Selasa, 23 Oktober 2012

Suara Cinta - Bab 17



BAB 17

“ADUH!!” rengek Edzuary, lantang.
Nur Edleen membuka mata. Terkejut, tatkala telinganya menangkap bunyi seperti benda jatuh. Rasa mengantuk masih lagi bersisa.
“Macam ada benda jatuh saja. Apa yang jatuh?” tanya Nur Edleen sendirian. Digaru kepala yang tidak gatal. Matanya masih lagi tertutup rapat.
“Yang kau tolak aku ni, kenapa?” marah Edzuary, meninggi.
Terkejut Nur Edleen mendengar suara garau lelaki. Pantas, dia membuka mata dan melihat. Membuntang matanya tatkala wajah kerutan Edzuary menyapa pandangan.
“Yang kau tolak aku, kenapa? Sakit, kau tahu tak?” ulang Edzuary dan masih meninggi.
“Err… tolak? Siapa?” tanya Nur Edleen.
Edzuary mendengus geram. Bingkas, dia bangun dari duduk dan mengusap punggungnya yang terasa sakit. Jatuh dari katil, begitu menyakitkan. Huh! Sengaja la tu tolak aku. Nak lepas geram kat aku la ni, bisiknya, geram.
“Kau la, siapa lagi!” bentak Edzuary, keras. Tajam matanya ke wajah Nur Edleen.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Bingkas, dia bangun dari pembaringan dan bersandar di kepala katil. Terkebil-kebil matanya memandang wajah tegang Edzuary.
“Rasa nak patah pinggang aku ni kau buatkan. Kalau jadi apa-apa kat pinggang aku ni, tahu la macam mana aku nak kerjakan kau,” kata Edzuary bernada amaran.
“Leen? Leen buat apa?”
“Kau masih lagi nak tanya apa yang kau dah buat? Hisy, angin aku pepagi ni la,” gerutu Edzuary dan naik ke atas katil. Wajah Nur Edleen dipandang tajam.
“Apa dia?” tanya Nur Edleen, masih tidak faham.
“Kau tolak aku sampai jatuh, kau tahu tak!!” jerit Edzuary ke telinga Nur Edleen.
“Apa ni? Jerit kat telinga orang. Pekak la nanti!” geram Nur Edleen, seraya menolak tubuh Edzuary.
“Padan muka! Baru puas hati aku,” ejek Edzuary seakan keanak-anakkan.
Hisy, tak boleh jadi ni. Memang nak kena dengan aku mamat ni, bisik Nur Edleen.
“Lepas ni kau tidur bilik lain. Tak pasal-pasal penyek punggung aku kalau selalu jatuh macam ni,” rungut Edzuary dan bersandar di kepala katil.
“Tak nak!” tegas Nur Edleen.
“Kau isteri, kena dengar cakap suami. So, mulai malam ni, kau tidur bilik sebelah. Aku tidur kat sini. This is an order!!” Keras nada yang dituturkan oleh Edzuary.
Nur Edleen mencebik. Meluat mendengar arahan Edzuary. Tanpa membuang masa, dicubit kedua-dua belah pipi Edzuary. Seperti yang dilakukan terhadap patung beruangnya selama ini. Melepaskan geram terhadap patung beruang a.k.a suaminya itu.
“Sakitlah!” rengek Edzuary, keras.
Nur Edleen tidak menghiraukan rengekan Edzuary. Semakin geram dia melihat wajah Edzuary. Rasa nak tumbuk pun ada Nur Edleen rasakannya.
“Lepaslah!” arah Edzuary dan masih keras. Cubitan Nur Edleen terlalu kuat sehinggakan sukar untuk tangannya menepis tangan Nur Edleen. Macam tangan lelaki pun ada.
Mr. Bear ni kalau marah, nampak cute,” puji Nur Edleen dan melepaskan cubitan.
“Gila!” luah Edzuary, seraya mengusap lembut pipinya. “Kalau ada bekas, siap kau, aku cubit pipi kau pulak,” ugutnya.
Nur Edleen tersengih. Entah kenapa dia boleh bertingkah sebegitu. Matanya seakan melihat wajah patung beruangnya di wajah Edzuary. Disebabkan itulah dia mencubit pipi Edzuary. Rindu pada patung beruangnya itu.
“Err.. sakit ke?” tanya Nur Edleen tatkala melihat riak pucat di wajah Edzuary. Menyesal pula dia mencubit Edzuary.
Edzuary mendengus kasar. Tangannya masih mengusap pipinya yang terasa sakit akibat cubitan Nur Edleen.
Sorry! Leen tak sengaja,” ujar Nur Edleen, lembut. Tangannya membantu mengusap pipi Edzuary. Kasihan Nur Edleen melihatnya. Malah, pipi Edzuary turut berbekas kemerah-merahan.
Edzuary hanya membiarkan perlakuan Nur Edleen. Matanya menatap sepasang mata Nur Edleen. Kekeliruan yang dapat Edzuary lihat dari anak mata itu. Apa yang Nur Edleen kelirukan? Hatinya tertanya-tanya. Kenapa perangai Nur Edleen berlainan sama sekali?
Nur Edleen masih mengusap lembut pipi Edzuary. Jantungnya sudah berlari laju tatkala perasankan pandangan mata Edzuary. Gelabah juga dia di waktu itu. Belum pernah lagi lelaki memandangnya sebegitu sekali. Jika ada pun, hanya abah dan abang iparnya sahaja.
Kenapa jantung aku berdegup kencang? Matanya seakan-akan membicarakan sesuatu pada aku. Malah mata itu seakan pernah aku jumpanya dahulu. Tapi di mana? Adakah aku sedang bermimpi? Monolog Nur Edleen sendirian.
Edzuary turut sama hanyut dalam dunia tenungan Nur Edleen. Dibiarkan sahaja Nur Edleen mengusap lembut pipinya. Semakin lama semakin hilang kesakitan di pipinya itu. Lama matanya menatap wajah tenang Nur Edleen. Tanpa disedari, pipinya dikucup lembut oleh Nur Edleen. Tersentak Edzuary dengan tingkah Nur Edleen itu.
“Err… Leen tak sengaja,” beritahu Nur Edleen dan tertunduk malu.
Edzuary sudah terkedu. Berat mulutnya untuk berkata-kata. Tindakan Nur Edleen sebentar tadi benar-benar menghentikan otaknya daripada berfikir.
“Leen pergi mandi dulu,” ujar Nur Edleen. Belum sempat dia turun dari katil, Edzuary sudah pun menariknya. Terduduk dia semula di hadapan Edzuary. Wajah ditundukkan. Malu tatkala Edzuary merenungnya dengan pandangan yang tersirat. Dia bermain-main dengan jari-jemarinya sendiri. Resah dan gelisah di waktu ini.
Edzuary mengangkat wajah Nur Edleen. Mata mereka bertaut. Perlahan-lahan Edzuary mendekatkan wajahnya ke wajah Nur Edleen. Bibirnya menyentuh lembut bibir Nur Edleen.
Nur Edleen tersentak. Tidak meyangka dengan tindakan Edzuary. Mata dipejam rapat. Dapat dirasakan kehangatan bibir Edzuary menyentuh lembut bibirnya. Seminit kemudian, terasa tubuhnya ditolak sedikit kasar. Terkejut Nur Edleen dengan perlakuan itu.
“Benda ni tak patut berlaku,” kata Edzuary dan turun dari katil. Dicapai tuala dari ampaian dan menapak laju ke bilik air.
Nur Edleen hanya memerhati. Apa yang dimaksudkan dengan kata-kata Edzuary itu?
“Apa yang kau dah buat Edzuary Safuan?” tanya Edzuary tatkala berada di dalam bilik air. Wajahnya diperhatikan di hadapan cermin. Sungguh, dia menyesal dengan apa yang telah dilakukannya sebentar tadi. “Hidayah, maafkan abang!” lafaznya, perlahan.


“DARI tadi lagi, mama perhatikan kamu berdua ni senyap, kenapa? Kamu berdua ada masalah ke?” tegur Puan Jaslina. Wajah anak menantunya dipandang silih berganti.
“Tak ada apa-apa mama. Penat hari tu tak hilang lagi.” Edzuary berdalih. Tidak mahu Puan Jaslina mengetahui gelojak di hati.
“Leen pun sama juga. Dari tadi sampai sekarang ni, muka tu mama tengok kelat saja, kenapa?” tanya Puan Jaslina masih tidak berpuas hati.
Nur Edleen hanya menggeleng. Otaknya dikerah memikirkan kata-kata Edzuary. Sepanjang perjalanan, mereka berdua hanya membisu. Edzuary kelihatannya melayani perasaan sendiri. Entah apa yang difikirkan oleh Edzuary, Nur Edleen tidak pasti. Adakah kerana tindakan Edzuary menciumnya pagi tadi membuatkan lelaki itu bertingkah seperti itu? Salah ke tindakan dia tadi? Keluh Nur Edleen di dalam hati.
“Kamu berdua bergaduh ke?” tanya Puan Jaslina sekadar menduga.
“Tak!” balas Nur Edleen dan Edzuary serentak.
“Tengok! Mama yakin, kamu berdua ni ada masalah. Kamu berdua kan baru berkahwin. Tak sampai seminggu pun lagi, baru tiga hari. Takkan kamu berdua dah bergaduh?” luah Puan Jaslina akan firasat hatinya. “Mama tahu, perkahwinan kamu berdua dirancang. Kami tak memaksa, kamu berdua dengan rela hati bersetuju. Apa yang kami harapkan kamu berdua bahagia. Saling bertolak ansur antara satu sama lain. Saling berkongsi masalah dan jaga maruah diri masing-masing,” nasihatnya pula.
Nur Edleen dan Edzuary hanya mendengar. Masing-masing menundukkan muka. Malu ditegur sebegitu. Suasana hening seketika. Masing-masing melayani perasaan sendiri.
“Maaf, abang lambat,” tegur Encik Erizal, seraya duduk.
Nur Edleen dan Edzuary mengangkat muka. Senyuman dihadiahkan pada Encik Erizal.
“Kenapa ni, Jas?” tanya Encik Erizal.
“Hari mendung bang, tunggu nak hujan saja ni,” jawab Puan Jaslina. Tangannya lincah menyeduk nasi putih dan lauk-pauk ke dalam pinggan Encik Erizal.
“Mendung? Hujan?” ulang Encik Erizal. Matanya membuang pandang ke luar jendela. “Cerah saja abang tengok kat luar tu Jas,” beritahunya pula.
Puan Jaslina tertawa kecil. Ternyata suaminya tidak dapat menangkap ungkapan yang disebutnya tadi.
“Leen, Ary, makanlah! Apa yang ditunggukan lagi,” tegur Encik Erizal bernada arahan.
Nur Edleen dan Edzuary hanya mengangguk.
“Leen…”
“Ary…”
Serentak Nur Edleen dan Edzuary bersuara. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain. Senyuman terukir di bibir mereka berdua juga.
“Ary nak apa? Leen tolong ambilkan,” tanya Nur Edleen.
“Apa-apa saja,”  jawab Edzuary.
Nur Edleen mengangguk. Tangannya mengambil seketul ayam masak merah dan diletakkan ke dalam pinggan Edzuary. Kemudian, kangkung masak belacan dan akhirnya segelas fresh orange diletakkan berhampiran Edzuary.
“Kamu berdua honeymoon di mana?” tanya Puan Jaslina.
Hampir tersedak Edzuary mendengar pertanyaan mamanya. Dicapai gelas minuman dan meneguk rakus air di dalamnya. Dapat dirasakan usapan lembut di belakangnya. Mungkin Nur Edleen yang melakukan tingkah tersebut.
“Hai, baru tanya pasal honeymoon dah tersedak. Belum lagi tanya pasal anak,” sindir Puan Jaslina.
“Ary nak bawa Leen ke mana?” tanya Encik Erizal, berminat.
“Ary tak fikir lagi papa, mama. Ary banyak kerja yang nak diuruskan,” jawab Edzuary dan menghela nafas ringan.
“Kenapa tak cuti saja? Kan Ary baru berkahwin,” tegur Puan Jaslina tidak berpuas hati.
“Betul tu Ary. Kan Ary dengan Leen baru berkahwin. Sepatutnya Ary ambil cuti, bukannya bekerja,” komplen Encik Erizal pula.
Edzuary hanya membisu. Tangannya menguis-nguis nasi di dalam pinggan. Patah seleranya tatkala ditegur oleh mama dan papanya. Rasa malu di hadapan Nur Edleen turut menumpang di dalam hati.
“Tak apa la mama, papa. Bila-bila pun kami boleh pergi honeymoon. Ary sibuk dengan kerja. Lagipun banyak projek baru masuk,” jelas Nur Edleen, tenang. Kasihan melihat Edzuary yang terkial-kial mencari jawapan. Pasti, suaminya malu ditegur di hadapannya tadi.
“Leen jangan nak manjakan sangat Ary. Sebagai seorang suami, sudah menjadi tanggungjawab Ary untuk membahagiakan Leen.” Tegas Puan Jaslina bersuara. “Lagi satu, mama nak pesan dengan Ary. Mama tak nak Ary teringatkan kisah lalu lagi. Mama nak Ary buang kisah tu dari hidup Ary. Yang lepas biarlah lepas. Mama tak nak disebabkan kisah lalu Ary tu, Leen terasa hati atau berkecil hati dengan Ary nanti,” nasihat Puan Jaslina pula.
Nur Edleen mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan maksud kata-kata ibu mentuanya. Apa yang dimaksudkan dengan kisah lalu Edzuary? Kenapa dirinya akan terasa hati atau berkecil hati dengan perkara itu? Sungguh, hati Nur Edleen tertanya-tanya ketika ini. Dari siapa harus ditanyakan tentang itu? Adakah dengan ibu atau bapa mentuanya? Eddry! Abang Eddry! Bisik hatinya.


SUARA orang bergelak ketawa mengganggu tumpuan Edzuary yang sedang ralit mengadap laptop. Berkerut dahinya tatkala cuba menangkap suara ketawa tersebut. Hatinya merasa kurang enak di waktu ini. Bingkas, dia bangun dan menapak ke balkoni. Matanya meliar melihat keadaan halaman rumah Encik Erizal yang cantik dihiasi lampu berwarna-warni. Bunyian kocakan air dari arah kolam renang menarik minatnya untuk melihat. Membuntang matanya sebaik sahaja menangkap kelibat Nur Edleen sedang berbual mesra bersama Eddry Safwan.
Edzuary mendengus kasar. Telinganya cuba menangkap perbualan Nur Edleen bersama Eddry. Disebabkan kedudukan kolam renang agak jauh dengan bilik, membuatkan dia sukar untuk mendengar butir perbualan Nur Edleen dan Eddry. Perlukah dia turun dan turut serta bersama mereka berdua? Hatinya berkira-kira. Nak join ke tak nak ni? Kalau join, apa kata diaorang berdua nanti. Aku jadi penyibuk diaorang berbual pulak. Tapi, kalau aku tak join, lain pulak jadinya. Leen tu isteri aku. Dia perlu jaga batas pergaulannya walaupun dengan abang aku sendiri. Edzuary bermonolog. Ah! Ikut kata hati sajalah, getusnya.
“Maaf pasal hari tu. Tak sangka Leen boleh bertindak macam tu sekali,” kata Eddry.
“Eh, Leen yang kena minta maaf dengan abang. Leen tuduh abang perogol masa tu. Maafkan Leen,” balas Nur Edleen.
“Kalau abang di tempat Leen pun, mesti abang akan bertindak sama macam Leen. Entah-entah lebih lagi kut,” kata Eddry dan tertawa.
Nur Edleen turut sama tertawa. Geli hati tatkala mengingati peristiwa tersebut.
“Sepatutnya, Leen cucuk Ary tu kuat sikit, baru padan muka dia,” kata Eddry, selamba.
Semakin galak Nur Edleen ketawa. Eddry seorang yang kelakar dan sporting. Tidak seperti Edzuary. Hanya wajah kelat yang ditatap oleh Nur Edleen beberapa hari ini.
“Leen bahagia?” tanya Eddry.
Pertanyaan Eddry menyentakkan Nur Edleen. Serta-merta tawanya terhenti. Matanya dibuang ke dasar kolam.
“Perkahwinan yang dirancang tanpa rasa cinta… mungkinkah akan bahagia?” ulas Eddry dan mengeluh ringan.
“Kalau kita yakin, yang dia jodoh kita, Insya-Allah, akan bahagia,” ujar Nur Edleen, perlahan. Kakinya mengocak air di dalam  kolam. Seronok berbuat begitu.
Eddry mengangguk faham. Mungkin ada benarnya kata-kata Nur Edleen. Jodoh dan maut semuanya di tangan Allah. Manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menentukan segala-galanya.
“Cantikkan langit malam ni. Abang tak dating dengan girlfriend abang ke?” suara Nur Edleen dan menoleh sekilas ke wajah Eddry.
Tergelak Eddry mendengar pertanyaan Nur Edleen itu. Matanya membalas pandangan Nur Edleen. Senyuman terukir di wajahnya juga. “Abang mana ada girlfriend. Kawan rapat tu adalah. Lagipun, abang sibuk dengan kerja la Leen.”
“Mustahil! Leen tak percaya kalau abang tak ada girlfriend. Kalau Edzuary, Leen percaya. Orang macam Edzuary tu, jangankan girlfriend, mak cik-mak cik kat tepi jalan pun takut nak tegur dia,” kutuk Nur Edleen, selamba dan tergelak. 
Eddry turut sama tergelak. Dia menggelengkan kepala mendengar kutukan Nur Edleen. Selamba dan tidak berlapik. Kalau Ary dengarnya, naya Leen, bisik hatinya.
“Lagi satu kan bang, Leen tengok Ary tu susah sangat nak senyum, kenapa? Masa kecik-kecik dulu, dia tak diajar macam mana nak senyum ke? Ataupun dalam kamus hidup dia tak ada perkataan S.E.N.Y.U.M,” tanya Nur Edleen turut sama mengeja perkataan ‘senyum’.
Eddry tertawa lagi. Geli hati mendengar pertanyaan Nur Edleen. Jawapan apa yang harus diberikan pada Nur Edleen?
“Ary tu sebenarnya…”
“Patut la dari tadi asyik tersedak saja, rupa-rupanya ada orang tengah kutuk Ary,” suara Edzuary dari arah belakang.
Terkejut Eddry dan Nur Edleen mendengar teguran itu. Serentak, mereka berdua menoleh dan terlihat Edzuary yang sedang menapak jalan menghampiri mereka di birai kolam.
“Abang kutuk Ary ke?” tanya Edzuary tatkala berada di hadapan Nur Edleen dan Eddry.
“Eh, mana ada kitaorang kutuk Ary. Kitaorang cerita pasal… pasal…” Eddry menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sukar untuk memberi jawapan.
“A’ah, kitaorang memang kutuk Ary pun,” kata Nur Edleen, selamba.
“Tak ada la Ary. Kitaorang borak-borak kosong saja,” bidas Eddry, gelabah. Kecut perutnya ketika ini. Matanya menatap wajah tegang Edzuary. Ada riak cemburu di sebalik wajah itu juga.
“Abang, esok temankan Leen balik rumah ummi dengan abah, boleh tak? Leen tertinggalkan patung beruang Leen,” pinta Nur Edleen, selamba. Kehadiran Edzuary buat endah tak endah sahaja.
“Err…” Eddry gugup. Tenungan Edzuary turut menyesakkan nafasnya. “Ary kan ada. Leen minta Ary bawa Leen balik ke rumah abah dan ummi sajalah.”
“Ary kata dia ada kerja, sibuk. Sebab itulah Leen minta tolong abang. Boleh, kan?” terang Nur Edleen, serius.
“Aku hantarkan ke sana. Jangan nak susahkan orang lain,” sampuk Edzuary, tegas. Sakit hatinya mendengar permintaan Nur Edleen pada Eddry.
“Abang masuk dulu la Leen. Lain kali kita sembang lagi. Kalau Leen boring, Leen boleh call abang,” suara Eddry, bingkas bangun dari duduk. “Leen, jangan melawan!” pesannya sebelum berlalu pergi.
Edzuary mengerutkan dahi. Kurang mengerti akan pesanan Eddry. Matanya mengekori langkah Eddry hingga hilang di sebalik pintu rumah. Kepulangan Eddry petang tadi, sudah di beritahu oleh mamanya. Kata Eddry, ingin berjumpa dengannya dan Nur Edleen. Ini kerana, ketika majlis perkahwinannya hari itu, Eddry tidak dapat hadir kerana terpaksa ke luar negara bagi  menguruskan hal syarikat.
“Leen masuk dulu la. Dah lewat malam ni,” ujar Nur Edleen, seraya bangun.
“Leen, we need to talk,” kata Edzuary.
“Nak cakap apa?”
“Aku… aku…” Hisy, kenapa susah sangat mulut aku ni nak bercakap, rungutnya.
Nur Edleen bosan menunggu. Langkah diatur menuju ke rumah. Belum sempat kakinya melangkah, lengan Nur Edleen dipegang Edzuary. Memaksa gadis itu memberhentikan langkah.
“Esok kita ambil patung beruang tu. Aku tak nak kau susahkan orang lain. Aku suami kau dan sudah menjadi tanggungjawab aku untuk uruskan segala tentang kau,” jelas Edzuary, tegas.
Nur Edleen mengangguk faham.
“Lagi satu, aku tak nak kau rapat sangat dengan abang aku. Dia tu buaya darat. Aku tak nak kau…”
“Okey! Dah habis membebel?” pintas Nur Edleen. Rasa mengantuk menguasi dirinya waktu itu.
“Aku belum habis cakap lagi, kau dah nak masuk. Aku suami dan kau…”
“Isteri!” potong Nur Edleen laju. “Dah ke?”
Edzuary merengus. Sakit hatinya tatkala Nur Edleen melayannya acuh tak acuh. Tidak sewaktu Nur Edleen bersama Eddry. Bergelak ketawa sesama sendiri sehingga membuatkan hatinya membengkak. Sebab apa? Edzuary sendiri tidak pasti. Adakah perasaan cemburu sedang menjalar di dalam hatinya itu? Tak! Aku tak cemburu! Bidasnya.
“Nak lalu. Dah mengantuk ni,” pinta Nur Edleen. Dengusan terlepas dari bibir.
Edzuary masih diam terkaku. Dikeraskan badan dan cuba menghalang Nur Edleen dari beredar dari situ. Dia belum puas bercakap dengan Nur Edleen. Masih banyak yang perlu dibincangkan termasuklah mengenai perkahwinan mereka berdua.
“Tepilah! Orang nak lalu,” pinta Nur Edleen dan merengus. Ternyata, Edzuary sengaja mengeraskan badan serta menghalang laluannya.
Nur Edleen mengeluh. Dengan kudrat yang ada, Nur Edleen menolak tubuh Edzuary agar memberi laluan kepadanya untuk berjalan. Alangkah terkejutnya Nur Edleen tatkala melihat Edzuary yang sudah pun berada di dalam kolam renang. Tolakannya tadi telah menyebabkan Edzuary jatuh ke dalam kolam renang.
“Leen!!” bentak Edzuary dan menghentak kedua-dua belah tangan di atas air.
Nur Edleen mengekek ketawa. Sungguh, tidak meyangka Edzuary akan jatuh ke dalam kolam renang. Dia mencongak seketika. Bagaimana Edzuary boleh terjatuh sedangkan Edzuary tidak sehampir dengan kolam renang? Mungkinkah disebabkan tolakan kuatnya tadi membuatkan Edzuary jatuh ke dalam kolam tersebut.
“Leen tak buat apa-apa pun. Siapa suruh main-main kat birai kolam ni,” kata Nur Edleen, selamba dan masih ketawa. Hilang sudah mengantuknya tadi.
“Nur Edleen Haji Marwan!” geram Edzuary dan berenang ke birai kolam.
“Ya, Encik Edzuary Safuan Erizal Hanif a.k.a Mr. Bear. Apa yang boleh saya bantu?” balas Nur Edleen dan masih ketawa.
Edzuary merengus kasar untuk kesekian kalinya. Tanpa berlengah, segera dia naik ke atas birai kolam. Sakit telinganya mendengar ketawa Nur Edleen. Silap dia juga kerana berdiri betul-betul di tepi kolam. Silapnya juga kerana tidak dapat menstabilkan tubuh ketika Nur Edleen menolaknya tadi. Ternyata, tolakan kuat dari Nur Edleen berjaya membuatkan dia terjatuh ke dalam kolam. Perasaan malu menumpang di dalam hati. Entah kenapa hatinya terasa sebak dengan tiba-tiba. Wajah Hidayah menyapa mata.
Nur Edleen masih lagi ketawa mengekek. Geli hati melihat Edzuary. Sampai keluar air matanya akibat ketawa.
“Hidayah!” seru Edzuary, lembut.
Terhenti ketawa Nur Edleen. Berkerut dahinya tatkala terdengar nama seseorang disebut.
“Hidayah!” ulang Edzuary dan masih memandang Nur Edleen.
“Hidayah?” ulang Nur Edleen dan mengangkat kening.
Edzuary tersedar. Tanpa menunggu, segera dibawa langkah meninggalkan kawasan kolam tersebut. Ingatannya ligat memutarkan kenangan silam. Sungguh, Edzuary amat merindui Hidayah ketika ini.
Nur Edleen hanya memandang. Otaknya dikerah berfikir. Hidayah? Siapa Hidayah? Hatinya bertanya. Girlfriend dia kut. Ah! Lantak dia la. Bukan ada kena-mengena dengan aku pun, katanya dan beredar dari situ menuju ke rumah. Namun, langkahnya tiba-tiba mati. Girlfriend? Bisik hatinya, sayu.

***** Siapa Hidayah?? Jumpa minggu hadapan.


20 ulasan:

  1. sweet sgt diorg ni..mesti hidayah gf ES kan...
    alaaa..lamanya minggu depan..haha..okaylah..nak raya kan..:D

    BalasPadam
    Balasan
    1. nti tahu la siapa Hidayah tu.. selamat hr ry aidiladha jg.. :)

      Padam
  2. syiok bab tut tu,...
    adkh ade konflik perassan abg si ES tu nnti.. ermmm
    Hidayah tu musti sgt rapat ngan ES..
    NE,sabo tau... tp ganas tui NE ni kn...

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. sabar ajelah ep ni..
      konflik?? xdelah sgt.. bese2 aje..

      Padam
  3. baru je kuar nama hidayah...aishh...apa kena mengena plak dorg bertiga nih..

    BalasPadam
    Balasan
    1. soalan tu akn terjwb dlm bab2 seterusnya.. thanks wida coz membc SC.. (^__^)

      Padam
  4. hidayah msti bekas ister ES yg meninggal 2 btl x?? Tp hidayah 2 mste NE sbb ape yg berlaku kat NE sama terjadi ngn Hidayah btl x??

    BalasPadam
    Balasan
    1. byknya soalan.. Insya-Allah, soalan tu semua akn terjwb tak lama lagi.. terima kasih krn membc.. :)

      Padam
  5. Hidayah is Edleen? Oh my...kesiannya Leen. Trauma teruk sampai lupa Ary.. Oh my..oh my..!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hidayah is Edleen?? sy lak terkejut Kak Aziela.. hehehe.. jgn terkejut bila tahu siapa Hidayah dlm hidup ES... saja kasi suspen.. (^__^)

      Padam
  6. salam..

    terasa ada penolakan Edleen kat ES ..adakah penolakan ini akan membawa Edry lebih rapat pada Edleen..

    Dan kenapakah Hidayah disebut oleh ES..akak rasa tidak wajar bagi dirinya masih mengingati masa silamnya dengan gadis selain dari isteri yg dinikahinya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm Kak Ida..

      Eddry sekadar perencah shj.. utk menyedarkan ES yg msh sukar utk melupakn kenangan lama..

      Insya-Allah, kak.. ES akn sedar kptgn NE dlm hidupnya n perkahwinan mereka.. utk ke arah itu.. ES kena berperang dgn perasaan n kenangan dia..

      erk, btl ke jwpn sy ni?? hehehe.. :)

      Padam
  7. Wahhhh, tak sabar nak tahu siapa Hidayah tu. Dalam kepala ni dan buat cerita sendiri dah. Hahaha. Sambung yaa :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. hahaha.. cerita apa tu dik?? cer bgtau kat akak.. kut2 cerita adik tu btl ngan jln cete SC ni..

      Insya-Allah, nti akak smbg.. :)

      Padam
  8. MAHANUM ABU BAKAR23 Oktober 2012 10:11 PTG

    SALAM...

    hidaYAh kmbar NE kot...akk ros??? akk kn suka wat crte kmbar hehe.. btl x akk?? di sbb kn tu lh ES ni terasa dkt NE..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wslm..

      erk, kembar?? ckplah dlm cete AJID dh ada kembar.. Hazrel n Hazrul.. alahai, rindu pulak kat papa HH n mama NAZ.. huhuhu..

      Padam
    2. Dlm HM pun ad akk huhuhu terlupe ke

      Padam
    3. HM?? ada kembar ke?? Tg Azizul n Tg Hariz.. adik-beradik.. Amirul (GB) anak tunggal.. AJID saja yg kembar.. Hazrel Hardy n Hazrul Hardy.. klu anak TH & Aisya.. yalah.. tp, bkn watak hero or heroin..

      Padam
  9. bile next n3~~~~ngee :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Insya-Allah, minggu dpn.. sabar menanti.. :)

      Padam