Isnin, 15 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 13


BAB 13

NUR EDLEEN membuang pandang ke langit malam. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar tubuhnya ketika ini. Terasa tenang dan damai tanpa sebarang gangguan. Hilang segala masalah yang bersarang di kepalanya ketika itu. Hilang segala rasa sebak di hati tatkala memikirkan kata-kata Edzuary siang tadi. Sungguh, hatinya terusik apabila Edzuary berkata begitu padanya siang tadi.
Nur Edleen melepaskan keluhan. Lepas satu, satu masalah yang perlu difikirkan. Permintaan Hajah Norhayati turut mengganggu fikiran. Sebab apa Hajah Norhayati memintanya pulang pada minggu hadapan, dia sendiri tidak tahu. Adakah keluarganya sedang merancang sesuatu tanpa pengetahuannya? Adakah keluarganya tekad untuk menyatukan dia dengan anak kawan baik abahnya. Penat otak Nur Edleen memikirkannya. Berharap ada jalan penyelesaian pada masalahnya itu.
“Kau okey ke?” tegur Ezzura dari arah belakang. “Kau fikirkan pasal siang tadi ke?” tanyanya dan melabuhkan duduk di sebelah Nur Edleen.
Nur Edleen menghela nafas ringan. Ditegakkan badan dan memandang sekilas ke wajah Ezzura. Gelengan diberikan sebagai tanda jawapan pada soalan Ezzura itu.
“Ummi call kau, kenapa? Ummi tak sihat ke?” tanya Ezzura lagi.
“Aku tak tahu,” jawab Nur Edleen.
“Leen…”
“Aku okey. Aku cuma nak bersendirian saja. Boleh tak tinggalkan aku sendirian, Zura?” pintas Nur Edleen, berharap.
“Baiklah! Aku minta maaf kalau aku ganggu kau,” balas Ezzura, seraya bangun. “Leen, kalau kau ada masalah, kau bagitau la aku. Kita dah macam adik-beradik. Masalah kau, masalah aku juga.”
Nur Edleen hanya mendengar. Matanya diluruskan ke hadapan. Memandang ke arah pokok bunga ros yang sedang menari-nari mengikut alunan angin malam. Sejuk matanya memandang keadaan itu.
Ezzura menghela nafas ringan. Tanpa membuang masa, dia menapak masuk ke dalam rumah. Belum sempat kakinya mencecah rumah, Nur Edleen bersuara.
“Zura, boleh tak kau halau mamat tu dari rumah kita? Sakit mata aku tengoknya,” ujar Nur Edleen bernada arahan.
“Mamat? Mamat mana?” tanya Ezzura, berkerut.
“Kat luar sana tu. Aku dah mesej dia suruh pergi dari sini, tapi dia degil. Apa kata kau halau dia dengan batang penyapu?” beritahu Nur Edleen.
Ezzura menoleh. Matanya mengamati kelibat yang berada di luar pagar. Langkah diatur menuju ke pintu pagar. Terkejut Ezzura tatkala melihat Edzuary sedang bersandar di badan kereta. Sejak bila Edzuary berada di depan rumahnya?
 “Zura!” panggil Edzuary, perlahan.
“Encik Ary buat apa kat sini? Dah pukul berapa dah ni, encik?”
“Saya tahu Zura. Saya datang sebab nak jumpa dengan Leen. Saya terkasar dengan Leen siang tadi. Jadi, saya datang nak minta maaf dengan Leen.” Jujur Edzuary berkata.
“Encik Ary, Leen tak nak jumpa dengan encik. Saya rasa, ada baiknya encik balik. Bila Leen dah sejuk, baru encik jumpa dengan dia,” terang Ezzura.
“Tapi Zura, selagi saya tak minta maaf, selagi itu hati saya takkan tenteram,” luah Edzuary, mengharap.
“Encik, ini permintaan Leen sendiri dan bukannya datang dari saya,” jelas Ezzura lagi.
Edzuary tidak mengendahkan kata-kata Ezzura. Laju dibawa langkah masuk ke halaman rumah Ezzura. Dia perlu berhadapan dengan Nur Edleen. Dia perlu meminta maaf dengan Nur Edleen. Sudah acapkali dia terlepas cakap dan dia benar-benar menyesal dengan apa yang diperkatakannya siang tadi. Kata-kata nasihat dari Eddry Safwan masih lagi terngiang-ngiang di cuping telinga.
“Yang Ary pergi marah budak tu, kenapa?” tegur Eddry, tidak berpuas hati.
“Huh! Biar padan dengan muka dia. Perempuan jenis apa dia tu? Suka sangat kenakan orang,” luah Edzuary, geram.
Eddry menggelengkan kepala. Selama lima tahun, belum pernah dia melihat Edzuary setegang itu. Sudah terlalu lama juga dia tidak melihat riak begitu di wajah Edzuary. Jika ada pun, hanyalah riak tidak berperasaan yang dipamerkan oleh Edzuary.
“Ary, tak baik cakap macam tu. Kalau Ary kat tempat dia tadi, mestilah Ary akan bertingkah macam dia. Cuba Ary tengok office Ary ni, mana ada sesiapa pun. No wonder la dia berfikiran yang bukan-bukan tentang abang tadi,” jelas Eddry, terang dan nyata. “Lagipun, paha Ary cuma lebam sikit sahaja.”
Edzuary hanya mendengar. Otaknya cuba menafsir kata-kata Eddry. Ada benarnya kata-kata Eddry itu. Melihatkan dari keadaan pejabatnya, tidak mustahil Nur Edleen akan berfikiran sebegitu. Sungguh, Edzuary menyesal ketika ini.
“Abang nak buat apa dengan dia tadi?” tanya Edzuary bernada cemburu.
“Kenapa? Ary cemburu?” tebak Eddry.
“Cemburu? Tolong sikit. Tak kuasa Ary nak cemburu dengan abang,” tukas Edzuary dan melarikan pandangan. Tidak mahu Eddry mengesan rasa cemburunya itu.
Eddry mencebik. Meluat mendengar kata-kata Edzuary itu.
“Abang dari mana?” tanya Edzuary, sengaja menukar topik perbualan.
“Nak ubah topik la tu. Kalau cemburu, cakap ajelah cemburu. Bukannya abang nak ambil pun awek Ary tu. Tapi, kalau Ary tak nak, kecik tapak tangan, Stadium Shah Alam abang tadahkan,” beritahu Eddry dan tertawa kecil.
“Jangan harap Ary nak bagi. Dia hak Ary!” amaran Edzuary, keras.
Semakin galak Eddry ketawa. Dia menggeleng kecil melihat riak di wajah Edzuary. Ternyata, Edzuary sudah jatuh cinta pada gadis tadi. Ucapan syukur meniti di benak hati. Selama lima tahun dia dan keluarga menanti, dan akhirnya doa mereka termakbul.
“Encik Ary!” tegur Ezzura.
Tersentak Edzuary dengan teguran itu. Lamunannya yang pendek, berterbangan entah ke mana. Dihalakan mata ke arah Ezzura dan menanti bicara dari gadis itu.
“Encik Ary balik la. Leen tak nak jumpa dengan encik,” beritahu Ezzura.
Edzuary tidak mengendahkan kata-kata Ezzura. Matanya terlihat Nur Edleen yang sedang menapak masuk ke dalam rumah. Tanpa berlengah, segera dibawa langkah dan cuba mengejar Nur Edleen.
“Encik Ary!” panggil Ezzura. Namun, panggilannya tidak diendahkan oleh Edzuary. Dia menghela nafas lembut dan hanya memandang.
“Leen!” panggil Edzuary, seraya menarik lengan Nur Edleen.
Terhenti langkah Nur Edleen. Tajam matanya ke wajah Edzuary.
“Nanti dulu. Saya nak…”
“Maaf?” pintas Nur Edleen, sinis.
Edzuary melepaskan lengan Nur Edleen. Digaru keningnya sekali. Wajah Nur Edleen ditatap mesra.
“Encik tak payahlah nak rasa bersalah dan minta maaf dengan saya. Antara kita bukannya ada apa-apa. Encik tak ada hak untuk merasa bersalah, begitu juga dengan saya,” jelas Nur Edleen, terang dan nyata. Berharap, Edzuary mengerti akan maksud kata-katanya itu.
“Leen, awak nak cakap apa, awak cakap sajalah. Saya tetap akan terimanya. Saya terkasar bahasa dengan awak siang tadi,” luah Edzuary, kesal.
Nur Edleen mencebik. Sudah dua kali Edzuary berkata begitu. Tetapi, Edzuary tetap menyakitkan hatinya. Tetap membuatkan hatinya sebak dan pilu. Tanpa membalas, diatur langkah untuk masuk ke dalam rumah. Sekali lagi lengannya ditarik oleh Edzuary.
“Awak nak apa?” tanya Nur Edleen, bergetar. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu. Berubah sudah kata ganti diri yang digunakannya tadi.
Ezzura hanya memandang. Segera, dia beredar dari situ dan masuk ke dalam rumah. Tidak mahu masuk campur dalam urusan Nur Edleen dan Edzuary. Ezzura yakin, mereka berdua dapat menyelesaikan masalah dengan tenang.
Please… awak buat saya rasa sesak nafas,” rayu Nur Edleen.
Edzuary hanya memandang. Matanya menatap wajah tegang Nur Edleen.
“Awak baliklah! Saya maafkan awak,” kata Nur Edleen lagi. Ada baiknya dia memaafkan Edzuary. Jika tidak, pasti Edzuary akan memaksanya dan tidak mustahil juga Edzuary akan bertindak lebih dari yang tadi.
Edzuary tidak mengendahkan kata-kata Nur Edleen. Ditarik Nur Edleen agar mengekorinya. Tersentak Nur Edleen dengan perlakuan Edzuary. Mahu tidak mahu, terpaksa Nur Edleen mengekori Edzuary.
“Leen!” panggil Ezzura.
“Saya bawa Leen keluar sekejap, Zura,” beritahu Edzuary sedikit menjerit.
Ezzura menggelengkan kepala. Matanya hanya memandang ke arah kereta yang sudah mulai bergerak keluar dari kawasan perumahan mereka. Jauh di sudut hati, Ezzura berdoa agar tiada apa-apa yang berlaku terhadap Nur Edleen.


“ED balik sekejap saja papa, mama,” beritahu Eddry.
“Ed dah jumpa Ary?” tanya Encik Erizal.
“Dah papa. Ed jumpa kat office siang tadi,” jawab Eddry dan tertawa kecil. Teringat akan peristiwa yang berlaku siang tadi.
“Tiba-tiba ketawa ni, kenapa? Ada yang kami tak tahu ke?” tegur Puan Jaslina.
“Tak ada apa mama. Ary buat lawak siang tadi.”
“Lawak? Lawak apa?”
“Paha Ary kena cucuk dengan pen.”
“Apa! Habis tu, Ary macam mana?” tanya Puan Jaslina, kalut.
“Awak ni Jas, pekak telinga saya dengan jeritan awak tu,” tegur Encik Erizal.
Eddry tertawa dan menggeleng. Sikap mamanya tidak pernah berubah. Setiap kali tentang Edzuary dibangkitkan, mamanya yang paling kalut dan risau. Mungkin disebabkan peristiwa lepas, membuatkan mama dan papanya berhati-hati dalam soal menjaga hati Edzuary.
“Macam mana boleh kena, Ed? Ada orang nak cederakan Ary ke?” tanya Encik Erizal.
“Tak ada la papa. Salah Ed juga sebab masuk office Ary macam pencuri,” jawab Eddry dan tertawa.
“Siapa yang buat?” tanya Puan Jaslina, tidak sabar.
Girlfriend Ary sendiri,” jawab Eddry, selamba.
Girlfriend Ary?” serentak Encik Erizal dan Puan Jaslina berkata.
“Papa dan mama ni, kenapa? Macam terkejut beruk aje,” tegur Eddry. Makin galak ketawanya. Sudahlah siang tadi tidak henti-henti dia ketawakan Edzuary, malam ini pula mama dan papanya pula.
“Sejak bila Ary ada girlfriend?” tanya Puan Jaslina, ingin tahu.
“Belum girlfriend lagi mama, bakal!” jawab Eddry.
Puan Jaslina mengangguk. Dihalakan mata ke arah Encik Erizal. Seakan memberi isyarat kepada suaminya itu.
“Kita bincang dulu dengan Ary,” kata Encik Erizal tatkala memahami isyarat isterinya itu. Keluhan ringan terlepas dari bibir.
“Bincang apa papa, mama?” sampuk Eddry.
“Ed ada apa-apa program minggu hadapan?” tanya Puan Jaslina.
Eddry mencongak seketika. Seminit kemudian, dia menggeleng.
“Ed tolong papa uruskan satu perkara ni, boleh?” pinta Puan Jaslina.
“Perkara apa, mama?” tanya Eddry, berkerut. Wajah papa dan mamanya dipandang silih berganti.
“Nanti mama ceritakan pada Ed. Ed dah makan?”
“Ed dah makan tadi. Ary tak balik ke?”
“Ary kadang-kadang balik ke sini. Kalau dia ada masalah, ke sini lah tujunya. Masalah yang tak pernah sudah-sudah. Sampai bila Ary nak macam tu?” luah Puan Jaslina dan mengeluh berat.
Eddry hanya mendengar. Dia faham apa yang dimaksudkan oleh mamanya. Sudah pastilah Edzuary masih tidak berubah dengan sikapnya. Sudah pastilah Edzuary masih hidup dalam dunianya sendiri. Bagaimana untuk mengembalikan Edzuary kepada Edzuary yang dulu?
“Insya-Allah, kita akan cuba kembalikan Ary semula dalam keluarga kita,” suara Encik Erizal dan tersenyum hambar.
“Insya-Allah papa, mama. Ed yakin, Ary akan berubah dan Ed dah nampak semuanya tu,” sokong Eddry turut sama tersenyum.
“Mama dan papa harap macam tu la, Ed. Mama sedih tengok Ary. Walaupun luaran kita tengok biasa, tapi dalaman dia, kita tak tahu. Mungkin peristiwa tu masih terkesan di hati Ary,” luah Puan Jaslina lagi.
“Mama…”
“Abang! Bila abang balik?” tegur Edzuary, tiba-tiba dari arah muka pintu utama.
Serentak Eddry, Encik Erizal dan Puan Jaslina menoleh.
“Dah lama ke abang balik?” tanya Edzuary lagi dan menapak jalan menuju ke sofa.
“Baru saja Ary. Dah lama abang tak jumpa papa dan mama, sebab itulah abang balik,” jawab Eddry dan tersenyum.
“Oh!” sahut Edzuary seraya duduk di hadapan papa dan mamanya.
“Ary dari mana? Ary dah makan?” tanya Puan Jaslina, prihatin.
“Ary jumpa kawan tadi. Dah makan mama,” jawab Edzuary.
“Jumpa girlfriend ke?” tebak Eddry dan tersenyum nakal.
Girlfriend? Mana ada Ary jumpa girlfriend? Ary jumpa Aiman tadi,” bohong Edzuary sambil cuba mengawal riak di wajah.
“Ala, macam la abang tak tahu. Mesti Ary jumpa dia, minta maaf pasal hal siang tadi, kan?” duga Eddry lagi.
Edzuary hanya membisu. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak.
“Betul ke, Ary?” tanya Encik Erizal sekadar ingin tahu.
“Betul apa, papa?” tanya Edzuary, pura-pura.
Girlfriend?”
“Tak adalah papa. Abang ni memandai aje buat spekulasi,” bidas Edzuary, seraya bangun. “Ary masuk bilik dulu,” pamitnya dan berlalu pergi. Jika berlama, tidak mustahil keluarganya akan bertanya lebih tentang itu lagi.
“Ed tengok sendiri kan macam mana adik Ed tu. Kalau hati dia gelisah dan ada masalah, dia balik la ke rumah ni. Kalau tak ada, dalam seminggu pun belum tentu nampak batang hidungnya,” komplen Puan Jaslina sebaik sahaja kelibat Edzuary menghilang.
“Sudahlah, jangan kita kusutkan fikiran budak tu. Kita doakan mana yang terbaik buat Ary,” nasihat Encik Erizal. “Ed, jangan lupa minggu depan. Papa nak Ed balik dan ada perkara yang papa nak minta Ed uruskan.”
“Insya-Allah papa,” balas Eddry dan mengangguk.


EDZUARY bersandar di kepala katil dan melepaskan lelah di situ. Mata dipejamkan rapat. Otaknya dibiarkan berfungsi, mengingati peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Disentuh lembut dadanya yang sedang bergetar hebat. Sungguh, tidak meyangka peristiwa itu akan berlaku dalam hidupnya. Tidak meyangka juga Nur Edleen akan bertingkah seperti itu tadi.
“Encik nak apa dari saya? Bukan ke encik dah luahkan semuanya pada saya siang tadi,” tanya Nur Edleen dan berpeluk tubuh.
“Saya minta maaf Leen atas kata-kata saya siang tadi,” luah Edzuary, perlahan.
“Kan saya dah katakan tadi. Encik tak perlulah minta maaf dan rasa bersalah dengan saya. Antara kita, bukannya ada apa-apa hubungan yang membolehkan encik rasa begitu,” tegas Nur Edleen.
Edzuary hanya mendengar. Matanya diluruskan ke hadapan dan menumpukan sepenuh perhatian pada pemanduan.
“Memang salah saya sebab cucuk encik dengan pen dan saya minta maaf atas perlakuan saya tu. Jadi, tak perlulah encik nak rasa bersalah, sebab saya pun bersalah juga. So, kosong-kosong dan tak ada apa yang perlu dikesalkan lagi,” sambung Nur Edleen dan membuang pandang ke luar tingkap.
“Awak penting dalam hati saya,” ujar Edzuary, perlahan seakan berbisik.
“Apa dia, encik?” tanya Nur Edleen dan menoleh. Seakan terdengar bisikan halus dari arah Edzuary.
So, awak maafkan saya?” tanya Edzuary inginkan kepastian.
“Saya maafkan encik.”
“Terima kasih, Leen,” ucap Edzuary dan menghentikan kereta.
“Kita kat mana?” tanya Nur Edleen sebaik sahaja kereta berhenti.
“Kat depan rumah awak,” jawab Edzuary dan tersenyum.
Nur Edleen menoleh. Rumah sewa mereka menyapa mata. Kemudian, dihalakan ke arah Edzuary yang sedang tersenyum.
“Encik…”
“Saya bawa awak pusing-pusing satu kawasan ni sahaja. Kenapa? Awak ingat saya nak larikan awak ke?” beritahu Edzuary dan tertawa kecil.
“Hisy, mana ada saya fikir macam tu. Tak baik tau berburuk sangka dengan orang,” bidas Nur Edleen, seraya keluar dari perut kereta. Tidak mahu Edzuary mengesan rasa malunya itu.
Edzuary masih lagi ketawa. Segera, dia keluar dari perut kereta dan menghampiri Nur Edleen yang sedang berdiri di hadapan pintu pagar. Senyuman terbias di wajah.
“Terima kasih bawa saya jalan-jalan pusing satu kawasan ni. Lepas ni, bawa saya jauh-jauh sikit. Jangan kedekut sangat dengan minyak kereta encik tu. Kalau habis, encik boleh isinya lagi. Tak mahal pun minyak kereta sekarang ni. RM 1.97 seliter saja,” kata Nur Edleen seakan menyindir.
Tertawa besar Edzuary mendengarnya.
“Kenapa ketawa? Tak betul ke apa yang saya cakapkan tadi?” geram Nur Edleen.
“Saya minta diri dulu,” ujar Edzuary dan menapak ke kereta.
“Huh! Benci betul,” balas Nur Edleen dan mencebik. Tanpa menunggu, segera dia menoleh dan membawa langkah masuk ke halaman rumah. Tidak mahu mendengar ketawa Edzuary. Sakit telinganya mendengar ketawa itu. Jika diikutkan, mahu sahaja dia menyumbat mulut Edzuary dengan sebiji bola tenis. Baru puas hatinya.
“Leen!” panggil Edzuary.
Terhenti langkah Nur Edleen. Segera, dia menoleh ke belakang. Terkejut Nur Edleen tatkala wajahnya hampir ke wajah Edzuary. Secara pantas dia menapak selangkah ke belakang dan hampir terjatuh.
Edzuary yang melihat segera menyambut tubuh Nur Edleen. Sejambak bunga yang dipegangnya terlepas dari tangan.
“Awak tak ada apa-apa?” tanya Edzuary, prihatin dan memandang tepat ke dalam anak mata Nur Edleen. Lama mereka berkeadaan begitu.
“Tak… tak ada apa-apa,” balas Nur Edleen tatkala tersedar. Dibetulkan keadaan dirinya sebaik sahaja Edzuary meleraikan pegangan.
“Maaf. Saya…”
“Saya masuk dulu,” pintas Nur Edleen sambil cuba menahan rasa malu.
“Leen. Ini untuk awak,” tahan Edzuary, seraya menghulurkan sejambak bunga sebaik sahaja mengambilnya dari atas lantai.
Berkerut dahi Nur Edleen melihatnya. Matanya dihalakan ke arah jambangan bunga yang dihulurkan oleh Edzuary. Dengan perlahan tangannya menyambut huluran Edzuary.
“Saya minta diri dulu,” ujar Edzuary dan menapak keluar dari halaman rumah Nur Edleen.
Nur Edleen hanya menganggguk. Matanya menghantar pemergian Edzuary sehingga kelibat kereta Edzuary hilang dari pandangan mata. Tanpa berlengah, segera dia masuk ke dalam rumah. Perlahan-lahan dia mengukir senyuman bahagia di bibir.
Bunyian mesej dari arah telefon bimbit menyentak lamunan Edzuary yang panjang. Segera dicapai telefonnya dan membuka peti mesej. Lalu dibaca mesej tersebut.

Terima kasih!

Berkerut dahi Edzuary membaca mesej dari Nur Edleen itu.

For what??

Edzuary membaringkan badan sebaik sahaja menghantar mesej tersebut. Selimut ditarik ke paras dada dan memejamkan mata supaya tidur. Bunyian mesej menghalang hajatnya.

Flowers!

Edzuary tersenyum. Jarinya menaip sesuatu.

Small matter!

Setelah itu, dipejamkan mata dan cuba menidurkan diri. Berharap, Nur Edleen tidak membalas mesejnya tadi. Kepenatan amat dirasakan Edzuary ketika ini dan buat kali ketiga telefon bimbitnya berbunyi.

Saya sayang encik! Gudnite and sweet dream. (^__*)

Terbuka luas mata Edzuary membacanya. Buat kali yang kedua Nur Edleen menghantar mesej seperti itu. Adakah Nur Edleen sengaja menghantarnya atau Nur Edleen benar-benar memaksudkan akan perkataan itu?


14 ulasan:

  1. mcmner planning org tua leen n edzuary

    BalasPadam
    Balasan
    1. lieyna..

      dlm bab seterusnya.. tunggu.. (^__^)

      Padam
  2. tengah teruja utk next n3 ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-Allah, minggu ni sy n3 kan bab seterusnya.. thanks coz membc SC.. (^__^)

      Padam
  3. Sweetnyer NE nih...dia ckp dia syg ES lah...apa lah agaknye edzuary nk bls bls..bls la yg sweet jugak..

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. nti ES bls sweet2 jg dgn surprise sekali.. :)

      Padam
  4. Balasan
    1. aah, ada org dh jatuh tangga.. hehe.. :)

      Padam
  5. salam akk ros...

    sy x sabar nk tggu mreka kwen...bru rmantik hbis akk..hehehehehe n_____n br ad bestt...hihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm mahanum..

      erk, romantik?? hurm, kena bc dlu baru tau romantik ke tdk..

      Padam
    2. ala mesti lh rmntik..jgn lupa kn sy mgikuti karya2 akk smua..dn x lma lg GB PLAK DOK DI TNGAN SY hehe

      Padam
    3. huhu.. Insya-Allah, x lama lg blh la peluk Amirul n Liyana.. sebln aje lg nk tunggu..

      ES ni lain ckt dr TH, Amirul n HH.. nk tahu ES ni romantik ke x... kenalah tunggu bab seterusnya.. (^___*)

      Padam
  6. KAK AB.... LAGU NI SEDAP LORHHHH.... APA TAJUKNYA :) HAPPY LAWAT BLOG NI :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. aah, bestkan lagu ni.. terima kasih krn sudi melawat blog akak.. (^___*)

      Padam