Jumaat, 23 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 15





“TENGKU IQBAL!” sebut Irdina, bergetar.
Tengku Iqbal tidak membalas. Nafasnya berombak menahan kemarahan di hati. Perasaan terkejut masih lagi bersisa. Terkejut dengan apa yang berlaku terhadap Tengku Irfan ketika ini.
“Saya minta maaf. Semua ni salah saya,” ucap Irdina, kesal.
Tengku Iqbal masih membisu. Tajam matanya ke wajah Irdina yang menunduk.
“Saya tak sangka semua ni akan terjadi,” sambung Irdina masih menunduk.
“Awak tak sangka atau memang awak sengaja nak kenakan Tengku Irfan?” tuduh Tengku Iqbal, sinis.
“Tak… Bukan macam tu. Saya betul-betul tak sengaja,” tukas Irdina seraya mengangkat wajah. Sungguh, dia tidak sengaja menolak Tengku Irfan.
Tengku Iqbal mendengus kasar. Kenyataan Irdina tidak dapat diterima.
“Tengku Iqbal!” panggil seseorang.
Tengku Iqbal menghalakan mata ke arah yang memanggil. Wajah Doktor Daris menyapa mata. Pantas, dia menghampiri Doktor Daris.
“Macam mana, doktor?” tanya Tengku Iqbal tidak sabar.
Irdina turut sama menghampiri Doktor Daris dan Tengku Iqbal. Tidak sabar untuk mengetahui keadaan Tengku Irfan.
“Kita bincang di bilik,” pelawa Doktor Daris.
Tengku Iqbal menghela nafas berat. Anggukan diberikan tanda setuju.
Shall we?” ujar Doktor Daris dan memulakan langkah.
Tengku Iqbal turut sama melangkah. Perasaan risau menujah ke hati. Kenapa dengan Tengku Irfan? Adakah kecederaan yang dialami Tengku Irfan serius? Pelbagai persoalan meniti di minda. Hanya kepada Allah dia berdoa agar tidak ada apa-apa yang terjadi kepada Tengku Irfan.
Irdina hanya memandang. Dia berkira-kira dalam hati. Perlukah dia mengekori Tengku Iqbal dan Doktor Daris? Sekadar untuk mengetahui keadaan Tengku Irfan.
“Irdina!” tegur Naufal, tiba-tiba.


“TENGKU!” panggil Irdina, cemas.
Tengku Irfan memaut di dahan pokok. Dia menoleh ke bawah buat seketika. Curam! Itulah yang dilihat ketika ini. Jika dia tidak diselamatkan, pasti dia akan jatuh ke bawah.
“Tengku pegang tangan saya,” arah Irdina masih cemas.
Perasaan risau menggila di hati. Tidak menyangka tolakannya sebentar tadi telah menyebabkan Tengku Irfan hampir terjatuh ke bawah. Bagaimana untuk menyelamatkan Tengku Irfan ketika ini? Rasa kesal turut menumpang di hati.
“Selamatkan aku!” pinta Tengku Irfan.
Tangan kirinya kuat memegang dahan pokok yang terdapat di situ. Jantungnya mengepam dengan laju.
“Tengku pegang tangan saya,” arah Irdina buat kali yang kedua.
“Macam mana aku nak pegang tangan kau?” marah Tengku Irfan, meninggi.
“Hulur tangan kanan tengku,” beritahu Irdina.
Dihulurkan tangan ke arah Tengku Irfan. Berharap agar dia dapat menyelamatkan Tengku Irfan daripada jatuh ke bawah.
“Tangan kanan aku lumpuh, kau tahu tak?” Lantang Tengku Irfan memberitahunya.
Itulah kenyataan yang sebenar. Tangan kanannya lumpuh dan tidak boleh bergerak.
Tersentap Irdina mendengarnya. Dihalakan mata ke tangan kanan Tengku Irfan. Tangan itu hanya kaku tanpa sebarang tindak balas. Selama ini, dia perasankan keadaan itu. Pernah dia bertanya kepada Naufal, tetapi lelaki itu tidak sempat untuk menjelaskan kepadanya.
“Ya Allah!” ucap Irdina, berbisik.
Sungguh, dia berasa kesal ketika ini. Perkataan ‘cacat’ yang pernah dijolokkan kepada Tengku Irfan tidak lama dahulu meniti di minda. Disebabkan itu, Irshad melancarkan perang selama seminggu. Adakah Irshad menyedari keadaan Tengku Irfan ketika itu?
“Kau menungkan apa lagi tu? Selamatkan aku cepat. Aku dah tak tahan ni,” tegur Tengku Irfan, meninggi. Kekuatannya semakin nipis ketika itu.
Irdina tersentak. Dia segera beredar dari kawasan itu untuk mendapatkan pertolongan. Entah kenapa air mata mengalir keluar dari tubir mata. Kenapa pada waktu dan ketika ini, dia berasa sebak. Adakah keadaan Tengku Irfan membuatkan dia berasa begitu? Atau disebabkan kesalahan serta kesilapan yang telah dilakukan terhadap Tengku Irfan selama ini?


“IRDINA!” tegur Naufal, lembut.
Irdina terkejut. Lamunannya yang panjang mati begitu sahaja. Ditatap wajah Naufal buat seketika. Menanti butir bicara daripada pemuda itu.
“Tak nak masuk?” tanya Naufal, ramah.
“Masuk?” tanya Irdina pula.
“Tengok Tengku Irfan.”
“Tengku Irfan…”
“Dah okey!”
Irdina tidak membalas. Hatinya berkira-kira ketika ini. Perlukah dia turut serta masuk ke dalam? Apa penerimaan Tengku Irfan terhadap dirinya itu? Bagaimana pula dengan reaksi Tengku Iqbal? Perkara apa yang dibincangkan Tengku Iqbal bersama Doktor Daris?
“Irdina!” seru Naufal pula.
“Encik Naufal masuk la dulu. Saya nak ke toilet sekejap,” balas Irdina bernada arahan.
“Hurm… Kalau macam tu, baiklah! Nanti saya beritahu pada Irfan,” putus Naufal.
Irdina hanya tersenyum. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ menuju ke toilet. Perasaan risau menghuni di hati. Hatinya turut berdebar-debar ketika ini.
Naufal hanya memandang. Setelah kelibat Irdina hilang, dia menuju ke bilik rawatan Tengku Irfan. Sejak dari tadi dia memerhatikan riak di wajah Irdina. Gadis itu dilihatnya muram.
Adakah disebabkan Tengku Irfan maka Irdina beriak sebegitu? Apa yang terjadi kepada Tengku Irfan sudah diketahuinya melalui Shila.
“Ayah engku.” Naufal menegur sebaik sahaja masuk ke dalam bilik.
Tengku Iqbal menoleh. Wajah Naufal menyapa mata.
“Macam mana dengan Irfan?” tanya Naufal seraya bersalaman.
“Belum sedarkan diri. Doktor baru lepas bagi ubat kat Irfan,” jawab Tengku Iqbal berserta keluhan ringan. Wajah Tengku Irfan yang sedang tidur ditatap.
Naufal mengangguk faham. Matanya turut memandang wajah Tengku Irfan.
“Irdina ada kat luar tadi. Naufal suruh dia masuk, tapi dia tak nak,” beritahu Naufal kemudian. Lupa akan Irdina di luar.
“Ayah engku amanah pada dia untuk jaga Irfan. Tapi, apa yang dia dah buat?” kata Tengku Iqbal bernada marah.
Sakit hatinya memikirkan dengan apa yang terjadi terhadap Tengku Irfan. Ikutkan hati, mahu dipecat Irdina hari ini juga.
Mujurlah Tengku Irfan tidak mengalami kecederaan apa-apa. Hanya nasihat daripada Doktor Daris yang perlu diambil kira. Nasihat supaya tidak memberi tekanan kepada Tengku Irfan kerana anaknya itu masih dalam proses pemulihan.
“Irdina tak sengaja ayah engku.” Naufal membela.
“Tak sengaja?” Sinis Tengku Iqbal bertanya.
“Maafkan Naufal kalau kata-kata Naufal buatkan ayah engku terasa,” ucap Naufal, kesal.
“Naufal tak salah. Ayah engku mintak maaf juga. Ayah engku ikutkan perasaan. Naufal sendiri tahu macam mana Irfan dahulu. Ayah engku tak nak perkara lama berulang kembali.”
“Naufal tahu ayah engku. Insya-Allah, Irfan tak akan ada apa-apa. Irfan dah banyak berubah. Dulu, Irfan susah nak ketawa dan senyum. Tapi sekarang, reaksi itu yang Naufal selalu nampak. Mungkin disebabkan Irdina, Irfan berubah,” jelas Naufal akan apa yang dilihat selama ini. Perubahan Tengku Irfan selama berkenalan dengan Irdina.
Tengku Iqbal cuba merencana penjelasan Naufal. Mungkin ada benarnya kata-kata Naufal itu. Jika dulu, agak sukar untuk melihat Tengku Irfan tersenyum dan ketawa tetapi tidak sekarang. Tengku Irfan sudah pandai ketawa dan tersenyum.
“Ayah engku!” tegur Naufal, lembut.
Tengku Iqbal tersentak. Dihalakan mata ke wajah Naufal.
“Boleh Naufal panggil Irdina masuk?” tanya Naufal, ramah.
Tengku Iqbal menghela nafas ringan. Hatinya berkira-kira untuk setuju. Perlukah dia membenarkan Irdina berjumpa dengan Tengku Irfan?
“Ayah engku!”
Naufal masih lagi mencuba. Berharap, Tengku Iqbal membenarkan Irdina masuk berjumpa dengan Tengku Irfan.
“Baiklah!” balas Tengku Iqbal, mengalah.


“AIR!” ujar Irshad. Dihulurkan mineral botol kepada Irdina.
Irdina membalas huluran. Diteguk air dari dalam botol.
So?” tanya Irshad pula.
So apa?” soal Irdina kurang faham.
“Tengku Irfan?”
“Kenapa dengan Tengku Irfan?”
“Ya Allah!” sebut Irshad sambil menepuk dahi.
Irdina tersengih. Sengaja mempermain-mainkan Irshad.
“Dina!!!” tegur Irshad, geram.
“Ala… Orang gurau saja. Takkan tak boleh kut?” Irdina masih tersengih.
Dipeluk lengan Irshad dan melentokkan kepala di bahu abangnya itu. Sekadar untuk bermanja dan melepaskan lelah yang membelenggu diri ketika ini.
“Hey… Kenapa ni?” tanya Irshad, lembut.
“Sayang along!” ucap Irdina, tersenyum.
Irshad turut tersenyum. Dibiarkan sahaja kepala Irdina terlentok di bahunya. Adakah Irdina mempunyai masalah ketika ini? Jarang sekali Irdina bertingkah laku sebegini.
“Dina tak sengaja. Dina tak tahu tangan dia lumpuh,” adu Irdina bernada sebak.
Irshad berkerut dahi. Siapa yang dimaksudkan oleh Irdina itu?
“Dina tak sengaja along,” beritahu Irdina lalu teresak kecil.
“Kenapa ni? Along tak faham,” tanya Irshad kurang faham.
Wajah basah adiknya ditatap. Kenapa Irdina menangis? Belum pernah lagi dia melihat Irdina menangis. Apa yang menyebabkan Irdina menangis? Apa yang berlaku sebenarnya?
“Dina tertolak Tengku Irfan,” mulai Irdina masih teresak.
“Tertolak?”
“Dina tak sengaja along. Dina tak tahu pun tangan kanan dia lumpuh. Dina…”
“Syhh… Dah la. Benda dah nak jadi. Nak buat macam mana,” pujuk Irshad, lembut.
Ditarik tubuh Irdina lalu mendakapnya. Diusap belakang Irdina sekadar untuk meredakan esak tangis adiknya itu.
“Tengku Iqbal marahkan Dina,” ujar Irdina pula.
Irshad menghela nafas berat. Otaknya dikerah berfikir. Kenyataan Irdina tentang Tengku Irfan tidak mengejutkan. Dia dapat mengagak yang tangan kanan Tengku Irfan tidak dapat bergerak. Disebabkan itu, dia memaksa Irdina supaya meminta maaf kepada Tengku Irfan tidak lama dahulu.
“Dina lapar. Along ada masak tak?” tanya Irdina sambil meleraikan pelukan.
Tergelak Irshad mendengarnya. Begitulah Irdina setiap kali menghadapi masalah.
“Along!” panggil Irdina.
“Along tak masak. Tadi, along keluar makan dengan datin,” beritahu Irshad, tenang.
“Datin?” Irdina berkerut dahi.
Siapa yang dimaksudkan oleh Irshad itu? Adakah Datin Iznaini, ibu mereka?
“Yalah, datin. Kenapa?” soal Irshad sambil cuba mengawal suara.
“Sejak bila along berbaik dengan ibu? Dina tak tahu pun.”
“Bila masa along baik dengan datin?”
“Eleh… Along tipu. Dina tahu, along dah dapat terima ibu, kan?”
“Mengarut!” tukas Irshad bingkas bangun. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
Irdina ketawa. Dia turut sama bangun dari duduk. Wajah Irshad ditatap kasih.
“Along masak maggie untuk Dina,” ujar Irshad.
“Sayang along!” ucap Irdina seraya memeluk Irshad.
Senyuman diberikan kepada Irshad. Bersyukur kerana mempunyai seorang abang seperti Irshad. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar Irshad dapat menerima Datin Iznaini semula.


“KAU okey?” tanya Naufal sambil menghulur segelas air.
Tengku Irfan bingkas bangun dan bersandar di kepala katil. Huluran dibalas lalu meneguk air dari dalam gelas tersebut.
“Terima kasih!” ucap Tengku Irfan seraya menghulur gelas kosong.
“Sama-sama, Ir,” balas Naufal sambil meletak gelas di atas meja.
“Papa aku mana?” tanya Tengku Irfan tatkala menyedari ketiadaan Tengku Iqbal.
“Papa kau balik sekejap. Ada kerja katanya,” jawab Naufal.
Tengku Irfan mengangguk.
“Kau macam mana? Okey?”
“Aku okey. Tak ada yang perlu kau risaukan.”
“Baguslah kalau dah macam tu. Terkejut juga aku tadi lepas Shila beritahu yang kau nyaris jatuh dari bukit. Kau buat apa kat bukit tu?”
“Saja. Nak hirup udara petang.”
“Hirup udara petang? Aku tak percaya.”
“Kalau kau tak percaya, sudah! Aku tak suruh pun kau percaya.”
“Itulah kau. Suka sangat sembunyikan kenyataan. Tak pasal-pasal, aku pun terbabit sama.”
“Apa yang aku sembunyikan daripada kau?”
“Kenapa kau guna nama aku? Kau tipu Shila yang kau pergi jumpa dengan aku sedangkan kita tak ada pun berjanji nak jumpa,” terang Naufal.
Itulah yang menjadi persoalannya. Kenapa Tengku Irfan mempergunakan namanya untuk membohongi Shila. Adakah Tengku Irfan menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya?
“Ala… Takkan tak boleh kut? Mahal sangat ke nama kau tu?”
“Bukan masalah mahal ke tidak. Masalahnya, kau dah bohongi Shila sama seperti kau bohongi papa kau.”
“Baru sekali kan aku bohong? Takkan itu pun nak jadi kes?” bentak Tengku Irfan tidak berpuas hati. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Sekali tu la yang jadi kes Ir,” beritahu Naufal, menggeleng.
Tengku Irfan tidak membalas. Dihalakan pandangan ke luar jendela. Entah kenapa otaknya memikirkan seseorang. Siapa? Adakah Irdina yang sedang difikirkannya itu?
“Kau buat apa dengan Irdina kat atas bukit tu?” soal Naufal ingin tahu.
Persoalan itu yang sedang berlegar-legar di minda. Apa yang Tengku Irfan dan Irdina buat di atas bukit itu?
“Aku nak kenakan dia. Tapi…”
“Kau yang terkena, kan?”
“Aku tak sangka boleh jadi macam ni. Aku…”
“Irdina mungkin akan dipecat.”
Tengku Irfan terkejut. Dihalakan mata ke wajah Naufal. Mencari kejujuran pada wajah itu. Benarkah Irdina akan dipecat?
“Papa kau anggap Irdina penyebab dengan apa yang terjadi pada kau. Jadi, papa kau nak jumpa dengan Irdina esok dan selesaikan masalah ni,” beritahu Naufal, tenang.
“Dia tak salah. Aku yang bersalah.”
“Papa kau tetap anggap Irdina yang bersalah.”
Tengku Irfan tidak membalas. Apa yang harus dilakukan ketika ini? Perlukah dia berterus-terang kepada Tengku Iqbal perkara yang sebenar?
“Aku nak jumpa dengan dia,” ujar Tengku Irfan, perlahan.
“Dia dah balik. Aku cari juga dia tadi tapi tak ada,” beritahu Naufal, jujur.
Itulah yang berlaku. Selepas mendapat keizinan Tengku Iqbal, dia segera mencari Irdina. Namun, kelibat gadis itu tidak kelihatan. Pasti, gadis itu sudah pulang ke rumah.
Tengku Irfan mengangguk lemah. Hatinya berasa bersalah ketika ini. Adakah kerana Irdina bakal dipecat, maka dia berasa bersalah?
“Kenapa aku risaukan dia?” soal Tengku Irfan kepada dirinya sendiri.

Jumpa minggu hadapan. Terima kasih.



2 ulasan: