Rabu, 1 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 11






“WAALAIKUMUSSALAM!” balas Iris dan Zakry, serentak.
“Kita jumpa lagi,” kata Haidar berserta senyuman di bibir.
Iris hanya mengangguk dan tersenyum. Wajah Haidar ditatap seketika. Kemudian, dia memandang ke arah gadis di sisi Haidar. Adakah gadis yang sama ketika Haidar menyelamatkannya beberapa minggu yang lepas?
“Hai!” Zulaikha menyapa. Tangan dihulur dan dibalas oleh Iris.
“Awak sihat?” tanya Haidar, berbasa-basi.
“Alhamdulillah, sihat!” jawab Iris, ramah.
Zakry hanya mendengar. Dia memandang wajah Haidar dan Zulaikha silih berganti.
“Oh ya, jemputlah duduk!” pelawa Iris kemudian.
“Tak apa ke ni?” Haidar serba salah.
It’s okey! Duduklah!” Iris mengangguk perlahan.
Haidar tersenyum. Dia melabuhkan duduk di kerusi bersebelahan Zakry. Zulaikha turut mengambil tempat di sisi Iris.
“Kenalkan Zakry Alif. Rakan baik saya,” perkenal Iris sebaik sahaja Haidar duduk.
Zakry yang mendengar menghulurkan tangan untuk bersalaman. Dia menundukkan kepala sedikit tanda perkenalan kepada Zulaikha.
“Kita belum berkenalan lagi walaupun sudah tiga kali kita berjumpa,” suara Haidar seraya memandang ke wajah Iris.
“Iya ke? Bukan hari tu….”
“Awak belum perkenalkan diri awak.”
“Oh! Maaf!” balas Iris sedikit malu.
Haidar hanya mengangguk. Wajah Iris masih menjadi tatapan mata.
“Iris Eryna. Panggil Iris saja,” ujar Iris, lembut.
“Iris Eryna! Cantik nama tu seperti orangnya,” puji Haidar bernada ikhlas.
Iris ketawa kecil. Kepala menggeleng mendengar pujian Haidar.
Zakry yang mendengar menoleh ke wajah Haidar. Dia memandang wajah itu buat seketika. Seperti pernah berjumpa dengan wajah itu sebelum ini.
Zulaikha turut sama memandang ke wajah Haidar. Terkejut mendengar kata-kata pujian Haidar. Rasa cemburu menyelinap masuk ke dalam hati. Kenapa Haidar memuji Iris? Adakah Haidar mempunyai perasaan kepada Iris?
“Cantik itu subjektif,” ujar Iris berserta senyuman di bibir.
“Cantik itu perkara yang subjektif dan banyak penilaian boleh dibuat mengikut hati atau nafsu masing-masing. Jika ‘hati’ seseorang itu cantik maka keseluruhan dirinya adalah cantik tetapi jika ‘hati’nya tidak cantik atau penuh dengan keburukan, maka keseluruhan dirinya akan menjadi hodoh walaupun memiliki wajah yang cantik,” hujah Haidar dengan apa yang diketahuinya.
Iris masih lagi tersenyum. Ada benarnya kata-kata Haidar. Rasa kagum dengan Haidar. Pemuda itu seorang yang baik, ramah dan berpengetahuan. Layak dengan kerjayanya sebagai seorang doktor.
“Kita makan dulu,” suara Zakry memecah kesunyian.
Tingkah laku Iris dipandang. Sejak dari tadi, Iris tidak lepas memandang Haidar. Adakah hati Iris sudah terpaut kepada Haidar?
“Boleh juga. Haidar, awak nak makan apa?” suara Zulaikha yang membisu dari tadi. Matanya menatap wajah Haidar di hadapan. Pemuda itu sedang memandang Iris dengan penuh minat.
“Iris, kau nak makan apa?” Zakry bertanya pula.
Iris tidak membalas. Matanya membalas tatapan Haidar. Sinar mata itu. Aku pernah lihat sebelum ini. Kenapa aku rasa seperti mengenali dia? Setiap kali aku berhadapan dengan dia, aku rasa sebak. Aku rasa simpati.
Ya Allah! Perasaan apakah ini? Siapa dia yang sebenarnya? Adakah Kau sengaja memadamkan memori dari kotak fikiranku? Kesemua memori itu amat melukakan serta mengecewakan aku. Iris bermonolog sendirian. Dia memejamkan mata sambil melepaskan nafas berat.
Haidar tidak lepas memandang Iris. Wajah Iris mengingatkan dia kepada seseorang. Seseorang yang amat istimewa. Seseorang yang tidak pernah lepas dari pandangan mata. Malah, perasaan yang hadir dalam hati ketika ini sukar untuk dimengertikan. Siapa Iris Eryna yang sebenarnya?
“Haidar!”
“Iris!”
Serentak Zakry dan Zulaikha memanggil nama pasangan masing-masing. Tingkah laku Haidar dan Iris menjadi tatapan mata mereka berdua.
Haidar tersentak. Dia berdehem sambil membetulkan duduk. Ternyata dia leka dan khayal seketika. Wajah Zulaikha di hadapan ditatap berserta senyuman di bibir. Iris turut sama membuka mata. Tersentak dengan panggilan Zakry. Hampir dia terlena seketika.
“Boleh kita order?” ujar Iris kemudian.
“Aku dah order untuk kau,” beritahu Zakry.
Sorry! Aku terlena seketika,” kesal Iris.
“Saya pun dah tolong order untuk awak, Haidar,” beritahu Zulaikha pula.
“Maaf Ika. Saya terleka dan khayal seketika,” kata Haidar turut sama kesal.
Zulaikha tidak membalas. Wajah Haidar dan Iris dipandang silih berganti. Apa sebenarnya yang berlaku di antara Haidar dan Iris? Hati Zulaikha bertanya. Dia pasti ada rahsia yang tersembunyi melihatkan tingkah laku Haidar dan Iris sebentar tadi dan dia akan cuba untuk menyiasatnya nanti.


CAMELIA memandang tingkah laku Hanif yang sedang memeriksa fail. Rasa berdebar turut sama hadir di hati. Khuatir laporan yang dibuat tidak menepati kehendak Hanif. Hampir tiga tahun dia bekerja dengan Hanif.
Segala sikap, tingkah laku dan cara Hanif sudah dapat diterima. Walaupun Hanif nampak tegas dan serius, dari segi kerja Hanif seorang bos yang prihatin serta menjaga kebajikan pekerja.
Camelia tersenyum seketika. Wajah Hanif diperhati dalam diam. Kacak dan tampan. Bertuah siapa yang dapat memiliki Hanif sebagai teman. Ada juga dia cuba menggoda Hanif sewaktu mula-mula dia bekerja dahulu, tetapi lelaki itu tidak menunjukkan minat. Maka dari itu, dia melupakan hasrat untuk memikat Hanif.
“Saya dah semak. Ada beberapa kesalahan yang perlu awak betulkan, Camelia,” suara Hanif seraya menutup fail. Dihulurkan fail kepada Camelia.
Camelia tidak membalas. Dia masih mengelamun dengan kisah lama.
“Camelia!” tegur Hanif sedikit meninggi. Gadis itu seakan leka termenung.
“Haa…” Camelia tersentak. Dihalakan mata ke wajah Hanif.
“Awak mengelamun?” tanya Hanif bernada serius.
“Maaf, Encik Hanif.” Camelia kesal. Malu dengan tingkah lakunya sebentar tadi.
“Saya dah buat note. Awak boleh tengok nanti,” beritahu Hanif lalu bersandar ke kerusi. Wajah Camelia ditatap mesra.
“Baiklah, Encik Hanif. Maaf atas tingkah laku saya sebentar tadi,” kesal Camelia seraya mencapai fail. Dia memeluk fail tersebut berserta senyuman di bibir.
Hanif sekadar mengangguk. Wajah Camelia masih menjadi tatapan mata. Gadis itu seorang yang cantik dan manis.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu,” ujar Camelia sedikit bergetar. Pandangan Hanif menghadirkan rasa malu.
“Baiklah! Awak boleh keluar sekarang,” kata Hanif lalu tersenyum.
“Sebelum saya terlupa, ini kad jemputan ke majlis amal Hamzah Holdings,” beritahu Camelia sambil menghulurkan kad jemputan dan dibalas baik oleh Hanif.
“Hamzah Holdings?” ulang Hanif sambil berkerut dahi.
Camelia sekadar mengangguk. Tanpa menunggu, dia beredar dari ruangan itu. Rasa malu masih lagi bersisa.
“Camelia!” tegur Aidil, tiba-tiba.
Camelia tersentak. Nyaris dia bertembung wajah dengan Aidil yang masuk dengan tiba-tiba ke dalam bilik Hanif.
“Maaf kalau saya mengejutkan awak,” kesal Aidil tatkala melihat riak di wajah Camelia. Ternyata dia sudah terlanjur tingkah laku.
“Tak apa, Encik Aidil. Saya keluar dulu,” kata Camelia bernada ikhlas.
Aidil hanya mengangguk. Matanya memandang pemergian Camelia. Kemudian, dihampiri Hanif di meja.
“Kau nak pergi site tak?” tanya Aidil sambil melabuhkan duduk.
Site? Kenapa?” soal Hanif pula. Kurang jelas.
“Tengok projek. Dah hampir 80% siap.”
Hanif sekadar mengangguk. Kad di tangan dilipat lalu diletakkan di atas meja dan memberi sepenuh perhatian kepada Aidil di hadapan.
“Kad apa tu?” Aidil berminat ingin tahu. Dia mencapai kad lalu membaca isi kandungan kad tersebut. Dia mengangguk perlahan sebaik sahaja habis membacanya.
“Kau nak pergi?”
“Tak tahu lagi. Kau tengoklah tarikh dan masa dia.”
Aidil menatap semula kad di tangan. Tarikh dan masa majlis tersebut dibaca.
“Kenapa dengan tarikh dan masa majlis ni?” tanya Aidil kemudian. Kurang faham.
Hanif menghela nafas ringan. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Aidil?
“Kau ada rahsia sesuatu daripada aku ke?” Aidil masih lagi bertanya. Ada apa dengan tarikh dan masa majlis tersebut?
“Tarikh tu mengingatkan aku pada majlis setahun yang lepas. Hamzah Holdings!”
Aidil cuba menerima penjelasan Hanif. Apa maksud Hanif?
“Aku dimalukan di majlis tu,” beritahu Hanif tatkala melihat riak keliru di wajah Aidil. Pasti kawannya itu sedang berfikir akan kata-katanya sebentar tadi.
“Okey! Aku dah ingat,” ujar Aidil seraya mengangguk.
“Sampai ke hari ini aku tak boleh nak lupakan peristiwa tu dan sampai ke hari ini aku tak berjumpa dengan gadis misteri tu,” jelas Hanif tatkala mengingati peristiwa tersebut.
Aidil tidak membalas. Dia mengangguk perlahan tatkala mengingati peristiwa tersebut. Peristiwa yang telah memalukan Hanif.
“Sekejap! Tarikh dan masa yang sama ke?” tanya Aidil sedikit pelik. Adakah tarikh majlis amal tu sama seperti setahun yang lepas?
Hanif tidak membalas. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri jendela. Peristiwa setahun yang lepas meniti di minda.
“A’ah! Sama!” jawab Aidil pada pertanyaannya tadi. Mustahil Hanif akan melupakan tarikh tersebut.
“Siapa gadis tu? Sampai sekarang aku masih berdendam dengan dia,” ujar Hanif bernada perlahan namun masih dapat didengari oleh Aidil.
“Sudahlah, Nif. Tak ada gunanya kau berdendam dengan dia. Kau pun bukannya kenal dengan dia,” kata Aidil seraya memegang lembut bahu Hanif.
“Mungkin dia pun tak nak dikenali orang. Sebab itulah dia berpurdah pada malam tu. Kalau kau nak cari dia, kau nak cari macam mana? Guna mata dia saja ke?” sambung Aidil lagi berbaur sindiran. Gadis yang telah memalukan Hanif meniti di minda saat ini.
“Kau tak faham perasaan aku, Dil. Aku yang rasai semua tu.”
“Ya! Memang aku akuinya. Cuma aku nak kau fikir balik dengan apa yang kau dah buat. Sama seperti kes kau membenci ‘dia’.”
“Huh! Mustahil aku akan lupakan perbuatan ‘dia’. Masih terkesan di hati aku ni,” bidas Hanif seraya menolak tangan Aidil dari memegang bahunya. Dia melangkah menuju ke sofa lalu melabuhkan duduk di situ.
“Okey! Aku tak nak ungkit kisah lama. Terpulang pada kau nak benci, dendam atau apa-apa pun. Cuma satu aku minta pada kau Nif,” kata Aidil sambil melangkah menghampiri Hanif di sofa.
Hanif memandang wajah Aidil. Menanti butir bicara yang seterusnya.
Once kau dah berjumpa dengan dia, aku nak kau dengar penjelasan dia. Jangan terus belasah atau hambur dia dengan kata-kata yang tak elok,” pinta Aidil berharap.
Hanif tersenyum sinis. “Tengoklah macam mana nanti.”
Aidil hanya menggeleng. Dia membawa langkah menuju ke pintu bilik.
“Kau nak ikut aku pergi site tak?”
Hanif berfikir sejenak. Perlukah dia mengikut Aidil ke tapak projek? Hatinya berkira-kira ketika ini.
“Kalau tak nak, aku jalan dulu. Mungkin lepas tu aku terus balik ke rumah,” beritahu Aidil lalu beredar dari situ.
Wait! Aku follow!” ujar Hanif lalu menghampiri meja kerja. Telefon bimbit serta briefcase dicapai.
Ada baiknya dia mengikut Aidil ke tapak projek daripada duduk di pejabat. Mungkin dengan cara itu, dia tidak akan memikirkan peristiwa lama.


“TERIMA kasih sudi belanja kami,” ucap Zakry, ramah.
“Sama-sama. Tak ada masalah,” balas Haidar bernada ikhlas.
Zakry mengangguk dan tersenyum. Wajah Haidar di hadapan ditatap penuh minat. Sejak dari makan tadi lagi dia memikirkan Haidar. Di mana dia berjumpa dengan Haidar sebelum ini?
“Ada jodoh dan rezeki, kita jumpa lagi Doktor Haidar,” ujar Iris berserta senyuman.
“In shaa Allah, Iris. Kalau awak ke hospital, awak boleh cari saya di sana,” kata Haidar turut sama tersenyum.
Iris sekadar mengangguk. Wajah Haidar ditatap seketika.
“Maaf kalau saya bertanya. Doktor asal dari mana?” tanya Iris kemudian.
“Perak!” jawab Haidar, sepatah.
“Perak di mana?” Zakry pula bertanya.
“Di…..” Haidar mematikan ayat tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Dikeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar.
“Maaf, saya jawab call ni dulu,” ujar Haidar lalu menjauhi mereka.
Iris, Zakry dan Zulaikha hanya memandang. Masing-masing hanya membisu.
“Zulaikha girlfriend Doktor Haidar ke?” tanya Zakry sekadar menceriakan suasana.
“Eh! Tak la. Kawan saja. Dari universiti lagi,” jawab Zulaikha sedikit tersentak. Ralit melihat Haidar yang sedang berbual di telefon.
“Oh!” sebut Zakry, sepatah.
“Cik Zulaikha sukakan Doktor Haidar?” Iris bertanya.
Sekadar menduga perasaan gadis itu. Dia yakin yang Zulaikha mencintai Haidar melihatkan tingkah laku gadis itu tadi. Cemburu! Ya, Zulaikha cemburu melihat kemesraannya dengan Haidar.
“Errr…” Zulaikha tersenyum pahit. Dia menggaru kening sendiri. Apa jawapan yang harus diberikan kepada Iris?
“In shaa Allah, dia akan jadi milik Cik Zulaikha,” tutur Iris bernada ikhlas. Senyuman diberikan kepada Zulaikha.
“Iris, saya…”
“Awak, jom! Saya ada emergency,” sampuk Haidar, tiba-tiba.
Iris, Zulaikha dan Zakry tersentak. Masing-masing memandang ke wajah Haidar.
“Saya minta diri dulu, Iris, Zakry. Jumpa lagi!” ramah Haidar sambil tersenyum.
“Baiklah! Jumpa lagi!” Serentak Zakry dan Iris membalas.
Haidar masih lagi tersenyum. Dia melangkah beredar dari situ. Zulaikha turut sama berpamitan dan mengekori Haidar dari belakang. Dilemparkan senyuman kepada Zakry dan Iris.
“Pasangan yang secocok,” sebut Iris selepas itu.
“Aku ingat kau dah ‘ter’ suka dengan doktor handsome tu. Boleh tahan pandangan dia pada kau tadi,” suara Zakry penuh tersirat.
“Pandangan dia mengingatkan aku pada seseorang,” ujar Iris, perlahan. Dia beredar dari situ.
Zakry hanya mendengar. Langkah Iris diperhati penuh minat.
“Aku pun sama, Iris. Wajah dia mengingatkan aku pada seseorang,” akui Zakry turut sama melangkah keluar dari situ. Dia pasti akan mengetahui siapa Haidar yang sebenarnya.




1 ulasan: