Ahad, 22 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 16






“CIK Fira, ada orang nak berjumpa dengan cik,” beritahu Sarimah dari hujung talian.
“Siapa, Sarimah?”
“Encik Iqwan!”
Zafira berkerut dahi. Iqwan?
“Cik Fira!” panggil Sarimah.
“Baiklah! Suruh dia masuk,” arah Zafira, lembut dan mematikan talian.
Disandarkan tuduh ke kerusi. Kenapa dengan tiba-tiba sahaja Iqwan ke pejabat? Selama hampir dua bulan mereka bertunang, belum pernah lagi Iqwan datang berjumpa dengannya. Adakah Iqwan ingin membincangkan tentang perkahwinan mereka?
“Kahwin? Tak mungkin!” tukas Zafira, berbisik.
Dipejamkan mata buat seketika. Melepaskan lelah yang membelenggu diri.
“Aku ganggu kau ke?” tanya Iqwan, tiba-tiba.
Zafira tersentak. Dia membuka mata dan wajah Iqwan menyapa pandangan.
“Kau busy ke?” Iqwan masih lagi bertanya. Dia melangkah masuk ke dalam bilik.
“Tak. Jemput duduk!” balas Zafira sambil membetulkan duduk.
Iqwan melabuhkan duduk di kerusi. Matanya meneroka hiasan dalaman di bilik Zafira. Cantik dan indah susun atur di dalam bilik itu. Entah kenapa matanya tertumpu ke sebuah bingkai gambar di belakang Zafira. Gambar pertunangan mereka tidak lama dahulu.
“Encik Iqwan datang ada urusan apa? Kerja ke?” mulai Zafira tatkala kebisuan melanda.
“Haa…” balas Iqwan, terpinga-pinga.
“Maksud saya, Encik Iqwan datang atas urusan kerja ke?” ulang Zafira, ramah.
“Tak ada. Aku saja datang nak jumpa dengan kau. Alang-alang aku lalu kawasan ni, aku singgah sekejap,” jelas Iqwan sambil menghela nafas ringan.
Zafira mengangguk faham. Matanya menatap wajah Iqwan buat seketika.
“Aku mintak maaf,” ujar Iqwan, perlahan.
“Maaf?” ulang Zafira, berkerut dahi.
“Maaf pasal hari tu. Aku…”
“Tak mengapalah. Benda dah lepas. Buat apa nak diingatkan balik.”
Iqwan termati kata-kata. Wajah tenang Zafira ditatap. Dia tahu, Zafira menyembunyikan perasaan sebenar. Mustahil Zafira tidak terasa dengan apa yang dilakukannya selama ini.
“Encik Iqwan ada apa-apa lagi ke nak cakap? Saya banyak kerja yang nak disiapkan,” tanya Zafira melihatkan kebisuan Iqwan.
“Aku nak ajak kau keluar,” beritahu Iqwan bingkas bangun.
Tanpa menunggu, dia keluar dari bilik itu. Berharap, Zafira sudi untuk keluar bersama dengannya. Entah kenapa dia ingin berjumpa dengan Zafira. Adakah dia berasa bersalah atas apa yang berlaku beberapa hari yang lepas?
Tindakan dengan membiarkan Zafira menunggu selama dua jam. Disebabkan itu, Zafira menghilangkan diri. Panggilan telefon daripada Aqil menambahkan rasa bersalah. Perlukah dia membatalkan pertunangan mereka? Apa kata Hajah Noreha tatkala mengetahuinya nanti?
Zafira hanya memandang. Perlukah dia bersetuju untuk keluar bersama dengan Iqwan? Baru pertama kali Iqwan mengajaknya keluar. Baru pertama kali lelaki itu memohon maaf atas kesalahan yang lalu.
Masih segar di ingatan atas apa yang berlaku. Disebabkan rasa kecewa, dia membawa diri menuju ke Pantai Morib tanpa pengetahuan sesiapa. Telefon bimbitnya pula kehabisan bateri. Maka dari itu, dia dimarahi oleh Aqil atas tindakannya itu. Perlukah dia meneruskan atau memutuskan sahaja pertunangan ini?


ZAFIRA mengekori Iqwan daripada belakang. Entah ke mana Iqwan hendak pergi, dia sendiri tidak tahu. Sejak dari tadi, lelaki itu hanya membisu. Dia juga tidak berniat untuk bertanya. Jika ditanya, adakah Iqwan akan menjawab pertanyaannya? Ada baiknya dia turut sama membisu dan mengekori Iqwan sahaja.
Zafira mematikan langkah. Matanya terpahat ke sebuah butik pengantin. Masih segar di ingatan peristiwa di mana dia menangkap gambar baju pengantin itu dan menghantarnya kepada Iqwan. Hanya balasan hampa yang diperolehi daripada Iqwan. Rasa kecewa menumpang di hati.
Barulah dia sedar, yang selama ini dia seorang sahaja yang berusaha sedangkan Iqwan tidak. Salah dia juga kerana memaksa. Dia yang bertepuk sebelah tangan. Tidak ubah seperti perigi mencari timba. Kenapa dia tidak menyedarinya dulu?
Mungkin dia sedar tetapi dia pura-pura tidak sedar. Nasihat Izreen dipandang sepi. Dia yakin, suatu hari nanti Iqwan turut sama merasai dengan apa yang dirasai selama ini.
Namun dia hampa. Selama-lamanya Iqwan tidak dapat menerima serta tidak menyukainya. Dia seorang gadis yang gedik dan mengada-ngada di mata Iqwan.
“Zafira?” tegur seseorang daripada belakang.
Zafira tersentak. Lamunannya yang panjang termati begitu sahaja. Dia segera menoleh ke belakang untuk melihat. Wajah seorang gadis menyapa mata.
“Nur Zafira Sofea? Am I right?” tanya gadis itu pula.
“Ya, saya. Awak?” balas Zafira, berkerut dahi.
“Amanina? Kau dah lupa ke?” kata Amanina, mengingatkan.
Zafira berfikir sejenak. Cuba untuk mengingati sebaris nama itu.
“Kau ni macam orang tua sajalah. Takkan tak ingat kut?”
“Amanina, minah blur?” tanya Zafira sebaik sahaja mengingatinya.
“Haaa.. ingat pun kau. Tapi, aku bukan minah blur lagi tau.”
“Ya Allah! Sorry sangat-sangat. Aku dah lupa.”
“Tak apa. Kita pun dah lama tak jumpa. Kau buat apa sekarang? Dah kahwin?”
“Aku sekarang kerja dengan abang aku. Belum kahwin lagi? Kau?”
“Aku dah kahwin. Dah ada seorang anak pun. Full time housewife.”
Zafira mengangguk faham. Matanya terarah kepada seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang berada hampir dengan mereka berdua. Adakah mereka berdua suami dan juga anak Amanina?
“Eh, nanti ada majlis reunion, kan? Kau join tak?”
Reunion?”
“A’ah. Kau dapat jemputan tak?”
“Dapat. Insya-Allah, aku datang.”
“Okey. Jumpa di sana nanti. Aku minta diri dulu. Husband dengan anak aku dah tunggu kat sana,” beritahu Amanina sambil menghalakan pandangan ke arah suami dan anaknya.
Zafira turut sama memandang. Senyuman diberikan kepada suami dan anak Amanina.
“Jumpa nanti, Zafira,” pamit Amanina dan beredar dari situ.
“Insya-Allah,” balas Zafira, sepatah.
Keluhan berat terlepas daripada bibir. Hampir dia terlupa dengan majlis makan malam merangkap majlis reunion universitinya itu. Hanya tinggal beberapa hari sahaja akan berlangsung. Perlukah dia hadir ke majlis itu nanti?
“Kau ni pergi mana? Puas aku cari kau,” tegur Iqwan sambil mendengus kasar.
Zafira tersentak. Dihalakan mata ke arah Iqwan. Jelas riak tegang di wajah itu.
“Kalau kau tak ikhlas nak keluar dengan aku, beritahu sajalah. Tak payah la nak memberontak macam ni,” geram Iqwan dan beredar dari situ.
Tergamam Zafira mendengarnya. Kenapa Iqwan berkata begitu? Kenapa soal keikhlasan yang dibangkitkan? Adakah selama ini dia tidak ikhlas dalam perhubungan mereka?


“MINGGU depan kita pergi tempah kad kahwin. Aku nak semuanya berjalan dengan lancar,” beritahu Iqwan akan perancangannya itu.
Zafira tidak membalas. Nasi di hadapan ditatap dengan pandangan kosong.
“Lepas tu, cari dewan untuk majlis perkahwinan kita,” sambung Iqwan lagi.
Zafira hanya mendengar. Dikuis-kuis nasi di dalam pinggan.
“Kau dengar ke tidak apa yang aku cakapkan ni?” tegur Iqwan tatkala menyedari kebisuan Zafira. Apa yang tidak kena dengan gadis itu?
“Awak nak berkahwin dengan saya?” soal Zafira seraya mengangkat wajah.
Iqwan terkedu. Kenapa Zafira bertanya begitu?
“Awak nak berkahwin dengan saya?” ulang Zafira. Wajah Iqwan ditatap. Menanti jawapan daripada pemuda itu.
“Kenapa kau tanya aku macam tu?” soal Iqwan pula.
“Awak sukakan saya?” tanya Zafira menolak pertanyaan Iqwan.
Iqwan membisu. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Zafira?
“Awak cintakan saya?” Zafira masih lagi bertanya.
Sekadar menduga perasaan Iqwan. Adakah Iqwan tidak pernah terusik dengan apa yang telah dilakukannya selama ini?
Iqwan masih lagi membisu. Dia berkira-kira di dalam hati.
“Abaikan soalan saya tadi. Saya terlalu banyak berfikir,” ujar Zafira, tersenyum. Kebisuan Iqwan sudah menjawab pertanyaannya tadi.
Iqwan memandang. Kelu lidahnya untuk berkata-kata.
“Terima kasih awak. Terima kasih kerana membahagiakan saya selama beberapa bulan ni,” ucap Zafira seraya memandang ke wajah Iqwan.
“Aku tak buat apa-apa pun pada kau. Kenapa nak ucap terima kasih pada aku pulak?” tukas Iqwan bernada serius. Air minuman diteguk rakus. Serba tak kena dirasai ketika ini.
“Tak apa. Walaupun awak tak buat apa-apa pada saya, saya tetap rasa bahagia. Mengenali awak merupakan satu rahmat bagi saya.” Tenang Zafira menjelaskannya.
Iqwan tidak membalas. Kata-kata Zafira menusuk ke tangkai hati. Dipandang seketika wajah Zafira. Riak sedih terlukis di wajah itu. Kenapa Zafira beriak sedih? Adakah Zafira memendam perasaan ketika ini?
“Maafkan aku. Aku tak mampu,” bisik Iqwan, perlahan kepada dirinya sendiri.


DEAR My Dream Husband,

Terima kasih awak sebab bawa saya jalan-jalan hari ni. Walaupun awak masih dengan sikap dan perangai yang sama, tapi saya tetap happy.

                                           Your future wife - NZS

“Baru balik?” tegur Izreen dari muka pintu bilik.
Zafira tersentak. Diari hitam miliknya ditutup dan menghalakan mata ke arah Izreen yang sedang menapak masuk ke dalam bilik.
“Kau keluar dengan Iqwan ke?” tanya Izreen, ingin tahu.
“Macam mana kau tahu?” tanya Zafira, berkerut dahi.
“Along call aku beritahu tadi. Dia suruh aku check kau,” jawab Izreen, tersenyum.
Zafira tersenyum mendengarnya. Abangnya itu terlalu risaukan dirinya.
“Kau pergi mana dengan dia? Tak pernah aku dengar dia datang jumpa dengan kau. Pastu ajak kau keluar pulak tu. Macam pelik pun ada juga.”
“Dia ajak aku tengok baju.”
“Baju? Baju pengantin?”
Zafira hanya mengangguk. Peristiwa yang berlaku ketika makan di restoran beberapa jam yang lepas terimbas di fikiran ketika ini.
“Baju yang kau tunjuk pada aku hari tu ke?” Izreen berminat.
Zafira sekadar menggeleng. Mesej kiriman Iqwan meniti di tubir mata.
“Kau pergi ke majlis makan malam tu? Reunion yang dia orang buat tu?” tanya Izreen sekali gus menukar topik perbualan. Diperhati dalam diam wajah Zafira.
“Insya-Allah, pergi. Kenapa?” balas Zafira, perlahan.
“Kau pergi dengan siapa? Iqwan?”
“Tak tahu lagi.”
“Bukan ke kau nak ajak Iqwan pergi sama? Iqwan tak setuju ke?”
“Aku dah ajak. Tapi, dia belum bagi jawapan,” kata Zafira sekadar menyedapkan hati.
Sungguh, dia terlupa untuk bertanya dengan Iqwan. Memang dia ada mengajak Iqwan. Tetapi, adakah lelaki itu setuju dengan ajakannya itu?
“Hurm… tak apalah. Aku masuk bilik dulu,” ujar Izreen bingkas bangun.
Ada baiknya dia tidak terus bertanya. Riak di wajah Zafira sudah menjelaskan segala-galanya. Adakah Zafira sedang menahan kekecewaan di hati?
Zafira hanya memandang. Dipeluk erat diari berwarna hitam itu. Diari yang menjadi penemannya selama dua tahun. Diari yang mencoret segala kisah hidupnya. Semoga dia tabah dalam menghadapi dugaan yang Allah berikan.


“KAD apa tu?” tanya Khairil, berminat.
“Kad jemputan,” jawab Iqwan seraya meletak kad di atas meja.
“Jemputan?”
“Majlis reunion universiti Zafira.”
“Oh! Habis tu, kau pergi ke?”
Iqwan menjungkitkan bahu. Tiada jawapan pada pertanyaan Khairil itu.
“Pergilah! Temankan dia. Kau ni hati batu betul.” Selamba Khairil mengutuk. Kawannya itu tidak pernah memikirkan perasaan orang lain.
Iqwan tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Aku nak tanya kau, Wan. Kau ikhlas bertunang dengan Zafira?”
“Kenapa kau tanya aku macam tu?”
“Bukan itu maksud aku. Firasat aku kuat menyatakan yang kau tak ikhlas bertunang dengan dia. Kau sembunyikan sesuatu daripada aku.”
“Aku tak pernah sembunyikan apa-apa daripada kau.”
“Baguslah kalau dah macam tu. Aku pegang dengan kata-kata kau ni.”
Iqwan hanya mendengar. Perasaan berdebar-debar menujah ke hati. Kenapa dia berperasaan begitu? Adakah firasat Khairil membuatkan dia berasa begitu?
So, kau dah settlekan semuanya untuk majlis perkahwinan kau bulan hadapan?” tanya Khairil sekadar ingin tahu.
“Belum lagi,” balas Iqwan, perlahan.
“Belum lagi? Kau biar betul, Wan? Dalam masa sebulan lagi kau akan berkahwin dengan Zafira. Jangan ambil mudah soal perkahwinan, Wan.”
“Entahlah! Bila aku tanya Zafira, dia tak membalas. Dia ikut saja.”
“Tak apalah. Nanti aku bincang dengan nenek pasal ni.”
Iqwan sekadar mengangguk. Wajah Zafira menyapa mata ketika ini. Hanya riak tenang yang terlukis di wajah gadis itu.
“Aku balik dulu. Apa-apa hal, jangan lupa beritahu pada aku,” pamit Khairil.
Jam di pergelangan tangan dikerling buat seketika. Terlalu lama dia berada di rumah Iqwan. Badan yang terasa penat, perlu direhatkan.
Iqwan hanya memandang. Dicapai telefon bimbit dari atas meja lalu menatap kosong telefon itu. Jemarinya sahaja yang ditugaskan meneroka telefon bimbit tersebut. Tingkah lakunya terhenti tatkala matanya disapa dengan video yang dihantar oleh Zafira tidak lama dulu. Tersenyum dia melihat gelagat Zafira di dalam video itu.
“Kenapa aku yang kau pilih?” soal Iqwan sendirian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan