Khamis, 19 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 14






“AWAK! Marilah sini!” panggil Zafira sedikit meninggi.
Iqwan tidak mengendahkan panggilan Zafira. Dia meneroka telefon bimbitnya.
“Awak!” Zafira memanggil buat kali yang kedua.
“Hisy… minah ni. Terpanggil-panggil macam orang gila tu kenapa?” rungut Iqwan.
“Awak!” Zafira masih lagi memanggil. Dia melambai tangan ke arah Iqwan.
“Nenek punya pasal la ni. Suruh aku ke sini pagi-pagi buta. Mesti minah tu yang suruh nenek ajak aku ke sini,” bebel Iqwan pula. Lambaian Zafira buat endah tak endah sahaja.
“Kalau tak ikutkan, ugut aku macam-macam. Cucu tak kenang budi la. Tak dapat harta la. Yang nenek bela sangat minah tu kenapa? Apa yang ada pada minah tu pun aku tak tahu.”
Zafira memandang ke arah Iqwan. Kenapa Iqwan tidak menyahut panggilannya? Diamati wajah Iqwan daripada jauh. Hanya riak kebosanan terlukis di wajah itu.
“Bila nak balik ni? Bosan betul!” luah Iqwan lagi.
Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Masa baru menginjak ke angka sepuluh pagi. Seawal pagi dia diarah ke taman. Entah sebab apa, dia sendiri tidak tahu. Sebaik sahaja sampai, kelibat Zafira berserta beberapa orang kanak-kanak menyapa mata.
“Awak!” tegur Zafira, tiba-tiba.
Iqwan tersentak. Dihalakan mata ke wajah Zafira.
“Jomlah main! Budak-budak tu ajak awak main sama,” beritahu Zafira, tersenyum.
“Aku tak nak. Kau pergilah main dengan dia orang,” tolak Iqwan, serius.
“Ala… jomlah. Takkan awak nak duduk kat sini seorang-seorang?” balas Zafira.
Tangan Iqwan ditarik dan cuba untuk membangunkan pemuda itu. Namun, Iqwan mengeraskan tubuhnya.
“Aku tak nak!” Iqwan berkata tegas. Ditarik kasar tangannya dari pegangan Zafira.
Zafira tersentak. Ditatap wajah tegang Iqwan.
“Kalau bukan disebabkan nenek, aku tak ada kat sini. Menyusahkan betul!” rungut Iqwan berserta dengusan kasar.
Zafira hanya mendengar. Tidak berniat membalas.
“Nenek ni pun satu. Dengar sangat cakap dia. Entah apa yang diayat minah tu pun aku tak tahu,” bisik Iqwan, perlahan.
Dia melangkah pergi dari situ. Tidak diendahkan Zafira yang sedang memandang ke arahnya. Rasa menyesal menumpang di hati. Menyesal bertunang dengan Zafira.
Zafira tersentap mendengarnya. Adakah selama ini dia membomohkan Hajah Noreha? Begitu sekali tanggapan Iqwan terhadap dirinya. Terkadang hatinya tertanya.
Adakah Iqwan ikhlas bertunang dengannya? Adakah Iqwan dipaksa oleh seseorang? Dibawa langkah beredar dari situ tatkala kanak-kanak memanggil namanya. Diukir senyuman di bibir. Sekadar menutup rasa di hati.


“ZAFIRA ke mana?`” soal Aqil.
“Hari ni rumah anak-anak yatim ada buat majlis. Jadi Zafira ke sana tolong Hajar,” jawab Amylia. Dihulurkan secawan kopi kepada Aqil dan dibalas oleh suaminya itu.
“Dengan siapa?”
“Dengan Iqwan!”
“Iqwan?”
Amylia menganggukkan kepala. Dilabuhkan duduk di sisi dan memandang tingkah laku Aqil yang sedang menghirup kopi.
“Iqwan tak kata apa-apa?” tanya Aqil sekadar ingin tahu.
“Tak pasti pulak Amy. Fira just beritahu yang dia ajak Iqwan ke sana. Tak sure lagi Iqwan setuju ke tidak. Tapi tadi Fira ada mesej Amy beritahu Iqwan ada sekali di sana,” terang Amylia.
Aqil mengangguk faham. Diletakkan cawan kopi di atas meja.
“Abang tak nak Fira memaksa Iqwan. Abang tahu, Iqwan masih tak dapat terima Zafira. Iqwan tak ikhlas bertunang dengan Zafira.”
“Abang, semua tu dah ditakdirkan. Nak tak nak, kita kena terima.”
“Abang tahu, Amy. Abang harap Iqwan dapat terima Zafira seadanya.”
“Insya-Allah, bang. Kita doakan yang terbaik untuk mereka berdua.”
Aqil mengangguk lemah. Cawan di hadapan ditatap dengan pandangan yang kosong. Otaknya ligat memikirkan tentang Zafira. Rasa sebak tatkala memikirkan tentang adiknya itu.
Bunyi dari arah telefon mengganggu perbualan mereka berdua. Dicapai telefon bimbit dari atas meja dan menatap nama di skrin. Nama Puan Anida tertera di situ.
“Ya, mak long!” balas Aqil sebaik sahaja salam bersambut.
“Zafira macam mana?” tanya Puan Anida, prihatin.
“Macam mana apa, mak long?” tanya Aqil, kurang faham.
“Dengan tunangnya,” balas Puan Anida.
“Oh! Okey saja, mak long.”
“Okey? Maksud okey tu macam mana? Kadang-kadang elok. Kadang-kadang tak elok ke Zafira dengan tunangnya?”
“Err..”
Aqil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa jawapan yang harus diberikan kepada mak longnya? Matanya memandang wajah berkerut Amylia.
“Aqil!”                                               
“Ya, mak long. Hubungan mereka baik.”
Puan Anida menghela nafas ringan. Kepala mengangguk kecil.
“Fira kata nak bercuti di sana,” ujar Aqil pula.
“Bercuti? Bila?” tanya Puan Anida.
“Lepas Fira settlekan kerja. Aqil beritahu dulu pada mak long. Aqil takut kalau Fira lupa nak beritahu mak long.”
“Oh, baiklah. Nanti sebelum ke sini, beritahu pada mak long.”
“Baiklah, mak long.”
“Kalau macam tu, mak long letak dulu. Kirim salam pada Amy dan Fira,” ujar Puan Anida dan mematikan talian.
Aqil turut sama mematikan talian. Mujurlah Puan Anida tidak bertanya lebih tentang Zafira. Jika tidak, bagaimana untuk menjawabnya. Rasa risau menujah ke hati. Adakah Puan Anida dapat menghidu di sebalik pertunangan Zafira?


“MANA dia pergi ni?” tanya Zafira sendirian.
Telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket seluar jeans. Nombor Iqwan dicari lalu mendail nombor itu. Menanti panggilan berjawab. Sejak dari tadi dia mencari Iqwan. Namun, bayang tunangnya itu tidak kelihatan.
“Dah balik ke?” duga Zafira pula.
Nombor Iqwan masih lagi didail. Dibawa langkah menuju ke sebuah bangku yang terdapat di taman itu. Seminit kemudian, dia berkerut dahi tatkala telinganya disapa dengan bunyi telefon. Diamati bunyi tersebut.
“Bunyi telefon!” kata Zafira.
Melilau matanya mencari arah bunyi tersebut. Setelah berjumpa, dicapai telefon lalu menatapnya. Adakah telefon bimbit itu milik Iqwan?
“Telefon Iqwan ke ni?” soal Zafira kepada dirinya sendiri.
Dihalakan mata ke sekeliling taman. Mencari kelibat Iqwan. Ke mana Iqwan pergi ketika ini? Adakah Iqwan sudah pulang ke rumah?
“Mungkin orang lain punya. Baik aku cuba call Iqwan lagi,” putus Zafira pula.
Nombor Iqwan didail semula. Dia tersentak tatkala telefon bimbit yang dipegangnya bergetar dan berbunyi. Benarlah telefon itu milik Iqwan.
“Minah sengal?” sebut Zafira kemudian.
Berkerut dahinya ketika ini. Siapa minah sengal yang dimaksudkan di skrin itu? Adakah dirinya yang dianggap ‘minah sengal’? Lantas, didail semula nombor Iqwan. Sekadar untuk mengesahkan tentang itu semula.
“Aku…  aku minah sengal?” ujar Zafira, perlahan.
Rasa sebu hadir dengan tiba-tiba. Tidak menyangka Iqwan sanggup melabelkan dirinya ‘minah sengal’. Adakah dia seteruk itu?
“Mungkin… mudahkan dia nak ingat.”
Zafira menduga. Sekadar untuk menyedapkan hati sendiri.
“Tak pun… nama manja untuk aku,” kata Zafira lalu ketawa kecil.
Dilabuhkan duduk di bangku. Rasa curiga menyelinap masuk ke dalam hati. Adakah Iqwan mempunyai sebab bertunang dengannya?
“Kau buat apa kat sini? Dia orang cari kau kat sana?” tegur Iqwan, tiba-tiba.
Tersentak Zafira mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Iqwan.
“Lama lagi ke kau kat sini? Kalau lama, aku nak balik dulu. Rimas aku kat sini,” kata Iqwan lagi. Dilabuhkan duduk di bangku berhadapan dengan Zafira. Wajah gadis itu ditatap.
Zafira tidak membalas. Matanya menatap wajah Iqwan. Tenang dilihatnya ketika ini. Adakah pemuda itu tidak mempunyai perasaan?
“Kau dengar ke tidak dengan apa yang aku cakapkan ni?” tegur Iqwan, menekan.
Zafira hanya tersenyum. Dihulurkan telefon bimbit kepada Iqwan. Setelah itu, dia bingkas bangun dan beredar dari situ.
Ada baiknya dia beredar dari situ. Jika tidak, semakin sebak hatinya memikirkan tentang penerimaan Iqwan. Kenapa Iqwan bersikap kurang senang dengannya? Adakah dia seorang yang merimaskan?
“Aku tahu, dia tak ikhlas dengan pertunangan ni,” bisik Zafira, lemah.
Iqwan hanya memandang. Berkerut dahinya melihat tingkah laku Zafira.
“Ah! Lantak dia la. Baik aku balik rumah dari aku tunggu kat sini,” putus Iqwan.
Tanpa menunggu, dia melangkah pergi dari situ. Ditatap telefon bimbitnya buat seketika. Namun, langkahnya terhenti tatkala nama ‘minah sengal’ menyapa mata.


DEAR My Dream Husband, 

Terima kasih kerana sudi temankan saya siang tadi. Saya happy sangat-sangat. Saya tahu, awak tak ikhlas temankan saya siang tadi. Awak dipaksa oleh nenek. Tapi tak mengapa. Saya tetap gembira dengan kehadiran awak. Saya tak ambil hati dengan sikap awak terhadap saya dan saya ikhlas terimanya. Hanya awak yang saya cinta dan sayang.

                                          Your future wife - NZS

Zafira menutup diari. Dibaringkan tubuh dan memandang siling bilik yang berwarna putih. Kosong. Itulah yang dirasai ketika ini. Dia mengiringkan tubuh lalu memahatkan mata ke sebuah bingkai gambar di atas meja solek.
Gambar pertunangannya elok terletak di dalam bingkai. Ditatap wajah Iqwan di dalam gambar itu. Jelas senyuman paksa di bibir Iqwan.
“Aku tak akan mengaku kalah. Aku tak akan berputus asa. Aku yakin, dia akan terima aku,” kata Zafira sendirian. Diangkat tubuh lalu bersandar di kepala katil.
“Walau apa pun, aku tetap akan berusaha untuk pikat hati dia. Semenjak pertemuan itu, aku berazam untuk dapatkan dia walau dengan apa cara sekali pun. Biarlah orang nak kata aku ni perigi cari timba. Aku tak peduli. Yang penting, Iqwan jadi milik aku. Sebab Iqwan Hafiz… my dream husband,” putus Zafira pula.
Senyuman terukir di bibir. Rasa semangat ketika ini. Ada baiknya dia membuang semua rasa di hati. Jika tidak dia yang akan merana diri.
“Chaiyok Zafira! Kau pasti berjaya,” kata Zafira kepada dirinya sendiri.


“MACAM mana dengan dating kau siang tadi? Okey?” tanya Khairil, berbasa-basi.
Dating? Bila masa pulak aku dating?” tukas Iqwan.
Khairil tergelak.
“Yang kau gelak, kenapa?” tegur Iqwan, serius.
“Siang tadi kan kau keluar dengan Zafira. Bukan dating ke tu?”
“Tak ada maknanya aku nak dating dengan dia. Aku ke sana pun sebab nenek yang suruh. Kalau aku tahu, baik aku tidur kat rumah saja,” luah Iqwan akan ketidakpuasan di hati.
Khairil menggelengkan kepala. Wajah tegang Iqwan ditatap.
“Nenek tu pun satu. Entah apa yang dipandang pada minah sengal tu pun aku tak tahu. Ubat guna-guna apa yang minah sengal tu dah bagi kat nenek?”
“Wan, tak baik tuduh Zafira macam tu. Dah memang nenek sukakan Zafira, nak buat macam mana,” tegur Khairil, kurang senang.
“Aku rasa keputusan aku bertunang dengan dia adalah keputusan yang salah,” ujar Iqwan, perlahan. Nafas dihela berat.
Khairil tersentak mendengarnya. Kenapa Iqwan berkata begitu?
“Aku tak patut setuju bertunang dengan Zafira.”
Iqwan masih lagi meluahkan. Rasa kesal dengan keputusannya dahulu.
“Kau ni kan Wan. Aku belasah baru tahu,” geram Khairil.
Iqwan tidak membalas. Dia memandang kakinya sendiri.
“Cakap macam ‘keling’. Mana satu yang betul? Kau yang beria-ria sangat nak bertunang dengan Zafira. Sekarang kau menyesal pulak. Apa niat kau sebenarnya pada Zafira?” kata Khairil bernada geram. Tajam matanya ke wajah Iqwan yang menunduk.
Iqwan membisu. Kata-kata Khairil menusuk ke tangkai hati.
“Aku tak faham dengan kau ni Wan. Kau bertunang dengan Zafira. Tapi, dalam masa yang sama, kau tak sukakan dia. Bertunang apa namanya tu?” Khairil masih lagi meluahkan ketidakpuasan di hati selama ini.
“Aku menyesal dengan keputusan aku. Aku tak patut terima dan setuju dulu,” balas Iqwan seraya mengangkat wajah.
“Terima? Setuju? Apa maksud kau, Wan?” soal Khairil bernada serius.
“Aku…”
Kata-kata Iqwan termati tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Dicapai telefon lalu menatap nama di skrin. Nama ‘minah sengal’ menyapa mata. Keluhan dilepaskan. Jemarinya menekan butang hijau. Terlayar wajah Zafira di skrin itu.
“Hai encik tunang! Dah tidur ke? Sorry kalau ganggu encik tunang,” tegur Zafira, ramah.
Iqwan tidak membalas. Matanya menatap wajah Zafira di skrin.
“Aku keluar sekejap,” ujar Khairil.
Kurang enak berada di situ. Ada baiknya dia beredar. Sekadar memberi ruang persendirian kepada Iqwan dan Zafira. Sudah menjadi kebiasaan buat Zafira ber video call bersama Iqwan. Senyuman terbit di bibir tatkala memikirkan tingkah laku Zafira.
“Kau nak apa?” tanya Iqwan, serius.
“Tak ada apa. Saja. Rindu kat encik tunang,” balas Zafira, tersenyum.
“Kalau tak ada apa, aku nak tidur. Dah lewat! Badan aku ni pun penat.”
Zafira sekadar tersenyum. Matanya menatap wajah Iqwan.
“Aku letak dulu.”
“Terima kasih, awak.”
Iqwan berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata ucapan Zafira.
“Terima kasih kerana sudi temankan ‘minah sengal’ ni siang tadi. Assalamualaikum,” ucap Zafira dan mematikan panggilan.
Iqwan tersentak. Minah sengal! Adakah Zafira tahu nama gelaran yang diberikannya itu?



9 ulasan:

  1. Geram nye ngan mamat poyo nih!satgi...kacau bilau lh hati mamat poyo dek Minah sengal...

    BalasPadam
    Balasan
    1. one day.. iqwan akan rasa mcm mana zafira rasa.

      Padam
  2. Geram nye ngan mamat poyo nih!satgi...kacau bilau lh hati mamat poyo dek Minah sengal...

    BalasPadam
  3. Siannya zafira.. :( hati iqwan dingin mcm ais.. kuat zafira! Hehe.. Salurkan haba perlahan2.. lps ni mesti iqwan cair.. chaiyok3! Iqwan mybe ada kisah hitam.. just like u, zafira! :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. maybe ada kisah tersendiri.. itu yg iqwan jd mcm tu..

      Padam
  4. Zafira ni memang irritating.. Kasihan...sbb rela diri diperlaku begitu.
    Bertepatan dgn. peribahasa melayu.. hidung tak mancung pipi tersorong2..
    Wake up Zafira, jika suka pun tak perlulah jadi macam itu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. yup! mmg tepat dgn peribahasa tu. x apa.. kita tgk nti mcm mana.. adakah selama2nya zafira akan mcm tu.

      Padam