Selasa, 17 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 12






DEAR My Dream Husband,

Hari ini hari pertama saya jadi tunang awak. Ya Allah, happynya saya ketika ini. Rasa nak tercabut jantung saya selepas pertunangan kita tempoh hari. Berharap awak menjadi suami saya selepas tiga bulan nanti.
        
                                           Your future wife – NZS

Zafira menutup diari lalu memasukkannya ke dalam beg tangan. Senyuman terukir di bibir. Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Masa sudah menginjak ke angka sembilan pagi.
Begitu awal dia berada di pejabat Iqwan semata-mata untuk berjumpa dengan tunangnya. Tidak sabar untuk memberi bekas makanan yang disediakannya pagi tadi. Berharap, Iqwan sudi untuk menjamah sekali gus menyukai masakannya itu.
“Kau buat apa kat sini?” tegur Iqwan tatkala terpandangkan Zafira.
Zafira tersentak. Dihalakan mata ke arah Iqwan. Dia bingkas bangun dari duduk dan melangkah menghampiri Iqwan.
“Kau buat apa kat sini?” ulang Iqwan lagi.
“Jumpa dengan encik tunang,” jawab Zafira, tersengih.
Iqwan merengus. Kurang senang mendengar perkataan itu.
“Saya ada bawa bekal untuk awak. Jom kita makan!” beritahu Zafira, lembut.
Iqwan tidak membalas. Dia menapak menuju ke bilik. Hilang moodnya pagi itu tatkala terpandangkan Zafira. Kenapa gadis itu tidak kenal erti putus asa?
Walaupun mereka sudah bertunang, itu tidak bermakna dia dapat menerima Zafira sebagai tunangannya. Atas sebab-sebab tertentu maka dia bertunang dengan gadis itu.
“Kau tak kerja ke hari ni?” tanya Iqwan sambil melabuhkan duduk.
“Hari ni saya masuk petang sebab nak jumpa dengan encik tunang,” jawab Zafira masih tersengih.
Dilabuhkan duduk di kerusi berhadapan dengan Iqwan. Wajah Iqwan ditatap kasih.
“Kau dah lupa dengan permintaan aku dulu?”
“Permintaan? Maksud?”
“Aku tak nak orang lain tahu yang kau tu tunang aku. Staf-staf aku semua tak tahu yang aku dah bertunang dengan kau. Jadi aku nak kau jangan kerap ke sini,” terang Iqwan, serius.
“Oh, tentang tu. Awak janganlah risau. Saya tak beritahu pada sesiapa pun. Hanya keluarga terdekat dan kenalan kita saja yang tahu kita berdua dah bertunang.”
“Aku pegang pada kata-kata kau.”
Zafira tersenyum. Matanya menatap wajah Iqwan yang sedang beriak tenang. Tanpa berlengah, dikeluarkan bekas makanan dari dalam beg kertas. Dihulurkan kepada Iqwan kemudiannya. Berharap, Iqwan sudi menjamah makanan yang dimasaknya itu.
“Saya masak khas untuk awak.”
“Kau tak perlu nak susahkan diri masak untuk aku. Aku boleh makan kat luar.”
Zafira tidak mengendahkan kata-kata Iqwan. Bekas makanan dibuka dan disuakan kepada Iqwan. Mee goreng yang dimasaknya berserta ayam goreng dan sambal elok terletak di dalam bekas makanan itu.
“Makanlah!” pelawa Zafira, lembut.
“Nanti-nantilah aku makan. Aku ada kerja yang nak disiapkan cepat,” tolak Iqwan, keras.
“Ala… jamahlah sikit. Nak dengar komen encik tunang tentang masakan bakal isteri,” rengek Zafira, manja.
Iqwan mendengus kasar. Sakit hatinya mendengar kata-kata Zafira. Rasa nak termuntah pun ada juga.
“Nak saya suapkan?”
“Tak payah! Buat malu saja nanti kalau staf lain nampak.”
So, makanlah!”
“Yalah! Aku nak makan la ni. Kau ni suka sangat susahkan aku.”
Zafira ketawa kecil. Matanya menatap wajah mencuka Iqwan. Walau apa pun yang diperkatakan oleh Iqwan, dia tidak ambil peduli. Yang penting, dia perlu menjalankan tugas dengan baik sebagai tunang Iqwan.
“Encik tunang ni macam budak-budak. Tengok tu. Kan dah comot,” tegur Zafira, lembut.
Tisu dari dalam kotak ditarik lalu mengelap kesan kotoran di tepi bibir Iqwan. Setelah itu, botol mineral yang berada di situ dicapai dan dihulurkan kepada Iqwan. Senyuman manis diberikan kepada tunangnya itu.
Iqwan terkedu. Matanya memandang tingkah laku Zafira yang sedang menghulurkan botol mineral. Senyuman manis di bibir Zafira menarik minatnya untuk melihat. Lama dia berkeadaan begitu sehinggalah terdengar deheman dari arah Zafira.
“Sedap tak masakan saya tu?” tanya Zafira, ingin tahu.
“Hurmm…” balas Iqwan, sepatah.
“Sedap tak?” tanya Zafira lagi.
“Sedap!” balas Iqwan sedikit menekan.
Zafira ketawa kecil. Dia bingkas bangun dari duduk. Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Masa sudah menginjak ke angka sepuluh pagi.
“Saya nak ke ladies sekejap. Nanti saya datang balik,” beritahu Zafira dan beredar dari bilik itu. Senyuman tidak lekang daripada bibirnya.
Iqwan menghela nafas lega sebaik sahaja Zafira beredar dari situ. Air minuman diteguk rakus. Rasa terseksa sewaktu memakan mee goreng itu.
“Huh! Mee goreng apa ntah yang dia masak ni. Tak sedap langsung. Dahlah tak ada rasa. Kering pulak tu. Hisy, kalau selalu macam ni, pengsan aku dibuatnya,” rungut Iqwan sendirian.
Bekas makanan berisi mee goreng ditutup dan diletakkan ke dalam beg kertas. Baru hari pertama dia bertunang dengan Zafira, dia sudah tidak tahan dengan sikap dan perangai gadis itu. Bagaimana untuk menghadapinya selama tiga bulan seperti yang telah ditetapkan?


ZAFIRA menatap fail dengan pandangan kosong. Ingatannya memutarkan semula peristiwa semalam. Hari pertunangannya dengan Iqwan Hafiz. Serta-merta senyuman terukir di bibir.
Tidak menyangka, impiannya untuk menjadi isteri kepada Iqwan bakal menjadi kenyataan. Itulah yang diimpikannya selama ini. Bertemu, berkenalan, bertunang dan menjadi isteri kepada lelaki bernama Iqwan Hafiz Sharizal. Lelaki yang dikenalinya sebulan yang lepas.
Zafira menarik nafas ringan. Peristiwa dua tahun yang lepas meniti di minda. Nama seseorang terdetik di hati. Jika peristiwa itu tidak berlaku, pasti dia kini bergelar seorang isteri.
Isteri kepada lelaki yang amat dicintainya. Lelaki yang dikenalinya selama dua tahun. Tetapi, semuanya punah begitu sahaja. Rasa menyesal menumpang di hati ketika ini.
“Barang yang lepas usahlah dikenang,” keluh Zafira sendirian.
Telefon bimbit dicapai. Dia perlu menghantar mesej kepada Izreen. Malam ini dia sudah pun berjanji untuk tidur di rumah Aqil.
Sekadar untuk melepaskan rindu terhadap bilik yang dihuni selama dua puluh empat tahun. Rasa rindu terhadap kedua-dua orang tuanya hadir dengan tiba-tiba. Pemergian yang memberi kesan kepada mereka adik-beradik.
“Ummi, ayah… adik rindu,” luah Zafira pula.
“Cik Fira,” tegur Sarimah dari muka pintu bilik.
Zafira mengangkat wajah. Matanya memandang Sarimah di muka pintu bilik.
“Ada apa, Sarimah?” tanya Zafira, ramah.
“Encik Aqil minta Cik Fira ke bilik mesyuarat sekarang.”
“Mesyuarat? Hari ni ada mesyuarat ke Sarimah?”
“Saya tak pasti, Cik Fira. Encik Aqil minta saya panggilkan Cik Fira.”
“Oh, baiklah! Sekejap lagi saya ke sana.”
Sarimah mengangguk. Dia segera beredar dari situ menuju ke meja kerja.
Zafira bingkas bangun dari duduk. Mesyuarat apa yang dimaksudkan oleh Sarimah itu? Jam di dinding dipandang buat seketika. Setelah itu, dibawa langkah menuju ke bilik mesyuarat. Berdebar-debar dirasai ketika ini.
“Ada apa, along?” tanya Zafira setibanya di bilik mesyuarat.
“Masuk, Fira!” arah Aqil, tegas.
Zafira masuk ke dalam bilik. Wajah seseorang yang tidak dikenali menyapa mata. Siapa dia? Mesyuarat apa yang sedang dijalankan oleh Aqil ketika ini?
“Along kenalkan, Encik Bahar peguam arwah ayah. Encik Bahar…”
“Peguam?” pintas Zafira, berkerut dahi.
“A’ah, peguam ayah,” beritahu Aqil semula.
“Kenapa Encik Bahar ada kat sini?”
“Pasal harta arwah ayah.”
Zafira masih berkerut. Kurang faham dengan kata-kata Aqil.
“Selama ini, along tak pernah beritahu Fira tentang ini. Along cuma akan beritahu pada Fira, once Fira dah jadi tunangan orang dan bakal berkahwin. Jadi, sudah tiba masanya along beritahu Fira tentang harta arwah ayah.”
“Fira tak nak tahu semua ni. Fira serahkan semuanya pada along.”
“Fira dengar dulu. Lepas tu Fira buat keputusan.”
“Fira tak nak. Fira serahkan semuanya pada along.” Zafira mengulangi ayatnya sebentar tadi. Kepala menggeleng perlahan.
“Jangan macam tu Fira. Fira wajib tahu semua ni.” Aqil memujuk.
“Fira amanahkan semuanya pada along. Fira balik bilik dulu,” putus Zafira.
 Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ. Sungguh, dia tidak berminat dengan semua itu. Dia tidak mahukan harta. Aqil lebih berhak untuk memiliki kesemua harta pusaka arwah ayahnya.
Selama ini, Aqil banyak berusaha memajukan syarikat arwah ayah mereka. Dia tidak akan mempertikaikan usaha Aqil dan dia tidak akan mencemburui abang kandungnya sendiri. Dia tidak memerlukan harta. Yang penting, kasih dan sayang yang dicurahkan oleh Aqil dan Amylia buat dirinya.
“Macam mana, Encik Bahar?” tanya Aqil sebaik sahaja Zafira keluar.
“Kita tangguhkan dulu. Kita beritahu pasal ni kemudian,” cadang Encik Bahar.
“Saya pun fikir macam tu juga Encik Bahar. Kalau boleh, saya tak nak rahsiakan apa-apa daripada pengetahuan Zafira. Dia berhak tahu.”
“Kita fikirkan cara lain nanti. Encik Aqil jangan risau. Saya yakin, Zafira dapat terimanya,” kata Encik Bahar bernada memujuk.
Aqil sekadar mengangguk. Kata-kata Encik Bahar meniti di minda. Mungkin belum tiba masanya Zafira mengetahui tentang itu. Rasa bersalah kerana merahsiakan daripada pengetahuan Zafira. Berharap, Zafira dapat menerima seandainya adiknya tahu tentang wasiat itu kelak.


“KELAKAR juga tunang kau tu aku tengok. Comel pun ada juga,” beritahu Khairil, tersenyum.
“Kelakar? Entah apa-apa adalah,” cebik Iqwan, meluat.
“Kau ni, Wan. Dia kan dah jadi tunang kau. Nak tak nak, kau kena terima juga. Lagipun, kau sendiri yang buat keputusan nak bertunang dengan dia kan hari tu.”
“Aku terpaksa, kau tahu tak?”
“Terpaksa?” ulang Khairil, berkerut.
Iqwan terkedu. Ternyata dia sudah tersalah berbicara.
“Wan, kau…”
“Aku bukan seperti yang kau fikirkan,” pintas Iqwan, laju.
“Apa yang aku fikir?” tanya Khairil, ingin tahu.
“Yalah. Mesti kau nak kata yang aku ni terpaksa bertunang dan tak ikhlas, bukan?” tebak Iqwan sambil cuba menahan suara daripada bergetar.
“Hurm.... pandai juga kau baca fikiran aku. Memang itu yang aku fikirkan tadi.”
“Kita dah kawan lama. Aku dah boleh baca apa yang tersurat dan tersirat di hati dan minda kau tu.”
Terror juga kau ni. Kalau macam tu, tentu kau boleh baca apa yang tersurat dan tersirat di minda dan hati Zafira, kan?” sindir Khairil, selamba.
Iqwan terkedu. Kata-kata sindiran Khairil mengenai batang hidungnya sendiri.
“Aku harap kau ikhlas bertunang dengan Zafira. Aku tak nak kau bertunang kerana sebab,” ujar Khairil, penuh harapan.
Iqwan tidak membalas. Matanya memandang skrin telefon dengan pandangan kosong.
“Zafira tu seorang gadis yang baik. Aku nampak sinar kejujuran dan keikhlasan dia. Kalau kau tak hargai dia sebagai tunang kau, sama juga kau tak hargai dengan apa yang dia lakukan selama ini. Aku tak rasa cara dia tu salah.”
“Dia berusaha untuk mendapatkan cinta kau. Jarang aku tengok seorang perempuan berusaha untuk mendapatkan cinta lelaki. Selalunya yang aku tengok, lelaki saja yang berusaha nak mendapatkan cinta perempuan. Kau beruntung Wan. Beruntung kerana ada perempuan berusaha untuk mendapatkan cinta kau,” kata Khairil, panjang lebar. Sekadar memberi pendapat kepada kawannya itu.
Iqwan hanya mendengar. Penjelasan Khairil menusuk ke tangkai hati.
“Cuba kau buka pintu hati kau untuk terima dia sebagai tunang kau. Aku yakin, kau akan rasa apa yang dia rasa. Kau akan rasa bahagia dengan adanya tunang seperti Zafira,” sambung Khairil pula. Wajah Iqwan ditatap mesra. Ada riak keliru di wajah itu.
Iqwan masih lagi mendengar. Matanya masih memandang telefon di tangan.
“Aku pasti, Zafira dapat membahagiakan kau,” tambah Khairil lagi.
Iqwan menarik nafas dan melepaskannya berat. Matanya menatap wajah Khairil yang sedang tersenyum. Kawannya itu sentiasa ada di kala dia susah dan senang. Bersyukur kerana memiliki seorang kawan seperti Khairil Izhan.
Bunyi mesej telefon menyentak mereka berdua. Iqwan menghalakan mata ke skrin telefon. Nama ‘minah sengal’ tertera di skrin. Tanpa berlengah, kotak mesej dibuka lalu membaca mesej yang dikirim oleh Zafira.
“Siapa?” tanya Khairil, ingin tahu.
“Zafira!” balas Iqwan, sepatah.
“Dia nak apa?”
“Ajak keluar!”
“Bila?”
“Esok!”
“Hurm… aku cadangkan, eloklah kau keluar dengan dia. Cuba berkenalan dengan dia. Cuba kenal hati budi dia. Aku pasti, kau akan mengenali siapa Nur Zafira Sofea yang sebenarnya,” cadang Khairil bingkas bangun.
Tanpa menunggu balasan, dia beredar dari situ. Membiarkan Iqwan berfikir akan cadangannya itu. Berharap, Iqwan bersetuju keluar bersama dengan Zafira.
Iqwan hanya memandang. Kata-kata Khairil bermain-main di minda. Ada baiknya dia menerima cadangan Khairil itu. Mungkin dengan cara itu dia dapat mengenali siapa Zafira yang sebenarnya.

Terima kasih.

4 ulasan:

  1. Erm.. ntahlah.. kenapa hati rasa sedih eh baca n3 kali ni.. :( zafira... sucinya hati dia.. harap iqwan hargai sebelum terlambat..

    BalasPadam
  2. betul tu,jgn lepas ni iqwan pula yang terhegih2 dekat zafira. dpt yg elok x menghargai...bila dah terlepas baru menyesal.

    BalasPadam
    Balasan
    1. One day, Iqwan akn rs apa yg Zafira rs.

      Padam