Khamis, 2 Mac 2017

Terus Mencintaimu - Bab 12






IRIS memandang Hanif dengan pandangan yang jelik. Kenapa dia boleh bertemu dengan pemuda itu lagi? Adakah semua itu telah dirancang oleh Allah? Adakah takdirnya sudah tercoret untuk bertemu dengan Hanif? Ah! Kenapa aku berjumpa dengan lelaki bongkak ini lagi? Hati Iris menjerit.
Hanif turut sama memandang Iris dengan sinis. Kenapa semenjak dua menjak ini dia sering berjumpa dengan Iris? Musuh utamanya dalam perniagaan. Gadis itu bijak menggunakan kecantikan dan kepandaian untuk mendapatkan projek besar. Itulah senjata utama seorang perempuan. Hanif mencebik dalam hati.
“Kenapa kau pandang aku macam tu? Ada yang kau tak puas hati ke?” tegur Iris.
“Huh! Bila masa aku pandang kau? Perasan! Kau ingat kau tu cantik sangat sampai aku nak pandang kau?” sindir Hanif, selamba.
Iris ketawa kecil. Pemuda itu penuh dengan ego dan lagak serta bongkak.
“Tentu kau pernah dikhianati dan disakiti. Betul tak kata aku ni?” kata Iris lalu berpeluk tubuh dan bersandar ke kerusi.
Hanif berkerut dahi. Kurang faham dengan kata-kata Iris.
“Betul, kan? Sebab itu kau pandang sinis pada aku,” sambung Iris, tenang.
“Kau belum kenal siapa aku lagi tapi kau dah buat andaian pasal aku,” balas Hanif turut sama berpeluk tubuh.
“Hanya dengan pandangan pertama aku dah boleh menilai kau, Hanif.”
“Wow! Hebat!”
Iris hanya mendengar. Matanya tepat ke wajah Hanif.
“Kenapa aku benci tengok muka kau?” Jujur Hanif meluahkan. Itulah yang dirasakan terhadap Iris.
Iris hanya tersenyum. Tidak berniat untuk membalas.
“Kau mengingatkan aku pada seseorang. Siapa kau yang sebenarnya?”
“Iris Eryna! Kenapa?”
Hanif mencebik.
“Kau bencikan aku sebab aku lagi hebat dan bagus dari kau, kan?”
Hanif yang mendengar menghalakan mata ke wajah Iris.
“Susahkan nak terima kenyataan bila ada orang lain lebih hebat dari kita.” Iris mengejek. Sengaja memanaskan hati Hanif.
“Apa kau cakap? Kau lagi ‘hebat’ dari aku?” Hanif bertanya. Ditekankan perkataan ‘hebat’ sambil menggenggam erat tangan.
“Ya! Aku lagi hebat! Dalam masa setahun ni aku dah berjaya dapatkan tiga projek besar.”
Hanif tidak membalas. Kata-kata bangga dan megah Iris begitu menyakitkan hati.
“Kau? Berapa yang kau dah dapat? Paling tidak pun dalam masa tiga bulan.” Iris bertanya. Sekadar menduga pemuda itu.
Hanif masih lagi tidak menjawab. Pertanyaan Iris dipandang sepi. Otaknya ligat berfikir. Berapa? Hatinya bertanya sendiri. Dalam tahun ini, hanya satu projek sahaja yang dia berjaya dapat berbanding tahun sebelum ini.
Jika dahulu syarikatnya seringkali mendapat projek tetapi tidak kali ini. Kehadiran gadis itu telah menggugat syarikatnya. Dia juga turut berasa tergugat. Walau di mana sahaja dia menghadiri mesyuarat, nama Iris Eryna sering kali meniti di bibir di kalangan mereka yang bermesyuarat.
“Huh! Aku kena cari kelemahan dia. Kalau tidak….”
“Kalau tidak apa?” sambung Iris sambil memandang Hanif.
Terkejut Hanif mendengarnya. Adakah Iris mendengar bisikannya tadi?
“Kalau tidak apa?” Iris masih bertanya. Siapa yang dimaksudkan oleh Hanif tadi?
Hanif tidak menjawab. Wajah Iris di hadapan dipandang berserta senyuman sinis. Sudah terencana rancangan untuk mencari kelemahan Iris dan dia sudah pun mengupah seseorang untuk menyiasat siapa sebenarnya Iris Eryna.
“Helo!” Iris memanggil. Dia memetik jari di hadapan mata Hanif.
Hanif tersentak.
“Mengenangkan dosa yang telah dibuat pada orang ke?” Iris berkata. Senyuman makna meniti di bibir.
Hanif menghela nafas ringan. Senyuman Iris ditatap buat seketika.
“Eloklah kalau kita sentiasa ingat dengan dosa yang telah kita buat. Hidup kita pun bukannya lama. Mati itu pasti!” sambung Iris lagi.
“Kau dah habis cakap?” tanya Hanif dalam nada bengang. Nak mengajar aku nampak! Rengus Hanif dalam hati.
“Kenapa? Kau tak suka kalau aku cakap pasal mati?” tanya Iris menolak pertanyaan Hanif. Pandangan Hanif dibalas.
“Aku bencikan kau!” luah Hanif, jujur.
Iris ketawa mendengarnya. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Hanif. Diperhatikan wajah Hanif buat seketika. Riak tegang terlukis di wajah itu.
“Terima kasih! Aku doakan suatu hari nanti, kau akan berlutut minta maaf pada orang yang kau benci dan dendam selama ini,” bisik Iris ke telinga Hanif.
Tanpa menunggu balasan, dia beredar dari situ menuju ke tandas. Hampir sejam dia menanti kedatangan Dato Hamdan. Entah sebab apa dia dipanggil berjumpa, dia sendiri tidak tahu. Adakah berkenaan dengan projek yang sedang dijalankan oleh syarikat Dato Rashid?
Hanif memandang langkah Iris. Kata-kata Iris terngiang-ngiang di cuping telinga. Aku doakan suatu hari nanti, kau akan berlutut minta maaf pada orang yang kau benci dan dendam selama ini. Ulang Hanif dalam hati.
“Ah! Mengarut! Sampai mati aku tak akan maafkan dia,” putus Hanif berserta dengusan kasar.


WHAT happen to you, Iris?” tanya Iris kepada diri sendiri setibanya di dalam tandas. Dia memandang wajah sendiri di hadapan cermin.
“Kenapa kau cari pasal dengan dia?” soal Iris lagi. Keluhan dilepaskan.
“Kenapa Iris? Kenapa? Kau dah janji pada diri kau yang kau tak akan sakitkan hati orang. Tak akan cari pasal dengan orang. Kau dah lupa dengan apa yang terjadi dahulu?”
Iris masih lagi bersoal jawab di hadapan cermin. Dia meraup wajah berserta keluhan untuk kesekian kali.
“Kenapa orang membenci kau, Iris? Apa salah kau pada mereka?” Iris masih lagi bertanya. Dia memejamkan mata buat seketika. Mencari kekuatan pada diri sendiri.
“Adakah hidup kau untuk dibenci dan didendami? Dihina dan dicaci?” tambah Iris. Kenapa dia perlu menghadapi situasi itu lagi?
Iris menghela nafas berat. Paip air dibuka lalu membasuh wajah. Ditatap wajah basahnya di cermin.
“Aku tak akan mengalah!” azam Iris penuh yakin.
“Aku akan pastikan kau kalah, Hanif,” sambung Iris berserta senyuman di bibir.
Setelah beberapa minit menenteramkan perasaan, Iris keluar dari dalam tandas menuju ke bilik mesyuarat. Entah kenapa dia berasa penat dan letih. Lantas, dilabuhkan duduk di kerusi yang terdapat di situ.
“Aku minta maaf. Aku banyak menyusahkan kau sejak akhir-akhir ini,” bisik Iris sambil memegang kaki sendiri.
“Aku janji, lepas aku settle semuanya, aku akan rehatkan kau. Buat masa sekarang, aku memerlukan sokongan kau,” suara Iris lagi sambil mengurut kaki. Sekadar meredakan keletihan dan kepenatan di situ.
“Iris!” tegur Dato Hamdan, tiba-tiba.
Iris tersentak. Dia bingkas bangun lalu tersenyum kepada Dato Hamdan.
“Awak buat apa kat sini?”
“Saya ke ladies sekejap tadi. Maafkan saya.”
“Oh! Maafkan saya sebab terlewat. Tiba-tiba saja tadi saya ada mesyuarat dengan orang lain. Hanif?” jelas Dato Hamdan tanpa dipinta.
Iris tidak menjawab. Dia masih lagi tersenyum kepada Dato Hamdan.
“Kita ke bilik. Saya ada perkara nak bincang dengan awak dan Hanif,” pelawa Dato Hamdan, ramah.
Iris mengangguk. Dia mengekori langkah Dato Hamdan menuju ke bilik. Berdebar-debar ketika ini. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh Dato Hamdan? Adakah melibatkan projek?


“SIAL!” Hanif melepaskan kemarahan sambil mencampak briefcase.
“Hai, tegang saja muka tu aku tengok. Apa kes?” tegur Aidil dari muka pintu bilik.
Hanif memandang Aidil yang sedang menapak masuk ke dalam bilik. Dengusan kasar terlepas daripada bibir.
“Apa kes?” ulang Aidil pada pertanyaannya tadi.
“Perempuan sial! Memang nak kena dengan aku dia tu.” Hanif masih meluahkan kemarahan. Dia menggenggam erat tangannya.
“Perempuan mana pulak ni? Kau ni tak habis-habislah, Nif,” tanya Aidil sambil menggelengkan kepala. Hanif masih tidak berubah.
“Perempuan sial tu! Dah lama aku bersabar dengan dia,” luah Hanif lagi.
Aidil cuba memproses kata-kata Hanif. Perempuan? Perempuan mana yang dimaksudkan oleh Hanif? Setahu dia, hanya seorang perempuan sahaja yang boleh membuatkan Hanif berkeadaan seperti sekarang.
“Iris Eryna?” Terpancul nama itu daripada bibir Aidil.
“Huh!” rengus Hanif, keras.
So, apa yang Iris dah buat pada kau?” tanya Aidil ingin tahu.
“Dia ingat dia tu hebat sangat ke? Semua orang nak dengar cakap dia. Dato Hamdan tu pun satu. Ikut saja cakap dia. Entah apa yang perempuan tu bagi pada dato sampai dato setuju cakap perempuan tu,” luah Hanif, panjang lebar. Bengang, tatkala mengingati peristiwa di pejabat Dato Hamdan beberapa jam yang lepas.
“Maksud kau?” Aidil bertanya. Dia masih cuba untuk memahami penjelasan Hanif.
Hanif mendengus kasar. Tali leher ditarik. Sekadar memberi ruang pernafasan untuk bernafas stabil. Setelah itu, dilabuhkan duduk di sofa.
Aidil menghampiri Hanif di sofa. Dia turut sama melabuhkan duduk di hadapan Hanif. Menunggu butir bicara Hanif yang seterusnya.
“Dato Hamdan! Dia bagi projek pada kita,” beritahu Hanif sebaik sahaja menstabilkan emosi.
“Alhamdulillah. Rezeki kita, Nif,” ucap Aidil sambil menadah tangan lalu meraup wajah. Syukur atas rezeki yang diberikan oleh Allah.
“Masalahnya sekarang….”
“Masalah apa?”
“Kita kena bekerjasama dengan perempuan tu.”
Aidil berkerut dahi. Cuba untuk memahami penjelasan Hanif.
“Kau ni….” Hanif menghela nafas buat seketika.
“Maksud kau, dato serahkan projek tu pada kita dengan bersyarat?” tanya Aidil inginkan kepastian.
Hanif sekadar mengangguk. Dia menghela nafas berat.
“Baguslah tu. Sekurang-kurangnya, kita ada job dan tak putus rezeki.”
“Bagus kau kata? Kau faham tak situasi sekarang ni?”
“Situasi apa maksud kau ni, Nif? Sebab kau bekerjasama dengan Iris, begitu?”
“Aku sanggup hilang projek asalkan tak bekerjasama dengan perempuan berlagak tu.”
Aidil menggelengkan kepala. Hanif pentingkan perasaan sendiri berbanding dengan keuntungan syarikat.
“Aku nak tolak projek ni.”
“Kenapa pulak? Kau takut ‘ter’ jatuh cinta bila kau bekerjasama dengan dia?”
“Ini bukan soal jatuh cinta atau tidak. Haishh! Kau tak akan faham perasaan aku sekarang ni.”
“Okey! Cuba kau beritahu aku apa perasaan kau sekarang ni?”
Hanif mendengus ringan. Wajah Aidil di hadapan dipandang.
“Apa perasaan kau sekarang ni?” Aidil mendesak. Dia ingin menyelami hati dan perasaan Hanif. Kawannya itu sukar untuk difahami.
“Aku rasa tergugat. Aku akui yang dia lebih hebat dari aku,” akui Hanif, jujur.
Aidil tidak membalas.
“Aku lelaki. Dia perempuan. Jatuh maruah aku sebagai seorang lelaki kalau dia lebih hebat dari aku.”
Aidil yang mendengar melepaskan ketawa. Geli hati mendengar kata-kata Hanif.
“Yang kau gelak, kenapa?” tegur Hanif berserta dengusan kasar.
“Semua tu anugerah daripada Allah. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Kalau dia hebat, itu bakat yang diberikan oleh Allah kepada dia. Dia berusaha untuk sampai ke tahap sekarang. Sama juga dengan kau. Kau berusaha untuk mendirikan syarikat dan jadi hebat serta terkenal di kalangan kontruktor,” terang Aidil, panjang lebar.
Hanif membisu. Otaknya cuba merencanakan penjelasan Aidil.
“Kau fikirlah mana yang terbaik buat diri kau dan syarikat. Aku hanya boleh bagi pendapat. Terpulang pada kau nak terima atau tidak,” suara Aidil lagi bingkas bangun dari duduk. Tanpa menunggu, dia beredar dari bilik itu.

Hanif masih membisu. Matanya memandang pemergian Aidil. Nafas dihela ringan. Apa yang harus dibuat? Perlukah dia menerima tawaran Dato Hamdan?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan