Khamis, 22 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 14






IRDINA mengerling jam di pergelangan tangan. Masa baru merangkak ke pukul 3.00 petang. Peluh dingin sudah membasahi dahi. Diseka peluh dingin itu dengan sehelai tisu. Hampir satu jam dia menanti Tengku Irfan di situ. Namun, kelibat pemuda itu tidak juga muncul-muncul. Adakah Tengku Irfan mempermain-mainkannya?
“Haishh!!! Panas hati aku sekarang ni. Mana pulak tengku poyo ni?” luah Irdina, geram.
Dikibas diri sendiri dengan tisu. Meliar matanya melihat sekeliling kawasan. Kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu turut memanaskan dirinya.
“Tak boleh jadi ni. Memang nak kena tengku poyo ni.” Irdina merengus kasar.
“Ehem…” Dehem seseorang dari arah belakang.
“Perogol!” jerit Irdina seraya menumbuk perut Tengku Irfan.
“Ouch!!!” rengek Tengku Irfan sambil memegang perut.
“Alamak!” Irdina terkejut.
“Apasal kau tumbuk aku?” marah Tengku Irfan.
“Aduh! Mati la aku. Yang kau pergi tumbuk dia tu kenapa, Irdina Asyikin?” marah Irdina kepada dirinya sendiri. Matanya memandang wajah berkerut Tengku Irfan.
Tengku Irfan masih menahan kesakitan. Tumbukan Irdina agak kuat. Rasa senak di perut.
“Errr… Tengku okey?” tanya Irdina, berbasa-basi.
No!!” jawab Tengku Irfan, keras.
Irdina menelan liur. Apa yang harus dilakukan ketika ini?
“Air!” hulur Irdina kemudian.
Tengku Irfan memandang tajam wajah Irdina. Sakit hatinya ketika ini.
Sorry!” ujar Irdina, perlahan.
Ada baiknya dia meminta maaf. Rasa kasihan melihat Tengku Irfan ketika ini. Adakah tumbukannya tadi begitu kuat sehingga membuatkan Tengku Irfan jadi begitu?
“Apa kau cakap? Aku tak dengar,” tanya Tengku Irfan.
Sorry!” ulang Irdina.
“Aku tak dengar,” beritahu Tengku Irfan. Sengaja mengenakan Irdina.
Irdina mengetap bibir. Tengku Irfan memang sengaja.
“Aku tak dengar apa yang kau cakap tadi tu.” Tengku Irfan beriak selamba.
Sorry!” ulang Irdina dalam nada geram.
Tengku Irfan ketawa. Dia segera beredar dari situ. Seronok mempermain-mainkan Irdina. Bukannya sakit mana tumbukan Irdina itu.
“Sebelum dia kenakan aku. Baik aku kenakan dia,” bisik Tengku Irfan sendirian.
Irdina hanya memandang. Dikepalkan tangan menahan kemarahan di hati.
“Oh, sengaja nak main-mainkan aku. Tunggu kau aku kenakan kau nanti,” azam Irdina.
Diekori langkah Tengku Irfan daripada belakang. Tidak sabar untuk mengenakan pemuda itu. Pertanyaan Melisa terngiang-ngiang di minda. Persoalan mengenai tangan kanan Tengku Irfan masih belum dijawab. Perlukah dia mencari jawapan kepada pertanyaannya itu?


“IRSHAD!” tegur Datin Iznaini, lembut.
Irshad tersentak. Dihalakan mata ke wajah yang menegur.
“Chad!” panggil Datin Iznaini lagi.
Irshad tidak mengendahkan kehadiran Datin Iznaini. Dia meneruskan kerjanya.
Datin Iznaini melangkah menghampiri Irshad. Ditenung kasih wajah anaknya itu. Rindu terhadap Irshad mencengkam diri. Agak lama dia tidak berjumpa dengan Irshad.
“Chad sihat?” tanya Datin Iznaini, berbasa basi.
“Datin nak apa datang sini? Saya banyak kerja. Tak ada masa nak layan datin,” balas Irshad bernada serius.
“Ibu rindukan Chad. Lama ibu tak jumpa dengan Chad,” beritahu Datin Iznaini.
“Datin dah tengok saya. So, datin boleh balik sekarang,” kata Irshad seraya memandang ke wajah Datin Iznaini.
Tersentap Datin Iznaini mendengarnya. Kenapa Irshad berkata begitu? Adakah Irshad masih tidak dapat menerima dirinya sebagai ibu? Rasa sebak hadir dalam hati.
“Datin!”
“Ada apa Chad?”
“Saya nak keluar. Ada kerja.”
“Dah masuk tengah hari. Apa kata kita makan dulu?”
“Saya dah lambat.”
Please! Ibu…” Datin Iznaini mematikan ayat. Berharap, Irshad memahami gantungan daripada ayatnya itu.
Irshad mengeluh berat. Hatinya berkira-kira untuk bersetuju dengan pelawaan Datin Iznaini. Matanya memandang wajah tua Datin Iznaini. Agak lama dia tidak berjumpa dengan ibunya. Sedikit sebanyak, perasaan rindu hadir dalam hati. Namun, dibuang jauh-jauh perasaan itu tatkala mengingati perbuatan Datin Iznaini tidak lama dahulu.
“Irshad!” seru Datin Iznaini dalam nada mengharap.
“Baiklah. Tapi….”
“Ibu faham. Ibu faham Chad. Terima kasih!” pintas Datin Iznaini bernada ceria.
Irshad hanya memandang. Wajah ceria Datin Iznaini menyapa mata. Derhakakah dia kerana berbuat begitu terhadap Datin Iznaini? Kenangan lama terpahat kemas di hati. Luka lama masih berdarah. Mustahil luka itu akan sembuh.
“Terima kasih Chad. Ibu gembira sangat,” ucap Datin Iznaini lagi.
Irshad hanya tersenyum. Dibawa langkah keluar dari kedai setelah memberi pesanan kepada pekerjanya. Wajah ceria Datin Iznaini masih menyapa mata. Tidak sampai hati menghampakan pelawaan ibunya itu.
Datin Iznaini masih lagi tersenyum. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur atas persetujuan Irshad. Berdoa agar pintu hati Irshad terbuka untuk menerimanya semula.


“TENGKU Irfan ke mana?” tanya Tengku Iqbal.
“Kata Tengku Irfan tadi, dia nak jumpa dengan Naufal,” beritahu Shila.
Tengku Iqbal mengangguk faham. Wajah Shila, pembantu peribadi Tengku Irfan ditatap mesra. Gadis itu sudah lama bekerja dengannya. Dahulu, gadis itu merupakan pembantu peribadi Tengku Zaharah. Tugasnya menjaga dan memastikan segala keperluan Tengku Zaharah disediakan sebaik mungkin.
Selepas pemergian Tengku Zaharah, Shila diarahkan menjaga Tengku Irfan. Tidak sampai hati untuk memecat Shila kerana gadis itu amanah dalam tugasnya. Shila sekadar menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan di rumah.
Walaupun Tengku Irfan sudah mempunyai pembantu peribadi, dia tetap mahukan pembantu peribadi ketika Tengku Irfan di luar. Bukannya dia tidak boleh mengarahkan orang suruhannya menjadi bodyguard kepada Tengku Irfan.
Atas permintaan Tengku Irfan sendiri untuk tidak mahu mempunyai bodyguard. Maka dari itu dia melantik Irdina Asyikin sebagai pembantu peribadi Tengku Irfan dan cadangannya itu diterima oleh anaknya. Sekurang-kurangnya, kebajikan Tengku Irfan dijaga.
“Tengku nak makan? Kalau nak makan, saya minta Mak Zaiton siapkan makanan,” tanya Shila, berbasa basi. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra.
“Hurm… Tak apalah Shila. Saya dah makan di luar tadi,” tolak Tengku Iqbal, lembut.
Shila mengangguk faham.
“Cuma buatkan saya secawan kopi. Tolong hantar ke bilik bacaan saya nanti,” pinta Tengku Iqbal bernada arahan.
“Baiklah, tengku!” balas Shila lalu beredar dari situ.
Tengku Iqbal turut sama beredar menuju ke bilik bacaan. Kepenatan mulai terasa ketika ini dan minta direhatkan.
Getaran dari arah telefon menyentak Tengku Iqbal buat seketika. Diseluk poket seluar lalu mengeluarkan telefon bimbit. Matanya melihat nama yang tertera di skrin telefon.
“Ada apa Lokman?” tanya Tengku Iqbal sebaik sahaja talian bersambung.
“Saya dah jumpa, tengku. Dia masih berada di sini,” beritahu Lokman.
“Masih di sini?”
“Ya, tengku.”
“Kalau macam tu, awak sediakan laporan dan serahkan pada saya.”
“Baiklah, tengku. Saya akan serahkan kemudian pada tengku.”
“Terima kasih, Lokman.”
“Sama-sama, tengku.”
Tengku Iqbal mematikan talian. Dilabuhkan duduk di kerusi dan melepaskan lelah di situ. Dipejamkan mata sambil otaknya ligat berfikir.
“Tengku Iqbal!” tegur Shila dari arah muka pintu bilik.
Tengku Iqbal tersentak. Dibukakan mata dan wajah Shila menyapa pandangan.
“Airnya tengku,” ujar Shila seraya meletak secawan kopi di atas meja.
“Terima kasih, Shila.”
“Sama-sama, tengku.”
Tengku Iqbal masih lagi tersenyum. Wajah Shila ditatap mesra.
“Sebentar tadi Naufal call cari Tengku Irfan,” lapor Shila, teragak-agak.
Tengku Iqbal sedikit terkejut.
“Saya minta maaf. Memang Tengku Irfan beritahu yang dia nak jumpa dengan Naufal. Tapi bila saya tanya Naufal, Tengku Irfan tak ada bersama dengannya,” beritahu Shila.
“Tengku Irfan bohongi awak, Shila?” Tengku Iqbal sekadar menduga.
“Begitulah tengku,” balas Shila bernada kesal.
So, Tengku Irfan keluar dengan siapa?” soal Tengku Irfan, berkerut dahi.
“Menurut kata Naufal tadi, berkemungkinan Tengku Irfan keluar bersama dengan Irdina Asyikin,” lapor Shila, tenang.
“Irdina Asyikin?” ulang Tengku Iqbal, terkejut.
Shila sekadar mengangguk. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra. Menanti butir bicara yang seterusnya. Adakah Tengku Iqbal akan memarahinya atas kecuaian tersebut?
Selama ini, dia begitu amanah dalam kerja. Tetapi, hari ini amanah itu telah tercalar disebabkan Tengku Irfan. Kenapa Tengku Irfan membohonginya?
“Tak apalah, Shila. Terima kasih kerana memberitahu saya,” ujar Tengku Iqbal.
“Maafkan saya, tengku. Saya tak amanah dalam tugas saya,” kesal Shila lalu menunduk.
It’s okey, Shila. Bukan salah awak. Salah Tengku Irfan,” balas Tengku Iqbal. Menolak kegusaran di hati gadis itu.
Shila masih lagi menunduk. Kesal atas apa yang berlaku.
“Awak boleh keluar sekarang. Terima kasih Shila,” arah Tengku Iqbal, lembut.
“Terima kasih, tengku. Maafkan saya sekali lagi,” ucap Shila dan beredar dari ruangan itu. Nafas lega dilepaskan.
Tengku Iqbal hanya memandang. Dia menggeleng memikirkan tindakan Tengku Irfan. Anaknya itu sudah pandai berbohong. Satu perubahan yang tidak disangka-sangka. Adakah kerana Irdina Asyikin, anaknya itu berbohong?


“ADUH! Kenapa dia bawa aku ke sini? Bukan ke dia kata malam tadi nak main flying fox?” soal Irdina. Matanya meninjau sekeliling kawasan.
Tengku Irfan melangkah di hadapan. Senyuman menghiasi bibir. Sejak dari tadi dia memerhati riak di wajah Irdina. Gadis itu kelihatan risau dan khuatir. Apa yang dirisaukan oleh Irdina? Adakah tentang taruhan mereka berdua?
“Apa dia nak buat kat sini? Takkan nak suruh turun bukit ni kut?” Irdina masih lagi bertanya. Seram sejuk dirasai ketika ini.
“Kita dah sampai!” beritahu Tengku Irfan.
“Kita nak buat apa kat sini? Bukan ke kita nak main flying fox?” tanya Irdina sambil melilaukan mata.
Tengku Irfan tidak membalas. Wajah Irdina menjadi tatapan mata. Memang perancangannya untuk bermain flying fox. Tetapi, dia membatalkan perancangan itu dan membawa Irdina ke bukit.
“Kita nak buat apa kat sini?” Irdina masih lagi bertanya.
“Turun bukit!” Selamba Tengku Irfan menjawab.
“Turun bukit? Tengku ni betul ke tidak? Dah sewel?”
“Apa kau cakap?”
“Sewel! Gila! Faham tak?”
Tengku Irfan menahan kemarahan. Tangan dikepal. Erat!
“Kita nak buat apa kat sini?” soal Irdina buat kali yang ketiga.
“Aku nak kau ambil bunga seri pagi tu untuk aku,” arah Tengku Irfan seraya menunjuk ke arah sekuntum bunga seri pagi di lereng bukit.
Irdina menghalakan mata ke arah yang ditunjuk. Berkerut dahinya memandang bunga itu.
“Kau ambilkan untuk aku.”
“Tengku ni memang gila. Kat kedai bunga tu kan berlambak. Beli sajalah berapa banyak yang tengku nak. Kenapa nak ambil kat sini pulak?”
“Aku tak nak. Aku nak kau ambil untuk aku. Kau sendiri kata yang kau tak takut, kan? So, buktikan pada aku yang kau benar-benar tak takut.”
Irdina mengepal tangan. Sakit hatinya memandang wajah selamba Tengku Irfan. Dihalakan mata ke arah bunga dan melihat ketinggian bukit tersebut. Air liur ditelan beberapa kali. Kelat! Sungguh, dia takut dengan ketinggian. Peristiwa lama bermain-main di tubir mata.
Peristiwa di mana dia terjatuh ketika mengikuti ekspedisi mendaki bukit sewaktu sekolah menengah dahulu. Akibat daripada jatuhan itu, dia mengalami kecederaan di tubuh badan dan patah kaki serta tangan.
Bukan itu sahaja, gurauan rakan sekelas turut menambahkan rasa ketakutan itu. Gurauan yang membuatkan dia hampir terjatuh dari tingkat atas bangunan sekolah. Bermula dari situ, dia takut untuk mendaki bukit serta berada di tempat tinggi.
“Kau takut, kan?” Sinis Tengku Irfan.
Irdina tersentak. Wajah sinis Tengku Irfan menjadi tatapan mata.
“Kalau takut, cakap sajalah takut. Ini tidak, berlagak sombong. Tak sedar diri yang kau tu perempuan,” kutuk Tengku Irfan pula.
“Saya tak takut!”
“Kalau kau tak takut, kenapa muka kau tu pucat dari tadi?”
“Saya… Saya…” Irdina tergagap-gagap.
“Kenapa tergagap-gagap ni, sayang?” Tengku Irfan mengejek.
Irdina tidak membalas. Wajah Tengku Irfan ditatap tajam.
“Pastikan kau petik semua bunga yang ada kat situ. Aku tak nak tertinggal satu pun.”
“Tengku ingat saya ni….”
“Kau pembantu peribadi aku. So, wajib untuk kau mendengar arahan aku.”
“Sekarang ni kita bukan di office!”
“Peduli apa aku!”
Irdina mengepal tangan. Sakit hatinya mendengar kata-kata Tengku Irfan. Ada yang nak kena tolak jatuh ni, geram Irdina dalam hati.
Tanpa membalas, dia melangkah menghampiri lereng bukit. Ditinjau ke bawah buat seketika. Semakin laju air liur yang ditelan. Jantungnya berdegup dengan kencang. Menahan ketakutan yang amat sangat. Perlukah dia memenuhi kehendak Tengku Irfan?
“Apa yang kau tunggukan lagi?” tegur Tengku Irfan seraya memegang bahu Irdina.
Terkejut Irdina dengan sentuhan itu. Secara tidak sengaja dia menolak Tengku Irfan sehingga membuatkan pemuda itu jatuh.
“Tengku!!!” jerit Irdina.

Terima kasih!



2 ulasan:

  1. best cepat sambung tak sabar nak tau apa yg berlaku seterusnya...tq

    BalasPadam
  2. Padan muka. Asyik nak dajalkan orang jek!

    BalasPadam