Ahad, 10 Januari 2016

Luahan Hati - Bab 11






Dua tahun yang lepas….

“KAU kat mana sekarang ni?” tanya Dahlia dari hujung talian.
“Aku dah sampai KL. Kau tolong ambil aku kat Pudu,” jawab Elisya.
“Sya, bukan ke esok baru kau nak balik? Kenapa malam ni pulak?” tanya Dahlia tidak percaya. Dahinya berkerut juga.
“Aku dapat call dari hospital. Papa dan mama aku accident,” beritahu Elisya, sebak.
Sungguh, dia terkejut mendengar berita itu. Disebabkan itu jugalah dia meninggalkan rumah Mak Jah tanpa pengetahuan keluarga tersebut.
“Ya Allah! Betul ke, Sya?” tanya Dahlia inginkan kepastian.
“Betul, Lia. Mereka sekarang berada di hospital. Aku kena balik ke Australia malam ni juga,” jawab Elisya, lemah.
Kakinya masih lagi melangkah keluar dari kawasan Puduraya itu. Mencari tempat untuk melepaskan lelah.
“Kalau macam tu, kau tunggu aku kat sana. Dalam sejam lagi aku sampai,” balas Dahlia.
“Tolong cepat sikit, Lia. Hati aku tak sedap ni. Seperti sesuatu bakal terjadi pada mama dan papa aku,” kata Elisya bernada rayuan.
“Baiklah, Sya. Aku cuba datang cepat. Kau tunggu kat situ,” pesan Dahlia.
Rasa terkejut mendengar berita kemalangan papa dan mama Elisya. Otaknya mengimbau semula kenangan sewaktu bersama dengan keluarga Elisya. Rasa simpati terhadap Elisya melimpah ruah ketika ini.
Elisya mematikan talian. Dimasukkan telefon bimbit ke dalam poket seluar dan melangkah keluar dari kawasan Puduraya. Melilau matanya melihat kawasan yang penuh sesak dengan manusia dan kenderaan. Tidak putus-putus kereta menyusuri jalan di situ. Gelengan kecil diberikan tatkala terpandang sebuah kereta yang memandu laju tanpa menghiraukan orang ramai yang sedang lalu-lalang di situ.
“Tak ada sivik punya orang. Dah tahu kawasan ni ramai orang melintas, bawa la kereta tu slow-slow. Ingat dia seorang saja yang ada kereta agaknya,” bebel Elisya sendirian.
Seminit kemudian, telefon bimbitnya bergetar. Digagau poket seluar jean lalu mengeluarkan telefon bimbit. Takkan cepat sangat Lia datang, bisik Elisya dalam hati. Nombor yang tertera di skrin telefon ditatap. Mak ngah! Desis Elisya pula. Kenapa mak ngah menelefonnya ketika ini? Berdebar-debar Elisya rasakan. Adakah sesuatu terjadi kepada mama dan papanya?
“Kenapa, mak ngah?” balas Elisya sebaik sahaja salam berjawab.
“Sya kat mana sekarang ni?” tanya Puan Ainon.
“Sya kat Puduraya, mak ngah. Tunggu kawan. Minta dia tolong hantarkan Sya ke KLIA. Kenapa mak ngah?” beritahu Elisya bernada risau.
“Sya, mak ngah dapat call dari sana. Mereka kata, mama dan papa Sya dah meninggal,” beritahu Puan Ainon, perlahan.
“Ya Allah! Mak ngah tak tipu Sya, kan?” tanya Elisya inginkan kepastian.
“Sya, perkara macam ni takkan mak ngah nak tipu. Kalau Sya tak percaya, Sya boleh call hospital sana untuk sahkan berita ni,” terang Puan Ainon pula.
Terhenti langkah Elisya mendengarnya. Serta-merta air matanya mengalir perlahan membasahi pipi. Baru siang tadi dia berbual dengan mamanya. Berjanji untuk pulang ke Australia pada esok hari. Kenapa begitu cepat papa dan mama pergi meninggalkannya? Pada siapa harus dia menumpang kasih selepas ini?
Patutlah sedari siang tadi ketika di majlis kenduri arwah di rumah Mak Jah hatinya tidak tenang. Malah, kata-kata pesanan daripada papa dan mamanya turut menggusarkan hati. Rupa-rupanya, inilah petanda kepada semua itu. Mama dan papa pergi buat selama-lamanya.
Ponnnn!!!
Bunyi hon kereta menyentak lamunan Elisya. Dihalakan mata ke arah lampu yang sedang menyuluh ke arahnya. Diperhatikan keadaan sekeliling. Dia kini sedang berdiri di tengah-tengah jalan.
Seminit kemudian, dirasakan tubuhnya melambung tinggi dan terhempas ke bawah. Kesakitan amat dirasai ketika ini. Darah pekat merah mengalir keluar melalui celahan mulut dan hidungnya. Ya Allah! Hanya nama itu terdetik di benak hati. Ampunkan segala dosa-dosaku selama ini, ucap Elisya sayu lalu memejamkan mata.


“MACAM mana, doktor?” tanya Dahlia bernada risau.
“Pesakit alami pendarahan yang teruk di kepala. Kami akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan pesakit,” jelas Doktor Hasyimah.
“Tolong doktor. Selamatkan dia. Kalau doktor perlukan darah saya, doktor ambillah, asalkan kawan saya selamat,” rayu Dahlia, teresak. Hatinya risau mendengar keadaan Elisya.
“Insya-Allah, kami akan cuba sedaya upaya menyelamatkan Elisya. Banyak-banyaklah berdoa kepada Yang Maha Esa,” kata Doktor Hasyimah berlalu pergi.
Dahlia melabuhkan duduk di kerusi sambil melepaskan keluhan berat. Disentuh lembut jantungnya yang berdegup dengan kencang. Baru tadi dia menelefon mak ngah Elisya, mengkhabarkan berita kemalangan Elisya. Mujurlah telefon bimbit Elisya masih lagi berfungsi. Dapat juga dia menelefon keluarga terdekat Elisya.
“Assalamualaikum,” sapa seseorang, tiba-tiba.
Dahlia mengangkat wajah. Seorang wanita berusia sedang berdiri di hadapannya.
 “Anak ni, Dahlia ke?” tanya Puan Ainon inginkan kepastian.
“Waalaikumussalam. Saya Dahlia. Puan ni, mak ngah Elisya ke?” balas Dahlia bingkas bangun dari duduk. Dihulurkan tangan untuk bersalaman dan disambut baik oleh Paun Ainon.
Puan Ainon mengangguk lemah.
“Macam mana dengan Sya?”
“Masih di dalam puan. Doktor kata, Sya alami pendarahan teruk di kepala,” jelas Dahlia berserta keluhan ringan.
“Ya Allah! Macam mana boleh jadi macam ni? Baru tadi mak ngah call Sya beritahu tentang mama dan papa dia. Tak sangka pulak…” Sukar untuk Puan Ainon menyudahkan ayat.
“Macam mana dengan mama dan papa, Sya?” tanya Dahlia ingin tahu.
“Mama dan papa Sya dah meninggal. Mereka kemalangan di sana,” beritahu Puan Ainon, lemah. Rasa sebak hadir ketika itu juga.
“Meninggal? Innalillahiwainnailaihiraji’un!” lafaz Dahlia, lembut.
Puan Ainon menghela nafas berat.
“Sya beritahu saya yang mama dan papanya cuma kemalangan sahaja.”
“Tak lama lepas tu mereka meninggal akibat pendarahan teruk di kepala. Insya-Allah, jenazah akan dibawa pulang ke sini,” terang Puan Ainon lagi.
Terduduk Dahlia mendengarnya. Diraup wajah dan mengeluh berat. Tidak menyangka semua itu terjadi dalam satu hari. Semakin melimpah rasa simpati terhadap Elisya ketika ini.
“Doktor, macam mana dengan anak saudara saya?” tanya Puan Ainon tatkala terpandangkan seorang doktor keluar dari bilik kecemasan.
Dahlia yang mendengar turut sama bangun. Dia menghampiri Doktor Hasyimah dan Puan Ainon. Risau di hati hanya Allah sahaja yang tahu.
“Doktor, macam mana dengan Sya?” ulang Puan Ainon kepada pertanyaannya yang tadi.
Doktor Hasyimah memandang wajah Dahlia dan Puan Ainon silih berganti. Bagaimana untuk mengkhabarkan tentang keadaan Elisya kepada mereka berdua? Adakah mereka berdua kuat untuk mengetahuinya?
“Sebelum saya beritahu, ayah dan ibu Elisya tak datang ke?” tanya Doktor Hasyimah.
“Mama dan papa Elisya baru saja meninggal, doktor. Mereka terlibat dalam kemalangan di Australia,” jawab Puan Ainon, sebak.
Doktor Hasyimah yang mendengar terkejut.
“Saya adik bongsu mama Elisya. Apa-apa tentang Elisya, doktor boleh beritahu pada saya selaku ibu saudara Elisya,” beritahu Puan Ainon pula.
“Maafkan saya, puan. Saya tak tahu,” kesal Doktor Hasyimah.
“Tak mengapa, doktor. Bagaimana keadaan Elisya?” tanya Puan Ainon tidak sabar.
“Alhamdulillah, keadaan Elisya stabil. Kami berjaya membuang darah beku yang terdapat di kepalanya. Hanya tunggu Elisya sedarkan diri sahaja. Tapi…” Doktor Hasyimah mematikan ayat. Nafas ditarik dan melepaskannya berat.
“Tapi apa doktor?” tanya Dahlia dan Puan Ainon serentak.
“Kecederaan di kaki Elisya berkemungkinan akan menyebabkan Elisya lumpuh!” terang Doktor Hasyimah. Wajah Puan Ainon dan Dahlia dipandang penuh minat.
“Ya Allah!” Serentak Dahlia dan Puan Ainon bersuara.
“Saya akan cuba untuk pulihkan kaki Elisya. Saya cadangkan agar Elisya jalani rawatan fisioterapi yang ada di hospital ni. Insya-Allah, jika diizinkanNya Elisya dapat berjalan semula.”
“Berapa peratus Elisya akan pulih, doktor?” tanya Dahlia ingin tahu.
“Agak tipis. Tapi jangan risau. Kami akan cuba sedaya upaya untuk pulihkan kaki Elisya,” jawab Doktor Hasyimah sekali gus memberi jaminan kepada Dahlia dan Puan Ainon.
“Saya harap, kaki Elisya dapat dipulihkan,” ujar Puan Ainon penuh harapan.
“Insya-Allah, puan. Sama-samalah kita berdoa kepadaNya agar kaki Elisya pulih seperti sedia kala,” kata Doktor Hasyimah mengangguk perlahan.
“Boleh kami melawat Elisya, doktor?” tanya Dahlia.
“Boleh! Saya akan pindahkan Elisya ke bilik yang telah pihak hospital tetapkan. Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,”beritahu Doktor Hasyimah, ramah.
“Baiklah, doktor. Terima kasih atas segala-galanya,” ucap Puan Ainon.
“Sama-sama puan. Saya hanya menjalankan tugas. Selebihnya berserah kepada Dia. Kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukannya,” balas Doktor Hasyimah berlalu dari situ. Senyuman diberikan kepada Dahlia dan Puan Ainon.
Dahlia dan Puan Ainon hanya memandang. Seminit kemudian, mereka melangkah menuju ke bilik di mana Elisya di tempatkan. Ucapan syukur meniti di benak hati. Bersyukur kerana Elisya sudah melepasi tahap kritikal.
“Sebelum mak ngah terlupa, kereta yang melanggar Elisya macam mana?” tanya Puan Ainon tatkala teringatkan tentang itu.
“Menurut kata pegawai polis yang bertugas, pemandu yang melanggar Elisya dah menyerah diri di balai polis berhampiran. Kes ni masih dalam siasatan polis,” beritahu Dahlia.
Puan Ainon menghela nafas berat.
“Macam mana Sya boleh kemalangan Dahlia?”
“Saya dengar orang-orang kat situ beritahu yang Sya menyeberangi jalan dengan tiba-tiba. Disebabkan itulah pemandu tu tak sempat nak brek,” cerita Dahlia.
Itulah yang diketahuinya ketika berada di tempat kejadian. Setibanya di kawasan Puduraya, melilau matanya mencari kelibat Elisya. Berkali-kali dia menelefon Elisya, namun tidak berjawab. Tatkala talian bersambut, seseorang telah memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis. Pegawai itu juga yang memberitahu tentang kemalangan tersebut.
“Tak mengapalah Dahlia. Marilah kita ke bilik Sya. Mak ngah harap, Sya dapat terima dengan hati yang ikhlas,” luah Puan Ainon. Sebak memikirkan nasib anak buahnya itu.
Dahlia sekadar mengangguk. Dia melangkah mengekori Puan Ainon daripada belakang. Keluhan berat dilepaskan untuk kesekian kali. Hanya doa yang mampu diberikan agar Elisya tabah menerima takdir dari Allah.


“ELISYA!” Firdaus memanggil. Pantas dia mengangkat tubuh lalu bersandar di kepala katil. Diraup lembut wajahnya dan menggeleng kecil. Dia beristighfar seketika.
“Daus, kenapa ni?” tanya Mak Jah sambil meluru masuk ke dalam bilik.
“Daus mimpikan Sya, mak,” jawab Firdaus sambil menyeka peluh di dahi.
“Mimpi? Mimpikan apa?”
“Daus mimpi yang Sya kemalangan.”
“Hisy, kamu ni Daus. Ada ke mimpikan Sya kemalangan. Mengarut betul!” tegur Mak Jah kurang senang.
Hatinya turut sama risau ketika ini. Apa yang dirisaukan dia sendiri tidak tahu. Adakah Firdaus dapat merasai dengan apa yang dirasainya ketika ini?
“Daus tak mengarut mak. Depan mata Daus, Sya kemalangan,” kata Firdaus menegakkan kenyataannya tadi.
“Tak ada apa-apa, Daus. Mak yakin, Sya dah sampai di Kuala Lumpur.”
“Semuanya salah Daus mak.”
“Kenapa Daus cakap macam tu?”
“Kalau Daus layan Sya dengan baik, tak mungkin Sya pergi begitu saja.”
“Daus, tak perlulah nak salahkan diri sendiri. Semua tu dah berlaku.”
“Daus menyesal mak. Menyesal sebab buat Sya terluka dan terasa hati. Daus nak minta maaf dengan Sya,” luah Firdaus, sebak.
“Insya-Allah, Sya tak salahkan Daus. Mungkin Sya benar-benar ada perkara penting yang perlu diuruskan segera. Sebab itulah Sya tak sempat nak beritahu kita tadi,” jelas Mak Jah. Cuba untuk menenangkan perasaan anaknya itu.
“Kalau apa-apa terjadi pada Sya, macam mana mak?” tanya Firdaus akan kegusaran di hati.
Sedari tadi, hatinya risaukan sesuatu. Apa yang dirisaukannya, dia sendiri tidak pasti. Adakah Elisya yang dirisaukannya itu?
“Sudah! Pergilah tidur. Esok, kita cuba tanyakan pada Hamidah, kut-kut Hamidah tahu apa yang terjadi pada Sya,” cadang Mak Jah lalu melangkah jalan menuju ke muka pintu. Senyuman diberikan kepada anaknya itu.
Firdaus hanya mengangguk. Matanya menghantar langkah Mak Jah sehingga hilang dari pandangan mata. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Sejak tadi, dia cuba menelefon Elisya tetapi tidak berjaya. Malah, dia juga telah keluar untuk mencari Elisya di stesen bas. Tetapi dia hampa. Elisya pergi tanpa sebarang pesan. Hanya surat yang ditinggalkan oleh Elisya.
Firdaus membaringkan semula tubuh ke atas katil. Telefon bimbit dicapai dari atas meja dan cuba untuk mendail nombor telefon Elisya. Berkali-kali dicuba namun tidak berjaya. Elisya tidak mahu menjawab panggilannya. Rasa kesal menujah dalam hati. Kesal kerana memperlakukan Elisya sebegitu.
“Elisya!” seru Firdaus, lembut.
“Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi,” jawab peti suara telefon Elisya.
“Elisya, kenapa awak pergi tinggalkan kami?” luah Firdaus sendirian.
Telefon bimbit diletakkan semula di atas meja. Selimut ditarik sehingga ke paras dada lalu memejamkan mata. Semoga suatu hari nanti dia dapat bertemu semula dengan Elisya. Jika itu berlaku, hanya kemaafan yang dipinta daripada Elisya. Semoga Elisya dapat memaafkan segala kesalahannya selama ini. Semoga Elisya bahagia walau di mana pun gadis itu berada.
“Saya rindukan awak, Elisya,” adu Firdaus, jujur.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan