Rabu, 28 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 18






IRDINA menongkat dagu. Matanya terpahat ke kalendar di atas meja. Otaknya sedang ligat berfikir. Adakah tentang kerja yang difikirkannya itu?
Hampir dua bulan dia menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan. Selama itu juga, banyak perkara yang diketahuinya mengenai Tengku Irfan. Sikap dan perangai Tengku Irfan sudah sebati dalam diri.
Irdina mengeluh berat. Dia mencapai pen dan menanda sesuatu di kalendar itu. Masih berbaki dua bulan setengah sebelum tarikh lahirnya. Kata-kata janji di hadapan Irshad terngiang-ngiang di minda. Pen di tangan diputar-putarkan. Dia perlu memikirkan tindakan seterusnya.
“Irdina!” tegur Fatimah, tiba-tiba.
Tersentak Irdina mendengarnya. Diusap dadanya yang berombak kencang.
“Maaf Dina, akak tak sengaja,” kesal Fatimah.
“Tak apa kak,” balas Irdina masih mengusap dada.
Fatimah duduk di hadapan Irdina. Wajah gadis itu ditatap mesra.
“Ada apa kak Fatty?” tanya Irdina sebaik sahaja reda.
“Tengku Irfan panggil Dina,” jawab Fatimah.
“Panggil? Kenapa?”
“Entahlah Dina. Akak pun tak tahu.”
“Mesti dia nak suruh Dina ikut dia la ni.”
“Mungkinlah!”
Irdina menghela nafas ringan. Senyuman diberikan kepada Fatimah.
“Semenjak dua menjak ni, akak tengok Tengku Irfan tu macam ada masalah saja. Dina tahu ke apa masalah tengku?”
“Hai kak prihatin betul.”
“Akak kan setiausaha dia. Mestilah akak dapat trace perubahan dia. Sepatutnya Dina yang lebih prihatin daripada akak. Dina kan pembantu dia. Mesti sedar perubahan dia.”
“Entahlah kak. Dina pun tak perasan. Bagi Dina, sama saja. Tak ada bezanya tengku yang dulu dengan tengku yang sekarang.”
“Mungkin juga. Perasaan akak saja kut.”
“Dina pergi jumpa dia dulu. Nanti mengamuk pulak,” ujar Irdina bingkas bangun.
Fatimah turut sama bangun. Matanya memandang pemergian Irdina. Setelah itu, dia melangkah menuju ke meja kerja. Menyambung tugas yang tertangguh sejak dari tadi.


“KALAU Encik Razman ada apa-apa masalah beritahu pada saya,” beritahu Tengku Irfan.
“Baiklah, tengku. Saya akan pantau kilang kita di sana nanti,” balas Encik Razman.
“Terima kasih, Encik Razman. Kalau encik tak ada, susah juga saya nak uruskan Suria.”
“Perkara kecil saja tengku. Lagipun Tengku Iqbal dah arahkan saya untuk beri tunjuk ajar pada tengku tentang Suria.”
Tengku Irfan mengangguk perlahan. Senyuman diberikan kepada Encik Razman.
“Macam mana dengan kerja Irdina Asyikin, tengku?” tanya Encik Razman ingin tahu.
“Irdina Asyikin?” Tengku Irfan berkerut dahi.
Encik Razman hanya mengangguk.
Tengku Irfan bersandar ke kerusi. Dia berkira-kira di dalam hati. Perlukah dia berterus-terang tentang Irdina?
“Kalau Irdina bagi masalah pada tengku, tengku beritahu pada saya. Saya akan cuba nasihatkan Irdina.”
“Buat masa sekarang ni, dia tak mendatangkan masalah pada saya. Cuma…”
“Cuma apa, tengku?”
“Kadang-kadang saya rasa dia tu comel dan kelakar,” puji Tengku Irfan, spontan.
Encik Razman sedikit terkejut. Adakah Tengku Irfan memuji Irdina ketika ini?
“Comel dan kelakar?” ulang Encik Razman kemudian.
“Eh… Tak. Maksud saya, kadang-kadang saya tengok dia tu kalut.” Tengku Irfan membetulkan ayat. Rasa malu dengan kata-katanya sebentar tadi.
“Oh! Saya ingatkan apa tadi,” sahut Encik Razman lalu mengangguk.
Tengku Irfan tersenyum kelat. Bagaimana dia boleh tersasul sebentar tadi?
“Kalau macam tu, saya mintak diri dulu. Saya akan serahkan laporan kepada tengku kemudian,” kata Encik Razman bingkas bangun dari duduk.
“Baiklah, Encik Razman. Terima kasih!” ucap Tengku Irfan turut sama bangun.
Encik Razman hanya mengangguk. Setelah itu, dia beredar dari ruangan itu menuju ke bilik. Nafas lega dilepaskan.
“Hai tengku!” sapa Irdina dari muka pintu bilik.
Tersentak Tengku Irfan mendengarnya. Dihalakan mata ke arah muka pintu bilik.
“Tengku panggil saya ke?” tanya Irdina seraya menghampiri meja kerja Tengku Irfan.
Tengku Irfan melabuhkan duduk. Disandarkan tubuh ke kerusi dan memandang ke arah Irdina. Senyuman gadis itu menyapa mata.
“Tengku panggil saya kenapa?” soal Irdina buat kali yang kedua.
Dia segera duduk di kerusi dan memandang ke wajah Tengku Irfan. Menanti jawapan daripada bosnya itu.
“Kau ada kerja ke tidak?”
“Kerja? Banyak kerja saya. Kenapa tengku?”
“Aku nak kau ikut aku ke satu tempat.”
“Satu tempat saja? Bukan dua atau tiga tempat?”
“Maksud kau?”
“Yalah! Tengku selalu cakap macam tu. Nak ke satu tempat. Tapi, yang perginya bertempat-tempat,” jelas Irdina lalu tersengih.
“Kau ni sekarang banyak bunyi betul. Ikut sajalah arahan aku,” tegur Tengku Irfan, keras.
“Selama ini saya tak ikut arahan tengku ke?” soal Irdina pula. Sekadar menduga perasaan Tengku Irfan. Senyuman menghiasi bibir.
“Kau…” Tengku Irfan termati kata-kata.
So, kita nak ke mana?” soal Irdina tidak sabar.
Tengku Irfan tidak membalas. Matanya memandang wajah ceria Irdina. Seperti orang yang tidak mempunyai perasaan sahaja.


“BAGUS! Ini yang saya inginkan,” beritahu Tengku Iqbal lalu tersenyum.
“Alhamdulillah tengku. Kita berjaya dapatkan lot tanah tu,” kata Encik Ghafar turut sama tersenyum. Wajah Tengku Iqbal ditatap mesra.
“Terima kasih Ghafar. Awak banyak tolong saya.”
“Saya hanya menjalankan tugas, tengku.”
“Awak banyak berjasa pada saya. Kalau awak tak ada, susah saya nak dapatkan projek,” jelas Tengku Iqbal berserta kata pujian.
“Alhamdulillah kalau kerja saya memuaskan di hati tengku,” balas Encik Ghafar.
“Saya ucapkan terima kasih, Ghafar.”
“Sama-sama, tengku.”
Tengku Iqbal hanya tersenyum.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya mintak diri dulu,” ujar Encik Ghafar bingkas bangun.
Tengku Iqbal turut sama bangun. Matanya menghantar pemergian Encik Ghafar. Seminit kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Dicapai telefon bimbit dari atas meja dan melihat nama di skrin. Nama Lokman tertera di skrin itu.
“Macam mana?” tanya Tengku Iqbal sebaik sahaja talian bersambung.
“Saya dah tahu di mana dia tinggal. So, saya tunggu arahan daripada tengku,” beritahu Lokman dari hujung talian.
“Bagus Lokman. Awak tunggu arahan saya yang seterusnya. Saya akan text awak dalam beberapa hari lagi.”
“Baiklah tengku. Saya tunggu text daripada tengku.”
“Lagi satu, saya nak awak sediakan sesuatu untuk saya.”
“Apa dia, tengku?”
“Saya akan beritahu awak kemudian. Awak tunggu text daripada saya.”
“Baiklah tengku. Saya letak dulu.”
Tengku Iqbal hanya mengangguk. Dimatikan talian dan bersandar ke kerusi.
“Kau penyebab segala yang berlaku pada Irfan. Aku nak kau bayar balik kedukaan Irfan selama dua tahun ni,” kata Tengku Iqbal kepada dirinya sendiri.
Jemarinya mengetuk meja buat seketika. Telefon bimbit dicapai dan menghantar mesej kepada Lokman. Setelah itu, senyuman puas terbias di wajah.
“Hanya tunggu masa untuk aku bongkarkan segala-galanya,” sambung Tengku Iqbal lagi.


“FOKUS Dina. Kau kena lakukan. Kalau kau tak lakukan, macam mana kau nak settlekan masalah kau ni?” kata Irdina kepada dirinya sendiri.
Langkahnya mengekori langkah Tengku Irfan. Entah ke mana Tengku Irfan ingin pergi, dia sendiri tidak pasti.
“Aku kena rancang betul-betul,” sambung Irdina lagi.
“Kau ni membebel seorang-seorang kenapa?” tegur Tengku Irfan, serius.
“Oh mak kau jatuh tergolek!” Irdina melatah.
Tengku Irfan yang melihat ketawa. Geli hati melihat tingkah laku Irdina.
“Tengku ni kenapa? Tegur orang tak bagi salam kenapa?” marah Irdina sambil mengurut dada. Sesak nafasnya ketika ini.
“Aku pulak yang salah? Dah kau tu termenung, membebel seorang-seorang, nak salahkan aku?” geram Tengku Irfan pula.
Irdina tidak membalas. Tajam matanya ke wajah Tengku Irfan.
“Kau bebelkan apa?” tanya Tengku Irfan, berminat.
“Bukan bebel tapi kutuk. Saya kutuk Tengku Irfan Haiqarl Bin Tengku Iqbal.” Selamba Irdina menjawab. Dia berpeluk tubuh sambil tersenyum.
“Apa kau cakap?” soal Tengku Irfan bernada keras.
“Kita nak ke mana tengku?”
Malas untuk melayan karenah Tengku Irfan. Sudah lama dia mengekori Tengku Irfan. Namun, tempat yang dituju tidak kunjung tiba.
“Kau ni sekarang dah pandai nak melawan. Aku ni bos kau. Sedar sikit!”
“Saya sedar Tengku Irfan bos saya. So, sekarang ni kita nak ke mana?”
“Aku nak melawat kilang.”
“Haa.. Boleh pun jawab. Dari tadi asyik kata nak ke satu tempat. Nak ke satu tempat. Kan mudah cakap nak ke kilang,” balas Irdina bernada kritikan.
Tengku Irfan yang mendengar mengepal tangan. Sakit hatinya mendengar kata-kata kritikan Irdina. Tanpa membalas, dia menyambung langkah masuk ke kawasan kilang.
Irdina mengekori daripada belakang. Keluhan berat terlepas daripada bibir.


“KAU rasa tangan tengku tu cacat ke?” bisik seorang pekerja bernama Juriah ke telinga Fazlin.
“Mungkin kut. Dari tadi aku tengok tangan tengku tu tak bergerak pun,” balas Fazlin turut sama berbisik.
“Sayangnya. Muka handsome tapi cacat,” kata Juriah pula.
Irdina yang mendengar menghalakan mata ke arah Juriah dan Fazlin. Wajah kedua-dua pekerja itu dipandang tajam.
“A’ah kan. Muka handsome. Pakej ada. Tapi cacat,” sokong Fazlin lalu mengangguk.
“Apa masalah kau orang berdua?” tegur Irdina bernada keras.
Mereka yang berada di ruangan pejabat itu terkejut. Masing-masing menghalakan mata ke arah Irdina, Juriah dan Fazlin.
“Kau orang berdua cakap apa tadi?” soal Irdina, serius.
“Irdina, kenapa ni?” tegur Tengku Irfan. Kurang senang melihat tingkah laku Irdina.
“Kau orang berdua cakap apa tadi?” Irdina bertanya buat kali yang kedua.
“Mana ada kami cakap apa-apa,” tukas Juriah, bergetar.
Kecut perutnya melihat wajah tegang Irdina. Adakah perbualan mereka berdua sebentar tadi didengari oleh Irdina?
“Kau ingat aku tak dengar apa yang kau orang berdua cakapkan tadi? Aku tak pekak lagi la,” balas Irdina sedikit meninggi.
“Irdina, apa masalah awak ni?” Tengku Irfan menegur. Wajah tegang Irdina menyapa mata. Apa yang berlaku kepada Irdina?
“Tengku tanya pada dua orang minah ni. Apa yang dia orang cakap tadi?” beritahu Irdina berserta dengusan kasar. Wajah Juriah dan Fazlin ditatap tajam.
Tengku Irfan menghalakan mata ke arah Juriah dan Fazlin. Menanti butir bicara daripada kedua-dua pekerja itu.
“Kami tak cakap apa-apa tengku,” beritahu Juriah sedikit gugup.
“Betul tengku. Kami tak cakap apa-apa pun,” sokong Fazlin pula.
“Hey… Kau orang jangan nak menipu la,” tegur Irdina sedikit meninggi.
“Irdina Asyikin! Jaga batasan awak! Siapa awak nak memarahi mereka?” Lantang Tengku Irfan menegur. Kurang senang dengan tingkah laku Irdina.
Irdina tersentap. Dihalakan mata ke wajah tegang Tengku Irfan. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Tidak menyangka Tengku Irfan sanggup menegurnya sebegitu. Rasa sebu di hati hadir dengan tiba-tiba.
“Kamu semua boleh sambung kerja. Terima kasih!” arah Tengku Irfan bernada tegas.
Mereka yang berada di situ hanya mengangguk. Masing-masing menuju ke tempat kerja dan menyambung tugas.
“Tengku nak melawat kilang?” tanya Encik Johan selaku pengurus di kilang itu.
“Tak apalah. Lain kali saja,” balas Tengku Irfan.
“Kalau macam tu, saya mintak staf serahkan laporan kewangan dan prestasi kilang pada tengku. Jemput ke bilik mesyuarat tengku,” beritahu Encik Johan, ramah.
Tengku Irfan mengangguk. Dia melangkah menuju ke bilik mesyuarat. Hatinya tertanya-tanya. Ke mana Irdina pergi?
“Maafkan pekerja-pekerja saya tengku. Mungkin ada perkara yang membuatkan Cik Irdina bertingkah laku seperti tadi,” ujar Encik Johan, lembut.
Bukannya dia tidak kenal dengan sikap dan perangai Juriah dan Fazlin. Kedua-dua pekerjanya itu suka mendatangkan masalah. Mulut tidak ada insuran. Pasti ada perkara yang mereka berdua katakan sehingga menimbulkan kemarahan Irdina.
Tengku Irfan tidak membalas. Hanya senyuman yang diberikan kepada Encik Johan. Cuba untuk berlagak tenang walaupun pada hakikatnya dia turut berasa marah dengan apa yang diperkatakan oleh kedua-dua orang staf itu.
Cacat! Perkataan itu terngiang-ngiang di minda ketika ini. Walaupun sekadar berbisik tetapi masih dapat singgah di pendengarannya. Demi menjaga reputasi, dia menegur Irdina. Sekadar menutup rasa di hati.
“Tengku duduk dulu. Nanti saya mintak staf bawakan fail ke sini,” pelawa Encik Johan.
“Baiklah! Terima kasih Encik Johan!” ucap Tengku Irfan, tersenyum.
Encik Johan mengangguk dan beredar dari bilik mesyuarat itu. Dia perlu melaporkan keadaan kilang kepada Tengku Irfan. Seperti yang diberitahu sebelum ini, pada setiap bulan Tengku Irfan akan datang melawat kilang.
Disebabkan kerugian yang dihadapi oleh kilang, Suria Holdings telah membeli kilang itu. Kini, segala hal tentang kilang akan dilaporkan kepada Tengku Irfan.
Tengku Irfan duduk di kerusi. Dikerling jam di pergelangan tangan buat seketika. Sudah hampir tiga puluh minit Irdina keluar. Ke mana Irdina pergi?
Lantas, telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket seluar. Nombor Irdina didail, namun tidak dijawab. Berkali-kali dia mencuba tetap sama. Irdina tidak menjawab panggilan telefonnya. Adakah Irdina merajuk dengan kemarahannya tadi?


Terima kasih.


2 ulasan:

  1. Cerita ni super best, tak sabar nak tahu apa berlaku next entry. Karya kak memang membawa banyak emosi,.saya suka sangat. Good jod :)

    BalasPadam