Selasa, 24 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 18






“FIRA pergi dengan siapa?” tanya Aqil, ingin tahu.
“Seorang!” jawab Zafira, tersenyum.
“Iqwan?”
“Kenapa dengan Iqwan?”
“Fira tak ajak dia sekali?”
“Kak long, boleh tak tolong pakaikan tudung ni untuk Fira? Fira tak tahu la,” pinta Zafira. Sengaja untuk tidak menjawab pertanyaan Aqil. Letih mendengar pertanyaan yang sama.
“Baiklah!” balas Amylia bingkas bangun.
Aqil menghela nafas ringan. Sudah pastilah Zafira tidak mahu menjawab pertanyaannya sebentar tadi. Mungkin adiknya rimas diajukan dengan soalan yang sama.
“Okey, dah siap!” kata Amylia mematikan lamunan pendek Aqil.
“Wah! Cantiknya kak long. Terima kasih!” puji Zafira, ikhlas.
Amylia tersenyum. Wajah Zafira diperhati dengan penuh minat.
“Cantik adik along. Rugi betul siapa yang tolak adik along ni,” puji Aqil pula.
Bahu adiknya itu dipeluk kejap. Senyuman diberikan kepada Zafira dan Amylia. Semoga Zafira gembira di majlis makan malam itu nanti.
“Fira mintak diri dulu,” ujar Zafira, lembut.
Aqil meleraikan pelukan. Anggukan diberikan buat Zafira.
Have fun dear,” ucap Amylia, tersenyum.
Zafira mengangguk dan tersenyum. Dibawa langkah menuju ke muka pintu bilik. Wajah abang dan kakak iparnya dipandang silih berganti.
“Along janganlah risau. Fira okey,” beritahu Zafira tatkala melihat riak di wajah Aqil.
“Along tetap risaukan Fira,” balas Aqil.
Zafira masih lagi tersenyum. Dia melangkah menghampiri Aqil. Tubuh abangnya dipeluk seketika. Sekadar menghalau keresahan dan kerisauan di hati Aqil.
“Fira pergi dulu,” kata Zafira dan meleraikan pelukan.
Aqil mengangguk perlahan. Matanya memandang pemergian Zafira. Semoga Zafira gembira di majlis itu, doa Aqil dalam hati.
“Sudahlah bang. Pandai-pandailah Fira nak jaga diri. Lagipun kat majlis tu, semuanya rakan seuniversiti Fira dahulu. Bukannya orang lain,” tegur Amylia, lembut. Menghalau kerisauan di hati suaminya itu.
“Abang tetap risau. Abang dapat rasakan sesuatu. Pelukan Zafira menzahirkan segala-galanya,” beritahu Aqil bernada sebak.
Amylia hanya mendengar. Wajah suaminya ditatap kasih. Perlahan-lahan tangan Aqil dicapai lalu menggenggamnya erat.
“Doakan yang baik-baik sahaja buat Zafira,” pujuk Amylia, lembut.
Aqil tersenyum. Dieratkan lagi genggaman di tangan. Bersyukur kerana memiliki Amylia sebagai isteri. Seorang yang memahami dan berterus-terang. Semoga Amylia setia menjadi isterinya hingga ke akhhir hayat.


“KAU ada kat sini rupanya. Aku ingatkan kau dah balik,” tegur Khairil sambil menapak masuk ke dalam bilik. Dilabuhkan duduk di sofa dan memandang ke wajah Iqwan.
“Kau tak balik lagi?” tanya Iqwan, berkerut dahi.
“Aku siapkan tender kat Damansara tu. Esok nak submit pada pihak berwajib,” jawab Khairil, tenang.
Iqwan mengangguk. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Kau tengah fikirkan apa, Wan?”
“Haa.. aku? Tak ada fikir apa-apa. Kenapa?”
“Kau macam orang bermasalah saja.”
“Eh, mana ada. Kau ni suka fikir yang bukan-bukan pasal aku.”
“Tingkah laku kau tu yang buatkan aku fikir yang bukan-bukan.”
Iqwan hanya mendengar. Fikirannya sarat memikirkan seseorang. Adakah Zafira yang sedang berlegar-legar di minda ketika ini?
So, persiapan perkahwinan kau macam mana? Dah berapa peratus siap?”
“Nenek uruskan semua tu. Aku ikut saja.”
Khairil mengangguk faham. Apa yang sedang difikirkan oleh Iqwan ketika ini melihatkan dari wajah kawannya itu.
“Perlu ke aku pergi ke majlis tu?” soal Iqwan kepada dirinya sendiri.
“Apa kau cakap, Wan?” tanya Khairil tatkala terdengar bisikan Iqwan.
“Haa… aku cakap apa?”
“Aku macam dengar kau bercakap. Kau cakap apa?”
“Entah! Apa yang aku cakap tadi?”
“Ya Allah! Kau ni kenapa? Kau ada masalah, kan?”
“Aku ingat nak ke majlis reunion tu. Mesti Zafira tunggu aku kat sana,” beritahu Iqwan bingkas bangun.
Khairil berkerut dahi. Dia turut sama bangun. Otaknya cuba merencana penjelasan Iqwan sebentar tadi.
“Masih ada masa lagi,” kata Iqwan lagi.
“Sekejap! Kau cakap pasal majlis reunion. Majlis Zafira tu ke?”
Iqwan sekadar mengangguk. Telefon bimbit dari atas meja dicapai. Kad jemputan dicari dari celahan fail yang menimbun di atas meja.
So, kau nak pergilah,” tebak Khairil.
“Aku balik dulu. Kau tolong kuncikan office,” pesan Iqwan dan beredar dari situ sebaik sahaja kad jemputan berada di tangan.
“Wan! Iqwan!” panggil Khairil.
Namun, panggilannya itu tidak bersambut. Kelibat Iqwan sudah pun menghilang. Dia tersenyum seketika. Semoga ada perubahan pada sikap Iqwan terhadap Zafira. Semoga Iqwan dapat menerima Zafira dalam erti kata yang sebenar.


“AKU baru sampai,” beritahu Zafira.
“Kau seorang saja ke?” tanya Izreen, ingin tahu.
“A’ah, seorang saja,” jawab Zafira sambil menganggukkan kepala.
“Iqwan?”
“Kau tengah buat apa?”
“Tengah tengok tv. Abang Rajinikanth berlakon.”
Zafira ketawa kecil. Matanya meninjau kawasan hotel. Mencari dewan yang tertulis di dalam kad.
“Sampaikan salam pada kawan-kawan yang mengenali aku,” pesan Izreen.
“Insya-Allah, aku sampaikan,” balas Zafira.
Dibawa langkah menuju ke dewan sebaik sahaja terlihat signboard di ruang legar hotel. Rasa berdebar-debar ketika ini. Agak lama dia tidak menghadiri majlis seperti itu. Kali terakhir sewaktu majlis graduasi beberapa tahun yang lalu.
“Kau balik malam ni tak?” soal Izreen sekadar ingin tahu.
“Tak. Balik rumah along. Esok aku balik ya.”
“Kau jaga diri kau elok-elok. Kalau ada apa-apa nanti, jangan lupa beritahu aku.”
“Janganlah risau. Kau dengan along, sama sajalah. Risau sangat.”
“Selama-lamanya aku tetap risaukan kau.”
Zafira tersenyum. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana mempunyai seorang kawan sebaik Izreen.
“Okeylah Fira, abang aku ni tengah berlawan. Perghh!! Memang terbaik!” sambung Izreen, teruja. Matanya tertumpu ke arah televisyen di hadapan.
Tergelak Zafira mendengarnya. Kepalanya menggeleng kecil.
Have fun, Fira!” ucap Izreen dan mematikan talian.
Zafira masih lagi ketawa. Kawannya itu tidak pernah berubah. Masih berperangai yang sama. Seorang yang ceria dan periang. Sukar untuk melihat kawannya itu marah dan menangis.
“Ha.. dah betul dewan ni. Ya Allah, kenapa aku berdebar-debar ni? Berdebar-debar nak jumpa dengan dia orang ke? Yalah, kan dah lama tak jumpa,” kata Zafira kepada dirinya sendiri.
Diukir senyuman di bibir. Tombol pintu ditolak dan menapak masuk ke dalam dewan.


“WAH! Cantiknya!” puji Zafira sebaik sahaja masuk ke dalam dewan.
Kagum melihat keindahan dewan itu. Dibawa langkah menuju ke sebuah meja yang sudah diletakkan nombor. Senyuman diberikan tatkala bertemu pandang dengan rakan-rakan. Ada yang berpasangan dan ada juga yang bersendirian.
“Zafira!” panggil Amanina sambil melambai tangan.
Zafira terkejut. Dihalakan mata ke arah yang memanggil. Wajah Amanina menyapa mata.
“Sini!” panggil Amanina lagi.
Zafira mengangguk. Dia melangkah menuju ke meja di mana Amanina berada. Senyuman diberikan kepada kawannya itu.
“Seorang saja ke?”
“A’ah, seorang.”
Fiancee? Husband? Boyfriend?” tanya Amanina.
Zafira sekadar menggeleng. Dilabuhkan duduk di kerusi sambil melilaukan mata. Masing-masing sedang berbual sesama sendiri.
“Kau ingat tak lagi dengan Gina? Dia baru kematian suami. Accident,” cerita Amanina.
Zafira berfikir sejenak. Cuba untuk mengingati sebaris nama itu. Seminit kemudian, dia menganggukkan kepala tatkala mengingatinya.
Sorry, Fira. Aku ke sana dulu. Nanti kita sembang,” ujar Amanina, serba-salah.
“Ha.. baiklah!” balas Zafira lalu mengangguk.
Matanya memandang pemergian Amanina. Tanpa berlengah, dia bingkas bangun dari duduk. Perut yang terasa lapar perlu diisi. Ada baiknya dia mengambil makanan untuk mengisi perut. Mungkin selepas itu dia akan cuba berbual mesra bersama rakan-rakannya yang lain.
“Sedapnya makanan. Kena makan kenyang-kenyang ni. Sia-sia saja datang sini kalau tak cuba semua makanan,” kata Zafira setibanya di tempat makanan.
Lantas, pinggan dicapai lalu memasukkan makanan ke atasnya. Teruja melihat makanan yang ada di tempat itu. Belum pernah lagi dia melihat makanan sebegitu banyak.
“Yang tu kemudian la aku ambil. Baik aku makan yang ni dulu,” putus Zafira dan beredar dari situ. Senyuman ceria menghiasi bibir.
“Oh mak kau jatuh tergolek,” latah Zafira, tiba-tiba.
“Kau ni cuba jalan tu elok-elok sikit. Nasib baik tak jatuh,” tegur Iqwan, keras.
Terkejut Zafira mendengar suara itu. Pantas, dia mengangkat wajah dan alangkah terkejut tatkala wajah Iqwan menyapa mata.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Zafira seperti orang bodoh.
“Kau yang ajak aku ke sini. Takkan kau dah lupa?” balas Iqwan, tenang.
Zafira membetulkan keadaan. Pinggan di tangan diletakkan di atas meja. Kemudian, dihalakan mata ke wajah Iqwan. Benarkah Iqwan yang berada di hadapannya itu?
“Tak adalah best mana majlis reunion kau ni. Menyesal pulak aku datang,” kutuk Iqwan, selamba. Matanya memerhati segenap ruang dewan itu.
Zafira masih lagi memandang wajah Iqwan. Rasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dicubit pipinya sendiri. Memastikan sama ada dia sedang bermimpi ataupun tidak.
“Ouch!” rengek Zafira kemudian.
“Yang kau cubit pipi kau sendiri tu, kenapa? Kau tak percaya yang aku datang sini ke?” tegur Iqwan bernada serius. Wajah terkejut Zafira menjadi tatapan mata.
Zafira tidak membalas. Pipi yang terasa sakit diusap lembut. Matanya tidak lepas menatap wajah Iqwan. Sungguh, dia tidak mempercayai kehadiran Iqwan di situ. Apa yang membuatkan Iqwan ke majlis itu?
“Sakit tak pipi kau tu?” tanya Iqwan, prihatin.
Diangkat tangannya lalu mengusap pipi Zafira. Sekadar untuk meredakan kesakitan gadis itu. Kepala menggeleng kecil.
Zafira membiarkan sahaja tingkah laku Iqwan. Tidak berniat untuk menahan. Belum pernah lagi Iqwan bersikap lembut dengannya. Dan hari ini Iqwan bersikap mengambil berat. Adakah ini petanda positif dalam perhubungannya?
“Kau dah makan ke belum?” tanya Iqwan beberapa minit kemudian.
Zafira sekadar menggeleng. Entah kenapa kelu lidahnya untuk berkata-kata.
“Jom ikut aku!” ajak Iqwan seraya menarik tangan Zafira.
“Ke mana?” soal Zafira sedikit terkejut.
Iqwan tidak membalas. Tangan Zafira ditarik lembut supaya mengekorinya.
“Awak!” Zafira memanggil.
Namun, panggilannya itu tidak dibalas. Dia mengekori Iqwan daripada belakang. Tangannya erat dalam genggaman Iqwan. Ke mana Iqwan hendak membawanya pergi?



8 ulasan:

  1. Usah di layan sangat si mamat poyo tu yer fira...sungguh tak sukerrrr nye!nyampah tul ngan iqwan!!!hehe terlebih plak emosi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hehe.. jgn menyampah.. nti jatuh sayang.. :D

      Padam
  2. Nak lagi cik writer...tak saborrrr rase nye nak nengok iqwan merana...hehe jahat nye hati ku...huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Esok sy up bab 19. Thanks sudi baca n follow MDH. :)

      Padam
  3. aduh...rasanya wan dah ada hati tu dekat fira siap cubit pipi bagai ni..heee :)
    ~izatul~

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehe.. mudah2an petanda positif pd hubungan dia org

      Padam