Rabu, 18 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 13






ZAFIRA melangkah menyusuri kedai-kedai yang terdapat di pasaraya itu. Senyuman terukir di bibir. Senang hatinya ketika ini. Jalan berseorangan tanpa ditemani oleh sesiapa. Niatnya untuk keluar bersama Iqwan terpaksa dibatalkan tatkala Iqwan menolak ajakannya itu.
Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hampa dan kecewa tatkala ajakannya ditolak oleh Iqwan. Namun, dibuang jauh-jauh perasaan itu dan berfikiran positif. Mungkin Iqwan sibuk dengan tugasan kerjanya.
Nafas ditarik dan melepaskannya berat. Baru dua hari mereka bertunang, pelbagai dugaan yang dihadapi. Adakah terlalu awal dia bertunang dengan Iqwan? Adakah Iqwan tidak ikhlas dengan pertunangan ini?
Ya Allah, jauhi fikiran aku daripada memikirkan yang bukan-bukan. Aku yakin, dia ikhlas dalam pertunangan ini. Zafira cuba menyedapkan hati sendiri. Semoga firasat hatinya benar belaka.
“Wah! Cantiknya baju pengantin ni,” puji Zafira, tiba-tiba tatkala melalui sebuah butik pengantin. Diamati baju pengantin yang cantik tersarung di badan sebuah patung.
“Ya Allah, kalau la aku dapat pakai baju ni, mesti cantik. Wedding of the year,” kata Zafira, tersenyum malu.
Lantas, dibawa langkah masuk ke dalam butik. Sekadar untuk melihat baju pengantin itu. Sungguh, dia tertawan dengan baju tersebut.
“Baik aku tangkap gambar baju ni dan tunjuk pada Iqwan. Mesti dia pun sependapat dengan aku,” cadang Zafira pula.
Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam tas tangan. Tidak sabar untuk menangkap gambar baju pengantin itu dan menunjukkannya kepada Iqwan.
“Boleh saya bantu, cik?” tegur seseorang daripada belakang.
Zafira menoleh. Wajah seorang gadis menyapa mata. Senyuman diberikan kepada gadis itu.
“Boleh saya bantu, cik?” ulang gadis yang bernama Indah itu.
“Boleh saya tangkap gambar baju ni? Saya nak tunjuk pada tunang saya,” beritahu Zafira, ramah. Diunjuk baju pengantin yang terdapat di sebuah patung.
“Boleh! Silakan!” balas Indah dan beredar dari situ.
“Terima kasih!” ucap Zafira, tersenyum.
Tanpa membuang masa, kamera telefon difokuskan ke arah baju pengantin. Kemudian, gambar itu dihantar ke nombor telefon Iqwan.
“Nanti aku nak cadangkan pada dia butik ni. Baju-baju kat sini pun semuanya cantik,” kata Zafira masih tersenyum. Matanya meneroka butik pengantin itu.
Seminit kemudian, kedengaran bunyi mesej masuk. Pantas, jemarinya memainkan peranan  dengan membuka kotak mesej.

Suka hati kaulah nak pakai apa.

Mati senyuman Zafira tatkala membaca mesej Iqwan. Telefon bimbit dimasukkan semula ke dalam tas tangan. Hilang moodnya ketika ini. Dibawa langkah keluar dari butik pengantin itu.
Entah ke mana hala tujunya selepas ini, dia sendiri tidak tahu. Apa yang pasti, perutnya yang terasa lapar minta diisi. Ada baiknya dia ke restoran menunaikan hajat.


“DAH letih aku nasihatkan kau. Lepas ni, aku tak nak masuk campur dalam urusan kau lagi,” kesal Khairil sambil menggeleng.
“Aku tak suruh pun kau masuk campur dalam urusan aku. Kau sendiri yang nak masuk campur, kan?” Selamba Iqwan berkata. Seperti orang yang tidak berperasaan sahaja.
“Ya Allah! Kenapa dengan kau ni, Wan? Aku tengok kau dah makin berubah. Pentingkan diri sendiri. Tak pernah fikirkan perasaan orang lain.”
“Pengalaman mengajar aku, Khai.”
“Memang pengalaman mengajar kita. Tapi, bukan dengan cara macam ni. Kau mempermain-mainkan perasaan orang. Kau lukakan hati orang.”
“Aku tak permain-mainkan perasaan orang,” tukas Iqwan, keras.
“Zafira!” sebut Khairil, sepatah.
“Huh! Aku belum bersedia lagi nak terima dia. Boleh tak kau jangan nak paksa aku?” bentak Iqwan, menekan.
Khairil menghela nafas berat. Wajah tegang Iqwan ditatap. Segala nasihat yang diberi dipandang sepi oleh Iqwan. Adakah peristiwa yang lalu memberi kesan mendalam terhadap kawan baiknya itu?
“Encik tunang!” tegur Zafira, tiba-tiba.
Tersentak Iqwan dan Khairil mendengarnya. Dihalakan mata masing-masing ke arah suara yang menegur.
“Buat apa kat sini?” tanya Zafira, ramah.
Iqwan menelan liur. Sungguh, tidak menyangka akan berjumpa dengan Zafira di restoran itu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zafira ketika ini?
“Bukan ke awak pergi Ipoh hari ni? Ada urusan kerja di sana?” soal Zafira lagi.
Otaknya cuba merencanakan sesuatu. Bukan ke Iqwan ke Ipoh hari ini? Disebabkan itu, Iqwan menolak untuk keluar bersama.
“Ipoh?” sampuk Khairil sedikit terkejut.
“A’ah. Iqwan kata nak ke Ipoh dengan Khairil hari ni. Ada kerja katanya,” beritahu Zafira, jujur. Wajah Iqwan ditatap meminta penjelasan.
“Wan, bila masa pulak kita ada kerja kat Ipoh?” soal Khairil, kurang faham.
“Ada! Kau tu yang lupa,” balas Iqwan, selamba.
“Setahu aku, kita tak pernah ada deal dengan mana-mana syarikat di Ipoh. Wan, takkan kau…” Khairil mematikan ayat. Dia pasti, Iqwan berbohong dengan Zafira semata-mata tidak mahu keluar bersama dengan gadis itu.
“Ada! Kau tu yang tak tahu,” tekan Iqwan. Menegakkan kebenaran.
Rasa kurang enak ketika ini. Pandangan Zafira merimaskan.
“Wan, kenapa kau buat macam ni?” tanya Khairil tidak berpuas hati.
“Aku….”
“Tak apalah. Saya minta diri dulu,” sampuk Zafira. Dia yakin, Iqwan membohonginya ketika ini melihatkan riak bersalah di wajah pemuda itu.
Join us, Zafira,” pelawa Khairil, ramah.
It’s okey. Fira dah janji dengan along nak makan tengah hari bersama. Terima kasih, Khairil,” tolak Zafira, lembut.
Tanpa menunggu, dia melangkah keluar dari situ. Sungguh, dia berasa sebak ketika ini. Kenapa Iqwan berbohong dengannya? Kenapa Iqwan tidak berterus-terang sahaja? Bukankah lebih elok jika berterus-terang daripada berbohong?
“Ya Allah, aku mohon kekuatan. Ini yang aku mahu dan aku perlu hadapinya juga,” bisik Zafira kepada dirinya sendiri.
Khairil memandang pemergian Zafira. Kemudian, dihalakan mata ke arah Iqwan di hadapan. Hanya riak selamba yang terlukis di wajah itu. Kenapa Iqwan berbohong dengan Zafira? Apa perasaan Zafira ketika ini? Pasti gadis itu terasa dan terluka dengan sikap Iqwan.


“MACAM mana? Seronok keluar dengan Iqwan,” tanya Amylia, berminat. Dilabuhkan duduk di sisi Zafira di birai katil. Wajah adik iparnya ditatap kasih.
“Seronok!” jawab Zafira, sepatah.
Amylia mengangguk. Wajah ceria Zafira ditatap kasih.
“Iqwan belikan baju untuk Fira. Kak long nak tengok?” beritahu Zafira tanpa dipinta.
“Boleh juga,” balas Amylia, tersenyum.
Zafira segera mengeluarkan baju dari dalam beg kertas. Diunjuk baju itu di hadapan Amylia. Wajah tersenyum kakak iparnya itu ditatap kasih.
“Wow! Cantik! Pandai betul Iqwan pilih baju,” puji Amylia, kemudian.
Matanya menerokai baju yang dibeli oleh Zafira. Cantik dan menarik. Sesuai dipadankan dengan skirt malam.
“Along mana, kak long?” tanya Zafira tatkala menyedari ketiadaan Aqil.
“Ada kat taman. Tengah baca paper,” jawab Amylia. Matanya ralit melihat baju Zafira.
“Oh, Fira tak perasan along ada kat taman.”
“Kak long ada buat cucur udang. Kalau Fira nak makan, kak long sediakan.”
“Tak mengapalah kak long. Fira nak jumpa along sekejap,” tolak Zafira, lembut.
Dia bingkas bangun dari duduk dan menapak keluar dari bilik. Tidak dihiraukan Amylia yang sedang ralit meneroka baju yang dibelinya tadi. Dia perlu berjumpa dengan Aqil. Meminta izin Aqil untuk pulang ke kampung.
“Along!” tegur Zafia setibanya di belakang Aqil.
Aqil menoleh. Wajah Zafira menyapa mata.
“Bila balik? Along tak perasan pun tadi,” tanya Aqil, berkerut dahi.
“Baru saja,” balas Zafira sambil melabuhkan duduk.
Aqil meletak surat khabar di atas meja. Wajah Zafira ditatap dan memberi sepenuh perhatian kepada adiknya itu.
So, how’s your date?” tanya Aqil, berminat.
“Okey. Seronok!” balas Zafira, tenang.
Aqil mengangguk. Rasa tenang mendengarnya.
“Along, Fira ingat nak balik rumah mak long. Dah lama Fira tak ke sana,” beritahu Zafira, perlahan.
“Mak long?” ulang Aqil.
Zafira mengangguk. Berharap, Aqil bersetuju dengan permintaannya itu.
“Bila Fira nak ke sana?”
“Fira ingat, lepas Fira settlekan kerja yang along bagi hari tu.”
“Hurm… baiklah. Nanti along beritahu pada mak long.”
“Tak apa. Fira boleh beritahu sendiri. Along jangan risau.”
Aqil menghela nafas ringan. Anggukan diberikan buat adiknya itu.
“Kalau boleh, Fira nak minta seminggu.”
“Seminggu? Kenapa lama sangat?”
“Dah lama tak balik. Boleh ya, along?” pujuk Zafira, lembut.
Aqil berfikir sejenak. Perlahan-lahan kepala mengangguk kecil. Memberi kebenaran atas permintaan Zafira itu.
“Fira masuk bilik dulu. Terima kasih, along,” ujar Zafira bingkas bangun.
“Nanti mintak kak long bawakan kopi untuk along,” pinta Aqil, lembut.
Zafira mengangguk. Dia segera beredar dari situ. Nafas lega dilepaskan. Mujurlah Aqil bersetuju dengan permintaannya. Berharap, dia akan lebih tenang berada di kampung kelak.


“BAIKLAH nek. Nenek jangan risau. Khai akan cuba nasihatkan Wan,” kata Khairil dari hujung talian. Keluhan ringan terlepas daripada bibir.
“Nenek tak nak Iqwan lukakan hati Fira. Apa-apa pun, Iqwan kena bahagiakan Fira,” luah Hajah Noreha pula.
“Khai pun harap benda yang sama, nek. Zafira seorang gadis yang baik. Tapi, Wan masih belum dapat terima Zafira sebagai tunang dia.”
“Nenek tahu, Khai. Nenek tahu yang Iqwan sebenarnya tak sukakan Zafira. Iqwan berlakon di hadapan nenek sahaja. Dari riak muka Iqwan pun nenek dah boleh baca. Sebab itulah, nenek buat permintaan hari tu. Nenek nak jumpa dengan Zafira.”
“Khai pun dah letih nasihatkan Wan, nek. Semua yang Khai cakap, masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja.”
Hajah Noreha menghela nafas berat. Penjelasan Khairil sedikit sebanyak membuatkan dia terfikirkan sesuatu.
“Ada sebab ke kenapa Iqwan bertunang dengan Zafira?” tanya Hajah Noreha kemudian.
“Maksud nenek?” soal Khairil, berkerut dahi.
“Firasat nenek saja. Nenek rasa yang Iqwan terpaksa bertunang dengan Zafira. Mungkin ada sesuatu yang Iqwan rahsiakan daripada pengetahuan kita berdua,” jelas Hajah Noreha.
Itulah yang dirasai ketika ini. Iqwan mempunyai sebab tersendiri kenapa dia ingin bertunang dengan Zafira. Melihatkan dari gaya Iqwan, mustahil cucunya itu menyukai Zafira. Dia yakin, Iqwan cuba menyembunyikan sesuatu ketika ini.
“Khai pun fikir benda yang sama, nek. Bila Wan beritahu yang dia nak bertunang, Khai terkejut. Kenapa dengan tiba-tiba saja Wan nak bertunang? Bila Khai kata Wan ada sembunyikan sesuatu daripada Khai, Wan nafikan,” beritahu Khairil.
“Tak apalah, Khai. Kita tunggu dan lihat saja. Kalau betul firasat hati kita, tahulah apa yang nenek nak buat pada Iqwan.”
“Khai bukannya apa, nek. Khai kesiankan Zafira. Zafira seorang gadis yang jujur dan ikhlas. Tapi, bila Wan buat macam tu pada Zafira, Khai rasa kasihan. Contoh macam siang tadi. Khai tak sangka yang Wan sanggup berbohong dengan Zafira semata-mata nak mengelak daripada keluar dengan Zafira. Khai betul-betul tak faham dengan perangai Wan,” luah Khairil, panjang lebar. Rasa kasihan hadir dengan tiba-tiba. Kasihan dengan Zafira ketika ini.
“Tak mengapalah Khai. Buat masa sekarang ni, kita tengok saja apa yang Iqwan lakukan. Kalau ia memudaratkan, Khai masuk campur. Nenek tak nak gadis sebaik Zafira dilukai. Nenek sukakan Zafira. Nenek berharap sangat yang Zafira jadi menantu cucu nenek.”
“Insya-Allah, nenek. Khai pun berharap yang sama juga. Khai tak nak Wan memendam perasaan dengan apa yang berlaku selama dua tahun ni. Khai tahu, Wan masih ingat dengan apa yang terjadi dahulu.”
“Nenek tahu, Khai. Nenek nampak perubahan Iqwan.”
Khairil hanya mengangguk. Apa yang dirasai oleh Hajah Noreha terhadap Iqwan sama seperti apa yang dirasainya juga. Bagaimana untuk membantu Iqwan jika kawannya itu menolak untuk menerima nasihatnya itu?
“Nenek letak dulu. Apa-apa nanti, Khai beritahu pada nenek,” ujar Hajah Noreha.
“Baiklah, nek. Insya-Allah, kalau ada apa-apa nanti Khai beritahu pada nenek,” balas Khairil sambil mengangguk kecil.
Hajah Noreha turut sama mengangguk. Setelah berpamitan, dia mematikan talian. Keluhan ringan dilepaskan. Otaknya sarat memikirkan tentang Iqwan.
Agak sukar untuk menyelami perasaan cucunya itu. Bagaimana untuk menyedarkan Iqwan ketika ini? Berharap, Zafira dapat membahagiakan cucunya itu.





2 ulasan:

  1. Thanks 4 this n3.. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Welcome. Thanks coz follow this story. :)

      Padam