Khamis, 11 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 12



BAB 12

EDZUARY tidak senang duduk. Selama seminggu hatinya tidak tenteram. Otaknya asyik memikirkan tentang Nur Edleen. Setiap kali nama itu meniti di benak hati, serta merta senyumannya terbias di wajah. Seakan ada perasaan halus menusuk ke tangkai hati. Perasaan apakah itu? Adakah perasaan cinta atau pun sekadar perasaan biasa. Sungguh, Edzuary letih memikirkannya.
“Encik!” panggil Nur Edleen.
Edzuary sekadar berdehem.
“Dari tadi encik asyik ke kanan, ke kiri, kenapa? Ada apa-apa ke kat kerusi encik tu?” tanya Nur Edleen, prihatin.
“Bila masa pulak saya macam tu?” bidas Edzuary, menutup rasa malu.
“Ada la encik. Dari tadi lagi saya tengok encik macam cacing kepanasan, kenapa? Isteri encik nak bersalin dah ke?” beritahu Nur Edleen.
Berkerut dahi Edzuary mendengar kata-kata Nur Edleen. Diangkat wajah yang sedari tadi menunduk. Tajam matanya ke wajah selamba Nur Edleen. “Awak ni tak habis-habis dengan isteri saya, kenapa?”
“Aik! Tak betul ke encik? Bukan ke hari tu encik muntah-muntah, pening-pening. Itu kan tanda orang mabuk ketika mengandung. Kalau bukan isteri yang mabuk, suami pun boleh juga mabuk,” terang Nur Edleen, jelas dan nyata.
Semakin panas hati Edzuary mendengarnya.
“Encik dah tahu ke dapat anak lelaki atau perempuan?” tanya Nur Edleen sekadar ingin tahu. Senyuman terbias di wajahnya.
“Nur Edleen!” panggil Edzuary sedikit lantang.
Tersentak Nur Edleen mendengarnya. Serta merta dia menundukkan muka. Tidak berani menatap wajah tegang Edzuary.
“Saya belum kahwin lagi, awak tahu tak?” jelas Edzuary.
Nur Edleen mengangkat muka. Wajah Edzuary ditatap mesra. Belum berkahwin? Hatinya tertanya. Mustahil orang seperti dia belum berkahwin. Segala-galanya sudah cukup dan layak untuk dia berkahwin. Hisy, apasal aku fikir pasal dia ni pulak, monolog Nur Edleen sendirian.
“Awak dengar ke tidak ni?” tanya Edzuary, menekan.
“Eh.. dengar… dengar. Encik kata, encik belum kahwin lagi,” ulang Nur Edleen.
So, kalau awak persoalkan tentang isteri, siap awak saya kerjakan,” amaran Edzuary.
Nur Edleen sekadar mengangguk. Otaknya ligat memikirkan luahan yang pernah meniti di bibir Edzuary seminggu yang lalu. Secara automatik, pipinya terasa panas.
“Awak dah siapkan laporan yang saya minta minggu lepas?” tanya Edzuary, laju.
“Sudah encik. Laporannya ada kat situ,” balas Nur Edleen. Dia menutup muka dengan kertas yang dipegangnya. Tidak mahu Edzuary melihat rona di pipinya itu.
“Mana? Tak ada pun?”
“Ada. Kat depan mata encik tu, bukan ke?”
Edzuary mengerutkan dahi. Matanya meliar mencari kertas laporan yang dimaksudkan oleh Nur Edleen. Hisy minah ni. Memang sengaja nak main-mainkan aku, geramnya.
“Cuba awak cari Nur Edleen. Ada ke tidak laporan tu?” tekan Edzuary.
“Eh.. tak ada ke, encik? Kejap ya, saya cari. Encik boleh tak tolong pegangkan kertas ni?” kata Nur Edleen, seraya menghulurkan kertas yang dipegangnya sedari tadi.
Edzuary membalas huluran Nur Edleen. Matanya memerhatikan tingkah Nur Edleen yang sedang mencari kertas laporan di atas meja.
“La.. kan encik dah pegang laporan tu, kenapa encik tak bagitau saya?” ujar Nur Edleen. “Itukan laporan yang encik nak,” beritahunya pula.
Tersandar Edzuary mendengarnya. 
“Encik ni, main senyap-senyap pulak. Penat la saya cari tadi,” geram Nur Edleen.
“Awak keluar sekarang. Lebih lama awak kat dalam bilik ni, boleh jadi gila saya nanti,” arah Edzuary sedikit meninggi.
Nur Edleen tersentak. Matanya menatap wajah tegang Edzuary.
“Buat apa lagi tu, keluar!” arah Edzuary semula.
“Baiklah! Maaf, buat encik pening kepala,” ujar Nur Edleen, perlahan. Dibawa langkah ke muka pintu bilik. Sedih, diperlakukan sebegitu oleh Edzuary. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Terasa sebu di hatinya waktu ini.
Edzuary serba salah. Bukannya dia sengaja berkata begitu pada Nur Edleen. Disebabkan perangai Nur Edleen yang suka mempermain-mainkannya, membuatkan dia bertindak begitu. Rasa bersalah menyerbu hati. Sudahlah kes lepas masih lagi belum selesai, ditambah dengan kes hari ini, pasti Nur Edleen terasa hati dengannya.
“Leen!” panggil Edzuary.
Nur Edleen menghentikan langkah. Ditoleh ke belakang dan menatap wajah bersalah Edzuary. Ternyata, taktiknya mengena untuk membuatkan Edzuary rasa bersalah.
“Saya minta maaf,” ujar lelaki itu.
“Apa dia, encik?” tanya Nur Edleen, pura-pura.
“Saya minta maaf,” ulang Edzuary.
No… no… tiada maaf bagimu. Encik dah merobek hati saya yang paling dalam,” balas Nur Edleen, sebak. Jari telunjuknya digerakkan ke kiri dan ke kanan. Kemudian, dia menapak keluar dari bilik itu.
Edzuary menelan liur. Kelat! Tiada maaf bagimu, ulangnya di dalam hati. Betul ke atau Nur Edleen sengaja ingin mengenakannya lagi?
“Leen!” panggil Edzuary. Namun, kelibat Nur Edleen sudah pun hilang di sebalik pintu bilik. Tidak terniat untuk melukakan hati Nur Edleen.


“AKU bukannya sengaja nak main-mainkan dia. Aku suka tengok muka tegang dia tu, nampak comel,” terang Nur Edleen dan tertawa kecil. “Rasa nak cubit pipi dia tu pun ada juga. Macam yang aku buat pada Mr. Bear aku,” sambungnya dan tersengih.
“Hai, ada orang dah jatuh tangga nampak,” sampuk Azie bernada usikan.
“Haa… mana.. mana?” tanya Nur Edleen, kalut. Matanya melilau mencari.
“Mana apa?” tanya Azie pula.
“Kata, ada orang jatuh tangga. Kat mana? Pergilah tolong!” arah Nur Edleen.
Azie, Eka Farisha dan Ezzura yang mendengar sudah menepuk dahi masing-masing. Lain maksud yang ingin disampaikan, lain pula yang Nur Edleen faham.
“Apasal kau ni bengap sangat, Leen? Azie maksudkan, kau dah jatuh cinta dengan bos kau tu ke?” terang Eka Farisha.
“Oh! Jatuh cinta. Cakap la terang-terang. Ini berkias berbagai, mana la aku nak faham,” rungut Nur Edleen.
“Kau tu yang lambat pick up,” celah Ezzura.
“Siapa yang jatuh cinta?” tanya Nur Edleen, lurus.
“Ya Allah!” ucap mereka bertiga, serentak dan menggeleng.
Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Makin tidak faham dirasakan Nur Edleen melihatkan wajah rakan-rakan baiknya itu.
“Kau dah tanya dia tentang sponsor tu?” tanya Ezzura dan mengubah topik perbualan.
“Belum lagi la. Aku tak berani nak tanya dia,” jawab Nur Edleen dan meneguk air minuman. Matanya membuang pandang ke luar restoran.
“Lor, takkan tak berani kut. Hari-hari kau mengadap muka dia, takkan kau tak boleh nak slow talk dengan dia tentang sponsor tu. Kita tak ready apa lagi ni,” kata Azie bernada serius.
Nur Edleen menghela nafas berat. Bukannya dia tidak berani, tatkala berhadapan dengan Edzuary, perasaan sebak menumpang dalam hati. Sebab apa, dia sendiri tidak tahu.
“Macam ni la, kalau kau tak boleh nak slow talk dengan dia, biar aku ajelah yang slow talk dengan dia,” pelawa Eka Farisha dan tersenyum penuh makna.
“Ha… ya la tu. Kau tu bukannya slow talk, terus menyelam jadinya,” sindir Azie.
“Dah Leen tak nak, bagi aku ajelah cakap dengan dia,” bidas Eka Farisha. “Handsome bos kau tu Leen. Rugi benar kalau kau tak mandremkan dia,” sambungnya dan tertawa.
Mereka yang lain turut sama tertawa. Eka Farisha pantang berjumpa dengan lelaki handsome. Semuanya mahu di bolot seorang diri. Tapi mereka tahu, Eka Farisha hanya bergurau dan sekadar untuk melepaskan tekanan sahaja.
“Okey.. macam ni. Kita bagi peluang pada Leen untuk slow talk dengan encik ‘dingin’ dia tu,” cadang Ezzura.
“Encik dingin?” ulang Azie, Eka Farisha dan Nur Edleen serentak.
“Ya la, asyik dingin aje aku tengok mukanya, tak pernah nak senyum,” komplen Ezzura dan mencebik.
“Eh, tak sesuai la dengan nama tu. Apa kata kita panggil dia dengan panggilan encik ‘sawan air’,” sampuk Nur Edleen dan tertawa.
What?! Sawan air?” ulang mereka yang lain sedikit menjerit.
Nur Edleen mengangguk dan tersengih.
“Kalau ya pun, takkan sampai ‘sawan air’ kut,” tegur Azie tidak berpuas hati.
“Ala, okey what? Dia kan asyik jatuh dalam air saja. So, tak mustahil dia ada ‘sawan air’,” bidas Nur Edleen dan masih ketawa.
“Kau ni Leen. Tak baik la gelarkan dia macam tu. Mamat handsome, takkan ada ‘sawan air’ kut,” celah Eka Farisha dan menggeleng. Seminit kemudian, dia tertawa memikirkan ayat ‘sawan air’ itu.
“Kan… kan aku dah cakap. Sawan air!” kata Nur Edleen dan tertawa.
“Siapa yang sawan air?” tegur seseorang membuatkan ketawa mereka terhenti. Segera dihalakan mata mereka ke arah suara yang menegur. Alangkah terkejut mereka dengan gerangan suara tersebut.
“Siapa yang sawan air?” ulang Edzuary sedikit menekan.
“Err…” suara Nur Edleen sambil menggaru-garu kepalanya yang bertudung.
“Siapa?” ulang Edzuary buat kali ketiga.
“Err..”
“Nenek Leen!” pintas Ezzura.
“Haaa.. ya.. ya.. nenek Leen ada sawan air,” sokong Eka Farisha dan Azie serentak dan terangguk-angguk. “Betul, kan Leen?” tanya Azie.
“Ya… ya… nenek saya ada sawan air,” sokong Nur Edleen dan tersengih.
“Huh! Hari tu awak kata nenek awak tak pandai rasa kopi. Hari ni, awak kata nenek awak ada sawan air. Awak memang mengata saya, kan, Nur Edleen?” balas Edzuary dan merenung tajam ke muka Nur Edleen.
“Eh… tak.. tak.. saya tak mengata encik, saya mengutuk aje,” jujur Nur Edleen. “Aduh!” rengeknya tatkala Ezzura mencubit lengannya.
“Awak mengutuk saya, Nur Edleen?” Keras Edzuary bertanya.
“Bukan… bukan… bukan macam tu,” tukas Nur Edleen dan menggeleng.
“Kenapa ni, Ary?” tanya Aimanuddin mengejutkan mereka di situ.
“Huh! Minah ni, sehari tak mengutuk aku, tak sah gamaknya,” jawab Edzuary seakan menyindir. Wajah Nur Edleen dan mereka yang lain dipandang silih berganti.
Aimanuddin menggeleng. Senyuman dihadiahkan buat mereka yang berada di situ. “Hai!” tegurnya pada Nur Edleen, Ezzura, Eka Farisha dan Azie.
“Hai!” serentak mereka berbalas.
“Saya Aimanuddin. Just call me, Aiman,” perkenal Aimanuddin. “Awak ni, bukan ke yang pengsan hari tu?”
Nur Edleen mengerutkan dahi. Seminit kemudian, dia mengangguk sebagai tanda jawapan pada pertanyaan Aimanuddin itu.
“Kalau awak nak tahu, tak senang duduk Ary ni bila awak pengsan hari tu. Risau dia mengalahkan bini nak beranak lagaknya,” beritahu Aimanuddin, selamba. “Aduh!” rengeknya, tatkala Edzuary menyiku perutnya.
“Kenapa, Encik Aiman?” tanya Nur Edleen.
“Tak ada apa-apa. Tiba-tiba perut sakit pulak,” dalih Aimanuddin dan tersengih.
“Encik Ary buat apa kat sini?” tanya Ezzura, ramah.
“Saya ada lunch dengan Aiman kat sini. Kebetulan nampak awak semua dari jauh, so, saja tegur,” beritahu Edzuary.
Ezzura dan yang lain-lain mengangguk. Senyuman terbias di wajah mereka ketika ini.
“Leen… cakap la,” asak Azie tiba-tiba.
Nur Edleen mengecilkan mata. Kurang mengerti akan kata-kata Azie.
Sponsor!” sampuk Eka Farisha.
Nur Edleen mengangguk.
“Awak dah okey ke?” tanya Aimanuddin, ramah. Matanya menjamah wajah Nur Edleen.
“Siapa? Saya ke?” tanya Nur Edleen, pura-pura.
Aimanuddin mengangguk.
“Alhamdulillah, saya dah okey. Terima kasih pada encik ‘sawan air’ ni sebab tolong saya hari tu,” balas Nur Edleen, selamba. “Oppsss!!!” luahnya dan menekup mulut dengan tangan.
Edzuary mendengus geram. Tanpa membalas, dibawa langkah beredar dari situ. Panas hatinya tatkala Nur Edleen menggelarkan dirinya ‘sawan air’. Dari tadi lagi dia perasankan wajah sengihan Nur Edleen. Pasti, Nur Edleen mempersendakan dirinya.
“Maafkan dia. Hari ni mood dia tak elok. Pagi tadi ada orang kenakan dia,” ujar Aimanuddin dan tertawa kecil. Teringat akan cerita Edzuary sebentar tadi.
Nur Edleen dan yang lain-lain mengangguk faham. Mengerti akan maksud Aimanuddin itu. Sudah pastilah Nur Edleen yang mengenakan Edzuary.
“Tapi, saya ucapkan terima kasih pada orang tu sebab dah kembalikan Edzuary Safuan yang saya kenali mula-mula dahulu,” terang Aimanuddin dan berlalu pergi.
Tersentak Nur Edleen mendengarnya. Apa yang dimaksudkan oleh Aimanuddin itu? Kembalikan Edzuary Safuan? Detik hatinya. Seakan ada sesuatu yang pernah berlaku pada Edzuary, Nur Edleen rasakan. Tapi, apa dia?


“KAMI ikut saja abah, ummi. Mana yang terbaik buat Leen, kami tak ada halangan,” kata Khazizul, tenang.
“Ana pun sama abah, ummi. Ana ikut saja cadangan abah dan ummi,” sokong Norziana.
“Baguslah kalau Ana dan Zul dah bersetuju. Abah pun harap Leen setuju dengan cadangan abah dan ummi. Kami nak yang terbaik buat Leen,” beritahu Haji Marwan.
“Insya-Allah abah. Leen akan setuju dengan cadangan abah. Ana akan cuba nasihatkan serta pujuk Leen,” ujar Norziana.
Haji Marwan mengangguk. Lega hatinya apabila anak dan menantu menyokong cadangannya. Berdoa, agar Nur Edleen turut sama bersetuju seperti Norziana dan Khazizul. Mujurlah di pihak sana turut sama bersetuju dengan rancangan itu. Semoga apa yang dirancang, berjalan dengan lancar.
So, bila abah dan ummi nak kenalkan Leen dengan keluarga sana?” tanya Khazizul sekadar ingin tahu. Matanya menatap kasih wajah Haji Marwan dan Hajah Norhayati.
 “Abah dengan ummi cadang, dalam hujung minggu depan. Tapi, kita jangan bagitau Leen tentang ni dulu. Ummi takut, Leen tak nak balik ke sini kalau tahu rancangan kita ni,” terang Hajah Norhayati.
“Ummi dah call Leen ke, suruh balik minggu depan?” tanya Norziana.
“Belum. Sekejap lagi ummi call Leen,” jawab Hajah Norhayati.
“Kalau Leen dapat tahunya macam mana abah, ummi?” tanya Khazizul sekadar kemungkinan.
Haji Marwan menghela nafas lembut. Jawapan apa yang perlu diberikan. Sejak beberapa tahun ini, hanya itu yang mereka fikirkan. Tidak lain dan tidak bukan, kebahagiaan Nur Edleen. Sampai bila Nur Edleen akan hidup begitu? Hidup dalam kepura-puraan. Haji Marwan yakin, Nur Edleen cuba merahsiakan sesuatu dari mereka semua.
“Insya-Allah, abah yakin Leen takkan tahu. Abah dan ummi buat demi kebahagiaan Leen. Abah nak Leen hidup dalam dunia realiti dan bukan dalam dunia khayalan yang Leen ciptakan sendiri,” luah Haji Marwan dan mengeluh ringan.
Hajah Norhayati yang mendengar segera menggenggam erat tangan Haji Marwan. Dia yakin, Haji Marwan sedang berperang dengan perasaannya sendiri. Selama dia bergelar isteri kepada lelaki itu, segala susah dan senang sudah ditempuhi bersama. Masalah anak-anak tidak pernah putus dari fikiran Haji Marwan. Apa yang paling mencabar kewibawaan Haji Marwan, tatkala Nur Edleen mengalami kemalangan lima tahun yang lepas. Jika orang lain, pasti akan berputus asa ketika itu. Syukur kepada Allah, kerana memberi kekuatan pada mereka sekeluarga untuk hadapi dugaan tersebut.
“Kalau abah ada masalah, abah jangan lupa bagitau kami. Insya-Allah, kami akan bantu selagi kami mampu,” kata Norziana dan tersenyum.
“Betul abah, ummi. Kalau abah dan ummi perlukan bantuan kami, Insya-Allah, kami akan bantu. Tambah-tambah kalau ianya melibatkan Leen,” sokong Khazizul.
“Terima kasih Zul, Ana. Abah bangga ada anak menantu macam kamu berdua,” ucap Haji Marwan dan mengangguk kecil. Senyuman terbias di wajah. Syukur, kerana memiliki anak menantu seperti Norziana dan Khazizul.
“Cucu-cucu abah, mana?” tanya Haji Marwan tatkala menyedari ketiadaan Ameera dan Amjad.
“Cucu-cucu abah ada main dengan Mak Kiah kat halaman,” jawab Norziana.
Haji Marwan mengangguk. Ucapan syukur meniti di benak hati. Syukur, kerana anak sulungnya memperolehi kebahagiaan sendiri. Dalam mencari pasangan, dia dan isterinya tidak pernah bertegas. Tetapi, dalam kes Nur Edleen, mereka perlu masuk campur. Jika tidak, pasti pelbagai alasan yang diberikan oleh Nur Edleen pada mereka nanti.


“KAU balik la dulu. Aku ada hal sikit,” beritahu Nur Edleen.
“Habis tu, kau nak balik naik apa?” tanya Ezzura, berkerut.
“Ala, pandai-pandai aku la nanti. Kau tolong isi minyak sekali ya. Aku terlupa nak isinya pagi tadi,” pesan Nur Edleen dan tersengih.
“Pandai kau ya. Memang sengaja nak kenakan aku,” geram Ezzura.
“Kau ni, itu pun nak berkira. Kita kan dah macam adik-beradik.”
Ezzura mencebik. Dicapai kunci kereta yang dihulurkan oleh Nur Edleen. Tanpa membalas, dibawa langkah keluar dari dalam bilik.
“Zura, jangan lupa tau,” pesan Nur Edleen semula.
“Yalah! Aku tak lupa,” balas Ezzura, geram dan berlalu pergi.
Nur Edleen tertawa kecil. Tanpa berlengah, dia menapak keluar dari bilik. Dia perlu berjumpa dengan Edzuary berkenaan dengan sponsor. Berharap, agar Edzuary sudi membantu mereka menjayakan program tersebut. Berharap juga, Edzuary masih berada di pejabat.
“Cik!” panggil seseorang dari arah belakang.
Terhenti langkah Nur Edleen. Segera, Nur Eldeen menoleh. Berkerut dahinya melihat wajah yang menyapa matanya itu.
“Cik punya baju,” tegurnya.
“Baju? Kenapa dengan baju saya?” tanya Nur Edleen sedikit meninggi. Wajah lelaki di hadapannya di pandang curiga. Perogol ke ni?
“Baju cik tu…” ujarnya dan menghampiri Nur Eldeen.
Nur Edleen menjauhkan diri. Hatinya tertanya-tanya, siapakah gerangan lelaki tersebut? Matanya meliar melihat kawasan di dalam pejabat. Sunyi dan tiada sesiapa pun di pejabat itu. Matanya mengerling jam di tangan pula. Pastilah pekerja sudah pulang ke rumah memandangkan masa sudah melepasi angka lima tiga puluh minit petang.
“Cik…” panggilnya lagi.
“Awak nak buat apa?” tanya Nur Edleen, bergetar sambil memeluk badannya sendiri.
Berkerut dahi Eddry Safwan memandang Nur Edleen. Kurang mengerti akan maksud gadis di hadapannya itu.
“Awak jangan dekat. Saya jerit nanti,” amaran Nur Edleen. Tangannya menggagau mencari sesuatu di atas meja yang berhampiran. Setelah dapat, diacukan ke arah Eddry. “Awak nampak tak ni? Jangan cuba nak dekat dengan saya. Saya cucuk awak dengan pen ni nanti,” ugutnya, bergetar dan mengundur ke belakang dengan perlahan-lahan.
Semakin pelik Eddry melihat Nur Edleen. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Awak jangan dekat. Saya cucuk awak dengan pen ni,” ugut Nur Edleen lagi.
“Cik, saya cuma nak….”
“Ada apa ni?” tegur Edzuary dari arah belakang, seraya menyentuh bahu Nur Edleen.
Terkejut Nur Edleen dengan sentuhan itu. Pantas dia menoleh dan…
“Aduh!!” jerit Edzuary, lantang. “Awak gila ke Nur Edleen!” marahnya pula.
Nur Edleen tersentak. Serta-merta pen yang dipegang, dicampak jauh. Pucat mukanya melihat Edzuary yang sedang menahan kesakitan. Adakah perbuatannya tadi telah mencederakan Edzuary?
“Ary, are you okey?” tanya Eddry dan menghampiri Edzuary.
No!” jawab Edzuary, masih lantang. Tajam matanya ke muka Nur Edleen yang menunduk.
“Maaf, saya tak sengaja,” ucap Nur Edleen dan masih menunduk.
“Maaf kepala hotak kau. Kau tahu tak apa yang kau dah buat ni?” marah Edzuary sambil mengusap pahanya yang terasa sakit.
“Ary, dia tak sengaja,” sampuk Eddry.
“Tak sengaja abang kata. Dah banyak kali perempuan ni main-mainkan Ary. Makin lama makin menjadi perangai tak semenggah perempuan tu,” luah Edzuary, meninggi.
Nur Edleen mengangkat muka. Tajam matanya ke wajah tegang Edzuary. Sakit hatinya tatkala perkataan ‘perempuan’ keluar dari mulut Edzuary. Rasa terhina dan seakan maruahnya dipijak oleh lelaki itu.
“Ary, tak baik cakap macam tu. Salah abang dan bukan salah dia. Dia cuma nak protect diri dia sendiri. Kalau abang di tempat dia pun, abang akan buat perkara yang sama juga,” jelas Eddry, terang dan nyata. Gelengan kecil diberikan pada Edzuary. “Maaf cik. Saya cuma nak tegur baju cik dan tak ada niat apa-apa pun. Disebabkan saya, Ary marahkan cik. Saya minta maaf sekali lagi,” sambungnya bernada kesal.
Nur Edleen hanya mendengar. Tanpa membalas, segera, dia beredar dari situ. Tidak mahu berlama dan memandang wajah tegang Edzuary. Khuatir, hatinya akan sedih dan tidak mustahil dia akan menitiskan air mata di situ juga.

 *** Terima kasih kerana membaca.
Jumpa anda semua pd minggu hdpn. Insya-Allah.
(^___*)

6 ulasan:

  1. Nakal betul la NE.... 'Sawan air'... Lawak btul la NE... Hahahaha

    BalasPadam
  2. teruja nak tahu..

    sape gerangannya yg hendak isatukan oleh keluarga NE ni kan?

    Bagaimana penerimaan NE?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kak Ida..

      Tak lama lg, tau la.. jgn lupa, penerimaan ES jg.. :)

      Padam
  3. Salam Ros, lama dah akak x mengomen novel u. Sgt2 busy lately. Apa2 pun tahniah ada buah tgn baru. Ok just nak komen sikit, rasenya kelakuan Leen kpd bosnya tu agak keterlaluan. Suka2 hati mempermainkan bosnya...sepatutnya walau apa keadaan pun pekerja x blh buat sstu yg memalukan bos...walaupun bos kita tu ego ke kekwat ke? Kita sebagai pekerja perlu hormat majikan kita. Leen ni sebenarnya ada split identity ke? Sbb kalau dgn family dia agak pasif tapi bila dgn bos kus semangat brutalnya dia....

    Kalau x silap drp prolog, mereka berdua ni ada hubungan kan? So masing2 dah x kenal each other disbbkan Leen dah bertukar wajah...musykil sikit tak kan masing2 x ingat nama antara 1 sama lain.

    Sorry kalau persepsi akak lain...sebab x sempat nak menhayati setiap bab...buat fast reading aje...Peace no war...hehehe....miss u Ros...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm Kak Eijan...

      Tak pe Kak Eijan.. sy terima segala komen.. mungkin itu persepsi akak ttg SC ni.. tp, lps bab 20 ke atas.. akak akn tahu, apa yg sbnrnya terjd pd mereka berdua 5 thn yg lps.. yg tu.. akak kena sabar menunggu utk bab strsnya..

      ttg kelakuan NE tu.. hehe.. mmg agak keterlaluan.. tp, lps dia berkahwin nti.. perangai dia akn berubah.. jauh berubah dr sblm dia berkahwin.. nk tahu mcm mana perangai NE lps berkahwin.. kena tggu.. *rape lg 'tp' n 'tunggu' la*

      apa2 pn Kak Eijan.. thanks sbb akak sggp curi ms akak utk bc cete sy.. hehe..

      rindu kat akak jg.. (^__*)

      Padam