Isnin, 2 Februari 2015

Kerana Hati Bicara - Bab 20






“ANAK ummi ni menungkan apa?” tegur Hajah Basyirah sambil duduk.
Irdina tersentak. Dihalakan mata ke arah Hajah Basyirah yang sudah pun duduk di sisi. Senyuman diberikan kepada wanita tua itu.
“Dari semalam lagi ummi tengok Dina asyik termenung saja, kenapa? Dina ada masalah ke?” tanya Hajah Basyirah, prihatin.
“Tak ada apa, ummi. Dah lama Dina tak balik sini,” balas Irdina, tersenyum.
“Yalah! Dina dah selesa duduk kat bandar. Mana nak ingat balik sini,” kata Hajah Basyirah bernada rajuk.
“Tak adalah ummi. Dina sibuk, along pun sibuk. Itu yang tak ada masa nak balik sini. Jumpa ummi,” jelas Irdina, jujur.
“Chad macam mana? Sihat?”
“Sihat ummi. Business along semakin maju.”
“Alhamdulillah. Rezeki Allah jangan ditolak.”
“Ummi tak ke Wardah?”
“Petang sikit baru ummi ke sana. Dina tak nak ke sana?”
“Nanti Dina ke sana ummi.”
Hajah Basyirah mengangguk dan tersenyum. Wajah anak angkatnya ditatap kasih. Seperti ada sesuatu yang Irdina risaukan melihat riak di wajah gadis itu.
Masih segar di ingatan bagaimana Irdina dan Irshad menjejakkan kaki di rumah Wardah. Dua beradik itu sungguh rapat dan mesra. Saling bergantungan antara satu sama lain. Irdina seorang yang jujur dan berterus-terang. Irshad seorang yang suka memendam perasaan. Setiap kali mereka berdua berhadapan dengan masalah, dia yang menjadi penasihat buat adik beradik itu.
Di sebalik keceriaan dan kegembiraan mereka berdua, terselit kedukaan di hati masing-masing. Peristiwa yang berlaku tidak mudah untuk dilupakan.
Disebabkan peristiwa itu sehingga ke hari ini Irshad sukar untuk menerima Datin Iznaini sebagai ibu. Irshad juga membenci ibunya. Sudah berkali-kali dia menasihati, namun nasihatnya itu hanya dipandang sepi oleh Irshad. Luka yang terpendam sukar untuk disembuh.
“Ummi!” tegur Irdina, lembut.
Sejak dari tadi dia memerhatikan Hajah Basyirah. Seperti ada perkara yang sedang difikirkan oleh ibu angkatnya itu.
“Ada apa, Dina?”
“Dina nak ke sungai boleh?”
“Sungai?”
Irdina mengangguk.
“Dengan siapa?”
“Dengan kami, ummi,” sahut Hafzan dan Hafisah serentak.
Hajah Basyirah dan Irdina menoleh. Wajah Hafzan dan Hafisah menyapa mata mereka berdua. Senyuman menghiasi di bibir pasangan kembar itu.
“Wei, lama tak jumpa dengan kau orang berdua,” girang Irdina bingkas bangun.
“Sampai hati kau tak beritahu kami yang kau nak balik sini,” rajuk Hafisah.
“Ala… Sorry. Aku ingat petang sikit baru aku nak pergi jumpa dengan kau orang berdua,” pujuk Irdina, lembut.
Tubuh kawannya itu dipeluk erat. Melepaskan kerinduan yang bertamu selama ini. Agak lama dia tidak berjumpa dengan pasangan kembar itu.
“Ummi masuk dalam dulu,” ujar Hajah Basyirah bingkas bangun.
“Ummi, Dina nak ke sungai,” beritahu Irdina, lembut.
“Baiklah! Jangan balik lewat. Nanti along Dina sportcheck,” balas Hajah Basyirah lalu ketawa kecil. Geli hati mengenangkan sikap Irshad.
Irdina turut sama ketawa. Begitulah Irshad setiap kali dia pulang ke rumah Hajah Basyirah. Boleh dikatakan setiap jam Irshad menelefon. Sekadar bertanya khabar dan melepaskan rindu. Hakikatnya, Irshad khuatir dan risau akan dirinya di sini.


“BETUL ke apa yang papa dengar, Tengku Irfan?” soal Tengku Iqbal bernada serius.
“Dengar? Dengar apa, papa?” soal Tengku Irfan kurang faham.
“Irdina! Ir pecat Irdina?”
“Pecat? Mana ada papa.”
“Ir jangan nak bohong dengan papa. Betul atau tidak Ir pecat Irdina?”
Tengku Irfan menelan liur. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Tengku Iqbal?
“Kalau Encik Razman tak beritahu pada papa, sampai ke sudah papa tak tahu tentang ni. Kenapa Ir pecat Irdina? Apa kesalahan yang telah Irdina lakukan pada Ir?”
“Ir… Ir…” Sukar untuk Tengku Irfan berterus-terang. Wajah tegang Tengku Iqbal menyapa mata.
“Walau apa pun kesalahan yang Irdina lakukan, Ir tak sepatutnya pecat dia. Ir boleh marah atau hukum dia tapi bukan pecat,” jelas Tengku Iqbal sedikit meninggi.
Sungguh, dia kurang senang dengan keputusan Tengku Irfan. Kenapa Tengku Irfan tidak berbincang dengannya terlebih dahulu?
“Ir… Ir… Ir malu papa.”
“Malu? Ir malukan apa?”
“Ir bersalah pada Irdina. Ir malu nak berhadapan dengan Irdina.”
“Apa yang Ir dah buat dengan Irdina?”
“Ir tampar Irdina!” Tengku Irfan berterus-terang. Rasa bersalah menghuni di hati.
What?!!!” Terjerit kecil Tengku Iqbal mendengarnya.
“Ir marah sangat masa tu. Ir tak sengaja tampar Irdina,” jelas Tengku Irfan lagi.
Tengku Iqbal mendengus ringan. Wajah menunduk Tengku Irfan ditatap.
“Maafkan Ir,” ucap Tengku Irfan pula.
“Bukan dengan papa yang Ir perlu mintak maaf. Tapi dengan Irdina,” balas Tengku Iqbal.
“Ir cuba call Irdina tapi tak dapat.”
“Ir tak cuba ke rumah dia?”
“Ir tak tahu di mana rumah Irdina.”
“Tak tanya Encik Razman?”
Tengku Irfan sekadar menggeleng.
“Tak apalah, Ir. Biar papa uruskan tentang ni,” kata Tengku Iqbal berserta nafas ringan.
“Maafkan Ir, papa. Ir bersalah pada Irdina,” kesal Tengku Irfan.
Tengku Iqbal tidak membalas. Wajah Tengku Irfan ditatap. Riak kesal terlukis di wajah itu. Adakah disebabkan Irdina maka Tengku Irfan beriak sebegitu?
“Ir jangan risau. Papa akan uruskan semua ni,” beritahu Tengku Iqbal sekadar menyedapkan hati Tengku Irfan.
“Baiklah papa! Terima kasih!” ucap Tengku Irfan lalu tersenyum.
Tanpa menunggu, dia beredar dari bilik itu. Nafas lega dilepaskan. Bersyukur kerana Tengku Iqbal sudi menyelesaikan masalahnya. Sungguh, dia berasa kesal ketika ini.
Tengku Iqbal hanya memandang. Setelah kelibat Tengku Irfan menghilang, dia mencapai telefon bimbit dari atas meja. Nombor Encik Razman didail dan menanti sapaan dari hujung talian. Dia perlu meminta tolong daripada Encik Razman. Sekadar bertanya tentang Irdina.


“RINDULAH dengan kau orang berdua,” adu Irdina, tersenyum.
“Kita orang pun rindukan kau juga. Nasib baik Hafzan nampak kereta kau semalam. Kalau tidak, tak tahulah kita orang yang kau ada balik sini,” jelas Hafisah.
Sorry la. Aku ingat petang ni baru nak pergi jumpa dengan kau orang berdua. Alih-alih, kau orang berdua yang datang jumpa dengan aku dulu,” jelas Irdina serba salah.
“Ala… Tak apa Dina. Kita orang berlakon saja tadi.”
“A’ah Dina. Kami bergurau saja,” sokong Hafzan pula.
Irdina mengangguk dan tersenyum. Dipeluk kejap tubuh Hafisah. Rasa bersyukur kerana berkenalan dengan pasangan kembar itu.
“Berapa hari kau ada kat sini?” tanya Hafisah ingin tahu.
“Selama-lamanya,” balas Irdina lalu tersengih.
“Selama-lamanya?” Hafzan berkerut dahi.
“Aku bergurau saja,” kata Irdina, ketawa kecil.
“Kau dah tak kerja ke?” tanya Hafisah, prihatin.
“Dah kena pecat!” Selamba Irdina menjawab.
“Pecat?” Serentak Hafzan dan Hafisah membalas.
Irdina ketawa melihat reaksi Hafzan dan Hafisah. Dah kembar. Reaksi pun mestilah sama, kan? Bisik Irdina tersenyum.
“Kenapa?”
“Kerja tak bagus, pecatlah!”
“Rugi betul bos kau tu.”
“Dia tak rugi apa pun.”
“Eh! Mestilah rugi. Kau kan pekerja yang cemerlang dan terbilang.”
“Ala.. Cemerlang dan terbilang la sangat,” cebik Irdina, meluat.
Hafzan dan Hafisah ketawa. Mata mereka melihat riak di wajah Irdina.
“Kau dah ada steady tak?” tanya Hafzan, berminat.
Steady? Aku kan sentiasa steady.” Irdina mengusik.
Bukannya dia tidak faham dengan maksud pertanyaan Hafzan itu. Steady! Apa lagi kalau bukan ‘boyfriend’.
“Kau dah ada boyfriend ke?” tanya Hafisah, berminat.
“Siapa yang nak kat aku ni?” soal Irdina pula.
“Kau tu yang jual mahal. Ada saja yang nak kat kau. Contoh macam aku ni. Dah lama aku berkenan dengan kau. Tunggu green light daripada kau saja,” celah Hafzan, ketawa kecil.
Irdina dan Hafisah turut sama ketawa. Hafzan seorang yang suka berjenaka. Sejak dari dulu lagi Hafzan sukakan Irdina. Tetapi Irdina hanya menganggap Hafzan sebagai abang.
Sejak dari kecil mereka sudah berkenalan. Di rumah Wardah ketika dia menjejakkan kaki ke rumah itu. Hafzan dan Hafisah merupakan anak yatim piatu. Ayah dan ibu mereka meninggal dalam kebakaran rumah ketika mereka berdua berusia sepuluh tahun.
“Aku sentiasa berdoa agar kau berjumpa dengan seseorang yang dapat membahagiakan kau, Dina,” ujar Hafzan berserta titipan doa buat Irdina.
“Aku pun sama juga, Dina,”suara Hafisah.
“Terima kasih Hafzan, Hafisah. Aku pun doakan yang sama untuk kau orang berdua,” balas Irdina lalu tersenyum.
Hafzan dan Hafisah mengangguk dan tersenyum. Hanya itu yang mampu diberikan kepada Irdina. Semoga Irdina bahagia dengan kehidupannya.


“AIR!” ujar Naufal. Sebotol air mineral diserahkan kepada Tengku Irfan.
Thanks!” ucap Tengku Irfan sambil membalas huluran.
Naufal melabuhkan duduk di hadapan Tengku Irfan. Tingkah laku Tengku Irfan yang sedang meneguk air minuman diperhati penuh minat.
“Macam mana dengan kerja kau, okey?” tanya Tengku Irfan sekadar ingin tahu.
“Alhamdulillah, tak ada masalah,” jawab Naufal, tersenyum.
“Baguslah! Bila kau nak kerja dengan aku?
“Kau ni tak ada soalan lain ke nak ditanya. Asyik-asyik soalan yang sama saja.”
“Manalah tahu, kut-kut terbuka pintu hati kau tu nak kerja dengan aku.”
“Aku dah selesa kerja kat company tu. Sayang kalau nak berhenti.”
Tengku Irfan mengangguk. Acapkali dia mempelawa Naufal bekerja dengannya. Tetapi, kawannya itu tetap menolak.
“Irdina apa khabar?”
“Irdina? Kenapa dengan dia?”
“Ayah engku dah cerita semuanya pada aku, Ir.”
Tengku Irfan tidak membalas. Matanya terpahat ke botol mineral di atas meja.
“Kau ada call dia?”
“Tak ada!”
“Kau tak cuba call dia? Tanya keadaan dia?”
“Aku malu!” Tengku Irfan berterus-terang. Rasa bersalah masih lagi bersisa.
“Apa yang nak dimalukan? Aku yakin Irdina dapat maafkan kau.”
“Aku tak yakin dia dapat maafkan aku.”
“Kau tak cuba, mana kau nak tahu. Kau jumpa dia dan mintak maaf. Aku yakin dia dapat maafkan kau.”
Tengku Irfan hanya mendengar.
“Kau nak aku tolong?”
It’s okey, Naufal. Aku boleh settle sendiri masalah aku.”
“Kalau dah macam tu, baiklah!” balas Naufal sambil mengangguk faham.
Tengku Irfan hanya tersenyum. Keluhan berat dilepaskan. Sejak dari hari itu lagi dia berfikir. Adakah Irdina dapat menerima kemaafannya jika dia berbuat begitu?


“ALHAMDULILLAH, semoga kita mendapat manfaat daripada ceramah ustaz tadi,” kata Hajah Basyirah berserta nafas ringan. Senyuman menghiasi bibir.
“Insya-Allah ummi,” balas Hafisah turut sama tersenyum.
“Irdina mana?” tanya Hajah Basyirah tatkala menyedari ketiadaan Irdina.
“Dina mintak diri dulu ummi. Ada hal katanya,” beritahu Hafisah.
Hajah Basyirah mengangguk faham. Matanya memandang sekeliling surau. Orang ramai berpusu keluar dari surau selepas menghadiri ceramah yang dianjurkan oleh surau berkenaan.
“Hafzan?”
“Abang tolong pak imam.”
“Abang kamu tu seorang yang rajin. Masa abang kamu suarakan nak bekerja di Kuala Lumpur, ummi serahkan keputusan pada abang kamu. Ummi tak menghalang. Mana yang baik, ummi sokong. Apa yang penting, sentiasa mengingati Allah,” beritahu Hajah Basyirah.
Hafisah hanya mendengar. Ada benarnya kata-kata Hajah Basyirah. Wanita itu tidak pernah menghalang. Asalkan pandai menjaga diri dan tingkah laku. Sentiasa mengingati Allah.
“Ummi!” panggil Irdina dari jauh.
Hajah Basyirah dan Hafisah terkejut. Dihalakan mata ke arah Irdina yang sedang menghampiri. Kenapa dengan Irdina? Kelihatan cemas dan kalut.
“Ummi!” Irdina tercungap-cungap.
“Kenapa Irdina?” tanya Hajah Basyirah, lembut.
“Dina kena balik malam ni. Ada emergency!” beritahu Irdina sambil cuba menstabilkan pernafasan.
“Balik? Kenapa?” soal Hajah Basyirah sedikit terkejut.
“A’ah Dina. Kenapa nak balik malam ni?” tanya Hafisah pula.
“Dina kena balik malam ni juga.”
“Dah jauh malam Dina. Esok pagi tak boleh ke?”
“Tak boleh ummi. Dina kena balik malam ni juga,” tegas Irdina, serius.
Hajah Basyirah mengeluh ringan. Wajah Irdina ditatap. Riak kerisauan terlukis di wajah itu. Kenapa Irdina beriak begitu?
“Ummi, Dina balik dulu,” ujar Irdina.
“Ummi call along sekejap,” beritahu Hajah Basyirah seraya mencari telefon bimbit.
Irdina mengeluh ringan. Tingkah laku Hajah Basyirah menjadi tatapan mata. Perlukah dia berterus-terang kepada ibu angkatnya itu?
“Along… Along jatuh,” beritahu Irdina kemudian.
“Jatuh? Macam mana boleh jatuh?” soal Hajah Basyirah dan Hafisah serentak.
“Dina tak tahu. Mel call Dina beritahu pasal along. Sebab itulah Dina kena balik sekarang,” jelas Irdina bernada serius.
“Kalau macam tu, baiklah! Hati-hati memandu Dina,” pesan Hajah Basyirah, mengalah.
“Insya-Allah ummi. Dina balik dulu,” balas Irdina.
Tubuh Hajah Basyirah dipeluk kejap dan mencium kedua-dua belah pipi wanita itu. Kemudian beralih ke tubuh Hafisah. Ucapan terima kasih meniti di bibir.
Hajah Basyirah hanya memandang sehingga kelibat kereta hilang dari pandangan mata. Entah kenapa hatinya kurang enak ketika ini. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Irdina. Adakah benar atau perasaannya sahaja?

Jumpa lagi. Terima kasih.


1 ulasan: