Sabtu, 17 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 11








IRDINA menarik nafas dan melepaskannya berat. Hari ini bermulalah tugasnya sebagai pembantu Tengku Irfan Haiqarl di Suria Holdings. Walaupun pada hakikat dia telah pun memulakan tugas sebagai pembantu peribadi ketika program team building seminggu yang lalu.
Team building! Irdina mengeluh dalam hati. Peristiwa seminggu yang lalu bermain-main di minda. Peristiwa di mana kemarahan Tengku Iqbal dan Tengku Irfan atas apa yang berlaku.
“Awak cuai dalam tugasan awak, Irdina,” tegur Tengku Iqbal, serius.
Irdina hanya menunduk. Takut untuk bertentang mata dengan Tengku Iqbal.
“Awak sengaja permain-mainkan Tengku Irfan. Awak tahu tak siapa Tengku Irfan kepada awak?” soal Tengku Iqbal.
Irdina tidak menjawab. Dia memandang kakinya sendiri.
“Awak tahu tak antibodi Tengku Irfan tak kuat? Mudah dapat penyakit.”
“Maafkan saya.”
Hanya itu sahaja yang keluar daripada mulut Irdina. Kesal atas apa yang berlaku.
“Maafkan?” Sinis Tengku Irfan bertanya.
Irdina mengangkat muka. Pandangannya tepat ke wajah Tengku Irfan.
“Saya tak nak perkara macam ni berulang lagi. Saya amanahkan awak untuk jaga Tengku Irfan dan saya harap awak pegang dan jaga amanah ini sebaik mungkin,” suara Tengku Iqbal.
“Kenapa saya yang dipilih?” soal Irdina tidak berpuas hati.
Persoalan itulah yang selama ini bermain-main di minda. Kenapa dia yang dipilih menjadi pembantu peribadi kepada Tengku Irfan? Bukankah ramai lagi pekerja yang lebih layak daripadanya untuk memegang jawatan itu?
Tengku Iqbal tidak menjawab. Matanya memandang wajah Irdina. Riak ketidakpuasan jelas di wajah itu. Adakah Irdina tidak berpuas hati dengan jawatan barunya itu?
“Saya banyak bagi masalah pada Tengku Irfan. So, ada baiknya kalau Tengku Iqbal cari orang lain untuk pegang jawatan ni,” suara Irdina lagi.
“Kenapa? Kau takut nak berhadapan dengan aku?” soal Tengku Irfan, sinis.
Irdina menghalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Persoalan Tengku Irfan menyakitkan hati. Ikutkan hati, mahu dihambur segala ketidakpuasan terhadap Tengku Irfan.
Namun, disabarkan hati agar tidak berbuat begitu. Dia perlu memasang strategi untuk melawan serta mengenakan Tengku Irfan. Tidak semudah itu dia mengaku kalah.
“Saya tak suka dan tak nak dengar apa-apa alasan. Jalankan tugas awak sebaik mungkin,” tegas Tengku Iqbal lalu beredar dari situ.
Irdina hanya memandang. Keluhan berat terlepas daripada bibir.
“Hakikatnya, kau seorang perempuan yang penakut,” ejek Tengku Irfan, selamba.
“Apa tengku cakap?” soal Irdina, serius.
Tengku Irfan tidak membalas. Dia segera beredar dari situ. Puas hatinya tatkala melihat Irdina dimarahi oleh Tengku Iqbal. Gadis itu bukan calang-calang orang. Sukar untuk dilawan. Walau bagaimana sekalipun, dia akan menggunakan kuasa yang ada untuk mengenakan Irdina.
“Irdina!” tegur Zahida dari arah belakang.
Tersentak Irdina dek kerana teguran itu. Lamunannya yang panjang berterbangan entah ke mana. Dihalakan mata ke wajah Zahida merangkap penyambut tetamu di Suria Holdings.
“Kenapa tak masuk lagi?” soal Zahida, ramah.
“Err… Dina…” Irdina menggaru kepala yang tidak gatal.
“Tengku Irfan cari Dina tadi.”
“Tengku Irfan cari Dina?”
Zahida berkerut dahi. Kenapa dengan Irdina? Wajah Irdina diperhati dalam diam.
“Kenapa dia cari Dina?”
“Akak pun tak tahu Dina.”
“Hurm… Tak apalah kak. Dina masuk dulu.”
Tanpa menunggu, dia melangkah masuk ke dalam menuju ke bilik Tengku Irfan. Entah apa yang diinginkan oleh Tengku Irfan, dia sendiri tidak tahu.
Adakah Tengku Irfan ingin membalas dendam dengannya? Dendam atas apa yang berlaku ketika di program team building seminggu yang lalu.
“Ala… Demam sikit saja pun hari tu. Dah nak mengadu bagai. Menyampah betul!” bebel Irdina sambil mencebik meluat. Tangannya mengetuk pintu bilik Tengku Irfan.
“Kalau aku tahu antibodi dia tak kuat, aku kerjakan dia cukup-cukup. Aku paksa dia berenang kat tengah-tengah sungai hari tu,” sambung Irdina lagi.
Tangannya masih mengetuk pintu bilik Tengku Irfan. Terkumat-kamit mulutnya ketika itu. Menyumpah seranah Tengku Irfan.
“Mak cik!” tegur Tengku Irfan bernada keras.
Tersentak Irdina dengan teguran itu. Dihalakan mata ke wajah Tengku Irfan. Pantas, ditarik tangan lalu tersengih kepada pemuda itu.
“Aduh! Macam mana la pulak boleh terketuk kepala dia ni,” bisik Irdina kepada dirinya sendiri.
Tengku Irfan mendengus kasar. Wajah sengihan Irdina ditatap benci.
“Tengku panggil saya, kenapa?” tanya Irdina, ramah.
Dia melangkah mengekori Tengku Irfan masuk ke dalam bilik. Meliar matanya melihat keadaan bilik itu. Susun atur yang berada dalam bilik itu berlainan sekali. Berbeza ketika Tuan Haji Jamal duduki bilik itu.
“Kau lewat 10 minit,” tegur Tengku Irfan sambil melabuhkan duduk.
Irdina mengerling jam di pergelangan tangan. Masa baru merangkak ke pukul 9.11 minit pagi.
“Kau ingat pejabat ni mak bapak kau yang punya ke?” kata Tengku Irfan, sinis.
Irdina berkerut dahi. Kenapa Tengku Irfan mengaitkan orang tuanya dengan kelewatannya itu? Ini sudah lebih! Suka hati dia saja nak bercakap, geram Irdina dalam hati.
“Tengku nak apa? Kalau tengku nak membebel, membebel seorang-seorang. Saya tak ada masa nak dengar,” balas Irdina dan berkira-kira untuk beredar dari situ.
“Kau kata aku membebel, Irdina?”
“Yalah! Macam orang tua. Tengku nak apa?”
“Kau sedar tak dengan siapa kau bercakap ni, Irdina?”
“Tengku Irfan Haiqarl.”
Tengku Irfan mendengus keras. Sakit hatinya mendengar jawapan selamba Irdina. Wajah Irdina ditatap benci.
“Kalau tak ada apa-apa, saya mintak diri dulu. Nak siapkan kerja,” ujar Irdina dan melangkah menuju ke muka pintu bilik. Sesak nafasnya berada di dalam bilik itu.
Tengku Irfan mengepal tangan. Irdina seorang gadis yang suka melawan dan degil. Sukar untuk menjinakkan gadis itu. Dia perlu merancang untuk mengenakan Irdina.
“Kalau kau keluar, aku potong gaji kau 50% bulan ni,” ugut Tengku Irfan, serius.
Irdina mematikan langkah. Ditoleh ke belakang dan memahatkan mata ke wajah Tengku Irfan. Berani sungguh Tengku Irfan mengugutnya sebegitu. Ikutkan hati, rasa nak hempuk mamat tu dengan kerusi, geram Irdina dalam hati.


“AKU tengah follow dia,” beritahu Irdina, berbisik.
Follow dia ke mana?” soal Melisa ingin tahu dari hujung talian.
“Pasar!” balas Irdina lagi.
“Pasar? Kau biar betul?” kata Melisa sedikit terkejut.
“Yalah, pasar! Dia nak beli ikan.” Serius Irdina memberitahu. Dalam hati dia mengekek ketawa. Begitu mudah Melisa dipermain-mainkan.
Melisa berkerut dahi. Kurang percaya dengan kata-kata Irdina.
“Dia tengah pilih ikan,” lapor Irdina.
Matanya memandang ke arah Tengku Irfan yang sedang berbual bersama dengan seorang pekerja. Ditahan ketawa agar tidak terhambur keluar.
“Takkan sampai ke pasar kau ikut dia, Dina? Aku tak percayalah.”
“Kalau kau tak percaya, sudah!”
Melisa berfikir sejenak. Otaknya cuba menerima kata-kata Irdina.
“Dia pilih ikan besar. Mahal tu!”
“Ikan besar?”
Irdina ketawa kecil. Matanya tidak lepas dari memandang Tengku Irfan. Sejak dari tadi dia mengekori Tengku Irfan melawat kawasan kilang.
“Dina!” panggil Melisa dari hujung talian.
“Haa.. Apa dia?” tanya Irdina sedikit tersentak.
“Nak lunch sama dengan aku tak?”
“Aku rasa tak kut. Aku tak tahu sampai pukul berapa mamat tu habis pilih ikan.”
Melisa ketawa kecil. Geli hati mendengar kata-kata Irdina.
“Eh Mel, aku letak dulu. Mamat tu nak cari sayur pulak,” beritahu Irdina, tergelak.
Melisa yang mendengar turut sama ketawa. Kepala menggeleng mengenangkan tingkah laku Irdina. Kawan baiknya itu suka bergurau.
“Kau gelakkan apa?” tegur Tengku Irfan.
Sejak dari tadi dia memerhatikan tingkah laku Irdina. Gadis itu ralit berbual di telefon. Apa yang dibualkan oleh Irdina? Siapa yang menelefon gadis itu?
“Dah habis cari ikan?” tanya Irdina seraya memandang wajah Tengku Irfan.
“Ikan?” ulang Tengku Irfan, berkerut dahi.
“Yalah! Pusing sana. Pusing sini. Jumpa orang tu. Jumpa orang ni. Mesti dapat hasil, kan?” terang Irdina, tersengih.
Tengku Irfan masih lagi berkerut. Cuba untuk memahami penerangan Irdina.
“Kita nak ke mana lagi, tengku?” tanya Irdina ingin tahu.
“Tangkap ikan jerung.” Selamba Tengku Irfan menjawab. Dia segera beredar dari situ tatkala dapat menangkap penerangan Irdina sebentar tadi.
Irdina ketawa mendengarnya. Tidak menyangka Tengku Irfan seorang yang kelakar.
“Perkembangan yang sihat,” kata Irdina, tersenyum.


“ALONG!!!” laung Irdina dari jauh.
Terkejut Irshad mendengarnya. Dihalakan mata ke arah Irdina yang sedang menapak masuk ke dalam kedai.
“Along!” panggil Irdina, ceria.
Dipeluk lengan Irshad dan melentukkan kepala di bahu abangnya itu. Sekadar untuk bermanja dengan Irshad.
“Hisyy… Apa ni jerit-jerit panggil nama along? Malu dek orang la Dina,” tegur Irshad kurang senang. Kepala menggeleng kecil dengan tingkah laku adiknya itu.
“Ala.. Baru nak bermanja. Takkan tak boleh kut?”
“Dina tu cuba la jadi perempuan sikit. Ini tidak, perangai mengalahkan lelaki.”
Irdina berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Irshad?
“Cuba tengok macam Mel. Cantik, manis, sopan-santun, ayu. Mana-mana lelaki yang tengok, mesti terpikat.” Puji Irshad kepada Melisa.
“Mel? Mel cantik? Sopan-santun? Ayu?” ulang Irdina, tergelak.
“Yalah! Betul la apa yang along cakapkan  ni.”
“Along ni dah buta kut. Mel tu depan along saja macam tu. Belakang along macam hantu.” Selamba Irdina mengutuk. Sengihan terbias di wajah.
Irshad tergelak. Kelakar mendengar kutukan Irdina terhadap Melisa.
“Along… Dina nak tanya sesuatu, boleh tak?”
“Tanya? Tanya apa?”
“Macam mana nak kenakan lelaki?”
“Kenakan lelaki?”
Irdina menganggukkan kepala. Dia melabuhkan duduk di kerusi. Wajah Irshad ditatap kasih. Menanti jawapan daripada abangnya itu.
“Nak kenakan lelaki? Siapa?” soal Irshad ingin tahu.
“Bos Dina!” jawab Irdina, malas.
“Bos Dina? Tengku Irfan?” tanya Irshad lagi.
Segala-galanya sudah diceritakan oleh Irdina. Peristiwa yang berlaku di program team building turut sama diketahuinya. Rasa kelakar mendengar cerita tentang Tengku Irfan.
Barulah dia teringat di mana dia berjumpa dengan Tengku Irfan. Pemuda itu yang dilihatnya di pantai bersama dengan Tengku Iqbal dan seorang bodyguard.
“Nak kenakan dia sebab dia tu kerek sangat. Meluat betul!” luah Irdina. Bibir dicebikkan tatkala wajah Tengku Irfan menyapa mata.
Irshad tidak membalas. Wajah Irdina ditatap kasih. Belum pernah lagi dia melihat Irdina berkeadaan begitu. Adakah disebabkan Tengku Irfan, Irdina bertingkah laku sebegitu?
“Dina nak kenakan dia. Biar padan muka dia. Sakit hati betul Dina dengan dia tu.”
“Apa yang dia dah buat dengan Dina?”
“Dia suruh Dina beli aiskrim Magnum kat pasaraya.”
Tergelak Irshad mendengarnya. Kepala menggeleng kecil melihat wajah cebikan Irdina.
“Along!!!” tegur Irdina, keras.
Sorry! Kelakar pulak along rasa,” kata Irshad masih ketawa.
Irdina mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar suara ketawa Irshad.
“Dina nak kenakan dia macam mana?” tanya Irshad, berminat.
“Kalau boleh, Dina nak kenakan dia cukup-cukup. Biar dia kenal siapa Dina yang sebenarnya,” balas Irdina sambil menggenggam erat tangan.
“Bunyi macam berani. Entah-entah….” Irshad mematikan ayat. Berharap, Irdina faham akan gantungan ayatnya itu.
“Along ingat Dina takut ke? Ini Irdina Asyikin. Tak ada sesiapa pun berani nak kenakan Dina,” kata Irdina, bangga diri.
“Iyalah tu. Okey! Along nak tengok siapa Irdina Asyikin yang sebenarnya,” cabar Irshad.
“Dina akan buktikan pada along,” tegas Irdina penuh yakin.
Irshad mengangguk faham. Senyuman menghiasi bibir. Dia melangkah menghampiri Irdina. Wajah adiknya itu ditenung sayang.
“Jangan Irdina Asyikin jatuh cinta dengan Tengku Irfan Haiqarl sudahlah ya,” ujar Irshad kemudian lalu beredar dari situ.
Buntang mata Irdina mendengar ujuran Irshad. Matanya mengekori langkah Irshad sehingga hilang di sebalik pintu bilik air.
“Huh! Jatuh cinta? Tak ada maknanya aku nak jatuh cinta dengan tengku poyo tu. Tak apa. Aku akan buktikan pada along siapa aku yang sebenarnya,” azam Irdina kepada dirinya sendiri.


SO, macam mana dengan hari pertama kau bekerja di Suria? Okey?” tanya Naufal, prihatin.
Not bad!” jawab Tengku Irfan, tenang.
Not bad?” ulang Naufal.
Tengku Irfan sekadar mengangguk. Air minuman diteguk sambil otaknya ligat berfikir. Entah kenapa wajah Irdina menyapa mata. Serta-merta ketawa terlepas daripada bibir.
“Yang kau tiba-tiba ketawa ni, kenapa?” tegur Naufal, berkerut dahi.
Nothing!” balas Tengku Irfan, sepatah sambil menggeleng.
Nothing? Aku tak percaya. Mesti ada perkara yang kau gelakkan. Share la dengan aku,” desak Naufal sambil memandang wajah Tengku Irfan.
Tengku Irfan hanya tersenyum. Perlukah dia bercerita kepada Naufal?
“Oh ya, macam mana dengan Irdina?”
“Irdina? Kenapa dengan dia?”
“Kerja dia? Okey tak? Dia mendatangkan masalah pada kau tak?”
“Hai, sejak bila kau prihatin tentang dia?”
“Sejak hari tu. Dia seorang gadis yang comel dan kelakar.”
“Comel? Kelakar?” cebik Tengku Irfan, meluat.
Naufal ketawa kecil. Tengku Irfan masih tidak dapat menerima Irdina.
“Aku ingat nak temuduga dia.”
“Temuduga untuk apa?”
“Hal peribadi dia.”
Tengku Irfan tidak membalas. Matanya memandang wajah tersenyum Naufal. Jarang sekali dia melihat Naufal tersenyum begitu. Jika ada pun ketika Naufal jatuh cinta kepada gadis yang bernama Nadia tidak lama dahulu. Tetapi, gadis itu juga yang telah mengecewakan Naufal.
“Irdina!” panggil Naufal, tiba-tiba.
Tersentak Tengku Irfan dek kerana panggilan itu. Dihalakan mata ke wajah Naufal dan kemudian ke sekeliling kafe. Kelibat Irdina tidak kelihatan.
Just kidding!” gurau Naufal lalu ketawa.
Sengaja dia berbuat begitu. Sekadar untuk melihat reaksi Tengku Irfan. Adakah Tengku Irfan masih tidak menyukai Irdina?


Jumpa lagi!



1 ulasan: