Rabu, 25 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 19







“WAH! Cantiknya pemandangan Kuala Lumpur. Awak… awak… Tengok sana tu. KLCC!” beritahu Zafira, teruja.
“Kau ni macam duduk dalam hutan pulak. Takkan kau tak pernah tengok pemandangan macam ni?” kritik Iqwan, selamba. Dia berpeluk tubuh sambil bersandar di palang.
“Tak! Saya tak pernah tengok pemandangan macam ni.” Jujur Zafira memberitahu.
“Huh! Aku tak percaya,” bidas Iqwan, mengejek.
“Terpulang pada awak nak percaya ataupun tidak. Memang saya tak pernah tengok pemandangan secantik ni.”
“Habis tu, kau buat apa selama ni? Hidup ni sekali saja. Masa nilah kita kena ambil peluang nikmati kehidupan yang sebenar.”
Zafira tidak membalas. Senyuman terukir di bibir.
“Nak kata kau ni kolot, tak adalah pulak. Dressing kau aku tengok up to date.”
“Kenapa awak tak sukakan saya?” tanya Zafira, perlahan. Wajah Iqwan dipandang buat seketika. Menanti jawapan daripada pemuda itu.
Iqwan membisu. Kenapa Zafira bertanya soalan itu?
“Terima kasih awak. Terima kasih sebab membahagiakan saya,” ucap Zafira, ikhlas.
“Aku tak buat apa-apa pun untuk kau. Kenapa kau nak berterima kasih pada aku pulak?” soal Iqwan, berkerut dahi. Pelik mendengar ucapan Zafira itu.
“Jadi tunang saya. Itu dah cukup bahagia buat saya,” beritahu Zafira, tersenyum.
Iqwan terkedu. Matanya meneroka raut wajah Zafira. Dari mata, hidung jatuh ke bibir. Manis dari pandangan mata. Kenapa dia tidak menyedari semua itu?
“Awak tahu apa yang saya suka?” soal Zafira sekadar membuka topik perbualan.
Iqwan masih membisu. Menggeleng tidak mengangguk pun tidak. Tiada jawapan kepada pertanyaan Zafira.
“Dulu, cita-cita saya nak jadi seorang penyanyi. Tapi, disebabkan suara saya tak berapa nak sedap, saya cancel nak jadi penyanyi. Saya jadi penyanyi dalam bilik air saja,” cerita Zafira tanpa dipinta. Ketawa kecil terlepas daripada bibir.
Iqwan hanya mendengar. Matanya menatap wajah Zafira. Tenang wajah itu dilihatnya.
Then, saya nak jadi pelakon. Tapi, saya ni bukannya cantik. So, tak layak jadi pelakon.”
“Kau kan cantik,” ujar Iqwan, berbisik.
“Apa awak cakap?” tanya Zafira tatkala terdengar suara bisikan dari arah Iqwan.
Iqwan menggelengkan kepala. Dia membuang pandang ke arah langit malam yang dihiasi bulan dan bintang.
“Awak nak main satu permainan tak?” ujar Zafira, tiba-tiba.
“Permainan?” ulang Iqwan, berkerut dahi.


“MACAM mana? Best tak permainan ni?” tanya Zafira sambil cuba menstabilkan nafas.
“Kau memang gila. Buat kerja gila,” balas Iqwan bernada geram.
Dia turut sama menstabilkan nafas. Tidak menyangka dia akan dipermain-mainkan oleh Zafira sebegitu sekali. Mana tidaknya, dia dipaksa berlari mengharungi orang ramai yang berada di pasar malam yang terdapat di kawasan itu. Belum pernah lagi dia berbuat begitu selama dua puluh lima tahun dia hidup.
Zafira ketawa kecil. Termengah-mengah Iqwan dilihatnya.
“Buang tabiat, kau tahu tak? Tak pasal-pasal aku dicop orang gila,” geram Iqwan lagi. Peluh yang membasahi dahi diseka dengan kemeja lengan panjang yang dipakainya itu.
“Sekali sekala apa salahnya, kan? Masa saya belajar dulu, saya selalu buat macam ni dengan Izreen. Sekadar release tension.”
Release tension apa ke bendanya ni? Tension lagi adalah!”
“Awak tak pernah cuba. Kalau awak cuba selalu, mesti awak dapat rasai dengan apa yang saya dan Izreen rasai. Kepuasan!”
“Kerja gila!” kutuk Iqwan lalu mencebik.
Tergelak Zafira melihat wajah cebikan Iqwan. Dihampiri Iqwan yang sedang bersandar di kereta. Perlahan-lahan diselak anak rambut Iqwan lalu menatap wajah itu.
Iqwan tersentak. Terkejut dengan tingkah laku Zafira. Seminit kemudian…
Papp!!!
Zafira memukul dahi Iqwan.
“Ada nyamuk!” beritahu Zafira, tersengih.
“Kau!” Iqwan geram sambil menjegilkan mata.
Zafira ketawa. Dia beredar dari situ. Melepaskan diri daripada Iqwan. Tidak menyangka dia akan memukul dahi Iqwan sekadar untuk melindungi perasaan malu. Malu dengan tingkah lakunya sebentar tadi.
Iqwan hanya memandang. Diusap dahinya buat seketika. Entah kenapa dadanya bergetar dengan hebat. Adakah pandangan Zafira sebentar tadi menghadirkan getaran di dada? Adakah hatinya sudah mulai suka dengan Zafira?
Nonsense!” tukas Iqwan lalu beredar dari situ.


“TERIMA kasih! Saya sangat gembira malam ni,” ucap Zafira, tersenyum.
“Tak ada hal,” balas Iqwan sambil bersandar di badan kereta.
Zafira masih lagi tersenyum. Wajah Iqwan ditatap mesra. Rasa gembira menumpang di hati. Gembira kerana dapat keluar bersama dengan Iqwan. Walaupun sikap dan perangai Iqwan masih belum berubah tetapi dia yakin, suatu hari nanti Iqwan akan berubah. Tapi bila? Biarlah masa yang menentukan segala-galanya.
Zafira menghela nafas ringan. Rasa terharu menujah ke hati. Pemuda itu sanggup mengekori keretanya daripada belakang. Sekadar untuk memastikan keselamatannya. Buat pertama kali dia melihat sikap bertanggungjawab dalam diri Iqwan.
Tetapi, adakah dia akan melihat sikap itu untuk selama-lamanya? Adakah impiannya untuk berkahwin dengan Iqwan akan menjadi kenyataan?
“Kau menungkan apa lagi tu? Pergilah masuk! Dah lewat!” suruh Iqwan, serius.
Tersentak Zafira dek kerana suara Iqwan itu. Senyuman diberikan kepada Iqwan.
“Baju kau!” kata Iqwan seraya menghulurkan beg kertas kepada Zafira.
Zafira membalas huluran. Diintai beg kertas yang berisi gaun malam miliknya.
“Sampaikan salam aku pada abang dan kakak ipar kau,” pesan Iqwan dan menapak ke kereta.
“Awak!” tahan Zafira.
Iqwan mematikan langkah. Matanya mengekori langkah Zafira.
“Untuk awak!” hulur Zafira, lembut.
Seutas rantai ukiran nama ‘NUR ZAFIRA SOFEA’ dihulurkan kepada Iqwan. Rantai yang dibeli sebentar tadi tanpa pengetahuan Iqwan sewaktu pemuda itu membeli makanan dan minuman buat mereka berdua. Semoga Iqwan menghargai rantai itu.
“Untuk aku?” soal Iqwan seraya membalas huluran.
“Walaupun sebelum ini awak tak pernah nak menghargai dengan apa yang saya bagi, kali ini saya harap awak hargainya seperti nyawa awak sendiri. Seandainya ia hilang, maka hilang jugalah kasih sayang saya terhadap awak,” jelas Zafira, tenang.
Seminit kemudian, dia menapak menuju ke pintu pagar rumah. Semoga Iqwan memahami dengan apa yang cuba disampaikannya sebentar tadi. Semoga Iqwan menghargai pemberiannya itu. Rasa kecewa menumpang di hati. Kecewa tatkala Iqwan tidak menghargai segala pemberiannya dahulu.
Iqwan terkedu. Matanya mengekori langkah Zafira sehinggalah kelibat itu hilang di sebalik pintu rumah. Kemudian, ditatap rantai pemberian Zafira. Nama Zafira terukir indah di rantai itu. Kata-kata Zafira bermain-main di minda. Apa maksud Zafira dengan kata-kata itu?
“Biarlah! Malas aku nak fikir,” putus Iqwan lalu masuk ke dalam kereta.
Seminit kemudian, dia memandu keluar dari kawasan perumahan Zafira. Ada baiknya dia tidak memikirkan tentang kata-kata Zafira sebentar tadi. Biarlah masa yang menentukan segala-galanya.


DEAR My Dream Husband,

Terima kasih awak. Terima kasih kerana membahagiakan saya. Kenangan malam ini tak akan saya lupa untuk selama-lamanya. Awak merupakan suami yang saya idam-idamkan selama ini.

                                           Your future wife - NZS

Zafira mencapai rantai buat seketika. Nama ‘IQWAN HAFIZ’ terukir di situ. Senyuman terbias di wajah. Ingatannya mengingati peristiwa beberapa jam yang lepas. Peristiwa yang tidak mungkin dilupakan. Akan diingat sehingga ke akhir hayat.
“Saya tetap berdoa agar awak dapat terima saya dalam hidup awak, Iqwan Hafiz,” suara Zafira bernada harapan. Dibaringkan tubuh ke atas katil. Rantai di tangan masih ditatap dengan penuh minat.
“Aku amat mencintainya,” lafaz Zafira, ikhlas.


IQWAN menyandarkan tubuh ke kepala katil. Terasa segar selepas membersihkan tubuh badan. Bibirnya mengukir senyuman dengan tiba-tiba. Entah sebab apa, dia sendiri tidak tahu. Adakah disebabkan peristiwa yang berlaku beberapa jam yang lepas ataupun kerana Zafira?
Zafira! Nama itu meniti di bibir. Semakin melebar senyuman di bibirnya. Wajah gadis itu meniti di tubir mata. Cantik! Puji Iqwan dalam hati. Kenapa sebelum ini dia tidak menyedari akan kecantikan serta keistimewaan Zafira? Adakah kerana ego maka dia tidak berminat untuk mengenali siapa Zafira yang sebenar?
Kata-kata cadangan Khairil supaya dia mengenali Zafira dengan lebih dekat berlegar-legar di minda. Perlukah dia mengikut cadangan Khairil itu? Semakin dia memikirkan tentang Zafira, semakin berdebar-debar hatinya itu. Disentuh lembut dadanya yang sedang bergetar hebat. Bertambah hebat tatkala nama Zafira disebut.
“Kenapa dengan aku?” soal Iqwan sendirian.
Dipejamkan mata buat seketika. Sekadar untuk mententeramkan hati dan perasaan yang sedang bergetar hebat.
“Ya Allah! Kenapa wajah dia yang aku nampak?” Iqwan pantas membuka mata.
“Mustahil!” bidas Iqwan tatkala mindanya diasak dengan soalan.
“Mustahil aku sukakan dia,” tukas Iqwan pula.
Dia bingkas bangun dari duduk bersandar. Namun, tingkah lakunya terhenti tatkala terpandangkan rantai yang terukir dengan nama Zafira. Dicapai rantai itu lalu menatapnya berserta senyuman di bibir.
Bunyi mesej masuk menyapa halwa telinga. Lantas, telefon bimbit dari atas meja dicapai lalu menatap nombor di skrin. Semakin melebar senyuman di bibir tatkala nama ‘minah sengal’ menyapa mata.

Selamat malam encik tunang. Semoga mimpi yang indah-indah. Terima kasih kerana menggembirakan hati bakal isteri hari ini.


“Selamat malam, sayang!” bisik Iqwan buat Zafira.


10 ulasan:

  1. Wah....iqwan sudah jatuh cinta... but wait...wait...nape rase mcm lain jer. Seolah2 zafira akn pergi jauh....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mungkin la Fira nak pergi jauh. :)

      Padam
  2. Eeeee...bila lah plak iqwan nak rase ape yang fira rase...rase cinta yang di persenda kan...hehe...jahat nye hati ku...

    BalasPadam
    Balasan
    1. One day nanti Iqwan akan rasa dgn apa yg Zafira rasa.

      Padam
  3. Ciput lah cik writer...rase tak puas di baca...nak lagi,nak lagi......tempek lah panjang ciikit...hehe...hihi...merayu...makin melayan story u makin feel cik writer....tq cik writer tahniah...best....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ciput? Rs mcm dah pnjg tu.. tq sudi baca n follow MDH.. :)

      Padam