Jumaat, 30 Januari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 19






“HAISSHHH!!! Sakit hati aku ni. Tengku poyo tu pun satu. Yang pergi marah aku tu, kenapa? Marahlah dua orang minah sewel tu,” luah Irdina bernada geram.
Dikepalkan tangan menahan kemarahan di hati. Ikutkan hatinya tadi, mahu ditampar kedua-dua muka itu. Berani sungguh mengutuk dan menghina Tengku Irfan.
“Aduh! Kenapa sakit sangat hati aku ni?” kata Irdina kepada dirinya sendiri.
Dipukul lembut dadanya sendiri. Sekadar meredakan hatinya yang sedang marah.
“Kenapa dengan aku ni? Apasal aku marah sangat ni?” geram Irdina.
Nafas berat dilepaskan. Kenapa dia berperasaan begitu?
“Yalah! Dia orang terang-terangan kutuk. Takkan aku nak berdiam diri saja?” kata Irdina lagi. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Marah nampak!” tegur Tengku Irfan, tiba-tiba.
Terkejut Irdina mendengarnya. Hampir dia terjatuh dari bangku yang didudukinya itu.
“Irdina!” panggil Tengku Irfan seraya menarik Irdina daripada terjatuh.
Tidak menyangka tegurannya itu telah mengejutkan Irdina sehingga membuatkan gadis itu hampir terjatuh daripada bangku.
“Tengku ni kenapa? Nak tegur pun janganlah pakai tegur saja,” marah Irdina sedikit meninggi. Tajam matanya ke wajah Tengku Irfan.
“Aku tak sengaja,” balas Tengku Irfan.
Irdina tidak membalas. Wajah Tengku Irfan masih dipandang tajam. Hanya riak tenang yang terlukis di wajah itu.
“Aku tak sengaja. Kau ni, takkan itu pun nak marah?” kata Tengku Irfan bernada pujukan. Tangan Irdina ditarik lembut. Mengarahkan supaya gadis itu duduk.
Irdina mendengus kasar. Semakin sakit hatinya melihat tingkah laku Tengku Irfan.
“Maafkan aku!” ucap Tengku Irfan, lembut.
Irdina menghalakan mata ke wajah Tengku Irfan.
“Muka handsome tapi cacat. Itu yang mereka kata tentang aku, kan?” ujar Tengku Irfan.
Irdina tersentak.
“Aku dengar apa yang mereka katakan tentang aku dan aku mintak maaf sebab marahkan kau.”
“Saya…”
“Aku faham dan aku berterima kasih pada kau. Tapi, itulah kenyataannya. Aku cacat!”
“Tak! Tengku tak cacat.”
“Tangan aku cacat Irdina. Dah dua tahun tangan aku macam ni. Tak boleh bergerak.”
“Tengku masih boleh rawat tangan tengku. Masih boleh sembuh.”
“Sembuh? Apa jaminan kau yang tangan aku boleh sembuh?”
“Kalau tengku tak cuba, macam mana nak dapat hasilnya? Tengku kena cuba rawat tangan tengku. Insya-Allah, tangan tengku boleh bergerak semula.”
Tengku Irfan menghela nafas berat. Wajah Irdina ditatap buat seketika.
“Kita cuba. Kita cuba rawat tangan tu,” kata Irdina bernada pujukan.
Tengku Irfan tidak membalas. Hanya senyuman terukir di bibir.
“Kita usaha, tawakal dan berdoa. Insya-Allah, kalau kita berusaha kita akan dapat ganjarannya,” pujuk Irdina pula.
Bersungguh dia memujuk. Berharap agar Tengku Irfan bersetuju dengan cadangannya. Berusaha untuk merawat tangan kanan pemuda itu.
“Aku dah putus asa!” balas Tengku Irfan bingkas bangun.
Tanpa menunggu, dia beredar dari situ. Dihela nafas berat buat seketika. Bukannya dia tidak mahu menjalani rawatan pemulihan itu. Khuatir dan risau jika usahanya itu hanya sia-sia.
Irdina hanya memandang. Keluhan berat dilepaskan. Bagaimana untuk memujuk Tengku Irfan supaya menerima cadangannya itu? Perlukah dia memaksa Tengku Irfan?


“KENAPA tak makan?” tegur Tengku Irfan.
Irdina tidak membalas. Dia menguis-nguis nasi di dalam pinggan.
“Kenapa ni?” soal Tengku Irfan pula.
Irdina mengeluh berat. Ditatap nasi dengan pandangan yang kosong.
“Kau marahkan siapa pulak ni?” Tengku Irfan masih lagi mencuba.
“Tengku Irfan Haiqarl Bin Tengku Iqbal,” balas Irdina seraya mengangkat wajah.
“Aku? Kau marahkan aku sebab apa?”
“Sebab tengku dah buat saya marah.”
“Apa yang aku dah buat sampai kau marah?”
“Tengku dah curi hati saya.”
Tengku Irfan berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Irdina itu?
“Tengku curi hati saya. Buat masak merah. Lepas tu tengku suruh saya makan hati saya balik,” beritahu Irdina bernada serius. Wajah berkerut Tengku Irfan ditatap.
Tengku Irfan masih lagi berkerut. Cuba untuk merencana penjelasan Irdina.
“Ini ha.. Saya tak makan hati. Kenapa tengku pergi ambil hati masak merah ni?” jelas Irdina lalu tersengih. Hati ayam masak merah diunjuk kepada Tengku Irfan.
“Kau!!!” tegur Tengku Irfan bernada geram.
“Ala… Orang gurau sajalah. Takkan tak boleh?”
“Gurau biar kena pada tempatnya.”
“Kena la ni. Kan hati masak merah ada depan mata tu.”
“Kau ni suka sangat menjawab kata-kata aku.”
Irdina ketawa. Sengaja mengusik Tengku Irfan.
“Comel!” puji Irdina tanpa sedar.
“Apa yang comel?” tanya Tengku Irfan.
“Eh.. Tak ada apa-apa,” tukas Irdina lalu tersenyum malu.
Tengku Irfan memandang wajah Irdina. Jelas rona merah di pipi gadis itu. Pasti Irdina berasa malu dengan kata-katanya sebentar tadi. Siapa yang Irdina puji itu?
“Tengku sayang pada diri sendiri tak?” tanya Irdina kemudian.
“Maksud kau?” soal Tengku Irfan pula.
“Sayang diri sendiri. Tak nak sakiti hati sendiri. Jaga penampilan. Jaga kesihatan. Lebih kurang macam tu la,” jelas Irdina, tersenyum.
“Oh! Tentulah aku sayang diri aku sendiri.”
“Saya rasa tengku tak sayang diri tengku sendiri.”
“Apa maksud kau?” Tengku Irfan bertanya dalam nada keras.
“Kalau tengku sayang dengan diri tengku sendiri, tengku akan berusaha sembuhkan tangan tengku,” terang Irdina, lembut.
Tengku Irfan mendengus kasar. Tajam matanya ke wajah Irdina. Kata-kata Irdina sungguh menyakitkan hati. Kenapa Irdina masih bertanyakan tentang tangannya?
Sudah jelas dan nyata yang dia tidak mahu merawat tangan kanannya itu. Adakah Irdina tidak faham atau buat-buat tidak faham?
“Tengku seorang yang kalah,” kritik Irdina, selamba.
Tengku Irfan menggenggam erat tangan. Semakin sakit hatinya mendengar kritikan Irdina. Ikutkan hati, mahu ditampar gadis itu atas kelancangan mulutnya.
“Tengku tak rasa bersalah dengan Tengku Iqbal? Mungkin Tengku Iqbal mengharapkan tangan tengku sembuh. Mungkin….”
“Kau tak ada hak nak masuk campur dalam urusan aku. Siapa kau nak menegur aku? Kau kuli aku dan buat cara kuli. Jangan nak melebihi batasan kau sebagai kuli aku,” marah Tengku Irfan pantas berdiri. Tajam matanya ke wajah Irdina.
“Saya sedar saya ni hanya kuli dan tak layak nak tegur tengku. Tengku tak kasihan pada Tengku Iqbal? Selama ini Tengku Iqbal terlalu menjaga hati tengku. Sanggup bersusah payah demi tengku. Apa balasan tengku kepada Tengku Iqbal?”
“Saya pasti, Tengku Iqbal mengharapkan tengku sembuh sepenuhnya. Tengku ada fikirkan semua itu? Tengku ada fikirkan perasaan Tengku Iqbal? Saya rasa, Tengku tak fikirkan semua itu. Tengku pentingkan diri sendiri. Tengku seorang anak yang tak pandai nak balas jasa orang tua,” luah Irdina, panjang lebar.
Tengku Irfan mengetap bibir. Menahan kemarahan di hati. Berani sungguh Irdina menegurnya. Siapa Irdina untuk berkata begitu?
“Tengku seorang yang kalah!”
Panggg!!!
“Aku tak nak tengok muka kau lagi. Mulai hari ini, aku pecat kau dan jangan muncul depan aku lagi. Berambus kau dari sini!” tengking Tengku Irfan. Tidak dihiraukan berpasang-pasang mata yang sedang melihat.
Terhenjut tubuh Irdina mendengarnya. Diusap pipinya yang terasa kebas akibat tamparan Tengku Irfan. Matanya menatap wajah tegang Tengku Irfan.
“Kau berambus! Perempuan bodoh!” marah Tengku Irfan lagi.
Irdina tidak membalas. Hanya senyuman yang diberikan kepada Tengku Irfan. Setelah itu, dia segera beredar dari situ. Rasa puas selepas meluahkan apa yang terbuku di hati.
Selama dia menjadi pembantu peribadi Tengku Irfan, perkara itu yang ingin diluahkan dan akhirnya dia telah berjaya meluahkan kesemuanya kepada pemuda itu.


“BILA balik? Kenapa along tak sedar?” tanya Irshad sambil melabuhkan duduk.
Irdina menghalakan mata ke arah Irshad. Senyuman diberikan kepada abangnya itu.
“Kenapa ni?”
Irdina sekadar menggeleng. Dia mengeluh buat seketika.
“Tak baik mengeluh. Kenapa ni? Dina ada masalah ke?”
“Dina rasa nak pergi bercuti la along.”
“Bercuti? Ke mana?”
“Mana-mana. Asalkan jangan kat sini.”
“Kenapa tiba-tiba nak bercuti?”
“Nak berehat la. Takkan nak kerja pulak?”
“Yalah. Along tahu la nak berehat. Tapi, kenapa dengan tiba-tiba saja nak pergi bercuti?”
Irdina menghela nafas berat. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Irshad? Sungguh, pada waktu dan ketika ini dia memerlukan ruang untuk bersendirian. Rasa sesak nafas memikirkan masalah yang dihadapi.
“Dina ada masalah, kan? Tengku Irfan?” tebak Irshad.
“Tak adalah along. Dina dengan tengku, okey saja,” tukas Irdina, tersenyum.
Irshad tidak membalas. Wajah adiknya ditatap kasih. Entah kenapa matanya terpandang sesuatu di pipi Irdina.
“Kenapa dengan pipi tu?” tegur Irshad kemudian.
Irdina tergamam. Disentuh pipinya buat seketika.
“Kenapa dengan pipi Dina ni? Merah. Lebam. Macam kena penampar saja,” duga Irshad sambil memegang pipi Irdina. Diperhatikan pipi adiknya itu.
“Tak ada apa-apa la along. Dina terlanggar sesuatu tadi,” bohong Irdina seraya menolak lembut tangan Irshad.
“Terlanggar? Pelik! Takkan sampai lebam macam tu sekali? Along rasa macam kena penampar saja,” bidas Irshad tidak setuju.
“Betullah along. Takkan Dina nak tipu along pulak.” Irdina mempertahankan kenyataan.
“Tapi, along….”
“Dina masuk bilik dulu. Malam nanti kalau along keluar, tolong belikan Dina makanan sekali. Dina malas nak keluar,” pintas Irdina, laju dan beredar dari situ.
Irshad tidak membalas. Matanya menghantar langkah Irdina sehingga hilang di sebalik pintu. Rasa kurang enak hadir di hati. Seperti ada perkara yang cuba disembunyikan oleh Irdina. Dia yakin pipi Irdina ditampar seseorang. Tetapi, siapa yang menampar Irdina? Adakah Tengku Irfan yang menampar Irdina?
“Apa kes dia nak tampar adik aku?” bengang Irshad, tiba-tiba.


“IR!” tegur Tengku Iqbal dari arah ruang tamu.
Tengku Irfan mematikan langkah. Dihalakan mata ke arah Tengku Iqbal.
“Lewat balik? Ir dari mana?” tanya Tengku Iqbal, prihatin.
Tengku Irfan mengerling jam di dinding. Masa sudah menghampiri ke pukul 11.30 malam. Terlalu lama dia melepak bersama dengan Naufal sehingga tidak menyedari masa sudah menghampiri ke tengah malam.
“Ir ke mana?” soal Tengku Iqbal buat kali yang kedua.
“Ir jumpa dengan Naufal tadi. Borak kosong dengan dia,” beritahu Tengku Irfan.
Tengku Iqbal mengangguk faham. Matanya memandang wajah Tengku Irfan.
“Maafkan Ir sebab lambat,” ujar Tengku Irfan.
“Tak apalah Ir. Papa cuma risaukan Ir saja,” balas Tengku Iqbal. Menghalau rasa bersalah di hati Tengku Irfan.
“Ir masuk bilik dulu,” pamit Tengku Irfan pula.
“Baiklah! Selamat malam Tengku Irfan,” ucap Tengku Iqbal, tersenyum.
Tengku Irfan turut sama tersenyum. Dia segera beredar dari ruang tamu menuju ke bilik. Kepenatan amat dirasai ketika ini dan minta direhatkan.


USAI menunaikan sholat, Tengku Irfan melangkah keluar ke balkoni bilik. Dia membuang pandang ke langit malam. Menikmati keindahan malam. Angin sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi kedamaian malam itu.
Tengku Irfan menghela nafas ringan. Hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum majlis hari jadi Tengku Iqbal. Dia perlu membuat persiapan secepat mungkin. Dia mahu membuat kejutan kepada Tengku Iqbal.
Langkah dibawa masuk ke dalam bilik dan naik ke atas katil. Disandarkan tubuh dan meraup wajah buat seketika. Ingatannya mengimbas semula peristiwa yang berlaku di restoran siang tadi. Ditatap tangan kirinya buat seketika. Tangan yang telah menampar Irdina Asyikin.
Sungguh, bukan niatnya menampar Irdina. Disebabkan perasaan marah, dia bertindak sebegitu. Dia juga telah memecat gadis itu. Bagaimana untuk meminta maaf daripada Irdina?
“Ya Allah! Apa yang telah aku lakukan?” kesal Tengku Irfan.
Deringan telefon menyentak lamunan Tengku Irfan. Dicapai telefon bimbit dan menatap nama di skrin telefon.
“Irdina?” sebut Tengku Irfan, berkerut dahi.
Kenapa Irdina menelefonnya? Adakah Irdina tidak ambil hati atas apa yang telah berlaku? Lantas, butang hijau ditekan dan menanti sapaan dari hujung talian.
“Irshad! Abang Irdina,” suara Irshad dari hujung talian.
Tengku Irfan berkerut dahi. Irshad?
“Apa tengku dah buat dengan adik saya? Tengku sebagai majikan perlu ambil tahu tentang keadaan staf. Jangan nak lepas tangan saja.”
“Apa maksud awak, Irshad? Saya tak faham.”
“Pipi Irdina lebam seperti kena tampar. Tengku tahu tentang ni? Saya tanya Irdina, dia tak nak jawab. Dia beritahu saya yang dia terlanggar dinding,” jelas Irshad.
Itulah jawapan Irdina setiap kali dia bertanya. Kenapa dengan pipi Irdina? Tetapi, adiknya itu beralasan dan tidak mahu berterus-terang. Adakah Irdina cuba melindungi seseorang? Adakah Tengku Irfan orangnya?
Tengku Irfan menelan liur. Kelat! Pertanyaan Irshad dipandang sepi.
“Irdina demam sekarang ni. Doktor beritahu yang pipi Dina bengkak. Saya mewakili Irdina mintak cuti untuk beberapa hari,” beritahu Irshad dan mematikan talian.
Tergamam Tengku Irfan mendengarnya. Irdina demam? Adakah perbuatannya siang tadi telah menyebabkan pipi Irdina bengkak sekali gus demam?



Jumpa minggu hadapan. Terima kasih.



2 ulasan: