Isnin, 26 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 16






IRDINA melilaukan mata melihat sekeliling bilik. Cantik susun atur yang berada di dalam bilik itu. Gambar Tengku Iqbal bersama seorang wanita dan Tengku Irfan menyapa mata. Pasti wanita yang berada di sisi Tengku Iqbal adalah Tengku Zaharah. Isteri kepada Tengku Iqbal.
Selama dia menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan, secara tidak langsung dia mengetahui serba sedikit tentang keluarga itu. Tengku Irfan merupakan anak tunggal kepada pasangan itu.
Irdina menghela nafas ringan. Selama seminggu dia diarahkan cuti disebabkan peristiwa yang berlaku terhadap Tengku Irfan. Dan hari ini, dia dipanggil oleh Tengku Iqbal ke rumah. Menanti hukuman serta keputusan daripada Tengku Iqbal. Sudah tentulah dia akan dipecat atas apa yang berlaku terhadap Tengku Irfan.
“Jemput minum Cik Irdina,” pelawa Mak Zaiton, tiba-tiba.
Irdina terkejut. Dia menoleh dan wajah seorang wanita tua menyapa mata.
“Sekejap lagi Tengku Iqbal datang,” beritahu Mak Zaiton pula.
“Err… Terima kasih puan,” ucap Irdina, ramah.
“Panggil mak cik saja. Tak perlulah ber ‘puan’ dengan mak cik,” tegur Mak Zaiton, lembut. Senyuman diberikan kepada Irdina.
“Baiklah!” balas Irdina turut sama tersenyum.
Mak Zaiton segera beredar dari situ. Sempat dia memandang wajah Irdina. Cantik dan manis gadis itu. Adakah Irdina yang dimaksudkan oleh Shila beberapa hari yang lepas?
Irdina mencapai gelas minuman. Dia meneguk air dari dalam gelas itu. Tekak yang terasa kering, sudah pun dibasahkan.
“Masaklah aku hari ni,” keluh Irdina sendirian.
Perasaan risau hadir dengan tiba-tiba. Adakah dia akan dipecat seperti yang dikhabarkan oleh Tengku Iqbal seminggu yang lalu?
Deheman seseorang mengejutkan Irdina. Dia segera menoleh dan wajah Tengku Iqbal menyapa mata.
“Duduk!” arah Tengku Iqbal bernada serius.
Irdina melabuhkan duduk. Berdebar-debar ketika ini.
“Awak tahu kesalahan awak, Irdina Asyikin?” tanya Tengku Iqbal.
“Saya akui kesalahan saya, tengku,” balas Irdina, jujur.
“Awak cuai dalam kerja awak. Saya akan pecat awak atas kecuaian awak ni.”
“Pecat? Tolong jangan pecat saya, tengku. Saya janji saya takkan cuai lagi.”
“Apa jaminan awak yang awak takkan cuai lagi?”
Irdina terkedu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Tengku Iqbal?
“Apa jaminan awak, Irdina?” tanya Tengku Iqbal buat kali yang kedua.
“Saya tak boleh nak bagi jaminan apa-apa. Saya janji yang saya akan jalankan tugas saya sebaik mungkin.”
“Itu yang awak janjikan dulu, Irdina.”
“Kalau saya cuai lagi, tengku boleh pecat saya.”
“Begitu mudah awak berkata-kata Irdina. Siapa yang alami semua tu? Tengku Irfan!”
Irdina tidak membalas. Wajah serius Tengku Iqbal menjadi tatapan mata.
“Saya sayangkan Tengku Irfan melebihi nyawa saya sendiri. Kalau apa-apa terjadi pada Tengku Irfan, saya tak akan teragak-agak untuk ambil tindakan pada orang yang menganiaya Tengku Irfan,” jelas Tengku Iqbal bernada tegas.
Irdina masih lagi mendengar. Tidak berniat untuk membalas.
“Saya tak akan pecat awak, Irdina. Masih banyak perkara yang belum selesai,” kata Tengku Iqbal bingkas bangun.
Dia melangkah menuju ke sebuah rak. Mencari sebuah sampul surat di situ. Setelah berjumpa, dihampiri Irdina di kerusi.
“Maknanya, saya tak dipecat?” tanya Irdina ingin tahu.
Tengku Iqbal hanya tersenyum. Wajah ceria gadis itu menyapa mata.
“Terima kasih, tengku. Saya janji akan jalankan tugas sebaik mungkin,” kata Irdina bernada ceria. Senyuman terukir di bibir.
“Dengan syarat!” sebut Tengku Iqbal.
“Syarat? Syarat apa?” soal Irdina, berkerut dahi.


“PAPA mana, Kak Shila?” tanya Tengku Irfan.
“Ada di bilik, tengku,” jawab Shila, ramah.
“Kalau macam tu, Ir ke bilik papa. Ada perkara nak bincang dengan papa,” beritahu Tengku Irfan dan memulakan langkah.
“Tengku Irfan!” tahan Shila.
Tengku Irfan mematikan langkah. Berkerut dahinya memandang wajah Shila.
“Tengku Iqbal ada tetamu sekarang.”
“Tetamu? Siapa?”
“Irdina Asyikin!”
Tengku Irfan terkejut. Irdina Asyikin? Kenapa Irdina berjumpa dengan Tengku Iqbal? Adakah kerana peristiwa seminggu yang lepas atau Tengku Iqbal ingin memecat Irdina?
“Dah lama ke Irdina datang?”
“Ada dalam sejam, tengku.”
“Sejam?”
Shila mengangguk dan tersenyum.
“Kalau macam tu, Ir tunggu kat ruang tamu. Nanti kalau Irdina keluar, Kak Shila beritahu pada Ir,” kata Tengku Irfan bernada arahan.
“Baiklah!” sahut Shila, mengangguk.
Tengku Irfan segera beredar dari situ. Otaknya sedang ligat berfikir. Adakah Tengku Iqbal akan memecat Irdina? Sungguh, dia tidak mahu Irdina dipecat. Dia masih memerlukan Irdina sebagai pembantu peribadinya.
“Irfan!” tegur Tengku Iqbal, tiba-tiba.
Tengku Irfan tersentak. Dihalakan mata ke arah Tengku Iqbal.
“Ir tak keluar hari ni?” tanya Tengku Iqbal, berbasa basi.
“Tak papa. Ir nak duduk rumah saja hari ni,” jawab Tengku Irfan, tersenyum.
Matanya melilau mencari kelibat Irdina. Bukan ke Kak Shila kata Irdina jumpa dengan papa? Mana Irdina? Tak nampak pun? Bisik Tengku Irfan dalam hati.
Tengku Iqbal memerhati tingkah laku Tengku Irfan. Adakah Irdina yang sedang dicari oleh anaknya itu?
“Papa, bukan ke….”
“Irdina baru saja balik,” pintas Tengku Iqbal.
Tengku Irfan mengangguk. Tanpa berlengah, dia beredar dari situ. Mungkin dia dapat mengejar Irdina sebelum gadis itu keluar dari kawasan rumah.
Tengku Iqbal hanya memandang. Pasti, Tengku Irfan hendak berjumpa dengan Irdina. Dia melangkah menuju ke bilik semula. Menyambung tugas yang tertangguh disebabkan kehadiran Irdina.


“IRDINA!” panggil Tengku Irfan.
Irdina mematikan langkah. Ditoleh ke belakang buat seketika. Tengku Irfan sedang melangkah menghampirinya.
“Kau dah nak balik ke?” tanya Tengku Irfan setibanya di hadapan Irdina.
“A’ah!” balas Irdina, sepatah.
“Kau dah minum?”
“Dah!”
“Kau okey ke?”
“Saya okey, tengku. Kenapa?”
“Aku tengok muka kau macam tak okey saja. Macam orang lepas menangis pun ada.”
Irdina tersentak. Digagau beg sandang mencari cermin. Setelah berjumpa, diperhatikan wajah sendiri di dalam cermin itu. Matanya merah seperti baru lepas menangis.
“Kau menangis ke? Papa aku cakap apa dengan kau? Dia pecat kau?” tanya Tengku Irfan ingin tahu. Wajah Irdina masih menjadi tatapan mata.
“Mata saya masuk habuk, tengku,” dalih Irdina seraya menyimpan cermin ke dalam beg.
Tengku Irfan masih lagi memandang. Kata-kata Irdina sukar untuk dipercayai. Dia yakin dengan kata-katanya tadi. Irdina seperti baru lepas menangis.
“Saya balik dulu, tengku,” ujar Irdina, ramah.
Tanpa menunggu, dibawa motor keluar dari kawasan halaman rumah Tengku Irfan.
“Nanti dulu!” tahan Tengku Irfan.
Irdina menghentikan langkah. Dia mengeluh buat seketika.
“Ikut aku!” arah Tengku Irfan seraya menarik tangan Irdina.
Tersentak Irdina dengan tingkah laku Tengku Irfan. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia mengekori Tengku Irfan. Ke mana Tengku Irfan ingin membawanya pergi?


“KENAPA dengan anak ibu ni? Dari tadi asyik termenung saja,” tegur Datin Iznaini dari muka pintu bilik. Dia menapak masuk ke dalam bilik.
Irdina terkejut. Dihalakan mata ke arah Datin Iznaini.
“Dina ke sini along tahu tak?” tanya Datin Iznaini sambil duduk.
“Tahu ibu,” jawab Irdina, tersenyum.
“Along tak marah?”
“Marah! Tapi, Dina pujuk along tadi.”
Datin Iznaini mengangguk faham. Sudah tentulah Irshad tidak membenarkan Irdina ke rumahnya. Sejak dari dulu lagi, Irdina datang ke rumahnya tanpa pengetahuan Irshad.
“Ibu janganlah fikirkan sangat tentang along. Nanti ibu sakit,” tegur Irdina, lembut.
“Ibu faham, Dina. Setiap hari ibu berdoa agar along dapat terima ibu semula,” balas Datin Iznaini bernada sebak.
Irdina menghampiri Datin Iznaini. Tubuh tua wanita itu didakap lembut.
“Dina sayangkan ibu.”
“Ibu pun sayangkan Dina.”
Irdina meleraikan pelukan. Wajah tua ibunya ditatap kasih.
“Ibu masuk bilik dulu. Jangan tidur lewat sangat,” ujar Datin Iznaini bingkas bangun.
“Baiklah ibu,” balas Irdina, tersenyum.
Datin Iznaini turut sama tersenyum. Setelah memberi kucupan di dahi Irdina, dia beredar dari bilik itu. Wajah anaknya ditatap buat seketika. Seperti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Irdina ketika ini. Perlukah dia bertanya kepada Irdina?
Irdina mengeluh berat sebaik sahaja kelibat Datin Iznaini menghilang. Dibaringkan tubuh dan memejamkan mata buat seketika. Pertemuannya dengan Tengku Irfan bermain di tubir mata.
“Saya mintak maaf atas apa yang berlaku seminggu yang lalu,” ujar Irdina, perlahan.
Tengku Irfan tidak membalas.
“Saya mengaku bersalah. Saya memang berniat nak tolak tengku dari atas bukit tu. Tapi, tak sangka perkara tu betul-betul terjadi,” jelas Irdina pula.
Tengku Irfan hanya mendengar.
“Saya tak tahu tangan tengku lumpuh. Kalau saya tahu, saya takkan kata atau ejek tengku hari tu. Memang patut along marahkan saya. Saya panggil tengku cacat,” sambung Irdina lagi.
Rasa kesal menujah ke dalam hati. Kesal atas apa yang berlaku. Kata-katanya hari itu telah membuatkan Tengku Irfan terasa hati.
Tengku Irfan masih lagi mendengar. Wajah Irdina ditatap buat seketika. Riak sedih terlukis di wajah itu. Kenapa Irdina beriak begitu? Adakah Irdina dipecat?
“Saya….”
“Papa aku pecat kau?” pintas Tengku Irfan, laju.
Malas untuk mendengar bebelan Irdina tentang peristiwa lalu. Apa yang menjadi perkara utama, adakah Tengku Iqbal memecat Irdina?
Irdina hanya membisu. Dia menunduk memandang kaki sendiri.
“Tengku Iqbal pecat kau?” Tengku Irfan bertanya buat kali yang kedua.
“Tak! Saya tak dipecat,” balas Irdina sambil menggeleng.
“Kau tak tipu aku?”
“Tak!”
“Habis tu, kenapa mata kau merah?”
“Mata saya masuk habuk.”
“Kau tak tipu aku?”
“Saya dah lambat. Saya mintak diri dulu,” ujar Irdina seraya bangun.
Tanpa menunggu balasan, dia melangkah beredar dari situ. Sesak nafasnya berhadapan dengan Tengku Irfan. Kata-kata Tengku Iqbal bermain-main di minda ketika ini.
Getaran telefon menyentak lamunan panjang Irdina. Dicapai telefon bimbit dan menatap nama di skrin telefon.
“Aku kat rumah ibu,” beritahu Irdina sebaik sahaja salam bersambut.
“Rumah ibu? Along tak marah ke?” tanya Melisa sedikit terkejut.
“Marah! Tapi, aku buat bodoh saja,” jawab Irdina seraya bangun daripada pembaringan.
Melisa ketawa mendengarnya. Kepala menggeleng kecil.
“Kau kat mana?”
“Kat rumah. Baru balik dari kenduri.”
“Oh!”
“Macam mana dengan perjumpaan kau siang tadi?” tanya Melisa, prihatin.
Apa yang berlaku terhadap Irdina sudah pun diketahuinya. Rasa kasihan terhadap Irdina menumpang di hati. Khuatir Irdina akan dipecat gara-gara peristiwa itu. Mujurlah Tengku Irfan tidak mengalami kecederaan teruk. Jika tidak, sudah tentulah Irdina akan dimarahi.
“Okey saja. Tak ada masalah apa-apa.”
“Aku rasa tak okey.”
“Apa yang tak okey?”
“Kau!”
Irdina menelan liur sendiri. Kelat! Melisa bijak menduga hati dan perasaannya. Sudah lama mereka berdua berkawan. Segala tingkah laku serta perlakuan sudah dapat diduga dan dibaca.
“Aku okey. Kau  janganlah risau.”
“Selama-lamanya aku akan risau. Kau ada masalah, kan?”
“Masalah? Mana ada. Mengarut betullah kau ni, Mel.”
“Aku tak mengarut. Along call aku tadi. Dia beritahu aku keadaan kau selepas kau balik dari berjumpa dengan Tengku Iqbal.”
“Along beritahu kau apa?”
“Dia perasan mata kau merah. Macam orang lepas menangis. Kau menangis ke, Dina? Kau menangis sebab apa? Betulkan Tengku Iqbal pecat kau?”
Irdina menghela nafas berat. Perlukah dia berterus-terang kepada Melisa perkara yang sebenar? Apa tanggapan Melisa nanti?
“Dina!” panggil Melisa dari hujung talian.
“Aku mengantuk Mel. Lain kalilah kita bercerita,” beritahu Irdina lalu mematikan talian.
“Dina! Irdina!” panggil Melisa dari hujung talian.
Namun, Irdina sudah pun mematikan talian. Apa yang tidak kena dengan Irdina ketika ini? Apa yang terjadi kepada Irdina? Adakah Irdina mempunyai masalah?
Irdina memandang siling bilik. Otaknya sedang ligat berfikir. Apa yang difikirkannya, dia sendiri tidak pasti. Adakah pertemuannya dengan Tengku Iqbal dan Tengku Irfan yang sedang difikirkannya itu? Atau masalah lain yang mulai menghimpit diri?
“Apa yang harus aku lakukan? Perlukah aku penuhi syarat-syarat itu?” soal Irdina kepada diri sendiri berserta keluhan untuk kesekian kali.
Tanpa memikirkan apa-apa lagi, dia memejamkan mata. Cuba untuk menidurkan diri sendiri. Berharap, tidur malamnya itu seperti malam-malam sebelum ini. Semoga masalah yang dihadapi dapat diselesaikan secepat mungkin.



1 ulasan:

  1. apakah syarat2nya sampai irdina menangis? nak lg.

    BalasPadam