Khamis, 26 Mac 2015

My Dream Husband - Bab 20







“EH Fira… turun! Buat apa panjat pokok tu?” tegur Puan Anida dari arah bawah.
Menggeleng dia melihat tingkah laku Zafira yang sedang memanjat pokok rambutan. Anak saudaranya itu tidak pernah berubah. Masih dengan perangai gila-gilanya.
“Sekejaplah mak long. Fira nak petik buah rambutan ni,” beritahu Zafira dari atas pokok.
“Ya Allah! Dah banyak Fira petik buah tu. Sudah! Turun!” arah Puan Anida, keras.
Zafira tidak mengendahkan teguran Puan Anida. Rasa seronok berada di atas pokok rambutan. Sudah agak lama dia tidak memanjat dan baru hari ini dia dapat memanjatnya.
“Degil!” komen Puan Anida, geram.
Zafira ketawa kecil. Diintai riak di wajah Puan Anida. Mak longnya itu sedang beriak tegang. Pasti mak long menahan kemarahan terhadapnya.
“Abang Aqil kamu call mak long tadi. Kenapa Fira tak call dia sebelum nak datang sini?”
“Fira dah beritahu. Along yang lupa.”
“Bila Fira beritahu dia? Sebulan yang lepas?”
Zafira tersengih. Memang dia ada memberitahu Aqil untuk ke rumah Puan Anida. Namun, niatnya itu seringkali tertangguh atas sebab-sebab tertentu dan baru hari ini dia berpeluang untuk pulang ke kampung Puan Anida.
“Kamu ni kenapa Fira? Ada masalah?” duga Puan Anida.
Wajah anak saudaranya ditatap mesra. Seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Zafira ketika ini. Adakah Zafira memendam perasaan sendirian? Adakah Zafira menghadapi masalah dengan tunangnya?
Walaupun pada mulanya dia ingin menghadiri majlis pertunangan Zafira, atas sebab-sebab tertentu dia terpaksa membatalkannya. Tetapi, itu tidak bermakna dia tidak mengambil berat tentang Zafira. Segala hal tentang Zafira diketahuinya melalui Aqil. Setiap kali Aqil menelefon, setiap kali itulah dia bertanya tentang keadaan Zafira. Rasa risau terhadap Zafira sentiasa menghuni di hati.
Semenjak kematian kedua-dua orang tua Aqil dan Zafira, dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga kedua-dua anak saudaranya itu. Adiknya meninggal disebabkan penyakit jantung manakala adik iparnya pula meninggal disebabkan penyakit kanser. Hanya tinggal dia sebagai orang tua kepada Zafira dan Aqil. Ibu mereka merupakan anak tunggal dalam keluarga dan Zahrullai adalah adik kandungnya. Mereka hanya dua beradik dalam keluarga sahaja.
“Mak long!” panggil Zafira dari atas pokok.
Tersentak Puan Anida mendengarnya. Lamunannya yang pendek mati begitu sahaja. Dihalakan mata ke atas pokok. Wajah sengihan Zafira menyapa mata.
“Cukup tak buah tu?” tanya Zafira.
“Cukup dah ni. Turunlah! Nanti jatuh!” arah Puan Anida, keras.
“Okey! Sekejap, Fira nak turun ni,” beritahu Zafira.
Perlahan-lahan kakinya memijak ranting pokok. Khuatir akan terjatuh nanti ataupun ranting patah.
“Fira, hati-hati,” pesan Puan Anida, risau.
Matanya mengekori tingkah laku Zafira. Berkerut-kerut dahinya melihat Zafira. Perasaan risau menghuni di hati. Takut Zafira akan terjatuh daripada pokok.
“Mak long, nanti Fira nak ke sungai. Dah lama Fira tak mandi sungai,” beritahu Zafira, teruja. Kakinya masih lagi memijak satu persatu batang pokok untuk turun ke bawah.
“Fira hati-hati.”
“Boleh tak mak long kalau Fira nak ke sungai?”
“Yalah, mak long izinkan. Turun dulu baru fikir pasal sungai.”
Zafira tersengih. Semakin hampir kakinya menuruni ke bawah. Tidak sabar untuk ke sungai pada petang nanti.
“Fira!” tegur Puan Anida tatkala Zafira tersalah langkah.


“TERIMA kasih, mak long!” ucap Azlee, ramah.
“Mak long ke dalam dulu,” pamit Puan Anida lalu menapak ke rumah.
Azlee hanya mengangguk. Air minuman habis diteguk. Zafira di sisi dipandang seketika. Ingatannya memutarkan semula kejadian sebentar tadi. Mujurlah dia sempat menahan Zafira daripada jatuh ke tanah. Tak pasal-pasal, pecah kepala Zafira dibuatnya. Dia menggelengkan kepala memikirkan sebarang kemungkinan.
“Terima kasih selamatkan aku tadi,” ucap Zafira, tiba-tiba.
Azlee tersentak. Dihalakan mata ke wajah Zafira yang sedang tersenyum.
“Kenapa tengok aku macam tu?” soal Azlee kemudian tatkala menyedari pandangan Zafira. Pelik melihat pandangan Zafira itu.
“Makin handsome la kau ni, Azlee. Dulu, kulit kau tak secerah ni. Kau pakai Fair and Lovely ke?” puji Zafira, tersengih.
“Hisy, kau ni Fira. Mana ada aku pakai benda alah tu,” tukas Azlee, tersenyum malu.
Zafira ketawa kecil. Wajah Azlee masih menjadi tatapan mata. Agak lama dia tidak berjumpa dengan kawannya itu. Kawan sepermainan sewaktu remaja dahulu. Ketika ayah dan ibunya masih hidup. Setiap kali ke kampung Puan Anida, pasti dia akan berjumpa dengan Azlee.
“Berapa lama kat kampung?”
“Seminggu!”
“Mak ai, lamanya. Mesti mak long bosan tengok muka kau nanti.”
“Hamboi mulut. Tak ada insuran nampak.”
Azlee ketawa. Wajah jegilan Zafira ditatap berserta gelengan di kepala. Gadis itu tidak pernah berubah. Masih sama dengan perangai gila-gila. Seperti perkenalan mereka yang pertama dahulu. Senyuman terukir di bibir tatkala mengingatinya.
“Macam mana dengan kerja kau?” tanya Zafira, berminat.
“Okey. Tak ada masalah. Aku kan bos,” jawab Azlee, bangga.
Zafira hanya mengangguk. Memang tidak dinafikan bahawa Azlee merupakan bos di tempat kerjanya. Restoran yang diuruskan oleh Azlee di kampung itu merupakan perniagaan turun-temurun keluarga pemuda itu. Rasa kagum dengan kesungguhan dan semangat Azlee menguruskan restoran itu.
“Nanti datanglah ke restoran. Ada menu baru. Tukang masak aku cipta resepi tu.”
“Yeke? Okey, nanti aku ke sana.”
“Tunang kau tahu kau ke sini?” tanya Azlee sekadar ingin tahu.
Bukannya dia tidak tahu berita pertunangan Zafira. Puan Anida sendiri yang mengkhabarkan kepadanya. Rasa gembira melihat kebahagiaan Zafira ketika ini.
Mati senyuman Zafira tatkala pertanyaan itu menyapa mata. Apa jawapan yang harus diberikan kepada kawannya itu?
“Kau tak bawa tunang kau ke sini? Tengok kampung kita.”
“Dia sibuk. Banyak kerja. Mana ada masa nak pergi jalan-jalan. Setiap saat, duit bagi dia kau tahu tak?” cerita Zafira sekadar menyedapkan cerita.
“Eh, Fira. Kau bertunang dengan orang gila ke?”
Zafira berkerut dahi mendengar pertanyaan Azlee itu. Apa maksud Azlee?
“Dah tu, setiap saat duit bagi dia. Macam orang gila la. Gila kerja dan gila duit,” terang Azlee tatkala terpandangkan wajah berkerut Zafira. Suara ketawa terlepas daripada bibir.
Zafira cuba merencana penerangan Azlee. Seminit kemudian, paha Azlee dicubit geram. Sengaja Azlee mengutuk tunangnya, Iqwan.
“Nanti kau kenalkan aku dengan tunang kau tu tau. Jangan nak kedekut sangat.”
“Kenalkan?”
“Yalah! Aku belum jumpa lagi dengan tunang kau tu.”
“Kau nak jumpa dengan dia ke?” soal Zafira sambil memandang ke wajah Azlee.
“Mestilah nak. Aku nak bandingkan dia dengan aku. Siapa lagi handsome? Aku ke dia?” balas Azlee, tersengih. Kepala yang tidak gatal digaru sekali.
Zafira ketawa. Tanpa membuang masa, telefon bimbit dikeluarkan dari dalam poket seluar jeans. Jemarinya memainkan peranan penting. Sudah agak lama dia tidak merakam video. Ada baiknya dia merakamkan sesuatu sebagai kenangan.


“ERR… ada… ada. Saya terlupa,” kata Iqwan, bergetar.
“Ingatkan Fira lupa nak beritahu pada awak, Iqwan,” balas Aqil dari hujung talian.
“Maaf! Saya terlupa. Semalam Zafira ada beritahu yang dia nak balik kampung,” bohong Iqwan sambil menghela nafas ringan.
“Lega hati saya ni, Iqwan.”
Iqwan tidak membalas. Otaknya sedang ligat berfikir.
“Terima kasih, Iqwan. Terima kasih kerana membahagiakan adik saya. Kalau ada kekurangan pada Zafira, saya bagi pihak Zafira minta maaf banyak-banyak. Mohon dihalalkan segala-galanya,” luah Aqil bernada sebak.
Iqwan hanya mendengar. Kata-kata Aqil menusuk ke tangkai hati.
“Insya-Allah, saya tak lupa dengan janji kita. Saya akan tunaikan bila sampai masanya nanti,” sambung Aqil lagi.
“Aqil, saya…”
“Saya ada tetamu. Nanti kita bincang balik,” pintas Aqil dan mematikan talian.
Iqwan tergamam. Terkejut dengan tingkah laku Aqil. Telefon bimbit diletakkan di atas meja lalu bersandar di kerusi. Kata-kata Aqil bermain-main di minda.
“Wan, kau sibuk ke?” tegur Khairil sambil melangkah masuk ke dalam bilik.
Iqwan tersentak. Dihalakan mata ke arah Khairil yang sedang menapak masuk ke dalam bilik. Dibetulkan kedudukan dan menanti Khairil melabuhkan duduk.
“Zafira tak datang jumpa kau ke hari ni?” tanya Khairil sekadar ingin tahu.
Sejak dari pagi tadi lagi kawannya itu kelihatan tidak tenteram. Apa yang sedang mengganggu fikiran Iqwan ketika ini? Lagak seperti merindukan seseorang. Adakah Zafira yang sedang dirindui oleh Iqwan?
“Dia balik kampung,” beritahu Iqwan, perlahan.
“Balik kampung?” ulang Khairil, berkerut dahi.
Iqwan sekadar mengangguk. Rasa sedikit kecewa menumpang di hati. Kenapa Zafira tidak memberitahunya tentang itu? Bukankah dia tunang kepada gadis itu?
“Bila?” soal Khairil lagi, berminat.
“Aku tak tahu. Abang dia beritahu dia balik kampung,” balas Iqwan, mengeluh ringan.
“Kau tak tahu yang dia nak balik kampung?”
Iqwan sekadar menggeleng. Sungguh, dia tidak tahu tentang itu. Selama ini dia tidak pernah mengambil tahu tentang Zafira. Ke mana gadis itu pergi? Buat apa gadis itu hari ini? Semuanya dia tidak ambil kisah.
Tetapi, kenapa hari ini dia berasa kecewa tatkala Zafira tidak memberitahu tentang kepulangan gadis itu ke kampung? Adakah dia mulai menyukai Zafira?
“Tunang sendiri pun tak tahu ke mana pergi. Apalah kau ni, Wan. Nampak sangat kau tak kesahkan Zafira,” kritik Khairil, selamba.
“Bila masa pulak aku tak kesahkan tentang dia?” soal Iqwan, keras. Sakit hatinya mendengar kritikan daripada kawannya itu.
“Kalau kau kesahkan dia, kenapa kau tak tahu yang dia balik kampung hari ni? Haa.. kau tahu ke kat mana kampung dia?” Khairil serius bertanya. Sekadar menduga perasaan Iqwan.
“Aku… aku…” Iqwan teragak-agak untuk menjawab.
“Itu maknanya Zafira tak penting dalam hati kau dan kau tak ikhlas terima dia sebagai tunang kau,” rumus Khairil, menggeleng.
“Kau…”
Belum sempat Iqwan membuka mulut, bunyi mesej dari arah telefon menyapa halwa telinga. Pantas, telefon bimbit dicapai dan melihat nama di skrin. Dia menyimpan senyuman tatkala nama ‘minah sengal’ menyapa mata.
“Zafira?” tanya Khairil sambil mengangkat kening.
Iqwan tidak membalas. Jemarinya memainkan peranan penting dengan membuka video yang dihantar oleh Zafira. Sudah agak lama Zafira tidak menghantar video kepadanya. Kali terakhir selepas sebulan setengah mereka bertunang.
Khairil bingkas bangun dari duduk. Dihampiri Iqwan dan mengintai telefon bimbit Iqwan. Sebuah video menyapa matanya ketika ini.
“Hai awak! Meet my best friend, Azlee Ilham. Dia nak kenal dengan awak. So, saya buatkan video ni khas untuk awak. Wei, Azlee. Marilah sini. Tadi kau kata nak kenal dengan tunang aku. Haa.. kau nak cakap apa.. cakaplah. Nak cakap kuat-kuat pun tak apa. Dia tu pekak sikit,” gurau Zafira, tergelak.
“Kau ni mulut tak ada insuran. Err…. Fira. Tunang kau tu nama apa?” kata Azlee sambil menggaru kepala.
“Encik tunang!” balas Zafira, selamba.
“Err… okey-okey. Hai encik tunang. Saya Azlee, best friend Zafira kat kampung ni. Nice to meet you,” kata Azlee sambil memandang kamera telefon.
Zafira ketawa mendengarnya. Kemudian, dihalakan kamera ke arahnya dan tersenyum.
Bye awak. Saya nak pergi mandi sungai dengan Azlee. Nanti saya contact awak lagi. Jangan rindu kat bakal isteri tau encik tunang,” kata Zafira pula dan mematikan rakaman.
Iqwan mendengus keras. Telefon bimbit dicampak ke atas meja. Panas hatinya melihat video itu. Ikutkan hati, mahu disembur segala kemarahan terhadap Zafira.
Khairil tergelak. Wajah Iqwan diperhati dalam diam. Adakah Iqwan sedang menahan kemarahan terhadap Zafira? Adakah Iqwan cemburu dengan apa yang dilihatnya sebentar tadi?
So sweet mereka berdua. Sama tinggi. Sama padan. Muka pun dah hampir sama. Mesti mereka berdua dah berkawan sejak kecik lagi. Aku tengok rapat semacam saja,” suara Khairil.
Sekadar penambah perisa sekali gus menduga perasaan Iqwan terhadap Zafira. Adakah hati Iqwan tidak pernah tercuit dengan apa yang telah dilakukan oleh Zafira selama mereka bertunang? Adakah Iqwan masih mempertahankan egonya?
“Minah tu dah melampau. Dia tak sedar ke yang dia tu dah bertunang? Kenalah jaga batas diri dengan orang lain. Dia ingat aku ni tak ada perasaan agaknya,” bebel Iqwan sendirian.
“Sejak bila kau ada perasaan?”
“Kau boleh tak jangan nak tambahkan hangin aku?”
Khairil ketawa. Dia segera menapak jalan menuju ke pintu bilik. Wajah tegang kawannya itu ditatap berserta gelengan di kepala. Ego! Bisik Khairil dalam hati.
“Kau dah jatuh cinta, Iqwan Hafiz!” beritahu Khairil dan beredar dari situ.
“Aku…” Belum sempat Iqwan menafikan, kelibat Khairil sudah pun menghilang.
Kata-kata Khairil tidak masuk dek akalnya yang waras. Sejak bila dia jatuh cinta dengan Zafira?
“Mengarut! Aku tak sukakan Zafira!” tegas Iqwan.
Seminit kemudian, bunyi mesej menyapa telinga. Dicapai telefon bimbit lalu membaca mesej yang dikirim.

Azlee kirim salam pada encik tunang. J

“Huh! Minah ni sengaja nak uji aku. Haishh!! Kenapa sakit sangat hati aku ni?” luah Iqwan berserta nafas deras.



8 ulasan: