Isnin, 23 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 17





“APA khabar nenek?” tanya Zafira, ramah sambil bersalaman dengan Hajah Noreha.
“Nenek sihat alhamdulillah. Zafira?” balas Hajah Noreha.
“Sihat alhamdulillah, nek. Bila sampai?”
“Malam tadi. Saja nenek nak jumpa dengan Fira.”
Zafira sekadar tersenyum. Wajah Hajah Noreha ditatap mesra.
“Macam mana persiapan perkahwinan Fira dengan Iqwan? Ada yang dah settle?”
“Fira serahkan semuanya pada Iqwan. Fira ikut saja apa yang Iqwan cadangkan.”
“Takkan ikut saja? Fira pun kena sama-sama bagi cadangan. Jangan serah sepenuhnya pada Iqwan. Cucu nenek tu berlagak pandai saja.”
“Tak apalah, nek. Fira ikut mana yang terbaik buat kami berdua.”
Hajah Noreha menghela nafas ringan. Matanya menatap wajah Zafira. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Zafira ketika ini.
“Fira dengan Iqwan, macam mana?” tanya Hajah Noreha, ingin tahu.
“Macam mana apa maksud nenek?” soal Zafira kurang faham.
“Hubungan!”
“Baik-baik saja, nek. Kenapa?”
“Fira tak bohong nenek?”
Zafira menelan liur. Kelat! Apa jawapan yang harus diberikan kepada Hajah Noreha?
“Fira berterus-terang saja pada nenek. Nenek tak marahkan Fira.”
“Tak ada, nek. Iqwan layan Fira dengan baik. Nenek jangan risau,” beritahu Zafira. Cuba untuk meyakinkan Hajah Noreha.
“Nenek pegang kata-kata Fira,” balas Hajah Noreha bernada serius.
Zafira tersenyum. Kata-kata Hajah Noreha bermain-main di minda. Rasa bersalah kerana membohongi wanita tua itu.
“Maaf nek, Wan lambat,” ujar Iqwan, tiba-tiba.
Tersentak Hajah Noreha mendengarnya. Dihalakan mata ke wajah Iqwan yang sedang berdiri di belakang Zafira. Senyuman diberikan kepada cucunya itu.
Zafira turut sama terkejut. Tidak menyangka Iqwan turut sama hadir dalam perjumpaan itu. Kenapa Hajah Noreha memanggil Iqwan sekali? Adakah Hajah Noreha tidak mempercayai dengan hubungan mereka berdua?
“Iqwan lambat lima belas minit. Jadi, hari ni Iqwan kena denda dengan nenek,” beritahu Hajah Noreha, serius.
“Nek, Wan bukannya sengaja. Jalan….”
“Alasan tidak diterima. Hari ni, Wan kena temankan nenek dan Zafira pergi beli barang. Sebagai denda lewat,” pintas Hajah Noreha, tegas.
Iqwan mengeluh berat. Dikerling sekilas ke wajah Zafira. Gadis itu hanya beriak tenang sahaja. Tidak berniat untuk membelanya. Membela? Perkataan itu meniti di benak hati. Siapa dia untuk mendapat pembelaan Zafira?
So, apa lagi? Jom!” arah Hajah Noreha bingkas bangun.
Dibawa langkah beredar dari restoran itu. Senyuman terukir di bibir. Sengaja dia mengajak Iqwan. Sekadar untuk melihat perkembangan hubungan Iqwan dan Zafira. Adakah firasat hatinya terhadap Iqwan benar belaka? Iqwan tidak ikhlas dalam pertunangan itu.
Zafira turut sama bangun. Senyuman diberikan kepada Iqwan. Rasa terkejut masih lagi bersisa. Terkejut dengan kehadiran Iqwan. Lantas, dia melangkah mengekori Hajah Noreha. Nasibnya diserahkan kepada Allah.


“LEPAS ni kita ke butik,” beritahu Hajah Noreha.
Zafira sekadar mengangguk. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia mengekori Hajah Noreha. Tidak berani untuk melawan arahan Hajah Noreha.
“Mesti kau suka, kan?” ujar Iqwan, perlahan.
“Suka? Maksud awak?” tanya Zafira kurang faham.
“Yalah, nenek dah sukakan kau. Kalau kau nak tahu, nenek bukannya jenis yang mudah sukakan orang. Hanya certain orang sahaja yang nenek suka,” jelas Iqwan.
Zafira mengangguk faham. Kata-kata Iqwan beberapa bulan yang lalu terngiang-ngiang di minda. Kata-kata tuduhan yang dilemparkan oleh Iqwan sebaik sahaja Hajah Noreha membuat keputusan mempercepatkan pertunangan mereka berdua.
“Kau ayatkan nenek dengan apa? Ayat pengasih? Ayat penunduk?” tanya Iqwan, sinis.
Termati langkah Zafira mendengarnya. Kenapa Iqwan menuduhnya sebegitu? Adakah dia jenis orang sebegitu? Menggunakan taktik kotor untuk menundukkan seseorang.
“Zafira, Iqwan. Apa yang lambat sangat tu? Cepat! Nenek nak tunjuk baju ni pada kamu berdua,” panggil Hajah Noreha, tiba-tiba.
“Baik, nek!” balas Iqwan dan melajukan langkah.
Zafira hanya memandang. Disentuh dadanya yang terasa sebu. Sungguh, dia terasa dengan kata-kata Iqwan. Terkadang, sikap Iqwan menguji kesabarannya. Sikap Iqwan melukakan hatinya. Namun, disabarkan hati untuk tidak terasa dan menganggap semua itu sebagai gurauan semata-mata.


AQIL menghela nafas ringan. Fail di hadapan ditatap dengan pandangan kosong. Otaknya sarat memikirkan tentang Zafira. Dalam beberapa hari ini, dilihatnya Zafira banyak termenung. Hasil kerja Zafira tidak memuaskan.
Banyak kesalahan yang dibuat oleh Zafira. Tidak fokus ketika bermesyuarat. Perubahan itu menggigit tangkai hatinya. Khuatir Zafira memendam perasaan seorang diri sekali gus memberi tekanan kepada adiknya itu. Perasaan risau menghuni di hati.
Aqil menghalakan mata ke arah kalendar. Tinggal sebulan sahaja lagi sebelum tarikh perkahwinan Zafira. Adakah perkahwinan itu akan membahagiakan Zafira? Adakah itu yang Zafira mahukan? Berkahwin dengan Iqwan, lelaki idaman adiknya selama ini.
Aqil meraup wajah. Persoalan yang sering berlegar-legar di minda. Perlukah dia berterus-terang kepada Zafira perkara yang sebenar? Perlukah dia membatalkan perkahwinan itu?
“Ya Allah! Aku memohon petunjuk dariMu,” doa Aqil dalam hati.
Deringan telefon menyentak lamunan panjangnya. Dicapai telefon bimbit dari atas meja lalu menatap nombor di skrin telefon. Nama mak longnya, Puan Anida menyapa mata.
“Ada apa, mak long?” tanya Aqil sebaik sahaja salam bersambut.
“Fira kata nak ke sini? Bila?” tanya Puan Anida.
“Aqil tak pasti mak long,” jawab Aqil, cermat.
“Dari hari tu lagi nak ke sini. Batang hidungnya tak nampak-nampak juga.”
“Fira tengah sibuk uruskan perkahwinan dia, mak long.”
“Fira ni pun satu. Kalau nak tangguh pun, beritahu la pada mak long. Risau hati mak long ni tahu tak?” bebel Puan Anida.
Aqil ketawa kecil. Geli hati mendengar bebelan mak longnya itu.
“Yang kamu ketawa ni, kenapa? Mak long buat lawak ke?”
“Err… sorry mak long. Tergelak dan bukannya sengaja.”
“Pesan kat Fira nanti, sebelum nak ke sini beritahu mak long. Manalah tahukan masa Fira ke sini mak long tak ada.”
“Mak long nak ke mana?”
“Persatuan kampung ni ada buat rombongan ke Sabah. Jadi, mak long ikut sekali dalam rombongan tu. Bila lagi mak long nak berjalan, kan?”
Aqil mengangguk faham. Ada benarnya kata-kata Puan Anida. Jarang sekali dia mendengar Puan Anida berjalan ke luar negeri. Sesekali, apa salahnya kalau Puan Anida berjalan mengisi masa yang terluang.
“Mak long letak dulu. Ingat pesanan mak long tadi. Kirim salam pada Zafira,” ujar Puan Anida dan mematikan talian.
“Insya-Allah, mak long,” balas Aqil sebelum talian dimatikan.
Ada baiknya dia memikirkan jalan penyelesaian pada masalah Zafira dan Iqwan. Mungkin dia perlu berjumpa dengan Iqwan. Membincangkan tentang masalah Zafira. Berharap, Iqwan sudi berjumpa dengannya nanti.


“CANTIK tak?” tanya Zafira. Ditunjuk gaun malam di hadapan Izreen.
“Wah! Cantiknya Fira,” puji Izreen sambil menatap baju itu.
“Untuk majlis makan malam esok.”
“Majlis esok?”
“Yalah! Majlis reunion tu.”
“Oh, sorry. Aku terlupa.”
Zafira tersenyum. Digayakan gaun malam itu di hadapan cermin.
“Kau pergi dengan Iqwan?” tanya Izreen penuh cermat.
“Tak! Aku pergi seorang. Kenapa?” jawab Zafira, tenang.
“Bukan ke kau ada bagi kad jemputan pada dia?”
“Ada!”
So, dia temankan kau tak?”
“Entah! Biarlah. Ada ke tak ada ke, aku tetap pergi juga. Tak wajib bawa pasangan pun.”
Izreen mengangguk faham. Tingkah laku Zafira diperhati dalam diam.
“Tak sabarnya aku nak pergi esok. Boleh jumpa dengan kawan-kawan lama aku dulu. Mesti masing-masing dah berkahwin, kan?” teruja Zafira, tersenyum.
Izreen tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir. Adakah majlis reunion itu yang sedang difikirkannya? Tidak dinafikan Zafira rapat dengan rakan-rakan sefakulti. Zafira dalam bidang perniagaan dan dia dalam bidang pemasaran.
Maka dari itu, Zafira begitu teruja sebaik sahaja mendapat kad jemputan itu. Tidak sabar untuk menghadiri majlis tersebut.
“Mamat tu!” Meluncur laju nama itu daripada bibir Izreen.
Terhenti tingkah laku Zafira yang sedang mengenakan gaun ke badan sendiri tatkala terdengarkan bisikan dari arah Izreen.
“Kau cakap apa, Reen?” tanya Zafira, berkerut dahi.
“Haa… tak ada apa-apa,” balas Izreen sedikit tersentak.
“Aku macam dengar kau sebut nama seseorang. Siapa?”
“Eh, mana ada. Kau salah dengar tak?”
“Oh, mungkin aku salah dengar kut.”
“Ha… kau salah dengar.”
Zafira menjungkitkan bahu. Ditatap gaun malam berserta senyuman di bibir. Tidak sabar untuk mengenakan gaun itu ke tubuh. Gaun yang dibeli di butik sewaktu berjalan-jalan dengan Hajah Noreha. Sengaja dia berbohong di hadapan Hajah Noreha dan Iqwan.
Tidak mahu mereka berdua bertanya sebab dan mengapa dia membeli gaun itu. Sebagai hadiah buat teman. Itu yang diberitahu kepada Hajah Noreha dan Iqwan.
Izreen menarik nafas lega. Hampir dia menyebut nama seseorang sebentar tadi. Mujurlah Zafira tidak bertanya lebih. Jika tidak, apa jawapan yang harus diberikan kepada kawannya itu?


“NENEK tak suka Iqwan buat perangai macam tu tadi. Iqwan tahu tak yang Zafira tu tunang Iqwan?” tegur Hajah Noreha.
Rasa kecewa menumpang di hati. Kecewa dengan sikap dan perangai Iqwan. Bukannya dia tidak perasan dengan tingkah laku Iqwan ketika di butik tadi. Iqwan sengaja menyakiti hati Zafira dengan kata-kata yang berbisa. Namun, gadis itu dilihatnya begitu tenang menerima segala kata-kata Iqwan.
“Nenek ni suka sangat bela dia, kenapa? Kalau Wan tak buat macam tu, dia pijak kepala Wan nanti,” bidas Iqwan, tegas.
“Nenek bukannya membela. Nenek tak setuju dengan cara Wan. Dua bulan Wan bertunang dengan Zafira. Apa yang tak kena dengan Zafira di mata Wan? Cuba Wan beritahu pada nenek. Apa tujuan sebenar Wan bertunang dengan Zafira? Apa niat Wan terhadap Zafira?” tanya Hajah Noreha, tertubi-tubi.
Dia yakin, Iqwan tidak ikhlas dalam pertunangan itu. Iqwan menyimpan suatu rahsia daripada pengetahuannya. Adakah Iqwan mempunyai niat tidak baik terhadap Zafira?
Niat untuk membalas dendam atau sebaliknya. Ya Allah, kenapa dia boleh terfikir sampai sebegitu sekali? Keluh Hajah Noreha dalam hati.
“Mana ada niat lain. Wan memang ikhlas bertunang dengan Zafira,” tukas Iqwan, serius.
“Habis tu, kenapa layan Zafira macam tu? Tak ada cacat celanya Zafira tu nenek tengok. Baik, jujur, ikhlas dan peramah. Kenapa Wan tak boleh nak layan dia baik-baik? Cuba Wan letakkan diri Wan kat tempat dia, apa yang Wan rasa sama jugalah apa yang dia rasa,” keluh Hajah Noreha bernada kecewa. Wajah cucunya ditatap meminta penjelasan.
“Wan belum bersedia sepenuhnya nak terima dia.”
“Kalau belum bersedia, kenapa bertunang?”
“Wan… Wan…” Iqwan termati kata-kata. Sungguh, dia tidak ada jawapan untuk itu.
“Nenek tahu, Zafira menyembunyikan perasaan sendiri. Walau macam mana pun Wan buat kat dia, nenek tengok, dia tetap terima dengan wajah tenang. Itu yang buat nenek sukakan Zafira. Bukan sebab lain seperti yang Wan fikirkan. Pikat hati nenek dengan cara yang salah,” jelas Hajah Noreha, tenang.
Iqwan terkedu. Bagaimana Hajah Noreha dapat membaca fikirannya? Adakah neneknya mendengar perbualannya dengan Zafira ketika itu?
“Kenapa? Macam mana nenek tahu? Itu yang Wan fikirkan?” tanya Hajah Noreha melihatkan riak di wajah Iqwan.
“Mana ada!” tukas Iqwan, bergetar.
Hajah Noreha bingkas bangun dari duduk. Gelengan diberikan kepada Iqwan.
“Nenek dah lama makan garam daripada Wan. Cuma nenek nak beritahu pada Wan. Kalau Wan tak sukakan Zafira, ada baiknya kita batalkan perkahwinan ni. Masih ada masa lagi untuk Wan batalkan. Nenek yakin dengan firasat nenek. Ada sebab kenapa Wan bertunang dengan Zafira dan nenek akan siasat sendiri, Iqwan Hafiz,” terang Hajah Noreha dan beredar dari situ. Membiarkan cucunya itu memikirkan akan kata-katanya sebentar tadi.
Tergamam Iqwan mendengarnya. Ekor matanya mengekori langkah Hajah Noreha sehingga hilang di sebalik pintu. Perlukah dia membuat keputusan ketika ini? Perlukah dia berterus-terang kepada Hajah Noreha?
         “Ah! Malas aku nak fikir. Biar sajalah,” putus Iqwan sendirian.


2 ulasan: