Isnin, 22 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 16

BAB 16

EDZUARY membuka mata tatkala telinganya menangkap esakan tangis dari seseorang. Berkerut-kerut dahinya cuba menangkap suara tersebut. Bingkas, dia bangun dari pembaringan dan bersandar di kepala katil. Matanya terpahat ke tubuh Nur Edleen yang sedang bersandar di dinding berhampiran bilik air. Muka Nur Edleen disembamkan ke dalam lutut. Apa yang berlaku? Hatinya bertanya.
“Leen!” serunya, lembut.
Nur Edleen mengangkat muka. Tajam pandangannya ke wajah Edzuary.
“Kenapa ni?” tanya Edzuary pula.
“Encik buat apa dengan saya? Macam mana encik boleh berada dalam bilik saya ni?” tanya Nur Edleen, keras.
Semakin berkerut dahi Edzuary mendengar pertanyaan Nur Edleen. Segera ditegakkan tubuh dan turun dari katil. Langkah diatur dan menghampiri Nur Edleen dan duduk mencangkung di hadapan Nur Edleen.
“Soalan bodoh apa yang kau tanya ni? Aku kan suami kau,” kata Edzuary, geram dan mendengus kasar.
“Suami?” ulang Nur Edleen, berkerut.
“Habis tu, kalau bukan suami, apa?” tanya Edzuary.
Nur Edleen memandang tepat ke wajah Edzuary. Mencari kejujuran pada wajah itu.
“Kau percaya…” Belum sempat Edzuary meneruskan kata-kata, tubuhnya dipeluk erat Nur Edleen. Terduduk Edzuary akibat tingkah Nur Edleen itu.
“Awak boleh selamatkan saya dari api?” tanya Nur Edleen.
“Api?” ulang Edzuary.
“Malam tadi, saya mimpi ngeri. Saya terlibat dalam kemalangan dan hampir terbakar. Awak ke, yang datang selamatkan saya?” cerita Nur Edleen, seraya meleraikan pelukan. Ditatap mesra wajah Edzuary dan menanti jawapan daripada Edzuary.
 “Bila masa pulak aku datang selamatkan kau?” tanya Edzuary, kurang mengerti.
“Jadi, siapa yang selamatkan saya?” tanya Nur Edleen, seraya bangun.
Edzuary turut sama bangun. Matanya memandang wajah Nur Edleen yang keliru. Kenapa Nur Edleen berkeadaan begitu? “Aku tak faham apa yang kau cakapkan ni. Selamatkan kau dari apa?”
“Saya nak mandi dulu. Nanti terlepas subuh,” kata Nur Edleen dan berlalu menuju ke bilik air. Senyuman dihadiahkan buat Edzuary.
Edzuary mendengus kasar. Mukanya diraup beberapa kali. Sungguh, dia tidak mengerti dengan sikap dan perangai Nur Edleen. Kenapa Nur Edleen boleh berubah dalam sekelip mata sahaja? Apa yang Nur Edleen mimpikan sehingga menyebabkan Nur Edleen jadi begitu?
Edzuary melabuhkan duduk di birai katil. Matanya mengerling jam di dinding. Masa sudah merangkak ke angka enam sepuluh minit pagi. Keluhan ringan terlepas dari bibir.
“Bagaimana aku nak hidup dengan dia? Boleh ke aku lakukannya?” bisik hatinya.


“LEEN, kenapa tak makan?” tegur Hajah Norhayati.
“Leen tak lapar ummi,” balas Nur Edleen.
“Hai, takkan dah kenyang kut,” usik Norziana dan mengangkat kening.
“Kenyang tengok muka suami la tu,” sampuk Khazizul dan tertawa kecil.
“Abang long!” tegur Nur Edleen, keras.
“Okey.. okey.. sorry!” ucap Khazizul dan masih ketawa.
“Ha.. Ary, kenapa tak makan?” tegur Haji Marwan pula.
“Err…”
“Kenyang juga ke Ary?” tebak Hajah Norhayati sekadar mengusik.
Edzuary menggaru kepala yang tidak gatal. Terasa malu tatkala diusik sebegitu. Matanya mengerling Nur Edleen sekilas. Ternyata Nur Edleen turut sama merasa malu. Jelas rona merah di pipi Nur Edleen ketika itu.
“Korang berdua nak honeymoon kat mana?” tanya Norziana sekadar ingin tahu.
“A’ah, kat mana?” sokong Khazizul pula.
“Kami… kami…”
“Kami tak buat keputusan lagi kak long, abang long. Ary sibuk dengan kerja. Ada projek baru masuk,” pintas Nur Edleen laju tatkala Edzuary sukar untuk menjawab.
“A’ah, betul tu kak long, abang long. Ary banyak kerja yang perlu diuruskan,” sokong Edzuary dan tersenyum.
“Ary kan baru kahwin. Tak boleh ke kerja tu diketepikan dulu,” kata Haji Marwan tidak berpuas hati. Wajah anak menantu ditatap silih berganti. Hatinya menduga sesuatu.
“Betul kata abah tu, Ary. Takkan Ary tak boleh ketepikan kerja Ary tu dulu. Berehat sepuas-puasnya dahulu sebelum kembali bekerja,” sokong Hajah Norhayati pula dan tersenyum. Hatinya juga turut menduga sesuatu.
“Abah dan ummi jangan la risau. Lepas Ary siapkan kerja, Ary ambil cuti bawa Leen pergi jalan-jalan. Kalau abah dan ummi nak ikut, Leen boleh settlekan,” kata Nur Edleen. Rasa kasihan tatkala Edzuary di soal siasat oleh abah dan umminya.
Haji Marwan menghela nafas ringan. Matanya menatap kasih wajah Nur Edleen. Kemudian dijatuhkan pandangan ke wajah Edzuary. Seakan ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh anak menantunya itu. Mungkin sekadar firasat hatinya sahaja.
“Dah la abah, ummi. Jom kita makan,” ajak Norziana tatkala menyedari riak di wajah Edzuary dan Nur Edleen.
“Abah tak nak ada rahsia dalam keluarga abah. Kalau ada masalah, jangan pendam seorang diri. Abah dan ummi sedia menjadi pendengarnya,” kata Haji Marwan bernada tegas.
Nur Edleen dan Edzuary hanya mendengar. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Mungkin keluarganya dapat menghidu dengan apa yang berlaku di antara mereka berdua. Bukan niat mereka berdua untuk merisaukan hati keluarga. Disebabkan perkahwinan yang secara drastik membuatkan mereka berdua belum bersedia dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang suami mahupun isteri.
“Ary ingat nak ajak Leen tinggal di rumah Ary hari ni juga. Abah dan ummi tak kesah ke?” suara Edzuary tatkala mereka semua sedang menghayati makanan masing-masing.
Tersedak Nur Edleen mendengar permintaan Edzuary. Dicapai gelas minuman dan meneguk rakus air di dalam gelas tersebut.
“Leen tak ada apa-apa?” tanya Edzuary, prihatin. Digosok lembut belakang Nur Edleen. Sekadar melegakan serta melancarkan pernafasan Nur Edleen.
Nur Edleen sekadar mengggeleng. Matanya menatap wajah Edzuary. Pindah? Perkataan itu berlegar-legar di minda. Bersediakah dia untuk hidup bersama Edzuary? Bersediakah dia untuk berjauhan dengan keluarga?
“Perlu ke?” tanya Nur Edleen, perlahan.
“Leen, yang pergi tanya soalan bodoh tu, kenapa? Mestilah Leen kena ikut Ary ke mana saja Ary pergi. Semalam kan kak long dah bagitau semuanya pada Leen,” tegur Norziana, pelik.
“Leen… Leen… “ sukar untuknya berkata-kata. Terasa berat mulutnya juga.
“Leen, betul cakap kak long tu. Walau ke mana saja Ary pergi, Leen kena ikut. Wajib seorang isteri berada di sisi suami begitu juga sebaliknya,” nasihat Khazizul pula.
“Abah izinkan Ary bawa Leen. Leen dah jadi tanggungjawab Ary dan bukan tanggungjawab abah dan ummi lagi,” beritahu Haji Marwan.
“Ummi pun izinkan Ary bawa Leen. Ummi harap, Ary jaga Leen sepertimana Ary jaga nyawa Ary sendiri. Jangan sakiti hati Leen dan jangan buat Leen bersedih. Leen mudah…”
“Sudahlah Yati. Jom kita makan,” pintas Haji Marwan. Tidak mahu Hajah Norhayati meneruskan kata-kata. Jika diteruskan, pasti Edzuary akan bertanya, kenapa dan mengapa. Ada baiknya dia memintas kata-kata Hajah Norhayati itu.
Norziana dan Khazizul mengangguk. Mengerti akan isyarat yang diberikan oleh Haji Marwan. Pasti ada sebab kenapa Haji Marwan memintas kata-kata Hajah Norhayati sebentar tadi. Semuanya kerana Nur Edleen.
Edzuary turut sama mengangguk. Wajah mertuanya dipandang kasih. Otaknya ligat memikirkan kata-kata Hajah Norhayati. Seakan ada sesuatu yang cuba disampaikan atau dirahsiakan oleh keluarga Nur Edleen darinya. Tapi, apa dia? Soal hatinya sendirian.


“DAH siap berkemas ke?” tanya Norziana, prihatin.
Nur Edleen sekadar menggeleng.
“Kenapa ni?” tanya Norziana lagi.
“Tak ada apa-apa la kak long,” dalih Nur Edleen.
“Habis tu, kalau tak ada apa-apa, kenapa monyok aje muka tu kak long tengoknya. Leen tak suka dengan perkahwinan ni ke?” tebak Norziana. Matanya menatap mesra wajah Nur Edleen.
“Angah sedih la kak long,” ujar Nur Edleen dan menunduk.
“Sedih? Sedih kenapa?”
“Nak tinggalkan abah dan ummi.”
“La.. itu ke, yang Leen sedihkan. Bukannya Leen tak boleh balik jenguk abah dan ummi. Shah Alam dengan Kuala Lumpur, bukannya jauh mana pun. Lagipun, Leen kan dah biasa tinggal kat luar. Sebelum berkahwin pun, Leen tinggal dengan Zura.”
“Itu lain kak long. Tak sama dengan sekarang ni.”
“Apa yang tak samanya? Sama saja, kan?
“Angah tetap sedih, kak long.”
Norziana menggeleng. Bingkas, dia bangun dari duduk dan menapak keluar dari bilik Nur Edleen. Senyuman diberikan pada Edzuary yang sedang berdiri di muka pintu bilik. Mungkin ada perkara yang ingin Edzuary bincangkan dengan Nur Edleen.
“Leen memang macam tu. Ary jangan kesahkan dia,” kata Norziana seakan berbisik.
Edzuary hanya mengangguk. Dibawa langkah masuk ke dalam bilik dan memerhatikan Nur Edleen yang sedang berkemas. Ada kesedihan pada wajah itu. Adakah Nur Edleen sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarganya?
“Dah siap berkemas?” tanya Edzuary, seraya duduk di birai katil.
Nur Edleen hanya mengangguk.
So, kita gerak sekarang,” arah Edzuary.
“Sekarang?" ulang Nur Edleen sedikit terkejut.
“A'ah la. Habis tu, nak gerak bila?”
“Malam nanti kita gerak, boleh tak?”
“Tak boleh! Aku banyak kerja yang nak dibuatkan.”
“Tapi, Leen nak...”
“Aku suami dan kau isteri. Jangan nak melawan!” Tegas Edzuary bersuara, seraya bangun. Berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Encik!” panggil Nur Edleen, seraya memegang tangan Edzuary.
Edzuary hanya memandang.
“Encik akan selamatkan saya?” tanya Nur Edleen, berharap.
Berkerut dahi Edzuary mendengar pertanyaan Nur Edleen. Sudah beberapa kali dia mendengar permintaan Nur Edleen. Semakin lama hatinya tertanya-tanya dengan apa yang berlaku pada Nur Edleen sebenarnya.
“Dah, cepat bersiap. Kita gerak sekarang,” arah Edzuary, keras.
Nur Edleen tertunduk. Pegangan tangan dileraikan. Tanpa membalas, segera dia mengemas pakaian miliknya dan mengangkat beg pakaian keluar dari bilik. Rasa sebak dan pilu meninggalkan bilik yang dihuninya selama dua puluh lima tahun ini.


EDZUARY memandu dengan tenang. Matanya diluruskan tanpa sedikit pun mengerling ke arah Nur Edleen di sebelah. Sedari masuk kereta sehingga sekarang, mereka berdua hanya membisu. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Hanya nyanyian dari corong radio menemani mereka berdua di dalam kereta.
Nur Edleen membuang pandang ke luar tingkap. Wajahnya muram dan sedih tatkala meninggalkan rumah. Malah, wajah Haji Marwan dan Hajah Norhayati turut sama menyentuh hati dan perasan. Jelas riak kesedihan pada kedua-dua wajah orang tuanya tadi. Sungguh, Nur Edleen berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan mereka berdua. Kata-kata pesanan dari abah dan ummi tersemat kemas di dalam hati. Nasihat dari kak long dan abang long juga tidak dilupakan. Berharap, dia menjadi seorang isteri yang solehah serta dapat menjaga maruah diri dan suaminya.
“Encik Ary sayang kat saya?” tanya Nur Edleen, tiba-tiba.
Tersentak Edzuary dengan pertanyaan Nur Edleen. Dia mengerling sekilas ke arah Nur Edleen yang masih membuang pandang ke luar tingkap.
“Kenapa kita berkahwin? Kenapa kita disatukan, sedangkan kita tidak punya perasaan apa-apa pun antara satu sama lain?” tanya Nur Edleen lagi dan menoleh ke arah Edzuary.
“Jodoh!” balas Edzuary, sepatah.
“Jodoh! Bukankah kita berkahwin disebabkan keluarga?” bidas Nur Edleen.
“Memang la kita berkahwin disebabkan keluarga. Kalau bukan kerana jodoh, kita takkan berkahwin,” beritahu Edzuary.
“Tapi, keluarga kita yang paksa kita berkahwin,” bidas Nur Edleen lagi.
Edzuary mendengus kasar. Dia menoleh ke kiri buat seketika. Terkejut Edzuary tatkala wajah Nur Edleen hampir ke wajahnya sebaik sahaja dia menoleh. Serta-merta dia menekan brek sehingga membuatkan Nur Edleen terdorong ke hadapan.
“Kush semangat. Encik Ary ni, kenapa? Bawa la kereta elok-elok,” tegur Nur Edleen, keras sambil mengusap dadanya yang berombak kencang. Gila!
“Yang kau pandang aku macam tu tadi, kenapa? Terkejut aku, kau tahu tak?” tempelak Edzuary dan menjeling tajam.
“Err…” sambil menggaru kepala. “Ada jerawat kat muka Encik Ary. Sebab itulah saya tengok,” sambungnya dan tersengih.
Edzuary mengerutkan dahi. Tanpa berlengah, pantas ditarik cermin pandang belakang dan menilik wajah di cermin tersebut. Mencari jerawat yang dimaksudkan oleh Nur Edleen.
Tergelak Nur Edleen yang melihatnya. Sungguh tidak meyangka suaminya akan tertingkah sebegitu.
“Yang kau ketawa, kenapa?” geram Edzuary.
“Encik Ary kalau marah nampak comel!” puji Nur Edleen dan tersenyum. Kemudian, dia membuang pandang ke luar tingkap. Dia tertawa kecil mengingati tingkah Edzuary sebentar tadi.
Edzuary menyimpan senyuman. Dihalakan mata ke hadapan semula dan memulakan pemanduan. Dia menggeleng tatkala mengingati tingkahnya tadi.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Matanya mengecil tatkala terpandangkan sesuatu. Serta-merta tangannya memegang tangan Edzuary. Tersentak Edzuary dengan perlakuan Nur Edleen. Dia menoleh sekilas dan berkerut dahinya memandang wajah pucat Nur Edleen. Malah pegangan Nur Edleen kuat ke tangannya.
“Kenapa?” tanya Edzuary, kehairanan.
“Tak ada jalan lain ke nak lalu?” tanya Nur Edleen.
“Kenapa? Apa masalahnya dengan jalan ni?” jawab Edzuary.
Semakin kuat pegangan Nur Edleen ke tangan Edzuary. Pandangannya jatuh ke arah sebuah pokok besar di bahu jalan. “Api! Ada api kat depan tu.”
“Mana?” tanya Edzuary, kalut dan menghentikan kereta di bahu jalan.
“Encik selamatkan saya dari api. Cepat encik, api tu semakin marak,” cemas Nur Edleen.
“Apa yang kau merepek ni? Mana ada api,” bentak Edzuary, keras. Direntap kasar tangannya dari pegangan Nur Edleen dan menyambung pemanduan.
Nur Edleen menunduk. Pucat mukanya ketika itu. Peluh dingin sudah memercik di dahi. Sungguh, dia takut melalui kawasan itu. Seakan ada sesuatu yang pernah berlaku di kawasan tersebut. Tapi, apa dia? Otaknya cuba dikerah agar berfikir.


“YA mama. Nanti Ary ke sana la,” balas Edzuary.
“Kenapa Ary tak ke sini tadi sebelum balik rumah? Mama nak jumpa menantu mama juga,” rajuk Puan Jaslina.
Edzuary menghela nafas berat. Bukannya dia tidak mahu membawa Nur Edleen pulang ke rumah papa dan mamanya. Dia perlu bersendirian dan memikirkan masa depannya bersama Nur Edleen. Rumah adalah tempat yang paling sesuai untuknya bersendirian.
“Ary… Ary…” panggil Puan Jaslina di hujung talian.
“Ya mama, Ary dengar ni,” balas Edzuary.
“Esok, mama nak Ary bawa Leen ke sini. Mama nak jumpa dengan menantu mama,” arah Puan Jaslina, keras.
“Ma, Ary banyak kerja la esok. Nanti-nanti la Ary bawa Leen ke sana,” dalih Edzuary.
“Tak ada. Mama nak Ary bawa Leen esok juga. Kalau Ary tak bawa, mama yang akan ke sana sendiri,” tegas Puan Jaslina.
“Ya la ma. Esok Ary bawa Leen ke sana,” kata Edzuary, mengalah.
“Mama tunggu!” kata Puan Jaslina dan mematikan talian.
Edzuary mengeluh berat. Telefon bimbit dimasukkan ke dalam poket seluar. Matanya membuang pandang ke langit malam yang dihiasi dengan beberapa butir bintang.
“Encik Ary!” panggil Nur Edleen dari dalam bilik.
Edzuary menoleh.
“Rumah encik ni tak ada extra tilam ke?” tanya Nur Edleen pula.
Berkerut Edzuary dengan pertanyaan Nur Edleen. Dibawa langkah masuk ke dalam bilik dan memandang tepat ke wajah Nur Edleen.
“Tak ada extra tilam ke?”
Extra tilam? Nak buat apa?”
“Nak buat tempat tidur kucing,” jawab Nur Edleen, selamba. Dah tentu la nak buat tidur. Soalan bodoh apa yang dia tanya tu, bebel Nur Edleen di dalam hati.
“Kucing? Mana ada kucing dalam rumah ni?” tanya Edzuary, lurus.
“Dah tu, masih nak tanya lagi ke nak buat apa dengan tilam tu,” sindir Nur Edleen.
Panas telinga Edzuary mendengar sindiran Nur Edleen. Tajam matanya ke wajah Nur Edleen yang beriak selamba.
“Saya dah mengantuk. Ada extra tilam tak?” beritahu Nur Edleen sambil menguap.
“Kenapa nak extra tilam? Kenapa tak tidur atas katil tu sahaja?”
“Err… encik tak kisah ke?”
“Kisah? Maksudnya?”
“Saya ni tidur ganas encik. Tak pasal-pasal, ke bawah encik nanti dibuatkan saya,” cerita Nur Edleen dan tersengih. Rambut yang diikat, dilepaskan bebas.
“Huh! Ganas sangat ke?” ulang Edzuary, kurang percaya.
“Ganas encik. Ummi selalu tegur cara saya tidur,” beritahu Nur Edleen dan naik ke atas katil. “Saya tidur dulu ya encik. Dah mengantuk sangat ni,” sambungnya dan berbaring.
“Hmmm…” balas Edzuary.
“Selamat malam encik. Mimpikan yang indah-indah sahaja. Jangan jadi macam saya. Hari-hari mimpi ngeri sampai saya jadi takut nak tidur,” cerita Nur Edleen. Selimut ditarik ke paras dada dan memejamkan mata.
Edzuary hanya memandang. Wajah tenang Nur Edleen ditatap mesra. Mimpi apa yang dimaksudkan oleh Nur Edleen itu? Sungguh, hatinya tertanya-tanya sedari semalam. Apa yang Nur Edleen mimpikan selama ini? Tanpa memikirkan apa-apa, segera dia naik ke atas katil dan berbaring di sebelah Nur Edleen. Keluhan terlepas dari bibirnya tiba-tiba.
“Abang!” panggil Nur Edleen, lembut.
Tersentak Edzuary dengan panggilan Nur Edleen. Segera dihalakan pandangan ke wajah Nur Edleen di sisi.
“Leen tertinggalkan patung beruang. Abang boleh tak jadi patung beruang Leen?” pinta Nur Edleen, mengharap.
“Patung beruang?” ulang Edzuary.
Nur Edleen mengangguk lemah. Matanya semakin kuyu dan rasa mengantuk menguasai diri. Perlahan-lahan didekatkan tubuhnya ke tubuh Edzuary. Kepalanya diletakkan ke atas lengan Edzuary. Terasa selesa berkeadaan begitu. Senyuman terukir di bibirnya.
“Terima kasih Mr. Bear!” ucap Nur Edleen dan hanyut ke alam mimpi.
Edzuary menghela nafas lembut. Dibetulkan kedudukan Nur Edleen agar rapat ke tubuhnya. Wajah tenang Nur Edleen ditatap kasih. Tangannya mengusap lembut ubun rambut Nur Edleen. Ada perasaan halus yang menghasutnya berbuat begitu.
“Tidurlah sayang. Abang akan lindungi sayang,” bisik Edzuary, perlahan dan mengucup lembut dahi Nur Edleen.



26 ulasan:

  1. x sabo nak tau aper kesah mimpi NE tu..
    sabar tau ES...

    BalasPadam
  2. mimpi NE psl ape smp tkt sgt.. xkan Bapa mertua ES xciter ape2 psl NE?? pelik btl la...

    BalasPadam
    Balasan
    1. dlm bab sblm2 ni ada nyatakan apa yg NE mimipikan.. ttg kemalangan 5 thn yg lps.. ES akn tahu ttg NE dlm bab 20 ke atas.. (^__^)

      Padam
  3. apa mimpi tuh....masih menjd tanda tya nih..
    nk jugak mr bear...n

    BalasPadam
    Balasan
    1. mimpi kemalangan 5 thn yg lps.. dlm bab sblm ni ada bgtau apa yg NE mimpikan.. ms NE pengsan, mlm perkahwinan mereka, NE ada bermimpi.. mimpi itu yg menghantui NE.. dlm bab2 seterusnya akn tahu kenapa dan sbb apa NE mimpikan ttg tu..

      *** pnjg lak komen akak ni.. hehehe.. :D

      Padam
  4. salam ..satu permulaan yg baik antara NE dan Edzuary..mereka tidak berpisah katil malahan NE terlalu manja kan..memeluk Edzuary erat erat dan ketat ketat..apa sebenarnya yg berlaku 5 tahun dulu yg masih menjadi igauan mimpi yg menakutkan pada isterinya..tidakkah dia mahu bertanya dengan bapa maupun ibu mertuanya..mungkinkah ES dan Edzuary pernah bercinta disatu ketika dulu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm kak Ida..

      A'ah, NE tu mmg manja.. antara mereka berdua ada hubung-kaitnya.. HM n PHN akn jelaskan pd ES apa yg berlaku pd NE.. Insya-Allah, semua tu akn terjwb.. kena sabar menunggu bab seterusnya.. :)

      Padam
  5. Tertanya2 kenapa NE ada trauma yang sangat teruk. Takkan sebab kemalangan tu saja? Seolah2 ada peristiwa yang amat duka melanda sebelum kemalangan. Split personaliti sebab trauma nie memang kes serius. Dia macam hilang ingatan on and off.

    Tapi Edzuary tu sweet lah..sweet sangat, despite the ego. Mujurlah Leen tu selamber jer, x ambik hati sangat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. that's right kak Aziela.. ada benda lain yg berlaku pd NE selain dpd kemalangan tu.. and akak akn tahunya nti dlm bab 20 ke atas..

      a'ah, NE tu selamba.. ttg ES.. lps ni kita tahu mcm mana orgnya.. :)

      Padam
  6. Takanlah ne buat plastic surgery akibat kemalangan tu yee

    BalasPadam
    Balasan
    1. plastic surgery?? x.. NE x buat plastic surgery..

      Padam
  7. salam akk...

    sy nk komen pun dh x taw sbb nnti akk ckp nntikan bab ssetrusnya..hehe soo tggu jer smbungnnya ye akk

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm Mahanum..

      hahaha.. tau x pe.. tggu ajelah bab seterusnya..

      Padam
  8. ES sweet sangat. Tak sabar nak tahu pasal mimpi NE tu. Waiting for the new entry :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mmg sweet.. lps ni kita tgk, ES tu sweet lg ke tdk.. :)

      Padam
    2. risau saya Kak Eliza AB tulis "lepas nie kita tgk, ES tu sweet lg ke tdk ... :) ...hush jangan la jadi salty ... kecian NE

      Padam
    3. hehe.. jgn risau.. dh bc bab seterusnya, baru leh nilai ES tu mcm mana orgnya.. :)

      Padam
  9. nile tu next n3???hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe.. nti sy n3kan bab strsnya.. :)

      Padam
  10. kak...sweet sangat..jad mr bear..:) love it!!! <3

    BalasPadam
  11. nak lagi!! next entryyyyy~..hehe..:P

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. nti sy n3 bab seterusnya ya..

      Padam
  12. kak eliza sambung la citer gurauan berkasih jenuh satu kedai buu saya cari x jumpa la buku tu hu hu hu3

    BalasPadam
    Balasan
    1. sufi.. InsyaAllah, dlm minggu ni GB dh ada kat kedai2 buku.. atau sufi blh order on9 dr KN..

      Padam