Jumaat, 20 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 15






“ENCIK Iqwan ada?” tanya Zafira, ramah.
Haniza sedikit terkejut. Diangkat wajah dan memandang ke wajah Zafira.
“Maaf, Haniza. Saya tak sengaja,” kesal Zafira pula.
“Tak apa, Cik Zafira. Saya tak perasan Cik Zafira tadi.”
“Saya lupa nak bagi salam. Encik Iqwan ada?”
“Encik Iqwan? Dia ada meeting kat luar. Tapi tadi dia ada call saya yang dia on the way balik office. Cik Zafira nak tunggu ke atau…”
“Tak apa. Saya tunggu. Ada perkara yang saya nak bincang dengan dia,” pintas Zafira, tersenyum. Wajah Haniza, setiausaha Iqwan ditatap mesra.
“Kalau macam tu, Cik Zafira boleh duduk di ruangan menunggu. Bila Encik Iqwan balik nanti, saya beritahu pada Cik Zafira,” arah Haniza, lembut.
Zafira mengangguk faham. Matanya meneroka segenap ruang meja Haniza. Cantik perhiasan yang berada di atas meja Haniza. Pandai Haniza menghias meja sendiri.
“Bekas makanan tu, awak punya ke Haniza?” tanya Zafira tatkala terpandangkan sebuah bekas makanan di sisi Haniza. Seperti mengenali bekas makanan itu.
“Oh, bekas ni. Taklah Cik Zafira. Encik Iqwan bagi pada saya. Kata Encik Iqwan, pembantu rumahnya ada masak lebih, jadi dia bagilah pada saya,” beritahu Haniza, tersenyum. Tanpa mengesyaki apa-apa.
Zafira mengangguk faham. Senyuman hambar terukir di bibir. Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba. Dikerdipkan mata agar air mata tidak tumpah membasahi pipi.
“Cik Zafira duduk dulu. Nanti kalau Encik Iqwan balik, saya beritahu pada Cik Zafira.”
“Baiklah! Terima kasih, Haniza,” ucap Zafira lalu menapak ke sofa.
Nafas ditarik dan melepaskannya berat. Kecewa dengan penerimaan Iqwan. Hampir sebulan setengah mereka bertunang. Sikap dan perangai Iqwan tetap tidak berubah.
Pelbagai usaha yang dilakukan demi mengubah tanggapan Iqwan terhadap dirinya. Semuanya tidak mendatangkan hasil. Bagaimana dengan bulan yang seterusnya? Adakah Iqwan masih tetap tidak dapat menerimanya sebagai tunang?
Zafira melabuhkan duduk di sofa lalu memejamkan mata. Sudah acap kali dia terlihat bekas makanannya di atas meja Haniza. Adakah Iqwan tidak sudi menerima pemberiannya selama ini? Bersungguh dia belajar memasak. Semuanya dilakukan demi persediaan sebelum menjadi seorang isteri. Adakah usahanya itu hanya sia-sia?
“Tak apalah. Mungkin masakan aku tak sedap. Sebab itulah dia bagi pada Haniza.” Zafira memujuk hatinya sendiri walaupun perasaan sebak menumpang di hati.
“Kesian Pak Cik Mazlan sebab pertolongannya hanya sia-sia sahaja,” kata Zafira lagi.
Ingatannya memutarkan kembali pertemuan dengan Pak Cik Mazlan. Security guard yang bekerja di syarikat Iqwan. Setiap kali dia ingin membekalkan makanan buat Iqwan, dia akan singgah di pejabat Iqwan sebelum ke pejabat. Mujur juga Aqil tidak membantah dengan apa yang dilakukannya selama ini.
Selama itu juga, Pak Cik Mazlan yang menghantar makanan kepada Iqwan. Bersyukur kerana mengenali lelaki tua sebaik Pak Cik Mazlan.
Haniza hanya memerhati. Rasa kasihan menumpang di hati. Kasihan melihat Zafira ketika ini. Bukannya dia tidak kenal dengan Zafira. Gadis itu merupakan tunang kepada Iqwan.
Khairil sendiri yang memberitahu tentang itu. Kata Khairil, dia tidak mahu orang menganggap yang bukan-bukan mengenai Zafira. Daripada menimbulkan sebarang fitnah, ada baiknya diberitahu siapa Zafira yang sebenarnya.


“CIK Zafira!” tegur Haniza sambil menggoncang lembut bahu Zafira.
“Haa… apa dia?” tanya Zafira, terpinga-pinga.
“Maafkan saya, Cik Zafira.”
“Tak mengapa Haniza. Maaf. Saya terlelap tadi.”
“Encik Iqwan tak jadi masuk office. Dia terus ke Ampang. Ada meeting di sana,” beritahu Haniza, serba salah.
“Tak jadi masuk?” ulang Zafira, terkejut.
Haniza menganggukkan kepala. Rasa kasihan menumpang di hati. Selama dua jam Zafira menanti Iqwan. Namun, kelibat bosnya tidak juga muncul-muncul. Tatkala dia menelefon, hanya alasan jalan sesak yang diberikan oleh Iqwan. Adakah Iqwan sengaja untuk mengelak daripada berjumpa dengan Zafira?
Haniza perasan. Setiap kali Zafira ke pejabat, hanya riak kurang senang yang dipamerkan oleh Iqwan. Seolah-olah tidak menyenangi dengan kehadiran Zafira. Apa yang menjadi persoalan, kenapa Iqwan bertunang dengan Zafira? Adakah Iqwan mempunyai agenda tersendiri terhadap Zafira?
“Ya Allah, apa yang aku fikirkan ni? Hisy, tak baik curiga dengan orang,” marah Haniza kepada dirinya sendiri.
“Haniza!” tegur Zafira, berkerut dahi.
“Haa… apa dia Cik Zafira?” tanya Haniza, kalut.
“Boleh tak saya nak masuk bilik Encik Iqwan sekejap? Saya nak letak sesuatu atas meja dia,” pinta Zafira, cermat.
Haniza berfikir sejenak. Hatinya berkira-kira untuk bersetuju dengan permintaan Zafira.
“Awak jangan risau. Saya bukannya nak letak bom dalam bilik bos awak tu,” gurau Zafira lalu ketawa kecil. Wajah serba salah Haniza ditatap mesra.
“Cik Zafira ni, mana ada saya fikir macam tu,” tukas Haniza, tersenyum malu.
Zafira masih lagi ketawa. Matanya memandang wajah Haniza. Gadis itu seorang yang baik dan peramah. Senang berurusan dengan Haniza setiap kali dia ke pejabat Iqwan.
“Baiklah, saya benarkan. Nanti saya beritahu pada Encik Iqwan,” putus Haniza.
Zafira tersenyum lalu bingkas bangun dari duduk. Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Masa sudah merangkak ke angka dua petang. Terlalu lama dia berada di pejabat Iqwan. Pasti Aqil akan memarahinya kerana mengabaikan kerja.
“Saya ke bilik Encik Iqwan sekejap,” beritahu Zafira kemudian.
Haniza hanya mengangguk. Matanya mengekori langkah Zafira sehingga hilang di sebalik pintu bilik Iqwan. Setelah itu, dia segera menuju ke tempatnya semula. Kerja yang tertangguh perlu disiapkan. Jika tidak, pasti dia akan dimarahi oleh Iqwan.


ZAFIRA memerhati segenap ruang bilik Iqwan. Cantik dan menarik susun atur yang terdapat di dalam bilik itu. Ternyata Iqwan seorang yang menitik beratkan soal penampilan dan kekemasan. Rasa kagum memiliki Iqwan sebagai tunangnya. Kagum? Perkataan itu berlegar-legar di minda.
Apalah gunanya jika dia seorang sahaja yang mengagumi sedangkan Iqwan tidak. Apalah gunanya dia berusaha jika Iqwan masih tidak dapat menerimanya sebagai tunang. Dilabuhkan duduk buat seketika. Melepaskan lelah di situ.
Setelah hampir lima minit mententeramkan perasaan, Zafira mengeluarkan sekeping kad dari dalam tas tangan. Kad jemputan ke majlis makan malam daripada rakan universiti yang bakal berlangsung tidak lama nanti.
Niatnya untuk menjemput Iqwan sebagai pasangannya pada majlis itu. Tetapi, adakah Iqwan sudi menemaninya ke majlis tersebut? Persoalan yang tiada jawapan.
“Ya Allah, terjatuh la pulak,” keluh Zafira tatkala kad jemputan jatuh ke lantai.
Dijatuhkan tubuh untuk mencari kad jemputan itu. Melilau matanya mencari dan akhirnya dia berjumpa. Namun, tingkah lakunya terhenti tatkala terpandangkan sesuatu.
“Bukan ke bunga ni….” Zafira mematikan ayat.
Dia segera mencapai bakul sampah yang berada hampir di meja Iqwan. Dikeluarkan satu persatu barang yang berada di dalam bakul sampah itu.
“Bunga!” sebut Zafira, sepatah.
Ditatap bunga itu dengan pandangan yang kosong. Kemudian, dikeluarkan sapu tangan yang ditempah khas buat Iqwan ketika dia berada di Langkawi tidak lama dulu. Sewaktu dia menghadiri seminar di sana atas arahan Aqil.
“Sapu tangan!” sebut Zafira lagi. Air mata mulai bergenang di tubir mata. Menunggu masa untuk merembes keluar sahaja.
Mr.Bear!” sebut Zafira, perlahan.
Dipeluk erat patung beruang tersebut. Patung yang dibeli ketika mereka berdua keluar bersama pada minggu lepas. Atas paksaannya, Iqwan bersetuju untuk keluar.
“Ya Allah! Ternyata aku salah dalam membuat keputusan. Terima kasih, Allah. Terima kasih kerana menyedarkan aku dari lena yang panjang,” luah Zafira, sebak.
Air mata yang ditahan sedari tadi menitis membasahi pipi. Pantas, diseka air mata itu lalu bangun dari keadaan menunduk. Dimasukkan semula barang-barang itu ke dalam bakul sampah. Kad jemputan yang berada di tangan diletakkan di atas meja dan beredar dari bilik itu.
“Zafira?” tegur Khairil, tiba-tiba.
“Khairil!” balas Zafira sambil cuba mengawal suara.
“Buat apa kat sini?”
“Nak jumpa dengan Iqwan tapi dia tak ada.”
“Iqwan? Bukan ke Iqwan dah balik dua jam yang lepas?”
“Haniza kata, Iqwan ada meeting kat Ampang.”
Meeting apanya, Zafira? Iqwan dengan saya tadi. Saya ingatkan dia dah masuk office sebab saya ke bangunan hadapan. Ada temu janji dengan client,” jelas Khairil, serius.
Zafira menganggukkan kepala. Senyuman hambar terbias di wajah. Ternyata, Iqwan sengaja memberi alasan untuk tidak berjumpa dengannya.
“Sekejap, saya call Iqwan,” ujar Khairil sambil mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Kepala menggeleng kecil dengan tingkah laku Iqwan.
“Tak apalah, Khairil. Tak perlu susah-susah. Fira dah nak balik. Lagipun, dah lama sangat Fira kat sini. Nanti Abang Aqil marah Fira sebab abaikan kerja,” tahan Zafira, lembut.
“Tapi, Zafira…”
It’s okey. Fira minta diri dulu,” pamit Zafira dan beredar dari situ.
Khairil hanya memandang. Apa yang tidak kena dengan Zafira? Adakah sesuatu terjadi kepada Zafira ketika ini?
Seminit kemudian, dia segera menuju ke bilik. Kepenatan yang dirasai perlu direhatkan. Semoga apa yang difikirkannya ketika ini tidak benar. Iqwan sengaja untuk tidak berjumpa dengan Zafira.


“INI surat dan perjanjian yang Encik Iqwan minta saya buat. Kalau ada kesalahan apa-apa, Encik Iqwan beritahu pada saya,” beritahu Haniza sambil menghulurkan fail.
“Terima kasih. Ada apa-apa pesanan untuk saya lagi?” tanya Iqwan sambil membuka fail.
“Encik Michael call tadi. Dia minta mesyuarat pada hari esok ditangguhkan sebab dia ada hal kecemasan. Isterinya sakit dan masuk hospital.”
“Okey. Awak take note tentang tu. Ingatkan saya semula. Ada lagi?”
“Encik Aqil ada call tadi. Dia…”
“Encik Aqil?” pintas Iqwan seraya mengangkat wajah.
“Ya, Encik Iqwan. Encik Aqil.”
“Kenapa dengan Encik Aqil?”
“Encik Aqil tanya tentang Cik Zafira sama ada Cik Zafira masih ada di sini ataupun tidak. Dia cuba call Encik Iqwan tapi tak dapat,” terang Haniza penuh cermat.
Iqwan mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar. Gelap! Telefon bimbitnya kehabisan bateri.
“Bateri habis,” ujar Iqwan kemudian.
Haniza mengangguk. Matanya menatap mesra wajah Iqwan.
“Dia cari Zafira?” ulang Iqwan tatkala menyedarinya.
“Cik Zafira tak balik office lagi, Encik Iqwan. Encik Aqil cuba call Cik Zafira tapi tak dapat. Sebab itulah Encik Aqil call ke sini tanya tentang Cik Zafira.”
“Bukan ke Zafira dah balik dua jam yang lepas?” duga Iqwan.
Itulah yang diberitahu oleh Haniza tadi sebaik sahaja dia masuk ke pejabat beberapa jam yang lepas. Ke mana pula Zafira pergi?
“Saya pun tak pasti, Encik Aqil,” ujar Haniza serba salah.
“Tak mengapalah. Awak boleh keluar dulu. Terima kasih,” arah Iqwan, tersenyum nipis.
Haniza mengangguk. Setelah itu, dia beredar dari bilik itu. Hatinya menduga sesuatu. Adakah berlaku apa-apa terhadap Zafira ketika ini?
Iqwan menyandarkan tubuh ke kerusi. Otaknya ligat berfikir. Adakah Zafira yang sedang berlegar-legar di mindanya itu? Adakah kenyataan yang keluar daripada mulut Haniza sebentar tadi membuatkan dia berasa lain? Ke mana Zafira pergi?
Lantas, charger telefon dicari. Setelah berjumpa, telefon bimbit yang kehabisan bateri di cas lalu menghidupkannya. Ada baiknya dia cuba menelefon Zafira. Manalah tahukan Zafira akan menjawab panggilannya itu.
Berkali dicuba namun tidak berjaya. Suara operator menyapa pendengaran. Ke mana Zafira pergi? Kenapa Zafira tidak dapat dihubungi?
“Mana minah ni pergi? Takkan merajuk kut?” soal Iqwan.
Berkerut-kerut dahinya memikirkan tentang Zafira. Di mana Zafira ketika ini?
“Ala, bukan sekali dua aku buat macam ni. Dah banyak kali aku buat. Takkan kali ni dia tak boleh nak terima pulak? Takkan merajuk kut?” Iqwan bersoal jawab sendirian.
Otaknya masih lagi berfikir. Ditatap sekeping kad di hadapan dengan pandangan kosong. Mindanya sarat memikirkan Zafira.
“Kad?” sebut Iqwan, tiba-tiba.
Dicapai kad itu lalu membukanya. Jemputan ke majlis makan malam menyapa mata. Adakah kad itu pemberian Zafira? Adakah Zafira ingin menjemputnya ke majlis itu?
“Aduh! Penat otak aku berfikir. Nanti-nantilah aku tanya dia,” rungut Iqwan pula.
Dia bingkas bangun dari  duduk. Ada baiknya dia pulang ke rumah daripada memikirkan tentang Zafira. Rasa sesak nafas memikirkan tentang Zafira. Semoga tidak ada apa yang berlaku kepada Zafira, doa Iqwan dalam hati.

 Jumpa minggu hadapan. Terima kasih.

8 ulasan:

  1. X suka la iqwan tu jahat .

    BalasPadam
  2. Padan ngan muka mamat poyo!nk lagi cik writer...

    BalasPadam
    Balasan
    1. minggu dpn ya.. kasi rindu pd iqwan poyo tu.. kihkih..

      Padam
  3. kesian zafira, tak suka dgn iqwan buat zafira macam tu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak apa.. kita biarkan iqwan tu.. tak lama nanti.. tau la dia mcm mana fira rs..

      Padam
  4. aahh..semakin menarik ni...iqwan dah mula fikirkan fira...
    x sabar nak tunggu e3 next week..agak2 fira hilang kemana ye??

    BalasPadam
    Balasan
    1. tak lama lg iqwan akn rasa dgn apa yg fira rasa

      Padam