Isnin, 16 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 11






“ASSALAMUALAIKUM, Hajah Noreha,” tegur Zafira, ramah.
Hajah Noreha yang sedang leka menatap telefon bimbit tersentak. Diangkat wajah dan memandang ke arah yang menegur. Wajah seorang gadis menyapa mata.
“Puan ni Hajah Noreha?” ulang Zafira semula inginkan kepastian.
“Ya. Anak ni…”
“Zafira!” beritahu Zafira, tersenyum.
“Oh, Zafira. Duduk nak,” pelawa Hajah Noreha.
“Maaf kalau Fira lambat. Fira mintak izin abang keluar sekejap,” beritahu Zafira tanpa dipinta. Kesal atas kelewatannya itu.
“Tak mengapa. Nenek pun baru saja sampai,” balas Hajah Noreha sekali gus menghalau rasa bersalah di hati Zafira. Senyuman diberikan kepada gadis itu.
Zafira turut sama tersenyum. Wajah Hajah Noreha ditatap mesra. Sejak dari malam tadi hatinya berdebar-debar selepas mendapat panggilan daripada Iqwan. Kenapa nenek Iqwan ingin berjumpa dengannya? Adakah Iqwan ingin membatalkan pertunangan mereka berdua?
Order minuman dulu,” arah Hajah Noreha, lembut.
Zafira mengangguk. Dia melambaikan tangan ke arah pelayan yang berada tidak jauh dari tempat duduk mereka. Setelah membuat pesanan, dihalakan mata ke wajah Hajah Noreha.
Wanita itu kelihat bergaya dan raut wajahnya tidak dimamah usia. Pasti Hajah Noreha menitikberatkan tentang penampilan dan kesihatan.
“Terima kasih,” ucap Zafira kemudian sebaik sahaja pelayan meletakkan minuman di hadapan meja. Senyuman diberikan kepada pelayan itu.
“Nenek ajak keluar sebab nenek nak berkenalan dengan Zafira sebelum kamu berdua bertunang,” mulai Hajah Noreha, lembut.
Zafira sekadar tersenyum. Menanti butir bicara daripada Hajah Noreha.
“Selama ini, nenek tak pernah dengar yang Iqwan bercinta dengan sesiapa. Tup-tup, dengar nak bertunang. Itu yang nenek terkejut dan nak berjumpa dengan Zafira sendiri sebelum kamu berdua bertunang,” sambung Hajah Noreha.
Zafira hanya mendengar. Senyuman masih terukir di bibir.
“Dah berapa lama Zafira berkenalan dengan Iqwan?” tanya Hajah Noreha, ingin tahu.
“Dua minggu, nenek,” jujur Zafira.
“Dua minggu?”
“Cinta pandang pertama.”
Hajah Noreha mengangguk. Berseri-seri wajah Zafira dilihatnya. Sejuk matanya memandang.
“Fira tahu perkara ni terlalu cepat bagi nenek. Tapi, Fira dah jatuh cinta dengan Iqwan. Iqwan memiliki ciri-ciri yang Fira nak,” beritahu Zafira, ikhlas.
“Zafira dah kenal betul dengan perangai Iqwan?”
Zafira sekadar menggeleng. Jujur katakan yang dia belum mengenali lebih dalam sikap dan perangai Iqwan. Tapi dia yakin, Iqwan adalah pilihan tepat buat dirinya.
“Zafira dah tahu latar belakang Iqwan?” tanya Hajah Noreha lagi.
“Perlukah semua tu, nenek?” tanya Zafira pula.
Hajah Noreha berkerut dahi. Apa yang dimaksudkan oleh Zafira itu?
“Jujur Fira katakan yang Fira tak tahu latar belakang Iqwan. Fira tak tahu sikap dan perangai Iqwan. Tapi Fira yakin dengan kata hati Fira,” jelas Zafira, tenang.
Hajah Noreha menghela nafas ringan.
“Fira tak minta lain, nenek. Fira cuma nakkan Iqwan. Fira harap, nenek setuju dengan pertunangan kami,” sambung Zafira lagi.
Hajah Noreha tidak membalas. Matanya menatap wajah Zafira. Riak kejujuran dan keikhlasan jelas di wajah itu. Jauh di sudut hati, dia senang dengan sikap Zafira.
Gadis itu jujur dalam meluahkan perasaan. Dia yakin, Zafira adalah gadis yang sesuai buat Iqwan. Berharap, Iqwan dapat menerima Zafira sepertimana Zafira menerima Iqwan.


“NENEK? Buat apa kat sini?” tegur Iqwan sedikit terkejut.
“Nenek datang nak jumpa dengan Wan. Kenapa? Nenek tak boleh datang sini ke?” tanya Hajah Noreha sambil melabuhkan duduk.
“La.. apa pulak tak boleh? Nenek kan jarang ke sini. Tiba-tiba saja muncul, itu yang Wan terkejut,” balas Iqwan seraya bersalaman.
“Kebetulan nenek lalu kawasan ni. Itu yang nenek singgah.”
“Nenek nak minum? Wan minta Haniza buatkan.”
“Tak payahlah. Nenek dah minum tadi. Dengan Zafira.”
Iqwan menganggukkan kepala. Bukannya dia tidak tahu pertemuan itu. Hajah Noreha sendiri yang memberitahu kepadanya pagi tadi.
“Khairil mana?”
“Ada kat bilik dia. Nenek nak jumpa dengan Khai ke?”
“Kalau boleh!”
“Sekejap, Wan panggil Khai.”
Hajah Noreha menganggukkan kepala. Wajah Iqwan diperhati dalam diam. Saling tak tumpah dengan Sharizal. Anak tunggalnya yang telah pun dua tahun meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
Selepas kejadian itu, Iqwan dilihatnya berubah laku. Dari seorang yang periang dan ceria kepada seorang yang pendiam dan perengus. Adakah kehilangan Sharizal memberi tekanan kepada Iqwan? Atau, ada sebab lain yang membuatkan cucunya jadi begitu.
“Kenapa Wan?” tanya Khairil setibanya di bilik.
“Nenek nak jumpa,” jawab Iqwan sambil memuncungkan bibir ke arah Hajah Noreha.
Khairil menghalakan pandangan. Tanpa berlengah, tangan Hajah Noreha disalam lalu tersenyum kepada nenek angkatnya itu.
So, apa yang nenek nak beritahu pada kami berdua?” mulai Iqwan tidak sabar.
“Nenek nak esok Wan dan Zafira bertunang,” kata Hajah Noreha, tenang.
What?!” Serentak Iqwan dan Khairil bersuara. Terkejut mendengarnya.
“Nenek suka dengan Zafira. Seorang gadis yang jujur dan ikhlas. Memang sesuai dan padan dengan Wan,” cerita Hajah Noreha pula.
“Tapi nek, takkan….”
“Ini keputusan nenek. Setuju atau tidak, Wan kena dengar cakap nenek,” pintas Hajah Noreha bernada tegas.
“Habis tu, Zafira kata apa?” sampuk Khairil.
“Zafira setuju. Jadi, nenek nak Khairil ikut nenek buat persediaan. Tadi nenek dah call kawan nenek minta tolong sediakan hantaran untuk kita,” beritahu Hajah Noreha.
“Baiklah nek!” akur Khairil lalu mengangguk.
“Nek, takkan tak boleh nak pertimbangkannya lagi? Kan dah elok kita buat minggu hadapan. Kenapa nak esok pulak?” Iqwan meluahkan ketidakpuasan di hati.
“Ini keputusan muktamad nenek. Wan tak boleh nak bantah. Kalau ikutkan hati, nenek nak Wan menikah terus dengan Zafira. Tapi, Zafira yang tak nak. Zafira nak bertunang dulu,” terang Hajah Noreha bernada serius.
Iqwan menghela nafas berat. Keputusan Hajah Noreha memakan dirinya sendiri. Difikirkan neneknya tidak menyukai Zafira memandangkan gadis itu berperangai gedik.
Ternyata dia tersalah tafsir. Ikutkan hati, mahu sahaja dia membatalkan pertunangan. Sesak nafasnya ketika ini memikirkan tentang itu. 
“Wan, bukan ke kau suka dengan Zafira? So, apa masalahnya kalau nenek percepatkan pertunangan kau?” sampuk Khairil yang sedari tadi membisu dan mendengar.
Sengaja dia berkata begitu. Mengingatkan Iqwan sekali gus menyindir kawannya itu.
“Memanglah. Tapi, aku tak prepare apa-apa lagi pun,” suara Iqwan sedikit menekan.
“Wan jangan risau, biar nenek dan Khairil uruskan semuanya,” ujar Hajah Noreha.
Iqwan termati kata-kata. Perlahan-lahan kepalanya mengangguk. Mengiyakan kata-kata Hajah Noreha.
“Kalau macam tu, nenek minta diri dulu. Khairil ikut nenek,” beritahu Hajah Noreha bingkas bangun.
“Wan, aku ikut nenek sekejap. Apa-apa hal, kau tolong cover aku,” kata Khairil.
Iqwan tidak membalas. Matanya menghantar langkah Hajah Noreha dan Khairil sehingga hilang di sebalik pintu bilik. Setelah itu, tali leher dilonggarkan sedikit. Memberi ruang pernafasan untuk bernafas dengan stabil. Diraup kasar wajahnya. Sungguh, tidak menyangka ini yang terjadi. Lain yang dirancang, lain pula yang jadi.
“Minah sengal ni memang nak kena. Entah apa yang diayatkan pada nenek sampaikan nenek nak cepatkan pertunangan,” geram Iqwan, sendirian.
Dikepalkan tangan menahan kemarahan. Lantas, telefon bimbit dicapai lalu mendail nombor Zafira. Dia perlu bertanya tentang itu daripada Zafira. Kenapa nenek mempercepatkan pertunangan mereka?


“SIAPA?” tegur Aqil, berminat.
“Haa… siapa?” tanya Zafira, pura-pura.
“Siapa yang call. Berkerut saja muka tu along tengok.”
“Kawan. Dia nak ajak Fira datang rumah minggu hadapan.”
Aqil mengangguk. Wajah Zafira diperhati dalam diam. Ada riak terluka di wajah itu. Dia yakin, Iqwan yang menelefon Zafira sebentar tadi. Adakah kerana pertunangan mereka yang bakal berlangsung esok?
“Along…” seru Zafira, lembut.
“Haa.. apa dia?” soal Aqil sedikit tersentak.
“Fira ingat nak minta cuti seminggu daripada along. Fira nak balik rumah mak long.”
“Cuti?”
“A’ah. Lepas Fira bertunang, Fira nak balik sana. Boleh ke, along?”
“Mak long dah tahu ke?”
“Dah! Malam nanti mak long ke sini. Fira dah beritahu pasal pertunangan esok.”
Aqil mengangguk perlahan. Matanya memerhati tingkah laku Zafira yang sedang menguis-nguis nasi di dalam pinggan. Adiknya itu seakan sedang memikirkan sesuatu.
“Iqwan call Fira, kan?” tanya Aqil kemudian.
Zafira mengangkat wajah. Senyuman hambar terbias di wajah. Tanpa disedari, air mata mengalir perlahan membasahi pipi. Sungguh, dia berasa sedih ketika ini.
“Hey… kenapa ni?” tanya Aqil, cemas.
“Fira sedih, along,” adu Zafira lalu teresak kecil.
“Kalau pertunangan ni bagi beban pada Fira, ada baiknya kita batalkan pertunangan ni. Along tak nak tengok Fira bersedih.”
“Tak along. Fira sukakan pertunangan ni. Fira sedih sebab Fira akan jadi tunangan orang,” beritahu Zafira lalu ketawa kecil.
Aqil berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Zafira.
“Dulu, Fira bertunang dan berkahwin dalam satu masa. Fira tak berpeluang nak rasa macam mana tempoh bertunang. Sekarang, Fira dapat rasa nikmatnya bertunang.”
Aqil berfikir buat seketika. Ada benarnya kata-kata Zafira. Dahulu, Zafira bertunang dan berkahwin dalam satu masa. Kini adiknya itu dapat merasa bagaimana tempoh bertunang.
“Fira gembira along. Terima kasih kerana menggembirakan Fira,” ucap Zafira seraya memandang ke wajah Aqil.
“Along lagi gembira kalau tengok adik along ni gembira. Along doakan Fira bahagia,” balas Aqil, tersenyum.
Diseka air mata yang bersisa di pipi Zafira. Sungguh, dia amat menyayangi adiknya itu. Hanya Zafira satu-satunya saudara kandung yang dia ada. Hanya Zafira kepentingannya selama ini. Dia juga bersyukur kerana mempunyai seorang isteri seperti Amylia.
Isteri yang amat memahami dan menyayangi Zafira. Jauh di sudut hati, perasaan risau tetap menumpang di hati. Semoga Iqwan dapat mengotakan janji-janjinya kelak.


IZREEN memerhati Zafira dari muka pintu bilik. Kawannya itu sedang ralit mencoret sesuatu di dalam diari. Semenjak dia mengenali Zafira, diari itu tidak pernah lekang dari Zafira. Diari itu sudah menjadi teman hidup Zafira selama ini.
Terkadang dia terfikir, adakah dia tidak layak menjadi tempat luahan hati Zafira? Adakah dia bukan seorang kawan yang baik buat Zafira? Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba. Kedinginan Zafira menggigit tangkai hati. Adakah Zafira masih terasa dengan apa yang berlaku kelmarin?
Izreen menghela nafas berat. Bagaimana untuk memulakan perbualan? Adakah Zafira masih terasa dengan kata-katanya? Bukan niatnya berkata begitu. Disebabkan kasih dan sayang, dia tidak mahu melihat Zafira kecewa lagi.
Cukuplah dia melihat Zafira menitiskan air mata kerana lelaki. Dia tidak mahu Zafira mengalami perkara yang sama, kecewa dan sedih. Sungguh, dia amat menyayangi kawan baiknya itu. Kebahagiaan Zafira melebihi segala-galanya.
“Kenapa tak masuk?” tegur Zafira, tiba-tiba.
Terkejut Izreen mendengarnya. Dihalakan mata ke arah Zafira.
“Yang kau tercegat kat situ, kenapa?” soal Zafira pula.
“Haa… apa dia?” tanya Izreen sedikit tersentak.
“Kenapa tak masuk? Bilik aku ni tak ada kaunter yang kau perlu bayar tol sebelum nak masuk,” kata Zafira, tenang.
Izreen ketawa kecil. Dia menapak masuk ke dalam bilik dan melabuhkan duduk di birai katil. Senyuman diberikan kepada Zafira.
“Aku minta maaf,” ujar Zafira, perlahan.
“Fira… aku yang perlu minta maaf. Aku…”
It’s okey. Aku tak ambil hati.”
“Aku tetap rasa bersalah. Aku terlepas cakap.”
“Tak mengapalah. Memang benar apa yang kau cakap tu. Aku tak salahkan kau.”
“Fira, aku minta maaf. Tak guna aku jadi kawan kau kalau aku tak boleh nak baca apa yang tersurat dan tersirat di hati kau tu.”
“Dahlah! Kita lupakan dengan apa yang berlaku. Aku tak nak disebabkan ini, kita berdua berbalah. Tak ada gunanya, kan?”
Izreen mengangguk lemah. Wajah Zafira ditatap kasih. Berseri-seri wajah itu dilihatnya. Adakah disebabkan pertunangan yang bakal berlangsung esok maka Zafira beriak begitu?
“Bermula esok, aku jadi tunangan dia,” ujar Zafira, tersenyum.
Izreen tidak membalas. Matanya masih menatap wajah Zafira.
“Tapi aku rasa, pertunangan ni takkan kekal lama,” sambung Zafira.
“Fira, aku…”
“Aku main-main saja. Kau janganlah rasa bersalah.”
Izreen berasa sebak. Kenapa Zafira berkata begitu? Adakah Zafira dapat merasakan sesuatu? Ya Allah, kau tabahkan hatinya. Aku pasti, ada sesuatu yang cuba dirahsiakan daripada pengetahuan aku, bisik Izreen sendirian.


2 ulasan:

  1. Peliklah.. apa yg jd ni sebenarnya? Fira rasa sesuatu.. iq pun mcm ada sesuatu je.. huhu.. next n3 please..

    BalasPadam