bahu jalan. Dia mengusap lembut jantungnya yang sedang mengepam laju. Otaknya ligat memikirkan ayat yang keluar dari mulutnya tadi.
“Saya sayangkan awak, Leen,” ulang Edzuary. “Tak mungkin aku jatuh cinta pada dia,” tukasnya pula.
Edzuary menyandarkan badan ke kusyen kereta. Mata dipejam rapat. Cuba mengumpul semangat yang semakin menghilang. Selama lima tahun dia cuba mengusir perasaan kesal dari dalam dirinya, namun dia tidak berjaya. Bagaimana untuk mengusirnya, Edzuary tidak pasti. Disebabkan perasaan itu membuatkan dia tidak yakin dan membenci dirinya sendiri. Jika diberi peluang sekali lagi, ingin sahaja dia menghargai detik-detik lima tahun yang lepas.
Bunyian mesej masuk menyentak lamunan Edzuary. Segera tangannya menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Ditatap screen telefon selepas menekan butang unlock.

Maaf, atas sikap saya tadi. Saya terasa hati dengan encik.

Edzuary mengeluh berat. Jarinya menekan butang reply dan menaip sesuatu di situ.

Saya yang perlu minta maaf. Maafkan saya atas tindakan kasar saya tadi. Terima kasih juga kerana memaafkan saya.

Butang send ditekan dan mesej yang ditulisnya tadi, selamat dihantar kepada Nur Edleen.

Sama-sama kasih encik. Encik tak perlu risau, saya terasa hati sekejap sahaja. Lagipun, saya ambil hati encik sedikit saja, buat lauk makan malam saya, hati masak merah. Encik nak? Sedap tau, Zura masak.

Tertawa Edzuary membacanya. Belum sempat dia membalas, bunyian mesej masuk ke dalam telefon bimbitnya lagi.

Saya sayang encik! Gudnite dan sweet dream.. (^__*)

Terkedu Edzuary membacanya. Semakin laju jantungnya mengepam tatkala nama Nur Edleen meniti di benak hati. Dengan perlahan, bibirnya menguntum sebuah senyuman. Senyuman indah dan bahagia. Semoga senyumannya ini akan kekal buat selama-lamanya. Tanpa membuang masa, segera dia beredar dari situ menuju ke rumah. Apa yang berlaku hari ini akan menjadi sejarah dalam hidupnya nanti.


10 ulasan:

  1. Best best best! Tak sabar nak baca entry seterusnya! Keep it up, kak :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks dear.. InsyaAllah, nti akak n3 bab seterusnya.. :)

      Padam
  2. ES dimaafkan... so niceeeee...
    X sabo nk tau sape anak kawan abah NE tu...
    Aduhh masih menunggu aper kesah 5 tahun lps....

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. x lama lg tahulah kisah 5 thn tu..

      Padam
  3. akak rasa comel pulak mamat sengal tu menackle minah tu..kan..

    Nampaknya ada reaction dari minah tu buat mamat tu.. nampaknya love is in the air...

    Adakah mamat yg nak diperkenalkan oleh keluarga leen tu ..mamat sengal tu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. erk, mamat sengal?? wah!! ES dh dpt gelaran la.. hehehe.. soalan akak tu, akn terjwb dlm bab 14.. ada lg 3 bab utk tunggunya..

      terima kasih krn sudi membaca SC. (^__^)

      Padam
  4. Terbaik.... Best sangat2...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hurm, blm terbaik lg my dear Ieysha.. byk kekurgn dlm SC ni.. apa2 pn, thanks dik coz sudi membc SC.. lama x npk adik komen.. :)

      Padam
  5. SC x ad kkurngn pn akak... Byk krja akak smpai x smpat nk bca SC... Hehehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. oh, ptt la jrg npk komen.. x apa. ada ms free.. adik blh bc SC.. :)

      Padam